Sheikh Ahmad al-Fathani dan pelbagai ilmu  

Posted

Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

PENGENALAN
Mengenai karya-karya Sheikh Ahmad al-Fathani telah dibicarakan secara umum sebelum ini. Maka penulisan mengenai beliau ini masih diteruskan lagi kerana masih banyak yang perlu dibicarakan dalam pelbagai perkara.

Adapun setelah selesai mengenai karya-karya beliau, dilanjutkan pula perkara yang berkaitan Sheikh Ahmad al-Fathani dalam pelbagai ilmu. Mengenai demikian, ia dibahagikan kepada tiga bahagian. Pada setiap bahagian pula mempunyai subjudul yang tersendiri.

Pada bahagian pertama ini, dimulakan perbicaraan mengenai beliau sebagai Pentashhih dan Filolog Melayu. Seterusnya akan dilanjutkan mengenai penglibatan beliau dalam media cetak dan pemikiran dalam politik. Tidak ketinggalan juga mengenai pemikirannya tentang Sains dan Teknologi, falsafah, ilmu Hisab atau Falakiyah, ilmu perubatan, dan sejarah.

Pada bahagian kedua pula, ia dilanjutkan mengenai Sheikh Ahmad al-Fathani dan ilmu-ilmu al-Quran. Dalam hal ini, di bawahnya dibicarakan beberapa subjudul, antaranya Puisi Sheikh Ahmad al-Fathani Pada Kitab al-Mawahib al-Makkiyah dan Puisi Sheikh Ahmad al-Fathani Pada Kitab Maurid azh-Zhammaan. Kedua-dua kitab yang tersebut adalah mengenai ilmu tajwid.

Dilanjutkan pula dengan subjudul lain, iaitu Puisi Sheikh Ahmad al-Fathani Pada Kitab Mujarrabat al-Fawaid. Kitab ini membicarakan ilmu hikmah dan fadilat-fadilat ayat-ayat atau pun surah-surah dalam al-Quran.

Bahagian kedua tersebut berakhir dengan Puisi Sheikh Ahmad al-Fathani Mengenai Khatam al-Quran.

Pengakhiran bahagian iaitu bahagian ketiga ialah mengenai Sheikh Ahmad al-Fathani dan ilmu-ilmu hadis. Di dalamnya dibicarakan puisi-puisi beliau dalam beberapa kitab, antaranya kitab Kasyful Ghummah, kitab al-Jauhar al-Mauhub dan kitab al-Kaukab ad-Durriy.

Sheikh Ahmad al-Fathani

Sebagai Pentashhih dan Filolog Melayu

Pengumpulan manuskrip daripada berbagai-bagai karya yang dilakukan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani sangat erat hubungannya dengan kerja-kerja pentashhihan yang melibatkan ilmu filologi. Dalam pengertiannya yang sederhana, Siti Hawa Haji Salleh dalam Hikayat Patani (1992) di halaman 1, mengatakan bahawa, “filologi ialah kajian tentang naskhah [lama] untuk menetapkan keaslian, bentuknya semula, serta makna isinya”.

Oleh itu tidak keterlaluan apabila kita meletakkan Sheikh Ahmad al-Fathani sebagai tokoh yang awal di dunia Melayu yang memperkatakan filologi Melayu.

Sebelum menerbitkan sesuatu naskhah, Sheikh Ahmad al-Fathani terlebih dulu mengumpulkan berbagai-bagai versi naskhah sesuatu judul. Jika belum ditemui naskhah yang asli, maka beliau terpaksa mengumpulkan naskhah salinan yang lebih banyak lagi. Selain menggunakan naskhah asli atau naskhah salinan, Sheikh Ahmad al-Fathani merujuk kepada naskhah yang pernah diterbitkan dalam bentuk litografi (huruf batu) jika ada.

Menurut Sheikh Ahmad al-Fathani, huruf litografi telah dilakukan di Sungai Pura. Sungai Pura yang disebutkan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani itu belum begitu jelas, berkemungkinan adalah Singapura, tetapi Singapura beliau tulis dengan nama Singapura juga. Oleh itu berkemungkinan ada tempat lain yang bernama demikian.

Jika sesuatu karya Melayu itu merupakan karya terjemahan dari bahasa Arab ataupun dari bahasa Parsi, maka Sheikh Ahmad al-Fathani membanding naskhah terjemahan itu dengan kitab asli pengarangnya sendiri. Jika ditemui sesuatu naskhah yang tidak terdapat nama pengarangnya, maka beliau menggunakan ilmu linguistik untuk menentukan gaya bahasa naskhah yang digunakan oleh seseorang pengarang atau gaya bahasa yang digunakan di sesuatu daerah.

Hal yang tersebut pernah berlaku pada kitab Syarah Hikam Melayu, yang mana pada salah satu terbitan kitab ini beliau tulis catatan, “Telah sempurnalah menthaba’kan ini kitab yang mustatab, iaitu syarah Hikam Ibnu ‘Athaullah, dengan bahasa Melayu. Dan ditashhihkan dan muqabalahkan daripada mulzamah yang keempat hingga kepada ke 17 dengan naskhah yang dibaiki oleh Sheikh Abdul Muthallib ibnu al-Faqih al-Kalantani...Dan adalah selesai mencapkan dia pada pertengahan bulan Syawal 1309 daripada hijrah Nabi kita...”

Sebagai bukti bahawa Sheikh Ahmad al-Fathani senantiasa menggunakan naskhah yang banyak untuk mengkaji sesuatu judul, maka hendaklah dirujuk tulisan beliau pada cetakan ad-Durr an-Nafis karya Sheikh Muhammad Nafis bin Idris al-Banjari, “Ketahui olehmu hai yang waqif atas kitab ini, bahawasanya segala naskhah kitab ini sangatlah bersalah-salahan setengah dengan setengahnya. Dan tiada hamba ketahuikan mana-mana yang muafakat dengan asal naskhah muallifnya. Maka hamba ikutkan pada naskhah yang hamba cap ini akan barang yang terlebih sesuai dan munasabah. Dan tiada hamba kurangkan daripadanya salah satu daripada beberapa naskhah itu akan sesuatu kerana ihtiyat...” (Syeikh Muhammad Nafis, 1884 M/1302 H).

Berdasarkan huraian di atas, selain menggunakan manuskrip, Sheikh Ahmad al-Fathani kadang-kadang menggunakan juga teks yang dicetak lebih awal, seperti yang beliau nyatakan pada beberapa buah kitab yang beliau tashhih dan terbitkan.

Dalam kitab Furu’ al-Masail karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani beliau berkata, “Ketahui olehmu, bahawasanya khutbah kitab ini bersalah-salahan nusukh (jamak perkataan naskhah) padanya, dan berfaraq-faraq sebagai faraq yang jauh antara segala naskhah khat dengan naskhah cap yang dicapkan pada Sungai Pura. Maka yang diitsbatkan dengan naskhah thaba’ ini seperti khutbah cap Sungai Pura kerana ia terlebih manis kalamnya dan terlebih betul kaedah nahunya ...” Kesimpulannya didapati bahawa mukadimah naskhah (manuskrip) kitab Furu’ al-Masail yang ada pada Sheikh Ahmad al-Fathani adalah berbeza dengan mukadimah Furu’ al-Masail pada cetakan Sungai Pura. Tetapi Sheikh Ahmad al-Fathani menurut pilihannya berdasarkan nahu, linguistik, gaya bahasa dan lain-lain, beliau menggunakan cetakan litografi Sungai Pura bukan naskhah tulisan tangan (manuskrip).

Jika konteks karya terjemahan, Sheikh Ahmad al-Fathani membandingkannya dengan karya bahasa asal, selain naskhah (manuskrip) terjemahannya. Sebagai contoh beliau nyatakan dalam kitab Kasyf al-Ghummah karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, “Dan adalah hamba muqabalahkan pada tashhihnya dengan Mukhtasar al-Sya’rani bagi asal yang Arabi, iaitu At-Tazkirah al-Qurthubiyah. Dan hamba tashlih (perbaiki) setengah daripadanya yang tahrif. Maka terjadilah ia bersih ...”

Ini bererti, Sheikh Ahmad al-Fathani selain merujuk kitab asli dalam bahasa Arab, beliau juga membetulkan kekeliruan, kesalahan dan lain-lain yang terdapat pada naskhah (manuskrip) terjemahan.

Tindakan Sheikh Ahmad al-Fathani memansukhkan penelitian awal apabila ada penemuan baru dinyatakan dalam kitab Syarah Hikam Melayu. Dalam kitab Syarah Hikam Melayu yang dicetak dalam tahun 1302 H/1884 M oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, Sheikh Ahmad al-Fathani mengatakan, “... Dan adalah tharah kitab ini, dahulu hamba sebutkan hal keadaan nuqil daripada setengah manusia, bahawa kitab ini karangan bagi setengah daripada ‘ulama’ Terengganu. Kemudian nyata bagi hamba, kemudian daripada periksakan aturan ibaratnya dan pilikkan (pelat) cakapannya, bahawasanya bukan ia bagi orang Terengganu. Maka ada pula orang yang mengkhabar bahawasanya ia karangan orang Aceh adanya. Dan adalah yang muqabalahkan dia atas sekira-kira barang yang ada pada asal naskhahnya. Al-faqir al-fani Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani musyarakan li anisihi al-fadhil Daud ibni almarhum Ismail al-Fathani. Dan selesai mengecapkan dia pada pertengahan bulan Syawal sanah 1302 daripada hijrah Nabi kita Alaihis Shalatu was Salam ...”

Berdasarkan keterangan di atas kita dapati bahawa Sheikh Ahmad al-Fathani telah membanding gaya bahasa yang digunakan oleh orang Terengganu dengan orang Aceh, untuk menentukan keaslian kitab Syarah Hikam Melayu.

Sehubungan dengan cetakan beberapa buah kitab, telah berlaku pemalsuan nama Sheikh Ahmad al-Fathani sebagaimana beliau nyatakan pada cetakan Hidayah as-Salikin yang diterbitkan oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah dalam tahun 1303 H/1885 M.

Katanya, “Ketahui olehmu, telah dithaba’ dahulu daripada ini beberapa kali akan kitab ini (maksudnya: Hidayah as-Salikin) dan kitab Sabil al-Muhtadin thaba’ yang kedua, dan kitab Hikam thaba’ yang kedua juga dengan ketiadaan tashhih. Dan hasil pada sekalian kitab itu salah dan tahrif yang amat banyak. Dan dibangsakan tashhihnya itu kepada hamba yang faqir. Maka hendaklah jangan diperpegangkan dan dipercayakan dengan demikian itu kerana bahawasanya semata-mata dusta dan buat-buat jua ...”

Pada peristiwa lain, Sheikh Ahmad al-Fathani membantah sebuah karya yang dikatakan karangan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Beliau menulis, “Dan ketahui olehmu, bahawasanya permulaan barang yang hamba ketahui disebutkan ‘harus yang empat itu’ di dalam satu risalah dengan bahasa Melayu yang tiada disebutkan nama muallifnya. Maka mengambil oleh seorang Hindi (India) yang menjual beberapa kitab pada Babussalam, namanya Abdullah Mujallid. Maka ia thaba’kan dia pada negeri Hindi dan dibawa jual ke Mekah. Maka bersangatan lakunya, dibeli bawa pulang kepada segala negeri Melayu. Kerana pada masa itu belum ada dithaba’kan kitab-kitab Melayu. Dan tiap-tiap ditanyakan Abdullah Mujallid itu, daripada siapa-siapa muallif risalah itu, berkata ia, “Ini risalah karangan Sheikh Daud”, dengan semata-mata bohongnya, supaya banyak gemar orang pada membelinya, kerana banyak karangan Sheikh Daud dan masyhurnya.

Maka tatkala mengulang ia akan cap risalah itu, ia taruhkan pada tepi risalah itu, pada awalnya, bahawasanya ia karangan Sheikh Daud. Padahal risalah itu bukannya daripada karangan Sheikh Daud; seperti barang yang diketahui daripada memperiksakan segala ibaratnya dan loghatnya ...” (Sheikh Ahmad al-Fathani dalam Hadiqah al-Azhar, cetakan 1331 H, hlm. 28-29).

Dengan kenyataan itu, jelas bahawa Sheikh Ahmad al-Fathani merupakan seorang ulama yang rajin membuat penyelidikan terhadap sesuatu karya sehingga dapat mengenal pasti bahawa gaya bahasa yang digunakan dalam risalah kecil yang membicarakan sifat 20 bukanlah milik Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Kita perhatikan pada kitab Syarah Hikam Melayu, beliau dapat mengenal karya tersebut berasal dari daerah mana. Kepakaran Sheikh Ahmad al-Fathani pada konteks ini bukan hanya mengenali gaya bahasa Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani saja, tetapi semua gaya bahasa ulama yang kitabnya pernah ditashhihkannya. Ini termasuklah ulama-ulama yang mengarang kitab dalam bahasa Arab, baik ulama yang berasal dari alam Melayu mahupun bukan.
This entry was posted on 28 September 2008 at Sunday, September 28, 2008 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment