Imam Ishak Rawa perintis dokumentasi ulama Rawa  

Posted

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH


PENULIS (dua dari kiri) bergambar bersama Jaringan Anak Rao dan Persemendaan. Di sebelah kiri penulis ialah Pengerusi Jaro, Datuk Abdul Wahab.

DUA Isnin berturut-turut yang lalu telah diperkenalkan dua tokoh ulama yang berasal dari Rao atau Rawa. Artikel ini pula adalah rangkaian yang tersebut dan merupakan bicara lanjut yang dibincangkan dalam Majlis Muzakarah Ahlus Sunah wal Jamaah di Raub, Pahang pada 18 Mac 2007 M/28 Safar 1428 H lalu.

Tokoh yang diperkenalkan ialah seorang yang gigih menyebarkan Tarekat Naqsyabandiyah Khalidiyah. Nama lengkap beliau mengikut salasilah ayahnya ialah Tuan Guru Imam Tengku Haji Ishak bin Tengku Muhammad Arif bin Tengku Tan Joleng Tujuan Saka Mas bin Tengku Merah Laut Silingkar Alam @ Limbang Laut keluarga Yang Dipertuan Muda Tanjung Alai, Mapat Tunggal, Rao, Sumatera Barat.

Sungguhpun masih banyak persoalan yang masih belum jelas, namun berdasarkan surat Zaffuan bin Haji Manap ar-Rawi al-Qadiriah kepada Pengkaji bertarikh 17 Ramadan 1427 H/20 Oktober 2006 M, keluarga tersebut ada pertalian dengan Syeikh Muhammad Murid Rawa.

Kata Zaffuan, “Keluarga Syeikh Murid ini juga mempunyai pertalian dengan keluarga Merah Mas, Yang Dipertuan Muda Tanjung Alai, Rao tetapi sayangnya peraturan sebenar masih belum dapat dihuraikan hingga kini.”

Saya simpulkan saja bahawa Imam Tengku Haji Ishak salah seorang daripada keluarga Rao atau Rawa dan besar baktinya mendokumenkan keluarga itu terutama di Malaysia.

Menurut surat Zaffuan itu lagi, “Punca utama manuskrip keluarga beliau (maksudnya keluarga Syeikh Muhammad Shalih Rawa, bererti juga semua keluarga) di Pahang ini pada asalnya adalah atas usaha orang tua kami yang dihormati lagi dimuliakan iaitu almarhum Tuan Guru Imam Haji Ishak bin Muhammad Arif al-Khalidi an- Naqsyabandi (1908-1992).”

Ibu Imam Haji Ishak bernama Hindun @ Nujmah binti Tengku Mahmud (keturunan Siak). Ibu Hindun @ Nujmah ialah Maryam berasal dari Kampung Teluk Pulai, Klang, Selangor. Imam Haji Ishak dilahirkan di Kampung Chemor, Ipoh, Perak pada tahun 1908 dan meninggal dunia tahun 1992.

Beliau menerima Tarekat Naqsyabandiyah daripada Syeikh Umar bin Haji Muhammad al-Khalidi an-Naqsyabandi (wafat tahun 1936) di Batu Pahat, Johor.

Guru Syeikh Umar pula ialah Syeikh Abdul Wahhab Rokan (lahir 1811, wafat tahun 1926). Menurut surat Zaffuan lagi: “Beliau adalah seorang guru agama dan pemimpin Tarekat Naqsyabandiyah yang terkenal di seluruh mukim Dong, Raub malah muridnya juga ramai yang datang dari luar Pahang.”

Dari perkataan “Beliau adalah seorang guru agama dan pemimpin Tarekat Naqsyabandiyah ..." perlu diberi ulasan bahawa perkara khilafiah (pertikaian pendapat) dalam Islam sangat banyak, termasuklah ada golongan yang menerima tarekat dan ada pula yang menolaknya. Bahkan lebih jauh daripada itu ada pihak-pihak tertentu yang membidaah dan mengkhurafatkannya.

Dalam segala persoalan dari dulu hingga sekarang, ada saja orang yang tidak pasti tentang sesuatu perkara selalu menyalahkan apa yang dia tidak tahu. Oleh itu pada pandangan saya, tidaklah bijaksana dan tidak adil seseorang itu menyalahkan pendapat orang lain sedangkan dia tidak mempelajari pendapat itu secara saksama, teliti dan mendalam kepada ahlinya. Demikian halnya dengan tarekat dalam tasauf telah berada dalam Islam sejak lama dan telah diamalkan oleh ramai ulama.

Selagi ramai ulama yang mengamalkannya dan terdapat hujah-hujah dalam kitab-kitab mereka, walaupun ada golongan yang menyalahkannya kita tidak patut mempertahankan pendapat atau pandangan sendiri. Apabila kita hidup bermasyarakat, tetapi hanya bertahan kepada pendapat atau pandangan sendiri, tidak menerima pendapat atau pandangan orang lain, boleh mengakibatkan keresahan masyarakat, kehidupan selalu tidak harmoni.

Oleh itu seseorang guru agama seperti Imam Haji Ishak yang mengamalkan tarekat seperti yang diriwayatkan ini, tidak perlu kita pertikaikan kerana sepanjang hayatnya mempunyai murid yang ramai dan diterima oleh masyarakat. Bagi saya, siapa saja mempunyai pendapat dan pandangan yang tidak menyalahi Islam marilah berjuang sehingga nyata kebajikan demi kepentingan umat.

Pendidikan

Setelah tamat sekolah Melayu (di Sekolah Melayu Dong, Raub) beliau mendalami ilmu agama secara khusus. Di antara guru-gurunya termasuklah dua orang ulama berikut iaitu Tuan Syeikh Kasyful Anwar (berasal dari Kalimantan). Beliau adalah seorang yang sangat alim dalam ilmu alat (nahu, sharaf, bayan, mantik, balaghah, badi’ dan sebagainya).

Tentang fiqh pula, Tuan Imam Haji Ishak belajar dengan Tuan Syeikh Muhammad Shalih bin Syeikh Haji Umar, ulama yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

Di antara kitab-kitab yang dipelajari oleh Tuan Imam Haji Ishak ialah kitab-kitab tentang akidah Matn Jauharah at-Tauhid, Durr ats-Tsamin oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Akidah an-Najin oleh Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani. Dari tiga buah kitab ilmu akidah atau tauhid yang tersebut, dapat disimpulkan bahawa Tuan Imam Haji Ishak telah mempelajari ilmu yang sangat asas itu, sebuah matan dalam bahasa Arab (Matn Jauharah at-Tauhid) dan dua syarah dalam bahasa Melayu (Durr ats-Tsamin dan Akidah an-Najin).

Menurut tradisi pengajian Islam dunia Melayu zaman silam tidak terhenti setakat itu saja, biasanya untuk membolehkan seseorang itu bergelar alim dalam akidah Ahli Sunah wal Jamaah dan berkelayakan mengajar, mereka meneruskan pengajian kepada kitab-kitab dalam bahasa Arab peringkat syarah dan hasyiyah yang tinggi-tinggi serta banyak melakukan pengtelahan.

Tentang fikah ialah Sabil al-Muhtadin oleh Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, Furu’ al-Masail oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan al-Iqna’ kitab dalam Mazhab Syafie dalam bahasa Arab. Jika kita perhatikan tiga kitab yang tersenarai juga sebuah kitab dalam bahasa Arab (al-Iqna’) dan dua buah dalam bahasa Melayu (Sabil al-Muhtadin dan Furu’ al-Masail).

Kitab al-Iqna’ bukanlah sebuah kitab yang mendalam tetapi peringkat pertengahan sahaja. Namun ia dianggap memadai kerana termasuk dalam golongan kitab bercorak syarah bukan matan. Kitab Sabil al-Muhtadin kitab Melayu/Jawi yang cukup popular dalam pengajian Islam tradisional di seluruh dunia Melayu.

Dalam pengertian bahagian ibadat kitab Sabil al-Muhtadin termasuk kitab fiqh Syafieyah yang lengkap. Ada pun kitab Furu’ al-Masail juga dalam bahasa Melayu. Kitab ini membicarakan perkara yang furuk-furuk (cabang-cabang atau bahagian yang halus-halus). Hanya dua saja kitab Melayu/Jawi seperti demikian. Sebuah lagi ialah Kasyf al-Litsam karya Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani.

Sungguh pun Tuan Imam Haji Ishak bukan dikenali sebagai seorang faqih (pakar fikah) tetapi beliau memahami banyak hal dalam fikah. Tambahan pula, beliau lebih banyak menceburi bidang Tarekat Naqsyabandiyah Khalidiyah tidaklah dapat dianggap beliau tidak memahami syariat. Memanglah sangat berbahaya apabila ada seseorang guru tarekat apabila tidak memahami syariat dan ilmu-ilmu yang lainnya.

Daripada sekian ramai penyebar Tarekat Naqsyabandiyah Khalidiyah di dunia Melayu seumpama Syeikh Ismail bin Abdullah al-Minankabawi, Syeikh Abdul Wahhab Rokan yang turun kepada Tuan Imam Haji Ishak, dan lain-lain yang faham syariat akhir-akhir ini, memang ada orang tertentu yang tidak faham syariat mengaku dirinya sebagai seorang Syeikh Mursyid.

Seseorang yang jahil tentang syariat adalah ditolak atau tidak diakui oleh ulama tasauf sendiri, apatah lagi ulama-ulama golongan lainnya.

Tentang tasauf ialah ar-Riayah li Huquqillah, Kasyf al-Mahjub, ar-Risalah al-Qusyairiyah. Semua kitab yang tersebut adalah dalam bahasa Arab. Hal yang tersebut bukan bererti Tuan Imam Haji Ishak tidak mengenali atau tidak mempelajari kitab-kitab tasauf bahasa Melayu kerana kitab-kitab tasauf pada zamannya masih muda masih banyak diajarkan oleh para ulama kita.

Di antara kitab tasauf bahasa Melayu yang pasti diketahui oleh Tuan Imam Haji Ishak ialah Hidayah as-Salikin dan Siyar as-Salikin. Kedua-duanya karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Kitab Syarh Hikam yang berasal daripada karya Syeikh ‘Atha’ al-Askandari, Ad-Durr An-Nafis oleh Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari dan lain-lain.

Di antara kitab tasauf Melayu yang sangat erat hubungannya dengan Tarekat Naqsyabandiyah Khalidiyah (tarekat yang diamal oleh Tuan Imam Haji Ishak) ialah Ar-Rahmah al-Habithah fi Ism az-Zat wa ar-Rabithah karya Syeikh Ismail bin Abdullah Naqsyabandi Khalidi al-Minankabawi.

Tentang hadis ialah Bahr al-Mazi oleh Syeikh Idris al-Marbawi, Shahih al-Bukhari, Shahih Muslim, Fath al-Bari. Dalam empat judul kitab hadis yang disenaraikan ini hanya satu judul saja yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu (Bahr al-Mazi). Tiga judul lagi adalah dalam bahasa Arab (Shahih al-Bukhari, Shahih Muslim, Fath al-Bari). Daripada senarai tersebut ternyata Tuan Imam Haji Ishak juga belajar hadis.

Kitab-kitab dipelajari oleh Tuan Imam Haji Ishak seperti tersenarai di atas sudah cukup membuktikan bahawa beliau menguasai ilmu-ilmu Islam. Saya yakin bahawa beliau seorang yang rajin membaca. Hal ini kerana saya berkenalan dengan beliau tahun 1990 di mana beliau membawa dan menunjukkan sebuah kitab karya Syeikh Ahmad al-Fathani yang saya usahakan judul Shufi dan Wali Allah diterbitkan oleh Pustaka Aman Press, Kota Bharu, Kelantan.

Setelah beliau tahu saya tinggal di Kuala Lumpur, beliau datang ke rumah saya. Kitab tersebut dijadikan perantara perkenalan. Saya cukup kagum dengan Tuan Imam Haji Ishak kerana pada ketika itu beliau telah mempunyai murid yang ramai dan namanya cukup terkenal dalam lingkungan jemaah Tarekat Naqsyabandiyah Khalidiyah yang beliau pimpin. Namun beliau datang ke rumah saya yang jauh lebih muda daripadanya dan tidak masyhur pula.

Saya berkesimpulan Tuan Imam Haji Ishak adalah seorang warak dan zuhud yang tidak membesarkan diri. Sifat-sifat demikian adalah mengikuti jejak langkah para ulama sufi.

Sumbangan

Pada 1932 Tuan Imam Haji Ishak telah diberi tauliah imam oleh Sultan Abu Bakar (Sultan Pahang). Dalam usia 24 tahun, Tuan Imam Haji Ishak telah diberi kepercayaan menjadi imam di Masjid Lechar, Raub, Pahang Darul Makmur. Berbekalkan ilmu-ilmu keislaman yang dipelajarinya dari para ulama yang dipercayai, Tuan Imam Haji Ishak berjaya menyatupadukan penduduk di kampungnya.

Di samping itu, memimpin mereka berpandukan tuntutan Alus Sunah wal Jamaah.

Tuan Imam Haji Ishak juga adalah pengasas Surau Ihyaul Qulub yang pada mulanya dikenali dengan nama Surau Daerah Kampung Bangkin, Mukim Gali, Raub.

Nama Surau Ihyaul Qulub dimasyhurkan sewaktu sambutan Jubli Emas surau tersebut pada Oktober tahun 1990. Selain jasa serta sebahagian daripada sumbangan Tuan Imam Haji Ishak yang dapat dicatatkan, rasanya tidak dapat tidak jasanya sebagai penyusun salasilah keturunan Rao perlulah diakui. Walaupun masih banyak pertikaian pendapat serta beberapa perkara yang masih belum jelas, namun jasa Tuan Imam Haji Ishak sebagai perintis masyarakat keturunan Rao khususnya di Malaysia amat besar.

Mudah-mudahan jejak langkah beliau akan disusuli dengan bersungguh-sungguh oleh beberapa orang keturunan Rao atau Rawa yang datang kemudian.
This entry was posted on 12 April 2007 at Thursday, April 12, 2007 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

3 comments

as`lamualaikum... saya muhammad khusairi bin salehudin. saya juga adalah salah seorang dari keluarga keturunan rawa. saya adalah cicit kepada ali rawa dari ulu bernam,tanjong malim. saya di sini,teringin melihat ahli keluarga saya yang lain. saya ingin mengenali ahli keluarga saya sendiri,ini kerana bertanya kepada orang lain,mereka lansung tidak mengenali keturunan rawa. saya berasa sungguh kesal. ini kerana kurang pendedahan kepada kerunan rawa kepada umum. itu sahaja dari saya. salam.

August 11, 2008 at 2:55:00 AM PDT

Assalammualaikum.Nama Saya Mohd Adnan Bin Khalid.saya adalah anak berdarah Rao.Aruah Datuk saya bernama Lebai Kassim bin Syeikh Ismail Rawa,yang dulunya tinggal di Kepala Batas,Pulau Pinang.Saya difahamkan bahawa Aruah Moyang Saya adalah salah seorang Syeikh Tarekat Naqsyabandiah.Tujuan saya menulis ini adalah untuk mencari saudara-saudara Rao saya dan ingin mengetahui lebih lanjut lagi tentang aruah moyang saya.Bahkan salasilah Syeikh-Syeikh Tarekat Naqsyabandiah tersebut ada pada saya.Cuma saya tidak faham membaca tulisan jawi tersebut,mungkin ianya sudah usang.Assalammualaikum.

August 6, 2009 at 7:07:00 AM PDT

keturunan rawa ramai di raub pahang.

August 28, 2009 at 1:29:00 AM PDT

Post a Comment