Keturunan Syeikh Ibrahim sebar Islam di Pulau Jawa  

Posted

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

MAKA demikianlah pertalian keturunan Syeikh Ibrahim al-Hadhrami al-Yamani al-Fathani berdasarkan versi periwayatan Pattani yang penulis bicarakan sebelum ini yang dipetik dan simpulkan dari pelbagai edisi salasilah, catatan, buku dan wawancara yang dijalankan.

Melalui versi periwayatan Arab, maka hasil perkahwinannya dengan anak Raja Campa (Cam) di Kemboja kemudiannya memperoleh tiga orang anak. Anak inilah yang menghasilkan keturunan yang ramai, yang akan penulis ringkaskan berikutnya.

Dimulakan dengan anak beliau yang bernama Maulana Ishaq. Nama penuhnya Maulana Imam Ishaq Makhdum atau Makhdum Ishaq. Ibunya berasal dari Cam/Kemboja bernama Canda Wulan. Beliau pernah ke Aceh dan selanjutnya ditugaskan oleh saudara kandungnya dengan Raden Ahmad Rahmatullah (Sunan Ampel) menyebarkan Islam di Blambangan. Imam Ishaq Makhdum berkahwin dengan Dewi Serkadadu anak Raja Blambangan. Dari perkahwinan itu memperoleh beberapa orang anak iaitu:

1. Raden Paku Imam Muhammad Ainul Yaqin atau Sunan Giri.

2. Pangeran Darmakusuma.

3. Pangeran Ali Kusumowiro.

Anak beliau yang dapat diketahui meninggalkan keturunan ialah Pangeran Ali Kusumowiro yang mempunyai anak bernama Sunan Fadhullah Prapen, wafat di Giri tahun 1101 H/1689 M.

Anak Sunan Fadhullah Prapen bernama Umar Khatib Wetan dan seterusnya mempunyai anak bernama Abdur Rahman. Anak Abdur Rahman bernama Abdus Syukur dan anak Abdus Syukur pula bernama Muhammad Mufid.

Diriwayatkan bahawa Maulana Ishaq meninggalkan Jawa pergi ke Pasai dan Melaka. Ada yang meriwayatkan beliau wafat di Pasai, juga ada riwayat di Melaka, dan riwayat lain pula di Kampung Tosura, Wajok, Singkang, Sulawesi Selatan.

Anak Saiyid Ibrahim al-Hadhrami yang bernama Raden Ahmad Rahmatullah/Sunan Ampel lahir di Cam (Campa/Kemboja). Menurut kitab Syamsuzh Zhahirah oleh As-Saiyid Asy-Syarif bin Abdur Rahman bin Muhammad bin Husein al-Masyhur, bahawa Raden Rahmatullah (Sunan Ampel) sampai di Jawa tahun 751 H/1351 M dalam usia 20 tahun. Ini bermakna dia lahir dalam tahun 731 H/1330 M sebelum Raden Rahmatullah (Sunan Ampel) datang ke Palembang, menjadi tamu Aria Damar, lalu diIslamkannya, diganti nama dengan Abdullah.

Di Jawa beliau mengIslamkan Jaya Wisynu, diganti nama dengan Raden Fattah. Tujuan mereka ke Jawa selain menyebarkan agama Islam juga menziarahi sanak saudara kerana mendapat khabar kewafatan Maulana Malik Ibrahim setahun sebelumnya (1419 M).

Maulana Malik Ibrahim itu adalah anak saudara Saiyid Ibrahim al-Hadhrami, kerana saudara kandungnya bernama Saiyid Barakat Zainul Alam adalah ayah Maulana Malik Ibrahim. Beberapa tahun setelah menetap di Tuban, Saiyid Ibrahim al-Hadhrami wafat, dimakamkan di Nggesik, Tuban, Jawa Timur pada sekitar tahun 1424 M.

Raden Ahmad Rahmatullah mengasaskan pondok pengajian di Ampel, Surabaya dan mempunyai murid yang sangat ramai. Disebabkan itu, akhirnya beliau terkenal dengan nama Sunan Ampel.

Berdasarkan salasilah tulisan tangan Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad yang disalin oleh K.H.R. Abdullah bin Nuh bahawa Sunan Ampel wafat tahun 940 H (1533 M). Jika kita perhatikan tahun lahirnya 731 H/1330 M hingga tahun wafatnya 940 H/1533 M, ini bererti beliau wafat dalam umur yang sangat tua, iaitu sekitar berumur 209 tahun.

Beberapa perbezaan

Ternyata tahun wafat beliau terdapat beberapa perbezaan. Berdasarkan buku Panitia Haul Agung Sunan Ampel, beliau wafat tahun 1467 M. Menurut Ibhar dalam buku Wali Songo, bahawa Sunan Ampel wafat tahun 1481 M.

Menurut pendapat penulis, yang lebih tepat ialah menurut tulisan tangan Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad yang disebut wafat tahun 940 H/1533 M kerana beliau menyebutnya dengan tahun hijrah.

Pada zaman dulu semua catatan dalam sejarah Islam di dunia Melayu adalah dicatat dengan tahun hijrah bukan dengan tahun masihi. Mengenai perbezaan penentuan tahun yang dua lagi seperti yang disebutkan itu, berkemungkinan salah menghitung dari catatan yang ditulis dengan tahun hijrah menjadikannya ke tahun masihi.

Keturunan Sunan Ampel sangat ramai kerana beliau berkahwin tiga kali. Tetapi tentang susunan nama anak-anak beliau juga terdapat perbezaan pendapat. Mengenai hal yang tersebut diriwayatkan dalam buku oleh Panitia Haul Agung Sunan Ampel, contoh perbezaan pendapat dari karya seorang ulama K.H Bisri Mustofa bukunya Tarech Auliya dan buku keluaran Lembaga Research Islam Pesantren Luhur Malang dalam buku Sejarah dan Da’wah Islamiyah Sunan Giri.

Untuk artikel ini, penulis petik nama-nama isteri dan anak-anaknya yang termaktub dalam buku tersebut dengan tambahan dan susunan penulis berdasarkan beberapa buah buku lainnya ialah:

Isteri Raden Ahmad Rahmatullah/Sunan Ampel yang pertama bernama Nyai Ageng Manila, namanya yang lain Rohana anak Aryo Tejo, Temenggung Mojopahit.

Menurut pendapat pertama, dari perkahwinan itu memperoleh anak:

1. Siti Sariah.

2. Siti Mutmainnah.

3. Siti Hafsah.

4. Raden Maulana Makhdum Ibrahim atau Sunan Bonang, wafat tahun 1001 H/1592 M, makamnya di Tuban. Namun, Ibhar dalam bukunya Wali Songo (hlm 78), dikatakannya bahawa lahir tahun 1450 M. Manakala di hlm 81, dikatakan bahawa wafat tahun 1525 M.

5. Raden Qasim.

Menurut pendapat yang kedua, dari perkahwinan itu memperoleh:

1. Syarifuddin riwayat lain menyebut beliau ini juga bernama Hasyim dan dikenali dengan Sunan Derajat.

2. Makhdum Ibrahim (disebut oleh pendapat pertama, nombor 4).

3. Nyai Ageng Maloka.

4. Isteri Sunan Kalijaga.

Isteri Raden Ahmad Rahmatullah/Sunan Ampel yang kedua bernama Dewi Karimah anak Ki Bang Kuning, memperoleh dua orang anak:

1. Dewi Murtasiyah suaminya Sunan Giri (kahwin sepupu).

2. Dewi Murtasimah suaminya ialah Raden Fatah.

Isteri Raden Ahmad Rahmatullah/Sunan Ampel yang ketiga bernama Nyai Ageng Bela, anak saudara Aryo Tejo, memperoleh dua orang anak:

1. Hasyim Sahibu Derajat atau Sunan Derajat. Riwayat lain menyebut beliau juga bernama Syarifuddin, ialah anak dengan isteri yang pertama Nyai Ageng Manila). Makamnya di Derajat, berdekatan dengan Tuban.

2. Mutmainnah.

Isteri Raden Ahmad Rahmatullah/Sunan Ampel yang keempat, tidak diketahui namanya dengan pasti, memperoleh anak empat orang:

1. Murtasiyah (sudah disebut pada anak dengan isteri yang kedua).

2. Ratu ‘Asyiqah.

3. Alawiyah, suaminya Syarif Hidayatullah/Sunan Gunung Jati.

4. Maulana Ahmad Husamuddin atau Sunan Lamongan, wafat tahun 1014 H/1605 M, makamnya di Lamongan.

Nama anak

Dalam senarai yang tersebut, masih ada nama anak Raden Ahmad Rahmatullah/Sunan Ampel yang belum disebutkan. Disebut oleh K.H.R. Abdullah bin Nuh tetapi tidak menyebut nama isteri Sunan Ampel yang mana, anak-anaknya ialah:

1. Maulana Zainal Abidin atau Sunan Demak. Beliau ini kadi pada pemerintahan Sultan Raden Fatah (saudara iparnya), makamnya di Demak.

2. Ja’far Shadiq atau Sunan Kudus, wafat di Kudus, tahun 1012 H/1603 M, dimakamkan di Kudus.

3. Maulana Abdul Jalil Raden Asmoro, wafat di Japara, tahun 1022 H/1613 M.

Sewaktu di Pekan Baru, Riau pada tanggal 14 Disember 1997, sahabat penulis, Abdul Muiz (A. Muis/A.M Ridwan) menyerahkan selembar salasilah datuk neneknya yang baru diperolehnya di Jawa. Ternyata dalam salasilah dinyatakan Raden Rahmat (Sunan Ampel) bin Ibrahim as-Samarqandi memperoleh anak bernama Raden Syarifah Syafiah. Raden Syarifah Syafiah memperoleh anak bernama Aisyah kahwin dengan Abdur Rahman (Jaka Tingkir), dan memperoleh anak Abdul Halim (Pangeran Benawa Surabaya).

Abdul Halim (Pangeran Benawa Surabaya) memperoleh anak bernama Abdur Rahman (Pangeran Sambodikdo). Abdur Rahman (Pangeran Sambodikdo) memperoleh anak Kiyahi Jumali. Kiyahi Jumali memperoleh anak bernama Kiyahi Biysriyah. Anak Kiyahi Biysriyah pula bernama Kiyahi Arfiyah.

Kiyahi Arfiyah memperoleh anak iaitu Nyahi Salimin Bendungan. Nyahi Salimin Bendungan memperoleh anak bernama Kiyahi Idris Bendungan. Seterusnya Kiyahi Idris Bendungan memperoleh anak Kiyahi Abdul Halim Gelumpit. Kiyahi Abdul Halim Gelumpit memperoleh dua orang, yang perempuan bernama Nyahi Marfu'ah kahwin dengan Kiyahi Abdul Jalal bin Carik Pacitan bin Kiyahi Karang Jambo, memperoleh anak Kiyahi Haji Ahmad Baidhawi Bendungan.

Anak Kiyahi Abdul Halim Gelumpit yang seorang lagi, lelaki bernama Abdur Rahim, merantau ke Singapura. Anak Abdur Rahim bernama Haji Abdul Hafiz. Setelah beberapa tahun belajar di Mekah merantau ke Pulau Midai dan membuka perkebunan kelapa di Labuh Silan, Pulau Midai, Indonesia.

Anak Saiyid Ibrahim al-Hadhrami/Ibrahim al-Ghozi/Ibrahim Asmoro yang bernama Ali Murtadho. Namanya ada disebut dalam buku yang dikeluarkan oleh Panitia Haul Agung Sunan Ampel tetapi tidak terdapat keterangan yang luas.

Ibhar dalam buku Wali Songo, menulis lebih panjang. Katanya, “Ali Murtadho mungkin ditinggalkan di Champa. Kalau mengikut cerita sejarah Wali Songo nama Ali Murtadho tidak pernah disebut atau dijumpai tetapi khabarnya ia pernah tinggal di Kresik (Kerisik), Pattani.

“Makamnya ada di antara makam lama di Kampong Parit al-Marhum, Pattani. Dan mengikut satu sumber yang lain mengatakan makamnya telah dipindahkan ke makam keluarga Diraja Kelantan (Kampong Langgar) dikenali sebagai kubur Tok Seban”.

Jika tulisan Ibhar di atas adalah betul, maka menambah kuat hujah pendekatan bahawa Saiyid Ibrahim al-Hadhrami dalam versi catatan ulama Patani itu adalah Saiyid Ibrahim al-Ghozi dalam versi catatan ulama Jawa atau Saiyid Ibrahim Asmarakandhi/as-Samarqandi dalam versi catatan orang-orang Cam di Kemboja.

Nama-nama lain Syeikh Ibrahim al-Hadhrami

* Ibrahim al-Ghozi

* Ibrahim Asmoro

* Ibrahim Asmarakandhi

* Ibrahim as-Samarqandi

* Saiyid Ibrahim Zainul Akbar

* Zainuddin al-Akbar Ibrahim bin Jamaluddin al-Husein

* Sunan Nggesik

* Berdasarkan versi pengriwayatan Jawa, khususnya dan Indonesia, umumnya.


This entry was posted on 18 July 2007 at Wednesday, July 18, 2007 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

4 comments

assalamualaikum...ustaz,tahniah atas kajian yang terperinci tentang susur galur kehidupan sunan ampel bermula daripada ayahnya sehinggalah kepada keturunannya yang lain...jadi,disini saya nak minta jasa baik daripada ustaz agar dapat meringkaskan susur galur tersebut dalam bentuk mind-map or any diagram supaya saya lebih jelas tentang halatuju keturunan sunan ampel kerana saya sangat berminat untuk mengetahui tentang salah seorang daripada wali songo ini...syukran jazillan atas bantuan ustaz...smoga terus sukses ustaz...ALLAHUAKBAR!...

October 23, 2008 at 5:25:00 AM PDT

ustaz saya nak tanya, adakah keterunan sunan ampel ini berada di malaysia atau di mana-mana dan adakah sunan ampel ini berasal dari pada keterunan nabi muhammad s.a.w ? dan saya juga mengucapkan terima kasih kepada ustaz kerana banyak memberi pengetahuan tentang sunan ampel. semoga ustaz dapat menambahkan maklumat tentang wali songo di laman ini dan saya berharap ustaz dapat menjawab soalan saya.

August 23, 2009 at 8:08:00 AM PDT

Assalamualaikum....tumpang tanya

June 14, 2011 at 3:00:00 AM PDT

Assalamualaikum...tumpang tanya

June 14, 2011 at 3:01:00 AM PDT

Post a Comment