Syeikh Wan Husein anak kelima Syeikh Ibrahim al-Hadrami  

Posted

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

PERTALIAN yang keempat keturunan Syeikh Ibrahim al-Hadhrami ialah melalui anaknya yang kelima iaitu Syeikh Wan Husein. Anak Syeikh Wan Husein yang perempuan bernama Wan Maryam, berkahwin dengan Syeikh Muhammad Shalih bin Ali al-Laqihi.

Keturunannya sangat ramai menjadi ulama. Penulis memulakan daripada Syeikh Wan Muhammad Shalih, anaknya bernama Faqih Wan Musa al-Fathani. Datuk beliau daripada sebelah ayah ialah Syeikh Wan Ali al-Laqihi al-Fathani. Ada pun Wan Ali al-Laqihi itu mempunyai beberapa nama dan gelaran.

Faqih Wan Musa al-Fathani adalah ulama yang membuka Kampung Sena dalam tahun 1950-an Masihi. Beliau menghasilkan beberapa karangan dalam bahasa Arab. Anak beliau bernama Syeikh Wan Zainal Abidin al-Fathani. Anak Syeikh Wan Zainal Abidin al-Fathani bernama Syeikh Muhammad Faqih al-Fathani.

Seterusnya anak Syeikh Muhammad Faqih al-Fathani bernama Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani.

Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani adalah seorang yang bertubuh besar, umurnya sangat lanjut sehingga bongkok badannya. Wafat dalam usia 120 tahun.

Ketika muda, beliau adalah hulubalang atau panglima Sultan Fathani Darus Salam yang digelar sebagai Dato’ Panglima Kaya Fathani. Selain itu, digelar juga sebagai Hulubalang Wan Pa, juga digelar Tok Seniyen atau Tok Kerani dan digelar juga dengan Tok Bendang Daya.

Semasa perang antara Patani dengan Siam, beliau menghadap Sultan Kedah dan Sultan Kedah menjanjikan sekiranya Kedah dan Patani menang, daerah Yala akan dihadiahkan kepada Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani.

Dalam usianya yang demikian panjang, Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani berkahwin sebanyak dua kali. Perkahwinan yang pertama dengan kerabat Diraja Fathani Darus Salam di

Kerisik yang diriwayatkan memiliki rambut lebat dan panjang hingga ke tumit. Beliau memperoleh empat orang anak yang menjadi ulama iaitu:

* Syeikh Wan Muhammad Zainal Abidin, disingkatkan menjadi Syeikh Muhammad Zain al-Fathani atau Tok Guru Wan Din.

* Syeikh Wan Abdul Qadir al-Fathani, digelar Tok Bendang Daya II.

* Syeikh Wan Abdul Latif al-Fathani.

* Syeikh Wan Daud al-Fathani, digelar Tok Cik Wan Daud al-Fathani.

Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani iaitu anak yang pertama lahir tahun 1233H/1817M. Wafat pada 22 Zulhijjah 1325H/25 Januari 1908M. Beliau hanya memperoleh seorang anak iaitu Syeikh Wan Ahmad al-Fathani, lahir pada malam Jumaat, 5 Syaaban 1272H/10 April 1856M dan wafat pada 11 Zulhijjah 1325H/14 Januari 1908M.

Syeikh Wan Ahmad al-Fathani berkahwin dua kali. Perkahwinan yang pertama dengan Wan Kaltsum binti Tuan Guru Haji Wan Ismail al-Fathani, lebih terkenal dengan nama Tok Jong, wafat di Mekah pada Sabtu, 17 Rabiulawal 1318H. Hasil perkahwinan tersebut memperoleh dua orang anak.

Anak yang pertama Haji Wan Ismail, pernah menjadi kadi di Jambu. Beliau juga seorang ulama dan menghasilkan beberapa karangan. Beliau wafat pada tahun 1957 dan kuburnya di belakang Masjid Jamek Raudhatul Jannah, Jala.

Anak Syeikh Wan Ahmad al-Fathani yang kedua ialah Wan Fathimah, berkahwin dengan Haji Wan Muhammad Nur bin Syeikh Abdul Latif al-fathani. Hasil perkahwinan itu mereka memperoleh seorang anak perempuan, Hajah Wan Nafisah yang berkahwin dengan Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Haji Abdul Majid.

Tuan Guru Haji Wan Ahmad pula adalah mengajar di Pondok Seridik, meneruskan usaha orang tuanya Haji Abdul Majid yang terkenal dengan gelaran Tok Seridik.

Isteri Syeikh Wan Ahmad al-Fathani yang kedua ialah Hajah Wan Siti Saudah binti Syeikh Abdullah al-Fathani dan memperoleh empat orang anak, tetapi hanya seorang yang meninggalkan zuriat, iaitu Hajah Wan Zainab. Hajah Wan Zainab berkahwin dengan Haji Wan Abdullah bin Haji Wan Abdur Rahman dan memperoleh 12 orang anak termasuklah penulis iaitu anak kesembilan.

Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani lahir di Mekah pada 1311H/1893M dan wafat pada 24 Ramadan 1401H/26 Julai 1981 M.

Anak Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani yang kedua iaitu Syeikh Wan Abdul Qadir al-Fathani, lahir pada tahun 1234H/1818M dan wafat di Mekah pada Ahad 16 Zulhijjah 1312H/1894M.

Beliau berkahwin dua kali iaitu dengan Wan Cik atau nama sebenarnya Ruqaiyah/Ruqiyah binti Haji Wan Abdul Latif Sena dan isteri yang seorang lagi bernama Wan Bunga. Beliau memperoleh ramai zuriat yang menjadi ulama dan anak-anak beliau ialah:

1. Hajah Wan Aminah, disingkat nama dengan Wan Minah.

2. Hajah Wan Aisyah.

3. Syeikh Wan Ismail al-Fathani (Pak De ‘El).

4. Haji Wan Yusuf.

5. Syeikh Wan Ibrahim al-Fathani (Pak Cu Him), Pondok Gajah Mati, Kedah.

Anak beliau yang pertama Hajah Wan Aminah juga berkahwin dua kali. Perkahwinan yang pertama dengan Haji Ismail Imam Sena dan memperoleh anak iaitu Tuan Guru Haji Abdul Qadir bin Ismail as-sanawi. Beliau pernah mengajar di Pondok Sena Janjar meneruskan tradisi datuk neneknya. Seterusnya beliau membuka Pondok Nad Tok Embong di Nibong Baru, Jala. Beliau meninggalkan beberapa karya dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu.

Perkahwinan Hajah Wan Aminah yang kedua ialah dengan Tuan Guru Haji Wan Ahmad (Wan Setang) bin Idris, iaitu ulama yang mengasaskan Pondok Burmin. Beliau adalah saudara kandung Tuan Guru Haji Wan Muhammad bin Idris atau Tok Burmin yang terkenal.

Perkahwinan tersebut memperoleh anak bernama Hajah Wan Maryam, keturunannya ramai di Mekah dan Patani.

Anak kedua, Hajah Wan Aisyah binti Syeikh Abdul Qadir al-Fathani berkahwin dengan Tuan Guru Haji Wan Idris, iaitu ulama yang membuka pondok di Tok Raja Haji, Jambu. Beliau juga adalah saudara sepupu Syeikh Zainal Abidin al-Fathani (Tuan Minal). Perkahwinan ini memperoleh beberapa orang anak iaitu Haji Abdul Qadir, Tuan Guru Haji Abdul Hamid, Wan Zainab, Wan Shafiyah dan Wan Tajuddin.

Ada pun Tuan Guru Haji Abdul Hamid berkahwin dengan Hajah Wan Maryam, masih lagi ada hubungan kekeluargaan yang dekat. Ini kerana Hajah Wan Maryam adalah cicit Syeikh Abdul Latif bin Mustafa al-Fathani. Beliau mengajar di Pondok Telaga Sembilan yang diasaskan oleh Haji Wan Ishaq bin Syeikh Wan Abdul Latif bin Mustafa al-Fathani.

Syeikh Wan Ismail (Pak De ‘El) bin Syeikh Abdul Qadir al-Fathani iaitu anak yang ketiga dilahirkan di Bendang Daya pada tahun 1300H/1882M dan wafat di Mekah pada 3 November 1965M pada usia 83 tahun. Beliau tinggal di Mekah sejak berumur 13 tahun hinggalah wafatnya. Beliau sangat terkenal dan muridnya sangat ramai, juga sempat meninggalkan beberapa buah karangan.

Antara karangannya yang terkenal ialah Bakurah al-Amani. Beliau berkahwin dengan saudara sepupunya Hajah Wan Maimunah, anak Syeikh Wan Daud bin Mustafa al-Fathani (Tok Cik Wan Daud). Hajah Wan Maimunah adalah seorang yang mahir dalam beberapa bidang ilmu al-Quran dan aktif mengajarnya kepada masyarakat Melayu di Mekah.

Seterusnya anak yang keempat iaitu Haji Wan Yusuf bin Syeikh Abdul Qadir al-Fathani mendapat anak bernama Tuan Guru Haji Wan Muhammad yang membuka Pondok Beseing, Jala, Thailand .

Anak kelima beliau iaitu Syeikh Wan Ibrahim/Pak Cu Him mengajar di Pondok Gajah Mati, Kedah. Pondok tersebut diasaskan oleh ayah mertuanya Haji Ismail bin Mustafa atau lebih dikenali dengan Cik Dul. Pondok Gajah Mati tersebut termasuk pusat pengajian pondok yang terkenal di Malaysia semasa di bawah pegangan Pak Cu Him. Ramai lepasan pondok tersebut menjadi ulama terkenal di antaranya Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Muthalib al-Mandili, seorang ulama yang pernah mengajar di Masjid al-Haram Mekah dan menghasilkan karangan yang banyak.

Syeikh Wan Ibrahim al-Fathani lahir di Bendang Daya pada tahun 1309H/1891M dan meninggal dunia di Kedah pada malam Khamis, 11 Syawal 1388H/ 11 Januari 1968M. Beliau meninggalkan zuriat yang ramai iaitu :

* Haji Wan Abdul Qadir, tidak meninggalkan zuriat.

* Haji Wan Mustafa, bergiat mengajar di beberapa surau dan masjid di Kedah.

* Wan Cik, perkahwinan yang pertama dengan Tuan Guru Haji Abdullah (ketua Muthala’ah di Pondok Gajah Mati). Perkahwinan kali kedua dengan Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Shalih.

* Hajah Wan Nafisah, berkahwin dengan Tuan Guru Haji Mahmud bin Yusuf Juani

* Hajah Wan Shalihah, perkahwinan yang pertama dengan Abdul Mukti bin Tuan Guru Haji Muhammad Rabab. Kali kedua dengan Tuan Guru Haji Ahmad bin Muhammad Nur di Pondok Padang Nyor, Padang Terap, Kuala Nerang, Kedah.

* Hajah Wan Basyirah, berkahwin dengan Tuan Guru Haji Asy’ari bin Haji Ishak.

* Haji Wan Muhammad Izzuddin, mendapat pendidikan pondok dan belajar di India , Mekah dan Universiti Al-Azhar, Mesir.

* Wan Ahmad Bahauddin.

* Haji Wan Muhammad Salehuddin.

* Wan Ahmad Safiuddin.

* Wan Faridah, wafat ketika berumur 8 tahun.

* Wan Muhammad Fariduddin.

Anak Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani yang bernama Syeikh Wan Abdul Latif al-Fathani yang ketiga ini menyebarkan Islam di Bangkok dan sekitarnya. Pusat aktivitinya di Kampung Tha-it.

Di situlah keluarga besar beliau tinggal dan akhirnya berkembang menjadi keturunan sangat ramai. Beliau memperoleh beberapa orang anak, iaitu:

* Haji Wan Ishaq.

* Haji Wan Muhammad Nur.

* Haji Wan Ismail.

* Haji Wan Ahmad.

* Haji Wan Abdur Rahman.

* Haji Wan Mustafa.

* Hajah Wan Zainab.

* Hajah Wan Ummi Kaltsum.

Anak pertama Syeikh Wan Abdul Latif al-Fathani bernama Haji Wan Ishaq adalah pengasas Pondok Telaga Sembilan. Aktivitinya diteruskan oleh anak beliau Wan Syamsuddin dan terakhir sekali Tuan Guru Haji Abdul Hamid.

Anak keduanya pula iaitu Haji Wan Muhammad Nur berkahwin dengan Hajah Wan Fathimah binti Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Hasil perkahwinan, memperoleh seorang anak iaitu Hajah Wan Nafisah.

Anak Syeikh Wan Abdul Latif bin Mustafa al-Fathani yang ketiga iaitu Haji Wan Ismail meneruskan pekerjaan bapanya mengajar masyarakat Melayu di Tha-it dan di tempat-tempat lain di Bangkok.

Beliau juga adalah murid Syeikh Ahmad al-Fathani. Anaknya yang paling terkenal sebagai ulama ialah Tuan Guru Haji Yahya al-Lathifi, yang wafat pada Jumaat, 27 Rejab 1410H/23 Februari 1990M di Bangkok. Tiga orang saudara kandungnya Tuan Guru Haji Yahya ialah Tuan Guru Haji Abdullah, Tuan Guru Haji Sulaiman dan Tuan Guru Haji Tajuddin.

Mereka meneruskan cita-cita Tuan Guru Haji Yahya dalam mengelolakan Maahad Lathifuddin yang dimuafakati bersama oleh keluarga besar keturunan Syeikh Wan Abdul Latif bin Mustafa al-Fathani di Tha-it yang sebahagian mereka adalah golongan hartawan.

Seterusnya anak Syeikh Abdul Latif bin Mustafa al-Fathani yang keempat iaitu Haji Wan Ahmad juga sempat belajar dengan saudara sepupunya, Syeikh Ahmad al-Fathani. Selanjutnya beliau merantau ke Kelantan dan pernah mengajar di Pondok Pulai Condong. Dalam masa hidupnya, beliau berkahwin dua kali. Perkahwinan pertama ketika beliau masih di Mekah dengan seorang yang berasal dari Indonesia dan memperoleh dua orang anak. Perkahwinan kali kedua pula di Kelantan.

Kembali semula kepada keturunan Syeikh Wan Mustafa al-Fathani, anaknya yang bernama Syeikh Wan Daud al-Fathani lahir di Sena Janjar pada 1866M dan wafat di Mekah pada Mac 1936 M. Beliau termasuk salah seorang ulama besar Mekah pada zamannya, dan sangat disegani oleh sekelian ulama Mekah terutama dalam bidang Fiqh Syafi’iyah.

Ramai murid beliau yang menjadi ulama dan tokoh terkenal di antaranya ialah Tok Kenali, Tok Kelaba, dan Tuan Husein Kedah. Syeikh Wan Daud al-Fathani berkahwin dengan Hajah Wan Maryam binti Tuan Guru Haji Abdul Majid atau dikenali dengan Tok Seridik, Patani. Perkahwinan tersebut memperoleh beberapa orang anak.

Hasil perkahwinan tersebut juga menurunkan beberapa orang yang menjadi ulama dan tokoh masyarakat.

Kesimpulannya, keturunan Syeikh Ibrahim al-Hadhrami ini sangat ramai dan masih banyak lagi yang perlu dibicarakan. Selanjutnya pertalian keturunan ini yang seterusnya akan penulis bicarakan pada artikel akan datang.


This entry was posted on 18 July 2007 at Wednesday, July 18, 2007 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment