Syeikh Syamsuddin Abdullah As-Sumatra-i ulama dan pembesar Aceh  

Posted

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

ULAMA sufi yang akan dibicarakan ini adalah murid kepada Syeikh Hamzah al-Fansuri yang sempat menjadi pembesar di kerajaan Aceh. Jika kita bandingkan dengan zaman sekarang kedudukannya adalah sebagai seorang Perdana Menteri.

Di hujung namanya tertulis ‘as-Sumatra-i’. Pada semua manuskrip karyanya adalah tertulis demikian, namun semua penulis, bahkan penulis yang pertama memulakannya diubah menjadi ‘as-Sumatrani’.

Sebenarnya tambahan huruf ‘n’ antara huruf ‘a’ dan ‘i’ yang telah dirumi/dilatinkan itu hanyalah salah penyemakan saja dari huruf hamzah yang ditulis sebelum huruf ya. Huruf ya yang diletakkan di belakang perkataan Sumatra itu menurut kaedah bahasa Arab ialah ya nisbah ertinya dibangsakan. Jadi maksudnya dibangsakan atau berasal dari Sumatra seperti perkataan:

- Al-Banjari, dibangsakan atau berasal dari Banjar

- Al-Falimbani, dibangsakan atau berasal dari Palembang.

- Al-Fathani, dibangsakan atau berasal dari Fathani.

Oleh itu, Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i bermakna Syeikh Syamsuddin yang berasal dari Sumatera. Jika ditambah atau ditukar dengan ‘ni’, bermaksud nama tempat asal Syeikh Syamsuddin yang dibicarakan ini berasal dari Sumatran. Di manakah tempat yang bernama Sumatran itu?

Nama Sumatran memang ada disebut dalam Hikayat Ahmad Bustamam yang merupakan hikayat bercorak dongeng semata-mata. Oleh hal-hal yang tersebut, untuk tulisan di hujung nama ulama sufi ini, penulis kembali kepada manuskrip asalnya, iaitu dengan tulisan ‘Sumatra-i’ bukan ‘Sumatrani’.

Tulisan ini juga adalah sebagai pelengkap risalah ini, seperti Syeikh Hamzah al-Fansuri, kerana mengenai ulama ini juga telah banyak dibicarakan dalam kajian sastera.

Sebelum ini pernah penulis tulis dalam majalah Dian, kemudian dimuatkan pula dalam Tokoh-tokoh Sastera Melayu Klasik (terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987).

Penyambung aktiviti Syeikh Hamzah

Al-Fansuri

Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i selain terkenal dengan tambahan di hujung nama oleh para penulis barat dan tempatan dengan ‘Sumatrani’, juga dikatakan beliau berasal dari Pasai. Tarikh dan tempat kelahirannya belum diketahui dengan pasti.

Tarikh wafatnya ada dicatatkan oleh musuh pegangannya, Syeikh Nuruddin ar-Raniri, iaitu pada malam Isnin, 12 Rejab 1039 H/1630 M.

Awal pendidikannya secara terperinci juga belum diketahui, hanya diperkatakan bahawa beliau adalah murid Syeikh Hamzah al-Fansuri. Ada juga pendapat menyebut bahawa beliau pernah belajar daripada Sunan Bonang, iaitu seorang Wali Allah di tanah Jawa.

Walau pun Syeikh Nuruddin ar-Raniri adalah musuh paling ketat bagi Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i, namun dia tetap mengakui keulamaan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i itu, sebagaimana beliau tulis, “Syahdan pada masa itulah wafat Syeikh Syamsuddin ibnu Abdullah as-Sumatra-i pada malam Isnin 12 Rejab pada tahun 1039 tahun (Hijrah). Adalah Syeikh itu alim pada segala ilmu, dan ialah yang termasyhur pengetahuannya pada tasawuf dan beberapa kitab yang ditaklifkannya”.

Aktiviti penulisan pengetahuan

keislaman di Aceh memang dimulai oleh Syeikh Hamzah al-Fansuri, yang dilanjutkan oleh Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i sebagai muridnya, memang diakui oleh semua penulis.

Apa saja yang ditulis oleh Syeikh Hamzah al-Fansuri adalah senada dan seirama dengan tulisan-tulisan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i terutama

dalam pembahasan mengenai Marta-

bat Tujuh.

Perbahasan pengetahuan sufi yang mendalam oleh kedua-duanya itu sebenarnya tidak pernah ditentang oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Bagaimanapun, kebanyakan penulis yang datang kemudian memutarbelitkan kenyataan sejarah dan kenyataan ilmiah, bahawa mereka mengatakan Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri adalah memihak kepada Syeikh Nuruddin ar-Raniri menghentam Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i.

Dari maklumat ini, khas perbicaraan Martabat Tujuh dimulai dari Syeikh Hamzah al-Fansuri, turun kepada Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i, turun kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, turun kepada Syeikh Faqih Jalaluddin bin Kamaluddin al-Asyi, dan lain-lain. Kemudian kebelakangan disokong oleh beberapa orang ulama Asia Tenggara lainnya.

Antaranya, Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani di beberapa halaman Siyarus Salikinnya, bahkan beliau mengiktiraf karya-karya Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i, yang beliau kategorikan ke dalam ajaran tasauf peringkat Muntahi (peringkat tinggi).

Ada dua karya Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i yang disebut oleh Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam karya besarnya itu, kedua-dua kitab itu ialah Jawahirul Haqa-iq dan Tanbihut Thullab fi Ma‘rifatil Malikil Wahhab.

Tulisan yang ada persamaan dengan karya Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i mengenai Martabat Tujuh juga dilakukan oleh Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari sangat jelas dalam dua buah karyanya, iaitu Ad-Durrun Nafis dan Majmu’ul Asrar.

Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga tidak membantah tetapi beliau menjelaskan rumus-rumus perkataan sufi yang bercorak syathahiyat itu di dalam karyanya Manhalus Shafi fi Bayani Ramzi Ahlis Shufi dan sebuah lagi karya beliau mengenai tasauf yang tidak sempat beliau beri nama judul.

Tasauf yang tidak berjudul itu sampai sekarang hanya ditemui dua salinan saja, sebuah tersimpan di Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia dan sebuah lagi koleksi peribadi penulis.

Walau pun demikian hebatnya, Syeikh Nuruddin ar-Raniri dalam beberapa buah karangannya memandang sesat, zindiq dan lain-lain terhadap Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i. Namun tidak semua ulama dunia Melayu sepakat dengan pandangan Syeikh Nuruddin ar-Raniri itu.

Selain ulama-ulama yang tersebut di atas dengan karakternya yang tersendiri, ada lagi ulama yang berasal dari Aceh yang bersifat berdiri sama tengah dalam memberikan penilaian dan pandangan.

Beliau ialah Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Aceh, seperti beliau jelaskan dalam karyanya Bidayatul Hidayah.

Katanya, “adapun pada berlajar Martabat Tujuh itu tiada wajib menuntut dia. Lagi pula tiada ada ahlinya pada masa ini. Maka sayugianya ditinggalkan kerana tiada kita ketahui akan ertinya, dan terkadang menyalahi akan syarak, maka jadi membawa membinasakan. Kerana beberapa kitab orang yang dahulu-dahulu ditinggalkan kerana tiada ada ahlinya pada mengajarkan dia dan menguraikan maknanya di dalam tanah Arab, seperti Mekah dan Madinah, dan lain daripada kedua-duanya. Sebab ilmu itu sudah mati”.

Perkataan Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin itu dijelaskan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani pada taqrir di bahagian kitab Bidayatul Hidayah itu, kata Syeikh Ahmad al-Fathani, “Martabat Tujuh, yakni dibicara akan dia itu haram, kerana tiada ada guru yang boleh menghuraikan maksudnya.

Maka setengah orang Jawi mendakwa akan dirinya sampai kepada Allah s.w.t dan mengajar ia akan Martabat Tujuh. Serta menyeru ia kepada manusia suruh mengaji Martabat Tujuh, maka iaitu dhaalun mudhillun. Dan pada hal anak murid itu tiada mengetahui akan barang yang wajib atasnya daripada furudhul ain”.

Sebagai bukti yang cukup kuat bahawa Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i adalah sebagai penyambung aktiviti dan bertanggung jawab menyebarkan ajaran gurunya Syeikh Hamzah al-Fansuri sangat nyata pada karya yang bercorak syarah. Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i telah mengulas atau menjelaskan karya Syeikh Hamzah al-Fansuri berjudul Ruba’i Syeikh Hamzah al-Fansuri. Kita telah mengenali karya penting itu melalui transliterasi yang dilakukan oleh A. Hasymi, lengkap dengan manuskrip Melayu/Jawinya, yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1976.

Sebagaimana Syeikh Hamzah al-Fansuri berpengaruh kepada Sultan Iskandar Muda demikian juga halnya dengan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i. Sebarang urusan istana Sultan Iskandar Muda sentiasa menyuruh orang memanggil Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i itu.

Demikian besar pengaruh Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i terlukis dalam Hikayat Aceh, “Hatta maka tatkala sampailah umur Sultan Husein Syah itu kepada 10 tahun, maka sabda Raja Iskandar Muda kepada Mahkota Dailamcai, “Panggil olehmu akan daku Syeikh Syamsuddin, dan kadi, dan Malikul Adil, dan Perdana Menteri, dan segala hulubalang!”.

Maka Makota Dailamcai khidmatnya serta menyembah, maka ia pun pergi, hingga sampailah ia, lalu dijunjungkannya sabda yang maha mulia itu. Maka sekalian mereka pun datanglah mengadap. Maka sabda Raja Iskandar Muda kepada Syeikh Syamsuddin dan kepada sekelian mereka itu, “Ketahuilah oleh kamu sekalian bahawa anakku Sultan Husein Syah ini, ku namai Sultan Maghal, jikalau datang masya-Allah akan daku bahawa anakku Sultan Maghallah akan gantiku kerajaan”.

Karya-karya

Sebelum ini karya beliau telah disenaraikan orang, termasuk penulis sendiri, setelah dimuat dalam majalah Dian lalu dimuat pula dalam buku Tokoh-Tokoh Sastera Melayu Klasik. Dua karyanya masing-masing dengan judul Tanbihut Thullab dan Anwarud Daqaiq data-datanya telah penulis muatkan dalam buku Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara, jilid 1. Data lengkap keseluruhan karya Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i akan dimuat dalam buku judul yang tersebut jilid 3.

Oleh sebab penulis baru menemui koleksi ke-13 karya Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i di Patani maka di bawah disenaraikan karya-karya beliau berdasarkan penemuan terkini.

Kesemua 12 judul karya beliau sebelum ini dijadikan koleksi Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia.

lTanbihut Thullab fi Ma'rifati Mulkil Wahhab

Kitab ini adalah karya Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i yang pertama penulis perolehi. Kandungannya ditulis dalam bahasa Arab. Dalam simpanan penulis adalah merupakan manuskrip salinan al-Haji Muhammad Mustahyi yang disalinnya ketika berada di Pontianak tahun 1254 H. Beliau ini adalah keturunan Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi (Makasar).

Dapat dicatatkan penyalin sebelumnya membuat beberapa salinan judul-judul yang lain ketika berada di Mekah sebagai nazir rumah wakaf Haji Abu Bakar Wajo, salah seorang keturunan Syeikh Yusuf Makasar (Bugis) yang terkenal itu.

- Jawahirul Haqaiq

- Risalatul Baiyin Mulahazatil Muwahhidin ‘alal Muhtadi fi Zikrillah

- Kitabul Khirqah

- Nurud Daqaiq

- Mir-atul Iman

- Mir-atul Mu’minin

- Syarah Mir-atil Qulub

- Mir-atul Haqiqah

- Mir-atul Muhqqiqin

- Risalah Jawami’il ‘Amal

- Anwarud Daqaiq fi Kasyfi Asrarir Raqaiq

- Da-iratul Wujud

- Risalah Kasyfi Asraril Wujud

- Bayanul Qulub

- Risalah Pada Menyatakan A‘yan Tsabitah

- Risalah Mitsalil Wujud

- Risalah Pada Menyatakan Kelebihan Insan Daripada Sekalian Alam Yang Lain.

- Kasyfu Sirrir Rububiyah fi Kamalil ‘Ubudiyah

- Risalah Masa-il ‘llmil Haqiqah

- Haqiqah as-Shufi

- Haqqul Yaqin fi ‘Aqidatil Muhaqqiqin fi Zikri As-raris Shufiyinal Muhaqqiqin

- Syarah Ruba’i Syeikh Hamzah al-Fansuri

- Taukidul ‘Uqud

Semua karya Syeikh Syamsuddin as-Sumtra-i yang baru dikenal dan menjadi koleksi Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia pada nombor 11 sampai nombor 22. Koleksi penulis nombor 24 dalam senarai adalah merupakan risalah-risalah yang nipis-nipis saja. Yang yang agak tebal adalah nombor 22 (Haqqul Yaqin ...) dengan 48 halaman, dan hanya naskhah ini saja yang tercatat tahun selesai penulisannya iaitu 1020H/1611M.

Menurut keterangan pengarangnya yang terdapat dalam naskhah nombor 22 itu, bahawa beliau menterjemahkan dari bahasa Parsi ke bahasa Melayu.

Dengan maklumat ini dapat diketahui bahawa Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i adalah seorang ulama yang menguasai bahasa Parsi.

Penulis berkesimpulan bahawa dengan ditemui manuskrip-manuskrip yang telah disenaraikan di atas, bererti penyelidikan kita terhadap Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i bertambah luas.

Penyelidikan secara terus menerus berkemungkinan akan menghasilkan bahan-bahan penemuan baru.

Penjelasan karya-karya Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i secara lengkap dapat diikuti dalam buku yang dikarang oleh penulis sendiri iaitu Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara jilid 3.
This entry was posted on 31 July 2007 at Tuesday, July 31, 2007 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

2 comments

Can anyone tell me where is Syeikh Syamsuddin Maqam in melaka? I would like to visit one day.

December 7, 2007 at 12:47:00 AM PST

aslkm...

kalau dapat kongsi salsilah ulama2 tarekat sekali n kitab2 yg muktabar utk dikongsi bersama ahlillah.

tkasih.

June 20, 2009 at 6:35:00 AM PDT

Post a Comment