Sheikh Abdus Shamad Al-Falimbani penulis prolifik  

Posted

Koleksi Tulisan Allahyarham: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
Karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani tidak sebanyak karya sahabatnya, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Ini kerana Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani memperoleh ilmu pengetahuan dalam usia muda dan umurnya juga panjang. Sedangkan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, mahupun Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari umumnya jauh lebih tua daripada Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani bahkan boleh dijadikan ayahnya.

Walau bagaimanapun, Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari termasuk dalam klasifikasi pengarang yang produktif. Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari terkenal dengan fiqhnya yang berjudul Sabilul Muhtadin.

Sheikh Abdush Shamad al-Falimbani adalah yang paling menonjol di bidang tasauf dengan dua buah karyanya yang paling terkenal dan masih beredar di pasaran kitab sampai sekarang ini ialah Hidayatus Salikin dan Siyarus Salikin.

Seluruh karangannya yang telah diketahui umum seperti di dalam carta.

Penjelasan-penjelasan lengkap mengenai karya-karya beliau boleh dirujuk dalam buku berjudul, Sheikh Abdus Shamad Palembang Ulama Shufi dan Jihad Dunia Melayu, pada halaman 96 hingga 148.

Wafat

Sebagaimana telah terjadi kekeliruan beberapa tulisan mengenai tahun kelahiran Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, demikian halnya juga dengan tahun kewafatannya. Perbahasan mengenai kewafatannya adalah dihuraikan seperti yang berikut di bawah ini.

Dr M. Chatib Quzwain menulis dalam kertas kerja dan bukunya berjudul Mengenal Allah Suatu Studi Mengenal Ajaran Tasauf Sheikh Abdus Shamad al-Palimbani, halaman 180-181: Bahawa dalam tahun 1244 H/1828 M dikatakan umur Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani 124 tahun. Baik pendapat Dr. M Chatib Quzwain mahupun pendapat Dr. Azyumardi Azra perlu disanggah berdasarkan fakta sejarah.

Sebelum mengemukakan hujah, selengkapnya penulis salin di bawah ini. Azra menulis, “Meskipun saya tidak dapat menentukan secara pasti angka-angka tahun di seputar kehidupannya, semua sumber bersatu kata bahwa rentang masa hidup Al-Palimbani adalah dari dasawarsa pertama hingga akhir abad kedelapan belas.

Al-Baythar menyatakan, Al-Palimbani meninggal setelah 1200/1785. Tetapi kemungkinan besar dia meninggal setelah 1203/1789, iaitu tahun ketika dia menyelesaikan karyanya yang terakhir dan paling masyhur, Sayr Al-Salikin. Ketika dia menyelesaikan karya ini, mestinya umurnya adalah 85 tahun.

“Dalam Tarikh Salasilah Negeri Kedah diriwayatkan, dia terbunuh dalam perang melawan Thai pada 1244/1828. Tetapi saya sukar menerima penjelasan ini, sebab tidak ada bukti dari sumber-sumber lain yang menunjukkan Al-Palimbani pernah kembali ke Nusantara. Lebih jauh lagi, waktu itu mestinya umurnya telah 124 tahun terlalu tua untuk pergi ke medan perang.

“Walaupun Al-Baythar tidak menyebutkan tempat di mana Al-Palimbani meninggal, ada kesan kuat dia meninggal di Arabia”.

Tanggapan dari penulis bahawa sumber dari Al-Baythar yang menyebut tahun kewafatan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani 1200 H/1785 M, seperti yang disebut oleh Dr. Azyumardi Azra itu adalah ditolak.

Dengan disebutkannya bahawa Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani wafat tahun 1200 H/1785 M adalah sebagai bukti bahawa Al-Baythar tidak banyak tahu tentang Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani. Bahkan tulisannya sendiri bertentangan antara satu sama lainnya.

Cuba diperhatikan kalimat Dr. Azyumardi Azra dalam buku yang sama halaman 250, “Al-Baythar meriwayatkan, pada 1201/1787 Al-Palimbani mengadakan perjalanan ke Zabid di mana dia mengajar murid-murid terutama dari keluarga Ahdal dan Al-Mizjadi”.

Bagaimanakah ini boleh terjadi, pada tempat lain Al-Baythar mengatakan Al-Palimbani wafat setelah 1200 H/1785 M. Di tempat yang lain disebutnya Al-Palimbani ke Zabid tahun 1201 H/1787 M. Oleh itu persoalan-persoalan lain yang bersumber dari Al-Baythar mengenai Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani yang menyalahi sumber-sumber yang telah dianggap benar oleh tradisi/mutawatir dunia Melayu adalah ditolak juga.

Sumber wafat 1200/1785 M penulis tegaskan adalah tidak tepat kerana menyalahi dengan tulisan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani sendiri. Kitab-kitab yang dikarang/diselesaikan oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani sesudah tahun 1200 H/1785 M itu ialah Risalah Isra’ wa Mi’raj, yang dicatat oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani sendiri selesai menulisnya pada tahun 1201 H, kira-kira bersamaan 1786/87 M. Umumnya, juga diketahui ialah Siyarus Salikin jilid ke-IV, diselesaikan pada malam Ahad, 20 Ramadhan 1203 H di Taif, kira-kira bersamaan tahun 1789 M.

Pendapat Dr. Azyumardi Azra pada kalimatnya, “Ketika dia menyelesaikan karya ini, mestinya umurnya adalah 85 tahun”, adalah tertolak kerana tahun kelahiran Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani yang dikemukakan oleh kedua-dua sarjana tersebut adalah ternyata salah seperti yang telah disebutkan sebelum ini.

Malahan ramai yang menduga bahawa kewafatan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani tahun 1203 H/1789 M. Penulis memang tidak berani hanya dengan menduga apabila tidak cukup bukti. Walau bagaimanapun penulis tetap menolak tahun wafat Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam tahun 1203 H/1789 M yang hanya berdasarkan tahun beliau selesai mengarang Siyarus Salikin itu.

Malah penulis tetap yakin bahawa Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani memang terlibat langsung dalam peperangan di antara Kedah-Patani melawan Siam yang terjadi jauh sesudah tahun 1203 H/1789 M itu. Ini berdasarkan cerita yang mutawatir, dikuatkan sebuah manuskrip salinan Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu murid Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, telah diketemukan kubur beliau dan lain-lain yang perlu dikaji dengan lebih teliti.

Dr. M. Chatib Quzwain menyebut bahawa kubur Sheikh Abdus Samad al-Falimbani di Palembang, Dr. Azyumardi Azra pula menyebut, “ada kesan kuat dia meninggal di Arabia”, kedua-dua pendapat tersebut bertentangan dengan Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah. Juga bertentangan dengan cerita popular masyarakat Islam di Kedah, di Patani, Banjar, Mempawah/Pontianak dan tempat-tempat lain yang ada hubungan pertalian penurunan keilmuan tradisional Islam dunia Melayu.

Selain itu, bertentangan pula dengan manuskrip Al-Urwatul Wutsqa karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani yang disalin oleh Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu, salah seorang murid Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani. Bertentangan pula dengan pembuktian bahawa diketemukan kubur Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani di perantaraan Kampung Sekom dengan Cenak termasuk dalam kawasan Tiba, iaitu di di Utara Patani.

Penulis tidak pasti sumber manakah yang digunakan oleh Dr. Azyumardi Azra yang menyebut, “ada kesan kuat dia meninggal di Arabia” itu. Sedangkan tulisan penulis dalam majalah Dian tersebut sekali-kali tidak merujuk kepada Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah, tetapi ternyata jalan ceritanya adalah sama. Pada waktu itu penulis tidak mengetahui bahawa riwayat tersebut termaktub dalam buku tersebut. Buku tersebut diterbitkan tahun 1968, sedangkan cerita mengenai Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani penulis dengar sejak tahun 1958 lagi.

Kemudian setelah tulisan awal (Dian, 1977) dan tulisan yang kedua (Al-Fathaanah, 1983), kedua-duanya belum begitu banyak dijumpai hujah. Maka tulisan yang seterusnya daripada itu termasuklah tulisan artikel ini, menurut pertimbangan penulis cukup padat dengan pembuktian-pembuktian. Percaya atau tidak terserah kepada penilaian para pembaca yang dapat menggunakan akalnya.

Dalam penyelidikan, apabila pembuktian telah cukup, maka tidak ada alasan untuk kita mempertahankan sesuatu kekeliruan itu. Mahu tidak mahu kita mesti mengikut kebenaran pembuktian. Jika di belakang hari ternyata tulisan penulis keliru, insya-Allah penulis akan mengikut siapa saja yang dapat membetulkannya dengan syarat berdasarkan pembuktian-pembuktian yang cukup kuat pula.

Keturunan

Mengenai keturunan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, maklumat terawal hanya dijumpai dalam karya-karya Sheikh Yasin Padang, bahawa beliau menulis anak Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani bernama Fathimah.

Memperhatikan bahawa ramai ulama Asia Tenggara menerima sanad daripada Fathimah binti Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, bererti beliau ini adalah seorang ulama, walau pun beliau seorang perempuan. Di antara ulama-ulama tanah Jawi sebagai murid Fathimah binti Sheikh Abdus Shamad al- Falimbani ialah Sheikh Azhari bin Abdullah al-Falimbani, Sheikh Nawawi al-Bantani dan ramai lagi.

Walau bagaimanapun sehingga artikel ini ditulis, belum diketahui keturunan Fathimah binti Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani itu, kemungkinan keturunannya berada di Mekah.

Antara kitab karangan Sheikh Abdush Shamad al-Falimbani

1. Zahratul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid, 1178 H/1764 M.

2. Risalah Pada Menyatakan Sebab Yang Diharamkan Bagi Nikah, 1179 H/1765 M.

3. Hidayatus Salikin fi Suluki Maslakil

Muttaqin, 1192 H/1778 M.

4. Siyarus Salikin ila ‘Ibadati Rabbil ‘Alamin, 1194 H/1780 M-1203 H/1788 M.

5. Al-‘Urwatul Wutsqa wa Silsiltu Waliyil Atqa.

6. Ratib Sheikh ‘Abdus Shamad al-Falimbani.

7. Nashihatul Muslimina wa Tazkiratul Mu’minina fi Fadhailil Jihadi wa Karaamatil Mujtahidina fi Sabilillah.

8. Ar-Risalatu fi Kaifiyatir Ratib Lailatil Jum’ah

9. Mulhiqun fi Bayani Fawaidin Nafi’ah fi Jihadi fi Sabilillah

10. Zatul Muttaqin fi Tauhidi Rabbil ‘Alamin

11. ‘Ilmut Tasawuf

12. Mulkhishut Tuhbatil Mafdhah minar Rahmatil Mahdah ‘Alaihis Shalatu was Salam

13. Kitab Mi’raj, 1201 H/1786 M.

14. Anisul Muttaqin, manuskrip dalam simpanan penulis.

15. Puisi Kemenangan Kedah.
This entry was posted on 13 December 2007 at Thursday, December 13, 2007 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment