Kewarakan Imam Haji Muhammad Jamin  

Posted

Perbicaraan mengenai imam-imam Masjid Jamek Sabang Barat ini dilanjutkan dengan beberapa imam yang belum dibicarakan lagi. Antara yang dibicarakan di sini ialah al-Fadhil Haji Muhammad Jamin, al-Fadhil Haji Musa, al-Fadhil Haji Abdur Rahman al-Mahmudi dan al-Fadhil Haji Sabkie bin Haji Musa.

Haji Muhammad Jamin

Nama lengkapnya ialah Haji Muhammad Jamin bin Abdul Hamid. Beliau berasal dari Bunguran (Natuna). Mula-mula beliau belajar di salah satu pondok di Kedah, lalu meneruskan pengajiannya ke Patani. Antara pondok pengajian yang terkenal di Kedah semasa beliau menuntut di sana ialah Pondok Langgar, Pondok Gajah Mati dan lain-lain.

Ulama yang mengajar di pondok Gajah Mati pada ketika itu ialah seorang ulama besar yang bernama Sheikh Ibrahim bin Abdul Qadir bin Musthafa al-Fathani, iaitu saudara sepupu Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Musthafa al-Fathani.

Ramai yang berasal dari Indonesia masuk pengajian di pondok Gajah Mati tersebut, di antara yang sangat terkenal dan menjadi ulama besar yang mengajar di Masjidil Haram, Mekah iaitu Sheikh Abdul Qadir bin Abdul Muthallib al-Mandailin (Mandailing).

Belajar ke Mekah dan guru-gurunya

Haji Muhammad Jamin juga belajar di Patani setelah pulang dari Midai. Kemudiannya beliau meneruskan perjalanan ke Mekah untuk melanjutkan pengajiannya. Antara ulama Patani yang menjadi guru beliau ialah Sheikh Daud bin Musthafa al-Fathani dan Sheikh Ismail bin Abdul Qadir bin Musthafa al-Fathani (Pak De ‘El).

Beliau juga belajar kepada ulama-ulama Arab, di antaranya Sheikh Muhammad Said al-Babshili, Sheikh Ali al-Maliki dan lain-lain. Apabila memperhatikan kitab-kitab peninggalan Haji Muhammad Jamin yang hampir dua pertiga dalam berbahasa Arab, maka cukup meyakinkan penulis bahawa beliau memang menguasai ilmu-ilmu alat Arabiyah seumpama ilmu Nahwu, Saraf, Bayan, Mantik dan lain-lain.

Kitab-kitab yang diajar

Seperti mana imam-imam sebelumnya, beliau juga mengajar beberapa kitab. Di antaranya Mathla’ al-Badrain, Munyatul Mushalli, Ushulut Tahqiq dan sebagainya.

Perwatakan peribadinya

Haji Jamin adalah seorang yang alim serta warak. Antara perwatakan peribadinya yang lain, beliau dikenali sebagai seorang yang tidak banyak bercakap, melainkan perkara yang penting. Apabila ada yang tidak disukainya, maka beliau banyak mendiamkan diri, sekiranya keadaan tersebut memang tidak dapat untuk dinasihati.

Antara amalan rutin yang dikerjakannya seperti berzikir sesudah solat subuh, sembahyang Isyraq dan Dhuha yang dikatakan tidak pernah ditinggalkannya, sembahyang Tahajud yang hampir setiap malam dilakukannya, puasa setiap Isnin dan Khamis dan lain-lain lagi amalan-amalan sunat.

Perkara ini diketahui berdasarkan keterangan yang penulis peroleh daripada Haji Syafi’i iaitu menantunya yang tertua. Hobinya ialah memukat ikan.

Keturunan

Haji Jamin pernah berkahwin beberapa kali. Perkahwinan yang pertama dengan Radhiah dan mendapat anak bernama Fatimah yang berkahwin dengan Haji Syafi’i.

Perkahwinan kedua dengan Kasum, tetapi tidak mendapat anak. Perkahwinan ketiganya ialah dengan Hajah Zainab dan mendapat beberapa zuriat iaitu Aminah, Zalikha, Radhiah dan Hamidin. Terakhirnya pada perkahwinan keempat dengan Maryam mendapat anak bernama Rahmah.

Imam kelapan Haji Musa

Nama lengkap beliau ialah Haji Musa bin Muhammad Qasim @ Haji Bujang. Beliau tamat Sekolah Rakyat dalam tahun 1919 M. Belajar tentang ilmu Islam daripada beberapa ulama, antaranya Haji Abdullah Yusuf, Haji Abdur Rahman Ambon, Haji Muhammad Janik, Haji Muhammad Kepul, Haji Abu Bakar Pontianak, Haji Abdullah Terengganu dan lain-lain.

Haji Musa berkahwin dengan Hajah Aisyah, yang dilahirkan di Mekah. Haji Musa dikatakan seolah-olah sebagai pengganti Haji Abdullah Yusuf dalam mendidik masyarakat di Air Putih dan sekitarnya. Isterinya pula mendidik kumpulan perempuan.

Antara ilmu-ilmu yang diajar oleh sepasang suami dan isteri itu adalah ilmu fiqh, usuluddin dan tasauf. Haji Musa juga dikenali sebagai tukang sunat atau istilah kini Tok Mudim.

Muzakarah penulis dengan Haji Musa

Penulis pernah bermuzakarah dengan Haji Musa pada tahun 1967, ketika beliau baru sembuh daripada sakitnya. Dalam muzakarah tersebut, antara yang dibincangkan adalah berkaitan Masjid Jamek Sabang Barat, membincangkan ilmu tauhid menurut metod Sifat 20, fahaman Abu Hasan al-Asy’ari dan Abu Mansor al-Maturidi.

Selain itu, beliau menunjukkan kepada penulis sebuah kitab Melayu/Jawi yang berjudul Bahjatus Saniyah, karangan Sheikh Daud al-Fathani. Kebanyakan perbicaraan antara penulis dengan beliau banyak berkisar permasalahan fiqh menurut Mazhab Syafie.

Bahkan beliau menceritakan juga tentang amalan Salawat Dala-ilul Khairat yang berasal dari Sheikh Sulaiman al-Jazuli. Amalan tersebut diterimanya daripada Haji Abdur Rahman Ambon. Bahkan beliau menjelaskan bahawa ada beberapa perkara yang mesti dikerjakan setiap hari ke atas setiap orang Muslim iaitu, istighfar, zikir, selawat dan membaca al-Quran.

Beliau menjelaskan bahawa istighfar hendaklah dibuat sekurang-kurangnya 70 kali sehari. Zikir pula sekurang-kurangnya 300 kali, manakala selawat sekurang-kurangnya 40 kali dan yang terakhir membaca al-Quran sekurang-kurangnya tiga puluh ayat sehari semalam.

Menurut beliau hal tersebut adalah seperti mana yang difatwakan oleh kebanyakan guru.

Keturunan

Haji Musa memperoleh 14 orang anak iaitu: Bakri, Fatimah, Zainab, Roqiah, Sabki, Sanusi, Zalikha, Fauzi, Salmah, Faruk, Jamilah, Khadijah, Fauziah dan Aminah.

Imam kesembilan Haji Abdur Rahman al-Mahmudi

Dilahirkan di Pulau Panjang Indoman, Kecamatan Cerenti, Kabupaten Inderagiri, Indonesia. Beliau melanjutkan pengajian agama Islam di Padang, Sumatera Barat. Setelah tamat pengajian, beliau membuka Madrasah di kampung kelahirannya.

Tidak lama kemudian, keluarganya di Midai membawanya pindah ke Midai untuk mengajar mengaji al-Quraan dan mendidik kaum keluarganya di Midai. Setelah itu, saudara sepupunya iaitu Fakih Muhammad Yusuf bin Muhammad Karim menghantarnya ke Mekah, bertujuan memasuki pengajian Madrasah Darul Ulum yang terkenal pada waktu itu.

Menurut cerita beliau kepada penulis, pada ketika itu telah terjadi satu kekacauan yang menyebabkan beliau terpaksa berhenti belajar dan mengikuti latihan ketenteraan. Tujuannya mengikuti latihan itu adalah sebagai satu peluang melarikan diri daripada penjagaan yang ketat. Maka setelah itu beliau berjaya meloloskan diri dari Mekah ke Pulau Pinang dan Singapura. Akhirnya terus pulang ke Midai.

Setelah sampai di Midai, beliau meneruskan mengajar keluarga dan sanak saudaranya tentang ilmu-ilmu yang dituntutnya selama bertahun-tahun.

Kebolehan dalam ilmu al-Quran dan lain-lain

Selain mengajar sebagai imam Masjid Jamek Sabang Barat, beliau juga mengajar dengan kaedah berbentuk ceramah, secara langsung menterjemahkan al-Quran dan tafsirnya.

Tidak dinafikan beliau seorang yang berkebolehan dalam bidang tersebut. Dalam bidang fiqh pula, beliau juga mengajar kitab Mathla’ al-Badrain seperti imam-imam sebelumnya.

Haji Abdur Rahman al-Mahmudi diakui juga seorang yang fasih berbahasa Arab, yang sekali gus menguasai dalam bidang menterjemahkan al-Quran. Akan tetapi perkara ini tidak bererti bahawa beliau telah menguasai kitab-kitab Mazhab Syafie yang tinggi-tinggi ditulis dalam bahasa Arab.

Selain itu, beliau sememangnya menguasai ilmu Nahwu dan Saraf, namun ia juga tidak bererti beliau juga menguasai ilmu bahasa Arab yang lain termasuk Ilmu Bayan, Badi’, Balaghah, Arudh, Qawafi dan lain-lainnya.

Hal ini penulis dapat ketahui apabila berdialog dengannya di Serasan, Indonesia pada tahun 1984 dan 1985.

Penutup

Tidak banyak perkara yang dapat diulas mengenai riwayat hidup Imam Masjid Sabang Barat yang kesembilan ini, iaitu Haji Abdur Rahman al-Mahmudi. Penulis hanya membicarakan secara umumnya sahaja berdasarkan kepada beberapa catatan-catatan yang ada dalam simpanan penulis.

Mengenai Imam Masjid Jamek Sabang Barat yang terakhir, iaitu al-Fadhil Haji Sabkie bin Haji Musa tidak dapat dibicarakan lagi. Ini kerana data-data mengenainya telah hilang daripada catatan penulis.

Hanya yang dapat dinyatakan bahawa beliau adalah anak kepada Imam Masjid Jamek Sabang Barat yang kelapan, iaitu Haji Musa bin Muhammad Qasim.


This entry was posted on 17 December 2008 at Wednesday, December 17, 2008 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment