Faqih Wan Musa Al-Fathani pengasas Pondok Sena Patani  

Posted

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

NAMA lengkap ulama ini yang terakhir diperoleh ialah Lebai Faqih Wan Musa bin Wan Muhammad Shalih al-Laqihi bin Ali al-Masyhur al-Laqihi, ibunya bernama Wan Maryam binti Syeikh Wan Husein bin Syeikh Ibrahim al-Hadhrami bin Saiyid Jamaluddin al-Kubra/Abar al-Jarimi al-Yamani al-Fathani. Riwayat yang terdahulu nama ayah Faqih Wan Musa al-Fathani ialah Hidhir bin Ahmad.

Dalam beberapa tulisan lain penulis, memang pernah penulis nyatakan bahawa mula daripada ayah Faqih Wan Musa al-Fathani hingga ke atasnya, belum dapat kata sepakat periwayat salasilah kerana ada yang meriwayatkan nama datuk neneknya yang pertama sampai ke Patani ialah Syeikh Utsman.

Riwayat lain menyebut Syeikh Abdur Razaq dan lain-lain. Nama Syeikh Utsman dan Syeikh Abdur Razaq diceritakan oleh saudara ipar penulis, iaitu suami Nik Wan Rasyidah binti Kadi Haji Wan Ismail al-Fathani yang bernama Haji Muhammad Shaghir, Imam Masjid Kampung Membala.

Beliau mendengar cerita daripada beberapa guru di Mekah sekitar tahun 1930-an. Walau bagaimanapun yang tahqiq bahawa datuk neneknya memang termasuk salah seorang penyebar Islam yang pertama datang ke Patani khususnya, dan Asia Tenggara umumnya.

Kedatangan datuk neneknya itu sekurang-kurangnya pada zaman tabien, namun ada diriwayatkan secara bersambung oleh keturunan beliau bahawa kedatangan mereka sejak zaman sahabat Nabi s.a.w lagi.

Menurut penyelidikan penulis, ternyata nama ayahnya Hidhir, yang tersebut itu hanyalah nama gelaran, nama sebenarnya ialah Syeikh Muhammad Shalih al-Jarimi al-Laqihi al-Fathani. Nama orangtua Syeikh Muhammad Shalih yang lengkap ialah Syeikh Ahmad al-‘Aliyi al-Jarimi al-Laqihi al-Fathani atau nama lainnya ialah Ali al-Masyhur al-Laqihi. Namanya yang lain pula ialah Saiyid Ali Nur Alam, juga bernama Ali Nuruddin.

Terdapat beberapa buku meriwayatkan tentang Saiyid Ali Nur Alam memang tinggal di Siam atau Thailand (seharusnya ialah di Patani, bukan Siam atau Thailand yang jauh lebih luas).

Di antara buku-buku yang menyebut perkara itu ialah: Ulama Pembawa Islam di Indonesia dan Sekitarnya oleh Drg. H. Muhammad Syamsu As, pada halaman 81 dan salasilah pada halaman 319. Dinyatakan pada halaman 81, bahawa dia memetik daripada karya R. H Abdullah bin Nuh dari buku berjudul Sejarah Islam di Jawa Hingga Zaman Keemasan Banten, Majlis Ta’lim Al-Ihya, Ciomas-Bogor, 1978, halaman 19.

Buku yang lain pula ialah R. Achmad Rachmatullah Sunan Ampel, disusun oleh Panitia Haul Agung Sunan Ampel ke-527 Surabaya, P. T Bina Ilmu, halaman 33. Dinyatakan sumber dari Lembaga Research Islam Pesantren Luhur Malang.

Lebai Faqih Wan Musa al-Fathani adalah cucu Syeikh Ali al-Laqihi/Ali Nur Alam yang tersebut. Oleh sebab Lebai Faqih Wan Musa al-Fathani telah berhasil membuka suatu kawasan hutan dan kemudian membangun perkampungan pendidikan Islam yang dinamakan Pondok Sena, maka nama beliau sebagai tokoh masyarakat dan ulama yang mengkaderkan masyarakat perlu diperkenalkan.

Selain itu, sangat ramai pula keturunan beliau yang menjadi ulama, tokoh-tokoh pendidik, pejuang, politikus, pengarang dan lain-lain.

Tanpa diduga, penulis berhasil menemui kubur beliau pada 11 Jamadilawal 1415 H/18 Oktober 1994 M, setelah melalui liku-liku penyelidikan mencari kawasan sejak tahun 1970 M (lebih kurang 24 tahun, iaitu dari tahun 1970 hingga tahun 1994).

TAKRIF ISTILAH DAN KAMPUNG YANG DIBERI NAMA OLEH KETURUNANNYA

Mengenai nama ‘Fathani’, ia memang telah lama digunakan oleh orang-orang Arab dan Farsi yang datang ke kawasan itu. Kemudian berdirilah Daulah Islamiah bernama ‘Fathani Darus Salam’.

Dalam salah sebuah manuskrip yang tua Tarikh Fathani yang ada pada penulis, memang tertulis demikian tetapi dalam kebanyakan sejarah Patani versi yang lain, menggunakan tulisan (baca ‘Petani’ atau ‘Patani’).

Oleh itu, untuk mengembalikan nama dalam sebutan yang baku dalam dialek orang Arab dan tulisan pada manuskrip, maka Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, yang masih satu tali salasilah dengan Faqih Wan Musa al-Fathani dianggap orang pertama menggunakan dalam bentuk (Fathani).

Sesudah itu ditakrif dengan panjang oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, iaitu keturunan lurus dari atas yang ke lima Faqih Wan Musa al-Fathani. Untuk penjelasan yang selengkapnya, boleh dirujuk dalam kertas kerja penulis yang berjudul Tiga Zaman Pembentukan Istilah Ilmu-ilmu Keislaman di Asia Tenggara (Termplan ‘90).

Perkataan ‘al-Jarimi’ yang terdapat pada nama datuk neneknya, bahkan beberapa orang ulama Patani yang lain berasal daripada perkataan ‘al-Jurumi’ atau ‘al-Jurhum’ satu kabilah Arab di negeri Yaman. Keturunan kabilah itulah telah datang ke negeri Patani sebagai penyebar-penyebar Islam. Daripada perkataan itu jugalah sehingga di negeri Patani terdapat satu daerah yang dinamakan dengan ‘Jerim’ atau dalam dialek Patani disebut juga dengan ‘Jering’.

Pada masa dulu, ada juga yang menyebut dengan perkataan ‘Jarumi’ atau ‘Jarum’. Oleh sebab itu, salah seorang ulama Patani bernama Syeikh Idris di Kedah digelar orang dengan ‘Syeikh Jarum’. Kampung Sena dinamakan sedemikian ialah kerana sewaktu Faqih Wan Musa al-Fathani dan pengikut-pengikutnya datang ke hutan itu, sebahagian besar pohon-pohon yang ditemui ialah pohon Sena. Peristiwa membuka Kampung Sena diberitakan sekitar tahun 1560 Masihi.

Kampung Sena merupakan kampung yang sangat luas. Pada masa dahulu, keturunan keempat Faqih Wan Musa al-Fathani bernama Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani yang pernah sebagai Ketua Hulubalang atau Panglima Kaya Fathani Darus Salam memagar sebahagian kecil kampung itu dengan pohon Sena untuk dijadikan pusat pengajian pondok.

Maka beliau memberi nama kampung yang dipagar itu dengan nama Kampung Sena Janjar. Janjar ertinya berjajar-jajar atau berbaris-baris. Peristiwa tersebut terjadi tahun 1233 H/1817 M.

Sesudah itu, Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani atas perintah Sultan Fathani Darus Salam membuka sebuah kampung lagi yang dikerjakan secara gotong royong, masih termasuk dalam kawasan Kampung Sena, kampung itu dinamakan Kampung Bendang Daya. ‘Bendang’ ertinya tempat untuk menanam padi sedang ‘daya’ ertinya tenaga atau kekuatan.

Padi yang ditanam secara gotong royong atas tanah Bendang Daya itu digunakan untuk menampung keperluan makan para santeri/pelajar yang masuk memondok di Pondok Sena Janjar. Kemudian di Bendang Daya dibina pula pusat pengajian Islam, dinamakan dengan Pondok Bendang Daya.

Pondok Bendang Daya tersebut pernah menjadi sebuah pusat pengajian Islam yang teramai pelajarnya di dunia Melayu. Pelajar-pelajar datang dari seluruh dunia Melayu yang membentang dari negeri Cam (dalam Kemboja) hingga ke Kepulauan Indonesia.

KUBUR FAQIH WAN MUSA AL-FATHANI

Dalam bulan Ramadan 1970, penulis dibawa oleh Tuan Guru Haji Abdul Qadir bin Ismail Senawi al-Fathani, salah seorang daripada keturunan Faqih Wan Musa al-Fathani, ke beberapa kuburan lama dan bersejarah di dalam Patani.

Melalui beliau, penulis memperoleh cukup banyak informasi, namun ada yang sempat penulis catat dan ada yang terlalai mencatatnya.

Di antara kubur yang penulis ziarah ialah; Makam Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani di Kampung Bendang Daya. Penulis telah banyak kali menziarahi makam itu. Pada 11 Jamadilawal 1415 H/16 Oktober 1994 penulis menziarah ke Perigi Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani di Parit Sungai Kerisik, yang berdekatan dengan Perigi Hang Tuah dan Pintu Gerbang Hang Tuah.

Pada hari dan tarikh yang sama juga penulis menziarahi Makam Syeikh Shafiyuddin al-‘Abbasi (Tok Raja Faqih) di Sungai Pandan dan Makam Syeikh Sa‘id al-Barsisa di Tanah Ujung Lidah Kampung Pasai. Dua hari kemudian pada 13 Jamadilawal 1415 H/18 Oktober 1994. Tanpa diduga penulis menjumpai Makam Faqih Wan Musa al-Fathani yang penulis rintis lokasi tersebut sejak 24 tahun yang lalu (1970-1994).

Penunjuk lokasi bernama Tuan Guru Haji Mahmud bin Haji Daud bin Muhammad Shalih bin Ilyas, yang berusia 102 tahun, ketika itu tinggal di Kampung Berahak dalam kawasan Pujut.

Pada hari pertama bertemu dengan Tuan Guru Haji Mahmud (12 Jamadilawal 1415 H/17 Oktober 1994 M) dan di saat perpisahan dengan penulis, beliau menjelaskan bahawa kubur datuk nenek Tok Cik Wan Daud bin Mustafa al-Fathani terletak di belakang rumahnya yang asal, iaitu di Kampung Tok Diwa, dalam kawasan Kampung Sena juga.

Kesediaan beliau menunjukkan tempat itu dan desakan bahawa kalau beliau meninggal dunia tidak siapa pun yang tahu tentang kubur itu, maka tanpa menunggu lebih lama, esoknya penulis bersama Ustaz Ismail bin Ishaq dan Mat Pik Bong (Yusuf bin Sulong) mendesak Tuan Guru Haji Mahmud ke kubur yang itu.

Kira-kira 100 meter dari belakang rumah bekas kelahiran Tuan Guru Haji Mahmud, di Kampung Tok Diwa, arah ke sebelah Timur terdapat empat buah kubur yang teratur rapi. Di sekeliling kubur terdapat kebun getah kepunyaan masyarakat, sedang di atas kubur ditumbuhi oleh rumput yang tidak begitu tinggi.

Setiap satu kubur terdiri dua nisan daripada batu asli bukan daripada batu yang telah diproses. Nisan-nisan itu berwarna putih kehijau-hijauan kerana bekas ditumbuhi lumut yang berabad serta tidak dibersihkan. Dipercayai bahawa kubur yang pertama ditemui, yang terletak arah paling ke sebelah barat itulah kubur Faqih Wan Musa al-Fathani.

Setelah bertahlil dan berdoa penulis mewawancara Tuan Guru Haji Mahmud dan beliau menjelaskan berbagai-bagai maklumat yang pernah didengarnya daripada orang tua-tua yang bersambung-sambung sejak dahulu hingga kepada beliau.

Dari kubur Faqih Wan Musa al-Fathani itu kami cuba menuju ke arah Kubur Tok Diwa, riwayat hidupnya masih belum begitu jelas, yang letaknya kira-kira 200 meter dari kubur Faqih Wan Musa al-Fathani.

Perjalanan diteruskan ke kubur Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani di Bendang Daya, yang merupakan ziarah penulis yang ketiga kalinya pada ketika itu.

Perjalanan diteruskan ke Pondok Padang Jelapang yang diasaskan oleh Tuah Guru Haji Ahmad Pauh, murid Syeikh Ahmad al-Fathani. Tuan Guru Haji Ahmad Pauh adalah ayah mertua Tuan Guru Haji Mahmud dan Haji Abdur Rahman atau Tok Guru Padang Ru.

Masjid Pondok Padang Jelapang adalah tempat pertama Tuan Guru Haji Sulong mengumpulkan para alim ulama bermesyuarat untuk memerdekakan Patani daripada penjajahan Siam.

Ketika itu Tuan Guru Haji Ahmad Pauh masih hidup dan merupakan ulama yang tertua di antara mereka. Ulama yang tertua kedua ialah Tuan Guru Haji Muhammad bin Idris Burmin atau lebih popular dipanggil Tok Guru Burmin. Semua ulama yang tersebut adalah termasuk keturunan dari Faqih Wan Musa al-Fathani.

KARYA FAQIH WAN MUSA AL-FATHANI

Hingga data ini ditulis, karya Faqih Wan Musa al-Fathani hanya dua buah, dan sebuah lagi hanya diketahui namanya saja sedang naskhahnya sampai sekarang belum diketemukan. Dua buah yang telah ditemui adalah manuskrip Ilmu Saraf dan Ilmu Mantiq yang ditulis dalam bahasa Arab tahun 1002 H/1593.

Walaupun ditulis dalam bahasa Arab tetapi di bahagian tepi naskhah terdapat juga catatan-catatan dalam bahasa Melayu, namun sangat sukar untuk dibaca.

Karya beliau yang belum diketemukan berjudul as-Shawab fil Bayan, ada disebut oleh Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin Pauh Bok al-Fathani dalam salah sebuah karya beliau mengenai usuluddin. As-Shawab fil Bayan belum diketahui adakah ditulis dalam bahasa Arab atau pun bahasa Melayu dan tahun penulisan juga tidak diketahui.

Memerhatikan tahun Faqih Wan Musa al-Fathani menyelesaikan karyanya 1002 H/1593 itu, bererti merupakan karya ulama dunia Melayu yang tertua yang lengkap menyebut nama pengarang dan tahunnya. Ini kerana walau pun diduga sebuah karya berjudul Tarikh Patani oleh Syeikh Faqih Ali bin Wan Muhammad al-Fathani ditulis lebih awal tetapi tidak disebutkan tahun penulisannya.

Tambahan pula manuskrip yang diketemukan hanyalah berupa salinan oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang diselesaikan tahun 1228 H/1813 M. Risalah berjudul ‘Aqaid an-Nasafi pula, yang dibahas secara panjang oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya The Oldest Known Malay Manuscript: A 16th Century Malay Translation of The ‘Aqaid al-Nasafi memang benar disebut tahunnya 998 H/1590 M tetapi tidak diketahui nama ulama Melayu sebagai penterjemahnya.

Selain itu juga tidak jelas dari negeri Melayu (Asia Tenggara) daerah mana penterjemah risalah tersebut berasal. Oleh itu, karya Faqih Wan Musa al-Fathani yang tersebut adalah penting untuk pengkajian sejarah penulisan keislaman di dunia Melayu.


This entry was posted on 02 September 2007 at Sunday, September 02, 2007 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment