Raja Ahmad Riau pengasas ‘al-Ahmadiah’ di Singapura  

Posted

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

DIRI dan jiwa mengembara dari tempat yang kecil dan terpencil ke Singapura, Johor dan Mekah akhirnya membuka usaha kemuncaknya di Singapura.

Itulah insan keturunan kaum bangsawan Riau bernama Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Umar Tengku Endut yang diperkenalkan artikel ini. Dari tempat yang kecil sebuah pulau, iaitu Pulau Penyengat Indera Sakti, bekas pusat Kerajaan Riau-Lingga, Johor dan Pahang di sanalah Raja Ahmad dilahirkan. Dan terpencil, nun jauh di sana Pulau Midai di Laut Cina Selatan.

Ayahnya Raja Haji Umar Tengku Endut itu dalam beberapa halaman Tuhfah an-Nafis ada disebut oleh saudaranya Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad Riau pujangga Melayu yang sangat terkenal itu, namun yang saya rakamkan di sini banyak perkara yang tidak sempat ditulis oleh Raja Ali Haji.

Walau bagaimanapun tulisan ini adalah sumber yang sahih kerana banyak hal saya dengar sendiri daripada Raja Haji Ahmad dalam tahun 1950-an hingga 1960-an, termasuk juga sumber-sumber yang lain dari kerabat keluarga ini. Raja Haji Umar Tengku Endut adalah orang pertama dilantik oleh Sultan Riau menjadi Amir (Ketua Pemerintahan wakil raja) di seluruh Tokong Pulau Tujuh yang sekarang dikenali beberapa kelompok kepulauan yang terkenal.

Yang paling terkenal sekarang ialah Kepulauan Natuna. Dia terkenal kerana diketemukan minyak dan gas. Sekarang dibentuk sebuah kabupaten dinamakan Kabupaten Natuna, pusat pemerintahannya Ranai. Setelah Natuna mulai terkenal nama-nama yang dahulu terkenal seumpama Kepulauan Siantan, Kepulauan Jemaja, dan lain-lain kurang dipercakapkan orang. Kepulauan Serasan pula terletak yang paling Sararak (di bahagian utara).

Susur galur Raja Haji Ahmad dari pihak sebelah ayahnya tidak perlu saya bicarakan di sini kerana telah saya tulis sebelum ini dan mudah mendapatkannya dalam susur galur kaum raja-raja Riau-Lingga atau pun Johor atau pun Selangor. Dari pihak sebelah ibunya pula memang tidak dibiasakan orang kecuali salasilah yang ditulis oleh abang saya Muhammad Zain Abdullah. Dalam tahun 1950-an beliau bersama saya mendengar daripada Haji Wan Abu Bakar saudara sepupu Raja Haji Ahmad daripada pihak sebelah ibu.

Bahawa ibu Raja Haji Ahmad bernama Hajah Nik Wan Siti binti Nik Wan Muhammad Nara, berasal dari Natuna. Asal usul selanjutnya dari Patani dan Kelantan. Datang ke Natuna terlebih dulu dan Batu Bahara di Sumatera. Ibu Hajah Nik Wan Siti bernama Wan Qamariyah binti Encik Wan Mat Thalib, berasal dari Pontianak, Kalimantan Barat.

Dalam salasilah yang saya peroleh di Pontianak menyebut Wan Qamariyah binti Encik Wan Mat Thalib bin Encik Wan Jaramat/Orang Kaya Setia Maharaja Lela Pahlawan Tambelan bin Encik Wan Umar/Megat Laksamana bin Encik Wan Utsman/Orang Kaya Megat Patan di Pahang bin Encik Wan Ahmad/Tuan Qadhi Menteri Danageraha Habung. Encik Wan Ahmad/Tuan Qadhi Menteri Danageraha Habung inilah ulama yang bersama Sultan Melaka yang hijrah ke Batu Sawar, Johor, selanjutnya ke Bintan, selanjutnya ke Minangkabau, selanjutnya ke Kampar.

Beberapa orang keturunannya berpatah balik ke Johor, Pahang dan lainnya, ramai yang menjadi pembesar. Keturunan beliau juga menjadi pembesar-pembesar dalam beberapa kerajaan Melayu, termasuk Pontianak dan Cam yang menyatu dengan keturunan yang berasal dari Patani.

Hendaklah dikenalpasti bahawa dalam sejarah Riau terdapat dua orang tokoh yang bernama Raja Ahmad. Seorang adalah anak Raja Haji asy-Syahidu fi Sabillilah, dan seorang lagi ialah cicitnya. Cicit Raja Haji adalah Raja Haji Ahmad yang pertama. Peranan kedua-dua tokoh itu sama penting, namun Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Umar Tengku Endut tidak dibicarakan dalam Tuhfat an-Nafis, salasilah Melayu dan Bugis dan sejarah-sejarah Riau lainnya.

Hal tersebut disebabkan sewaktu Raja Ali Haji (saudara kandung Tengku Endut) mengarang pelbagai karyanya, Raja Haji Ahmad bin Tengku Endut masih kecil.

Raja Haji Ahmad yang pertama digelar orang Engku Haji Tua. Daripada khazanah peninggalan keturunan beliau ada dicatatkan bahawa Raja Haji Ahmad ketika mudanya amat gemar memancing ikan di laut. “Pada suatu masa Raja Haji Ahmad sedang memancing di laut ... (tak dapat dibaca) berdekatan dengan sebuah pulau, di depan muka selat Tiong, maka datanglah sebuah kapal kepunyaan orang barat. Tiba-tiba dilanggarnya sampan Raja Ahmad sampai karam. Sebaliknya pada waktu itu Raja Ahmad dapat berpegang pada kapal orang barat itu, lalu naik ke atas kapal tersebut. Lalu dihamuknya segala orang dalam kapal itu sehingga habis.”

Setelah orang-orang kapal itu mati maka Raja Ahmad susah pula bagaimana akan membawa kapal itu masuk ke Tanjung Pinang sedangkan kapal itu sangat besar, tentu tidak dapat dikayuhkan. Sedangkan dia hanya seorang diri. Pada waktu itu terbit fikirannya, “Baik aku tunda saja kapal ini dengan sampanku supaya dapat aku bawa masuk ke Tanjung Pinang.” Maka Raja Ahmad turun ke sampannya. Lalu dikayuhnya masuk ke selat Tiong sampai ke Pulau Bayan ... " Selanjutnya diceritakan dari kisah di atas tergubahlah seuntai pantun:

Anak ulat di buku kayu,

Anak Belanda main teropong,

Besar daulat Raja Melayu,

Kapal ditunda dengan jongkong.

Pencetus usaha

Raja Haji Ahmad Muda adalah cucu Raja Haji Ahmad Engku Tua setelah memperhatikan banyak kegoncangan dalam pemerintahan Riau-Lingga, telah menghadap Sultan Abdur Rahman Mu'azzam Syah. Kata beliau kepada sultan, “Pada pandangan patik di belakang hari kaum kita akan disingkirkan Belanda. Kita akan papa kedana.

Akibat papa kedana kaum kita Melayu boleh menukar agama daripada Islam kepada agama Serani. (Maksudnya Nasrani atau Kristian). Patik mohon keizinan Paduka untuk membangun satu syarikat perniagaan.” Titah baginda Sultan Abdur Rahman, “Bagaimana yang elok menurut engkau perbuatlah ! Aku sangat-sangatlah bersetuju.” (Ucapan Raja Haji Ahmad tahun 1961 di rumahnya Istana Laut, Pulau Penyengat).

Setelah mendapat persetujuan daripada Sultan Abdur Rahman Mu'azzam Syah, maka Raja Haji Ahmad memanggil kaum intelektual kerajaan Riau bermusyawarat. Di antaranya ialah Raja Ali bin Raja Muhammad Tengku Nong, Raja Haji Idris bin Tengku Endut, Raja Haji Ja'afar bin Tengku Endut dan Raja Haji Muhammad bin Raja Ali. Dari situ mereka bersepakat untuk mendirikan sebuah perniagaan untuk mempertinggikan imej orang Melayu Islam terutama kerabat mereka. Sebagai langkah awal mereka membuka tanah perkebunan.

