Haji Ismail Mundu Mufti Kerajaan Kubu  

Posted

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah


SEBUAH salasilah yang saya peroleh di Pontianak, Kalimantan Barat ada menyatakan bahawa Haji Utsman (Daeng Pagalak) datang ke Pontianak bersama seorang anaknya, Nakhoda Tuzu, dari negeri Bugis. Anak Haji Utsman (Daeng Pagalak) ada enam orang. Anak yang ketiga bernama Haji Abdul Karim. Haji Abdul Karim memperoleh anak laki-laki empat orang. Anaknya yang sulung bernama Haji Ismail iaitu ulama yang diriwayatkan dalam artikel ini.

Gelaran beliau yang selalu disebut-sebut oleh masyarakat ialah Mufti Haji Ismail Mundu atau Mufti Kubu. Anak Haji Abdul Karim bin Haji Utsman yang kedua bernama Haji Umar. Anak Haji Umar bernama Haji Abdul Hamid. Anak Haji Abdul Hamid ialah Ambok Pasir. Keturunan ini pada satu ketika dulu sangat terkenal di Singapura kerana sering menghadapi pergaduhan dengan golongan samseng Cina di Singapura.

Haji Umar berkahwin sebanyak 12 kali. Daripada perkahwinannya dengan Halimah Ragiak, beliau memperoleh dua orang anak. Anaknya yang bernama Hajah Hafshah dikahwinkan dengan Saiyid Ali bin Saiyid Abdullah az-Zawawi. Anak Saiyid Ali bin Saiyid Abdullah az-Zawawi ialah Saiyid Yusuf az-Zawawi yang pernah menjadi Mufti Kerajaan Terengganu.

Haji Ismail bin Haji Abdul Karim mendapat pendidikan awal daripada golongan ulama Bugis yang ramai tinggal di Kalimantan Barat. Kitab yang dipelajari adalah dalam bahasa Arab dan kitab tulisan Bugis dalam bahasa Bugis. Beliau juga belajar dengan ulama bangsa Melayu yang menggunakan kata pengantar dalam bahasa Melayu. Pendidikannya yang terakhir di Mekah. Antara sahabatnya ketika belajar di Mekah termasuklah Tok Kenali.

Baik sewaktu tinggal di Mekah mahupun setelah pulang ke dunia Melayu, Haji Ismail bin Haji Abdul Karim selalu mendekati para ulama. Apabila berdampingan dengan ulama-ulama yang setaraf dengannya, bahkan yang kurang ilmu daripadanya, beliau lebih suka mendengar apa yang dibicarakan orang. Beliau selalu mengelak daripada menonjolkan diri. Prinsipnya lebih baik diam daripada banyak bercakap menyalahkan orang. Lebih baik berzikir secara dawam (berkekalan) daripada bercakap sesuatu yang tiada bermanfaat.

Ilmu adalah nur (cahaya) kepada Haji Ismail. Ilmu adalah suatu yang semerbak mewangi. Cahaya dan wangian pasti akan lahir jua, kedua-duanya tiada kekal dalam pertapaannya. Oleh itu Haji Ismail Mundu walaupun beliau tidak suka menonjolkan diri namun ia akan tertonjol, terangkat tinggi dengan sendirinya. Setelah beliau pulang dari Mekah, beliau dilantik menjadi Mufti di Kerajaan Kubu, iaitu sebuah kerajaan kecil dalam takluk kerajaan Pontianak, Kalimantan Barat.

Kemasyhuran

Pada masa yang sama di Pontianak ada tiga ulama besar yang bernama Ismail. Dua orang lagi ialah Haji Ismail bin Abdul Lathif (lebih dikenali dengan sebut Haji Ismail Jabal) yang pangkatnya adalah Penasihat Agama Kerajaan Pontianak dan yang seorang lagi ialah Haji Ismail bin Abdul Majid yang berasal dari Kelantan. Haji Ismail bin Abdul Majid Kelantan kemudian dilantik sebagai Mufti Kerajaan Pontianak. Haji Ismail Kelantan adalah ulama yang termuda antara mereka.

Selain tiga orang ulama yang tersebut, pada zaman yang sama, berdasarkan surat tarikh Pontianak, hari Khamis, 13 Februari 1936 H bersamaan 20 Zulhijjah 1354 M, tokoh-tokoh tertinggi yang menangani urusan Islam dalam kerajaan Pontianak dan kerajaan-kerajaan kecil di bawah takluknya ada yang dinamakan Seri Paduka Hakim iaitu Seri Paduka Yang Maha Mulia Duli Tuanku Sultan Saiyid asy-Syarif Muhammad al-Qadri. Di bawahnya ada Sekretaris Luar Biasa yang disandang oleh Paduka Pangeran Adi Pati Anom Seri Maharaja Syarif Utsman al-Qadri.

