Sistem ejaan kitab klasik Melayu/Jawi  

Posted

SEBELUM mengemukakan sistem, bentuk atau corak ejaan kitab Melayu/Jawi Klasik, cabaran dan jawapannya, terlebih dahulu penulis ceritakan sejarah ringkas pengukuhan ejaan kitab Melayu/Jawi.

Selama ini para pengkaji hanya mengenal nama-nama seperti Frederick de Houtman (1599-1602), George Henrik Werndly (1736), William Marsden (1812), R.J.Wilkinson (1902),W.G. Shellabear (1901), Van Ronkel, Robinson, Elbinck, Van de Wall, Pieter Willemsz, R.O. Winstedt, Abdullah Munsyi, Za’aba dan ramai lagi.

Antara sekian banyak nama, hanya peranan ulama-ulama di Mekah atau Asia Barat, terutama Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani selaku orang yang pertama menggarap kitab-kitab Melayu/Jawi sehingga dicetak dan disebarkan secara besar-besaran atas perbelanjaan Kerajaan Turki-Uthmaniyah tidak pernah dibicarakan.

Oleh itu, di sini penulis cuba memperkenalkan pemikiran beliau mengenai tulisan Melayu/Jawi dan sebuah karyanya yang berjudul Daftar Cakap Melayu.

Daftar Cakap Melayu adalah catatan-catatan perkataan-perkataan orang Melayu oleh Sheikh Ahmad al-Fatani tahun 1288 H/1871 M sewaktu beliau memulakan pekerjaan pentashihan kitab di Kaherah, Mekah dan Istanbul.

Naskhah aslinya telah hilang, tetapi yang telah dijumpai sebahagian salinan yang dilakukan oleh salah seorang kadernya, iaitu Haji Muhammad Husein bin Abdul Latif al-Fatani (Tok Kelaba), tahun penyalinan 1354 H/1935 M.

Perkataan-perkataan Melayu menurut abjad Arabiyah dimulai dari huruf alif dan berakhir huruf ya’, juga dengan tambahan empat huruf yang tidak terdapat dalam tulisan Arab itu. Banyak kosa kata klasik yang terdapat dalam daftar Sheikh Ahmad al-Fatani itu tetapi tidak terdapat dalam kamus-kamus yang ada sekarang ini.

Keterampilan beliau dengan Daftar Cakap Melayunya seolah-olah lanjutan daripada Raja Ali Haji yang pernah menghasilkan Kitab Pengetahuan Bahasa, yang pernah diterbitkan oleh Al-Ahmadiah Press, Singapura, tahun 1348 H/1929 M.

Jika dibandingkan ejaan Melayu/Jawi Raja Ali Haji dengan ejaan Sheikh Ahmad al-Fatani adalah tidak banyak bezanya. Ada dua ulama yang berasal dari Riau-Lingga yang sezaman dengan Sheikh Ahmad al-Fatani yang melibatkan diri dalam bahasa Melayu dan aktiviti kajian tulisan Melayu/Jawi. Mereka ialah Raja Haji Muhammad Tahir ibnu Marhum Mursyid dan Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga.

Karya Raja Haji Muhammad Tahir ialah Rencana Melayu, yang pernah diterbitkan oleh Al-Ahmadiah Press, Singapura, 1928. Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga pula digelar oleh ulama Sheikh Ahmad al-Fatani sebagai Qus Bahasa Melayu (kemungkinan bermaksud ‘pakar bahasa Melayu’).

Beliau ini banyak membantu Sheikh Ahmad al-Fatani dalam pentashihan kitab di Mekah, penyelidikan pelbagai dialek bahasa dalam dunia Melayu dan lain-lain. Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga juga menghasilkan beberapa karangan, walaupun bukan membicarakan ejaan dan bahasa. Antaranya ialah Daqaiq al-Akhbar, Hadiqat ar-Raihan, Nashihat Ahl al-Wafa dan lain-lain.

Sesudah mereka, muncul pula Haji Muhammad Husein bin Abdul Latif al-Fatani (Tok Kelaba), yang merupakan tokoh yang terbanyak membuat salinan naskhah-naskhah Melayu. Semua ulama tersebut jauh mendahului Haji Muhammad Said Sulaiman dan Za’aba, kedua-duanya yang banyak disebut oleh pengkaji dalam bidang ini.

Tokoh dari Patani yang sezaman dengan kedua-dua tokoh ini pula adalah salah seorang murid Tok Kelaba iaitu Enche Zainal bin Enche Boh. Karya beliau ialah Lunas Akal, cetakan pertama 1941, nama percetakan tidak dapat dibaca kerana ditulis dalam bahasa Thai.

Dalam buku Lunas Akal diperkenalkan ejaan Melayu/Jawi Klasik. Perkara-perkara yang diperkenalkan ialah:

*Huruf yang diatur dengan bertukar-tukar

*Huruf awal

*Huruf tengah

*Huruf akhir

*Huruf saksi

*Huruf yang tiada boleh disambung di belakang tetapi boleh disambung di hadapan

*Jalan menyambung huruf-huruf

*Angka Arab dan angka Inggeris

*Bunyi Huruf

*Bunyi Huruf berpadu

*Perkataan dua bunyi satu erti

*Perkataan tiga huruf satu erti, dua bunyi di hadapannya pendek

*Perkataan empat huruf

*Perkataan lima huruf

*Perkataan enam huruf

*Pengenalan kejadian kalimah

Kandungan perbicaraan dalam Lunas Akal karya Enche Zainal bin Enche Boh itu mempunyai hubungan erat dengan ejaan Melayu/Jawi Syeikh Ahmad al-Fatani.

Jauh sebelum diterbitkan Lunas Akal itu, perbicaraan dan kandungan hampir sama yang pernah diterbitkan dalam bentuk litografi di Mekah dan Singapura, tanpa menyebut percetakan dan tahun. Sebahagian besar kandungan dalam Lunas Akal termaktub dalam cetakan litografi itu.

Usaha yang agak baru dalam perkembangan penulisan kaedah ejaan Melayu/Jawi dari golongan cerdik pandai Patani ialah diusahakan oleh Ismail Haji Daud yang berasal dari Teluban, iaitu tempat Tok Kelaba menjalankan aktivitinya yang terakhir. Kemungkinan tokoh ini juga ada hubungan dengan Tok Kelaba.

Karya Ismail Haji Daud ialah Perintis Bacaan Buku Satu, dikeluarkan oleh Lujnah al-Madaris, Patani, cetakan pertama sebanyak 3000 naskhah. Dalam buku tersebut dikemukakan beberapa kaedah penulisan Melayu/Jawi. Penulis belum dapat membandingkan secara keseluruhan ejaan yang dikemukakannya, tetapi sepintas lalu jelas beliau tidak meniru ejaan Za’aba atau pun ejaan yang dikemukakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Dari segi yang lain, penulis lihat tidak banyak merosakkan ejaan kitab-kitab Melayu/Jawi klasik walaupun barangkali tidak keseluruhannya.

Penulis kembali kepada usaha Sheikh Ahmad al-Fatani yang mana menurut beliau bahawa kaedah bahasa Melayu juga seperti bahasa Arab yang ada susunan nahu dan sarafnya.

Menurut Sheikh Ahmad al-Fatani pula, saraf Melayu ada timbangan kata-kata dengan menggunakan jumlah huruf dan suku kata-suku kata. Titik temu pemikiran bahasa Melayu antara Sheikh Ahmad al-Fatani dengan Raja Ali Haji ialah bahawa sebagaimana bahasa Arab, demikianlah halnya dengan bahasa Melayu tidak terlepas daripada: isim, fi’il dan huruf.

Pengertian huruf pada konteks ini bukan bererti huruf abjad dari alif sampai ya’ atau huruf ‘a’ sampai ‘z’, tetapi adalah menurut istilah yang tersendiri.

Huruf dalam bahasa Melayu dalam konteks ini, di antaranya dapat dipetik dari karya Raja Ali Haji, tetapi tidak dapat dilampirkan contoh-contohnya di sini.

Namun begitu disimpulkan bahawa setiap huruf yang dihuraikan oleh Raja Ali Haji dalam Kitab Pengetahuan Bahasa dengan jelas, ada yang dihuraikan agak panjang dan ada yang singkat saja. Istilah nahu Melayu pada zaman itu dinamakan huruf, tetapi beberapa perkataan disebutkan ada yang dinamakan ‘kata sendi’ menurut istilah sekarang.

Raja Ali Haji menulis bahawa yang dinamakan huruf itu mempunyai persamaan dengan Sheikh Ahmad al-Fatani. Kemudian Sheikh Ahmad al-Fatani berusaha untuk menyeragamkan ejaan kitab-kitab Melayu/Jawi yang berpusat di Asia Barat (Kaherah, Istanbul dan Mekah) dalam hal-hal yang lainnya.

Namun disebabkan pekerjaan itu bersangkut paut dengan teknikal, para pekerja yang tidak mahir, pekerja yang bukan hanya bangsa Melayu saja, maka di sana sini ejaan kitab Melayu/Jawi kadang-kadang juga tak dapat diseragamkan.

Mengenai ini dapat diketahui dari beberapa kalimat beliau, contoh:

1. “Dan adalah kebanyakan orang menyurat sekarang ini memudah-mudah mereka itu dengan tiada ditaruhkan titik padanya kerana memadai mereka itu dengan kerenah membaca jua. Maka yang demikian itu setengah daripada barang yang membawa kesamaran dan kepada payah membaca. Dan meninggalkan hak huruf yang telah dihantarkan oleh yang menghantar dengan kasad hendak membezakan. Dan telah berlaku mengecapkan kitab pada negeri Mekah dan lainnya atas demikian itu, yakni ditinggalkan titik pada (huruf ga) , kerana i’timad mereka itu atas mula-mula naskhah yang meniru mereka itu akan huruf nya pada ketika dituangkan timah buat huruf itu yang tiada bertitik sekelian (huruf ga) nya. Maka sudah beberapa kali perhamba menyatakan bagi tiap-tiap orang yang diperintahkan pekerjaan mengecap kutub (kitab-kitab) pada Mekkah al-Musyarrafah akan demikian itu, dan perhamba menjaga akan dia atasnya, maka tiada hirau ia ...” (Hadiqatul Azhar, 1321:158)

2. “Dan adalah hamba amat-amati pada mentashihkan dia sekira-kira yang mudah bagi hamba.

“Tetapi dengan sebab banyak salah pada naskhah asalnya, tiada ada yang lain boleh muraja’ah serta pula yang menulisnya orang Arab tiada tahu membacanya. Jadi ada juga tinggal sedikit-sedikit yang salahnya. Maka hamba tashihkan pula kemudian daripada capnya. Hamba himpunkan pada satu maka helai akan segala lafaz yang salah yang hamba lihatkan dia dan yang betulnya serta dengan angka muka helainya dan barisnya supaya mudah bagi orang yang membaiki dia kemudian”. (Kata Pengantar Tashih Hidayatus Salikin, format kecil, cetakan Bombay)

Daripada kalimat yang tertulis pada angka (1) dapat disimpulkan Sheikh Ahmad al-Fatani memandang sangat penting hak sesuatu huruf, sehingga perkara kecil mengenai titik pada sesuatu huruf mesti dipelihara dengan baik.

Menurut beliau, setiap huruf mempunyai haknya tersendiri. Dari sini dapat disimpulkan bahawa Sheikh Ahmad al-Fatani juga berusaha menyeragamkan titik atau tanda-tanda lain pada huruf.

Pada angka (2) pula memberikan maklumat bahawa walaupun sesuatu karya telah ditashih, namun kesilapan jalan bahasa ataupun salah pada ejaan juga akan terjadi. Beliau maksudkan dengan perkataannya, “... serta pula yang menulisnya orang Arab tiada tahu membacanya ...”, adalah orang yang menjalankan penyalinan naskhah atau pun membuat klise daripada timah yang pada zaman itu memang bukan dikerjakan oleh orang Melayu.

Oleh kerana mereka tidak pandai bahasa Melayu dan tidak pandai membaca tulisan Melayu/Jawi, maka baik jalan bahasa ataupun ejaan pada kosa kata sering terjadi kesalahan. Dari sini juga dapat diambil kesimpulan bahawa akibat daripada ini boleh menjadikan ejaan pada kitab Melayu/Jawi klasik tidak seragam. Maka itu kita tidak perlu mempersoalkan atau mempersalahkan, lalu dikatakan tokoh-tokoh Melayu terdahulu tidak berusaha menyeragamkan ejaan Melayu/Jawi.

Selain persoalan yang tersebut di atas, perlu juga diketahui bahawa ejaan Melayu/Jawi dalam kitab-kitab yang dicetak peringkat awal yang terdiri dari cetakan Matba’ah al-Miriyah al-Kainah bi Bulaq, Mesir, cetakan Matba’ah Miriyah, Istanbul, dan cetakan Matba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, ataupun cetakan-cetakan lain yang dimulai tahun 1288 H/1871 M hingga tahun 1300 H/1882 M banyak perbezaan dengan cetakan sesudah tahun 1300 H/1880 M itu.

Ini kerana cetakan pada peringkat awal Sheikh Ahmad al-Fatani lebih menekankan supaya judul kitab Melayu/Jawi dicetak dengan sebanyak yang mungkin kerana dikhuatiri di belakang hari permodalan untuk itu akan tergendala.

Cetakan sesudah tahun 1300 H/1882 M barulah ejaan lebih diperkemaskan lagi namun keseragaman juga sukar untuk dicapai, disebabkan hal-hal yang telah disebutkan itu dan lain-lain dalam permasalahan yang belum dapat diceritakan dengan jelas dalam artikel yang ringkas ini.

Selain itu kadang-kadang dalam dunia perniagaan, hanya ditukar nama percetakan dan tahun saja, tetapi klisenya masih digunakan klise cetakan yang diusahakan lebih awal. Cetakan yang dilakukan di Bombay pula ada yang dalam pengawasan Sheikh Ahmad al-Fatani dan sebahagian besarnya merupakan cetak rompak.

Cetakan Asia Barat disalin kembali oleh orang-orang yang bukan berasal dari dunia Melayu di Bombay, dan mereka juga tidak tahu bahasa dan ejaan Melayu/Jawi. Hal ini sangat ketara di antaranya, seperti: Hidayatus Salikin, cetakan format kecil yang berbeza dengan cetakan Asia Barat.

Kesimpulan, penulis tidak sependapat dengan beberapa pengkaji yang mengatakan bahawa telah terjadi perubahan ejaan Melayu/Jawi menurut peringkat-peringkat perkembangan zaman.

Menurut penelitian penulis, dari beberapa tulisan pada manuskrip mulai abad ke-16 hingga abad ke-19, dan pelbagai cetakan litografi hingga cetakan yang menggunakan klise timah dimulai di Asia Barat, bentuk ejaan ada yang seragam pada setiap zaman dan ada pula yang tak seragam. Persamaan ejaan dan ketidakseragaman adalah disebabkan beberapa faktor:

*Kerana luasnya dunia Melayu

*Sistem penerapan ejaan setiap daerah yang berlainan

*Dialek bahasa yang berbeza-beza

*Perkataan yang berasal dari bahasa Arab di tempat yang lebih banyak mengenal bahasa itu berbeza penulisannya dengan tempat-tempat yang kurang menghayati bahasa Arab itu.

lPerkembangan mutakhir tidak ada titik temu antara pendapat golongan pendidikan agama terutama sistem pondok dengan pendidikan cara barat.


This entry was posted on 17 December 2008 at Wednesday, December 17, 2008 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment