Syeikh Wan Ali Al-Fathani penyebar Thariqat Sammaniyah  

Posted

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

SYEIKH Uthman Jalaludin Penanti (kiri) dan penulis sedang membicarakan sanad ilmu Islam dan salasilah ulama Alam Melayu.

DARI minggu ke minggu nampaknya para peminat rencana riwayat ulama dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia terus bertambah.

Saya belum mengetahui berapa jumlah pembaca sebenarnya. Yang pasti, ruangan ini diikuti oleh pelbagai golongan. Baru-baru ini, saya mendapat emel daripada seorang pelajar yang mengaku berumur 14 tahun, namanya Luqman bin Ahmad Rangkuti.

Saya ucapkan terima kasih atas perhatian anakanda, insya-Allah emelnya akan saya ayan pada waktu yang lain.

Pada malam hari, tarikh 27 November 2006, seorang ulama dari Mekah, berasal dari Seberang Perai, datang ke tempat saya. Beliau ialah Tuan Guru Haji Saleh bin Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti. Tujuan utama beliau menemui saya adalah berhasrat untuk menyelesaikan salasilah keluarga ulama yang ada hubungan dengan beliau sendiri. Sangat ramai keluarga tersebut yang menjadi ulama dan tokoh dalam pelbagai bidang.

Tuan Guru Haji Saleh bin Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti adalah saudara tiga pupu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah bin Ahmad Badawi. Pada siang harinya ulama yang dikasihi tersebut secara kekeluargaan berhasil bertemu Yang Amat Berhormat itu. Ulama yang saya anggap termasuk salah seorang guru saya itu, nampaknya berjuang dengan penuh kesungguhan kerana pada malam berikutnya sebelum pulang ke Mekah beliau datang sekali lagi ke tempat saya (malam hari tarikh 28 November 2006).

Dalam pertemuan dua kali itu menjelaskan sejarah ulama yang dibicarakan dalam artikel ini, Syeikh Wan Ali bin Syeikh Wan Ishaq al-Fathani adalah moyang kepada Tuan Guru Haji Saleh.

Sebelum memasuki riwayat Syeikh Wan Ali al-Fathani di sini saya dahulukan segelintir hubungan kekeluargaan dan keturunan ulama yang diriwayatkan ini. Sebagaimana telah diketahui bahawa adik-beradik Syeikh Wan Ali al-Fathani ialah Syeikh Wan Hasan bin Ishaq al-Fathani yang menjalankan aktivitinya di Besut, Terengganu. Menurut Tuan Guru Haji Saleh Penanti, bahawa anak perempuan Syeikh Wan Ali al-Fathani bernama Hajah Wan Fathimah berkahwin dengan Syeikh Muhammad Kabir.

Perkahwinan itu memperoleh anak, Hajah Wan Shafiyah dan Haji Wan Ali. Hajah Wan Shafiyah berkahwin dengan Haji Muhammad Saleh bin Syeikh Jalaluddin bin Muhammad Yusya’ bin Abdul Ghafur al-Kalantani. Perkahwinan tersebut memperoleh tujuh orang anak iaitu; Sarah, Maryam, Fathmah, Salmah, Halimah, Abdullah, dan Asmah (Tuan Guru Haji Saleh Penanti tidak menyebut nama). Sarah herkahwin dengan Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti, di antara anaknya ialah; Tuan Guru Haji Saleh Penanti (yang didengar ceritanya pada tarikh tersebut di atas).

Perlu saya catat dan peringatkan bahawa dalam keluarga ini terlalu banyak nama yang hampir serupa. Oleh itu sesiapa yang akan memetik tulisan ini di belakang hari perlu berhati-hati dan jika perlu menyebutkan nama mereka secara lengkap. Bahawa Sarah binti Haji Muhammad Saleh bin Syeikh Jalaluddin yang berkahwin dengan Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti tersebut di atas adalah lain daripada Sara binti Haji Muhammad Thahir bin Kamaluddin al-Fathani. Sara binti Haji Muhammad Thahir al-Fathani adalah isteri Syeikh Jalaluddin bin Muhammad Yusya' al-Kalantani. Sara ini adalah nenek kepada Sarah. Sara pula adalah adik-beradik dengan Haji Ibrahim bin Haji Muhammad Thahir bin Kamaluddin al-Fathani. Haji Ibrahim atau Pak Him ini adalah ayah kepada Mufti Haji Abdullah Fahim (Mufti Pulau Pinang, tahun 1959 - 1961) dan Haji Thahir (Kadi Pulau Pinang di Balik Pulau). Catatan pada perenggan ini adalah merupakan penjelasan artikel yang pernah dimuat dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, Isnin, 13 September 2004, dengan tujuan jangan terjadi kekeliruan kerana beberapa nama dalam keluarga yang serupa atau hampir serupa.

Syeikh Muhammad Yusya' bin Abdul Ghafur, ayah pada Syeikh Jalaluddin, adalah adik-beradik dengan Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Ghafur. Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Ghafur adalah orang yang sama dengan Syeikh Wan Abdur Rahman al-Kalantani, yang ketika mudanya tinggal di Lorong Tok Semian Kelantan. Beliau juga digelar dengan Tok Semian. Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Ghafur berkahwin dengan Hajah Wan Zainab binti Wan Abdul Qadir, anak perempuannya bernama Hajah Wan Kaltsum, menjadi isteri Tuan Tabal al-Kalantani. Hajah Wan Kaltsum adalah kakak Syeikh Wan Ali Kutan, dapat disemak dalam artikel tarikh 27 September 2004. Tuan Tabal al-Kalantani pula mempunyai ramai adik-beradik, oleh itu juga ada hubungan kekeluargaan dengan para ulama Seberang Perai yang diriwayatkan ini dan termasuk juga dengan Syeikh Abdullah Abdus Shamad al-Filfulani. Mengenai ini akan dibicarakan pada kesempatan yang lain.

Syeikh Wan Ali al-Fathani, yang tersebut pada judul, adalah bersabit kekeluargaan yang dekat dengan Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani, beliau termasuk pewaris ulama itu. Daripada dua buah naskhah peninggalan Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok terdapat catatan, iaitu yang pertama manuskrip berjudul Al-Wasail fi Ma'rifah al-Awail karya Syeikh Jalaluddin as-Sayuthi. Di bahagian kulit muka terdapat catatan dalam bahasa Arab yang terjemahannya, "Kitab wakaf ini bagi Syeikh Abdullah ibnu al-Marhum Abdur Rahman Pauh Bok di Mekah al-Musyarrafah, Nazir Syeikh Ali bin al-Marhum Ishaq al-Fathani".

Tercatat pula tahun 1270 H (kira-kira bersamaan tahun 1855 M). Yang kedua, manuskrip berjudul Risalah fi Furu' an-Naqliyah karya Al-Allamah Maulana asy-Syeikh Ibrahim Barbari ar-Rumi al-Hanafi. Terdapat juga nama Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani tertulis, "Wan Ali bin Ishaq al-Fathani." Menurut riwayat Tuan Guru Haji Saleh Penanti surat rumah milik Wan Ali al-Fathani di Mekah ada dalam simpanan beliau. Selain mempunyai hubungan dengan Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok, Syeikh Wan Ali al-Fathani ada hubungan dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani baik hubungan kekeluargaan mahupun hubungan keilmuan.

Pendidikan

Syeikh Wan Ali al-Fathani mendapat pendidikan asas di Pondok Pauh Bok, Patani. Barangkali dalam masa yang sama beliau memondok di pondok yang tersebut itu bersama-sama dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Atau sekurang-kurangnya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah sebagai ketua tela'ahnya dalam sistem pengajian pondok (tutor menurut istilah akademik sekarang). Daripada catatan Syeikh Wan Ali al-Fathani sendiri ditemui bahawa gurunya adalah Syeikh Ibrahim Barbari ar-Rumi al-Hanafi.

Kemungkinan ulama yang tersebut adalah sahabat gurunya Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani yang tersebut. Daripada sebuah manuskrip karyanya dan sama dengan yang tersebut dalam Kaifiyat Khatam Quran bahawa Syeikh Wan Ali al-Fathani menerima bai'ah daripada Syeikh Muhammad Shalih bin Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani al-Jawi. Penerimaan bai'ah dilakukan di Mekah.

Di Mekah pada zaman itu terdapat dua orang Syeikh Mursyid Thariqat Sammaniyah yang berasal dari Patani, iaitu selain Syeikh Muhammad Shalih bin Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani ialah Syeikh Abdur Rahman @ Tok Semian al-Kalantani bin Abdul Ghafur al-Fathani. Murid Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Ghafur al-Fathani bernama Syeikh Ibrahim bin Haji Muhammad Usnin al-Fathani yang berasal dari Raman. Syeikh Wan Ali al-Fathani dan Syeikh Ibrahim al-Fathani kedua-duanya adalah bersahabat dan menerima tawajjuh Thariqat Sammaniyah pada 1243 H/1828 M di Jabal Suaidan dekat Syu'ib Ali. Syeikh Muhammad Shalih bin

Abdur Rahman Pauh Bok menerima thariqat itu daripada Syeikh Abul Hasan. Syeikh Abul Hasan menerima daripada Maulana Syeikh Hasib, dia menerima daripada bapanya dan daripada Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman.

Penulisan

Karya Syeikh Wan Ali al-Fathani tidak banyak dijumpai, yang dapat dipastikan hanya sebuah saja, iaitu merupakan majmuk, yang di dalamnya terkumpul pelbagai doa dan ajaran Thariqat Sammaniyah, Thariqat Syathariyah dan Thariqat Khalwatiyah. Dipercayai berasal daripada karya Syeikh Wan Ali al-Fathani itulah akhirnya terdapat pelbagai versi yang dinamakan Kaifiyat Khatam Quran. Yang pernah dicetak dan tersebar secara meluas di seluruh dunia Melayu. Kitab kecil itu tidak terdapat nama pengarangnya secara pasti tetapi dalam percakapan masyarakat dan beberapa penulis silam dunia Melayu memastikan Kaifiyat Khatam Quran itu adalah karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Beberapa manuskrip Kaifiyat Khatam Quran telah diketemukan. Walaupun kandungannya sama tetapi judul dan nama pengarang berbeza-beza. Ada judul diberikan dengan Silsilah Ratib dan Kaifiyat nama pengarangnya disebut Ibrahim bin Muhammad Usnin al-Fathani, yang diselesaikan pada 1243 H/1827 M.

Manuskrip karya Ibrahim bin Haji Muhammad Usnin al-Fathani itu dari segi ilmu filologi dirasakan perlu dibandingkan dengan karya Syeikh Wan Ali bin Ishaq al-Fathani terutama sekali pada mukadimah dan Silsilah Thariqat Sammaniyah. Ibrahim bin Haji Muhammad Usnin al-Fathani, menulis, "Sanya telah hamba, Ibrahim ibnu Haji Muhammad Usnin Fathani Raman daerah Kampung Cabak, mengambil talqin zikir daripada Syeikh Abdur Rahman ibnu Abdul Ghafur pada sanah 1243 pada Jabal Suaidan hampir Syu'ib Ali wa Maulid an-Nabi daripada Syeikhnya Ibrahim ibnu Abdur Rasyid al-Maduri (Madura, pen:) ...".

Syeikh Wan Ali al-Fathani juga menulis, "Maka inilah silsilah dan kaifiyatnya bagi Wali Allah yang terlebih takut akan Allah Taala, Quthub ar-Rabbani dan Arif Yang Shamadani iaitu Syeikh kita Maulana asy-Syeikh Muhammad anak Syeikh Abdul Karim as-Samman. Saya telah mengambil talkin zikir, faqir ilallah Taala, Ali bin Ishaq al-Jawi al-Fathani, daripada Syeikhnya Muhammad Shalih bin Abdur Rahman al-Jawi al-Fathani, Pauh Bok ...".

Jika kita banding salasilah, sebelum bertemu pada Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman juga terdapat perbezaan. Pada karya Ibrahim bin Haji Muhammad Usnin al-Fathani sambungannya bahawa Ibrahim bin Abdur Rasyid al-Maduri, dia menerima bai'ah daripada Syeikh Muhammad. Syeikh Muhammad menerima daripada Syeikh Utsman. Syeikh Utsman menerima daripada Syeikhnya dan mertuanya, Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman.

Ada pun pada naskhah Syeikh Wan Ali al-Fathani, sambungan salasilah bahawa Syeikh Muhammad Shalih bin Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok menerima bai'ah daripada Syeikh Abul Hasan. Syeikh Abul Hasan menerima daripada Maulana Syeikh Hasib. Maulana Syeikh Hasib menerima daripada bapanya tanpa menyebut nama, sesudah itu baru penerimaan bai’ah daripada Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Sammani.

Naskhah karya Syeikh Wan Ali al-Fathani setelah membicarakan salasilah yang bersambung kepada Nabi Muhammad s.a.w., Malaikat Jibril Alaihis Salam, lalu mengemukakan kaedah berzikir menurut Thariqat Sammaniyah-Khalwatiyah.
This entry was posted on 15 December 2006 at Friday, December 15, 2006 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment