Keturunan Sheikh Muhammad Arsyad Al-Banjari  

Posted

Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah
Ulama yang diperkenalkan pada artikel kali ini pernah dibicarakan oleh penulis dalam ruangan yang sama ini pada 19 September 2005.

Namun hanya meliputi sebahagian saja iaitu nama lengkap, pendidikan, sahabat-sahabat dan penulisan beliau.

Pada artikel ini pula akan dibicarakan tentang keturunan-keturunan Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari yang tersebar di seluruh pelosok Asia Tenggara; Brunei, Malaysia, Fathani, Mekah dan negeri-negeri lainnya. Demikian yang dapat dicatat melakukan aktiviti pendidikan, dakwah dan tokoh masyarakat, di antaranya yang diperkenalkan sebagai berikut:

DI KEDAH, MALAYSIA BARAT

Alimul ‘Allamah Kadi Haji Abu Su’ud bin Syeikh Muammad Arsyad al-Banjari kahwin di Kedah. Memperolehi seorang putera iaitu Mas’ud. Mas’ud berkahwin dengan Rajmah.

Beberapa orang keturunannya menjadi ulama-ulama besar yang terkenal di seluruh Malaysia. Mereka ialah: Alimul ‘Allamah Haji Muhd. Thayib bin Mas’ud, penyusun kitab Melayu berjudul Miftaahul Jannah. Ia sebuah kitab Melayu/Jawi yang terkenal dan banyak dikaji.

Haji Muhd. Zain bin Mas’ud, sebagai Hakim manakala Haji Bahauddin bin Mas’ud sebagai Pahlawan. Mas’ud bin Kadi Abu Su’ud sendiri adalah seorang syahid fi sabilillah yang tewas dalam peperangan antara Melayu (Islam) dengan Siam (Buddha) di Kedah ataupun Fathani Darussalaam.

Nasibnya mungkin sama seperti yang dialami oleh Syeikh Abdush Shamad al-Falimbani, Haji Sulong al-Fathani dan para syuhada lainnya.

DI JOHOR, MALAYSIA BARAT

Jalan dakwah Banjar ke Johor, dirintis oleh keturunan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari bernama Zakaria bin Mufti Haji Abdul Jalil bin Syeikh Syihabuddin bin Syeikh Muhd Arsyad al-Banjari. Beliau berkahwin di Mersing, Johor, memperolehi 13 anak.

Kemudian dengan perkahwinan Alimul Fadhil Haji Muhd Yasin bin Khalifah Haji Hasanuddin, di Teluk Belanga Singapura, kegiatan dakwah ke Johor dipergiat lagi. Melalui perkahwinannya di Teluk Belanga Singapura itu, Haji Muhd. Yasin memperoleh lima anak iaitu, Haji Ja’afar menjadi kerani Kerajaan Johor, Haji Abdur Rahim menjadi Imam Masjid Teluk Belanga, Rahmah mengajar al-Quran dan hukum-hukum Islam di Johor, pekerjaan yang sama juga dilakukan oleh saudaranya sendiri iaitu Aminah.

Saudaranya yang terakhir bernama Haji Harun guru sekolah dan Bilal Teluk Belanga. Mereka semuanya mempunyai keturunan di Johor dan Singapura.

DI SARAWAK, MALAYSIA TIMUR

Dalam rangka menyebarkan Islam dengan memasuki sektor perdagangan, salah seorang zuriat Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari bernama Abdul Ghani pergi ke Mukah, Sarawak. Abdul Ghani sewaktu di Banjar kahwin dengan Saudah binti Haji Muhd As’ad, semua anaknya meninggal dunia.

Di Sarawak, Abdul Ghani berkahwin lagi dan memperoleh dua anak iaitu Muhd. Said dan Sa’diyah. Muhd. Sa’id memperoleh dua orang anak iaitu Adnan dan Jannah.

Sa’diyah dapat anak bernama Sailis, pindah ke Sekadau, Kalimantan Barat, Indonesia.

DI BRUNEI DARUSSALAM

Bagi memperkukuhkan dakwahnya di Brunei, Alimul ‘Allamah Haji Muhd Thasin bin Mufti Haji Jamaluddin bin Sheikh Muhd Arsyad al-Banjari berkahwin berkali-kali, iaitu dengan Hamimah memperoleh seorang putera bernama Abdur Rahman.

Perkahwinan dengan Siti, memperolehi Shafura dan Mahmud. Dengan Aminah binti Alimul ‘Allamah Datuk Haji Ahmad bin Haji Abdul Latif memperoleh putera bernama Haji Muhd. Ramli. Melalui perkahwinan dengan Bintang memperoleh putera bernama Salman dan Thaha.

Perkahwinan tersebut semuanya di Brunei, sedang sebelumnya beliau telah berkahwin di Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia.

DI FATHANI DARUSSALAM

Sheikh Abdur Rahman Shiddiq menulis, “Kiai Dipa Santa Ahmad bin Fardi bin Ahmad beranak tiga orang. Pertama Haji Amin, belayar ke Fathani dan beristeri di sana. Maka zuriatnya semuanya di Fathani”.

DI PONTIANAK, KALIMANTAN BARAT (INDONESIA)

Haji Thasin bin Syeikh Jamaluddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang ke Pontianak, memperoleh tiga anak iaitu Haji Muhammad Yusuf, Haji Arsyad dan Abdur Rahman.

Diceritakan bahawa Haji Muhammad Yusuf bin Haji Thasin setelah beliau belajar ilmu-ilmu keislaman, lalu menjadi seorang pedagang intan.

Beliau merantau ke seluruh Kalimantan, Sumatera hingga keluar negeri ke Saigon dan Kemboja. Di Kampung Melayu Kemboja, beliau berkahwin lagi. Bahawa beliau berkahwin sebanyak 40 kali. Isteri yang terakhir inilah yang dibawa kembali ke Kalimantan Barat.

Beliau membuka tanah perkebunan getah yang sangat luas, setelah pekerjaannya tersebut menjadi lalu diberi nama Kampung Saigon. Beliau sendiri popular dengan sebutan Haji Yusuf Saigon sehingga hilang nama negeri asalnya Banjar.

Adiknya pula seorang ulama yang menyiarkan Islam dengan berpindah dari satu kampung ke satu kampung, namun beliau sempat menulis beberapa buah kitab. Kitab Tajwid Fatihah cetakan pertama al-Ahmadiyah Singapura tahun 1348 H/1929 M adalah salah satu daripada kitab-kitab beliau yang ada pada penulis.

Keterangan daripada anak beliau, Ustaz Haji Fauzi bahawa masih ada beberapa buah karangannya di antaranya Ilmu Ushul Fiqhi. Sungguh sayang beberapa buah karya itu masih belum ditemui kerana hilang dalam simpanan beliau.

Prof. Dr. Hamka menulis pada kata pengantar karya orang tuanya, “Orang pertama menulis Ilmu Ushul Fiqhi dalam bahasa Melayu ialah Dr. Haji Abdul Karim Amrullah yang diberinya nama Sullamul Ushul Yurqabihi Sama’u Ilmul Ushul selesai ditulis pukul 6.30 pagi, Sabtu 24 Muharam 1333 H atau 12 Disember 1914 M di Jambatan Besi, Padang Panjang”.

Jika Ushul Fiqhi karya Haji Muhammad Arsyad bin Haji Muhammad Thasin itu ditemui tentu dapat dibandingkan dengan karya ayah/orang tua Buya Hamka itu. Mungkin itu lebih dahulu atau selisih tahun yang tidak begitu jauh.

Dua orang putera Haji Muhammad Thasin iaitu Haji Muhammad Yusuf Saigon dan Haji Muhammad Arsyad Pontianak yang tersebut di atas setelah melihat kesuburan pohon getah dari usaha jerih payah, mereka sendiri bangkit kembali cita-cita meneruskan perjuangan datuk mereka, Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari yang dianggap sebagai ‘Matahari Islam’ itu.

Kedua-duanya sama-sama beriktikad bahawa tiada suatu perjuangan pun yang terlebih mulia yang dapat menyelamatkan seseorang baik di dunia mahupun akhirat melainkan perjuangan menyebarkan ilmu-ilmu yang diajarkan oleh para Nabi dan Rasul Allah.

Urusan mencari dana ditangani oleh Haji Muhammad Yusuf, manakala untuk propaganda dan dakwah oleh saudaranya Haji Muhammad Arsyad. Cita-cita mereka dikabulkan Allah kerana dalam tahun 1925 M, datang seorang pemuda dari Ketapang bernama Haji Abdush Shamad yang baru tamat dari pendidikannya di Madrasah Shaulatiyah, Mekah.

Haji Abdush Shamad ditampung oleh Haji Muhammad Saigon, lalu didirikanlah Pondok Pesantren Saigoniyah yang dianggap oleh masyarakat sebagai pondok pengajian yang pertama sekali di Kalimantan Barat.

Adapun pondok pengajian selainnya ialah Darul Ulum yang didirikan oleh Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani lepasan Pondok Kenali Kelantan/Malaysia, terletak di Kampung Terusan, Mempawah.

Selain dari sistem pondok pesantren di Kalimantan Barat, terdapat juga lembaga pendidikan berbentuk madrasah di antaranya yang dianggap tua ialah Madrasah al-Falah didirikan oleh Syeikh Yusuf al-Manshuri tahun 1917 M.

Pondok Pesantren Saigoniyah banyak menghasilkan kader-kader yang masih dapat dijejaki kesan-kesannya, namun jumlahnya tidaklah ramai. Salah seorang daripada lepasan Saigoniyah ialah Haji Abdul Manaf.

Beliau pernah berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Pondok Pesantren Al-Fathanah yang didirikan oleh penulis. Beliau merupakan seorang yang pakar tentang ilmu faraid dan ilmu nahwu.

Saigoniyah telah hilang namanya akibat perang dunia kedua, namun muncul pula dengan nama baru, dalam tahun 1977 M iaitu Madrasah Al-Irsyad.

Berkemungkinan bahawa nama itu adalah untuk mengabadikan nama Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, juga nama Haji Muhammad Arsyad.

DI SAPAT INDERAGIRI, SUMATERA

Kita tinjau pula lembaga pendidikan dan dakwah Islamiah keturunan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari di Sumatera.

Ada seorang cicit beliau bernama Haji Abdur Rahman Siddiq tinggal di Sapat, Inderagiri. Beliau adalah seorang ulama besar yang terbukti dengan karya-karya nyatanya.

Beliau adalah orang pertama menyusun sejarah Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dengan buku berjudul Syajaratul Arsyadiyah. Selain itu, beliau banyak meninggalkan karya penulisan yang dicetak oleh al-Ahmadiyah Press Singapura. Ulama ini adalah orang pertama membuka sekolah di Sapat.

DI MEKAH

Dalam beberapa buku karya Sheikh Muhammad Yasin bin Muhammad Isa al-Fadani (Padang) ada menyebut bahawa anak Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari bernama Sheikh Yusuf bin Muhammad Arsyad al-Banjari.

Di belakang nama ada juga ditulis dengan al-Bantani. Syeikh Yusuf al-Banjari tersebut belajar kepada ayahnya Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari di Mekah dan juga kepada Sheikh Abdush Shamad al-Falimbani.

Sheikh Nawawi al-Bantani adalah salah seorang murid beliau. Pelbagai bidang ilmu terdapat sambungan sanad sama ada dari ayahnya ataupun Sheikh Muhammad Abdush Shamad al-Falimbani tersebut.

Selain itu, Sheikh Yasin Padang juga menyebut salah seorang anak Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari bernama Mahmud. Iaitu keturunannya yang menjadi ulama di Mekah.

Nama penuhnya ialah Sheikh Ali bin Mahmud bin Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Sheikh Ali al-Banjari ini lahir di Mekah tahun 1285 H/1868 M. Beliau belajar kepada Sayid Abu Bakar Syata, Sheikh Said Yamani, Sheikh Yusuf al-Khaiyat, Habib Husein bin Muhammad al-Habsyi al-Alawi, Habib al-Alawi bin Ahmad as-Saqaf, Mufti ‘Abid bin Husein bin Ibrahim al-Makki, Habib Ahmad bin Hassan al-Atas, Habib Umar bin Salim al-Atas, Sheikh Mahfuz Termas, Sheikh Ahmad al-Fathani dan lain-lain.

Sheikh Ali al-Banjari mengajar di Masjidil Haram. Beliau wafat pada malam Jumaat 12 Zulhijjah 1307 H, dikebumikan di Mu’alla, Mekah.

TEMPAT-TEMPAT LAIN

Selain lembaga-lembaga pendidikan zuriat-zuriat beliau di Pontianak Kalimantan Barat, Sapat/Inderagiri dan Malaysia, masih banyak lagi lembaga-lembaga lain baik di tanah Banjar sendiri mahupun di Pulau Jawa.

Di Bangil Jawa Timur terdapat Pondok Pengajian yang didirikan oleh zuriatnya dengan nama Pesantren Untuk Kelampayan. Pondok ini dipimpin oleh zuriat beliau bernama al-‘Alim al-Fadhil Haji Muhammad Syarwani Abdan.

Di Dalampagar (Banjar) terdapat dua madrasah yang didirikan oleh zuriat beliau, demikian juga di Telok Selong, Kampung Melayu dan lain-lain. Berbagai-bagai nama madrasah itu di antaranya yang dapat diketahui Madrasah Sullamul ‘Ulum dan Madarasah Mura’atus Shibyaan, kedua-duanya di Kampung Dalampagar tersebut.

Madrasah Sabiilur Rasyad di Kampung Selong, Madrasah al-Irsyad di Kampung Sungai Tuan. Berkemungkinan masih banyak lagi yang belum kita ketahui.

Sewaktu penulis menunaikan haji tahun 1979 M, ada orang menceritakan bahawa ada seorang ulama Banjar mengajar di Masjidil Haram bernama Haji Abdul Karim al-Banjari. Beliau termasuk salah seorang di antara zuriat Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari.

Selain berita tersebut, bahawa di Martapura telah terbentuk Yayasan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjar yang diketuai oleh Haji Asdhy Suryadi. Yayasan ini terbentuk dalam rangka haulnya oleh panitia 30 November 1967, Haul Sheikh Arsyad al-Banjari ke 160 jatuh pada hari wafat beliau iaitu 7 Syawal 1387 H/ 7 Januari 1968 M bertempat di Kompleks Kubah Kelampayan, Kalimantan Barat, Indonesia.


This entry was posted on 29 January 2008 at Tuesday, January 29, 2008 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment