Syeikh Abdul Ghafur bin Abbazs Al-Maduri  

Posted

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

KEMUNCULAN pengkaryaan Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi yang berasal dari Pulau Madura berjudul Tarjamatu Kitabis Shalihin tahun 1200 H/1785 M, adalah bersamaan dengan pengkaryaan Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari judul Ad-Durrun Nafis juga dalam tahun 1200 H/1785 M, yang pernah dibicarakan sebelum ini.

Syeikh Muhammad Nafis berasal dari Banjar, Kalimantan Selatan, manakala Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi pula berasal dari Pulau Madura, Jawa Timur.

Karya ulama yang berasal dari Banjar itu sangat terkenal kerana terdapat berbagai-bagai edisi cetakan dan tersebar luas di seluruh dunia Melayu. Karya ulama yang berasal dari Madura yang akan diperkenalkan ini belum diketahui oleh khalayak insani Melayu, kerana manuskripnya baru saja jatuh ke tangan fakir pengkaji pada Khamis, 5 Rabiulawal 1421 H/8 Jun 2000 M di Tanjung Pinang, ibu kota Kepulauan Riau.

Manuskrip diperoleh daripada anak penyalin manuskrip yang tersebut iaitu Wan Muda binti Wan Muhammad Syawal al-Fathani.

Sewaktu penyerahan manuskrip, Wan Muda dalam usia 115 tahun menerangkan bahawa manuskrip ini adalah salinan orang tuanya Wan Muhammad Syawal al-Fathani.

Penyalinan dilakukan di Pulau Bunguran/ Natuna (Indonesia). Wan Muhammad Syawal al-Fathani meninggal dunia dalam usia yang sangat lanjut di Pulau Bunguran/Natuna dalam usia 130 tahun.

Biografi Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi yang dibicarakan ini sukar diperkenalkan di sini kerana belum pernah ditulis orang. Lagi pula belum ada karyanya yang lain yang dijumpai, karyanya yang disebut namanya di atas adalah merupakan satu-satunya yang sampai ke tangan kita.

Berdasarkan karya tunggal ini, dapat dikesan bahawa Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura adalah hidup sezaman dengan Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari. Dipercayai kedua-duanya adalah seperguruan di Mekah. Tarekat yang diamalnya ialah Tarekat Sammaniyah.

Tiada syak lagi bahawa Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura ialah murid Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Sammani (lahir 1130 H/1717 M, riwayat lain dinyatakan lahir 1132 H/1720 M, wafat 1189 H/1776 M), iaitu guru juga bagi Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, dan ramai lagi.

Analisis manuskrip Tarjamatu kitab Ash-Shalihin

Manuskrip yang dijumpai tidak lengkap hanya 220 halaman saja. Halaman sebenar belum diketahui kerana beberapa halaman bahagian akhir belum dijumpai. Ukuran manuskrip 19 x 15.8 cm. Purata 17 baris setiap muka surat/halaman.

Pada mukadimah Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura menulis, “Ada pun kemudian daripada itu, lagi akan berkata fakir yang berkehendak kepada rahmat-Nya yang kuasa, iaitu asy-Syeikh Abdul Ghafur yang Abbasi, Mandura nama asal negerinya, dan Syafie mazhabnya, dan Khalwati tarekatnya, dan asy-Syeikh Samman itu syeikhnya dan gurunya. Tatkala adalah hijrah an-Nabi s.a.w genap seribu dua ratus (1200 H/1785 M), dan kelebihan akan zaman telah berubah, dan segala manusia daripada jalan yang benar telah berpaling membelakangkan dia, ertinya seperti firman: “Telah nyatalah kebinasaan dalam daratan dan lautan dengan suatu yang diperbuat akan dia oleh segala tangan manusia”.

“Tergeraklah bagiku khathir bahawa hendak ku terjemahkan kitab yang bernama Ash-Shalihin ... iaitu karangan asy-syeikh yang alim, lagi banyak ilmunya, yang mentahqiqkan segala masalah, lagi halus pada fahamnya, lagi arif dengan Allah s.w.t, iaitu asy-Syeikh Abdullah yang anak asy-Syeikh Abdul Aziz. Memberi manfaat kiranya akan kami oleh Allah dengan dia dan dengan segala ilmunya dan segala Muslimin”.

Sesudah mukadimah yang ada persamaan dengan Hidayatus Salikin,(1192 H/1778 M) karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, dari segi disiplin ilmu yang dibicarakan iaitu ilmu akidah Ahli Sunah wal Jamaah. Namun begitu, dari segi pembahasan dan kalimat-kalimat yang digunakan adalah berbeza.

Dilanjutkan dengan Fasal Pada Menyatakan Kelebihan Orang Alim Dan Kelebihan Orang Yang Menuntut Ilmu. Mengenai fasal ini dimulai dengan hadis riwayat Saidina Ali, “Bahawasanya ia berkata, Telah ku dengan Rasulullah s.a.w,” ... ertinya, “Bermula menilik kepada muka orang yang alim itu menjadi ibadat dan menjadi cahaya pada badan dan menjadi cahaya dalam hati”.

Selanjutnya dijelaskan lagi dengan katanya, “Syahdan hukum pada sembahyang yang lima waktu 17 rakaat, ada pun bagi sembahyang Zuhur dan Asar itu, maka iaitu lapan rakaat kerana empat rakaat keduanya. Maka barang siapa menyembahyangkan dia, maka terbukalah baginya sekalian pintu syurga yang kelapan. Dan Maghrib dengan Isyak itu tujuh rakaat. Maka barang siapa menyembahyangkan dia, nescaya tertutuplah sekalian pintu neraka yang tujuh. Maka Subuh dua rakaat, maka dengan rakaat yang pertama diampun baginya segala dosanya yang ada pada malamnya. Dan dengan rakaat yang kedua diampun baginya segala dosanya yang pada siangnya”.

Fasal yang berikutnya diberi judul Fasal Pada Menyatakan Puasa. Mengenai ini nampaknya hanya sebagai pelengkap saja, huraian yang diberikan sangat singkat, tidak seperti mengenai sembahyang.

Sesudah Fasal Pada Menyatakan Puasa, diikuti Fasal Pada Menyatakan Zakat. Huraian mengenai zakat lebih panjang dari huraian mengenai puasa. Sebagai penutup huraian zakat, Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura menegaskan, “Syahdan wajib menunaikan zakat dengan bersegera apabila diperoleh dengan dia, seperti ada harta hadir atau sudah kering buah-buahannya daripada dapat dia atau lainnya ...”.

Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura juga memandang penting adab golongan perempuan, maka sesudah Fasal Pada Menyatakan Zakat diikuti dengan Fasal Pada Menyatakan Segala Perempuan Dan Bersama-sama Dengan Dia.

Mengenai ini Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura memulai dengan sepotong hadis Nabi s.a.w, “Bermula perempuan itu apabila sembahyang ia akan lima waktunya, dan memberi zakat ia akan hartanya, dan puasa ia akan bulannya, yakni bulan Ramadan, dan taat ia akan suaminya, dan memelihara ia akan farajnya daripada yang haram, maka masuklah ia akan syurga pada barang pintu yang dikehendakinya ...”

Hadis yang tersebut dapat diklasifikasikan ke dalam hadis targhib (tentang khabar gembira), sesudahnya disambung dengan yang bercorak hadis tarhib (khabar ketakutan) dengan kalimatnya, “Dan lagi ceritera daripada Abu Hurairah, bahawasanya ia berkata, Telah ku dengar Rasulullah s.a.w bersabda ia dengan sabdanya, “Barang di mana ada perempuan keluar ia daripada rumah suaminya dengan tiada setahu suaminya melainkan disia-siakan oleh Allah amalannya 40 hari. Dan tiada diterima oleh Allah daripadanya segala-gala, banyak atau sedikit. Maka jika ia mati di dalam demikian hari itu nescaya dapat kerugian di dunia dan di akhirat...”.

Adalah patut juga dipetik satu kisah yang menyeramkan yang berasal dari hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Saiyidina Ali Karramahullahu wajhah, ditulis oleh Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura sebagai yang berikut, “... sabdanya, Telah ku lihat seorang daripadanya perempuan yang tergantung dengan rambutnya dan mendidih otak kepalanya. Dan ku lihat akan seorang perempuan yang tergantung dengan lidahnya dan air neraka yang panas dituangkan ke dalam lehernya. Dan ku lihat pula seorang perempuan yang tergantung dengan dua kakinya padahal terikat lagi terlipat. Telah mengeluarkan segala malaikat yang menyiksa dengan dua tangannya daripada pihak belakang dan minyak tanah dilumurkan pada badannya, dan dituangkan atasnya dimasukkan dalam lehernya.

“Dan ku lihat pula seorang perempuan yang tergantung dengan dua susunya dan buah zaqqum itu dituangkan dan dimasukkan dalam lehernya. Bermula zaqqum itu, iaitu buah kayu di dalam neraka yang amat pahitnya. Iaitulah makanan isi neraka. Dan ku lihat pula seorang perempuan yang tergantung padahal memakan ia daging dirinya dan api neraka pada pihak bawahnya. Dan ku lihat pula seorang perempuan yang tergantung, telah menambat segala Malaikat itu akan dua kakinya kepada dua susunya dan ditambatkan dua susunya kepada ubun-ubunnya.

“Dan dijadikan atas badannya beberapa ular dan kala hal keadaannya memakan ia akan dagingnya dan meminum ia akan darahnya. Dan ku lihat pula seorang perempuan yang tergantung hal keadaannya buta, tuli dan kelu di dalam kandungan daripada api neraka keadaannya keluar otak daripada kepalanya mengalir ke dalam hidungnya. “Dan segala badannya amat busuk lagi terpotong seperti kena penyakit besar. Dan ku lihat pula seorang perempuan yang tergantung hal keadaannya dipotong segala daging badannya daripada hadapan hingga ke belakangnya daripada segala anggotanya dengan kening daripada api. “Dan ku lihat pula seorang perempuan yang tergantung hal keadaannya hitam sekalian mukanya dan busuk badannya dan ia memakan isi perutnya. Dan ku lihat pula seorang perempuan yang tergantung kepala babi dan tubuhnya seperti tubuh keldai dan atasnya seribu warna daripada seksa. Dan ku lihat pula seorang perempuan yang tergantung atas rupa anjing, dan api itu masuk dari bawah dirinya dan keluar ia daripada mulutnya. Dan Malaikat itu memukul mereka itu, akan kepalanya dan badannya daripada pemukul daripada api ...”.

Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura menyebut sampai pada kalimat itu Saiyidina Ali bin Abi Thalib dan Saidatina Fatimah bertanya kepada Rasulullah tentang dosa perempuan-perempuan yang terseksa yang berbagai-bagai itu, maka sabda Rasulullah, “Ada pun perempuan yang digantung dengan rambutnya itu, maka bahawasanya ia tiada mahu menutupi rambutnya daripada segala lelaki yang lain, yang haram melihat dia. Dan ada pun perempuan yang digantung dengan lidah di air yang panas dituangkan ke dalam lehernya itu, maka bahawasanya ia menyakiti akan suaminya. Dan ada pun perempuan yang ada tergantung dengan dua susunya itu, bahawasanya ia tiada memberikan daripadanya suaminya tiada dengan izinnya. Dan ada pun perempuan yang tergantung dengan dua kakinya dalam kurungan api itu, maka bahawasanya ia keluar daripada rumah suaminya tiada dengan izin daripadanya. Dan ada pun perempuan yang ada tergantung dan memakan tubuhnya dan api nyalakan daripada pihak bawahnya, maka bahawasanya ia memperhiasi akan tubuhnya kerana orang yang lain dan tiada memperhiasi ia akan suaminya. Dan ada pun perempuan yang ada tergantung dengan dua kakinya yang tertambat kepada dua susunya dan dua susunya tertambat kepada ubunnya dan telah dijadikan kepadanya beberapa ular dan kala yang memakan ia akan dagingnya dan meminum ia akan darahnya, maka bahawasanya ia di dalam tiada bersuci-suci badannya, dan tiada hendak mandi daripada junub, dan tiada haid, dan tiada nifas, dan ia meringan-ringankan, dan persendakan daripada sembahyang. Dan adapun perempuan yang ada tergantung hal keadaannya kelu, dan buta, dan tuli yang ada ia di dalam kandungan daripada api neraka, maka bahawasanya ada ia mendatangkan dengan anak daripada zina ditambatkan akan dia pada batang lehernya suaminya ...”.

Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura menutup fasal ini dengan katanya, “Syahdan, apabila tegah bagi durhaka perempuan akan suaminya nescaya wajib atas suaminya mengajar akan dia. Maka apabila nyata durhakanya nescaya tinggalkan akan dia dalam tempat ketidurannya. Maka kekal durhakanya nescaya dipalu (dipukul) akan dia. Dan gugurlah nafkahnya dengan dia ...”.

Sesudah Fasal Pada Menyatakan Segala Perempuan Dan Bersama-sama Dengan Dia, diikuti dengan Fasal Pada Menyatakan Adab/Sopan Santun Serta Ibu Bapa. Mengenai ini dimulai dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali, sabda Rasulullah s.a.w, “Bahawasanya Allah s.w.t telah memfardukan atas segala Mukmin taat bagi ibu bapanya seperti memfardukan Ia sembahyang akan yang wajib bagi ibu bapanya ...”.

Termasuk bahagian yang terpenting Tarjamatu Kitabis Shalihin ialah membicarakan perkara maksiat zahir dan maksiat batin. Sesudah itu dilanjutkan Fasal Pada Menyatakan Hukum Zina. Pada fasal ini terjadi penggabungan pentafsiran ayat al-Quran, hukum fiqh Syafi’iyah dan hadis-hadis targhib dan tarhib.

Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura memulai perkara ini dengan katanya, “Ketahui olehmu bahawasanya zina itu, iaitu dosa besar, tiada di bawah kufur dan menyekutui Allah s.w.t daripada dosa yang terlebih besar daripada zina. Hingga direjam yang berbuat dia ...”. Dalam fasal mengenai ini sekali gus serba ringkas disentuh juga tentang ancaman memakan harta riba dan zalim tidak menjalankan hukum menurut yang sebenar, diperintah oleh Allah s.w.t.

Setelah mengemukakan perbuatan dosa yang terkutuk dengan ancaman hukuman yang sangat berat di akhirat, lalu Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura menganjurkan supaya melakukan taubat. Mengenai ini dinyatakan dalam Fasal Pada Menyatakan Taubat. Mengenai ini dimulai dengan kalimat, “Ketahui olehmu hai sekalian mukalaf, bahawasanya taubat itu fardu atas tiap-tiap Mukmin lelaki dan perempuan merdeka dan sahaya....”.

Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura menegaskan, “Hendaklah dengan bersegera, kerana haram melambatkan dan mentakhirkan akan dia. Kerana tiap-tiap wajib menyegerakan dia haram melambatkan akan dia, sama dosa besar atau dosa kecil, daripada perkataan atau perbuatan...”

Setelah membahas tentang taubat dengan panjang, Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura menyelitkan dengan satu cerita yang menarik dari khabar/hadis, bahawa Allah telah menjadikan seperti pohon kayu dan baginya ada empat cabang.

Dinamakan perkara itu dengan Syajaratul Yaqin. Dari bahagian ini diceritakan dengan panjang lebar tentang kejadian Nur Muhammad. Selanjutnya kejadian keseluruhan makhluk baik pada alam ghaib mahu pun alam zahir, baik alam shaghir mahu pun alam kabir, baik alam dunia mahu pun alam akhirat.

Kesimpulan kandungan keseluruhan manuskrip Tarjamatu Kitabis Shalihin, karya Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura meliputi berbagai-bagai ilmu keislaman yang terdiri daripada hadis terutama hadis targhib dan tarhib, akidah, fikah, tasauf dan lain-lain yang ada hubungan dengannya.

* Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah.

Haji Abdul Ghaniu Al-Buthuni penentu undang-undang kerajaan Buton  

Posted

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

DALAM buku penulis berjudul Penyebaran Islam dan Salasilah Ulama Sejagat Dunia Melayu (Pengenalan Siri 2), ada mengatakan, “Sebagai bukti bahawa Islam disebarkan di Sulawesi jauh lebih awal dari kedatangan Datuk Ri Bandang dan kawan-kawan tahun 1605 itu, bahawa salah seorang ulama keturunan Patani-Johor masih ada hubungan kekeluargaan dengan Saiyid Jamaluddin dalam tahun 815 H/1412 M menyebarkan Islam ke Pulau Buton.

“Jika kita bandingkan dengan kedatangan Saiyid Jamaluddin ke tanah besar Sulawesi (800 H/1397 M) dengan Pulau kecil yang berdekatan dengannya, iaitu Pulau Buton (815 H/1412 M) hanya selisih lebih kurang 15 tahun saja.

“Mubaligh tersebut lalu diundang oleh Raja Mulae Sangia i-Gola dan baginda langsung memeluk agama Islam. Seratus tahun kemudian seorang muballigh yang berasal dari Patani-Johor juga bernama Syarif Abdul Wahid bin Syarif Sulaiman yang masih ada hubungan darah keturunan kekeluargaan dengan Saiyid Jamaluddin tiba di Pulau Buton tahun 1564, barulah raja di kerajaan Wolio dan rakyat jelata memeluk agama Islam secara massal”.

Tahun 1564 M diberikan adalah berdasarkan tulisan La Ode Malim pada kata pengantar buku Membara Diapi Tuhan, terbitan Timun Mas, Jakarta 1961, halaman 7. Tahun 1564 M kedatangan Syarif Abdul Wahid bin Syarif Sulaiman di Pulau Buton yang penulis sebutkan itu perlu diteliti kembali. Ini kerana dalam Simposium Pernaskahan Nusantara Internasional IV, 18-20 Julai 2000 di Pekanbaru, Riau, penulis sempat mewawancara tokoh Buton, bernama La Niampe.

Beliau memberi catatan kepada penulis sebagai yang berikut:

1. Syeikh Abdul Wahid datang yang pertama ke Buton tahun 933 H / 1526 M.

2. Syeikh Abdul Wahid datang yang kedua ke Buton tahun 948 H/1541 M

3. Kedatangan Syeikh Abdul Wahid yang kedua kali di Buton tahun 948 H/1541 M itu bersama-sama Imam Fathani mengislamkan lingkungan Istana Buton sekaligus melantik Sultan Murhum sebagai Sultan Buton yang pertama.

Dalam informasi lain, kertas kerja Susanto Zuhdi berjudul ‘Kabanti Kanturuna Mohelana Sebagai Sumber Sejarah Butun’, menyebut bahawa Sultan Murhum, Sultan Buton yang pertama memerintah dalam lingkungan tahun 1491 M-1537 M.

Menurut Maia Papara Putra dalam bukunya, Membangun dan Menghidupkan Kembali Falsafah Islam Hakiki Dalam Lembaga Kitabullah, bahawa “Kesutanan Buton menegakkan syariat Islam ialah tahun 1538 Miladiyah”.

Oleh itu, jika kita banding tahun yang penulis sebutkan (1564 M), tahun yang disebutkan oleh La Niampe (948 H/1541 M) dan tahun yang disebutkan oleh Susanto Zuhdi (1537 M), berertilah dalam tahun 948 H/1541 M dan tahun 1564 M Sultan Murhum tidak menjadi Sultan Buton lagi, kerana masa beliau telah berakhir tahun 1537 M.

Setelah meninjau pelbagai aspek, nampaknya kedatangan Syeikh Abdul Wahid di Buton dua kali (tahun 933 H/1526 M dan tahun 948 H/1541 M) yang diberikan oleh La Niampe adalah lebih meyakinkan. Penulis tinggalkan saja tentang pertikaian penentuan tahun itu, kerana ada beberapa persoalan yang menarik perlu dibahas.

Sungguhpun dalam artikel ini kita membicarakan riwayat Syeikh Abdul Ghaniu, seharusnya Syeikh Abdul Wahid bin Syarif Sulaiman telah jauh kita tinggalkan. Namun begitu, penulis perlu membicarakan juga riwayat Syeikh Abdul Wahid bin Syarif Sulaiman kerana kemungkinan mempunyai hubungan pertalian kedua-dua ulama yang menjalankan aktivinya di Buton itu.

Syeikh Abdul Wahid disebut juga Haji Abdul Wahid dipercayai menghasilkan sebuah karya berjudul Bayanut Tauhid yang merupakan akidah menurut pemahaman secara sufi Islami.

Dalam pengembaraannya bermula dari Patani, singgah di Kepulauan Siantan, menetap di Johor dan selanjutnya ke Pulau Buton. Kemungkinan Syeikh Abdul Ghaniu yang akan diriwayatkan pada bahagian ini termasuk salah seorang keturunan Syeikh Abdul Wahid bin Syarif Sulaiman atau sekurang-kurangnya pertalian keturunan ilmu secara paralel.

Menarik pula untuk dibahas ialah keterangan La Niampe yang menyebut bahawa, “Kedatangan Syeikh Abdul Wahid yang kedua kali di Buton tahun 948 H/1541 M itu bersama-sama dengan Imam Fathani mengislamkan lingkungan Istana Buton sekaligus melantik Sultan Murhum sebagai Sultan Buton yang pertama”.

Apa sebab Sultan Buton yang pertama itu dilantik/dinobatkan oleh Imam Fathani? Dan apa sebabnya sehingga Sultan Buton yang pertama itu bernama Sultan Murhum, sedangkan di Patani ada satu kampung bernama Kampung Parit Murhum.

Kampung Parit Murhum berdekatan dengan Kerisik iaitulah pusat seluruh aktiviti Kesultanan Fathani Darus Salam pada zaman dahulu. Semua yang tersebut itu adalah sukar dijawab. Apakah semuanya ini secara kebetulan ataupun memang terjalin sejarah antara Patani dan Buton sejak lama yang memang belum diketahui oleh para penyelidik.

Namun, jauh sebelum ini ada orang menulis bahawa terdapat hubungan antara Patani dengan Ternate. Juga cukup terkenal lagenda bahawa orang Buton sembahyang Jumaat di Ternate.

Catatan ringkas tentang Haji Abdul Ghaniu Al-Buthuni

Penulis tidak banyak mengetahui tentang ulama ini, oleh itu untuk peringkat awal penulis merujuk kepada tulisan-tulisan putera-putera Buton sendiri, terutama La Niampe. Menurutnya, “Haji Abdul Ghaniu lahir di Buton sekitar akhir abad XVIII. Tahun 1810 pergi ke Mekah ...”.

Tahun 1810 M kira-kira bersamaan dengan tahun 1225 H, penulis jadikan titik mula perbahasan riwayat ulama yang berasal dari Buton ini. Oleh kerana Haji Abdul Ghaniu dalam tahun 1225 M/1810 M baru berangkat ke Mekah dan mula belajar di Mesir, maka bererti beliau lebih muda dari ulama Siantan bernama Syeikh Abdullah bin Muhammad Siantan yang telah menyelesaikan karya Bayanusy Syirki dalam tahun 1228 H/1813 M.

Namun, ada kemungkinan Haji Abdul Ghani Buton sebaya dengan Syeikh Ahmad Khathib bin Abdul Ghaffar Sambas yang lahir tahun 1217 H/1802 M. Bererti dalam tahun 1225 M/1810 M, Syeikh Ahmad Khathib Sambas berusia sekitar 8 tahun.

Jika Haji Abdul Ghaniu Buton ke Mekah dan Mesir dalam tahun itu baru mula belajar, maka jarak umur antara kedua-dua ulama itu tidaklah jauh selisihnya. Di sini dapat ditegaskan bahawa kedua-duanya adalah hidup dalam zaman yang sama.

Nampaknya informasi awal yang diberikan oleh La Niampe lebih mengutamakan pendidikan Haji Abdul Ghaniu adalah di Mesir, katanya “...,dan selanjutnya menetap di Kairo Mesir selama 10 tahun ...” Mekah hanyalah dalam rangka pergi haji saja, menurutnya, “... pergi ke Mekah menunaikan ibadah haji...”

Penelitian yang lebih kemas masih diperlukan kerana pada zaman Haji Abdul Ghaniu belum diketahui, bahawa terdapat orang yang berasal dari tanah Jawi/Nusantara yang belajar di Mesir. Mereka menerima pelajaran tertumpu di Mekah. Jika ke Mesir pun hanyalah sebagai pelawat saja.

Sekiranya benar Haji Abdul Ghaniu Buton mendapat pendidikan di Kairo, Mesir, kita perlu mengetahui nama guru-gurunya. Penulis lebih yakin bahawa Haji Abdul Ghaniu Buton sempat belajar di Mekah. Dalam tahun 1225 M/1810 M, sewaktu Haji Abdul Ghaniu Buton itu baru ke Mekah, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani muncul sebagai ulama yang berasal dari Jawi yang paling terkenal di Mekah.

Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah rais (ketua) Syeikh Haji yang pertama. Dalam tahun yang tersebut pula beberapa karangan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, di antaranya Kifayataul Muhtaj (1204 H/1789 M), Faraidul Faraid al-Fikri fil Imamil Mahdi (1215 H/1800 M), Bisyatul Ikhwan (1220 H/1805 M) dan Idhahul Albab (1224 H/1809 M) telah dikenal oleh masyarakat Jawi/Nusantara yang datang ke Mekah zaman itu. Oleh itu, penulis yakin bahawa Haji Abdul Ghaniu Buton sempat belajar dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan ulama lainnya di Mekah.

Walau bagaimanapun penulis tidak menafikan bahawa beliau sempat ke Kairo, Mesir untuk lebih memperkemas ilmunya. Wallahu a’lam.

Hubungan antara Patani, Ternate dan Buton

Dalam buku penulis berjudul 'Penyebaran Islam dan Salasilah Ulama Sejagat Dunia Melayu (Pengenalan Siri 1), halaman 34-35 telah penulis sebut tentang Patani di Ternate (Halmahera) di bawah subjudul Terdapat Dua Kerajaan Patani, salinan lengkapnya adalah seperti berikut, “Yang dimaksudkan dengan kalimat ‘terdapat dua kerajaan Patani’, ialah sebuah Kerajaan Patani yang terletak di Semenanjung Melayu (sudah cukup diketahui ramai) dan sebuah lagi kerajaan Patani yang terletak di Pulau Halmahera, Kepulauan Maluku, Indonesia.

“Sekiranya benar Sultan Babullah (Sultan di Ternate) adalah putera Sultan Abu Abdullah Umdatuddin (Cam) yang asal usulnya dari Patani maka tidaklah mustahil bahawa kerabat Diraja Patani Semenanjunglah yang meng-asaskan berdirinya kerajaan Patani di Ternate (Halmahera) itu”.

Pada bahagian awal riwayat ini disebutkan pelantikan/penobatan Sultan Murhum atau Sultan Buton yang pertama dilakukan oleh Imam Fathani. Mengenai Imam Fathani ini pula masih dipersoalkan adakah datang dari Patani, (di Semenanjung/Segenting Kera) atau beliau telah lama domisil/tinggal di Patani (Halmahera/Ternate).

Oleh sebab hubungan Patani (di Semenanjung/Segenting Kera) dengan Halmahera/Ternate, dan hubungan Halmahera/Ternate yang terjalin sejak lama dengan Buton, maka tidak mustahil terjalin hubungan antara Patani (di Semenanjung/ Segenting Kera) dengan Buton.

Hubungan Patani dengan Johor pula sangat erat melalui perkahwinan kerabat diraja, ulama dan orang awamnya. Barangkali Haji Abdul Ghaniu Buton yang dikatakan sewaktu pulang dari tanah Arab tidak langsung ke Buton, tetapi sempat tinggal di Johor disebabkan kerana jalinan keakraban yang penulis sebutkan.

Malah, terjadi perkahwinan antara anak lelaki Haji Abdul Ghaniu Buton dengan puteri Sultan Johor, seperti disebutkan oleh La Niampe. Kalau memang dikenal nasab dan keturunan seorang bangsawan atau orang baik-baik, pada zaman itu tidaklah mudah untuk berkahwin dengan seorang puteri seseorang sultan.

Dalam sejarah terdahulu dari ini, pernah terjadi perkahwinan antara seorang bangsawan Buton dengan puteri Raja Haji asy-Syahidu fi Sabillah bin Upu Daeng Celak. Walaupun ayahnya berasal dari Bugis/Luwuk, namun beliau lebih diakui sebagai golongan Diraja Riau-Johor.

Dalam hal ini, kemungkinan Haji Abdul Ghaniu Buton adalah keturunan salah seorang ulama yang datang ke Buton, dan dalam hal ini adalah Syeikh Abdul Wahid bin Syarif Sulaiman yang melayakkan anak laki-laki beliau dapat kahwin dengan puteri Sultan Johor. Wallahu a’lam.

Pengaruh terhadap Sultan Buton dan masyarakat

La Niampe menulis, “Pada tahun 1824, ketika itu La Ode Muhammad Qaimuddin baru dilantik menjadi Sultan Buton XXIX, memanggil Haji Abdul Ganiu agar kembali ke Buton untuk membantunya dalam menjalankan tugas-tugas pemerintahan kesultanan. Beliau mendapat jabatan sebagai kenepulu, yang tugasnya selain secara rahsia memperhatikan segala jenis keluhan rakyat, juga secara lahiriah menjadi pelindung dan penasihat sultan. Di Buton beliau dinobatkan sebagai salah seorang ulama besar. Beliau berjaya mendirikan sekolah agama yang pertama di Buton yang diberi nama Zawiah”.

Demikianlah di antara tulisan La Niampe, tiada ruang untuk penulis berkomentar lebih panjang, kerana dapat dirujuk kertas kerja La Niampe yang membagai kewibawaan ulama Buton itu pada subjudul C.

Nasihat Haji Abdul Ganiu Kepada Sultan La Ode Muhammad Idrus Qaimuddin. Di bawahnya dibahagi lagi kepada dua iaitu “1. Nasihat Tentang Pelaksanaan Peraturan dan 2. Nasihat Tentang Penegakkan Hukum”.

Keseluruhan kertas kerja tersebut padat dengan puisi-puisi Haji Abdul Ghaniu Buton dalam bahasa Wolio dan diterjemahkan ke bahasa Indonesia.

Sekianlah yang dapat penulis paparkan tentang ulama Buton, ucapan terima kasih kepada sahabat penulis La Niampe, Maia Papara Putra dan tokoh-tokoh Buton lainnya kerana daripada tulisan mereka, penulis dapat memperkenalkan tokoh ulama besar Buton dalam artikel ini.

* Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah.


Syeikh Abbas Kutakarang ahli astrologi dunia Melayu  

Posted

Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

ORANG pertama memperkenalkan karya ulama besar dari Aceh ini ialah Syeikh Ismail bin Abdul Muthallib al-Asyi. Karya yang dimaksud itu berjudul Sirajuz Zhalam fi Ma‘rifatis Sa‘di wan Nahasi fis Syuhuri wal Aiyam, yang dicetak pada bahagian pertama kumpulan Tajul Muluk.

Kemudian dijumpai karyanya yang berjudul Qunu’ liman Ta‘aththuf yang masih dalam bentuk manuskrip, beberapa buah tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam Kuala Lumpur, juga di Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia dan koleksi penulis sendiri.

Oleh itu, penulis mulai menjejaki secara serius dan mengumpulkan data mengenai ulama besar Aceh tersebut.

Secara tidak disengajakan, dua kertas kerja yang dibentangkan dalam Bengkel Sejarah Bahasa Melayu Dari Pelbagai Kota (anjuran Bahagian Penyelidikan Bahasa (DBP) dan Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (UKM 1992), terdapat sedikit maklumat mengenainya.

Dalam kertas kerja yang dibentangkan oleh Tuanku Abdul Jalil iaitu seorang Sekretaris Pusat Dokumentasi dan Informasi Aceh menyebutkan, “... Ulama Besar Syaikh Abbas bin Muhammad bergelar Teungku Chik Kutakarang...”.

Dalam kertas kerja M. Adnan Hanafiah tertulis, “Seorang ulama lainnya, Syeikh Abbas Kuta Karang di Aceh Besar, selaku pengarang, tabib, ahli ilmu astronomi, berkedudukan Kadi Malikul Adil pada masa pemerintahan Sultan Alaidin Ibrahim Mansur Syah (1857-1870) ...”.

Syeikh Abbas sendiri menulis serba ringkas asal usulnya, iaitu “...Syeikh Abbas, Aceh nama negerinya, Masjidul Jami’ Ulu Susu tempatnya, kejadiannya, Kuta Karang nama kampungnya”.

Syeikh Ismail bin Abdullah Muthallib al-Asyi mencatatkan, “...Syeikhuna wa Qudwatuna asy-Syeikh Abbas orang Aceh. Lagi sangat tabahhur pada sekalian fan ilmu handasah dan ilmu falakiyah ...”

Tahun lahir dan pendidikan asas ketika masih kanak-kanak belum dapat dikesan dengan pasti. Kita hanya dapat membandingkan tahun-tahun kehidupannya, seperti disebutkannya selesai menulis Qunu’ 1259 H/1843 M, selesai menulis Sirajuz Zhalam 1266 H/1849 M.

Ini bererti penampilan aktivitinya agak kebelakangan sedikit daripada dua orang ulama besar Aceh bernama Syeikh Muhammad bin Khathib Langien karyanya Dawaul Qulub, 1237 H/1821 M dan Syeikh Muhammad bin Syeikh Abdullah Ba‘id (karyanya Hukum Jarah 1236 H/1820 M).

Kebetulan Tuanku Abdul Jalil juga menyebut bahawa nama ayah Syeikh Abbas adalah “Muhammad”. Kemungkinan saja Syeikh Abbas yang diriwayatkan ini adalah anak kepada salah seorang daripada Syeikh Muhammad yang tersebut itu. Jika kita dapat ketahui nama datuknya, maka perkara yang rumit itu dapat diselesaikan. Tidak mustahil pula kemungkinan Syeikh Abbas adalah murid kepada kedua-dua ulama itu.

Beberapa maklumat yang dapat dikesan bahawa Syeikh Abbas bin Muhammad al-Asyi tersebut melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Di Mekah dia bersahabat dengan Syeikh Zainuddin Aceh, Syeikh Ismail Minangkabau, Syeikh Ahmad Khathib Sambas, Syeikh Muhammad Shalih Rawa dan ramai lagi.

Ulama yang berasal dari dunia Melayu tempat mereka belajar ialah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Hanya dua ulama itu saja yang dapat dikesan sebagai gurunya yang berasal dari Tanah Jawi (Asia Tenggara), selain turut belajar daripada beberapa ulama yang berasal daripada bangsa Arab sendiri.

Di antara mereka ialah: Saiyid Ahmad al-Marzuqi al-Maliki, Syeikh Utsman ad-Dimiyathi, Syeikh Muhammad Sa‘id Qudsi, Syeikh Muhammad Shalih bin Ibrahim ar-Rais, Syeikh Umar Abdur Rasul, Syeikh Abdul Hafiz al-Ajami dan ramai lagi.

Belum dijumpai riwayat yang jelas aktivitinya di Mekah selain belajar, hanya sebagai selingan pada waktu-waktu terluang, beliau cuba menulis kitab. Aktiviti-aktiviti mengajar baik di rumah mahupun di Masjidil Haram pun tidak terdapat keterangan mengenai itu. Apa yang jelas bahawa Syeikh Abbas Aceh pulang ke kampungnya membawa ilmu pengetahuan yang sangat banyak dalam berbagai-bagai bidang disiplin ilmu.

Karya dan pemikiran

Karya Syeikh Abbas Aceh yang diketahui secara lengkap adalah sebagai yang berikut:

1.Qunu’ liman Ta’aththuf, diselesaikan pada 8 Rabiulakhir 1259 H/1843 M di Mekah. Manuskrip judul ini tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam dengan nombor MI 220, disalin oleh Muhammad Kadak bin Ismail Jering, Kampung Dala, Pattani, pada bulan Rejab. Penyalin berasal dari Kampung Bendang Daya Pattani, tanpa kenyataan tahun penyalinan. MI 513 disalin pada 1296 H/1878 M, dan MI 670 manakala yang tersimpan di Pusat Manuskrip Melayu pula ialah MS 221(B) disalin pada hari Selasa, Syaaban 1296 H/1878 M di Mekah. Selain itu, terdapat juga koleksi penulis sendiri daripada bekas kepunyaan Muhammad Abdur Rahman bin Lebai Muhammad, Kampung Kepala Bukit, Senggora, disalin pada 1300 H/1882 M.

2.(Sirajuz Zhalam fi Ma‘rifatis Sa‘di wan Nahasi fisy Syuhuri wal Aiyam), diselesaikan pada waktu Dhuha, Isnin, 9 Rejab 1266 H/1849 M. Disalin oleh Syeikh Ismail bin Abdul Muthallib al-Asyi pada hari Sabtu, 28 Rabiulawal 1306 H/1888 M di Mekah. Cetakan mutawal yang telah dijumpai dalam judul Tajul Muluk oleh Matba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1311 H/1893 M. Ditashhih oleh Syeikh Ismail bin Abdul Muthallib al-Asyi kemudian disemak semula oleh gurunya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

3.Kitabur Rahmah.

4.Tazkiratur Rakidin

5.Mau’izhatul Ikhwan

Kitab ketiga dan keempat disebut oleh Tuanku Abdul Jalil dalam kertas kerjanya. Menurutnya, Tazkiratur Rakidin, berbentuk prosa Melayu-Aceh, Naskhah Leiden, 1304 H. Selain dua kitab ini kitab kelima juga disebut oleh M. Adnan Hanafiah dalam kertas kerjanya.

Apabila kita semak keseluruhan karya Syeikh Abbas Aceh, ia menyentuh disiplin ilmu falakiyah, hisab, hikmah, fiqh, perubatan, kesusasteraan dan politik.

Pada bahagian akhir karyanya Qunu’ liman Ta’aththuf, Syeikh Abbas Aceh menyebutkan bahawa dia mengikut Mazhab Syafie dan amalannya mengikut Tarekat Khalwatiyah. Kandungan Qunu’ liman Ta’aththuf pada bahagian akhirnya terdapat dua risalah sebagai tambahan yang dipercayai merupakan catatan Syeikh Abbas Aceh.

Risalah yang pertama mengenai masalah anjing dan risalah yang kedua, masalah hukum meninggalkan sembahyang.

Masalah anjing yang beliau tulis, “Orang wathi’ (menjimak) anjing atau wathi’ orang maka beranak jadi manusia, maka wajib atasnya sembahyang dan puasa. Dan jikalau ia alim, jadi kadi, maka sah ia berkahwin dengan orang. Dan dijadikan iman pun sah, tetapi haram sembelihannya. Dan jikalau bapanya orang dan ibunya anjing, dan anaknya jadi orang, maka sah berimam akan dia, dan sembelihannya haram jua. Dan air matanya, dan air liurnya, dan ...(naskhah rosak), dan basah farajnya, maka sekalian itu suci. Khilaf bagi Syeikh Ibnu Hajar dan Syeikh Ramli ...”

Kita semak pula Sirajuz Zhalam, pada bahagian mukadimah, Syeikh Abbas Aceh menulis, “Maka bahawasanya bertitah oleh orang yang empunya kebesaran dan kemegahan pangkatnya, ialah yang menanggung panji-panji syariat dalam negeri Aceh yang mahrus, dan itulah tuan kita, sultan yang kebesaran pangkatnya, dan kemuliaan nasabnya, dan kebesaran kepujiannya, itulah sultan yang dilaqab dengan sultan Manshur Billah Syah ibnu Sultan Johor al-Alam Syah.

Akan bahawasanya aku kerjakan baginya suatu risalah yang mukhtasar dengan bahasa Jawi pada menyatakan mengenal segala hari bulan Arab. Dan mengenal segala saat bagi segala hari dan dari bulan ...”, demikian yang tertulis pada semua Sirajuz Zhalam yang pernah dicetak.

Tetapi ada beberapa manuskrip pada perkataan “... ibnu Sultan Johor al-Alam Syah” itu ditulis dengan “... ibnu Sultan Fathani al-Alam Syah”. Ada tiga tempat dalam kitab Sirajuz Zhalam itu menyebutkan nama itu, dan pada ketiga-tiga tempat itu semuanya berbeza tulisannya, “... ibnu Sultan Johor al-Alam Syah” atau “... ibnu Sultan Fathani al-Alam Syah”.

Sebagaimana disebutkan bahawa salah seorang guru Syeikh Abbas Aceh ialah Syeikh Ahmad/Muhammad al-Marzuqi, pada mukadimah juga Syeikh Abbas Aceh menyebut ulama itu dengan “Syaikhuna”. Dia juga menyebut karya ulama itu yang berjudul Syarh Natijati Miqat sebagai pegangannya mengenal ‘ilmu nujum’ (ilmu perbintangan atau astronomi).

Sebagaimana pada judul artikel ini telah penulis sebutkan bahawa Syeikh Abbas Aceh adalah seorang ahli astronomi dunia Melayu. Astrologi ialah satu disiplin ilmu yang membicarakan baik dan buruk manusia yang dihitung menurut perjalanan perbintangan, planet dan bulan.

Sebenarnya Sirajuz Zhalam bukan hanya membicarakan persoalan itu sahaja, tetapi adalah bersifat menyeluruh, bab pertama, mengenal sejarah bulan Arab. Mengenai ini Syeikh Abbas Aceh merujuk kepada kitab Wasilatut Thullab karya Syeikh Yahya bin Muhammad al-Hattab al-Maliki.

Dimulai dengan perpindahan Nabi s.a.w. dari Mekah ke Madinah, awalnya dengan hisab itu pada hari khamis, dan dengan ru’yat itu pada hari Jumaat. Dibicarakan pula istilah tahun kabisah dan basitah dan lain-lain.

Pendek kata kitab Sirajuz Zhalam adalah merupakan sebuah kitab yang bercorak sains yang merupakan pembuka jalan untuk kita membandingkan dengan buku-buku sains moden dalam bidang ilmu falakiyah, hisab, astrologi/astronomi dan sebagainya.

Baik pada peringkat awal bahkan sampai sekarang memang tidak ramai ulama dunia Melayu kita membicarakan ilmu yang itu, sama ada yang tersebar berupa bahan bercetak dan yang bercorak klasik satu-satunya hanyalah kitab Sirajuz Zhalam.

Yang berupa manuskrip pula boleh dikatakan hampir-hampir tidak dijumpai. Dalam koleksi penulis, terdapat sebuah manuskrip yang tidak diketahui nama pengarangnya.

Penutup karyanya itu, Syeikh Abbas Aceh menganjurkan supaya merujuk kepada kitab-kitab yang terkenal iaitu Risalah Imam Ja’far as-Shadiq, Risalah Abu Ma‘syaril Falaki, Wasilatut Thullab, ‘Umdatut Thalib, Syamsul Ma‘arif al-Kubra, Syarhu Nazhmi Natijatil Miqat, Syarhu Sirajil Munir, Syarhu Nazhmil Kawakib, dan banyak lagi yang tidak beliau senaraikan tetapi disebut pada beberapa tempat di antaranya Qanunus Siyasah.

Ada pun Kitabur Rahmah, menurut M. Adnan Hanafiah, kandungannya membicarakan ilmu tabib dan ubat-ubatan. Tazkiratul Rakidin, peringatan bagi yang terlambat adalah dalam bentuk puisi dan prosa dalam bahasa Melayu-Aceh. Mau’izhatul Ikhwan, iaitu pengajaran kepada kawan, karya ini berbentuk prosa dalam bahasa Melayu-Aceh juga.

Menurut M. Adnan Hanafiah juga, bahawa Syeikh Abbas Kutakarang mengatakan dalam risalahnya, “segala bentuk perbuatan yang memberi manfaat kepada kafir dihukumkan orang itu menjadi kafir”.

Barangkali pemikirannya itu mencerminkan bahawa dia adalah seorang ulama yang sangat anti terhadap Belanda yang menceroboh dan menjajah Aceh pada zaman itu.


Syeikh Abdullah Muhammad Siantan  

Posted

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

NAMA Kepulauan Siantan dan Kepulauan Jemaja memang cukup dikenali dalam beberapa kitab klasik Melayu. Di antara sekian banyak versi sejarah mengenai hubungan dunia Melayu dengan negeri China, salah satu di antaranya ada kesamaan antara Siantan dengan Pattani, Johor, Palembang dan Bangka.

Keempat-empat tempat itu, ramai mengatakan dan juga berupa tulisan yang meriwayatkan salah seorang putera Raja Cina melarikan diri ke negeri mereka. Putera Raja Cina yang dimaksudkan itu bernama Lim Tau Kian.

H. Amryn Helmi Yuda dalam kertas kerjanya berjudul Masuknya Islam ke Pulau Bangka, menulis, “Sejarah menyebutkan bahwa Wan Abduljabar adalah putra dari Abdulhayat, seorang kepercayaan Sultan Johor untuk memerintah di Siantan. Wan Abdulhayat ini semula adalah seorang pejabat tinggi Kerajaan China bernama Lim Tau Kian, yang kerana berselisih faham dikejar-kejar kemudian melarikan diri bersama isterinya sampai ke Johor. Di sini mendapat perlindungan daripada Sultan.

“Ia kemudian memeluk agama Islam dan menggunakan nama Abdulhayat. Karena keahliannya, ia kemudian diangkat oleh Sultan Johor menjadi kepala negeri di Siantan dengan Ce' Wan Abdulhayat”.

Dalam buku-buku penulisan moden tentang Patani juga disebut-sebut nama ‘Lim Tau Kian’ (Lim Tau Kin). Tetapi dalam semua manuskrip (klasik) ialah ‘Lim Tai Kim’. Riwayat Pattani diceritakan bahawa seorang anak Raja Cina bernama Lim Tai Kim/Lim Tau Kian untuk dilantik sebagai Kaisar Cina telah diuji dengan pelbagai kepandaian dan hampir semuanya lulus belaka.

Namun demikian, dia gagal ujian yang terakhir iaitu tinggal bermalam dalam suatu lopak yang di dalamnya penuh dengan lintah.

Lim Tai Kim/Lim Tau Kian sangat jijik dengan jenis binatang itu. Oleh kerana itu, dia tidak sanggup tinggal dalam lopak itu selama satu malam. Oleh kerana berasa malu, dia melarikan diri ke Pulau Siantan. Tiada berapa lama tinggal di Siantan dia berangkat ke Pattani, usianya pada masa itu ialah 22 tahun.

Di Pattani, dia masuk Islam, ditukar namanya dengan Ya’qub. Pelat orang Pattani dipakai nama ‘Aluk’ atau ‘Aquk’ atau ‘Aqub’ lama-kelamaan bertukar menjadi ‘Tok Aguk’.

Beliau berkahwin dengan salah seorang kerabat Diraja Pattani bernama Raja Cik Cahaya. Lim Tai Kim/Lim Tau Kian/Ya’qub dilantik sebagai Syahbandar untuk memungut cukai di Pelabuhan Kerisik, Pattani.

Menurut riwayat, dialah menjadi arkitek Masjid Kerisik dan dia juga yang membuat Meriam Seri Patani dan Seri Negeri. Berdasarkan sebuah salasilah keturunannya disebut bahawa Lim Tai Kim/Lim Tau Kian/Ya’qub meninggal dunia pada 976 H/1568 M. Kuburnya terletak di Tanjung Luluk/Tanjung Tok Aguk.

Demikian gambaran ringkas kisah Siantan yang bererti ada hubungan dengan tempat-tempat lainnya. Kepulauan Siantan yang terletak di Laut China Selatan itu termasuk dalam gugusan kepulauan Indonesia yang paling utara. Ia terletak di antara Malaysia Barat dan Malaysia Timur atau termasuk antara Malaysia Barat dengan Brunei Darussalam.

Di antara tokoh ulama yang berasal dari Siantan yang dianggap sezaman dengan Syeikh Abdul Malik bin Abdullah Terengganu/Tokku Pulau Manis (1650 M-1149 H/1736 M) dikenali dengan nama Haji Muhammad Siantan. Beberapa orang sarjana mencatat Hikayat Golam diterjemahkan dari bahasa Arab oleh seorang tokoh yang berasal dari Siantan. Beliau ialah Abdul Wahhab Siantan.

Abdul Wahhab Siantan ialah guru kepada Raja Ja’far, Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga ke-6 (1805-1831 M). Selain dua nama ulama yang berasal dari Siantan itu, terdapat lagi dua nama yang lain. Seorang bernama Syeikh Abdullah bin Muhammad Siantan dan yang seorang lagi ialah Syeikh Abdullah bin Abdul Wahhab Siantan.

Dua versi manuskrip yang penulis peroleh di Dabo Singkep, dapat diketahui bahawa Syeikh Abdullah bin Abdul Wahhab Siantan pernah mensyarah sebuah karya Syeikh Abdullah bin Muhammad Siantan yang diberi judul Bayanu Syirki li Ilahil Haqqil Maliki yang diselesaikan pada hari Jumaat, waktu Asar, 9 Zulhijjah 1228 H, di Air Kepayang, Bandar Terempa, Tanah Pulau Siantan.

Menarik juga untuk diperhatikan maklumat dari manuskrip karya Syeikh Abdullah bin Abdul Wahhab Siantan itu, yang tercatat bahawa dalam tahun 1228 H atau yang diperkirakan bersamaan tahun 1813 M bererti Terempa yang dinyatakan sebagai ‘bandar’ atau kota kecil telah wujud.

Karya Syeikh Abdullah bin Abdul Wahhab Siantan yang merupakan syarah itu kemudian disyarah pula, dijumpai sebuah salinannya yang diselesaikan tahun 1235 H.

Jika diperhatikan kedua-dua tahun yang tercatat pada dua versi manuskrip karya Siantan itu, masing-masing bertahun 1228 H/1813 M dan 1235 H/1819 M yang bererti mendahului karya-karya tokoh-tokoh Riau yang terkenal lainnya.

Memerhatikan tahun kemunculan kedua-dua karya itu bererti pengarangnya sezaman dengan tokoh ulama dunia Melayu yang sangat terkenal Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Diperhatikan juga bahawa Raja Ali Haji pujangga Riau yang terkenal itu sewaktu ke Mekah (1243 H/1827-28 M) sempat belajar kepada ulama yang berasal dari Pattani itu.

Dengan demikian dipercayai bahawa Raja Ali Haji adalah peringkat murid pula kepada kedua-dua ulama yang berasal dari Siantan itu.

ANALISIS NASKHAH

Pada pengamatan penulis, kedua-dua manuskrip yang tersebut di atas adalah merupakan syarah dari sebuah matan yang dipercayai berasal dari Syeikh Muhammad Siantan yang disyarah pula oleh anaknya Syeikh Abdullah bin Muhammad Siantan.

Oleh sebab berasal daripada satu karya, maka pada syarah tersebut banyak persamaan dan perbezaan kandungan. Pada beberapa tempat pula antara kedua-dua naskhah mempunyai kelebihan dan kelemahan yang tersendiri.

Di bawah ini penulis nyatakan data ringkas kedua-dua versi manuskrip. Setelah itu sedikit petikan di antara bahagian kandungan atau kalimat dari kedua-dua naskhah itu.

Penulis mulai dengan Naskhah 1228 H, kandungan ringkas ialah membicarakan syirik dan tauhid menurut pandangan ahli hakikat dalam tasauf.

Karya ini merupakan syarah daripada perkataan-perkataan Syeikh Abdullah bin Syeikh Muhammad yang terdapat dalam Risalah Bayanis Syirki. Tebalnya adalah 86 halaman, 19 baris setiap halaman. Ukuran: 23.6 x 19.5 cm. Klassifikasi: Nadir, belum diketahui di mana manuskrip selain yang diperkenalkan ini tersimpan. Diselesaikan: Pada hari Jumaat, waktu Asar, 9 Zulhijjah 1228 H, di Air Kepayang, Bandar Terempa, Tanah Pulau Siantan. Keadaan Manuskrip: Lengkap, tidak terdapat kerosakan, tulisan jelas dan baik, ditulis dengan dakwat hitam dan merah.

Manuskrip di atas terdapat berbeza kalimat yang digunakan pada mukadimah jika dibandingkan versi Naskhah 1235 H. Untuk sebagai perbandingan, sebelum membicarakan Naskhah 1235 H lebih lanjut di bawah ini penulis petik mukadimah dari kedua-dua versi itu, dimulai Naskhah 1228 H tertulis, “Ada pun kemudian daripada itu, maka akan berkata yang berkehendak kepada rahmat Allah s.w.t dan ampun-Nya, iaitu Syeikh Abdullah namanya anak Syeikh Muhammad yang terlebih hina ia daripada kasut. Maka tatkala dikehendak oleh Allah akan menyampaikan Ia akan kehendakku kepada negeri Pahang bahawasanya menuntut daripada aku setengah daripada sebesar-besar manusia dan iaitu Maulana Pengulu yang amat mulia Muhsin namanya, anak Marhum Habib Abdur Rahman, Habsyi bangsanya, lagi Ba' Alawi bahawa aku perbuatkan baginya suatu risalah yang pandak daripada perkataan ulama ahil hakikat ...”.

Perhatikan perbezaan-perbezaan dengan Naskhah 1235 H yang termaktub dengan kalimat-kalimat, “Ada pun kemudian daripada itu, maka lagi akan berkata orang yang berkehendak kepada rahmat Allah dan ampun-Nya, akan Syeikh Abdullah ibnu Muhammad orang yang terlebih hina daripada kaus yang di bawah kaki segala orang.

“Maka tatkala dikehendak oleh Allah maka datanglah ke Tanah Bugis maka menuntutlah kepada kami daripada setengah orang yang besar-besar pada masa itu, lagi ia ulama pada ilmu tarekat, dan iaitu Tuan Syeikh Zainal Abidin, Qusyasyi bangsanya, Madinah nama negerinya, bahawasanya kami karangkan dia suatu risalah yang pandak, iaitu daripada segala perkataan ulama ahil hakikat...”.

Pemikiran Sheikh Abdullah Siantan

Pada awal syarahnya Syeikh Abdullah bin Syeikh Muhammad Siantan (Naskhah 1228 H) menyatakan, “Maka bahawasanya barang yang faqir suratkan dalam kertas ini akan dipersembahkan Kebawah Duli Telapakan Maulana Saiyid Muhsin itu, akan makanan orang tuha-tuha jua. Dan tiada boleh dimakan oleh kanak-kanak kecil-kecil...”.

Sesudah kalimat tersebut nampaknya ada ketegasan Syeikh Abdullah bin Syeikh Muhammad Siantan bahawa ahli syariat jauh lebih rendah martabatnya dari ahli hakikat, katanya, “Ulama ahlis syariah itu dibilangkan dia kanak-kanak jua, jika ia mengetahui ilmu empat mazhab sekali pun. Dan ulama ahlil hakikat itu dibilangkan akan dia orang tua”.

Pandangan Syeikh Abdullah bin Syeikh Muhammad Siantan yang demikian tentu saja sangat tidak disetujui oleh ahlisy syariat. Mereka sangat murka. Bagi penulis pendapat demikian ada wajarnya kerana jika kita pelajari tulisan-tulisan dan ucapan-ucapan ahlisy syariat sangat banyak tuduhan-tuduhan mereka yang mengatakan bahawa ahlil hakikat adalah sesat, zindiq, keluar dari Islam dan lain-lain sebagainya.

Pandangan Syeikh Abdullah bin Syeikh Muhammad Siantan lagi, “... Dan adalah orang yang terpedaya ia dengan ilmunya itu, mereka itulah ulama ahlis syariah yang zahir. Dan mengiktikadkanlah mereka itu dan memandakkanlah mereka itu atas barang yang diketahui oleh mereka itu akan dia. Dan menyangkalah atas bahawa tiada ada lagi ilmu yang mulia lain daripada ilmu yang sudah diketahui oleh mereka itu akan dia”.

Setelah pandangan tersebut beliau tegaskan, “Maka adalah ilmu hakikat itu seperti mutiara dalam laut tiada mengetahui akan dia itu melainkan segala orang yang kuasa menyelam dia. Dan ilmu syariat itu, iaitu ilmu yang zahir, seperti telur hayam (ayam). Harganya tiada berapa, hanya adalah ingar bangar jua mengerjakan dia. Maka mutiara itu mahal harganya besarnya tiada berapa ...”.

Ditulisnya serangkap syair dalam bahasa Arab dan diterjemahkannya, “Adakanlah akan dirimu itu seperti mutiara dalam andangnya, dalam laut yang maha dalam Dan jangan engkau seperti hinduk hayam, meletakkan ia akan telurnya yang satu, memenuhi suaranya itu dalam kampung”.

Sungguh pun demikian yang diperkatakan oleh Syeikh Abdullah bin Syeikh Muhammad Siantan pada awal kitab, namun beliau sendiri bukanlah seorang yang melalaikan syariat. Beliau adalah seorang ulama pengamal syariat juga.

Jalan pemikirannya dapat kita perhatikan kalimatnya, “... hakikat itu tiada menyalahi syariat, dan syariat itu tiada menyalahi hakikat. Dan keduanya itu bertepatan. Hakikat itu batin syariat, dan syariat zahir hakikat. Dan tarekat itu menjalani ia akan kedua-duanya itu. Makrifat itu mengenal jalan keduanya. Kerana syariat itu umpama kulit. Dan tarekat itu umpama tempurung. Dan makrifat itu umpama isi yang di dalam tempurung. Dan hakikat itu umpama minyak yang di dalam isinya itu”.

Syeikh Abdullah bin Syeikh Muhammad Siantan menegaskan bahawa semua Rasul diutus adalah untuk menegakkan syariat. Nabi Khidir a.s bertugas menzahirkan hakikat. Nabi Muhammad s.a.w adalah kedua-duanya syariat dan hakikat secara padu dan serentak.

Ditegaskannya, “Dan karena itulah difardukan oleh Allah atas Rasulullah s.a.w itu perang sabilillah dengan kafir serta dihalalkan Allah mengambil rampasan harta, halal memakan dia. Dan segala Rasul yang dahulunya perang sabil jua, tiada dihalalkan mengambil rampasan harta mereka itu dan tiada dihalalkan memakan dia”.

Syeikh Abdullah bin Syeikh Muhammad Siantan berpendapat bahawa untuk ilmu syariat terdiri bermacam-macam nama iaitu: Ilmu Syariat, Ilmu Syirik, Ilmu Ijtihad, Ilmu Maktasabah, Ilmu Istijarah, ilmu Mukallafah dan lmu Ta’lilah.

Menurutnya ilmu hakikat juga ada beberapa nama, iaitu: Ilmu Hakikat, Ilmu Tanzih, Ilmu Wahdah, Ilmu Fana’ dan banyak lagi namanya.

Demikianlah pengenalan tentang naskhah/manuskrip Siantan.

* Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah.


Syeikh Ali Faqih al-Fathani Mufti Kerajaan Mempawah  

Posted

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

PENYELIDIKAN awal mengenai ulama yang berasal dari Pattani yang akan diriwayatkan ini bermula dari sebuah salasilah dalam simpanan salah seorang keturunannya di Mempawah, Indonesia.

Cerita yang terbanyak diperoleh ialah daripada Haji Abdur Razaq, seorang guru agama bebas dan tokoh masyarakat di Mempawah.

Selain itu, daripada Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, Mufti Kerajaan Mempawah terakhir serta daripada beberapa keturunannya yang telah berusia lanjut yang sempat penulis temui di Mempawah, Pontianak, Jakarta dan Pattani.

Tulisan terawal yang disebarkan mengenai Syeikh Ali bin Faqih al-Fatani ialah daripada tulisan penulis sendiri, yang dimuat dalam risalah kecil berjudul, Upu Daeng Menambon Raja Mempawah. Kemudian penulis perkenalkan kembali dalam kertas kerja yang dibentangkan dalam Seminar Sejarah dan Kebudayaan Pattani (anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia, 1996) yang berjudul Peranan Orang Pattani Di Dunia Perantauan.

Asal-usul

Dalam lingkungan tahun 1160 H/1747 M, penduduk Kuala Mempawah, Tanjung Mempawah dan kampung-kampung sekitarnya dikejutkan kerana didatangi oleh sekitar 40 perahu yang besar-besar belaka.

Setelah dua orang ulama bernama Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani dan Syeikh Abdul Jalil al-Fathani naik ke darat untuk menghadap Upu Daeng Menambon iaitu Raja Mempawah pada masa itu, barulah diketahui oleh penduduk bahawa perahu-perahu besar itu datang dari Kerajaan Fathani Darus Salam.

Dipercayai bahawa kedua-dua ulama tersebut berasal dari Kampung Sena, Pattani yang datuk neneknya berasal dari Kerisik, Patani.

Pendidikan dan penyebaran ilmu

Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani dan Syeikh Abdul Jalil al-Fathani mendapat pendidikan pondok di Pattani dan kemudian melanjutkan pengajiannya ke Mekah. Bagaimanapun, baik gurunya di Pattani mahupun di Mekah, belum diperoleh catatan yang lengkap dan jelas namun tentang ilmu kedua-duanya dikagumi oleh masyarakat di mana saja mereka berada.

Hanya Syeikh Ali al-Fathani dan anak-anak serta anggota/ahli dalam rombongannya yang tetap tinggal di Mempawah dengan mendirikan rumah yang besar di Kampung Tanjung, Mempawah. Sebahagian lagi mengikuti Syeikh Abdul Jalil al-Fathani menyebarkan Islam di Sambas.

Di Sambas, Syeikh Abdul Jalil al-Fathani lebih dikenali dengan sebutan Keramat Lumbang kerana beliau dikeramatkan orang adalah sebagai lambang ketinggian ilmunya hingga kepada ilmu hakikat dan makrifat.

Demikian halnya dengan Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani, setelah beliau meninggal dunia disebut orang dengan Keramat Pokok Sena.

Kehebatan ilmu yang berupa karamah yang pernah disaksikan oleh penduduk, di antaranya Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani adalah seorang ulama yang berpengetahuan lengkap. Disebabkan alimnya beliau dapat mengetahui helaian daun kelapa dalam satu pelepah yang jatuh dengan tepat tanpa perlu dihitung terlebih dulu.

Bukan itu sahaja, kalau hari akan hujan beliau dapat mengetahui bahawa akan hujan dengan melihat tanda-tanda kelakuan binatang seperti semut, binatang melata dan serangga lainnya.

Memperhatikan ketepatan yang diperkatakan oleh Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani, sehingga orang-orang Mempawah pada zaman itu mengatakan bahawa Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani mengetahui percakapan binatang, selain itu beliau adalah seorang Wali Allah juga seperti Habib Husein al-Qadri.

Ketentuan-ketentuan hukum keIslaman yang terutama sekali pada persekitaran tiga jurusan, iaitu fiqh menurut Mazhab Syafie, akidah menurut faham Ahli Sunah wal Jamaah Mazhab Abul Hasan al-Asy’ari dan tasawuf mengikut imam-imam sufi yang muktabar adalah terletak pada Habib Husein al-Qadri dan Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani.

Sejak kedatangan kedua-dua ulama itu telah mulai berkembang Barzanji, Nazham, Burdah dan yang sejenis dengannya setiap malam Jumaat dan di tempat-tempat yang digunakan sebagai upacara rasmi sering mendengungkan lagu-lagu zikir tersebut untuk memperoleh pahala, bukan dipandang sebagai kesenian atau kebudayaan.

Tarekat yang diamal oleh Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani ialah Tarekat Syathariyah, Tarekat Naqsyabandiyah dan beberapa tarekat yang muktabar lainnya. Namun ia berbeza dengan Habib Husein al-Qadri lebih suka mengamalkan Ratib al-Haddad dan Tarekat Qadiriyah.

Murid-murid

Sebahagian besar tokoh yang pernah belajar dengan Habib Husein al-Qadri juga pernah belajar atau sebagai murid kepada Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani. Beberapa ilmu yang bercorak khusus, yang diperoleh dalam bentuk sistem pondok lebih banyak diajarkan oleh Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani jika dibandingkan dengan Habib Husein al-Qadri yang lebih menekankan berupa amalan dan bercorak memberi keterangan atau syarahan.

Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani lebih menekankan pelajaran yang bercorak hafalan matan-matan sesuatu ilmu menurut tradisi pondok di Pattani, sedangkan Habib Husein al-Qadri perkara itu tidak begitu dikuatkan, yang diutamakan oleh Habib Husein al-Qadri ialah penguasaan lughah Arabiah.

Oleh itu, Gusti Jamiril putera Upu Daeng Menambon menguasai ilmu nahu, saraf dan ilmu-ilmu Arabiah yang lainnya adalah diperolehnya daripada Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani. Faktor yang membolehkannya bertutur dalam bahasa Arab adalah kerana pergaulannya dengan Habib Husein al-Qadri.

Dilantik sebagai mufti

Sebagaimana telah diceritakan dalam artikel sebelum ini bahawa Mufti Kerajaan Mempawah yang pertama ialah Habib Husein al-Qadri yang memperoleh gelar Tuan Besar Mempawah.

Diceritakan pula, sewaktu Habib Husein al-Qadri/Tuan Besar Mempawah telah berwasiat, bahawa yang layak sebagai pengganti beliau ialah Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani yang tinggal di Kampung Tanjung Mempawah.

Oleh itu, untuk melaksanakan wasiat itu pihak pemerintah Mempawah telah melantik Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani sebagai Mufti Kerajaan Mempawah dengan gelar Maharaja Imam Mempawah.

Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani adalah orang yang pertama di Mempawah yang memperoleh gelaran sedemikian. Ini bererti Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani itu adalah Mufti Mempawah yang kedua selepas Mufti yang pertama iaitu Habib Husein al-Qadri.

Setelah Syarif Abdur Rahman al-Qadri mendirikan Kerajaan Pontianak, Sultan Pontianak itu mengajak beliau pindah ke Pontianak, lalu beliau tinggal di Kampung Bugis/Kampung Pedalaman Pontianak yang berdekatan dengan istana Sultan Pontianak itu. Ini bererti Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani berkhidmat di kedua-dua tempat itu dengan berulang-alik antara Mempawah-Pontianak melalui pelayaran perahu.

Keturunan

Daripada catatan Tuan Guru Haji Abdur Razaq, bahawa keturunan Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani adalah empat orang, iaitu:

* Hajah Fathimah

* Abdur Rahman/Wak Tapak

* Ismail

* Muhammad Dumyati

Anak yang pertama, Hajah Fathimah berkahwin dengan Muhammad Thahir, memperoleh anak bernama Maidah dan Basuk. Abdur Rahman, yang lebih dikenal dengan sebutan Wak Tapak memperoleh beberapa orang anak, ialah; Mustafa, Patik, Hasan, Husein dan Muhammad Nur.

Seterusnya Ismail, memperoleh anak bernama Saad. Muhammad Dumyati pula memperoleh anak iaitu; Muhammad Shalih, Musa dan Haji Daud.

Di antara mereka yang paling terkenal ialah Abdur Rahman/Wak Tapak, adalah seorang pahlawan Mempawah.

Sewaktu terjadi perbalahan antara orang-orang Cina dengan Melayu di Mempawah, Mandor dan tempat-tempat lainnya, Wak Tapak al-Fathani dan Tengku Simbob yang berasal dari Riau berhasil mengalahkan orang-orang Cina tersebut.

Salah satu tempat di Pulau Temajoh, Kecamatan Sungai Kunyit, Mempawah nama beliau dikekalkan dengan nama Tanjung Wak Tapak. Menurut riwayat tempat itu adalah sebagai perhentian beliau untuk mengintip lanun-lanun yang melalui perairan Mempawah.

Kesinambungan kedatangan orang-orang dari Semenanjung ke Mempawah/Kalimantan Barat

Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani dan Syeikh Abdul Jalil al-Fathani dapat dianggap sebagai perintis kepada kedatangan orang-orang Patani dan tempat-tempat lain dari Semenanjung, seperti Kedah dan Kelantan ke Kalimantan Barat.

Dari kedatangan yang pertama oleh Syeikh Ali al-Fathani hingga yang terakhir oleh Haji Abdur Rahman Kelantan, ternyata ada hubungan erat, baik dari segi kekeluargaan mahupun pertalian sanad/salasilah pengajian ilmu-ilmu keIslaman.

Kedatangan ke Kalimantan Barat tersebut adalah secara berkesinambungan kecuali terhenti setelah Indonesia merdeka kerana sistem pemerintahan telah jauh berubah coraknya. Tokoh-tokoh yang terkemuka yang berasal dari Pattani yang masih bersangkutan dengan keluarga besar Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani yang datang menyebarkan Islam di Kalimantan Barat, ada tiga adik-beradik iaitu Haji Wan Abdul Lathif, Wan Nik dan Hajah Wan Mah.

Ada pun Haji Wan Abdul Lathif itu alim dalam ilmu fiqh, manakala Haji Wan Nik adalah tokoh sufi. Haji Wan Abdul Lathif berkahwin di Kampung Tanjung Mempawah dengan salah seorang keturunan yang juga berasal dari Pattani.

Beliau memperoleh tiga orang anak: Haji Abdul Hamid, menyebarkan Islam di Kepulauan Tambelan dan meninggal dunia di sana.

Anak beliau yang kedua bernama Mahmud, meninggal dunia di Singapura dan yang ketiga bernama Muhammad telah pulang ke Pattani.

Ada pun anak Haji Wan Nik al-Fathani iaitu Haji Usman pulang ke Pattani. Manakala menantu Haji Wan Nik al-Fathani adalah seorang ulama, iaitu Haji Hasan al-Fathani. Beliau adalah sebagai Imam Masjid Jamek Pemangkat (Kabupaten Sambas).

Haji Hasan al-Fathani sahabat kepada Syeikh Basiyuni Imran yang lebih dikenali dengan gelaran Maharaja Imam Sambas.

Selanjutnya yang datang dari Kedah pula ialah Syeikh Muhammad Yasin yang membuka pondok pengajian di Kuala Mempawah. Dari Kelantan pula ialah Haji Ismail bin Abdul Majid yang pernah menjadi Mufti Pontianak.

Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani pula adalah Mufti Mempawah yang terakhir. Ketiga-tiga orang yang tersebut itu walaupun bukan berasal dari Pattani tetapi ada hubungan dakwah dan pendidikan Islam dengan Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani.

Ini kerana sebelum mereka mendapat kedudukan di sana, semuanya tinggal di rumah keturunan Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani.

Keturunan yang terakhir ialah penulis sendiri, dari keturunan Pattani-Johor yang dilahirkan di Kepulauan Riau datang ke Kalimantan Barat, menjejakkan kaki pertama sekali di Singkawang (Daerah Sambas) pada 18 Januari 1968 dan selanjutnya ke Mempawah 1970-1988.

Penulis sempat mencatat hampir semua peristiwa mulai Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani hingga Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani dari mulut Haji Abdur Rahman Kelantan sendiri. Ini kerana penulis pernah beberapa tahun tinggal di rumah beliau dan sempat beberapa kali menadah kitab daripada ulama Kelantan murid Tok Kenali peringkat terawal itu. Selain itu, semua peristiwa juga dicatat daripada keturunan mereka dan orang tua-tua di Mempawah.

Percubaan-percubaan untuk mendirikan pendidikan sistem pondok sejak zaman Upu Daeng Menambon bersambung terus, namun selalu diakhiri dengan kegagalan.

Setelah sekian lama sesudah Upu Daeng Menambon, datang seorang ulama Kedah bernama Haji Muhamad Yasin yang menampung murid-muridnya di Kuala Secapah, namun hanya dapat bertahan beberapa tahun saja.

Setelah itu, disambung pula dengan Haji Abdur Rahman bin Husein Kelantan dengan mendirikan pondok Darul Ulum di Mempawah. Dengan terdirinya pondok tersebut, sempat melahirkan beberapa orang tokoh di antaranya, dua orang anak beliau sendiri iaitu Haji Muhaamad Aziq L.C. dan Drs. Abdul Malik.

Seterusnya pondok yang terakhir sekali pula adalah diasaskan daripada penulis dan kawan-kawan yang diberi nama Pondok Pesantren Al-Fathaanah, yang pertama terdirinya di Sungai Bundung, Kecamatan Sungai Kunyit tahun 1974.

Turut serta sebagai pengasas ialah beberapa orang murid daripada Haji Abdur Rahman Kelantan tersebut. Di antara mereka ialah seorang ustaz dan Ketua Kampung Munzir Kitang, Udin Sadul, Hamdan Bochari dan ramai lagi.

Sehingga kini Al-Fathaanah masih wujud dengan berkonsepkan seperti sistem pengajian sekolah-sekolah umum, namun masih mengekalkan sistem pondok. Namun mudah-mudahan ia dapat kekal sampai ke akhir perjuangan.

* Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah.