Syeikh Abdul Ghafur bin Abbazs Al-Maduri  

Posted

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

KEMUNCULAN pengkaryaan Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi yang berasal dari Pulau Madura berjudul Tarjamatu Kitabis Shalihin tahun 1200 H/1785 M, adalah bersamaan dengan pengkaryaan Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari judul Ad-Durrun Nafis juga dalam tahun 1200 H/1785 M, yang pernah dibicarakan sebelum ini.

Syeikh Muhammad Nafis berasal dari Banjar, Kalimantan Selatan, manakala Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi pula berasal dari Pulau Madura, Jawa Timur.

Karya ulama yang berasal dari Banjar itu sangat terkenal kerana terdapat berbagai-bagai edisi cetakan dan tersebar luas di seluruh dunia Melayu. Karya ulama yang berasal dari Madura yang akan diperkenalkan ini belum diketahui oleh khalayak insani Melayu, kerana manuskripnya baru saja jatuh ke tangan fakir pengkaji pada Khamis, 5 Rabiulawal 1421 H/8 Jun 2000 M di Tanjung Pinang, ibu kota Kepulauan Riau.

Manuskrip diperoleh daripada anak penyalin manuskrip yang tersebut iaitu Wan Muda binti Wan Muhammad Syawal al-Fathani.

Sewaktu penyerahan manuskrip, Wan Muda dalam usia 115 tahun menerangkan bahawa manuskrip ini adalah salinan orang tuanya Wan Muhammad Syawal al-Fathani.

Penyalinan dilakukan di Pulau Bunguran/ Natuna (Indonesia). Wan Muhammad Syawal al-Fathani meninggal dunia dalam usia yang sangat lanjut di Pulau Bunguran/Natuna dalam usia 130 tahun.

Biografi Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi yang dibicarakan ini sukar diperkenalkan di sini kerana belum pernah ditulis orang. Lagi pula belum ada karyanya yang lain yang dijumpai, karyanya yang disebut namanya di atas adalah merupakan satu-satunya yang sampai ke tangan kita.

Berdasarkan karya tunggal ini, dapat dikesan bahawa Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura adalah hidup sezaman dengan Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari. Dipercayai kedua-duanya adalah seperguruan di Mekah. Tarekat yang diamalnya ialah Tarekat Sammaniyah.

Tiada syak lagi bahawa Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura ialah murid Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Sammani (lahir 1130 H/1717 M, riwayat lain dinyatakan lahir 1132 H/1720 M, wafat 1189 H/1776 M), iaitu guru juga bagi Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, dan ramai lagi.

Analisis manuskrip Tarjamatu kitab Ash-Shalihin

Manuskrip yang dijumpai tidak lengkap hanya 220 halaman saja. Halaman sebenar belum diketahui kerana beberapa halaman bahagian akhir belum dijumpai. Ukuran manuskrip 19 x 15.8 cm. Purata 17 baris setiap muka surat/halaman.

Pada mukadimah Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura menulis, “Ada pun kemudian daripada itu, lagi akan berkata fakir yang berkehendak kepada rahmat-Nya yang kuasa, iaitu asy-Syeikh Abdul Ghafur yang Abbasi, Mandura nama asal negerinya, dan Syafie mazhabnya, dan Khalwati tarekatnya, dan asy-Syeikh Samman itu syeikhnya dan gurunya. Tatkala adalah hijrah an-Nabi s.a.w genap seribu dua ratus (1200 H/1785 M), dan kelebihan akan zaman telah berubah, dan segala manusia daripada jalan yang benar telah berpaling membelakangkan dia, ertinya seperti firman: “Telah nyatalah kebinasaan dalam daratan dan lautan dengan suatu yang diperbuat akan dia oleh segala tangan manusia”.

“Tergeraklah bagiku khathir bahawa hendak ku terjemahkan kitab yang bernama Ash-Shalihin ... iaitu karangan asy-syeikh yang alim, lagi banyak ilmunya, yang mentahqiqkan segala masalah, lagi halus pada fahamnya, lagi arif dengan Allah s.w.t, iaitu asy-Syeikh Abdullah yang anak asy-Syeikh Abdul Aziz. Memberi manfaat kiranya akan kami oleh Allah dengan dia dan dengan segala ilmunya dan segala Muslimin”.

Sesudah mukadimah yang ada persamaan dengan Hidayatus Salikin,(1192 H/1778 M) karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, dari segi disiplin ilmu yang dibicarakan iaitu ilmu akidah Ahli Sunah wal Jamaah. Namun begitu, dari segi pembahasan dan kalimat-kalimat yang digunakan adalah berbeza.

Dilanjutkan dengan Fasal Pada Menyatakan Kelebihan Orang Alim Dan Kelebihan Orang Yang Menuntut Ilmu. Mengenai fasal ini dimulai dengan hadis riwayat Saidina Ali, “Bahawasanya ia berkata, Telah ku dengan Rasulullah s.a.w,” ... ertinya, “Bermula menilik kepada muka orang yang alim itu menjadi ibadat dan menjadi cahaya pada badan dan menjadi cahaya dalam hati”.

Selanjutnya dijelaskan lagi dengan katanya, “Syahdan hukum pada sembahyang yang lima waktu 17 rakaat, ada pun bagi sembahyang Zuhur dan Asar itu, maka iaitu lapan rakaat kerana empat rakaat keduanya. Maka barang siapa menyembahyangkan dia, maka terbukalah baginya sekalian pintu syurga yang kelapan. Dan Maghrib dengan Isyak itu tujuh rakaat. Maka barang siapa menyembahyangkan dia, nescaya tertutuplah sekalian pintu neraka yang tujuh. Maka Subuh dua rakaat, maka dengan rakaat yang pertama diampun baginya segala dosanya yang ada pada malamnya. Dan dengan rakaat yang kedua diampun baginya segala dosanya yang pada siangnya”.

Fasal yang berikutnya diberi judul Fasal Pada Menyatakan Puasa. Mengenai ini nampaknya hanya sebagai pelengkap saja, huraian yang diberikan sangat singkat, tidak seperti mengenai sembahyang.

Sesudah Fasal Pada Menyatakan Puasa, diikuti Fasal Pada Menyatakan Zakat. Huraian mengenai zakat lebih panjang dari huraian mengenai puasa. Sebagai penutup huraian zakat, Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura menegaskan, “Syahdan wajib menunaikan zakat dengan bersegera apabila diperoleh dengan dia, seperti ada harta hadir atau sudah kering buah-buahannya daripada dapat dia atau lainnya ...”.

Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura juga memandang penting adab golongan perempuan, maka sesudah Fasal Pada Menyatakan Zakat diikuti dengan Fasal Pada Menyatakan Segala Perempuan Dan Bersama-sama Dengan Dia.

Mengenai ini Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura memulai dengan sepotong hadis Nabi s.a.w, “Bermula perempuan itu apabila sembahyang ia akan lima waktunya, dan memberi zakat ia akan hartanya, dan puasa ia akan bulannya, yakni bulan Ramadan, dan taat ia akan suaminya, dan memelihara ia akan farajnya daripada yang haram, maka masuklah ia akan syurga pada barang pintu yang dikehendakinya ...”

Hadis yang tersebut dapat diklasifikasikan ke dalam hadis targhib (tentang khabar gembira), sesudahnya disambung dengan yang bercorak hadis tarhib (khabar ketakutan) dengan kalimatnya, “Dan lagi ceritera daripada Abu Hurairah, bahawasanya ia berkata, Telah ku dengar Rasulullah s.a.w bersabda ia dengan sabdanya, “Barang di mana ada perempuan keluar ia daripada rumah suaminya dengan tiada setahu suaminya melainkan disia-siakan oleh Allah amalannya 40 hari. Dan tiada diterima oleh Allah daripadanya segala-gala, banyak atau sedikit. Maka jika ia mati di dalam demikian hari itu nescaya dapat kerugian di dunia dan di akhirat...”.

Adalah patut juga dipetik satu kisah yang menyeramkan yang berasal dari hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Saiyidina Ali Karramahullahu wajhah, ditulis oleh Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura sebagai yang berikut, “... sabdanya, Telah ku lihat seorang daripadanya perempuan yang tergantung dengan rambutnya dan mendidih otak kepalanya. Dan ku lihat akan seorang perempuan yang tergantung dengan lidahnya dan air neraka yang panas dituangkan ke dalam lehernya. Dan ku lihat pula seorang perempuan yang tergantung dengan dua kakinya padahal terikat lagi terlipat. Telah mengeluarkan segala malaikat yang menyiksa dengan dua tangannya daripada pihak belakang dan minyak tanah dilumurkan pada badannya, dan dituangkan atasnya dimasukkan dalam lehernya.

“Dan ku lihat pula seorang perempuan yang tergantung dengan dua susunya dan buah zaqqum itu dituangkan dan dimasukkan dalam lehernya. Bermula zaqqum itu, iaitu buah kayu di dalam neraka yang amat pahitnya. Iaitulah makanan isi neraka. Dan ku lihat pula seorang perempuan yang tergantung padahal memakan ia daging dirinya dan api neraka pada pihak bawahnya. Dan ku lihat pula seorang perempuan yang tergantung, telah menambat segala Malaikat itu akan dua kakinya kepada dua susunya dan ditambatkan dua susunya kepada ubun-ubunnya.

“Dan dijadikan atas badannya beberapa ular dan kala hal keadaannya memakan ia akan dagingnya dan meminum ia akan darahnya. Dan ku lihat pula seorang perempuan yang tergantung hal keadaannya buta, tuli dan kelu di dalam kandungan daripada api neraka keadaannya keluar otak daripada kepalanya mengalir ke dalam hidungnya. “Dan segala badannya amat busuk lagi terpotong seperti kena penyakit besar. Dan ku lihat pula seorang perempuan yang tergantung hal keadaannya dipotong segala daging badannya daripada hadapan hingga ke belakangnya daripada segala anggotanya dengan kening daripada api. “Dan ku lihat pula seorang perempuan yang tergantung hal keadaannya hitam sekalian mukanya dan busuk badannya dan ia memakan isi perutnya. Dan ku lihat pula seorang perempuan yang tergantung kepala babi dan tubuhnya seperti tubuh keldai dan atasnya seribu warna daripada seksa. Dan ku lihat pula seorang perempuan yang tergantung atas rupa anjing, dan api itu masuk dari bawah dirinya dan keluar ia daripada mulutnya. Dan Malaikat itu memukul mereka itu, akan kepalanya dan badannya daripada pemukul daripada api ...”.

Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura menyebut sampai pada kalimat itu Saiyidina Ali bin Abi Thalib dan Saidatina Fatimah bertanya kepada Rasulullah tentang dosa perempuan-perempuan yang terseksa yang berbagai-bagai itu, maka sabda Rasulullah, “Ada pun perempuan yang digantung dengan rambutnya itu, maka bahawasanya ia tiada mahu menutupi rambutnya daripada segala lelaki yang lain, yang haram melihat dia. Dan ada pun perempuan yang digantung dengan lidah di air yang panas dituangkan ke dalam lehernya itu, maka bahawasanya ia menyakiti akan suaminya. Dan ada pun perempuan yang ada tergantung dengan dua susunya itu, bahawasanya ia tiada memberikan daripadanya suaminya tiada dengan izinnya. Dan ada pun perempuan yang tergantung dengan dua kakinya dalam kurungan api itu, maka bahawasanya ia keluar daripada rumah suaminya tiada dengan izin daripadanya. Dan ada pun perempuan yang ada tergantung dan memakan tubuhnya dan api nyalakan daripada pihak bawahnya, maka bahawasanya ia memperhiasi akan tubuhnya kerana orang yang lain dan tiada memperhiasi ia akan suaminya. Dan ada pun perempuan yang ada tergantung dengan dua kakinya yang tertambat kepada dua susunya dan dua susunya tertambat kepada ubunnya dan telah dijadikan kepadanya beberapa ular dan kala yang memakan ia akan dagingnya dan meminum ia akan darahnya, maka bahawasanya ia di dalam tiada bersuci-suci badannya, dan tiada hendak mandi daripada junub, dan tiada haid, dan tiada nifas, dan ia meringan-ringankan, dan persendakan daripada sembahyang. Dan adapun perempuan yang ada tergantung hal keadaannya kelu, dan buta, dan tuli yang ada ia di dalam kandungan daripada api neraka, maka bahawasanya ada ia mendatangkan dengan anak daripada zina ditambatkan akan dia pada batang lehernya suaminya ...”.

Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura menutup fasal ini dengan katanya, “Syahdan, apabila tegah bagi durhaka perempuan akan suaminya nescaya wajib atas suaminya mengajar akan dia. Maka apabila nyata durhakanya nescaya tinggalkan akan dia dalam tempat ketidurannya. Maka kekal durhakanya nescaya dipalu (dipukul) akan dia. Dan gugurlah nafkahnya dengan dia ...”.

Sesudah Fasal Pada Menyatakan Segala Perempuan Dan Bersama-sama Dengan Dia, diikuti dengan Fasal Pada Menyatakan Adab/Sopan Santun Serta Ibu Bapa. Mengenai ini dimulai dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali, sabda Rasulullah s.a.w, “Bahawasanya Allah s.w.t telah memfardukan atas segala Mukmin taat bagi ibu bapanya seperti memfardukan Ia sembahyang akan yang wajib bagi ibu bapanya ...”.

Termasuk bahagian yang terpenting Tarjamatu Kitabis Shalihin ialah membicarakan perkara maksiat zahir dan maksiat batin. Sesudah itu dilanjutkan Fasal Pada Menyatakan Hukum Zina. Pada fasal ini terjadi penggabungan pentafsiran ayat al-Quran, hukum fiqh Syafi’iyah dan hadis-hadis targhib dan tarhib.

Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura memulai perkara ini dengan katanya, “Ketahui olehmu bahawasanya zina itu, iaitu dosa besar, tiada di bawah kufur dan menyekutui Allah s.w.t daripada dosa yang terlebih besar daripada zina. Hingga direjam yang berbuat dia ...”. Dalam fasal mengenai ini sekali gus serba ringkas disentuh juga tentang ancaman memakan harta riba dan zalim tidak menjalankan hukum menurut yang sebenar, diperintah oleh Allah s.w.t.

Setelah mengemukakan perbuatan dosa yang terkutuk dengan ancaman hukuman yang sangat berat di akhirat, lalu Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura menganjurkan supaya melakukan taubat. Mengenai ini dinyatakan dalam Fasal Pada Menyatakan Taubat. Mengenai ini dimulai dengan kalimat, “Ketahui olehmu hai sekalian mukalaf, bahawasanya taubat itu fardu atas tiap-tiap Mukmin lelaki dan perempuan merdeka dan sahaya....”.

Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura menegaskan, “Hendaklah dengan bersegera, kerana haram melambatkan dan mentakhirkan akan dia. Kerana tiap-tiap wajib menyegerakan dia haram melambatkan akan dia, sama dosa besar atau dosa kecil, daripada perkataan atau perbuatan...”

Setelah membahas tentang taubat dengan panjang, Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura menyelitkan dengan satu cerita yang menarik dari khabar/hadis, bahawa Allah telah menjadikan seperti pohon kayu dan baginya ada empat cabang.

Dinamakan perkara itu dengan Syajaratul Yaqin. Dari bahagian ini diceritakan dengan panjang lebar tentang kejadian Nur Muhammad. Selanjutnya kejadian keseluruhan makhluk baik pada alam ghaib mahu pun alam zahir, baik alam shaghir mahu pun alam kabir, baik alam dunia mahu pun alam akhirat.

Kesimpulan kandungan keseluruhan manuskrip Tarjamatu Kitabis Shalihin, karya Syeikh Abdul Ghafur bin Abbasi Madura meliputi berbagai-bagai ilmu keislaman yang terdiri daripada hadis terutama hadis targhib dan tarhib, akidah, fikah, tasauf dan lain-lain yang ada hubungan dengannya.

* Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah.
This entry was posted on 07 October 2007 at Sunday, October 07, 2007 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment