Saidina Ali dalam karya-karya Melayu  

Posted

PERBICARAAN ini adalah rentetan daripada judul terdahulu iaitu Pengaruh dan Pemikiran Saidina Ali di Alam Melayu: Satu Analisis Berdasarkan Karya-Karya Klasik Melayu, yang mana telah dibicarakan mengenai dua nama Saidina Ali K.W yang tidak terdapat pada sahabat-sahabat lain dan keagungan nama beliau dalam karya sejarah.

Dalam perbicaraan tersebut juga dinyatakan bahawa pengaruh Saidina Ali di Alam Melayu boleh dikatakan sangat besar, meliputi berbagai-bagai jurusan, sehingga ramai ulama-ulama silam Alam Melayu menghasilkan karya-karya mengenai beliau.

Kesinambungan dari itu, diperkenalkan pula pengaruh Saidina Ali dalam karya-karya Melayu pada konteks pelbagai ilmu, iaitu ilmu Kalam, ilmu Hadis Nabi SAW dan ilmu Tasawuf.

Nama Saidina Ali dalam karya-karya Melayu pada konteks ilmu kalam

Dalam Fathul Mannan, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mengemukakan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama'ah pertikaian antara Saidina Ali dengan Mu'awiyah, iaitu, "Sudah ijma', adalah Saidina Mu'awiyah dan yang mengikut dia melawan Saidina Ali jadi "taifah baghiyah", tetapi nyata mereka itu kemudiannya kerana adalah Nabi sudah mengkhabarkan, yakni daripada hal Saidina 'Ammar. Dengan sabdanya: "Lagi akan membunuh akan dia oleh "taifah baghiyah".

Selanjutnya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menjelaskan, "Maka ia serta jemaah Saidina Ali, maka yang membunuh akan dia oleh jemaah Saidina Mu'awiyah. Maka nyata Saidina Ali ia yang sebenar khalifah dan Saidina Mu'awiyah melawan imam lagi khalifah. Tetapi tiada berdosa sebab ijtihad dan tiada diambil kesalahan mereka itu, kerana jika belum nyata diberi pahalanya satu, iaitu pahala ijtihad jua".

Daripada tulisan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani tersebut, sangat jelas bahawa telah sepakat ulama Ahlus Sunnah wal Jama'ah bahawa Saidina 'Ammar yang berpihak kepada Saidina Ali adalah dibunuh oleh pengikut Saidina Mu'awiyah, bukan dari pihak lainnya.

Tetapi pada zaman sekarang ada pihak-pihak tertentu mendakwakan dirinya golongan Ahlus Sunnah wal Jama'ah, tetapi memutarbelitkan sejarah bahawa mereka mengatakan terbunuhnya Saidina 'Ammar bukan daripada pihak pengikut Saidina Mu'awiyah, tetapi adalah pengikut-pengikut Abdullah bin Saba'.

Kenyataan seperti tersebut ini tidak seorangpun ulama Ahlus Sunnah wal Jama'ah zaman silam, sama ada ulama silam dunia luar, mahupun ulama silam dunia Melayu.

Pendapat yang demikian jelas suatu pembohongan sejarah yang mesti ditolak kerana tidak terdapat rujukan dalam kitab-kitab yang muktabar yang dikarang oleh ulama-ulama Ahlus Sunnah wal Jama'ah sendiri, baik yang ditulis dalam bahasa Arab mahupun yang ditulis dalam bahasa Melayu.

Sebagaimana ulama-ulama Ahlus Sunnah wal Jama'ah yang lain, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani berpandangan mengenai perselisihan antara para sahabat Nabi SAW memperingatkan kepada kaum Muslimin terutama golongan awamnya, kata beliau: "Dan barang yang berlaku antara sahabat perangan, kita diam daripadanya, Dan pahala ijtihad mereka itu kita i'tiqad diberi pahalanya.

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mentafsirkan dalam Fathul Mannan, iaitu "Yakni barang yang berlaku bantahan dan perangan yang berbunuh padanya beberapa banyak sahabat dan lainnya, antara setengah sahabat dengan setengahnya, seperti hasil perang Saidina Ali dan Saidina Mu'awiyah, dan antara Saidina Ali dengan Siti Aisyah, wajib kita diamkan daripada masuk berkata jika tiada tahu ta'wilnya ... ".

Dijelaskan lebih lanjut dalam Warduz Zawahir, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis, "Ketahui olehmu, adalah bahas barang yang berlaku antara bersalahan sahabat setengah dengan setengahnya, dan yang muafakat mereka itu demikian jua, tiada daripada 'aqaid agama. Dan tiada pula daripada 'aqaid kalam. Dan tiada pula daripada barang yang memberi manfaat pada agama tetapi adalah terkadang memberi mudarat jua dengan yakin. Dengan sebab itulah kata Umar bin Abdul Aziz, bahawa demikian itu, yakni "berbunuh antara sahabat darah yang disucikan oleh Allah daripadanya segala pedang kita ".

Maka jangan kita khilaf dengan lidah kita. Dan tiada harus pula kita masuk padanya bicarakan melainkan kerana mengajar atau kerana hendak menolakkan akan orang yang marahkan mereka itu, atau mengaji kutub (maksudnya: kitab-kitab) yang terkandung atas demikian ceriteranya. Ada pun orang yang awam maka tiada harus bagi mereka itu masuk padanya kerana sangat jahil mereka itu dan ketiadaan mengetahui ta'wilnya. Dan wajib atasmu ketika membicara pada barang yang perkelahian antara mereka itu menjauh akan penyakit hasad ... ".

Nama Saidina Ali dalam karya-karya Melayu pada konteks hadis Nabi SAW

Dimaksudkan dengan judul ini dapat dibahagi kepada dua kelompok, iaitu: Pertama: karya Melayu dalam pelbagai disiplin ilmu yang terdapat hadis Nabi SAW yang menyebut nama Saidina Ali padanya ataupun yang bersumberkan dari riwayat beliau. Kelompok yang pertama ini jumlahnya sangat banyak.

Kedua pula: karya Melayu yang khusus mengenai hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali, juga termasuk perkara yang boleh dikatakan nadir.

lContoh bagi kelompok pertama, Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut beberapa hadis yang ada hubungan dengan Saidina Ali, namun di sini tidak dapat dipaparkan hadis-hadis tersebut, melainkan terjemahan sahaja. Antara hadis yang menurut terjemahan Sheikh Ahmad al-Fathani dalam kitab Badrut Tamam, iaitu "Aku benua ilmu dan Ali itu pintunya". Selanjutnya dikomentarkan, "Dan berkata Abdullah bin Abbas, "Tiada aku dan ilmu segala sahabat Muhammad SAW pada Ali RA, melainkan satu titik pada tujuh laut". Manakala hadis yang lain, terjemahan menurut Sheikh Ahmad al-Fathani dalam kitab Badrut Tamam, iaitu "Barang siapa aku ini adalah penghulunya, maka Ali itu penghulunya pula". Selanjutnya Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut, "Dan beberapa banyak datang padanya hadis yang lain daripada ini, dan turun padanya beberapa ayat daripada Quran tiada hamba sebutkan kerana ikhtisar."Di antara tulisan Sheikh Utsman al-Funtiani dalam Nurul Anwar, mengenai hadis yang ada hubungan dengan Saidina Ali, beliau menulis, "Sungguhnya datang ayat dan hadis pada kelebihan Saidina Ali RA ... Setengah daripada hadis Nabi SAW."Terjemahan menurut Sheikh Utsman al-Funtiani daripada Hadis Nabi SAW tersebut, iaitu "Seorang kasih ia akan Saidina Ali maka sungguhnya kasih ia akan daku. Dan seorang kasih ia akan daku maka sungguhnya kasih ia akan Allah Taala. Dan seorang murka ia akan Saiyidina Ali R.A maka sungguhnya murka ia akan daku. Maka seorang murka ia akan daku maka sungguhnya murka ia akan Allah, sebenarnya murka Allah azab di dalam neraka." Dan setengah daripada hadis lagi, terjemahan menurut Sheikh Utsman al-Funtiani, iaitu "Ali daripada aku menempati kepala daripada badanku".Sheikh Utsman al-Funtiani menutup perbicaraan ini sama maksudnya dengan kalimat yang digunakan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani. Menulis Sheikh Utsman al-Funtiani, dalam Nurul Anwar, "Dan sungguhnya beberapa banyak ayat Quran dan hadis pada menyatakan kelebihan Saidina Ali RA ...". Adapun "beberapa ayat Quran" ada hubungan dengan Saidina Ali KW, yang diberikan maklumat oleh kedua-dua ulama alam Melayu itu, Sheikh Utsman al-Funtiani memberikan contoh sebab turun ayat 274, surah al-Baqarah, terjemahannya: Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita. Menurut Sheikh Utsman al-Funtiani, "Berkata Saidina Abdullah bin Abbas RA adalah bersama-sama Saidina Ali empat dirham, tiada mempunya yang lainnya, maka bersedekah ia dengan satu dirham siang hari dan satu dirham pada malam, dan satu dirham sirran (tersembunyi) dan satu dirham jiharan (nyata), maka menurun Allah Taala ... (maksudnya ayat Quran tersebut)".

lAda pun kelompok yang Kedua: karya Melayu yang khusus mengenai hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali, yang dikumpulkan dalam sebuah risalah pernah ditulis dan disebarkan oleh seorang ulama besar keturunan Nabi Muhammad SAW, beliau ialah Saiyid Utsman Betawi atau lebih terkenal dengan sebutan Mufti Betawi. Karya beliau khusus mengenai ahlil bait diberi judul Hadits Keluarga. Karya beliau ini merupakan hadis ahlil bait yang pertama sekali diperkenalkan ke dalam bahasa Melayu-Betawi. Walaupun risalah tersebut tipis saja, tetapi sangat besar pengaruhnya dan menjadi pegangan seluruh keturunan Nabi Muhammad SAW, iaitu keturunan yang melalui perkahwinan antara Saidina Ali dengan Saidatina Fatimah binti Nabi Muhammad SAW yang berada di Alam Melayu terutama sekali di Pulau Jawa. Hingga kini memang belum dijumpai kumpulan hadis seumpamanya dalam bahasa Melayu. Beberapa contoh kandungannya tidak dapat diperkenalkan, hanya penulis simpulkan saja bahawa karya ini ditulis dengan lafaz hadis dalam bahasa Arab yang diberi gantungan makna dalam bahasa Melayu. Selain karya Saiyid Utsman Betawi, terdapat lagi sebuah karya judul Nasihatu Ahlil Wafa 'ala Wasiyatil Mustafa, yang diselesaikan 11 Syawal 1312 H di Mekah oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga. Kandungannya merupakan wasiat Nabi Muhammad SAW kepada Saidina Ali. Setelah mukadimah dimulai dengan perkataan Saidina Ali menulis, Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga, "Telah berkata Saidina Ali K.W, "Telah memanggil akan daku Rasulullah SAW maka bersunyi aku sertanya di dalam rumahnya, maka sabdanya, "Hai Ali engkau daripadaku seperti tempat Musa daripada Harun Alaihimas Salam melainkan tiada Nabi kemudian daripadaku. Bahawasanya aku wasiat akan dikau pada ini hari dengan beberapa wasiat, jika engkau memelihara akan dia nescaya hiduplah engkau dapat kepujian dalam dua negeri dan jika mati engkau syahid ..." Wasiat yang termaktub dalam risalah/kitab Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga itu mengandungi beberapa fasal semuanya bermula dari perkataan, "Hai Ali". Dan ditutup dengan perkataan, "Hai Ali, pelihara olehmu akan wasiatku dan amal olehmu dengan dia adalah engkau itu daripada orang yang muttaqin ..." Karya yang ditulis oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga tersebut beberapa hadis di antaranya pernah dimuat oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam karya beliau yang berjudul Jam'ul Fawaid.

Nama Saidina Ali dalam karya-karya Melayu pada konteks ilmu tasawuf

Diriwayatkan bahawa sewaktu Rasulullah akan hijrah, Saidina Ali diperintahkan supaya menunggu di atas tempat tidur baginda, ketika itulah Rasulullah mengajarkan zikir ismuz zat kepada Saidina Ali K.W, zikirnya adalah dibaca secara sir. Tersebut dalam sebuah manuskrip yang ditulis di bahagian akhir kitab Bidayatul Hidayah karya Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi (Aceh), versi salinan Sheikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, dipercayai adalah karya beliau, iaitu:

"Maka adapun asal tempat bersandar Masyaikh pada mengajar muridnya zikir 'La ila Ha illallah' pada jalan seseorang itu, iaitu ceritera daripada Saidina Ali ibni Abi Thalib Radhiyallahu 'anhu tatkala ia berahi kepada menghampirkan dirinya kepada Allah Ta'ala, maka lalu ia berdatang sembah kepada Rasulullah SAW: (Di sini tidak dapat dipaparkan kalimat asalnya dalam bahasa Arab, hanya terjemahannya saja)

lTerjemahannya: "Ya Rasulallah, tunjuk olehmu akan daku atas sehampir-hampir daripada segala jalan kepada Allah dan semudah-mudahnya atas segala hamba-Nya dan selebih-lebihnya pada Allah Ta'ala"

lTerjemahannya: "Sabda Nabi SAW, "Ya Ali tetap olehmu zikrullah dalam segala khalwat"

lTerjemahannya: "Maka sembah Amirul Mu'minin Ali R.A, "Ya Rasulullah, demikian kiranya fadhilat zikir padahal adalah segala manusia itu menyebut zikrullah mereka itu"

lTerjemahannya:"Maka sabda Nabi SAW, "Diamlah engkau hai Ali, tiada berdiri kiamat itu padahal atas bumi ini orang yang menyebut Allah, Allah". "Maka sembah Amirul Mu'minin Ali RA, "Betapa aku zikir Ya Rasulallah ?"

lTerjemahannya: "Sabda Nabi SAW, "Hai Ali pejamkan olehmu kedua matamu dan dengarkan olehmu daripada aku, tiga kali, kemudian dari itu kata olehmu, tiga kali, padahal aku mendengar daripadamu"

lTerjemahannya: "Maka zikirlah Nabi SAW 'La ila Ha illallah' tiga kali, padahalnya memejamkan kedua matanya dan menyaringkan suaranya dan Amirul Mu'minin Ali RA mendengar dia"

lTerjemahannya: "Kemudian dari itu maka zikirlah Amirul Mu'minin Ali RA kalimah 'La ila Ha illallah' tiga kali, padahalnya memejamkan kedua matanya dan menyaringkan suaranya dan Nabi S.A.W mendengar dia".

Inilah asal isnad segala Masyaikh mengajar muridnya zikir dengan kalimah 'La ila Ha illallah' padahal sama seorang dengan muridnya ...".

Hujah yang tersebut menjadi pegangan yang kukuh penganut tarekat Alam Melayu, yang takkan tergoyahkan oleh propaganda pihak yang kontroversi dengan tarekat yang mereka amal. Apabila kita kaji hampir semua tarekat mu'tabarah Alam Melayu, sebahagian besar bersanad/bersalasilah kepada Saidina Ali KW. Bermula dari Rasulullah SAW, turun kepada Saidina Ali KW, turun kepada zuriat-zuriatnya, iaitu: dari Saidina Ali KW turun kepada anaknya Saiyidina Husein, turun kepada Imam Zainal Abidin, turun kepada Imam al-Baqir, turun kepada Imam Ja'far as-Sadiq, sesudah ini turun kepada pelbagai pihak yang bukan keturunan mereka, namun tidak dapat diperjelaskan dengan selengkapnya di sini.

Untuk kejelasan lebih lanjut, dapat dilihat buku penulis berjudul Dhiyaul Murid, mengenai salasilah Thariqat Syathariyah, terbitan Khazanah Fathaniyah (1996), dimulai halaman 112.

Salasilah Thariqat Qadiriyah Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri dan salasilah Thariqat Qadiriyah Syeikh Ahmad Khatib Sambas, pada bahagian asal tarekat itu juga sama dengan Thariqat Syathariyah, iaitu berasal dari penurunan melalui Saidina Ali KW, turun kepada zuriat-zuriatnya.

Ada juga salasilah yang bermula dari Rasulullah SAW turun kepada Saidina Ali KW, tidak turun kepada zuriat beliau, tetapi turun kepada Hasan al-Basri, seperti terdapat pada Thariqat Qadiriyah Sheikh Zainuddin as-Sumbawi, yang sama pada bahagian atasnya dengan Thariqat Samaniyah Sheikh Abdus Samad al-Falimbani.

Untuk perbicaraan ini pula dapat dilihat dalam buku penulis berjudul Al-'Urwatul Wutsqa pada halaman 14, juga dalam buku berjudul Sheikh Abdus Shamad Palembang pada halaman 45. Perkara yang disebutkan mengenai salasilah tarekat ini adalah sebagai pengenalan ringkas saja, selengkapnya penulis muatkan dalam buku berjudul Penyebaran Thariqat-Thariqat Shufiyah Mu'Tabarah Di Dunia Melayu, terbitan Khazanah Fathaniyah (2000).

Apa yang penulis nyatakan di atas tidak dipertikaikan oleh para ulama silam tradisional alam Melayu, kerana sumber-sumber yang diperkatakan terdapat rujukan-rujukan daripada kitab-kitab turas Islami. Tetapi selain yang tersebut, penulis mempunyai beberapa buah manuskrip Melayu mengenai tasawuf yang sangat erat hubungan dengan Saidina Ali KW, namun sangat sukar dirujuk kepada sumber-sumber muktabar, lagi pula manuskrip-manuskrip tersebut tidak dapat dikesan nama pengarang, di samping tulisan yang kurang memuaskan.


This entry was posted on 15 June 2009 at Monday, June 15, 2009 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment