Wan Husein As-Sanawi Al-Fathani Hafiz pendiri Masjid Teluk Manok  

Posted

Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

MASJID Teluk Manok di Patani, Thailand.

AKHIR-akhir ini berlaku perubahan besar dalam pelbagai jurusan pendidikan Islam di dunia Melayu, termasuk mula bercambah di tempat-tempat pendidikan menghafaz al-Quran. Banyak suara-suara sumbang yang hanya mengetahui dunia kini atau pergelutan di persekitarannya saja, lalu menuduh bahawa pendidikan Islam zaman dulu tidak menekankan penghafalan al-Quran dan hadis.

Saya berani memastikan pandangan yang sedemikian adalah satu pandangan yang sangat keliru. Sebagai contoh bahawa ilmu menghafaz al-Quran dan hadis berjalan sejak lama di dunia Melayu. Wan Husein al-Fathani adalah salah seorang daripada ulama silam yang hafaz al-Quran 30 puluh juzuk dan beribu-ribu hadis Nabi s.a.w. Beliau adalah moyang saudara kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Ini bererti Wan Husein as-Sanawi al-Fathani lebih jauh mendahului Syeikh Wan Daud bin Abdullah al-Fathani.

Wan Husein as-Sanawi adalah adik- beradik dengan Syeikh Wan Senik al-Karisiqi (Kerisik), Syeikh Wan Muhammad Shalih al-Fathani (datuk nenek Syeikh Ahmad al-Fathani) dan lain-lain. Walaupun pada mulanya ada orang meragukannya, termasuk saya sendiri, kerana terdapat pertikaian pendapat dengan salasilah keluarga besar ini dengan yang ditulis oleh Haji Nik Ishak Tikat, Kelantan, yang berasal dari Datuk Nik Mahmud, Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan. Namun, setelah saya menemui tiga salasilah yang lebih tua daripada salasilah yang tersebut, insya-Allah telah saya tahqiqkan dan hanya segelintir daripadanya disebutkan dalam artikel ini.

Pertikaian salasilah antara satu dengan yang lainnya tidak saya bicarakan di sini, kerana telah saya tulis dalam kertas kerja berjudul ‘Majlis Tazkirah Tokoh dan Ulama Islam Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani’ dan lain-lain terdahulu daripada ini.

*Asal-usul

Wan Husein as-Sanawi juga digelar Tok Masjid adalah termasuk salah seorang keturunan penyebar Islam yang awal datang ke dunia Melayu. Nama lengkapnya ialah Al-Allamah Al-Hafiz Wan Husein as-Sanawi al-Fathani bin Ali. Ali disebut juga Sultan Qanbul/Qunbul bin Manshur al-Laqihi. Manshur al-Laqihi nama yang sebenarnya ialah Saiyid Ahmad Samman al-Aidrus bin Saiyid Hakim.

Saiyid Hakim digelar orang Saiyid Kuning bin Saiyid Husein. Saiyid Husein digelar Sultan Pak Tani (maksudnya Sultan Patani). Ali@Sultan Qanbul/Qunbul dan terdapat beberapa nama selain ini, diriwayatkan bahawa wafat di Campa tahun 1467 M dan jenazahnya dikebumikan di Kampung Garak Ruwain (Binjai Lima).

Dalam sebuah salasilah disebutkan bahawa daripada Wan Husein as-Sanawi dan adik- beradiknya adalah datuk nenek golongan ‘Wan’ dan ‘Nik’ di Patani, Kelantan, Terengganu dan tempat-tempat lainnya. Yang dimaksudkan dengan ‘as-Sanawi’ yang terdapat pada hujung nama Wan Husein ialah beliau berasal dari kampung dinamakan Kampung Sena.

Kampung Sena itu sangat besar dan luas, sekarang di dalamnya terdiri dari beberapa buah kampung, di antaranya; Sena Janjar, Bendang Daya, Tok Diwa, dan lain-lain.

Kampung Sena dibuka oleh datuk nenek keluarga ini ketika mereka mula-mula sampai dalam kerajaan Langkasuka yang ketika itu nama Patani belum dikenal sama sekali. Dari kampung tersebutlah asal-usul perkembangan Islam di Patani dan selanjutnya keluarga tersebut turut aktif menyebarkan Islam ke seluruh dunia Melayu bersama-sama dengan keturunan-keturunan penyebar Islam yang datang dari Tanah Arab lainnya.

Adik-beradik Wan Husein as-Sanawi al-Fathani yang saya catat dari pelbagai sumber, sama ada yang disepakati mahu pun yang masih pertikaian pendapat adalah sebagai berikut:

1. Wan Abdullah atau Sultan Umdatuddin atau Wan Abu atau Wan Bo Teri Teri atau Wan Bo saja. Beliau adalah Sultan Cam/Champa, tahun 1471 M - 1478 M.

2. Wan Husein as-Sanawi, yang diriwayatkan dalam artikel ini.

3. Wan Demali @ Wan Mali @ Wan Alimuddin. Terdapat sebuah salasilah yang menyebut bahawa beliaulah Laksamana Bentan.

4. Wan Hasan, beliau menyebarkan Islam di Bangkok.

5. Wan Jamal.

6. Wan Biru, adik-beradik yang perempuan.

7. Wan Senik adik-beradik dengan Wan Husein, sudah sahih kerana disebut oleh Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dalam sebuah salasilah, dikukuhkan dengan salasilah keluarga Teluk Manok dan catatan-catatan lain yang ada pada saya.

Dari nombor 1 sampai nombor 7 disebut oleh Pak De Duku. Pak De Duku, nama lengkapnya ialah Haji Abdul Hamid bin Abdul Qadir bin Yunus bin Abdur Rahman bin Wan Husein as-Sanawi al-Fathani, adalah keturunan yang kelima ulama yang diriwayatkan ini.

Saya memperoleh banyak maklumat daripada beliau. Sejak tahun 1978 hingga 1991 saya berulang-ulang kali ke rumah Pak De Duku (Haji Abdul Hamid) di Teluk Manok kerana mencatat banyak perkara tentang keluarga yang diriwayatkan ini.

8. Syeikh Wan Muhammad Shalih al-Laqihi, saya adalah keturunan yang kelapan ulama ini, iaitu melalui jalur Syeikh Ahmad al-Fathani.

9. Maulana Abu Ishaq.

*Riwayat

Wan Husein as-Sanawi selain hafaz al-Quran 30 juzuk, sangat banyak hadis dan pelbagai jenis matan ilmu-ilmu Islam beliau juga berpengalaman dalam banyak bidang. Ilmu yang ada dalam sekujur tubuhnya bukanlah bersifat beku dan mati, tetapi adalah ilmu yang bersifat hidup sesuai dengan pergerakan fizikal tubuhnya.

Ilmu-ilmu yang dikuasai oleh Wan Husein as-Sanawi adalah seimbang dengan pengalamannya yang luas. Beliau berpengalaman dalam hidup cara berkhalwat, bersunyi diri tekun beribadat, juga berpengalaman dalam pengembaraan ke pelbagai penjuru bumi sejagat.

Wan Husein as-Sanawi pernah mengembara di pulau Jawa, pernah mengajar beberapa tahun di pulau Madura. Diriwayatkan juga bahawa beliau dan adik beradiknya bergaul mesra dengan masyarakat di pulau Sumbawa, sehingga ada pendapat yang menyebut Wan Husein as-Sanawi adalah berasal dari keturunan Arab yang telah lama datang ke pulau Sumbawa.

Dari pulau Sumbawa, pengembaraan keluarga tersebut termasuk Wan Husein as-Sanawi sendiri, meneruskan pengembaraan mereka ke negeri Cam atau Campa. Kerajaan Islam Cam itu adalah diasaskan oleh datuk nenek mereka yang berasal dari negeri Arab.

Setelah melalui proses yang lama melalui pantai-pantai dalam negeri India, persinggahan dan tempat tinggal terakhir mereka ialah dalam kerajaan Langkasuka. Proses yang lama pula setelah mereka membaur dengan masyarakat Melayu Langkasuka, maka terbentuklah Daulah Islam Fathani Darus Salam atau bagi umum mengenal sebutan Patani saja.

Dari Patani itulah mereka mengembara ke utara dengan maksud menyebarkan Islam di negeri China tetapi sebelum sampai ke negeri China mereka telah berhasil pula membentuk satu kerajaan Islam-Melayu yang dikenali dengan Kerajaan Cam.

Cita-cita mulai dari datuk nenek Wan Husein as-Sanawi untuk menyebarkan Islam ke negeri China berjalan terus sampailah ke zaman beliau. Bukan hanya itu saja, dari keturunan mereka juga telah menyebarkan Islam di Filipina, Brunei Darussalam dan akhirnya di Jawa. Beberapa orang di antara Wali Songo (Wali Sembilan) yang terkenal di Jawa adalah dari keluarga besar yang diriwayatkan ini.

*Masjid Teluk Manok

Semua riwayat adalah penting dicatat, namun hampir-hampir tidak ada orang yang tahu tentang peranan Wan Husein as-Sanawi dalam peranannya di dunia Melayu sejagat. Tidaklah berkelebihan kalau saya sebutkan di sini bahawa Wan Husein as-Sanawi ada peranan yang tersendiri dalam penyebaran Islam di dunia Melayu dan beliau juga ada peranan dalam pemerintahan Patani dan kerajaan Cam.

Setelah pengembaraan yang begitu jauh pada mulanya beliau menetap di Kampung Sena, tempat asal datuk neneknya, namun setelah adik- beradiknya bermuafakat maka mereka membahagi tugasan. Syeikh Wan Senik ditugaskan di Kerisik. Sebab itulah pada hujung nama beliau dalam salasilah ditulis al-Karisiqi.

Wan Husein as-Sanawi diberi tugas di Teluk Manok. Kampung yang beliau buka itu masih dikekalkan namanya sampai sekarang. Di Wadi Husein, Teluk Manok tersebutlah terdapat sebuah masjid yang digolongkan di antara salah sebuah masjid tua di Patani yang mempunyai kesan-kesan sejarah yang dikaitkan dengan Wan Husein al-Hafiz as-Sanawi, tokoh besar dunia Melayu serta yang masih terselubung dalam sekian banyak lembaran tulisan sejarah yang diseleweng dan dipalsukan oleh pihak-pihak tertentu.

Tentang tahun didirikan Masjid Teluk Manok itu, berbagai-bagai pendapat yang diberikan orang. Riwayat yang popular menjadi percakapan masyarakat ialah didirikan sejak 300 atau 400 tahun yang lalu. Saya datang menyelidik masjid itu berkali-kali sejak 1978 dan yang terakhir sekali pada Sabtu, 25 Mei 1991 M, pada waktu itulah saya terbaca di atas pintu masjid terdapat tahun 1266 H, bererti bersamaan dengan 1850 M.

Tidak terdapat sesuatu keterangan yang dimaksudkan dengan catatan 1266 H itu. Kemungkinan yang dimaksudkan adalah ketika memperbaiki masjid itu ataupun ketika menulis khat-khat indah yang terdapat di persekitaran tarikh di atas pintu itu. Jika kita hitung menurut tahun hijrah 1266 H itu hingga sekarang 1427 H bererti hanya 161 tahun saja. Ini adalah tidak sesuai dengan sejarah hidup Wan Husein as-Sanawi yang diperkirakan memang sudah lebih dari 300 tahun yang lalu.

Tarikh tersebut juga sangat jauh jaraknya dengan beberapa pendapat yang menyebut bahawa masjid tersebut didirikan pada 1619 M, pendapat lain 1621 M dan yang lain pula pada 1635 M. Tahun-tahun yang disebutkan ini, walaupun terjadi pertikaian pendapat, namun lebih menepati untuk dipegangi sebagai tahun berdirinya masjid itu jika dibandingkan pada 1266 H/1850 M yang tidak jelas maksudnya itu.

*Keturunan

Pertama sekali saya dengar cerita bahawa salasilah yang sangat penting tentang susur galur ulama Patani yang ada hubungannya dengan Teluk Manok diserahkan oleh Haji Ibrahim bin Daud bin Muhammad Shalih bin Abdullah bin Tengku Mahmud kepada Raja Perak. Yang menceritakan ialah Haji Abdul Hamid (Pak De Duku). Sungguhpun salasilah yang asli tidak saya peroleh tetapi saya sempat mencatat melalui Pak De Duku sejak 1978 M. Saya mencatatnya secara sedikit-sedikit, iaitu setiap kali pergi ke Teluk Manok hinggalah 1991 M.

Selain Pak De Duku, saya sempat pula menyalin salasilah tersebut tetapi bukan dari yang asli melainkan daripada salinan yang telah dijalankan oleh keluarga ini.

Pada beberapa tempat saya bandingkan pula dengan kitab-kitab yang dikarang oleh keturunan Wan Husein as-Sanawi, sebahagiannya menggunakan nama lengkap hingga sampai ke peringkat datuk.

Dalam catatan saya Wan Husein memperoleh enam orang anak iaitu; 1. Muhammad Shalih @ Tok Ci Gedung, makamnya di Jeringa. 2. Abdullah @ Tok Ci Teluk Manok. 3. Abdus Shamad. 4. Abdul Karim @ Tok Ci Bukit Bunga, beliau ini seorang hafiz, makamnya di Bukit Bunga, Jeringa. 5. Abdur Rahman, makamnya di Teluk Manok. 6. Fathimah.

Sehingga artikel ini ditulis, masih ramai keturunan mereka yang menjadi ulama ataupun tokoh penting dan bertebaran di pelbagai tempat.
This entry was posted on 24 December 2006 at Sunday, December 24, 2006 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment