Pandangan Sheikh Daud al-Fathani mencakupi ilmu dunia dan akhirat  

Posted

Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah
KETOKOHAN Sheikh Daud al-Fathani dalam bidang penulisan sememangnya tidak dapat dinafikan lagi.

Ini dapat dilihat melalui karya-karya peninggalan beliau dalam pelbagai bidang, seperti mana yang telah dibicarakan sebelum ini.

Malahan melalui karya-karya beliaulah, maka dapat dilihat sejauh mana pandangan-pandangan beliau dalam pelbagai bidang tersebut. Pandangan-pandangan beliau tersebut dibahagikan kepada beberapa bidang-bidang yang khusus, di antaranya dari segi fikah, usuluddin, tasauf, hadis dan politik.

Pandangan tentang fikah

Ketokohan Sheikh Daud al-Fathani di bidang penulisan fikah diakui oleh semua lapisan ulama di alam Melayu bahkan oleh ulama-ulama Arab sendiri.

Dalam majalah Dian halaman 103, November 1977, Auni Haji Abdullah menulis: “Di abad ke 19 Masehi pula muncul seorang ahli di bidang fikah dan penulisan yang giat dan produktif sekali, iaitu Sheikh Daud bin Abdullah bin Idris al-Fathani.

“Beliau salah seorang ulama fikah Syafie yang berpengaruh besar kerana kitabnya Minhajul Abidin. Beliau juga menghasilkan dua karya fikah yang penting dalam perkembangan fikah di rantau ini, iaitu Furu’ul Masail dan Bughyatuth Thullab. Sebenarnya karya fikah Sheikh Daud al-Fathani bukan hanya dua namun ada lagi yang tebal antara lain Hidayatul Muta’allim (1244 H), Fathul Mannan (1249 H), Jawahirus Saniyah (1252 H) ………………"

Dalam kitab Hidayatul Muta’allim, Sheikh Daud al-Fathani memulakan mukadimah perkenalannya dengan hadis 40 menurut susunan beliau. Beliau menulis beberapa hadis yang ada hubungan dengan fikah, antara lain katanya: “Ketahui olehmu bahawasanya menunjukkan beberapa hadis ini supaya memberi ketahui akan kamu bahawasanya orang yang menghafal beberapa masail fiqhiyah yang wajib kita amalkan itu pada makna ia menghafaz hadis jua hasil pahala mengajar dan belajar kerana bahawasanya ialah maksud daripada hafaz hadis.”

Sebagaimana diketahui walaupun Sheikh Daud al-Fathani adalah seorang tokoh fikah dalam semua mazhab, namun beliau sendiri adalah mengikut mazhab Syafie. Dalam beberapa kitabnya serba sedikit beliau sentuh riwayat hidup Imam Syafie terutama pada permulaan kitab Bughyatuth Thullab.

Pandangan tentang usuluddin

Sebagaimana pengetahuan fikah dan penulisan kitabnya, Sheikh Daud al-Fathani memegang peranan terpenting di dalam ilmu usuluddin juga. Tentang ilmu usuluddin dapat dibuktikan dengan peninggalan kitab-kitab besar dan tebal dengan ketinggian nilainya.

Malahan sehingga kini belum ditemui kitab usuluddin yang dikarang oleh ulama di Asia Tenggara melebihi karya-karya Sheikh Daud al-Fathani seumpama Warduz Zawahir. Kitab yang paling banyak tersebar di kebanyakan kedai kitab juga kitab yang penting ialah Ad Durrust Stamin (1232 H).

Selain karya-karya tertentu membicarakan masalah teologi seperti tersebut. Hampir semua kitab fikah karya beliau memuatkan tentang usuluddin tersebut pada permulaan kitab.

Di permulaan kajian, beliau membuat risalah-risalah kecil dalam memperkenalkan ilmu usuluddin. Memang banyak perkara seni dan indah yang dapat dipetik daripada pelbagai kitabnya, di samping bersifat terjemahan yang kadangkala terdapat juga perkara yang sukar diketemukan dalam kitab berbahasa Arab.

Dalam karyanya Jawahirus Saniyah, Sheikh Daud al-Fathani menjelaskan bahawa jalan yang sebenarnya itu hanya satu sahaja iaitu mengikut perjalanan Ahlus Sunnah wal Jamaah kerana keempat-empat imam itu adalah muafakat pada usuluddin walaupun terdapat pertikaian pada furu’ syariat.

Menurut beliau juga, hendaklah menjauhkan diri daripada membenci kepada sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w., kerana tiada guna sekalian amal jika iktikadnya demikian itu. Bahawa sekalian sahabat Nabi Muhammad s.a.w. dan para tabien adalah seumpama bintang-bintang yang dijadikan pedoman di darat dan laut bagi orang melakukan perjalanan (musafir).

Kata beliau: “Ketahui olehmu! Hendaklah kamu jauhkan daripada bidaah seperti kaum yang sesat. Orang yang menyalahi Ahlus Sunnah iaitu bidaah namanya. Selain dari bidaah wajib dan bidaah sunat lontarkanlah ia daripada dirimu.

“Janganlah engkau dengar banyak perkataannya, kerana mereka orang yang buta mata hatinya iaitu tidak beroleh nyata melihat rahsia ilmu melainkan dia adalah di dalam kesesatan. Tiap-tiap yang mempunyai bidaah itu kalau dia mengaku berpengetahuan tinggi martabatnya seperti bintang Zuhal sekalipun janganlah didengar perkataannya itu.”

Pandangan beliau yang tersebut adalah dipetik dari kitab karyanya Jawahirus Saniyah di halaman 34- 35.

Pandangan tentang tasauf

Hampir setiap kitab fikah karya Shyeikh Daud al-Fathani di bahagian akhirnya dicantumkan perkara tasauf. Kitab tasauf yang tebal dan luas perbahasannya adalah Jam’ul Fawaid.

Daripada pelbagai kitabnya yang telah dikumpulkan, nampak jelas bahawa Sheikh Daud al-Fathani bukan sahaja sebagai seorang tokoh fikah dan usuluddin, tetapi boleh diklasifikasikan ke dalam tokoh tasauf yang ulung, juga seorang tokoh tasauf yang mengikuti haluan sunah seumpama halnya dengan Imam Ghazali.

Sungguhpun demikian, tidak dapat dikatakan bahawa Sheikh Daud al-Fathani adalah seorang yang tidak sehaluan dengan al-Hallaj, yang mana jika ulama Asia Tenggara iaitu Sheikh Hamzah al-Fanshuri dan Sheikh Syamsuddin as-Sumathrani.

Hal ini nyata benar pembelaan, jika diteliti karyanya berjudul Manhalush Shafi. Kitab Manhalush Shafi iaitu satu kitab di antara karya beliau yang memuatkan istilah-istilah percakapan orang-orang sufi mengikuti aliran tasauf Syeikh Muhyiddin Ibnu Arabi, al-Hallaj dan lain-lain.

Sungguhpun nyata bahawa di dalam kitab Manhalush Shafi adalah satu keterangan yang mendalam dan seakan-akan pembelaan Sheikh Daud al-Fathani terhadap golongan tasauf.

Dalam tahun 1240 H, Sheikh Daud al-Fathani menterjemahkan dua kitab tasauf yang penting dalam dunia Islam, iaitu yang pertama Minhajul ‘Abidin karangan Hujjatul Islam Imam Ghazali dan yang kedua ialah Kanzul Minan karangan Ibnu Madyan.

Kitab Minhajul ‘Abidin terjemahan Sheikh Daud al-Fathani tersebut banyak dikaji di Asia Tenggara, manakala Kanzul Minan dahulunya banyak dikaji oleh masyarakat Melayu di Mekah.

Pada mukadimah terjemahan Minhajul ‘Abidin, beliau melahirkan kecintaannya terhadap tokoh sufi yang terkenal itu sebagaimana kata beliau: “Dan adapun kemudian daripada itu maka inilah terjemah bagi mu’allif r.a. iaitu penghulu kami Imam yang Alim Rabbani dan Arif Samadani ialah Quthbul Wujud yang mempunyai kasyaf dan syuhud yang dimasyhurkan antara ulama alam dengan ‘Hujjatul Islam’.

Bahawa dia tempat mengambil dalil untuk menyampaikan ke negeri ‘Darus Salam’. Dia bernama Abdul Hamid bin Muhammad al-Ghazali Ath-Thusi. Bahawa beliau adalah seorang imam yang sangat besar kemuliaan namanya, karangannya dan lain-lainnya. Dalam ilmu fikah dia adalah asal yang sangat besar, dia pokok sekalian kitab fikah, dialah asal kitab Syeikhaini (dua orang Sheikh): Imam Nawawi dan Imam Rafi’i, yang sangat istimewa ialah Ihya’ Ulumuddin yang menghidupkan hati yang mati…….”

Sebagaimana dengan beraninya Shyeikh Daud al-Fathani mengagungkan Imam Ghazali, demikian juga sikap beliau dengan tokoh tasauf bernama Syeikh Abdul Wahhab asy-Sya’rani. Walaupun mutakhir ini ramai memandang remeh dan ada yang menyalahkan fahaman Syeikh Abdul Wahhab asy-Sya’rani itu, bahkan beliau mengakui bahawa Sheikh Sufi tersebut adalah penghulu beliau.

Dalam permulaan terjemahan Kasyful Ghummah Sheikh Daud al-Fathani menulis: “Dan demikian apa yang disebutkan oleh Arif Billah lagi yang memberi petunjuk kepada jalan Allah yang mempunyai kasyaf dan tahqiq iaitu ‘penghulu kami’ Sheikh Abdul Wahhab asy-Sya’rani radiallahu anhu.”

Pandangan tentang hadis

Sehingga kini belum ditemui karya Sheikh Daud al-Fathani yang khusus membicarakan tentang hadis. Ini tidak bererti bahawa beliau bukan seorang ahli hadis, akan tetapi mungkin pada zaman beliau perkara ini masih kurang dibincangkan orang kerana pengaruh mempelajari kitab mazhab Syafie di bidang fikah dan fahaman Sheikh Abul Hasan al-Asy’ari dan Abu Mansur al-Maturidi adalah sangat tebal. Sehingga mengikut haluan Mazhab Ahli Sunah wal Jamaah lebih menjamin keselamatan.

Hampir semua kitab karya Sheikh Daud al-Fathani baik dalam fikah, usuluddin dan tasauf jarang-jarang membicarakan sanad dan rawi jika terdapat hadis di dalamnya. Ini kerana bagi beliau cukup memakai istilah ‘hadis’ atau ‘bersabda Nabi s.a.w.’ sahaja.

Kesannya Sheikh Daud al-Fathani adalah juga seorang ahli hadis yang dapat diketahui melalui beberapa tulisan beliau di antaranya dalam Jam’ul Fawaid. Beliau berpendapat bahawa beramal dengan hadis daif bahkan hadis batil sekalipun diberi pahala, apabila dia bersifat fadhailul amal.

Dasar beliau untuk itu ialah perkataan Jabir bin Abdullah r.a., sabda Nabi s.a.w: “Barang siapa sampai kepadanya dari Allah sesuatu daripada kelebihan maka dia mengambilnya serta mengharapkan pahalanya nescaya Allah memberikan yang demikian itu, jikalau tiada yang demikian itu (jika berita itu tidak bersumber daripada Nabi s.a.w.”

Setelah mengemukakan berbagai hadis tentang kelebihan menghafal 40 hadis seperti yang tersebut pada permulaan hadis 40 karangan Imam Nawawi, maka Sheikh Daud al-Fathani menulis dalam Hidayatul Muta'allim: “Ketahuilah olehmu bahawasanya beberapa hadis ini menunjukkan supaya memberitahu kepada anda tentang orang yang menghafal hadis yang fiqhiyah yang wajib kita mengamalkannya. Pada makna menghafal hadis pada hasil pahala dengan mengajar dan mempelajarinya kerana dia termasuk dalam makna hafal hadis.”

Selanjutnya beliau menulis lagi: “ Maka sekarang faqir hendak mendatangkan 40 hadis di dalam risalah ini, mudah-mudahan didapat sempena di dalam karangan beberapa hadis yang menyatakan fadilat orang yang menyampaikan 40 hadis kepada orang yang tiada sampai pengkhabarannya. Tetapi aku pungut daripada beberapa hadis yang disebut oleh al-Arif Billah Ash-Syeikh Abdul Wahhab Sya’rani di dalam kitabnya bernama Kasyful Ghummah an Jami'il Ummah, tetap sunyi daripada menyebutkan sanad-sanadnya sebab berkehendak ikhtiar.”

Salah satu contoh hadis 40 yang ditulis oleh Syeikh Daud al-Fathani adalah berikut: “Sabda Nabi s.a.w.: ertinya: “Tujuh perkara yang mengalir pahala kepada hamba sedang dia di dalam kuburnya sesudah matinya iaitu; orang yang mengajar ilmu pengetahuan, orang yang mengalirkan air sungai, orang yang menggali telaga, orang yang membuat masjid, orang yang meninggalkan pusaka Mushaf, orang yang menanam kurma dan orang yang meninggalkan anak yang meminta pengampunan baginya sesudah matinya.”

Hadis 40 Syeikh Daud al-Fathani yang dimuat dalam Hidayatul Muta‘allim itu pernah disalin dan dikumpulkan oleh seorang muridnya iaitu Muhammad Nuruddin bin Haji Abdul Ghafur al-Fathani. Manuskrip tulisan tangannya menyebut selesai menyurat pada hari Isnin 8 Rejab 1266 H.

Pandangan tentang politik

Mempertahankan Islam dengan erti kata yang benar sehingga tercapainya ‘Darul Islam’ yang menghendaki berlakunya undang-undang Islam yang termaktub dalam al-Quran.

Dalam karya-karya fikahnya, sebagaimana juga ulama-ulama lain yang dapat dibaca melalui perundangan-perundangan Islam termasuk masalah jihad fisabilillah yang nyata bagi orang Islam menggunakan hukum yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t. Selagi tidak kembali kepada hukum Allah, sudah pasti keamanan secara hakiki tidak akan terwujud di dunia ini.

Berdasarkan tulisan-tulisan Sheikh Daud al-Fathani melalui kitab-kitab Fiqh yang tebal, dapat dipetik beberapa pelajaran terutama dalam masalah negeri Islam yang dijajah oleh kafir menghendaki perjuangan seluruh umat Islam. Terutama umat Islam dalam negeri itu sendiri dan yang berdekatan dengan negeri tersebut juga.

Dalam persoalan tentang jihad sama ada ia wajib atau sunat, maka Sheikh Daud al-Fathani menjawab bahawa jihad itu adalah fardu ain jika kafir itu datang ke negara Islam.

Fardu ain itu dengan erti kata bahawa kewajipan terhadap semua umat Islam yang ada di negeri itu dan negeri berdekatan dengan negeri Islam yang dikuasai kafir.

Sekiranya ada orang Islam yang ditawan oleh kafir, wajiblah orang Islam lain berusaha melepaskan saudaranya yang terkena musibah itu. Juga berkewajipan atas orang Islam berusaha menolak pencerobohan terhadap perempuan-perempuan Islam.

Dalam Bughyatuth Thullab, Syeikh Daud al-Fathani menulis: “Dan setengah daripadanya perang sabil bagi kuffar yakni wajib Imam itu pergi perang kepada negeri mereka itu maka iaitu fardu kifayah dengan ijmak. Atau naik Imam pergi dengan tentera kerana perang bagi mereka itu atau diperbaiki akan kota yang di antranya dan antara negeri mereka itu serta diteguhkan dia dan ditaruhkan senjatanya dan orang yang menunggu padahnya sekira-kira memadai melawan akan mereka itu.

“Maka hendaklah diperbuat akan salah satu daripada keduanya maka gugur fardu kifayahnya ini jika mereka itu tiada datang kepada negeri kita ini. Maka jika ia datang kepada negeri Islam maka jadilah ‘fardu ain’ atas tiap-tiap seorang daripada negeri yang ia masuk itu hingga perempuan dan sahaya orang.”

Sebagai penutup bahagian ini, disertakan kalimat-kalimat yang mempunyai hubungan dengan perkara yang dibincangkan ini, iaitu tulisan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani dalam Fatawal Fathaniyah.

Kata beliau: “Manakala lemah kita mendirikan sesuatu hukum syarak seperti rejamkan zani muhsan dan takut fitnah yang memudaratkan Muslimin yang tiada kuasa kita atas menolakkan nescaya gugur daripada kita wajib mendirikannya pada ketika itu, dan wajib atas sekalian Muslimin bersungguh-sungguh mencari jalan dengan tadbir siasat, belajar dan mengajar anak-anak kita akan segala wasilah bagi mendirikan segala hukum syarak daripada segala ilmu siasat dan ilmu syarak hingga dapat mendirikan dia seperti barang yang nyatanya.”


This entry was posted on 05 May 2008 at Monday, May 05, 2008 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment