Murid Sheikh Daud Al-Fathani yang menjadi ulama alam Melayu  

Posted

Bhg.(3) (Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah)


Adapun telah dibicarakan mengenai guru-guru Syeikh Daud al-Fathani yang banyak mencurahkan ilmu kepada beliau, sama ada ilmu duniawi mahupun ukhrawi.

Juga disentuh mengenai nama murid-murid beliau sahaja. Untuk memperincikan lagi mengenai tersebut, maka akan dibincangkan pula secara umum tentang murid-murid dan perhubungan mereka dengan Syeikh Daud al-Fathani.

Maklumat ringkas tentang murid-murid beliau tersebut adalah sebagai berikut. Dimulakan dengan murid beliau bernama Syeikh Abdul Halim, adalah anak angkat Long Yunus (Sultan Kelantan). Beliau berasal daripada anak saudagar Cina yang menyerahkan anaknya itu kepada Long Yunus. Hal ini kerana eratnya hubungan perniagaan antara Kelantan dengan negeri Cina pada masa itu. Long Yunus mengirim Abdul Halim bersama putera baginda ke Mekah.

Di Mekah, Abdul Halim dan putera Long Yunus belajar kepada Syeikh Daud Abdullah al-Fathani. Selepas Abdul Halim memperoleh banyak ilmu daripada Sheikh Daud al-Fathani di Mekah, beliau pulang ke Kelantan. Beliau giat mengajar, dan dilantik sebagai penasihat Sultan Muhammad I (1800-1837 M).

Beliau dianggap sebagai orang pertama mengajar di Kelantan, yang menggunakan kaedah pengajian pondok. Pusat aktivitinya di Kota Kubang Labu, yang kemudian berpindah ke Kota Lama (Kampung Sireh).

Pada masa itu, beliau mengajar dengan hanya menggunakan kaedah hafalan. Hal ini bukan sahaja disebabkan faktor kebolehannya, tetapi juga kerana sulit untuk mendapatkan kitab. Ini kerana pada masa itu kitab hanyalah berupa tulisan tangan sahaja.

Sheikh Abdul Halim ini meninggalkan tokoh-tokoh yang berkesinambungan, iaitu dua orang anaknya yang juga ulama. Kedua anaknya adalah Haji Yusuf dan Haji Ya’qub. Haji Yusuf ialah seorang pahlawan Sultan Muhammad I, tokoh seni bina dan pandai seni suara. Beliaulah yang mereka bentuk Istana Kebun Meseta (Padang Merdeka).

Adapun Haji Ya’qub lebih banyak menumpukan kegiatannya kepada mengajar. Di antara murid-muridnya yang terkenal ialah Haji Ahmad bin Haji Yusuf, iaitu cucu Syeikh Abdul Halim yang menulis kitab bertajuk Dar al-Hasan pada 1282 H di atas permintaan Sultan Kelantan. Manuskrip aslinya yang merupakan tulisan tangan tersimpan di Pusat Islam Malaysia.

Murid Sheikh Daud al-Fathani yang bernama Wan Hasan bin Ishaq al-Fathani dan Sheikh Ali bin Ishaq al-Fathani berkemungkinan dua bersaudara, termasuk keluarga kepada Sheikh Muhammad Saleh bin Abdur Rahman al-Fathani yang berasal dari Kampung Pauh Bok, Patani.

Dalam satu riwayat diceritakan bahawa antara Sheikh Daud al-Fathani dan Sheikh Wan Ali bin Ishaq al-Fathani terjadi saling tukar menukar ilmu. Kadangkala Sheikh Daud al-Fathani sebagai guru dan Sheikh Wan Ali pula sebagai muridnya dan begitu jua sebaliknya.

Namun begitu, Sheikh Daud al-Fathani tetap dianggap sebagai guru kepada Sheikh Ali al-Fathani. Adapun Sheikh Wan Hasan akhirnya memusatkan aktiviti dakwah dan penyampaian pendidikannya di Besut, Terengganu. Beliau meninggalkan dua karya tulis iaitu Hidayat al Mukhtar (1249 H/1833 M) dan Ayyuhal Walad (1266 H/1850 M).

Beliau yang digelar sebagai Tuan Hasan Besut bin Ishaq al-Fathani wafat dalam tahun 1860 M.

Murid Sheikh Daud al-Fathani bernama Sheikh Wan Muhammad Zain, yang mana nama asalnya Zainal Abidin dipendekkan dengan panggilan Wan Din sahaja lahir tahun 1233 H/1818 M di Bendang daya, Patani. Beliau wafat di Mekah pada 18 Zulhijjah 1325 H/1908 M.

Terkenal

Permulaan aktivitinya dengan menyalin kitab-kitab Sheikh Daud al-Fathani. Beliau bersama adiknya Sheikh Wan Abdul Qadir bin Musatafa al-Fathani meneruskan pengkaderan Islam di pondok Bendang Daya, Patani, iaitu pondok yang paling terkenal dan teramai muridnya di Asia Tenggara pada abad ke 19.

Salah satu tulisan tangan beliau tersimpan di Pusat Islam Malaysia yang bertajuk Jawahir al Saniyat, karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang bernombor MI 484. Salah seorang murid beliau juga menyalin semula kitab-kitab jawi ini.

Hal ini disebabkan wasiat beliau supaya menyalin kitab-kitab jawi tersebut, dan murid beliau tersebut ialah Sheikh Muhammad Husein bin Abdul Latif @ Tok Kelaba.

Seterusnya murid Sheikh Daud al-Fathani yang lain ialah Sheikh Abdus Shamad bin Haji Abdullah Imam Bira. Lahir di Kampung Pulai Condong, Kelantan. Beliau adalah saudara dua pupu dengan Sheikh Daud al-Fathani. Beliau dianggap orang pertama membuka pondok di Pulai Condong, Kelantan.

Murid beliau juga sangat ramai di antaranya Sheikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani.

Murid Sheikh Daud al-Fathani yang bernama Sheikh Abdul Malik bin Isa pula adalah cucu Sheikh Abdul Malik @ Tuk Pulau Manis Terengganu, iaitu datuknya tersebut adalah yang pertama menterjemahkan kitab Syarah Hikam ke dalam bahasa Melayu.

Sheikh Abdul Malik tersebut sempat belajar kepada Sheikh Daud al-Fathani. Setelah beliau kembali dari Mekah dengan berbekalkan ilmu yang banyak, beliau meneruskan tugas dengan penyebaran Islamnya di Terengganu.

Mengenai murid beliau bernama Sheikh Zainuddin Aceh belum diketahui secara khusus tentang biodatanya. Namun diketahui bahawa Sheikh Nawawi al-Bantani yang sangat terkenal itu adalah murid Sheikh Zainuddin Aceh. Mengenai beliau telah penulis bicarakan, dan secara lengkapnya dapat dibaca dalam buku Perkembangan Ilmu Fiqhi dan Tokoh-tokohnya di Asia Tenggara jilid 2.

Demikian juga halnya murid beliau bernama Sheikh Zainuddin bin Muhammad al-Badawi s-Sumbawi.

Mengenai murid beliau, Sheikh Ahmad Khatib Sambas juga telah dibicarakan dalam artikel ini dan secara ringkas juga telah penulis muat dalam buku berjudul Perkembangan Ilmu Tasawuf dan Tokoh-tokohnya di Nusantara. Namun disebut semula secara ringkas mengenainya.

Nama lengkap murid beliau ini ialah Sheikh Muhammad Khatib bin Abdil Ghafar bin Abdullah bin Muhammad as-Sambasi al-Jawi. Lahir pada bulan Safar tahun 1217 H. Wafat tahun 1289 H (1875 M) dalam usia lebih kurang 70 tahun.

Selain berguru dengan Syeikh Daud al-Fathani, beliau juga belajar kepada ulama-ulama terkenal iaitu Sheikh Syamsuddin, Sheikh Muhammad Shaleh Rais, Sheikh Umar Abdur Rasul Mufti Mekkah, Sheikh Abdul Hafiz Ajami, Sheikh Basyri al-Jabarti, Sayid Ahmad al-Marzuqi Mufti Malik, Sayid Abdullah al-Mirghani dan Sheikh Usman ad-Dimyati.

Beliau adalah seorang tokoh besar dalam perkembangan Tarekat Qadiriyah dan Naqsyabandiyah di Alam Melayu.

Salah satu daripada kitabnya iaitu Fathu al ‘Arifin. Manuskripnya masih tersimpan di Pusat Islam Malaysia bernombor siri 447 .

Daripada sekian banyak murid Sheikh Daud al-Fathani, seorang di antaranya pernah menjadi Sultan. Beliau adalah sultan Sambas bernama Muhammad Shafiuddin. Syeikh Daud al-Fathani sendiri pernah berkunjung ke Sambas. Di Sambas, beliau sempat menyelesaikan sebuah karangannya berjudul Dhiya’ul Murid fi Kalimatit Tauhid di tempat kediaman Sultan Muhammad Shafiuddin tersebut.

Sejarah Sambas mencatat bahawa pada zaman Sultan Muhammad Shafiuddin itulah kemajuan Islam di kerajaan Sambas sampai ke puncaknya. Sultan Muhammad Shafiuddin mendirikan sebuah masjid Agung sebagai pusat penyebaran Islam di kerajaannya. Masjid tersebut masih wujud kini yang terletak di simpang tiga aliran sungai Sambas.

Adapun tentang murid beliau yang bernama Lebai Din bin Long Nik al-Fathani masih penulis ragui. Adakah Lebai Din tersebut itu murid langsung Sheikh Daud al-Fathani tanpa perantaraan oleh guru yang lain seorang ataupun lebih. Tentang ulama tersebut penulis ketahui melalui seorang penyebar Tarekat Syathariyah di negeri Perak. Beliau ialah Haji Muhammad Saman bin Muhammad Khan iaitu pengakuan beliau adalah bahawa beliau murid Lebai Din bin Long Nik al-Fathani tersebut.

Lebai Din bin Long Nik al-Fathani meninggal dunia dalam tahun 1939 M dalam usia 105 tahun. Haji Muhammad Saman bin Muhammad Khan menulis dalam bukunya at-Thariq ilallah pada halaman 46, “……….demikian keadaan hamba apabila Syeikh hamba Tuan Lebai Din bin Long Nik al-Fathani kembali ke Rahmatullah pada tahun 1939M hamba tatkala bersama-sama dengan beliau itu cuma dapat berzikir jihar dan zikir sir sahaja. Hamba amat dukacita ke mana hamba hendak mencari Sheikh seumpamanya, juga untuk menyambung dan muzakarah hal-hal batin itu”. Pada halaman 73 pula, tertulis dengan jelas bahawa Tuan Lebai Din bin Long Nik al-Fathani menerima Tarekat Syathariyah dari Sheikh Daud al-Fathani.

Murid Sheikh Daud al-Fathani yang sangat terkenal pula ialah Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani. Beliau adalah guru sekelian guru Ilmu Tasawuf di Mekah yang sekali gus mengajar berbagai tarekat terutama Thariqat Syathariyah.

Seterusnya murid Sheikh Daud al-Fathani bernama Sheikh Muhammad bin Ismail Daudy al-Fathani pula lahir dalam pelarian di Pulau Duyung, Terengganu sekitar tahun 1830 - 1831 M. Tentang beliau telah juga dimuatkan dalam artikel ini, dan selengkapnya dapat dibaca dalam buku Perkembangan Ilmu Fiqhi dan Tokoh-tokohnya di Asia Tenggara jilid 2.

Penting

Murid-murid Sheikh Daud al-Fathani yang tersebut iaitu Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Riau, Raja Ali Haji Riau dan Raja Haji Abdullah @ Marhum Mursyid Riau adalah kaum Diraja Riau yang memegang peranan penting dalam pentadbiran pemerintahan mahupun dalam pengembangan ilmu pengetahuan di Kerajaan Riau-Lingga, Johor dan Pahang khasnya dan Alam Melayu amnya.

Raja Haji Ahmad dan puteranya Raja Ali Haji sewaktu di Betawi pernah belajar ilmu Falak kepada Sheikh Abdur Rahman al-Masri, sahabat Sheikh Daud al-Fathani. Raja Haji Ahmad dalam tahun 1243 H membawa serombongan dari Riau pergi ke Mekah termasuk Raja Ali Haji dan dalam masa tersebut, beliau sempat belajar kepada Sheikh Daud al-Fathani.

Adapun Raja Ali Haji sangat terkenal dalam kajian atau perbahasan bahasa dan sastera di alam Melayu. Namun begitu, apabila diteliti bahawa beliau banyak terpengaruh dengan bahasa yang dipergunakan oleh Sheikh Daud al-Fathani. Sebagai contoh dalam buku Raja Ali Haji yang kadang-kadang terselit bahasa Patani dan Kelantan, seperti kata ‘selalu’. Dalam bahasa Melayu yang umum ‘selalu’ bererti sering kali dilakukan, tetapi dalam bahasa Patani dan Kelantan ertinya ‘terus’.

Sebagai contoh di antara tulisan Raja Ali Haji tentang ini, iaitu “Syahdan adapun Raja Haji itu, tiadalah ia singgah lagi selalu ia ke Riau jalan Singapura. Maka berselisihlah perjalanannya itu dengan Raja Dibaroh, sebab tiada ia berjumpa di laut. Maka selalulah ia masuk ke dalam Riau. ‘Selalu’ dalam kalimat tersebut bukanlah bererti ‘sering’ tetapi adalah ‘terus’ menurut bahasa Patani dan Kelantan, sedangkan dalam percakapan di Riau sendiri tidak pernah diertikan sedemikian.

Ini adalah salah satu bukti bahawa Raja Ali Haji terpengaruh dengan bahasa Sheikh Daud al-Fathani, ia juga termasuk ketika mengajar mahupun digunakan dalam kitab-kitabnya.

Mengenai Sheikh Ismail Minangkabau pula, ada yang mengatakan bahawa beliau adalah sahabat Sheikh Daud al-Fathani. Bagaimanapun, dalam penelitian penulis, bahawa beliau adalah murid Sheikh Daud al-Fathani.

Pendapat penulis ini dikuatkan melalui maklumat dari Kanzul Mu’id halaman 14 yang tertulis : “……Syeikh Ismail Khalid yang mempunyai kitab Kifayat al-Ghulam dan murid mereka yang sangat alim lagi mempunyai beberapa karangan yang manfaat akan manusia iaitu asy-Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani …”.

Sheikh Ismail Minangkabau inilah yang datang ke Riau mengajar Tarekat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah yang diceritakan oleh Raja Ali Haji dalam bukunya Tuhfat al-Nafis yang terkenal itu.

Tentang Sheikh Ismail Minangkabau ini telah penulis bicarakan dan selengkapnya dalam buku berjudul Sheikh Ismail al-Minangkabawi Penyiar Tarekat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah.

Sheikh Muhammad Saleh bin Murid al-Rawa adalah seorang ulama besar yang pernah belajar kepada Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan ramai lagi. Salah satu karya beliau adalah Fathu al-Mubin. Kitab Fathu al-Mubin ini adalah merupakan terjemahan dan Syarah Hadis Empat Puluh Imam Nawawi yang pertama dalam bahasa Melayu.

Adapun Muhammad Saleh bin Sunan Maulana Qadi yang lebih terkenal dengan Tengku Tembusai adalah seorang pahlawan. Mengenai beliau juga telah dibicarakan dalam artikel. Selain menjadi murid Sheikh Daud al-Fathani, beliau juga belajar kepada Sheikh ismail Minangkabau sewaktu di Mekah.

Walaupun tidak semua murid beliau dapat dibicarakan, namun dapat diteliti dan terbukti bahawa Sheikh Daud al-Fathani ramai meninggalkan murid-murid yang menjadi tokoh dan ulama yang terkenal.

Selain meninggalkan murid-murid yang terkenal, kitab-kitab karya beliau juga sangat terkenal di seluruh alam Melayu, bahkan masih digunakan dan dijadikan rujukan sehingga kini.


This entry was posted on 05 May 2008 at Monday, May 05, 2008 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment