Peranan ulama Patani di perantauan  

Posted

Pendahuluan
APABILA kita bercakap ataupun menulis apa saja mengenai Patani, rasanya tidak akan kekeringan bahan kerana cukup banyak perkara yang boleh ditonjolkan. Patani adalah suatu negeri yang telah bertamadun sejak lama, Langkasuka, Tamberalinga, Fathani Darus Salam dan lain-lain. Kerajaan yang pernah berpusat di negeri itu sudah cukup dikenal dalam sejarah serantau. Apabila kita terjemah dan tafsirkan sepotong tulisan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, barangkali boleh dijadikan sebuah buku yang agak tebal juga.

Tulisan tersebut adalah, "... Patani adalah suatu negeri daripada negeri-negeri Melayu. Telah lahir sebahagian putera-puteranya orang-orang yang baik-baik, cerdik serta arif bijaksana. Adalah pada zaman dulu di bawah satu daulah (kekuasaan/pemerintahan) daripada daulah-daulah mereka yang agung/besar".

Ramai yang menyangka bahawa orang Patani hanya terlibat dalam satu bidang keislaman saja kerana cukup ramai ulama yang berasal dari Patani yang muncul sebagai pengarang kitab. Pada pandangan penulis, sebenarnya orang-orang Patani bukan hanya terlibat dalam penulisan kitab tetapi juga terlibat dalam seluruh aspek kemasyarakatan.

Mengenai ulama-ulama Patani sudah cukup banyak ditulis dan telah banyak pula dipetik orang; baik dijadikan tesis, buku dan lain-lain mahupun kertas kerja.

Ulama-ulama yang sudah cukup terkenal seperti Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani, Sheikh Muhammad bin Ismail al-Fathani, Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani dan ramai lagi.

Di sini penulis menonjolkan tokoh-tokoh Patani yang nadir, yang belum dibicarakan. Bahkan nama sesuatu tempat yang berasal daripada aktiviti mereka masih dapat dikesan walaupun kadang-kadang tokoh pemula, nama mereka tidak dikenali.

Kadang-kadang dikenal nama, tetapi orang tidak dapat mengesan bahawa pemula tadi adalah berasal dari Fathani Darus Salam. Untuk mewakili sekian ramai tokoh orang Patani selaku pemula sesuatu aktiviti atau kejadian, maka di sini hanya penulis sebut beberapa orang yang kebanyakannya adalah ulama, sebagai contoh di antara mereka.

Mengenai mereka ini penulis bahagikan kepada beberapa tempat yang wujudnya peranan mereka, iaitu di Betawi, Sulawesi Selatan, Kalimantan Barat, Kepulauan Riau, Siak, Jambi, Aceh, Brunei, Semenanjung, Mekah, Mesir dan Turki.

Peranan ulama Patani di Betawi

Kedatangan orang Patani ke Betawi, baik secara langsung dari Patani ataupun setelah mereka dari Campa memang telah lama. Jika benar Sunan Gunung Jati/Syarif Hidayatullah adalah putera Sultan 'Umdatuddin bin Saiyid Ali Nurul Alam Sultan di Campa, menurut salah satu versi, bahawa Sunan Gunung Jati berhasil menguasai Sunda Kelapa itu pada 21 Jun 1527 M.

Sejak itu, beliau dan orang Patani yang ada hubungan dengan Sunan Gunung Jati ramai yang hijrah ke Betawi untuk membantu dan mengukuhkan kedudukan Sunan Gunung Jati.

Di antara sekian ramai orang Patani termasuklah keturunan Sheikh Daud bin Abdullah al-Malikul Mubin. Salah seorang di antara keturunannya ialah Wan Abdul Bagus, datuk neneknya berasal dari Patani tetapi beliau sendiri dilahirkan di Betawi. Beliau membuka Kampung Melayu di Betawi dalam tahun 1656 M.

Pemerintah Kolonial Belanda melantik Wan Abdul Bagus menjadi Ketua Orang-orang Melayu atau digelar dengan Capitain Malleyer. Wan Abdul Bagus al-Fathani menguasai tanah yang luas di bahagian tepi kiri-kanan Kali Ciliwung sebelah selatan dan bersempadan dengan tanah Meester Cornelis. Pemilikan tanah dikeluarkan dalam tahun 1661 M dan ditambah lagi tahun 1696 M sehingga menjadi amat luas.

Wan Abdul Bagus meninggal dunia tahun 1716 M. Beliau digantikan oleh anaknya Wan Abdullah. Gabenor Jenderal Belanda, bernama Frederik Durven (1729-1732) tidak menyukai Wan Abdullah. Lalu Belanda mencabut haknya dengan merampas kekayaan dan melucutkan jawatannya sebagai Kapten Melayu. Kemudian Wan Abdullah ditangkap, dipenjara, disiksa dan dibuang.

Berdasarkan cerita di atas dapat disimpulkan bahawa keluarga besar ulama Patani pernah berperanan penting di Betawi baik dalam kepemimpinan duniawi mahupun kepemimpinan menuju ukhrawi. Selain itu ada jalinan hubungan ulama antara Aceh-Patani-Betawi.

Generasi terakhir orang Patani yang berperanan sebagai ulama terkenal di Betawi ialah Kiai Sheikh Ahmad al-Marzuqi al-Fathani al-Batawi yang datuk neneknya ialah Sheikh Daud bin Abdullah al-Malikul Mubin, seperti yang telah disebutkan.

Kiai Syeikh Ahmad al-Marzuqi wafat di Betawi hari Jumaat 25 Rejab 1353 H/1934 M. Riwayat lengkap mengenai ulama ini telah penulis muatkan sebelum ini, juga dalam buku Thabaqat Ulama Asia Tenggara jilid ke-3.

Peranan ulama Patani di Sulawesi Selatan

Dalam tahun 1602-1632 M, berlaku pelarian beramai-ramai orang Patani kerana peperangan yang begitu panjang antara Fathani Darus Salam yang beragama Islam dengan kekuasaan besar Siam dari utara yang beragama Buddha.

Datuk Maharajalela, yang nama sebenarnya ialah Faqih Ali bersama dua anak saudaranya, Paduka Raja dan Puteri Senapati hijrah dari Fathani Darus Salam ke Kerajaan Gowa membawa bendera Fathani Darus Salam yang disebut Bendera Buluh Perindu, serta khazanah pusaka kebesaran kerajaan itu.

Di Gowa, beliau dan rombongan disambut oleh Raja Gowa, yang pada zaman itu diperintah oleh I Mangarangi Daeng Marabbia (Raja Gowa XIV). Di Kerajaan Gowa itu Faqih Ali/Datuk Maharajalela dilantik sebagai Ketua Orang-orang Melayu. Pada zaman itu di Sulawesi Selatan telah ramai orang Melayu di antaranya yang datang dari Johor, Riau, Pahang, Minangkabau, Aceh dan lain-lain.

Menurut riwayat, keturunan beliau terlibat dalam perang melawan penjajah Belanda. Mereka menyokong perjuangan Sultan Hasanuddin ketika berperang melawan Admiral Spelman. Adapun keturunan Puteri Senapati diriwayatkan adalah sebagai asal keturunan orang-orang Melayu di Ujungpandang dan menyebar di seluruh Sulawesi Selatan.

Barangkali kerana mereka kenal jati diri datuk neneknya yang anti kepada penjajah Siam, demikianlah jua keturunan tersebut yang berada di Sulawesi Selatan adalah orang-orang yang anti kepada pemerintah Belanda.

Peranan ulama Patani Di Kalimantan Barat

Dalam lingkungan tahun 1180-an H/1760-an M, penduduk Kuala Mempawah, Tanjung Mempawah dan kampung-kampung sekitarnya terkejut kerana didatangi oleh sekitar 40 perahu yang besar-besar belaka. Setelah dua orang ulama, Sheikh Ali bin Faqih al-Fathani dan Sheikh Abdul Jalil al-Fathani naik ke darat untuk menghadap Upu Daeng Menambon, iaitu Raja Mempawah pada masa itu, barulah diketahui oleh penduduk bahawa perahu-perahu itu datang dari negeri Fathani Darus Salam.

Kedua-dua ulama itu mendapat kedudukan dan dihormati oleh masyarakat kerana pengetahuan luas mereka dalam keislaman.

Sheikh Abdul Jalil al-Fathani meneruskan penyebaran Islam ke Sambas, setelah meninggal dunia digelar oleh penduduk dengan Keramat Lumbang kerana makamnya terletak di Lumbang, Sambas.

Adapun Sheikh Ali tinggal di Kampung Tanjung, Mempawah. Pada mulanya sebagai seorang guru mengajar kitab kepada masyarakat, tetapi sewaktu Habib Husein al-Qadri (Tuan Besar Mempawah), iaitu Mufti Mempawah yang pertama dan guru bagi Upu Daeng Menambon hampir meninggal dunia (1184 H/1770 M), maka ulama yang berasal dari Arab itu berwasiat.

Wasiat itu ialah bahawa tiada yang layak menjadi Mufti Mempawah sebagai pengganti beliau melainkan Sheikh Ali yang tinggal di Kampung Tanjung itu. Wasiat Habib Husein al-Qadri/Tuan Besar Mempawah itu dilaksanakan oleh pihak istana Raja Mempawah.

Sheikh Ali dilantik sebagai Mufti Kerajaan Mempawah dengan gelaran Maharaja Imam Mempawah. Beliaulah yang pertama bergelar demikian itu. Dengan demikian, Sheikh Ali adalah Mufti Mempawah yang kedua.

Beliau memperoleh zuriat yang ramai di Kalimantan Barat. Beberapa orang di antaranya berperanan sebagai tokoh terkemuka. Salah seorang anak beliau bernama Abdur Rahman atau lebih terkenal dengan nama gelar Wak Tapak. Beliau ini adalah seorang pahlawan Mempawah.

Sewaktu perkelahian antara orang-orang Cina dengan Melayu di Mempawah, Mandor dan tempat-tempat lainnya termasuk Wak Tapak yang berasal dari Patani dan Tengku Simbob yang berasal dari Riau beliau berhasil mengalahkan orang-orang Cina.

Dimulai dengan kedatangan Sheikh Ali ke Mempawah itu secara berantai, orang-orang dari Patani, Kelantan dan Kedah terutamanya yang ada hubungan pertalian keturunan dan keilmuan dengannya terus menerus datang ke Kalimantan Barat, kecuali terhenti setelah Indonesia merdeka kerana sistem pemerintahan telah jauh berubah coraknya.

Tokoh-tokoh yang terkemuka yang berasal dari Patani sesudah itu ialah: Wan Nik al-Fathani iaitu seorang ulama sufi guru masyarakat. Menantunya Haji Hasan al-Fathani adalah Imam Masjid Jamek Pemangkat (Kabupaten Sambas). Haji Hasan al-Fathani sahabat Sheikh Basiyuni Imran yang lebih terkenal dengan gelaran Maharaja Imam Sambas.

Selanjutnya yang datang dari Kedah pula ialah Sheikh Muhammad Yasin yang membuka pondok pengajian di Kuala Mempawah. Dari Kelantan ialah Haji Ismail bin Abdul Majid yang pernah menjadi Mufti Pontianak. Manakala Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani adalah Mufti Mempawah yang terakhir.

Walaupun ketiga-tiga ulama tersebut itu bukan berasal dari Patani, tetapi tetap ada hubungan dakwah dan pendidikan Islam dengan Sheikh Ali kerana sebelum mereka mendapat kedudukan di sana, semuanya tinggal di rumah keturunan Sheikh Ali.

Yang terakhir ialah penulis sendiri yang berasal keturunan Patani di Riau. Datang ke Sambas 18 Januari 1968 dan selanjutnya ke Mempawah 1970-1988, dan sempat mencatat hampir semua peristiwa mulai Sheikh Ali hingga Haji Abdur Rahman al-Kalantani dari mulut Haji Abdur Rahman Kelantan sendiri, kerana beberapa tahun penulis tinggal di rumah beliau.

Selain itu, semua peristiwa pula dicatat dari keturunan mereka dan orang tua-tua di Mempawah.

Peranan ulama Patani di Kepulauan Riau

Kepulauan Natuna, Siantan, Jemaja dan Tambelan yang semuanya terletak di Laut Cina Selatan adalah kepulauan-kepulauan yang mesti disinggah oleh para pelayar pada zaman dulu. Orang Patani pula baik yang dari Patani sendiri ataupun keturunan mereka yang telah lama tinggal di Campa, setiap kali berulang-alik antara Patani-Jawa-Campa, sentiasa singgah di kepulauan-kepulauan itu.

Pulau yang terbesar di Laut Cina Selatan ialah Pulau Bunguran. Di sana, memasuki sungai kecil disebut Sungai Semala, terletak sebuah kubur yang dikeramatkan orang yang disebut Keramat Binjai, iaitu seorang ulama yang berasal dari Patani, yang berkemungkinan dari Semela, Patani.

Keseluruhan Pulau Natuna itu memang dibuka oleh orang Patani. Pemerintah pulau itu disebut sebagai Datuk Kaya dan semua mereka memakai nama 'Wan' di pangkal nama. Menunjukkan bahawa mereka juga berasal dari kaum bangsawan Patani. Demikian halnya dengan Datuk Kaya Kepulauan Tambelan.

Sebelum menceritakan asal-usul Datuk Kaya di sini, penulis catatkan sedikit peristiwa, bahawa sekitar abad ke-16-17, sebuah perahu terdampar di Pantai Teluk Baruk disebut juga Gunung Rujin di Pulau Bunguran itu.

Di tempat perahu itu terdampar kemudian dinamakan orang dengan Tanjung Kapal. Dipercayai perahu tersebut berasal dari Patani setelah melalui Campa. Hinggakan pemimpin rombongan perahu terdampar itu belum diketahui secara pasti, tetapi salah seorang keturunannya bernama Wan Taksim.

Wan Taksim inilah mengutus seorang anaknya bernama Wan Abu Bakar belajar ke Mekah. Beliau hidup sezaman dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Kedua-duanya ada hubungan keluarga dan tinggal serumah di Mekah.

Setelah menjadi ulama, Haji Wan Abu Bakar mendapat arahan Sheikh Daud supaya menyebarkan Islam di kepulauan-kepulauan yang tersebut.

Perintis sebar agama

Boleh dianggap beliau adalah perintis menyebarkan agama Islam di kepulauan-kepulauan yang tersebut itu.

Di Kepulauan Siantan beliau menjadikan Air Bini sebagai pusatnya. Anak beliau bernama Haji Wan Abdur Rahman juga belajar di Mekah, setelah menjadi ulama selain mengembara di kepulauan-kepulauan tersebut beliau juga pernah menyebar Islam di Sarawak.

Beliau menjadikan Pulau Midai sebagai pusat penyebarannya untuk persekitaran Laut Cina Selatan. Beliau adalah imam yang pertama Masjid Baitur Rahman di Pulau Midai yang dibina bersama murid-muridnya yang berasal dari Terengganu.

Adapun Datuk Kaya yang pertama Pulau Bunguran bernama Wan Muhammad Perdana Mahkota. Dari mana beliau berasal menjadi pertikaian pendapat, ada riwayat bahawa beliau berasal dari Johor, riwayat lain berasal dari Patani.

Namun penulis lebih cenderung menyetujui pendapat beliau berasal dari Patani. Mengenai ini sangat jelas bahawa ketika beliau meninggal dunia, anak beliau yang bernama Wan Qamaruddin (Wan Rama) selaku yang berhak menggantinya tidak berada di tempat tetapi sedang tinggal di Campa, maka diutus orang pergi mengambilnya.

Wan Qamaruddin/Wan Rama adalah Datuk Kaya Pulau Bunguran yang kedua. Beliau diganti oleh anaknya, Wan Teras. Wan Teras memperoleh tiga anak dan yang menggantikan beliau sebagai Datuk Kaya ialah Wan Husein. Beliau ini seorang alim meninggalkan sebuah karya tentang ilmu tasauf yang diselesaikan tahun 1289 H/1872 M.

Manuskrip asli karya tersebut pernah menjadi milik penulis, dan telah diserahkan kepada Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia dengan nombor kelas MS 1091.

Anak Datuk Kaya selanjutnya adalah Wan Muhammad Benteng (pemerintahannya tahun 1926-1941) yang dikenali dengan Datuk Kaya Bunguran Timur. Datuk Kaya yang terakhir ialah anak beliau bernama Wan Muhammad Rasyid.

Selain itu, salah satu kebudayaan sejenis Menora, di Pulau Bunguran/Natuna dan di Mempawah, Kalimantan Barat disebut Mendu dipercayai bermula dari kebudayaan Patani.

Salah satu di antara lagu yang didindangkan ada menyebut Kerisik, iaitu: "Dari lah Kerisik, dari lah Kerisik ke pantai lah lalang

Nasib tiada baik, nasib tiada baik hai dirundunglah malang".

Penutup

l Peranan ulama-ulama Patani hanya dapat dibicarakan untuk beberapa buah tempat sahaja, iaitu di Betawi, Sulawesi Selatan, Kalimantan Barat, dan Kepulauan Riau sahaja.

Untuk peranan ulama Patani di tempat lain iaitu di Siak, Jambi, Aceh, Brunei, Semenanjung, Makkah, Mesir dan Turki akan dilanjutkan perbicaraan minggu berikutnya.


This entry was posted on 15 June 2009 at Monday, June 15, 2009 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment