Peranan ulama dalam silat  

Posted


MAT Kilau seorang pahlawan agung yang berjuang menentang penjajahan Inggeris.


BARANGKALI perbicaraan yang menyentuh secara langsung tentang persilatan adalah masih sangat langka. Keterlibatan penulis dalam membicarakan perkara persilatan ini juga amat sedikit berbanding penulisan-penulisan selainnya.

Oleh itu, kelemahan-kelemahan dalam perbicaraan ini rasanya sangat banyak, apatah lagi dunia persilatan hanyalah penulis kenali sewaktu masih kanak-kanak dan ditinggalkan begitu lama, sejak tahun 1960-an.

Jenis-jenis silat memang banyak penulis ketahui, namun penulis bukanlah seorang pelajar mengenai bidang itu secara tekun tetapi hanyalah sebagai pemerhati saja. Di antara silat-silat yang penulis ketahui ialah Silat Pengian, Silat Kuntau, Silat Harimau, Silat Buton Kalidupa, Silat Bugis Bone, Silat Sinding, Silat Pukul Tujuh, Silat Minangkabau, Silat Cekak, Silat Gayung, Silat Gayung Patani, Silat Abjad dan Al-Mu'azat.

Peranan ulama dalam silat hanya dapat penulis tonjolkan kepada pemikiran Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan keterlibatan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam jihad fi sabilillah.

Kedua-dua ulama besar yang sangat terkenal itu dipercayai menggunakan 'senjata' qalam untuk mengajar umat Melayu dna juga senjata pedang unutk perjuangan di medan jihad fi sabilillah demi mempertahankan kesucian Islam dan watan daripada penjajah.

Jika kita anggap ilmu silat adalah untuk mempertahankan diri peribadi, jihad pula adalah mempertahankan Islam dan tanah air.

Jadi kedua-dua ulama kita itu adalah lebih agung, kerana banyak jenis silat yang dikuasainya. Yang dimaksudkan di sini ialah:

*silat menggunakan qalam/pena,

*silat kalam/lidah,

*silat menggunakan siasah/politik, dan lain-lain termasuklah

*silat ketangkasan di medan juang yang sebahagiannya dijadikan sebagai satu cadang seni atau budaya.

Pelajaran silat dalam Kerajaan Pontianak

Tidaklah janggal pada kesempatan ini penulis mulakan petikan mengenai silat yang termaktub dalam sebuah manuskrip "Syair Kerajaan Pontianak".

Kerajaan Pontianak (Indonesia) memang bukan dalam Malaysia, tetapi adalah sebuah kerajaan Melayu yang didirikan oleh Syarif Abdur Rahman bin Habib Husein al-Qadri yang direstui dan dirasmikan oleh pahlawan Melayu-Bugis, Raja Haji bin Upu Daeng Celak.

Raja Haji pula adalah seorang pahlawan Melayu agung sesudah Hang Tuah, kerana hampir keseluruhan negeri-negeri Melayu pernah dikunjunginya. Akhir riwayat Raja Haji gugur sebagai syahid fi sabilillah di Teluk Ketapang, Melaka.

Syair Kerajaan Pontianak ditulis beberapa tahun setelah berdirinya Kerajaan Melayu-Islam Pontianak, dalam petikan tersebut juga jelas mencerminkan minat dan kesungguhan Sultan Syarif Abdur Rahman bin Habib Husein al-Qadri terhadap seni dan budaya silat. Untuk lebih jelas dan merupakan dokumen sejarah persilatan Melayu, Bab Silat dalam Syair Kerajaan Pontianak penulis sebutkan beberapa petikan awal darinya, iaitu:

Setelah sudah berperi-peri,

baginda berangkat lalu berdiri

Panggilkan Mat Raiyat suruh ke mari,

serta dengan Wan Bakari.

Wan Ahmad, Wan Bakar datanglah sudah,

kepada baginda tunduk menyembah

Dengan segeranya baginda bertitah,

Adalah sedikit hendak diperintah.

Baginda tersenyum seraya berkata,

Jikalau suka rasanya cita

Tuan-tuan yang muda ajarkan kita,

diajarkan silat bermain senjata.

Tuan ajarkan padan-padan,

boleh dilihat usulnya badan

Bagaimana di dalam contoh teladan,

yang mana patut main di medan.

*Tulisan Sheikh Daud Abdullah Al-Fathani mengenai jihad dalam Islam

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah ulama besar dunia Melayu yang terlibat langsung bersama-sama Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam medan jihad melawan pencerobohan Siam di bumi Patani Darus Salam.

Tulisan-tulisan beliau mengenai hukum jihad telah penulis perkenalkan dalam penulisan-penulisan sebelum ini, di mana jelas menggambarkan bahawa Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah seorang ulama pejuang Islam sebenar dan sejati serta bertanggungjawab terhadap ummah dan watan Melayu daripada segala macam bentuk penjajahan kuffar.

Sebagai tambahan, di sini penulis petik pula pandangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani tentang jihad yang beliau tulis dalam kitab Bughyat at-Thullab.

Transliterasi selengkapnya ialah: "Dan setengah daripadanya, perang sabil bagi kuffar, yakni wajib bagi Imam itu pergi perang kepada negeri mereka itu, maka iaitu fardu kifayah dengan ijmak. Atau Naib Imam pergi dengan tentera kerana perang bagi mereka itu.

"Atau diperbaiki akan kota yang antaranya dan antara negeri mereka itu, serta diteguhkan dia, dan ditaruhkan senjatanya, dan orang yang menunggu padanya sekira-kira memadai melawan akan mereka itu. Maka hendaklah diperbuat akan salah suatu daripada keduanya maka gugurlah fardu kifayahnya. Ini jika tiada mereka itu datang kepada negeri kita.

"Maka jika datang ia kepada negeri Islam maka jadilah fardu ain atas tiap-tiap seorang daripada negeri yang ia masuk itu, hingga perempuan dan sahaya orang ... " (Bughyat at-Thullab, jilid 1, hlm. 95).

Ulasan dan pandangan, daripada kalimatnya "Maka jika datang ia kepada negeri Islam ... " dapat kita bandingkan peristiwa penjajahan bangsa Barat-Belanda dan Inggeris di dunia Melayu pada zaman Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dengan peristiwa Amerika, pengganas terbesar dunia, yang telah menjajah Afghanistan dan Iraq.

Sebagaimana telah disebutkan bahawa Belanda dan Inggeris telah menjajah dunia Melayu, perlu pula dinyatakan di sini bahawa Patani juga tidak terlepas daripada dijajah, bukan oleh bangsa Barat tetapi oleh Siam. Semua penjajah yang tersebut adalah bukan agama Islam kerana mereka telah menjajah negeri Islam.

Oleh itu, menurut Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani pada sambungan kalimat di atas bahawa "jadilah fardu ain atas tiap-tiap seorang daripada negeri yang ia masuk itu, hingga perempuan dan sahaya orang ..." berperang atau jihad terhadap mereka. Bangsa-bangsa yang telah menjajah dunia Melayu, adalah bukan beragama Islam.

Oleh itu fenomena yang berlaku sekarang, tuduhan umat Islam sebagai pengganas adalah tidak berasas sama sekali, kerana tidak terdapat dalam sejarah bahawa bangsa-bangsa yang beragama Islam datang menjadi penjajah di dunia Melayu.

Sebenarnya bangsa-bangsa penjajah itulah yang layak dilabelkan sebagai pengganas atau terrorist atau penzalim. Gelaran tersebut terdapat dua golongan yang sedang bermusuhan, yang pertama ialah pengganas yang sedang berkuasa (pemerintah) dan yang kedua ialah pengganas yang tidak berkuasa (rakyat).

Perjuangan jihad yang pernah dilakukan oleh ulama kita seperti Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan lain-lain tidak dapat disamakan dengan kedua-dua golongan pengganas yang tersebut di atas, kerana jihad Islam adalah cukup jelas berdasarkan perintah daripada Allah dan para Rasul-Nya. Siapa saja yang berjihad menurut perintah Allah dan Rasul-Nya adalah benar, tidak terdapat keraguan di dalamnya.

Oleh itu, wajib dipertahankan kebenaran dan kesuciannya daripada pentafsiran-pentafsiran yang tidak betul disusun demikian rapi oleh pihak-pihak tertentu yang telah merasa lazat makanan dan minuman segar tetapi beracun yang mereka peroleh dari musuh-musuh Islam.

Mengenai membuat persiapan sebagai benteng pertahanan dapat kita ketahui dari kalimat beliau, "Atau diperbaiki akan kota yang antaranya dan antara negeri mereka itu, serta diteguhkan dia ...".

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyentuh pula tentang persiapan persenjataan dengan sambungan kalimatnya "dan ditaruhkan senjatanya" maksudnya bahawa dalam benteng pertahanan perlulah ada tersimpan persenjataan yang cukup dan siap digunakan apabila diperlukan.

Patriotik bangsa adalah sangat diperlukan, yang beliau gambarkan pada sambungan kalimatnya "dan orang yang menunggu padanya sekira-kira memadai melawan akan mereka itu". Kalimat ini dapat dihubungkaitkan dengan "ilmu silat" kerana orang Melayu yang sanggup melawan musuh pada zaman itu perlu mempunyai ketangkasan.

Ketangkasan dalam bentuk fizik adalah mempelajari ilmu silat. Dan tidak dapat dinafikan diperlukan "kekuatan dalaman" atau "mental" atau "rohani". Baik Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani mahu pun Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga pernah mengijazahkan wirid-wirid pertahanan diri untuk menghadapi musuh dalam peperangan.

Wirid pertahanan diri Sheikh Abdus Shamad Al-Falimbani

Untuk memantapkan keyakinan diri menghadapi jihad, dalam karyanya berjudul Mulhik fi Bayanil Fawa'id an-Nafi'ah fil Jihadi fi Sabilillah atau judul terjemahan oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani sendiri iaitu "Suatu Perhubungan Pada Menyatakan Akan Beberapa Faedah Di Dalam Perang Sabilillah", beliau membahagi dalam risalah tersebut kepada empat bahagian, iaitu:

lFaedah Yang Pertama Pada Menyatakan Ayat Quran Yang Jadi 'Azimat Yang Manfaat Di Dalam Perang Sabilillah, Dan Peliharaan Yang Menegahkan Daripada Kejahatan Orang Kafir.

lFaedah Yang Kedua Pada Menyatakan Doa Yang Manfaat Di Dalam Perang Sabilillah Dan Lainnya.

lFaedah Yang Ketiga Pada Menyatakan Doa Yang Membinasakan Bagi Segala Seteru, Dan Bagi Sejahtera Daripada Kejahatan Seteru.

lFaedah Yang Keempat Pada Menyatakan Doa Membinasakan Seteru, Dan Segala Kafir, Dan Bagi Sejahtera Daripada Kejahatan Mereka Itu.

Salah satu amalan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani pernah diterima oleh pahlawan Mat Kilau. Mengenai ini termaktub dalam Kitab Mat Kilau, cetakan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, 1970, hlm. 23, iaitu "Ini doa diambil daripada Sheikh Abdus Shamad Palembang, siapa yang mengamalkan doa ini nescaya tidak mengenai padanya pedang, atau panah, atau segala rupa kejahatan dari seteru ... "Yang disebut dalam Kitab Mat Kilau itu memang termaktub dalam karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani tersebut yang beliau tempatkan pada Faedah Yang Kedua.

Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani telah menterjemahkan wirid untuk perang itu daripada bahasa Arab ke bahasa Melayu. Dalam empat buah karangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga membicarakan wirid yang sama, di antaranya dalam kitab Mun-yat al-Mushalli. Selengkapnya lihat Mun-yat al-Mushalli yang telah penulis transliterasi (lihat terbitan Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1424 H/2003 M hlm. 96-98).

Walau bagaimanapun, tidak terdapat terjemahan wirid itu oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani seperti yang dilakukan oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani. Perlu juga penulis sentuh di sini bahawa dalam terjemahan wirid Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani tersebut ada hubungkait dengan persilatan. Bahawa ilmu silat yang pernah penulis pelajari adalah melalui tiga jalan, iaitu:

*Belajar secara fizik di gelanggang.

*Belajar wirid-wirid yang boleh mendatang gerak dengan sendirinya.

*Mengabungkan pelajaran fizik dan wirid.

Pada Faedah Yang Keempat wirid Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani terdapat satu doa yang sama dengan yang diamalkan dalam Silat Al-Mu'azat. Walaupun dalam Silat Al-Mu'azat tidak mempelajari gerak fizik, tetapi apabila mengamalkan wirid, maka gerak fizik akan datang dengan sendirinya.

Silat Al-Mu'azat pernah dikembangkan di Johor oleh Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad dalam tahun 1970-an. Wirid yang diamalkan oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, yang sama dengan amalan dalam Silat Al-Mu'azat itu, lebih lengkap ditulis oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam kitab Ward az-Zawahir (lihat hlm. 189).

Kesimpulan dan penutup

Dari semua yang telah dibicarakan di atas penulis berpendapat bahawa:

lSeni dan budaya persilatan diajarkan dalam dua bentuk, iaitu dalam gerak fizik dan kerohanian.

lIlmu persilatan yang menggunakan wirid, hizib, doa, dan yang sejenis dengannya adalah berasal dari ajaran Islam yang benar. Sebaliknya tidak dapat dinafikan terdapat juga yang menggunakan mantera, jampi, serapah, dan yang sejenis dengannya. Mengenai ini sukar dijejaki sumber-sumber asal hingga ke atasnya. Oleh itu, ada yang boleh diamal dan digunakan. Sebaliknya ada pula yang mengandungi unsur khurafat yang menjerumuskan ke arah syirik yang bertentangan dengan akidah Islam.

lUlama-ulama Nusantara yang terlibat dalam jihad fi sabilillah mempunyai asas ilmu menggunakan senjata. Mereka memiliki ilmu ketahanan diri yang bersambung dari satu guru ke satu guru hingga sampai kepada pahlawan-pahlawan Islam terdahulu bahkan sumber amalan ada yang berasal dari Rasulullah SAW sendiri.

lUlama-ulama Nusantara yang melakukan jihad fi sabilillah demi untuk memperjuangkan Islam dan mempertahankan negeri-negeri Melayu dari dijajah oleh bangsa yang bukan Islam adalah wajib diteruskan secara bersambung dari satu generasi ke generasi yang berikutnya.

Sekianlah yang dapat disampaikan pada ruangan kali ini, mudah-mudah kita dapat menghidupkan seni dan budaya yang dibenarkan syarak dan mengetepikan apa saja seni dan budaya yang bertentangan dengan syarak.

Mudah-mudahan hanya pemikiran ulama yang betul saja yang menjadi ikutan dan pemikiran yang tiada betul walau dari siapa pun datangnya supaya dihindari oleh-Nya.


KARYA-KARYA ULAMA PATANI  

Posted

PENDAHULUAN
Dalam keluaran sebelumnya, telah diperkenalkan pelbagai karya ulama Patani dalam pelbagai disiplin ilmu yang menjadi rujukan seluruh nusantara. Kesinambungan itu, terdapat beberapa lagi karya tersebut yang juga tidak kurang pentingnya untuk dibicarakan.

Karya-karya tersebut adalah terjemahan dan Tafsir al-Quran, Ilmu Hadis, Ilmu Tajwid, Ilmu Nahu, Ilmu Saraf, Ilmu Balaghah, Ilmu Hisab dan Falak dan Ilmu Thib. Berikut diperjelaskan perinciannya.

* Terjemahan dan Tafsir Al-Quran

Terjemahan dan tafsir al-Quran yang pertama dalam bahasa Melayu diusahakan oleh Sheikh 'Abdur Rauf bin 'Ali al-Fansuri. Namun tidak sempat diselesaikan lalu diselesaikan oleh murid beliau Baba Daud bin Agha Ismail al-Jawi bin Agha Mushthafa ar-Rumi.

Terjemahan dan tafsir tersebut diberi judul Turjumanul Mustafid atau lebih popular dinamakan Tafsir Baidhawi Melayu. Ulama Patani juga berperanan besar dalam memperkenalkan terjemahan dan tafsir tersebut kerana kitab ini pertama kali adalah ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Tashhih-tashhih kemudian dilakukan oleh dua murid Sheikh Ahmad al-Fathani iaitu Sheikh Idris bin Husein al-Kalantani dan Sheikh Daud bin Ismail al-Fathani.

Sebuah lagi terjemahan dan tafsir al-Quran yang lengkap 30 juzuk yang dikarang oleh ulama Patani ialah Tafsir Jamal, yang disusun oleh Sheikh Ma'shum bin Jamal al-Fathani. Beliau hidup sezaman dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ada pendapat menyebut bahawa Sheikh Ma'shum bin Jamal al-Fathani adalah salah seorang murid Sheikh Daud al-Fathani.

Disusul oleh terjemahan dan tafsir al-Quran yang lengkap 30 juzuk yang ketiga disusun oleh Sheikh Ahmad al-Fathani, hanya dijumpai sebuah manuskrip asli yang disimpan oleh seorang waris beliau di Kampung Jambu, Patani.

Ada pun terjemahan dan tafsir al-Quran oleh Sheikh Daud al-Fathani belum dijumpai secara lengkap 30 juzuk, tetapi ayat-ayat dalam surah-surah al-Quran terdapat dalam beberapa karangan beliau.

Surah yang agak panjang, yang lengkap dari awal hingga akhir terjemahan dan tafsir Sheikh Daud al-Fathani ialah surah Yusuf. Selain pernah diterbitkan bersendiri, juga dimuat dalam karyanya Jam'ul Fawaid. Dalam karyanya Warduz Zawahir juga banyak terdapat terjemahan dan tafsir ayat dari surah-surah yang panjang-panjang.

Sheikh Ahmad al-Fathani, selain pernah menterjemah dan mentafsir al-Quran 30 juzuk dan selaku pentashhih pertama Tafsir Baidhawi Melayu seperti disebut di atas. Contoh-contoh mengenainya dapat dipelajari dari karyanya Hadiqatul Azhar dan Bisyaratul 'Amilin. Setiap permulaan dalam Bisyaratul 'Amilin sesuatu Bab dimulai dengan salinan ayat al-Quran serta terjemahannya menurut perkembangan bahasa Melayu klasik dan pada beberapa terjemahan Sheikh Ahmad al-Fathani menggunakan gaya bahasa beliau sendiri.

Misal ikhtilaf terjemah bahasa Melayu klasik dengan bahasa Melayu sekarang ataupun bahasa Indonesia, terdapat pada surah Muhammad ayat 23. Terjemahan Sheikh Ahmad al-Fathani sama maksud dengan terjemahan Syeikh 'Abdur Rauf bin 'Ali al-Fansuri.

Terjemahan Sheikh Ahmad al-Fathani dalam Bisyaratul 'Amilin, "Maka hampir kamu, jikalau berpaling kamu daripada iman, maka membinasa kamu di dalam bumi dan memutus kamu akan segala rahim kamu ..."

Terjadinya ikhtilaf ialah terjemahan perkataan terjemahan tafsir Sheikh Ahmad al-Fathani iaitu "jikalau berpaling kamu daripada iman", semua terjemahan bahasa Indonesia/Melayu sekarang ialah "jika kamu berkuasa". Pada pandangan penulis, lebih dapat diterima terjemahan klasik kerana "jikalau berpaling daripada iman" lebih pasti ke arah membuat "kebinasaan di muka bumi", sedangkan seseorang "jika berkuasa" belum dapat dipastikan ke arah membuat "kebinasaan di muka bumi".

Tafsir ayat-ayat al-Quran dalam bahasa Arab sahaja, bukan terjemahan bahasa Melayu, juga terdapat tulisan Sheikh Ahmad al-Fathani. Mengenai ini terdapat pada dua tempat.

Pertama, pada salah satu dari tiga buah manuskrip Ilmu Bayan, pada bahagian tepinya beliau tulis beberapa ayat al-Quran dengan tafsirnya. Kedua, pada manuskrip Tashilu Nailil Amani, iaitu bahagian halaman dalamnya ayat-ayat al-Quran dii'rab menurut Ilmu Nahu, sedang pada bahagian tepinya ayat-ayat al-Quran ditafsirkan menurut kaedah Ilmu Tafsir.

* Ilmu Hadis

Ulama Patani yang terlibat dalam penulisan hadis dimulai oleh Sheikh Abdullah bin Sheikh Abdul Mubin Pauh Bok al-Fathani. Beliau menghasilkan kitab hadis berjudul Tanbihul Ghafilin 1184 H/1770 M.

Karya Sheikh Abdullah bin Abdul Mubin Pauh Bok al-Fathani tersebut adalah terjemahan pertama Tanbihul Ghafilin karya Sheikh Abu Laits as-Samarqandi.

Selanjutnya diikuti Sheikh Daud al-Fathani, di antara karya beliau yang merupakan terjemahan hadis ialah Faraid Fawaidil Fikri fil Imamil Mahdi, 1215 H/1800 M, Kasyful Ghummah, 1236 H/1822 M, Hikayat Imam, dan lain-lain terdapat beberapa hadis dalam beberapa buah karyanya yang bercorak fiqh, tauhid dan tasauf.

Di antaranya pada mukadimah Bughyatut Thullab banyak diperkenalkan hadis tentang kelebihan ilmu, demikian juga dalam Jam'ul Fawaid dan lain-lain.

Sheikh Ahmad al-Fathani juga aktif dalam penulisan hadis, di antara karya mengenai ini ialah: Bisyaratul 'Amilin wa Nazaratul Ghafilin, 1304 H/1887 M, Hadits Memulakan Makan Dengan Garam Dan Disudahi Dengannya, Hadits-hadits Pilihan (merupakan bahasan Musthalah Hadits), Daftar Rijal Hadits, dan lain-lain yang dimuat dalam Hadiqatul Azhar.

Selain itu, Sheikh Ahmad al-Fathani pula tokoh pertama sebagai pentashhih dan penyebar kitab-kitab hadis yang dikarang oleh ulama-ulama nusantara. Antaranya adalah Al-Fawahidul Bahiyah atau Hidayatul Habib (1045 H/1635 M) oleh Sheikh Nuruddin ar-Raniri, Kasyful Ghummah (1236 H/1822 M) oleh Sheikh Daud al-Fathani dan Al-Jauharul Mauhub (1306 H/1888 M) oleh Sheikh Wan Ali bin Abdur Rahman al-Kalantani.

*Ilmu Tajwid

Pada sektor ilmu tajwid, ulama-ulama Patani menonjol sebagaimana ilmu-ilmu yang lain. Di antara risalah-risalah dan kitab-kitab ilmu tajwid yang dikarang oleh ulama-ulama Patani disenaraikan sebagai yang berikut:

*Al-Mawahibul Makkiyah, (1296 H/1879 M), karya Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani. Kitab ini ditashhih oleh muridnya Sheikh Ahmad al-Fathani.

*Sirajul Qari (1308 H/1891 M, karya Sheikh Muhammad Shalih bin Sheikh Zainal Abidin al-Fathani.

*Mauriduz Zhaman, (1315 H/1898 M), karya Sheikh Abdullah bin Qasim as-Sanquri (Senggora, Patani). Kitab ini ditashhih oleh gurunya Sheikh Ahmad al-Fathani. Mauriduz Zhaman adalah kitab tajwid yang paling tebal dan paling lengkap dalam bahasa Melayu. Hingga kini, baik kitab tulisan Melayu/Jawi mahupun Latin/Rumi belum terdapat seperti kitab ini.

Adapun Syeikh Abdullah Senggora Patani itu adalah seorang ulama ahli bacaan al-Quran yang paling ulung di Mekah pada zamannya. Beliau hafal 30 juzuk berserta dengan qiraat sab'ah. Beliau pula pernah menjadi Rais (Ketua) Qurra' Hijaz. Murid beliau sangat ramai; hampir semua ahli qiraat al-Quran yang terkenal nusantara yang ada pada masa sekarang ada perhubungan sanad kepada Sheikh Abdullah Senggora itu.

Ulama yang berasal dari Patani yang menyusun risalah tajwid ialah Sheikh Abu Ahmad Syamsuddin Abdul Mubin Muhammad Thaiyib Abdul Jabbar. Beliau tinggal di Pahang. Risalah tajwid yang beliau tulis ialah: Tabshiratul Ikhwan fi Tajwidil Quran, disingkat Tabshiratul Ikhwan saja.

* Ilmu Nahu

Mengenai ilmu nahu, di bawah ini adalah petikan dan diringkaskan dari buku Al-'Alim Al-'Allamah Sheikh Ahmad Al-Fathani (manuskrip). Dalam usia yang masih sangat muda, beliau menulis beberapa risalah atau kitab ilmu nahu yang ditulis dalam bahasa Arab. Risalah-risalah/kitab-kitab itu ialah:

* Manzhumatuts Tsimarisy Syahiyah, beliau namakan juga dengan Manzhumatul Fathaniyah, ditulis ketika beliau berada di Mesir tahun 1294 H/1877 M.

Selanjutnya ditulis pula Manzhumatu 'Unqudil La-ali dan Manzhumatul 'Awamil juga ditulis ketika beliau berada di Mesir, tahun 1296 H/1878 M. Tiga risalah nahu yang tersebut di atas semuanya ditulis dalam bentuk syair.

Manzhumatul 'Awamil adalah berbentuk puisi (kalam nazham / syi'ir), kalimat-kalimatnya berbeza dengan aslinya iaitu Matnul 'Awamil karya Abdul Qahir al-Jurjani (wafat 470 H), yang berbentuk prosa (kalam natsar).

Karya Sheikh Ahmad al-Fathani mengenai nahu pula berjudul Ar-Risalatul Fathaniyah. Kitab ini telah ratusan kali cetak. Ar-Risalatul Fathaniyah pernah menjadi suatu kitab hafalan di pengajian beberapa buah pondok pengajian di Kedah, Kelantan, Patani, Bangkok bahkan seluruh Thailand, Cam dan juga beberapa pondok di Jambi dan Riau (Sumatera).

Walau bagaimanapun, kitab Ar-Risalatul Fathaniyah tidak lebih luas sebarannya jika dibandingkan dengan karya beliau Tashilu Naili Amani. Ar-Risalatul Fathaniyah diberi ulasan oleh salah seorang murid dan saudara sepupu beliau iaitu Sheikh Ismail bin Abdul Qadir bin Mushthafa al-Fathani (Pak De 'El Fathani).

Kitab Ar-Risalatul Fathaniyah disyarah pula oleh anak saudara kedua-dua beliau itu, iaitu Tuan Guru Haji Abdul Qadir bin Ismail al-Fathani. Syarah tersebut berjudul Al-Ibanatul I'rabiyah Syarhur Risalatil Fathaniyah.

Setelah Sheikh Ahmad al-Fathani kembali ke Mekah, beliau lanjutkan dengan mensyarahkan Matan 'Awamil karya Sheikh Abdul Qahir al-Jurjani. Syarahnya diberi judul Tashilu Nailil Amani fi Syarhi 'Awamil Jurjani atau dinamakan juga dengan Tasrihul Ghawamil fi Syarhil 'Awamil, 1300 H/1882 M.

Sejak ditulisnya hingga ke hari ini masih banyak orang mengajar dan belajar kitab tersebut. Tashilu Nailil Amani diajar di Pulau Jawa dan di negeri nusantara lainnya sejak Sheikh Ahmad al-Fathani masih hidup lagi, mungkin kitab itu dibawa dan kemudian diajarkan oleh murid-muridnya.

Ulama Patani yang menyusun kitab ilmu nahu dalam bahasa Arab, diteruskan oleh murid Sheikh Ahmad al-Fathani. Beliau ialah Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahman al-Fathani.

Di antara karya beliau yang telah dijumpai ialah Janiyatuts Tsmarat fi Ta'rifi Ba'dhil Kalimat, 1325 H/1908 M, merupakan syarah Matan al-Ajrumiyah. Karya Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani tentang ilmu nahu pula, ialah Tamhidul Manahij al-Adabiyah fi I'rabi Mabanil Ajrumiyah sebanyak empat jilid.

Kitab ini pernah diajar di sekolah-sekolah agama dalam Kerajaan Selangor pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman dan Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani sebagai Sheikhul Islam di kerajaan itu.

*Ilmu Saraf

Mengenai ilmu saraf karya Sheikh Ahmad al-Fathani pula diringkaskan keterangannya, bahawa ada empat buah yang dijumpai. Dua buah tidak beliau sebut tahun penulisannya dan dua buah masing-masing diselesaikan pada tahun 1308 H/1890 M dan 1317 H/1899 M, iaitu: Abniyatul Asma' wal Af'al, tanpa dinyatakan tahun. Risalah ini senantiasa dicetak kembar dengan ilmu nahu judul Ar-Risalatul Fathaniyah, hingga sekarang sudah ratusan kali terbit.

Abniyatul Asma' wal Af'al dalam zaman kejayaan pengajian pondok termasuk sebuah risalah yang diwajibkan menghafalnya bagi pelajar-pelajar pondok di Kedah, Kelantan, Patani, Bangkok bahkan seluruh Thailand dan Kemboja. Juga di beberapa tempat di Sumatera terutama di Riau dan Jambi.

Kitab ilmu saraf karya Sheikh Ahmad al-Fathani yang kedua ialah Matnul Madkhal fi 'Ilmish Sharfi. Yang ketiga diberi judul Al-Ibrizush Shirfu fi Fannish Sharfi, 1308 H/1890 M. Ilmu saraf yang keempat masih berupa manuskrip salinan yang belum diberi judul.

Kandungannya membahas secara mendalam dan keterangan yang panjang tentang Idgham, al-Qalb, an-Naql, al-Iskan dan al-Hazf. Karya yang tersebut diselesaikan pada Isnin, 22 Syaaban 1317 H/1899 M.

Manuskripnya ada dalam simpanan penulis, iaitu manuskrip salinan anaknya Haji Wan Ismail bin Ahmad al-Fathani yang diselesaikan pada bulan Jamadilakhir 1318 H/1900 M.

*Ilmu Balaghah

Sheikh Ahmad al-Fathani juga menulis mengenai ilmu ini, dalam simpanan penulis sekurang-kurangnya tersimpan tiga manuskrip mengenai ilmu yang tersebut.

Pertama, banyak corat-coret; di bahagian mukanya tertulis nama kitab itu dengan yang berasal dari milik ayah saudara beliau iaitu Sheikh Wan Daud bin Mushthafa al-Fathani (Pak Cik Wan Daud).

Kedua, yang asli tulisan tangan Sheikh Ahmad al-Fathani. Dan yang ketiga, juga tulisan tangan asli Sheikh Ahmad al-Fathani, ditulis dengan khat yang indah. Selain itu, dalam simpanan penulis ada tiga buah judul di atas berupa cetakan.

Sebuah di antaranya diusahakan oleh muridnya bernama Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahman al-Fathani yang dicetak kombinasi dengan Janiyatuts Tsmarat, cetakan pertama oleh Matba'ah al-Miriyah, Makkah tahun 1325 H.

Judul lengkap karya Sheikh Ahmad al-Fathani yang dibicarakan ini ialah Tadrijus Shibyan ila Tasywiqil Bayan, kemudian disyarah oleh muridnya Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani. Pada bahagian tepi cetakan terdapat berupa matan karya Sheikh Ahmad al-Fathani yang tersebut di atas.

Selain cetakan yang diusahakan oleh Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani, ada lagi yang pernah diusahakan oleh anak beliau iaitu Kadi Haji Wan Ismail bin Sheikh Ahmad al-Fathani dan Majlis Ugama Islam Kelantan. Dicetak tahun 1349 H dan ditashhih oleh Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad atau lebih dikenali Tok Kenali, salah seorang murid kesayangan beliau.

* Ilmu Hisab dan Falak

Sheikh Ahmad al-Fathani dan Sheikh Ahmad Khatib al-Minankabawi adalah ulama nusantara yang berhasil mengkaderkan murid-muridnya dalam bidang ilmu hisab dan ilmu falak pada penghujung abad 19 atau awal abad 20.

Titik tolak penyebaran ilmu hisab dan ilmu falak di nusantara secara luas adalah dari kedua-dua ulama Patani dan Minangkabau itu.

Di antara murid Sheikh Ahmad al-Fathani yang sangat terkenal dalam bidang ilmu tersebut ialah:

*Sheikh Muhammad Nur al-Fathani (Kadi Mekah), pernah mengajar di Terengganu

*Sheikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani (Makkah) pernah mengajar di Siak Seri Inderapura,

*Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani

*Sheikh Tahir Jalaluddin (Minangkabau) tinggal di Semenanjung Melayu

*Sheikh Muhammad Jamil Jambek (Minangkabau), Haji Umar Nuruddin Sungai Keladi (Kelantan)

*Haji Ismail bin Abdul Majid (Kelantan), pernah menjadi Mufti Pontianak dan mengajar ilmu tersebut di sana.

*Haji Hasan bin Yahya al-Jawi al-Jambi, dan ramai lagi.

Adapun mengenai penulisan Ilmu Hisab dan Ilmu Falak oleh Sheikh Ahmad al-Fathani semuanya dalam bahasa Arab dan masih berupa manuskrip. Karya beliau tentang Ilmu Hisab ialah: Tahqiq Matnis Sakhawiyah fi 'Ilmil Hisab, 1304 H/1886 M.

Ada pun karya Sheikh Ahmad al-Fathani mengenai Ilmu Hisab dan Ilmu Falak, gabungan kedua-duanya, ialah: Tahqiq Wasilatith Thullab li Ma'rifati A'malil Laili wan Nahari bi Thariqil Hisab, 1305 H/1887 M. Mengenai ilmu fFalak sahaja ialah: Ghayatul Idrak fil 'Amali bi Kuratil, 1313 H/1895 M dan Risalah fil 'Amal bi Rubu'id Dairah, tanpa dinyatakan tahun selesai penulisan.

Ulama Patani yang juga murid Sheikh Ahmad al-Fathani, yang menulis tentang Ilmu Hisab dan Falak ialah Sheikh Muhammad Nur al-Fathani, semua karyanya dalam bahasa Arab, terdapat di Mekah sahaja. Diikuti oleh Sheikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani dan anak beliau iaitu Kiai Haji Muhammad Shalih bin Sheikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani.

Karya Sheikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani berjudul Minhajul Qawim, 1310 H/1892 M, dan karya anak beliau, Kiai Haji Muhammad Shalih al-Fathani berjudul Jadwalut Tauqitid Daimiy.

*Ilmu Thib

Ilmu thib atau ilmu perubatan, yang dimaksudkan di sini ialah perubatan menurut tradisi Islam atau yang dibenarkan oleh syarak.

Di Nusantara ulama yang pertama menulis ilmu ini berasal dari Arab keturunan Abbasiyah, pindah ke Aceh, kemudian ke Patani. Beliau ialah Sheikh Shafiyuddin al-'Abbasi (tiba di Fathani Darus Salam tahun 802 H/1400 M). Karya beliau mengenai ini ialah Sia-Sia Berguna. Manuskrip yang dijumpai adalah salinan Sheikh Abdul Qadir bin Mushthafa al-Fathani.

Sheikh Ahmad al-Fathani adalah ulama nusantara yang pertama menjadi tabib. Di antara penulisan ilmu thib Sheikh Ahmad al-Fathani ialah: Luqthatul 'Ajlan fima Tamassa 'ilaihi Hajatul Insan, 1301 H/1883 M, Thaiyibul Ihsan fi Thibbil Insan, disingkat Thaiyibul Ihsan saja, 1312 H/1894 M.

Selain itu dimuat dalam beberapa halaman karyanya Hadiqatul Azhar, juga dijumpai catatan-catatan beliau berupa manuskrip mengenai perubatan dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu, yang semuanya ada dalam simpanan penulis.

Daripada sekian ramai murid beliau dalam bidang ilmu-ilmu yang lain, hanya seorang yang berbakat dalam ilmu perubatan iaitu Raja Haji Ahmad Thabib Riau. Beliau pernah mempraktikkan pembedahan pesakit dengan menggunakan alat-alat daripada sembilu (buluh) yang dicipta sendiri.

Raja Haji Ahmad Thabib Riau adalah tabib Riau-Lingga yang terakhir; beliau juga meninggalkan risalah-risalah mengenai perubatan.


Karya ulama Patani dalam ilmu usuluddin dan tasawuf  

Posted


Tuan Guru Haji Abdul Qadir Bin Ismail As-Sanawi antara ulama Patani yang alim dalam bidang ilmu tauhid.


KITA mengetahui bahawa ulama-ulama kita telah menterjemah, menyusun kitab dan mengajar berbagai-bagai disiplin ilmu yang ada hubungkaitnya dengan agama Islam. Antara yang paling ditekankan oleh ulama Nusantara, termasuk ulama Patani, ialah tiga ilmu fardu ain: Fiqh, Usuluddin dan Tasawuf.

Mengimbas perbicaraan yang lepas, telah diketengahkan karya Fiqh ulama-ulama Patani yang menjadi rujukan Nusantara. Kesinambungan dari itu, ia dilanjutkan pula kepada karya ulama Patani dalam dua bidang ilmu selain ilmu Fiqh, iaitu ilmu Usuluddin dan ilmu Tasawuf.

Karya Ilmu Usuluddin

Ilmu Usuluddin dinamakan juga dengan: Ilmu Tauhid, Ilmu Akidah, Ilmu Kalam dan dalam konteks Nusantara dikenali juga dengan Ilmu Sifat Dua Puluh dan Ilmu Mengenal Allah. Ulama-ulama silam Nusantara, termasuk ulama Patani, sependapat bahawa yang dinamakan dengan Ahlus Sunnah wal Jama'ah itu ialah orang-orang yang mengikut dan memahami akidah yang berasal daripada Imam Abul Hasan al-Asy'ari (260 H/ 875 M-324 H/939 M) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (235 H-305 H, riwayat lain dinyatakan wafat tahun 333 H) dan pentafsiran-pentafsiran ulama-ulama muktabar sesudah kedua-duanya, seperti Imam Baqillani (wafat 403 H/1013 M), Imam al-Ghazali (450 H/1059 M-505 H/1111 M), Imam Sanusi (833 H/1429 M-895 H/1490 M) dan ramai lagi.

Ulama Nusantara yang paling banyak menulis mengenai ilmu ini juga dibintangi oleh dua orang ulama yang berasal dari Patani, beliau ialah Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis ilmu ini hanya dalam bahasa Melayu saja, sedang Sheikh Ahmad al-Fathani menulis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu.

Sekurang-kurangnya terdapat tujuh judul Ilmu Tauhid karangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani baik yang nipis mahupun yang tebal-tebal. Demikian halnya dengan Sheikh Ahmad al-Fathani, sekurang-kurangnya tiga judul dalam bahasa Arab dan empat judul dalam bahasa Melayu.

Sejarah ringkas perkembangan Ilmu Tauhid di Nusantara selengkapnya telah penulis muat dalam buku berjudul Faridatul Faraid Syeikh Ahmad Al-Fathani 'Aqidah Ahlis Sunnah Wal Jama'ah Yang Sejati. Di sini penulis petik khusus mengenai pengkaryaan akidah kedua-dua ulama yang berasal dari Patani itu serta tambahan beberapa informasi terkini yang dirasakan perlu membahasnya.

Karya-karya Ilmu Tauhid oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah sebagai yang berikut: Ad-Durruts Tsamin fi 'Aqaidil Mu'minin (1232 H/1816 M), 'Iqdul Jawahir (1245 H/ 1829 M), ditulis dalam bentuk nazam.

Nazam ini beliau syarah sendiri, diberi nama Warduz Zawahir li Hilli Alfazhi 'Iqdil Jawahir (1245 H/1829 M). Selanjutnya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mensyarah risalah mengenai Ilmu Tauhid karangan gurunya Saiyid Ahmad al-Marzuqi, diberi nama Al-Bahjatus Saniyah fil 'Aqaidis Saniyah (1258 H/1842 M).

Untuk peringkat kanak-kanak, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyusun risalah ilmu ini yang diberi judul Kifayatul Mubtadi wa Irsyadul Muhtadi atau digunakan dengan judul yang lain, iaitu: Irsyadul Athfalil Mubtadiin fi 'Aqaidid Din wal Ad'iyatun Nafi'ah lid Din, tanpa dinyatakan tahun selesai penulisan.

Sebagai pedoman melakukan zikir ahlit tauhid menurut metode Thariqat Syathariyah, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ketika berada di Sambas, Kalimantan Barat menyusun kitab berjudul Dhiyaul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid, juga tanpa dinyatakan tahun selesai penulisan. Selain kitab-kitab akidah yang berdiri sendirinya, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga menulis ilmu itu pada bahagian halaman awal kitab-kitab fiqhnya, iaitu: Hidayatul Muta'allim, Al-Jawahirus Saniyah, Sullamul Mubtadi, Fat-hul Mannan dan Furu'ul Masail.

Ada pun risalah dan kitab Ilmu Tauhid karangan Sheikh Ahmad al-Fathani pula ialah: Jumanatut Tauhid (1293 H/1876 M), ditulis dalam bahasa Arab dalam bentuk puisi. Dalam tahun yang sama, iaitu 1293 H/1876 M, Sheikh Ahmad al-Fathani juga menyelesaikan Munjiyatul 'Awam li Manhajil Huda minaz Zhalam, juga ditulis dalam bahasa Arab bercorak puisi. Kitabnya judul Sabilus Salam fi Syarhi Hidayatil 'Awam (1306 H/1888 M), dalam bahasa Arab adalah merupakan syarah Hidayatul 'Awam karya gurunya Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.

Pada tahun yang sama, iaitu 1306 H/1888 M, Sheikh Ahmad al-Fathani menyusun kitab akidah dalam bahasa Melayu berjudul 'Iqdul Juman fi 'Aqaidil Iman.

Kitab akidah dalam bahasa Melayu karya Sheikh Ahmad al-Fathani yang paling banyak diajarkan di banyak tempat di Nusantara ialah Faridatul Faraid fi 'Ilmil 'Aqaid. Selain dalam karya-karya khusus mengenai akidah tersebut, Sheikh Ahmad al-Fathani juga menulis akidah dalam karya-karya fiqh yang diletak pada bahagian awalnya, iaitu: Al-Bahjatul Mubtadin, 'Unwanul Falah.

Manakala dalam bentuk penjelasan yang panjang dimuat pada bahagian awal Al-Fatawal Fathaniyah. Dalam karyanya Hadiqatul Azhar juga terdapat tentang akidah, di antaranya mengenai tujuh masalah yang menjadi ikhtilaf antara Imam Abul Hasan al-Asy'ari dengan Imam Abu Hanifah.

Selain yang tersebut, terdapat pula tulisan beliau pada kitab-kitab akidah yang beliau tashhih, di antaranya di bahagian tepi Bidayatul Hidayah oleh Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi (Aceh) dan Ad-Durruts Tsamin oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Sungguhpun Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani jauh lebih tua dari Sheikh Ahmad al-Fathani, bahawa umurnya sebaya dengan ayahnya Sheikh Muhammad Zain bin Sheikh Wan Mushthafa al-Fathani, namun karangan-karangannya muncul kemudian daripada karangan-karangan Sheikh Ahmad al-Fathani.

Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani sekurang-kurangnya menghasilkan tiga judul dalam bidang Ilmu Tauhid, dua judul di antaranya ialah: 'Aqidatun Najin fi Ushulid Din wa Tashawwufis Shaafin (1308 H/1890 M). Kitab ini adalah merupakan kitab akidah yang terbesar kedua di Nusantara sesudah Warduz Zawahir karya Sheikh Daud bin Abdullah.

Hingga sekarang kitab 'Aqidatun Najin masih banyak diajarkan di banyak tempat di seluruh Nusantara. Ilmu Akidah untuk peringkat kanak-kanak pula, Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani menyusun sebuah risalah berjudul Miftahul Murid fi 'Ilmit Tauhid, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan.

Sungguhpun masih banyak kitab akidah yang dikarang oleh ulama-ulama Patani selain tiga orang ulama besar Nusantara, yang berasal dari Patani yang tersebut di atas, penulis tinggalkan setakat itu saja. Seterusnya penulis berasa perlu untuk membahas atau menulis sedikit pembelaan beberapa kritikan terhadap karya akidah tradisional Nusantara yang dilemparkan oleh orang-orang tertentu, di antaranya ialah:

1. Tuduhan bahawa Imam Abul Hasan al-Asy'ari taubat daripada fahaman yang pernah diajarnya, kerana kitabnya yang terakhir ialah Al-Ibanah 'an Ushulid Diyanah. Pendapat demikian perlu dijawab. Sejarah yang ittifaq para ulama bahawa Imam Abul Hasan al-Asy'ari hanya keluar daripada Mazhab Mu'tazilah setelah itu tetap berpegang dengan Mazhab Ahlis Sunnah wal Jama'ah, di mana beliaulah tokoh pertama menyusun risalah/kitab mengenai itu.

Sejarah Imam Abul Hasan al-Asy'ari sebagai murid dan anak tiri Imam Abu Hasyim al-Jubba-i, mengikut fahaman Mu'tazilah selama 40 tahun, dan keluar daripada mazhab itu, diperkenalkan oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam ad-Durruts Tsamin, Warduz Zawahir dan Al-Jawahirus Saniyah. Tulisan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mengenai yang tersebut adalah yang terawal dalam bahasa Melayu, belum dijumpai tulisan ulama Nusantara lainnya. Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani tidak pernah menyebut bahawa Imam Abul Hasan al-Asy'ari taubat daripada Mazhab Ahlis Sunnah wal Jama'ah, demikian juga ulama-ulama Nusantara selain beliau.

Pendapat yang menyebut bahawa Al-Ibanah 'an Ushulid Diyanah adalah karya Imam Abul Hasan al-Asy'ari yang terakhir, adalah tidak terdapat bukti yang kukuh. Dalam kitab Al-Ibanah tidak pernah menyebut perkara itu, dan tidak terdapat tahun mulai ataupun selesai penulisan. Ulama Ahlis Sunnah wal Jama'ah golongan Abul Hasan al-Asy'ari meyakini bahawa Al-Ibanah 'an Ushulid Din dan Al-Luma' adalah kedua-dua kitab Imam Abul Hasan al-Asy'ari yang ditulis sesudah beliau keluar daripada Mu'tazilah. Al-Luma' adalah memperluas dan memperjelas kandungan Al-Ibanah. Jadi seolah-olah Al-Ibanah seperti matan, sedang Al-Luma' pula seperti syarah. Oleh itu, Al-Ibanah ditulis lebih dahulu daripada Al-Luma'.

2. Tuduhan bahawa akidah Imam Abul Hasan al-Asy'ari dan pengikut-pengikutnya adalah berdasarkan pemikiran semata-mata, tidak berdasarkan kepada al-Quran dan hadis.

Jawapan mengenai ini sila rujuk Ad-Durruts Tsamin, halaman 5, dengan jelas Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis, "... Kemudian diangkatkan kitab yang ia (maksudnya Imam Abul Hasan al-Asy'ari) karang atas Mazhab Ahlis Sunnah, kepada manusia. Maka ia pertama-tama orang yang me[ng]edarkan Ilmu 'Aqaid atas jalan kitab dan sunah, yakni mengikut Quran, dan hadis, dan ijma' sahabat yang dahulu-dahulu yang salih-salih ..."

3. Tuduhan bahawa akidah Imam Abul Hasan al-Asy'ari dan pengikut-pengikutnya hanya mengajar Tauhid Rububiyah sahaja, tidak Tauhid Uluhiyah. Baik Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mahupun Sheikh Ahmad al-Fathani dalam beberapa halaman karyanya juga menyebut istilah Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah ataupun Ilahiyat di antaranya dalam Ad-Durruts Tsamin, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis, "Dan tatkala selesai daripada menyatakan barang yang ta'alluq bagi Uluhiyah, iaitu barang yang wajib, dan barang yang mustahil, dan barang yang harus bagi-Nya maka sekarang kami masuk menyatakan barang yang ta'alluq pada hak Nubuwah dan risalah pula."

Ketuhanan

Dalam Warduz Zawahir pula, "... telah dijadikan kalimah tauhid itu menafikan bagi barang yang lainnya pada ketuhanan, dan tiada tuhan yang lain pada sebenarnya mempunyai ubudiyah, serta mengaku sekalian millah kuffar dengan Tauhid Rububiyah ..." Selanjutnya, "Dan yang bersalahan antara orang Mu'minin dan kafirin itu Tauhid Uluhiyah. Dan mahabbah orang Mu'minun mengitsbatkan Dia, dan orang yang kafirun mengingkar mereka itu akan Dia. Dan karena inilah, adalah kalimah al-Islam itu dan jikalau berkata niscaya tiada memadai tauhidnya".

Sheikh Ahmad al-Fathani tentang Uluhiyah / Ilahiyat pula dalam Sabilus Salam (bahasa Arab) menyebut, terjemahannya, "Ketahui olehmu bahawa perbahasan-perbahasan Usuluddin itu tiga bahagian, ialah: Ilahiyat, iaitu yang dibahas padanya perkara-perkara yang wajib bagi Allah, yang mustahil atas-Nya dan yang harus pada hak-Nya. Nabawiyat, iaitu yang dibahas padanya perkara-perkara yang wajib bagi Rasul-Rasul, yang mustahil atas mereka dan yang harus pada hak mereka. Sam'iyat, iaitu ..."

Demikianlah tiga contoh sebagai pembelaan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama'ah. Penulis simpulkan saja bahawa kitab-kitab karangan ulama Nusantara, termasuk kitab-kitab karya ulama Patani, mampu mempertahankan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama'ah dari segala macam kritikan, kecaman, tuduhan dan fitnahan dengan segala macam aliran yang kontroversi.

Karya Ilmu Tasawuf dan Thariqat

Selain membintangi penulisan terbanyak dalam Ilmu Fiqh dan Ilmu Tauhid di Nusantara, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, sekali gus membintangi penulisan terbanyak dalam Ilmu Tasawuf. Di antara penulisan beliau dalam ilmu ini yang dapat disenaraikan di sini ialah: 'Ilmut Tashawuf (1233 H/1817 M), risalah ini merupakan perbahasan tasawuf peringkat tinggi (muntahi) atau disebut dalam zaman moden dengan tasawuf falsafi.

Selanjutnya dalam tahun 1240 H/1824 M, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyelesaikan dua buah kitab tasawuf, ialah: Kanzul Minan 'ala Hikam Abi Madyan merupakan terjemahan dan syarah karangan Abi Madyan, dan Minhajul 'Abidin ila Jannati Rabbil 'Alamin yang merupakan terjemahan karangan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali. Sebuah lagi tasawuf peringkat tinggi (muntahi) karya Sheikh Daud bin Abdullah al- Fathani yang khusus membahas rumus-rumus ahlish shufi pada konteks Martabat Tujuh, ialah: Manhalush Shafi fi Bayani Ramzi Ahlis, tanpa dinyatakan tahun penulisan.

Walaupun Dhiyaul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid dapat diklasifikasikan ke dalam karya Ilmu Tauhid, namun juga dapat dimasukkan pada sektor tasawuf, kerana kitab ini khusus membicarakan metode zikrullah menurut Thariqat Syathariyah.

Selain kitab-kitab tasawuf yang berdiri sendirinya, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga menulis ilmu itu pada bahagian halaman akhir kitab-kitab fiqhnya, ialah: Hidayatul Muta'allim, Al-Jawahirus Saniyah, Sullamul Mubtadi, dan Fat-hul Mannan.

Tentang tasawuf juga beliau tulis pada bahagian akhir karya akidahnya, ialah Ad-Durruts Tsamin dan Warduz Zawahir. Sungguhpun dalam karyanya Jam'ul Fawaid merupakan terjemahan beberapa hadis, namun pada beberapa halaman juga membicarakan tasawuf.

Menggubah puisi

Karya-karya tasawuf oleh ulama-ulama Patani selain Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah sangat banyak, di antara ulama yang terdahulu daripada beliau ialah dilakukan oleh guru beliau bernama Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani. Karya-karya beliau merupakan risalah-risalah saja, belum pernah diterbitkan berupa cetakan.

Cucu saudara Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani bernama Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani (wafat 1316 H/April 1898 M) adalah Khalifah Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam beberapa thariqat terutama Thariqat Syathariyah, beliau ini juga menghasilkan beberapa risalah tentang tasawuf dan tarekat.

Sheikh Ahmad al-Fathani tetap tidak ketinggalan dalam penulisan tasawuf dan tarekat, di antara karya beliau tentang ilmu ini ialah: Mir-atul A'ajib fi Jawabi Su-alil Majazib (1324 H/1906 M). Kitab ini ditulis adalah sebagai jawapan surat Raja Kelantan mengenai Thariqat Ahmadiyah yang dibawa dan diajarkan oleh Haji Encik Sa'id Linggi (Sheikh Muhammad Sa'id bin Haji Jamaluddin Linggi) di Kelantan.

Selain menyusun kitab di atas, lalu Sheikh Ahmad al-Fathani menggubah puisi pula dalam beberapa bait. Sebuah rangkaian puisi dalam bahasa Arab dan sebuah lagi dalam bahasa Melayu. Selain Mir-atul A'ajib, Sheikh Ahmad al-Fathani juga membicarakan tasawuf dalam dua buah karya fiqhnya iaitu Al-Bahjatul Mubtadin dan 'Unwanul Falah.

Adapun tasawuf yang dimuat dalam Al-Fatawal Fathaniyah itulah berasal dari judul Mir-atul A'ajib. Dalam karyanya Hadiqatul Azhar terdapat beberapa halaman yang membicarakan tasawuf, juga sejarah beberapa orang ulama sufi terdapat dalam kitab tersebut.

Murid Sheikh Ahmad al-Fathani yang berasal dari Patani yang menulis tasawuf ialah Tok Kelaba al-Fathani, di antaranya ialah: Risalatut (1307 H/1889 M), Tarjamah Qashidah Rijalil Ghaib, dan Syarabul Washilinal Muflihinal Maqbulin (1314 H/1896 M), ia masih dalam simpanan penulis dan berbentuk manuskrip yang sangat uzur.

Pada bahagian akhir manuskrip, Tok Kelaba al-Fathani menyebut bahawa karya ini adalah berdasarkan penerimaan beliau dari mulut gurunya Al-'Arif Rabbani asy-Sheikh Haji Abdul Qadir bin asy-Sheikh al-Haji Mushthafa al-Jambui al-Fathani yang dinuqil daripada perkataan Quthbur Rabbani al-'Arifush Shamadani al-Haikalun Nurani asy-Sheikh Muhyiddin Muhammad Ibnu Ali al-'Arabi.


Peranan ulama Patani di dunia perantauan  

Posted

PERANAN ULAMA PATANI DI SIAK SERI INDERAPURA
Salah seorang ulama Patani yang terkenal dan menghasilkan beberapa karangan adalah Sheikh Abdur Rahman Gudang. Beliau merupakan sahabat kepada Tok Kelaba dan juga sama-sama menjadi murid kepada Sheikh Ahmad al-Fathani.

Nama beliau bukan saja terkenal di Mekah, tetapi juga termasuk di Patani dan Semenanjung Tanah Melayu. Dalam satu catatan yang diperoleh di Siak Seri Inderapura, dicatatkan beliau pernah tinggal di Kerajaan Siak Seri Inderapura mengajar agama Islam, terutama ilmu Falakiyah kepada masyarakat dan kerabat Diraja Siak.

Bagaimana riwayat kedatangannya ke Siak tidak begitu jelas, yang diketahui jelas seorang anak beliau iaitu Kiai Haji Muhammad Shalih al-Fathani berkahwin dengan anak pembesar Kerajaan Siak Seri Inderapura, iaitu anak Datok Hamzah bin Endut, Bentara Kiri Kerajaan Siak Seri Indrapura. Hasil perkahwinan itu beliau memperoleh keturunan yang ramai.

Kiai Haji Muhammad Shalih al-Fathani ini bukan lahir di Siak, tetapi di atas kapal di Sabang. Bagaimana riwayat beliau mendapat jodoh dengan anak pembesar Siak juga tidak diketahui. Pengaruh beliau dalam Kerajaan Siak Seri Inderapura sangat besar, kerana beliau memang seorang ulama besar yang menguasai banyak bidang ilmu.

Setelah Indonesia merdeka, Kiai Haji Muhammad Shalih al-Fathani dilantik sebagai pegawai tinggi di Departmen Agama Republik Indonesia. Pernah bertugas di beberapa tempat di Riau dan selanjutnya di Palembang, Sumatera Selatan sehingga beliau meninggal dunia di sana.

Kiai Haji Muhammad Shalih al-Fathani sempat menghasilkan beberapa karya di antaranya Risalah Sullamit Tarsyid fi Ahkamit Tajwid, cetakan pertama Anglo Asiatic Press, Singapura tahun 1932, Hisab dan Falak Yang Dapat Digunakan Selama-lamanya, sebuah Ensiklopedia dan lain-lain.

PERANAN ULAMA PATANI DI JAMBI

Ketika terjadi pertikaian khilafiah di Mekah, kemenangan berada di tangan golongan Wahhabiyah. Ia menyebabkan beberapa ulama tidak aman tinggal di Mekah. Di antara mereka termasuklah Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani.

Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani mengambil Jambi sebagai tempat persinggahan pertamanya.

Di Jambi secara tidak langsung beliau mendapat tempat dan ramai orang datang mengunjungi beliau kerana ingin menuntut ilmu. Dalam tempoh yang relatif tidak memakan masa yang lama beliau dan kawan-kawan berhasil mendirikan tempat pendidikan di Tahtul Yaman.

Oleh kerana Sultan Sulaiman Selangor mengajaknya pindah ke Selangor, lalu beliau meninggalkan Jambi, tetapi tempatnya di Jambi diganti oleh anaknya, Tengku Muhammad bin Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani.

Pengaruh dan peranan Tengku Muhammad al-Fathani di Jambi sangat besar, sangat ramai muridnya. Di Jambi beliau dikenali dengan nama 'Ulama Jubah Hitam' kerana setiap kali mengajar beliau memakai jubah hitam dan berserban dengan kemas.

Penulis telah dua kali datang ke Jambi (1985 dan 1986) menginap di rumah anaknya bernama Zakaria. Daripada wawancara yang diperoleh, hampir seluruh pendapat masyarakat, bahawa setelah Tengku Muhammad al-Fathani tiada, memang tidak ditemui lagi ulama yang setaraf dengan beliau baik dari segi keilmuan ataupun besar pengaruhnya kepada masyarakat.

Sewaktu berada di Jambi, penulis sempat menyalin kandungan Harian Ampera yang ada dalam simpanan penduduk.

Harian Ampera hari Selasa, 28 Disember 1976, halaman 6 mencatatkan, "Seorang Tokoh Agama Islam yang terkenal di Jambi Tuan Guru Zuhdy, hari Minggu, 26 Disember tutup usia di Jakarta. Almarhum singgah di Jakarta dalam perjalanan kembali ke Jambi dari Tanah Suci Mekah. Jenazah Tokoh Islam Jambi itu, Senin kelmarin tiba di lapangan Pal Merah dengan pesawat terbang milik National Air Charter.

"Ribuan masyarakat termasuk sejumlah besar pejabat pemerintah di sini menyambutnya di lapangan terbang. Dari Pal Merah jenazah dibawa ke Mesjid Raya Jambi untuk disembahyangkan dan hari Senin petang kelmarin dikebumikan di seberang Kota Jambi".

PERANAN ULAMA PATANI DI ACEH

Hubungan antara Patani dan Aceh sebagai pusat penyebaran Islam di Asia Tenggara berjalan sudah demikian lama. Barangkali sejak diperkenalkan agama Islam di Asia Tenggara, hubungan kekeluargaan antara kedua-dua tempat tersebut sudah terjalin dengan eratnya.

Dapat dicatat di antara ulama Aceh yang datang menyebar Islam ke Patani ialah Sheikh Muhammad Sa'id dan Sheikh Shafiyuddin (Tok Raja Faqih).

Penulis difahamkan bahawa ulama dan tokoh Aceh yang sangat terkenal iaitu Teungku Daud Beureueh (1896-10 Juni 1987) termasuk salah seorang keturunan ulama Patani yang berhijrah dari Patani ke Aceh pada zaman dulu. Sampai di mana kebenaran cerita ini masih dalam tahap penelitian.

Mengenai Teungku Daud Beureueh di sini tidak perlu diperkenalkan lagi kerana sudah cukup banyak diketahui oleh orang, juga pernah dimuatkan dalam ruangan ini.

Jika kita kaji watak peribadi Teungku Daud Beureueh dan keseluruhan watak masyarakat Aceh dengan watak ulama-ulama Patani dan keseluruhan watak masyarakat Patani, sangat banyak persamaan terutama sekali sikap cenderung kepada pemerintahan bercorak Islam dan anti kafir. Maka sangat boleh diterima bahawa orang-orang Patani memang terjalin pertalian kekeluargaan dengan orang-orang Aceh.

Oleh itu, kisah mengenai Teungku Daud Beureueh adalah berasal dari keturunan Patani masih dapat diterima.

PERANAN ULAMA PATANI DI BRUNEI DARUSSALAM

Tersebut di dalam buku Tokoh-tokoh Agama Brunei Darussalam Pengenalan Ringkas tertulis, "Sulaiman bin Abdul Rahman bin Abdullah Nurullah hidup sezaman dengan seorang pengembang Islam di Leren Geresik Jawa, Indonesia iaitu Maulana Malik bin Ibrahim yang meninggal dunia pada tahun 822 Hijrah. Dipercayai bahawa Maulana Malik Ibrahim adalah mempunyai hubungan keluarga dengan Sultan Syarif Ali...".

Jika benar Sultan Syarif Ali itu adalah keluarga dengan Maulana Malik Ibrahim, bererti jelas bahawa para penyebar Islam yang datang ke Brunei Daussalam ada hubungan kekeluargaan pula dengan penyebar-penyebar Islam yang menjadi datuk nenek para ulama Fathani Darus Salam.

Ini kerana Maulana Malik Ibrahim adalah anak saudara Ibrahim al-Hadhrami al-Fathani. Maulana Malik Ibrahim itu sebelum ke Jawa pernah dibesarkan di Kerisik, Patani, menurut versi Patani.

Dalam Hikayat Tuan Wali Allah Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani tertulis, "Dan lagi Raja Brunei itu jadi dua beradik dengan bapa Tok Nyang Sheikh Abdur Rahman itu". Dimaksudkan dengan "... bapa Tok Nyang Sheikh ..." pada kalimat tersebut ialah Sheikh Abdul Mubin al-Fathani.

Walau bagaimanapun perkara ini tidak jelas dari perkahwinan dalam bentuk bagaimana, dari adik beradik sebelah laki-laki ataupun dari adik beradik perempuan, yang dimaksudkan sehingga terjadi "dua beradik..." seperti yang termaktub dalam kalimat di atas.

Namun, yang sempat penulis catat selain manuskrip Hikayat Tuan Wali Allah Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani itu bahawa adik beradik Saiyid Jamaluddin al-Husein al-Kubra ada 11 orang. Beberapa orang di antaranya dilahirkan di Kerisik Fathani Darus Salam.

Dua orang terakhir di antara mereka ialah Wan Muhammad Arifin Syah digelar Tok Kelupang al-Jarimi al-Fathani, beliau ini adalah datuk nenek Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani. Adik Wan Muhammad Arifin Syah al-Fathani yang bongsu namanya sewaktu di Pauh Bok Fathani Darus Salam ialah Wan Nik (nama timang-timangan, nama sebenar tidak diketahui).

Wan Nik al-Fathani inilah yang pergi ke Brunei menyebarkan Islam. Sewaktu di Brunei tidak diketahui beliau memakai nama apa. Namun yang jelas beliau sezaman dengan Syarif Ali yang juga menyebarkan Islam di Brunei, kemudian menjadi Sultan Brunei (sultan ke-3).

Ada kemungkinan beliaulah yang dimaksudkan dengan Syarif Ali, jika dihubungkaitkan dengan kalimat "... Raja Brunei itu dua beradik ..." dengan ulama Patani seperti tersebut pada kalimat. Bererti Wan Nik al-Fathani itu jauh ke atas, hingga ke bawahnya masih ada hubungan terus menerus, kerana satu silsilah keturunan ini pernah ditulis oleh salah seorang keturunan Sheikh Abdul Mubin al-Fathani yang berada di Brunei yang bernama Haji Sulaiman.

Haji Sulaiman ini pernah datang ke Pauh Bok, Patani menyerahkan sepotong salasilah kepada waris di Pauh Bok, Patani. Salah seorang anak beliau yang menjadi pembesar di Brunei ialah Pehin Orang Kaya Di Gadong Awang Syihabuddin.

Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani juga pernah datang ke Brunei dan dikenali di Brunei dengan gelaran 'Tok Lubuk'. Selain mengajar beliau berkahwin di sana, meninggalkan keturunan yang ramai. Hubungan Patani - Brunei ini masih merupakan maklumat awal, justeru ia memerlukan kajian yang lebih mendalam.

PERANAN ULAMA PATANI DI SEMENANJUNG TANAH MELAYU

Penulis gunakan istilah Semenanjung Tanah Melayu untuk wilayah yang bersempadan dengan Patani iaitu bahagian Utara yang terdiri dari Perlis, Kedah dan Kelantan hingga ke Johor.

Sangat ramai orang yang berasal dari Patani atau keturunan mereka yang berperanan di Semenanjung Tanah Melayu, baik peranan sebagai ulama atau pun dalam bidang-bidang lainnya.

Dalam bidang agama Islam terutama pengajian-pengajian pondok di seluruh Semenanjung Tanah Melayu, pada peringkat awal hingga ke zaman hampir mencapai kemerdekaan adalah diasaskan oleh orang-orang yang berasal dari Patani.

Demikian dalam hal menjadi Mufti, Kadi dan lain-lain. Sebagai contoh: Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani atau Tok Bukit Bayas, Sheikh Wan Hasan bin Wan Ishaq al-Fathani, Sheikh Muhammad Amin atau Tok Duyung kesemua mereka adalah berasal dari ataupun keturunan dari Patani yang sangat terkenal sebagai ulama Terengganu.

Apabila kita membicarakan ulama-ulama Kelantan sangat sukar memisahkan apakah seseorang itu berasal dari Patani ataupun dari Kelantan. Memang pertalian kekeluargaan antara Kelantan dengan Patani adalah tidak dapat dipisah-pisahkan, yang memisahkan hanyalah geografi dalam pemetaan politik atau pemerintahan saja.

Sekarang Patani dalam kekuasaan penjajahan, sedang Kelantan dalam pemerintahan Malaysia. Sebagai contoh; ulama dan tokoh Kelantan yang erat hubungannya dengan Patani seumpama: Sheikh Wan Ali Kutan al-Kalantani (1235 H/1820 M-1331 H/1913 M), Sheikh Abdus Samad atau Tuan Tabal, Nik Mahmud bin Ismail lebih dikenal dengan Datuk Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan dan lain-lain.

Tok Kenali pula datuk neneknya berasal dari Cahaya (sekarang Chaiya) iaitu satu negeri yang terletak di Utara Patani. Demikian halnya dengan Perlis, Kedah, Pulau Pinang/Seberang Perai dan Perak.

Penutup

Ada pun peranan orang-orang Patani di tempat-tempat lainnya iaitu di Mekah, Mesir, dan Turki tidak dibicarakan lagi kerana sudah cukup banyak penulis perkenalkan dalam beberapa tulisan yang melibatkan ulama-ulama Patani. Kesimpulan dari peranan di Mekah bermula dengan penonjolan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, manakala di Mesir dan Turki bermula dari aktiviti Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.


Peranan ulama Patani di perantauan  

Posted

Pendahuluan
APABILA kita bercakap ataupun menulis apa saja mengenai Patani, rasanya tidak akan kekeringan bahan kerana cukup banyak perkara yang boleh ditonjolkan. Patani adalah suatu negeri yang telah bertamadun sejak lama, Langkasuka, Tamberalinga, Fathani Darus Salam dan lain-lain. Kerajaan yang pernah berpusat di negeri itu sudah cukup dikenal dalam sejarah serantau. Apabila kita terjemah dan tafsirkan sepotong tulisan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, barangkali boleh dijadikan sebuah buku yang agak tebal juga.

Tulisan tersebut adalah, "... Patani adalah suatu negeri daripada negeri-negeri Melayu. Telah lahir sebahagian putera-puteranya orang-orang yang baik-baik, cerdik serta arif bijaksana. Adalah pada zaman dulu di bawah satu daulah (kekuasaan/pemerintahan) daripada daulah-daulah mereka yang agung/besar".

Ramai yang menyangka bahawa orang Patani hanya terlibat dalam satu bidang keislaman saja kerana cukup ramai ulama yang berasal dari Patani yang muncul sebagai pengarang kitab. Pada pandangan penulis, sebenarnya orang-orang Patani bukan hanya terlibat dalam penulisan kitab tetapi juga terlibat dalam seluruh aspek kemasyarakatan.

Mengenai ulama-ulama Patani sudah cukup banyak ditulis dan telah banyak pula dipetik orang; baik dijadikan tesis, buku dan lain-lain mahupun kertas kerja.

Ulama-ulama yang sudah cukup terkenal seperti Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani, Sheikh Muhammad bin Ismail al-Fathani, Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani dan ramai lagi.

Di sini penulis menonjolkan tokoh-tokoh Patani yang nadir, yang belum dibicarakan. Bahkan nama sesuatu tempat yang berasal daripada aktiviti mereka masih dapat dikesan walaupun kadang-kadang tokoh pemula, nama mereka tidak dikenali.

Kadang-kadang dikenal nama, tetapi orang tidak dapat mengesan bahawa pemula tadi adalah berasal dari Fathani Darus Salam. Untuk mewakili sekian ramai tokoh orang Patani selaku pemula sesuatu aktiviti atau kejadian, maka di sini hanya penulis sebut beberapa orang yang kebanyakannya adalah ulama, sebagai contoh di antara mereka.

Mengenai mereka ini penulis bahagikan kepada beberapa tempat yang wujudnya peranan mereka, iaitu di Betawi, Sulawesi Selatan, Kalimantan Barat, Kepulauan Riau, Siak, Jambi, Aceh, Brunei, Semenanjung, Mekah, Mesir dan Turki.

Peranan ulama Patani di Betawi

Kedatangan orang Patani ke Betawi, baik secara langsung dari Patani ataupun setelah mereka dari Campa memang telah lama. Jika benar Sunan Gunung Jati/Syarif Hidayatullah adalah putera Sultan 'Umdatuddin bin Saiyid Ali Nurul Alam Sultan di Campa, menurut salah satu versi, bahawa Sunan Gunung Jati berhasil menguasai Sunda Kelapa itu pada 21 Jun 1527 M.

Sejak itu, beliau dan orang Patani yang ada hubungan dengan Sunan Gunung Jati ramai yang hijrah ke Betawi untuk membantu dan mengukuhkan kedudukan Sunan Gunung Jati.

Di antara sekian ramai orang Patani termasuklah keturunan Sheikh Daud bin Abdullah al-Malikul Mubin. Salah seorang di antara keturunannya ialah Wan Abdul Bagus, datuk neneknya berasal dari Patani tetapi beliau sendiri dilahirkan di Betawi. Beliau membuka Kampung Melayu di Betawi dalam tahun 1656 M.

Pemerintah Kolonial Belanda melantik Wan Abdul Bagus menjadi Ketua Orang-orang Melayu atau digelar dengan Capitain Malleyer. Wan Abdul Bagus al-Fathani menguasai tanah yang luas di bahagian tepi kiri-kanan Kali Ciliwung sebelah selatan dan bersempadan dengan tanah Meester Cornelis. Pemilikan tanah dikeluarkan dalam tahun 1661 M dan ditambah lagi tahun 1696 M sehingga menjadi amat luas.

Wan Abdul Bagus meninggal dunia tahun 1716 M. Beliau digantikan oleh anaknya Wan Abdullah. Gabenor Jenderal Belanda, bernama Frederik Durven (1729-1732) tidak menyukai Wan Abdullah. Lalu Belanda mencabut haknya dengan merampas kekayaan dan melucutkan jawatannya sebagai Kapten Melayu. Kemudian Wan Abdullah ditangkap, dipenjara, disiksa dan dibuang.

Berdasarkan cerita di atas dapat disimpulkan bahawa keluarga besar ulama Patani pernah berperanan penting di Betawi baik dalam kepemimpinan duniawi mahupun kepemimpinan menuju ukhrawi. Selain itu ada jalinan hubungan ulama antara Aceh-Patani-Betawi.

Generasi terakhir orang Patani yang berperanan sebagai ulama terkenal di Betawi ialah Kiai Sheikh Ahmad al-Marzuqi al-Fathani al-Batawi yang datuk neneknya ialah Sheikh Daud bin Abdullah al-Malikul Mubin, seperti yang telah disebutkan.

Kiai Syeikh Ahmad al-Marzuqi wafat di Betawi hari Jumaat 25 Rejab 1353 H/1934 M. Riwayat lengkap mengenai ulama ini telah penulis muatkan sebelum ini, juga dalam buku Thabaqat Ulama Asia Tenggara jilid ke-3.

Peranan ulama Patani di Sulawesi Selatan

Dalam tahun 1602-1632 M, berlaku pelarian beramai-ramai orang Patani kerana peperangan yang begitu panjang antara Fathani Darus Salam yang beragama Islam dengan kekuasaan besar Siam dari utara yang beragama Buddha.

Datuk Maharajalela, yang nama sebenarnya ialah Faqih Ali bersama dua anak saudaranya, Paduka Raja dan Puteri Senapati hijrah dari Fathani Darus Salam ke Kerajaan Gowa membawa bendera Fathani Darus Salam yang disebut Bendera Buluh Perindu, serta khazanah pusaka kebesaran kerajaan itu.

Di Gowa, beliau dan rombongan disambut oleh Raja Gowa, yang pada zaman itu diperintah oleh I Mangarangi Daeng Marabbia (Raja Gowa XIV). Di Kerajaan Gowa itu Faqih Ali/Datuk Maharajalela dilantik sebagai Ketua Orang-orang Melayu. Pada zaman itu di Sulawesi Selatan telah ramai orang Melayu di antaranya yang datang dari Johor, Riau, Pahang, Minangkabau, Aceh dan lain-lain.

Menurut riwayat, keturunan beliau terlibat dalam perang melawan penjajah Belanda. Mereka menyokong perjuangan Sultan Hasanuddin ketika berperang melawan Admiral Spelman. Adapun keturunan Puteri Senapati diriwayatkan adalah sebagai asal keturunan orang-orang Melayu di Ujungpandang dan menyebar di seluruh Sulawesi Selatan.

Barangkali kerana mereka kenal jati diri datuk neneknya yang anti kepada penjajah Siam, demikianlah jua keturunan tersebut yang berada di Sulawesi Selatan adalah orang-orang yang anti kepada pemerintah Belanda.

Peranan ulama Patani Di Kalimantan Barat

Dalam lingkungan tahun 1180-an H/1760-an M, penduduk Kuala Mempawah, Tanjung Mempawah dan kampung-kampung sekitarnya terkejut kerana didatangi oleh sekitar 40 perahu yang besar-besar belaka. Setelah dua orang ulama, Sheikh Ali bin Faqih al-Fathani dan Sheikh Abdul Jalil al-Fathani naik ke darat untuk menghadap Upu Daeng Menambon, iaitu Raja Mempawah pada masa itu, barulah diketahui oleh penduduk bahawa perahu-perahu itu datang dari negeri Fathani Darus Salam.

Kedua-dua ulama itu mendapat kedudukan dan dihormati oleh masyarakat kerana pengetahuan luas mereka dalam keislaman.

Sheikh Abdul Jalil al-Fathani meneruskan penyebaran Islam ke Sambas, setelah meninggal dunia digelar oleh penduduk dengan Keramat Lumbang kerana makamnya terletak di Lumbang, Sambas.

Adapun Sheikh Ali tinggal di Kampung Tanjung, Mempawah. Pada mulanya sebagai seorang guru mengajar kitab kepada masyarakat, tetapi sewaktu Habib Husein al-Qadri (Tuan Besar Mempawah), iaitu Mufti Mempawah yang pertama dan guru bagi Upu Daeng Menambon hampir meninggal dunia (1184 H/1770 M), maka ulama yang berasal dari Arab itu berwasiat.

Wasiat itu ialah bahawa tiada yang layak menjadi Mufti Mempawah sebagai pengganti beliau melainkan Sheikh Ali yang tinggal di Kampung Tanjung itu. Wasiat Habib Husein al-Qadri/Tuan Besar Mempawah itu dilaksanakan oleh pihak istana Raja Mempawah.

Sheikh Ali dilantik sebagai Mufti Kerajaan Mempawah dengan gelaran Maharaja Imam Mempawah. Beliaulah yang pertama bergelar demikian itu. Dengan demikian, Sheikh Ali adalah Mufti Mempawah yang kedua.

Beliau memperoleh zuriat yang ramai di Kalimantan Barat. Beberapa orang di antaranya berperanan sebagai tokoh terkemuka. Salah seorang anak beliau bernama Abdur Rahman atau lebih terkenal dengan nama gelar Wak Tapak. Beliau ini adalah seorang pahlawan Mempawah.

Sewaktu perkelahian antara orang-orang Cina dengan Melayu di Mempawah, Mandor dan tempat-tempat lainnya termasuk Wak Tapak yang berasal dari Patani dan Tengku Simbob yang berasal dari Riau beliau berhasil mengalahkan orang-orang Cina.

Dimulai dengan kedatangan Sheikh Ali ke Mempawah itu secara berantai, orang-orang dari Patani, Kelantan dan Kedah terutamanya yang ada hubungan pertalian keturunan dan keilmuan dengannya terus menerus datang ke Kalimantan Barat, kecuali terhenti setelah Indonesia merdeka kerana sistem pemerintahan telah jauh berubah coraknya.

Tokoh-tokoh yang terkemuka yang berasal dari Patani sesudah itu ialah: Wan Nik al-Fathani iaitu seorang ulama sufi guru masyarakat. Menantunya Haji Hasan al-Fathani adalah Imam Masjid Jamek Pemangkat (Kabupaten Sambas). Haji Hasan al-Fathani sahabat Sheikh Basiyuni Imran yang lebih terkenal dengan gelaran Maharaja Imam Sambas.

Selanjutnya yang datang dari Kedah pula ialah Sheikh Muhammad Yasin yang membuka pondok pengajian di Kuala Mempawah. Dari Kelantan ialah Haji Ismail bin Abdul Majid yang pernah menjadi Mufti Pontianak. Manakala Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani adalah Mufti Mempawah yang terakhir.

Walaupun ketiga-tiga ulama tersebut itu bukan berasal dari Patani, tetapi tetap ada hubungan dakwah dan pendidikan Islam dengan Sheikh Ali kerana sebelum mereka mendapat kedudukan di sana, semuanya tinggal di rumah keturunan Sheikh Ali.

Yang terakhir ialah penulis sendiri yang berasal keturunan Patani di Riau. Datang ke Sambas 18 Januari 1968 dan selanjutnya ke Mempawah 1970-1988, dan sempat mencatat hampir semua peristiwa mulai Sheikh Ali hingga Haji Abdur Rahman al-Kalantani dari mulut Haji Abdur Rahman Kelantan sendiri, kerana beberapa tahun penulis tinggal di rumah beliau.

Selain itu, semua peristiwa pula dicatat dari keturunan mereka dan orang tua-tua di Mempawah.

Peranan ulama Patani di Kepulauan Riau

Kepulauan Natuna, Siantan, Jemaja dan Tambelan yang semuanya terletak di Laut Cina Selatan adalah kepulauan-kepulauan yang mesti disinggah oleh para pelayar pada zaman dulu. Orang Patani pula baik yang dari Patani sendiri ataupun keturunan mereka yang telah lama tinggal di Campa, setiap kali berulang-alik antara Patani-Jawa-Campa, sentiasa singgah di kepulauan-kepulauan itu.

Pulau yang terbesar di Laut Cina Selatan ialah Pulau Bunguran. Di sana, memasuki sungai kecil disebut Sungai Semala, terletak sebuah kubur yang dikeramatkan orang yang disebut Keramat Binjai, iaitu seorang ulama yang berasal dari Patani, yang berkemungkinan dari Semela, Patani.

Keseluruhan Pulau Natuna itu memang dibuka oleh orang Patani. Pemerintah pulau itu disebut sebagai Datuk Kaya dan semua mereka memakai nama 'Wan' di pangkal nama. Menunjukkan bahawa mereka juga berasal dari kaum bangsawan Patani. Demikian halnya dengan Datuk Kaya Kepulauan Tambelan.

Sebelum menceritakan asal-usul Datuk Kaya di sini, penulis catatkan sedikit peristiwa, bahawa sekitar abad ke-16-17, sebuah perahu terdampar di Pantai Teluk Baruk disebut juga Gunung Rujin di Pulau Bunguran itu.

Di tempat perahu itu terdampar kemudian dinamakan orang dengan Tanjung Kapal. Dipercayai perahu tersebut berasal dari Patani setelah melalui Campa. Hinggakan pemimpin rombongan perahu terdampar itu belum diketahui secara pasti, tetapi salah seorang keturunannya bernama Wan Taksim.

Wan Taksim inilah mengutus seorang anaknya bernama Wan Abu Bakar belajar ke Mekah. Beliau hidup sezaman dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Kedua-duanya ada hubungan keluarga dan tinggal serumah di Mekah.

Setelah menjadi ulama, Haji Wan Abu Bakar mendapat arahan Sheikh Daud supaya menyebarkan Islam di kepulauan-kepulauan yang tersebut.

Perintis sebar agama

Boleh dianggap beliau adalah perintis menyebarkan agama Islam di kepulauan-kepulauan yang tersebut itu.

Di Kepulauan Siantan beliau menjadikan Air Bini sebagai pusatnya. Anak beliau bernama Haji Wan Abdur Rahman juga belajar di Mekah, setelah menjadi ulama selain mengembara di kepulauan-kepulauan tersebut beliau juga pernah menyebar Islam di Sarawak.

Beliau menjadikan Pulau Midai sebagai pusat penyebarannya untuk persekitaran Laut Cina Selatan. Beliau adalah imam yang pertama Masjid Baitur Rahman di Pulau Midai yang dibina bersama murid-muridnya yang berasal dari Terengganu.

Adapun Datuk Kaya yang pertama Pulau Bunguran bernama Wan Muhammad Perdana Mahkota. Dari mana beliau berasal menjadi pertikaian pendapat, ada riwayat bahawa beliau berasal dari Johor, riwayat lain berasal dari Patani.

Namun penulis lebih cenderung menyetujui pendapat beliau berasal dari Patani. Mengenai ini sangat jelas bahawa ketika beliau meninggal dunia, anak beliau yang bernama Wan Qamaruddin (Wan Rama) selaku yang berhak menggantinya tidak berada di tempat tetapi sedang tinggal di Campa, maka diutus orang pergi mengambilnya.

Wan Qamaruddin/Wan Rama adalah Datuk Kaya Pulau Bunguran yang kedua. Beliau diganti oleh anaknya, Wan Teras. Wan Teras memperoleh tiga anak dan yang menggantikan beliau sebagai Datuk Kaya ialah Wan Husein. Beliau ini seorang alim meninggalkan sebuah karya tentang ilmu tasauf yang diselesaikan tahun 1289 H/1872 M.

Manuskrip asli karya tersebut pernah menjadi milik penulis, dan telah diserahkan kepada Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia dengan nombor kelas MS 1091.

Anak Datuk Kaya selanjutnya adalah Wan Muhammad Benteng (pemerintahannya tahun 1926-1941) yang dikenali dengan Datuk Kaya Bunguran Timur. Datuk Kaya yang terakhir ialah anak beliau bernama Wan Muhammad Rasyid.

Selain itu, salah satu kebudayaan sejenis Menora, di Pulau Bunguran/Natuna dan di Mempawah, Kalimantan Barat disebut Mendu dipercayai bermula dari kebudayaan Patani.

Salah satu di antara lagu yang didindangkan ada menyebut Kerisik, iaitu: "Dari lah Kerisik, dari lah Kerisik ke pantai lah lalang

Nasib tiada baik, nasib tiada baik hai dirundunglah malang".

Penutup

l Peranan ulama-ulama Patani hanya dapat dibicarakan untuk beberapa buah tempat sahaja, iaitu di Betawi, Sulawesi Selatan, Kalimantan Barat, dan Kepulauan Riau sahaja.

Untuk peranan ulama Patani di tempat lain iaitu di Siak, Jambi, Aceh, Brunei, Semenanjung, Makkah, Mesir dan Turki akan dilanjutkan perbicaraan minggu berikutnya.


Kehebatan ulama Melayu Ahli Sunnah wal Jamaah  

Posted

PERBICARAAN mengenai isu ini pernah dibentangkan penulis dalam satu seminar, yang mana penulis petik sedikit kalimat-kalimat dalam undangan tersebut yang ternyata sungguh mencabar dan prihatin, di antaranya, "Seminar ini dianjurkan antara lain untuk menangani gejala kekeliruan umat Islam yang terjadi akibat penyusupan masuk pelbagai fahaman yang menyeleweng daripada pegangan yang berasas kepada al-Quran, As-Sunnah, Ijmak ulama yang muktabar dan Al-Qiyas as-shahih.

Kekeliruan ini ditambah lagi dengan kecetekan ilmu setengah umat Islam sendiri yang akhirnya menjadi kehairanan tidak tahu untuk membezakan antara kebenaran dan kebatilan dan akhirnya terpengaruh dengan slogan-slogan indah yang dibawa oleh pelbagai puak yang berkepentingan."

Mengenai istilah al-Quran, as-sunnah, Ijmak ulama yang muktabar dan al-Qiyas as-Shahih yang tersebut dalam kalimat secara umum di dunia Melayu, termasuk di Malaysia, pernah penulis bicarakan dalam ruangan ini dan juga diungkapkan dalam satu kertas kerja yang panjang yang dibentang dalam "SEMINAR baHAN RUJUKAN ISLAM NUSANTARA" yang dibentang di Brunei Darussalam.

Petikan ringkas dapat penulis rakamkan di sini, "Ulama silam Nusantara, termasuk ulama silam Patani, akur bahawa rujukan dalam Islam yang paling utama ialah al-Quran dan hadis. Namun mereka tetap memerlukan rujukan yang banyak dengan berbagai-bagai disiplin ilmu yang dikarang oleh para ulama Islam.

Oleh itu, mereka mengukuhkan istilah pegangan iaitu al-Quran, hadis, ijmak ulama dan qiyas as-Shahih. Mereka menolak untuk menentukan segala persoalan Islam berdasarkan pemikiran otak semata-mata."

Sebenarnya ulama-ulama besar kita di dunia Melayu sejak lama sudah mempersiapkan benteng yang kukuh, membendung umat Islam kawasan ini daripada pelbagai penyelewengan.

Ia dapat dibuktikan dengan karya-karya mereka dalam pelbagai keilmuan. Ulama-ulama dunia Melayu yang dianggap menguasai banyak bidang ilmu di antaranya orang Banjar meriwayatkan bahawa Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari (1122 H/1710 M - 1227 H/1812 M) menguasai sekurang-kurangnya 35 bidang ilmu.

Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (1272 H/1856 M - 1325 H/1908 M) pula dirakamkan dalam majalah Pengasuh sanggup mengarang dan mengajar sekurang-kurangnya 47 bidang ilmu. Dalam majalah Pengasuh terbitan yang sama juga disebutkan bahawa Muhammad Yusuf bin Ahmad (Tok Kenali, 1287 H/1871 M -1352 H/1933 M) memperoleh 24 bidang ilmu daripada gurunya, Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Sungguhpun demikian yang sangat-sangat diberatkan atau ditekankan sebagai fardu ain adalah tiga bidang ilmu, ialah akidah, fiqh dan tasawuf. Ketiga-tiga jenis ilmu di atas inilah dianggap benteng pertahanan golongan Ahlus Sunnah wal Jamaah di dunia Melayu.

Walau bagaimanapun, yang benar-benar bernama Ahlus Sunnah wal Jamaah itu menurut kebanyakan ulama ialah pegangan pada akidah, yang dalam hal ini terdapat dua tokoh imam besar. Kedua-dua imam tersebut ialah Imam Abul Hasan al-Asy'ari (260 H/873 M - 324 H/935 M) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (wafat 333 H/944 M).

Imam dalam fiqh pula sekurang-kurangnya banyak dibicaranya empat orang ialah: Imam Hanafi (80 H/699 M - 150 H/767 M), Imam Maliki (93 H - 179 H), Imam Syafi'ie (150 H/768 M - 204 H/820 M) dan Imam Hanbali (164 H - 241 H). Imam dalam tasawuf pula ialah Sheikh Junaid al-Baghdadi (wafat 297 H/910 M).

Karya-karya ulama Melayu sebagai Ahli Sunnah wal Jamaah

Ilmu akidah di kalangan ulama dunia Melayu, bahkan secara keseluruhan ulama Ahli Sunnah wal Jamaah di seluruh dunia Islam dinamakan juga dengan ilmu tauhid, ilmu kalam, ilmu ushuliddin, dan lain-lain. Sheikh Ahmad al-Fathani dalam Jumanatut Tauhid menyebut bahawa ilmu tauhid itu seumpama matahari, ilmu-ilmu selainnya ibarat seperti bintang-bintang saja.

Di dunia Melayu, termasuk Malaysia, disiplin ilmu tauhid adalah termasuk ilmu yang paling diutamakan. Ini dapat dibuktikan dengan sangat banyak kitab ataupun risalah mengenai ilmu itu ditulis oleh ulama-ulama kita.

Untuk menyenaraikan keseluruhan ulama-ulama yang mengarang ilmu ini adalah terlalu banyak.

l Karya ilmu tauhid/ akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang lengkap nama pengarang serta dengan tahunnya yang paling awal dihasilkan adalah ulama yang berasal dari Kedah. Beliau ialah Ahmad bin Aminuddin Qadhi (Kedah) dengan karya Ilmu Tauhid yang ditulis tahun 1032 H/1622 M.

l Kitab ilmu tauhid yang paling tebal pula ialah Warduz Zawahir (1245 H/1829 M) susunan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Diikuti kitab berjudul Aqidatun Najin fi Ushulid Din wa Tashauwufis Shaaffin (1308 H/1891 M) karya Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani dan Fat-hul 'Alim (1324 H/1906 M) karya Haji Abdur Rahman Shiddiq bin Muhammad Afif al-Banjari, Mufti Kerajaan Inderagiri.

l Karya ilmu tauhid/akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang dikarang ulama dunia Melayu dalam bahasa Arab ialah Jumanatut Tauhid (1293 H/1876 M), Munjiyatul 'Awam li Manhajil Huda minaz Zhalam (1293 H/1876 M) dan Sabilus Salam fi Syarhi Hidayatil 'Awam (1306 H/1888 M) yang ketiga-tiganya karangan Sheikh Ahmad al-Fathani.

l Antara kitab lain dalam bahasa Arab juga iaitu Fat-hul Majid fi Syarhid Duraril Farid fi 'Ilmit Tauhid (1294 H/1877 M), Tijanud Darari fi Syarhi Risalatil Bajuri (1297 H/1880 M) dan Zari'atul Yaqin fi Syarhi Ummil Barahin atau Ad-Durratun Nadhra 'alal 'Aqidatish Shughra (1302 H/1885 M), ketiga-tiga karangan Sheikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Bantani.

l Kitab ilmu tauhid/akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang besar pengaruhnya di dunia Melayu pula ialah: Ad-Durrus Tsamin (1232 H/1816 M) karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Faridatul Faraid (1313 H/1895 M) karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, Sirajul Huda (tanpa tarikh) karya Sheikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi dan 'Aqidatun Najin (1308 H/1891 M) karya Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani.

Perhatian raja-raja Melayu

Jauh sebelum kemerdekaan Indonesia (17 Ogos 1945), hampir semua kerajaan dalam jajahan Belanda di dunia Melayu, termasuk di Semenanjung yang dijajah oleh Inggeris berpegang teguh dengan Mazhab Syafie dalam fiqh dan Ahlus Sunnah wal Jama'ah dalam akidah.

Perhatian raja-raja Melayu mengenai perkara yang tersebut sangat jelas, sebagai contoh tokoh Johor, bernama Dato' Abdullah bin Abdur Rahman Muar dalam karya akidahnya berjudul Matnur Risalatit Tauhidiyah pada pendahuluan dicatatkan, "Dan lagi inilah satu daripada beberapa risalah dan kitab-kitab pelajaran yang dibawa balik ke Johor oleh Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Abu Bakar Johor, iaitu pada masa Al-Marhum itu melawat negeri Mesir di dalam bulan Mac tahun 1893 [Masihi]."

Dimaksudkan ialah sebuah risalah tauhid Ahlus Sunnah wal Jamaah yang berjudul Al-'Uqudud Durriyah karya ulama Mesir bernama Sheikh Hamzah Fathullah, pemeriksa sekolah-sekolah Arab di Mesir. Karya tersebut diterjemahkan oleh Dato' Abdullah bin Abdur Rahman Muar ke dalam bahasa Melayu. Setelah menterjemahkan matan, Dato' Abdullah bin Abdur Rahman Muar menulis pula syarah risalah itu yang diberi judul Syarhur Risalatit Tauhidiyah.

Haji Abdul Mubin bin Muhammad Thaiyib Jabbar Syah al-Jarimi al-Fathani adalah seorang ulama Patani yang menjadi guru Sultan Pahang, dalam karya akidahnya berjudul Najatul Ikhwan fima Yahshulu bihil Islam wal Iman (1337 H/1919 M).

Pada halaman muka dinyatakan, "Diterjemahkan ini kitab dengan titah Yang Maha Mulia al-Mu'tashim Billah as-Sulthan Abdullah al-Muzhaffar Syah ibni al-Marhum as-Sulthan Ahmad al-Mu'azhzham Syah Pahang ...".

Daripada kedua-dua maklumat di atas dapatlah diambil kesimpulan bahawa raja-raja Melayu silam mengambil perhatian berat tentang membentengi negeri-negeri di bawah naungan baginda dengan pegangan yang betul, itulah akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.

PETIKAN KANDUNGAN BEBERAPA KITAB ULAMA MELAYU

Terlalu banyak pegangan keislaman yang tepat dan betul telah diamalkan oleh para ulama dunia Melayu dan para ulama seluruh dunia yang pada zaman kita menjadi sebaliknya. Bagi yang betul dikatakan salah dan yang salah dikukuhkan sebagai betul.

Pada zaman ini, kita banyak kali terlihat tulisan atau orang bercakap yang menghina ulama. Di antara tulisan itu seperti dikatakan, "Ulama pembohong" dan lain-lain. Siapakah yang bertanggungjawab menulis demikian, dan ulama yang bagaimanakah yang dimaksudkan sebagai pembohong itu, adalah tidak jelas.

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani di dalam karyanya Ad-Durruts Tsamin (1232 H/1816 M) pernah mengungkapkan bahawa manusia ada jenis yang dinamakan hubbul ulama, iaitu "kasih kepada ulama", dan sejenis lagi dinamakan bughdhul ulama, iaitu "benci kepada ulama".

Penulis tidak hairan jika mencaci, menyalahkan dan memperkecil-kecilkan ulama itu dilakukan oleh orang-orang yang jahil, tetapi adalah sangat menghairankan jika perbuatan seperti itu dilakukan golongan terpelajar Islam sendiri.

Dalam beberapa seminar yang pernah penulis ikuti yang bermotifkan untuk mengangkat martabat seseorang ulama silam yang terkenal misalnya, sekian ramai yang memuji ulama, namun segelintir ada pula yang memperkecil-kecilkan dan memandang sinis kepada ulama silam yang sedang difokuskan.

Bahkan ada yang memandang sesat terhadap ulama silam itu. Ada yang berani menyalahkan Imam Abu Hasan al-Asy'ari, Imam Al-Ghazali dan lain-lain, yang telah demikian terkenal dan menjadi ikutan dan rujukan ulama Islam sedunia berzaman-zaman.

Ulama silam dunia Melayu sama juga nasibnya, segelintir golongan terpelajar Islam dengan tulisan tajam dan suara lantang berani menyalahkan ulama-ulama seperti Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, Sheikh Muhammad Nafis bin Idris bin Husein al-Banjari, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani dan ramai lagi.

Sedangkan mereka itu telah dianggap sebagai ulama yang tsiqah dan turas dunia Melayu oleh ulama rantau ini, sejak antara seratus hingga dua ratus tahun yang lalu.

Bahkan di antara mereka diakui keulamaan dan benar ilmunya oleh ulama-ulama antarabangsa pada zamannya. Umat Islam yang jahil kehilangan pedoman kerana ulama silam yang terkenal dengan kitab-kitab karangannya yang telah diajarkan sekian lama, lalu dipersalahkan oleh tokoh-tokoh Islam masa kini. Tokoh-tokoh Islam masa kini pula sering menyalahkan antara seorang terhadap orang lain yang hidup sezamannya.

Dari hal-hal yang tersebut, kewibawaan ulama dan tokoh Islam zaman kita telah sirna/hilang, akibatnya orang berani menggelar mereka sebagai "Ulama pembohong" seperti yang telah disebutkan di atas.

Isu Jihad

Isu semasa yang terjadi pada zaman kita ini terlalu banyak untuk disentuh. Namun kerana kekurangan ruangan, penulis masuk saja peristiwa terhangat dibicarakan setelah kejadian 11 September 2001, iaitu istilah "JIHAD" yang terjadi pelbagai pentafsiran dan kebersimpangsiuran pendapat antara satu dengan yang lainnya.

Penulis berpendapat bahawa "JIHAD" jika ditinjau dari kitab-kitab fiqh Mazhab Syafie adalah satu istilah yang kadang-kadang digunakan perkataan Kitab al-Jihad, kadang-kadang digunakan perkataan Bab al-Jihad.

Ulama-ulama dunia Melayu menterjemahkan istilah jihad itu dengan "perang sabil", "perang fi sabilillah" dan "perang orang Islam melawan kafir".

Sama ada kita menyetujui atau pun tidak, kerana mempertimbangkan keadaan di pemerintahan mana kita berada atau zaman bila kita hidup, kita mesti mengakui dan berkata benar bahawa dalam fiqh Mazhab Syafie perkataan jihad adalah satu istilah yang ditakrifkan seperti di atas telah ijmak dan muktamad.

Jika kita sebagai seorang ulama, mentakrif pengertian jihad lain dari demikian itu, maka pasti akan dicap dengan perkataan "Ulama pembohong" seperti tersebut di atas oleh orang-orang yang mempelajari fiqh Mazhab Syafie secara teliti, mendalam dan saksama.

Oleh itu kenal pastilah supaya kita tetap amanah dengan ilmu pengetahuan. Katakanlah yang sebenar walau pahit sekali pun.

Mengenai jihad, seperti tersebut di atas, penulis sentuh sehabis-habis ringkas, teliti dan berhati-hati, adalah sebagai catatan penulis mengenai peristiwa besar zaman tersebut (1422 H/ 2001 M).

Namun penulis tiada bermaksud menuding pendapat orang-orang yang tidak menyetujuinya. Selain itu, penulis juga tiada bermaksud mempengaruhi siapapun jua, kerana penulis sedar bahawa kepentingan jasmani dan nafsu peribadi yang cenderung ke arah kebendaan dan seluruh aspek duniawi seseorang adalah berbeza dengan kepentingan rohani yang lebih menekankan seluruh aspek ukhrawi.

Selagi kadar kepentingan jasmani dan nafsu lebih dari kadar kepentingan rohani selagi itulah konsep jihad akan ditolak walaupun telah disepakati oleh para ulama berdasarkan hujah-hujah yang teguh dan kukuh dari al-Quran dan hadis Nabi SAW.

Jika kita benar-benar sebagai seorang Muslim dan Mukmin, kita mesti berpihak dan menerima kebenaran. Pada yang benar itu ialah secara pasti mengikut al-Quran, as-sunah, dan para ulama yang benar, yang beramal soleh. Itulah para ulama yang secara pasti meletakkan kepentingan Islam lebih tinggi dari segala kepentingan lainnya, termasuk kepentingan peribadi sendiri.

Ciri-ciri Muslim dan Mukmin yang benar, seperti tersebut, terdapat pada ulama-ulama silam dunia Melayu. Oleh itu mereka adalah layak kita ikuti jejak perjuangan mereka.


Ulama dunia Melayu sebagai pelopor Melayu Islam  

Posted

"SIAPA pelopor?" Perlu ditanggapi dan dicari jawapan yang betul dan tepat. Pertanyaan tersebut adalah sukar dijawab, namun penulis cuba menghuraikan berdasarkan bahan-bahan tertulis dan pengalaman yang pernah ditempuhi. Sukar penulis katakan, kerana pertanyaan itu masih terlalu umum.

Pelopor dunia Melayu Islam di daerah mana yang dimaksudkan, kerana dunia Melayu Islam adalah sangat luas membentang mulai dari Cam di benua besar Asia, Patani dan Semenanjung Tanah Melayu. Singapura yang telah bernegara sendiri, hingga ke Kepulauan Filipina, Brunei Darussalam, Sabah serta Sarawak, Indonesia dan Timur Leste yang baru merdeka.

Juga pertanyaan masih belum jelas, pelopor Melayu Islam zaman bila yang dimaksudkan.

Pelopor Melayu Islam pada setiap zaman sekurang-kurangnya dapat dibahagi kepada dua golongan. Ada pelopor Melayu Islam yang terdiri dari golongan ulama, ada pula pelopor Melayu Islam memperjuangkan nasional untuk kemerdekaan.

Sebagai contoh dalam pertarungan politik di Indonesia, antara M. Natsir dengan Soekarno akhirnya kemenangan berpihak kepada Soekarno. Dalam pertarungan politik di Semenanjung Tanah Melayu pula, Ibrahim Ya'qub dan kawan-kawan, membentuk Kesatuan Melayu Muda (KMM) ternyata kemenangan berpihak kepada Tunku Abdul Rahman Putra.

Semua pelopor politik yang tersebut adalah Melayu Islam (sekurang-kurangnya serumpun Melayu).

Selain sebahagian ulama sebagai pemula atau pencetus dalam pelbagai peradaban atau ketamadunan Melayu Islam yang meliputi keseluruhan aspek kepentingan dunia Melayu, kader-kader mereka pula muncul sebagai generasi penerus.

Di antara mereka ada yang muncul sebagai pahlawan Islam dan tanah air.

Sebagai contoh, Tok Janggut di Kelantan pernah belajar kepada beberapa orang ulama di Mekah, termasuk kepada Sheikh Ahmad al-Fathani muncul sebagai penentang pemerintahan Inggeris. Beliau mati di tali gantung.

Mat Kilau di Pahang adalah seorang pahlawan, beliau adalah murid dan kader Mufti Haji Utsman, Mufti Kerajaan Pahang yang pertama. Haji Utsman pula adalah murid Sheikh Muhammad bin Ismail al-Fathani (penyusun kitab Mathla'ul Badrain yang terkenal).

Sama ada Tok Janggut mahupun Mat Kilau dalam zaman penjajahan Inggeris dianggap penjahat atau penjenayah, penderhaka terhadap pemerintah. Demikian bijak tipu helah pemerintahan penjajah Inggeris menyelewengkan fakta yang sebenarnya.

Walaupun sekarang kita telah merdeka, sejarah Tok Janggut, Mat Kilau bahkan ramai lagi, masih tetap terselubung bagi generasi kini. Jika generasi kini tidak berusaha memperkenalkan para patriotik kita, maka nama mereka akan lenyap ditelan zaman.

Pelopor

Pelopor yang sebenar ditinjau dari segi agama Islam ialah para Nabi dan Rasul, yang kemudian diikuti oleh para ulama sebagai pewaris para Nabi dan Rasul. Ulama yang menjadi pelopor sangat ramai, yang tidak mungkin disebut satu persatunya di dalam ruangan yang terbatas ini.

Sekian ramai ulama sejak zaman awal hingga tersebarnya Islam di dunia Melayu cukup dikenal dan menjadi ikutan para ulama dunia Melayu seumpama Imam Syafie (Imam Mazhab dari segi fiqh), Imam Abul Hasan al-Asy'ari (Imam akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah), Sheikh Juneid al-Baghdadi (Imam dari segi tasauf), dan lain-lain termasuk ahlul mujtahid Mazhab yang datang sesudah mereka.

Di antara mereka yang kitab-kitabnya menjadi pegangan yang kukuh di dunia Melayu ialah Imam al-Ghazali, seorang tokoh pelopor Islam membahas keilmuwan pelbagai aspek terutama fiqh Syafiiyah, akidah Asya'irah dan sufiah. 'Ulama' ahlil hadis seumpama Imam Bukhari, Imam Muslim dan ramai lagi adalah tidak asing bagi ulama dunia Melayu.

Para ulama dunia Melayu yang pasti, yang dianggap sebagai pelopor, adalah sangat ramai. Yang dapat penulis sebutkan di sini berdasar bukti nyata diutamakan adalah ulama-ulama yang menghasilkan karya penulisan saja, selebihnya belum dapat dibicarakan.

Dalam zaman kebesaran kerajaan Islam Aceh, telah muncul Sheikh Hamzah al-Fansuri tokoh sufi dengan gubahan-gubahan syairnya yang sangat indah. Walaupun sementara ada insan yang mengecam, yang menganggap zindiq dan sesat terhadapnya, namun tiada siapa dapat menafikan bahawa Hamzah al-Fansuri adalah orang pertama pencipta syair dalam bahasa Melayu.

Gaya syair Hamzah al-Fansuri berkembang terus dari satu generasi ke satu generasi hingga sampai ke zaman kita, masih tetap segar dalam kajian sastera Melayu, baik dalam dunia Melayu sendiri mahupun peringkat antarabangsa.

Kepeloporan Hamzah al-Fansuri dalam dunia sufi Melayu juga tidak pernah pudar, walaupun ada segolongan orang yang berusaha membendung kesinambungan karya-karyanya. Hamzah al-Fansuri dalam ilmu kesufiyahannya bukanlah muncul dengan tiba-tiba, dicetuskan bersendirian, tetapi ada asal usulnya.

Tokoh sufi

Dunia Islam pernah kenal dengan tokoh-tokoh besar sufi seumpamanya, seperti Abu Yazid al-Bisthami, Abu Manshur al-Hallaj, Ibnu 'Arabi, dan ramai lagi. Rangkaian zaman Hamzah al-Fansuri diikuti oleh Sheikh Syamsuddin as-Sumatra-i, Sheikh Nuruddin ar-Raniri dan Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Sheikh Nuruddin ar-Raniri adalah orang pertama menulis tentang fiqh Bab 'Ibadah dalam bahasa Melayu yang diberi judul Ash-Shirat al-Mustaqim.

Serentak dengan itu Sheikh Nuruddin ar-Raniri pula orang pertama menulis kitab hadis dalam bahasa Melayu yang diberi judul Hadiyatul Habib. Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri adalah 'ulama' ahlis syariah wah haiqiqah yang paling berkesan dalam rangkaian zaman itu, selain mempunyai murid yang ramai sebagai penyebar Islam dari pelbagai wilayah dunia Melayu.

Beliau adalah pelopor murabbir ruhi sehingga tersebarnya ajaran tasauf menurut metod tarekat terutama Tarekat Syathariyah. Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri pula adalah pelopor terjemah dan tafsir al-Quran lengkap 30 juzuk yang pertama dalam bahasa Melayu yang diberi judul Turjuman al-Mustafid.

Serentak dengan itu beliau pula orang pertama pelopor penulisan fiqh tentang undang-undang kehakiman Islam dalam bahasa Melayu yang diberi judul Mir'atut Thullab. Beliau juga orang pertama sebagai penterjemah Hadis Arba'in Imam Nawawi yang sebahagian besar pentafsirannya menurut kaca mata sufi.

Dalam penulisan sejarah peradaban dan raja-raja dunia Melayu, para pengkaji selalu menyebut tiga gandingan nama dan tiga karya penting, iaitu Sheikh Nuruddin ar-Raniri penulis Bustanus Salathin, Tun Seri Lanang penulis Sulalatus Salathin atau Sejarah Melayu dan Bukhari al-Jauhari atau al-Johori penulis Tajus Salathin.

Rasanya masih ada yang perlu dikaji atau diselidiki dengan teliti kerana beberapa versi manuskrip Tajus Salathin yang telah ditemukan tidak pernah menyebut nama Bukhari al-Jauhari atau al-Johori.

Nama Bukhari al-Jauhari atau al-Johori bukan sahaja tidak diperkatakan banyak tempat, sekali pun tidak dijumpai dalam sesuatu manuskrip Tajus Salathin termasuk manuskrip yang diterbitkan ini. Pendapat ini bukan bererti memandang sinis, atau kecaman terhadap pengkaji yang terdahulu, jauh dari maksud demikian itu.

Penulis tetap menghargai jasa dan jerih payah mereka yang telah berhasil memperkenalkan khazanah dunia Melayu yang penting, namun kita perlu sedar dan insaf bahawa setiap kajian adalah tidak terhenti pada yang ada saja, setiap ketika ia akan berkembang dengan sendirinya dan memang perlu suatu kebangkitan memperkembangkannya.

Adalah suatu kejumudan atau kebekuan jika kita bertahan dan menerima apa saja yang diperkatakan oleh golongan barisan sarjana-sarjana barat (orientalis). Mengenai ini diakui oleh Syed Nasir bin Ismail (ketika beliau menjadi Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pada Kata Pengantar Taj Us-Salatin, 1965, dan Edisi Kedua, 1992, hlm. vii).

Beliau menulis, "Walau bagaimanapun pendapat-pendapat yang dikemukakan oleh para sarjana terkadang-kadang sangat jauh menyimpang dari kebenaran, maka kita tidak dapat menafikan bahawa Tajus Salatin banyak memperlihatkan keperibadian Melayu sendiri".

TIGA ULAMA PALING POPULAR

Dimaksudkan dengan perkataan tiga serangkai di atas ialah tiga orang ulama yang paling dikenali di dunia Melayu, iaitu Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Ketiga-tiga ulama ini adalah pelopor dunia Melayu dalam bidang keilmuan Islam dan mereka pula telah berhasil membentuk sekian ramai insan Melayu berilmu dan bertakwa kepada Allah SWT. Mengenai tiga orang ulama besar dunia Melayu ini tidak perlu dibicarakan lagi kerana telah penulis sebutkan setiap satunya dalam ruangan ini, termasuk disusun dalam buku.

GENERASI PENERUS

Jumlah ulama generasi penerus sangat ramai di antara mereka sebagai contoh seumpama Sheikh Ismail bin Abdullah Minangkabau, tokoh besar sebagai pelopor Tarekat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah. Sheikh Ahmad Khathib bin Abdul Ghaffar Sambas, tokoh besar sebagai pelopor Tarekat Qadiriyah-Naqsyabandiyah. Raja Ali Haji Riau, tokoh besar sebagai pelopor bahasa dan sastera Melayu, serta sejarah. Ketiga-tiga mereka adalah murid Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, adalah tokoh besar pelopor dunia Melayu dalam pelbagai bidang. Ulama ini sangat besar pengaruhnya bukan hanya di dunia Melayu saja, tetapi termasuk di kerajaan Turki 'Utsmaniyah, Mekah dan Mesir.

Mengenai beliau juga telah dibicarakan dalam siri-siri sebelumnya, di sini penulis sentuh sedikit saja sebagai pelengkap dan menunjukkan kesan yang berkesinambungan.

Sheikh Ahmad al-Fathani adalah pencetus pengkaderan ulama Melayu di Mekah, sangat ramai muridnya. Di antara kadernya yang terkenal termasuklah Kiai Haji Hasyim Asy'ari (yang mengasaskan parti Nahdatul Ulama) dan Mufti Haji Abdullah Fahim. Kedua-dua ulama besar dunia Melayu ini penulis singgung adalah memperhatikan perjalanan sejarah terkini, bahawa cucu Kiai Haji Hasyim Asy'ari bernama Haji Abdur Rahman Wahid (Gus Dur) dalam era reformasi Indonesia sempat menjadi presiden negara itu, tetapi tidak bertahan lama.

Cucu Mufti Haji Abdullah Fahim pula bernama Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah bekas Perdana Menteri Malaysia kelima, yang dilantik pada hari Jumaat, 31 Oktober 2003 M bersamaan 5 Ramadan 1424 H.

Ulama Johor yang murid dan kader Sheikh Ahmad al-Fathani dan ulama Mekah lainnya ialah Kadi Haji Abu Bakar bin Haji Hasan Muar.

Murid beliau ramai, yang dapat ditonjolkan di sini ialah saudara sepupunya Tan Sri Noah, iaitulah ayah mertua Tun Abdul Razak bin Husein, bekas Perdana Menteri Malaysia yang kedua. Murid Kadi Haji Abu Bakar bin Haji Hasan Muar pula ialah Haji Yassin, iaitulah ayah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Demikian halnya dengan Negeri Sembilan, murid dan kader Sheikh Ahmad al-Fathani dan ulama Mekah lainnya ialah Sheikh Muhammad Said bin Sheikh Jamaluddin Linggi. Sheikh Muhammad Said Linggi adalah pelopor terbesar Tarekat Ahmadiyah di dunia Melayu.

Ramai keturunan dan warisnya yang menjadi ulama, di antaranya Mufti Haji Ahmad. Mufti Haji Ahmad inilah yang membaca doa pelantikan Yang di-Pertuan Agong Malaya yang pertama. Mufti Negeri Sembilan yang sekarang (1430 H/2009 M), Asy-Sheikh Datuk Mohd. Murtadza adalah anak Mufti Haji Ahmad bin Sheikh Muhammad Sa'id Linggi yang tersebut.

Rasanya tulisan ini adalah tidak lengkap jika tidak menyebut murid dan kader Sheikh Ahmad al-Fathani yang paling terkenal, beliau ialah Tok Kenali. Murid Tok Kenali pula tersebar seantero dunia Melayu. Di antara murid Tok Kenali ialah Syeikh Idris al-Marbawi, iaitulah penyusun Kamus Al-Marbawi, sebuah kamus Arab-Melayu yang pertama tersebar luas di seluruh dunia Melayu.

Tuan Guru Haji Nik Mat, juga murid Tok Kenali. Tuan Guru Haji Nik Mat adalah ayah Datuk Abdul Aziz Nik Mat, iaitulah Menteri Besar Kelantan sekarang.

Selain Tok Kenali sangat ramai ulama Kelantan yang menjadi pelopor, yang terpenting di antara mereka ialah Nik Mahmud, Dato' Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan, Haji Muhammad bin Muhammad Said, Dato' Laksamana Kelantan.

Dalam masa yang sama dengan era kebangkitan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani di Mekah, sangat ramai ulama yang berasal dari dunia Melayu yang terkenal, sekali gus merupakan guru kepada ulama-ulama dunia Melayu yang muncul sesudah mereka.

Dari pelbagai wilayah dunia Melayu, muncul pula pelopor-pelopor yang terkenal. Di antaranya ialah Haji Amrullah ketika di Mekah seperguruan dengan Sheikh Ahmad al-Fathani, sama-sama belajar dengan Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.

Anak beliau ialah Dr. Sheikh Abdul Karim Amrullah juga belajar di Mekah. Di antara gurunya termasuk Sheikh Ahmad al-Fathani dan Sheikh Ahmad Khathib bin Abdul Lathif Minangkabau. Dr. Sheikh Abdul Karim Amrullah adalah tokoh pelopor tajdid/reformis yang terkenal.

Anak beliau ialah Buya Prof. Dr. Hamka (singkatan nama dari Haji Abdul Malik Abdul Karim Amrullah) seorang tokoh Islam dunia Melayu yang paling popular pada zamannya.

Merujuk kembali tentang Sheikh Ahmad Khathib bin Abdul Lathif Minangkabau, beliau adalah seorang ulama besar yang berasal dari dunia Melayu atau Minangkabau yang pernah menjadi Imam dan khatib Mazhab Syafie di Masjidil Haram, Mekah, adalah pelopor penentang beberapa adat Minangkabau yang dianggapnya bertentangan dengan syarak.

Di antara adat itu ialah memperoleh harta kewarisan atau pusaka dari pihak perempuan. Muridnya juga sangat ramai, bukan yang berasal dari Minangkabau saja tetapi juga dari seluruh dunia Melayu.

Ulama besar dunia Melayu, berasal dari Sarawak, Borneo/Kalimantan, yang mengajar di Masjidil Haram Mekah pula ialah Sheikh 'Utsman bin Abdul Wahhab Sarawak.

Murid beliau juga ramai kerana selain mengajar di Masjidil Haram juga mengajar di beberapa tempat di dunia Melayu. Di antara muridnya termasuk Dr. Sheikh Abdul Karim Amrullah.

Ini diakui oleh Buya Prof. Dr. Hamka dalam bukunya Ayahku. Seorang ulama yang berasal dari Batu Bahara, Pasir Dahari, Inderapura (Langkat) bernama Sheikh Muhammad Zain Nuruddin bin Sheikh 'Abbas al-Khalidi, dalam karyanya berjudul Miftah ash-Shibyan fi 'Aqaid al-Iman menyebut nama beberapa orang gurunya di Mekah, di antaranya termasuk juga Sheikh 'Utsman bin Abdul Wahhab Sarawak.

Haji Sulong bin Abdul Qadir al-Fathani yang berasal dari Patani adalah keturunan ulama besar Patani Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani.

Beliau mendapat pendidikan di Mekah dari ulama-ulama yang telah disebutkan di atas. Selanjutnya Haji Sulong bin Abdul Qadir al-Fathani adalah pelopor kebangkitan jihad fi sabilillah untuk mengembalikan Daulah Fathani Darus Salam yang tidak akan sirna dari lubuk hati umat Islam Patani yang beriman, sedar, menghayati sejarah, dan insaf sepanjang zaman.

Masih ramai pelopor Melayu-Islam baik dari golongan ulama mahupun yang bukan ulama tidak sempat disebut dalam ruangan yang terbatas ini.

Maka sampai di sini saja perbicaraan ini, mudah-mudahan kita dapat mengabadikan nama ulama dunia Melayu tersebut agar generasi penerus masih dapat mengenal sejarah perjuangan mereka dalam memperkasakan dunia Melayu-Islam.