Muhammad Yasin - Ulama Kedah berhijrah ke Mempawah  

Posted

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH


MAKLUMAT bertulis berupa tulisan tangan dan kitab-kitab peninggalan Syeikh Muhammad Yasin yang berasal dari Kedah ini telah ditemui di Kampung Kuala Secapah, Mempawah, Kalimantan Barat tahun 1998 Masihi. Selain itu jauh sebelum ini, sumber-sumber sahih yang dapat dipercayai diperoleh daripada Tuan Guru Haji Abdur Razzaq. Ulama yang berasal dari Daik, Kepulauan Riau ini wafat di Mempawah, 1978 dalam usia hampir 100 tahun, adalah murid yang terakhir Haji Muhammad Yasin Kedah, saya sempat bergaul dengan beliau sejak tahun 1968 hingga 1978. Daripada beliau banyak diperoleh informasi tentang ulama yang berhijrah dari Kedah ke Mempawah yang diriwayatkan ini. Diriwayatkan bahawa ulama yang berasal dari Kedah itu belajar di Mekah lebih dua puluh tahun. Untuk memenuhi sara hidupnya selama belajar di Mekah, beliau mengambil upah menyalin pelbagai kitab Melayu/Jawi. Yang paling banyak disalinnya ialah kitab Siyarus Salikin karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Salah satunya ada dalam simpanan saya.

Kepercayaan

Mengenai guru Haji Muhammad Yasin Kedah ketika belajar di Mekah, Haji Abdur Razzaq meriwayatkan, ``Sewaktu saya akan pergi ke Mekah dalam tahun 1889, waktu itu saya masih kecil, saya dibawa oleh ayah saya menziarah Tok Haji Mat Yasin. Ayah saya adalah murid yang setia dan kepercayaannya. Tok Haji Mat Yasin mengamanahkan berupa kiriman duit yang banyak kepada gurunya di Mekah, iaitu Syeikh Nik Mat Kecik Fathani, pengarang Mathla'ul Badrain.'' Kata Haji Abdur Razzaq, ``Tok Haji Mat Yasin adalah termasuk khalifah dan mursyid Thariqat Qadiriyah di bawah jagaan Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Saya kurang pasti apakah beliau menerima langsung daripada Syeikh Ahmad Khatib Sambas itu ataupun beliau telah dibaiah oleh murid-murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas, di antaranya Syeikh Abdul Karim Bantan ataupun Syeikh Abdul Qadir al-Fathani ataupun Syeih Nik Mat Kecik al-Fathani sendiri.''

Memperlihatkan hal-hal yang tersebut saya berkesimpulan bahawa walaupun Haji Muhammad Yasin dikatakan murid kepada Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, namun umur beliau barangkali tidak berjauhan. Atau sekurang-kurangnya beliau ini adalah murid peringkat terawal ulama yang berasal dari Patani kelahiran Pulau Duyung, Terengganu yang terkenal itu. Kedatangan Haji Muhammad Yasin ke Mempawah, Kalimantan Barat juga adalah ditugaskan oleh Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, bukan kehendaknya sendiri.

MEMBUKA PONDOK

Diriwayatkan bahawa dakwah yang berantai yang dilakukan dari Semenanjung Melayu dan Patani ke Kalimantan Barat yang melibatkan setiap orang yang pergi haji ataupun orang yang sengaja semata-mata untuk belajar ke Mekah memang tahu pasti mengenai Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang berlanjutan sampai ke zaman Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani. Di kalangan sultan ataupun penembahan terutama Sultan/Penembahan Pontianak, Mempawah dan Sambas setiap tahun mengirim surat, barang-barang dan wang kepada ulama-ulama Patani, terutama kepada Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani.

Oleh kerana banyak surat yang diterima daripada tiga kerajaan tersebut maka Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani telah mengutus beberapa orang muridnya berdakwah dan mengajar di Kalimantan Barat. Sedangkan yang telah menunggu di Mempawah ialah Tuan Guru Haji Wan Nik al-Fathani, yang sebelumnya telah dirintis oleh Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani. Adapun Haji Muhammad Yasin Kedah adalah di antara sekian ramai mubaligh dan ulama yang ditugaskan di Kalimantan Barat itu. Manakala Haji Muhammad Yasin sampai ke Pontianak, beliau ditampung oleh Sultan Pontianak yang memerintah ketika itu iaitu Sultan Syarif Yusuf bin Syarif Abdul Hamid al-Qadri (1873 Masihi - 1895 Masihi). Sultan meminta beliau mengajar di istana dan masyarakat Pontianak. Permintaan itu beliau persetujui, namun mengajar di Pontianak tersebut hanya beberapa bulan, kerana pada pandangan beliau mengajar dengan cara menerima gaji adalah mencerminkan kurang tawakalnya terhadap Allah. Haji Muhammad Yasin Kedah lebih suka berdikari daripada diarahkan oleh orang lain. Beliau bermohon kepada Sultan Pontianak untuk melakukan pengembaraan ke utara, maksudnya adalah Mempawah dan Sambas. Pada khayalannya apabila berjalan menuju ke utara adalah bersifat mendaki atau naik ke atas, maka segala cita-cita akan tercapai. Sebaliknya apabila menuju ke selatan adalah bersifat menurun, maka akan menempuh gangguan dan cubaan, kejayaan sukar dicapai.

Tujuan pengembaraan ini ialah mencari lokasi untuk membuka satu institusi pengajian pondok. Beliau berkenan sebuah lokasi yang mempunyai sebuah sungai yang mengalir dan letaknya di tepi laut. Apabila tempat yang demikian ada penduduknya, maka akan lekas berkembang kerana dari pihak laut orang akan datang ke daratan. Tabiat air pula mengalir dari hulu menuju pantai, maka orang akan datang menuju pondok itu mengikut jalan dan tabiat air tersebut.

Hanya dengan berjalan kaki sejauh lebih kurang enam puluh kilometer, Haji Muhammad Yasin Kedah tidak jadi meneruskan perjalanannya ke utara kerana tempat yang sesuai menurut beliau membuka pondok pengajian itu telah ditemuinya. Tempat tersebut ialah Kampung Kuala Secapah yang merupakan muara sungai Mempawah. Di Sungai Mempawah itulah dahulunya tempat pahlawan Bugis bernama Upu Daeng Menambon mulai melabuhkan perahunya yang kemudian mudik ke hulu kira-kira empat kilometer, lalu membentuk sebuah kerajaan Islam yang dinamakan Kerajaan Mempawah.

Kedatangan Haji Muhammad Yasin disambut gembira oleh penduduk kerana sebelum kedatangan beliau ke situ namanya memang sudah sangat terkenal sama ada di kalangan elit kerajaan mahupun masyarakat yang memang fitrahnya mengasihi para ulama. Dipercayai kedatangan beliau ke Mempawah ialah pada zaman pemerintahan Gusti Ibrahim yang bergelar Penembahan Ibrahim Shafiuddin (kira-kira tahun 1872 Masihi - 1887 Masihi). Menurut riwayat, Haji Muhammad Yasin membina sebuah rumah yang besar di Kampung Kuala Secapah tersebut, orang pun datang berbondong-bondong kerana menimba ilmu dan berkat kekeramatannya. Dalam waktu yang relatif singkat ada pula yang membuat pondok di sekeliling rumah beliau. Haji Muhammad Yasin Kedah menarik minat masyarakat dengan pelbagai kepandaiannya. Dari sudut kesenian yang bercorak Islam beliau adalah seorang ulama yang pandai bermain Hadhrah. Sampai sekarang masih ada golongan masyarakat Kuala Secapah khususnya dan Kalimantan Barat umumnya pandai bermain Hadhrah yang bersumber daripada Haji Muhammad Yasin Kedah.

Menurut keterangan masyarakat permainan Hadhrah bahawa sanad kesenian itu berasal daripada Syeikh Abu Bakar al-Adani. Selain kesenian shufi berupa Hadhrah Haji Muhammad Yasin juga mengajar pelbagai lagu Barzanji, Nazham dan Burdah. Semua kesenian yang tersebut itu masih belum pupus di Mempawah, Kalimantan Barat terutama sekali Barzanji hampir setiap malam ada saja orang-orang yang mengadakan upacara itu. Bagi murid-murid yang memahami ilmu tauhid, fikah dan tasawuf, beliau tawajjuhkan zikir Thariqat Qadiriyah yang dinisbahkan kepada Syeikh Abdul Qadir al-Jilani yang sangat terkenal diajarkan oleh Syeikh Ahmad Khathib Sambas di Mekah pada abad ke 19

itu. Semua yang tersebut di atas merupakan pelajaran tambahan sebagai alat penyeru masyarakat yang berminat pada seni. Mata pelajaran pokok yang diajarkan di pondok Haji Muhammad Yasin Kedah tersebut sama seperti pondok-pondok di Patani. Pondok yang beliau asaskan di Kampung Kuala Secapah, Mempawah tersebut merupakan pondok pengajian mengikut sistem pondok Patani yang pertama sekali di Kalimantan Barat.

DIANGGAP KERAMAT

Oleh kerana Haji Muhammad Yasin Kedah memang seorang yang hebat dalam bidang keilmuan dan banyak pula perkara-perkara menyalahi adat yang dapat disaksikan oleh masyarakat luas dengan mata sendiri pada zamannya, maka beliau dianggap seorang yang keramat oleh masyarakat. Bukti-bukti kekeramatan dan keberkatannya sangat banyak. Menurut cerita masyarakat, sebelum kedatangan beliau, silang sengketa sesama masyarakat sering terjadi, namun setelah beliau datang semua masyarakat tiba-tiba rukun dan damai. Semenjak beliau datang rezeki melimpah ruah, hasil tanaman padi berlipat ganda yang sebelumnya selalu diserang oleh hama, tikus dan air masin menghentam tanaman padi. Demikian halnya juga dengan perkebunan kelapa, selain berbuah lebat harganya juga dijual dengan baik dan memuaskan. Salah satu keistimewaan ulama ini ialah beliau tidak mahu membunuh binatang walau sekecil nyamuk sekalipun. Di kampung tempat beliau membuka pondok itu jika musim angin barat nyamuk sangat banyak. Jenis nyamuknya pula apabila menyengat bisanya sangat berkesan sakit dan gatal-gatal. Bagi orang biasa seekor nyamuk menggigit saja sudah tidak sanggup menahan bisa, tetapi bagi beliau beribu-ribu nyamuk hinggap ke atas tubuhnya beliau biarkan saja, jangankan membunuhnya menghalaupun tidak.

Ketaqwaan

Keramatnya pula, bahawa semua murid yang datang belajar di pondoknya tanpa dikenakan bayaran berupa apapun dan semuanya beliau beri makan dengan belanja kewangan beliau sendiri. Hal ini sangat menghairankan masyarakat kerana tidak diketahui dari mana beliau memperoleh kewangan untuk keperluan perbelanjaan yang tidak sedikit itu. Haji Muhammad Yasin Kedah dengan penuh yakin menyatakan bahawa rahsianya terletak pada ketaqwaan masyarakat dengan memperbanyak ibadat yang pelbagai corak ragamnya. Tetapi di antara amal yang paling penting ialah memperbanyakkan zikrullah dan selawat serta salam ke atas Nabi s.a.w. Apabila dua amalan tersebut telah menjadi darah dan daging, maka pertolongan Allah akan datang di luar dugaan akal manusia, semuanya boleh terjadi. Yang demikian itu mudah bagi Allah, apabila Allah telah meredhainya. Berdasarkan penyaksian masyarakat, Haji Muhammad Yasin Kedah sememangnya banyak melakukan ibadat. Beliau mempunyai bilik khas untuk melakukan ibadat bersendirian selain tempat yang digunakan untuk berjamaah. Di dalam tempat khas itulah beliau banyak mengkhatam zikir nafi dan isbat tujuh puluh ribu kali. Sedangkan zikir dalam berjamaah dilaksanakan sesudah sembahyang lima kali sehari semalam hanya seratus enam puluh kali. Selawat yang beliau amalkan ialah `Salawat Dalail al-Khairat' yang dibaca setiap hari dan dikhatamkan setiap hari Isnin. Selain selawat tersebut, beliau juga mengamalkan `Salawat Quraniyah' dan `Salawat Seratus Empat Puluh Sembilan' yang terdapat dalam Lum'atul Aurad karya Syeikh Wan Ali Kutan, al-Kalantani.
This entry was posted on 12 November 2006 at Sunday, November 12, 2006 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

1 comments

Apakah Haji Muhammad Yasin ini yang tertulis di buku "Soal-Jawab tentang berbagai masalah agama Jilid 2 / A. Hassan" halaman 425 Bab Lafazh ushalli?

January 30, 2011 at 10:55:00 PM PST

Post a Comment