Selain itu ada yang dinamakan Naibul Hakim yang disandang oleh Syarif Abdullah bin Ahmad Saqaf. Di bawahnya ada jawatan yang dinamakan Lid Tiga Orang. Ia disandang oleh Syarif Abdullah bin Ahmad Saqaf, Syarif Utsman bin Pangeran Aria dan Syeikh Muhammad bin Abdullah Habsyi.

Terakhir sekali dinamakan Adviseur Penasihat. Yang menyandang kedudukan ini ada dua orang iaitu Saiyid Muhammad bin Shalih bin Syihab dan Haji Ismail bin Haji Abdul Lathif. Memperhatikan susunan kedudukan ini Haji Ismail bin Haji Abdul Lathif ialah sahabat terdekat Haji Ismail bin Abdul Karim, Mufti Kubu, yang bukan daripada golongan bangsa ‘Saiyid’.

Haji Ismail bin Abdul Karim meninggal dunia pada hari Khamis, 15 Jamadilakhir 1376 H/16 Januari 1957 M. Sungguhpun beliau telah meninggal dunia pada tahun itu namun hingga tahun 1980-an nama Haji Ismail Mundu masih sering disebut-sebut oleh masyarakat Pontianak terutama orang Melayu yang bercampur darah dengan Bugis.

Sewaktu saya merantau di Pontianak selama bertahun-tahun saya sempat bergaul dengan dua orang murid yang rapat dengannya, yang mempusakai ilmu daripada ulama besar keturunan Bugis itu. Muridnya yang pertama ialah Haji Ibrahim Bugis yang setiap hari, siang ataupun malam, didatangi oleh masyarakat termasuk pemimpin tertinggi di Pontianak pada ketika itu. Yang seorang lagi ialah seorang korporat, namanya dipopularkan dengan sebutan Haji Ahmad Tata Pantas.

Saya cuba mengorek keunggulan dan kewibawaan peribadi ulama ini, apakah yang menyebabkan beliau menjadi ulama yang paling banyak disebut namanya, sedangkan ulama Pontianak lain setelah meninggal dunia namanya kurang dipercakapkan. Rahsia kepopularan itu sangat panjang untuk diceritakan, tiada cukup ruangan yang disediakan keperluan artikel ini. Walau bagaimanapun saya simpulkan saja bahawa Mufti Haji Ismail Mundu adalah seorang ulama yang kuat mengerjakan amalan-amalan bercorak sembahyang sunat, zikir, selawat dan pelbagai wirid.

Golongan peringkat mana pun yang memerlukan beliau untuk menyelesaikan sesuatu masalah peribadi atau untuk kepentingan umum semuanya dilayani dengan penuh ikhlas tanpa mengharapkan sesuatu. Tiada masalah yang tiada dapat diatasi, walau sebesar gunung, walau seberat apa timbangan sekalipun. Haji Ismail Mundu mengutamakan resipi unggul dan ampuh, iaitu menganjurkan seseorang yang bermasalah terlebih dulu mengucap istighfar (minta pengampunan kepada Allah) sebanyak yang mungkin atau dalam jumlah yang tertentu.

Sesudah itu beliau menyuruh mereka beramal sendiri dengan amalan-amalan wirid yang pernah dikerjakan oleh Nabi Muhammad s.a.w., para sahabat, para Wali Allah dan amalan para ulama. Apabila cukup syarat mengerjakan amal dan ikhlas hati, insya-Allah doa selalu dikabulkan oleh Allah dan semua masalah yang sedang dihadapi dapat diatasi.

Antara karya Haji Ismail bin Haji Abdul Karim yang dihasilkannya adalah:

1. Kumpulan Wirid, diselesaikan pada 1 Muharam 1349 H. Kandungannya membicarakan wirid untuk keselamatan dunia dan akhirat. Wirid keselamatan yang dibangsakan kepada duniawi adalah untuk penjagaan diri daripada pelbagai bentuk dan corak permusuhan sesama makhluk Allah. Selain itu ia juga membantu kelancaran rezeki dalam urusan penghidupan. Walau bagaimana buruk kemelesetan ekonomi, seseorang yang dibekalkan dengan wirid-wirid tertentu tiada akan berasa takut untuk berhadapan dengannya.

Naskhah

Dalam naskhah tersebut dinyatakan apabila hendak beramal terlebih dulu perlu dibaca al-Fatihah yang dihadiahkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.. Selanjutnya dibaca al-Fatihah kepada zuriat Nabi Muhammad s.a.w.. Yang disebut ialah Habib Ahmad bin Isa al-Muhajir, dan Habib Muhammad bin Ali Ba Alawi. Naskhah yang ada pada saya tidak terdapat nama percetakan, tetapi pada halaman terakhir terdapat cop mohor beliau. Sehubungan dengan risalah ini ada lagi yang dinamakan Risalah Amalan. Risalah ini masih merupakan manuskrip. Manuskrip yang asli ada dalam simpanan saya yang saya peroleh daripada murid beliau, Haji Ahmad Tata Pantas, Pontianak.

2. Kitab Mukhtashar ‘Aqaid, diselesaikan di Teluk Pak Kedai, hari Jumaat, pukul 5 petang, 18 Rejab 1351 H. Kandungannya merupakan pelajaran ilmu akidah untuk hafalan kanak-kanak. Dicetak oleh Annashar & Co, Pontianak.

3. Jadwal Hukmin Nikah atau Jadwal Nikah Soal-Jawab, diselesaikan hari Selasa, 15 Muharam 1355 H. Ini keterangan yang dicetak oleh Kantor Tulis dan Toko Kitab as-Saiyid Ali Al-‘Aidrus, Kramat No. 38 Batavia Centrum. Tetapi pada mukadimah cetakan Mathba’ah al-Islamiyah, Victoria Street, Singapura, Mufti Haji Ismail Mundu menulis, “Maka tatkala adalah tahun seribu tiga ratus lima puluh tujuh daripada hijrah Nabi... (1357 H/1938 M, pen:) bergeraklah hati saya dan cenderunglah fikiran saya bahawa hendak memungut akan beberapa masalah soal jawab pada bicara hukum nikah....”

Risalah ini diberi kata pendahuluan oleh Muhammad Ahmad az-Zawawi, kata akuan oleh Mufti Kerajaan Johor ‘Alwi bin Thahir bin ‘Abdullah al-Haddad al-‘Alawi dan kata pujian oleh Ketua Kadi-Kadi Singapura, ‘Abbas bin Muhammad Thaha, Pejabat Qadhil Qudhah, Singapura, 7 Rabi’uts Tsani 1358 H. Kandungannya disebut oleh Muhammad Ahmad az-Zawawi pada kata pendahuluannya yang bertindak bagi kewarisan Mufti Haji Ismail Mundu, bahawa “diterbitkan kitab ini supaya menjadi pedoman bagi sesiapa yang hendak mengetahui hukum-hukum agama dalam perkara nikah, talak, rujuk, fasakh, edah, dan lain-lain. Sekira-kira memberi faham dan faedah soal jawab dan jadual yang tersusun dengan peraturan yang mudah dengan tuturan bahasa Melayu, supaya diketahui dengan tiada guru buat dibaca oleh penuntut penuntut ilmu dan yang sudah kahwin. Dan juga bagi mereka yang akan kahwin laki-laki dan perempuan. Dan kitab ini telah ditashhihkan dan diakui oleh Tuan Mufti Kerajaan Johor dan pujian oleh Ketua Kadi-Kadi Singapura.”

Sungguhpun Risalah Jadwal Nikah Soal-Jawab merupakan risalah yang nipis, namun terdapat juga pemikiran beliau tentang isu semasa berhubung kedudukan sosial masyarakat tentang hukum kufu. Pada zaman yang bercorak kebendaan seperti sekarang ini ramai orang membicarakan bahawa orang kaya adalah tidak kufu kahwin dengan orang miskin.

Haji Ismail Mundu menyatakan hujah sebaliknya. Tulis beliau, “Maka nyatalah daripadanya bahawasa kaya itu tiada ia dibilangkan daripada segala perkara kufu. Oleh kerana harta itu pergi datang, tiada mengambil kemegahan dengan dia segala mereka yang mempunyai perangai dan mempunyai mata hati. Maka oleh kerana inilah sekufu laki-laki yang papa dengan perempuan yang kaya.”

Masyarakat yang umum kebanyakannya hanya mengetahui dua jenis wali nikah, iaitu wali aqrab dan wali hakim, namun dalam risalah ini juga dibicarakan ‘wali tahkim’. Wali tahkim adalah tidak sama dengan wali hakim. Mufti Haji Ismail Mundu menyebut bahawa syarat harus bertahkim ada tiga perkara iaitu pertama, ketiadaan wali; kedua, ketiadaan hakim (maksudnya wali hakim) di negeri itu; dan ketiga, laki-laki yang dijadikan wali tahkim itu adil.

Selanjutnya Mufti Haji Ismail Mundu menambah keterangannya bahawa “tiada wajib perempuan dan laki-laki yang berkehendak nikah itu hadir kedua-duanya di hadapan orang yang adil itu. Ini atas qaul Ibnu Hajar dalam Tuhfah....”
This entry was posted on 12 November 2006 at Sunday, November 12, 2006 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

1 comments

Ada foto foto N perjalanan hidup yg lengkap tentang Haji Ismail mundu ndak??

January 29, 2010 at 6:09:00 AM PST

Post a Comment