Oleh sebab tanah-tanah di sekitar Pulau Bintan kurang subur untuk perkebunan, selain tanah-tanah itu telah dikuasai oleh tauke-tauke bangsa Cina, Raja Haji Ahmad terpaksa mengarahkan tumpuan ke pulau-pulau yang masih kosong. Pulau-pulau tersebut ialah di kawasan Tukong Pulau Tujuh. Dengan sebuah perahu layar dia menuju ke Pulau Midai kerana di sana telah ada wakil sultan sejak tahun 1302 H/1883 M. Kebetulan pula wakil itu adalah saudara kandungnya, iaitu Raja Haji Ilyas bin Tengku Endut.

Dari Pulau Midai yang kecil terpencil di Laut Cina Selatan itu bermulalah segala kegiatan Syarkah Ahmadi Midai. Dari situ sebuah cawangan dibuka di Singapura, iaitu Mathba'ah Al-Ahmadiah atau Al-Ahmadiah Press 101 Jalan Sultan Singapura 7. Sejarah berdirinya Syarkah Ahmadi & Co. Midai dan cawangan Al-Ahmadiah Singapura secara jelas diceritakan oleh Raja Haji Ahmad dalam suratnya yang bertarikh 17 Ramadan 1373 H kepada Haji Wan Abdullah bin Haji Wan Abdur Rahman saudara sepupunya.

Beberapa perkara yang penting di antaranya saya petik, "Dan tentang pertanyaan adinda permulaan mendirikan Ahmadiah Midai ialah kekanda tarikhkan mendirikan rumah di laut Sabang Barat di hadapan rumah tauke Aniu. Lihatlah di dalam jurnal kekanda di Ahmadi dan Surat Kebenaran dari Yang Dipertuan Besar Riau masih ada kekanda simpan tinggal di Penyengat ... Maka pada masa itu berjalanlah perniagaan Ahmadi hingga kekanda dipanggil oleh Yang Dipertuan Besar Riau kerana muafakat hendak membeli kapal yang bernama Kapal Karang ... "

Setelah Kapal Karang dibeli maka terjadilah perkongsian antara Syarikat Ahmadi dengan Syarikat Batu Batam yang dipunyai oleh Raja Muhammad Yusuf al-Ahmadi. Syarikat Batu Batam ini diuruskan oleh anaknya, Raja Ali Kelana. Syarikat ini tidak dapat bertahan lama kerana dikhianati oleh beberapa peniaga Cina di Singapura. Walau bagaimanapun dengan kebijaksanaan Raja Haji Ahmad dan anak saudaranya, Raja Ali bin Raja Haji Muhammad Tengku Nong (cucu Marhum Mursyid), Ahmadi & Co. Midai tidak dapat dipermainkan oleh peniaga-peniaga Cina di Singapura.

Raja Haji Ahmad memang diakui seorang tokoh Riau yang sangat teliti dalam bidang pentadbiran. Dalam salah satu buku yang tersimpan di Ahmadi & Co. Midai telah ditemui tulisan ini. “Pada 10 Syaaban 1324 H bersamaan 17 September 1906 M dimulai membuka kedai di Pulau Midai, Sabang Barat”.

Sewaktu Raja Haji Ahmad berada di Mekah hubungan komunikasi surat-menyurat antara beliau dengan Raja Ali bin Raja Muhammad Tengku Nong tidak pernah terputus. Dalam surat Raja Ali yang bertarikh 28 Rejab 1332 nombor 19 dan 92 kepada Raja Haji Ahmad di Mekah ada dinyatakan bahawa syarikat Ahmadi akan mengembangkan perniagaannya. Raja Haji Ahmad bersetuju. “Syahdan adapun muafakat Paduka anakanda hendak membesarkan perniagaan Ahmadiah, dihamburkan modalnya di Pulau Tujuh hingga ke Singapura, maka pekerjaan itulah seelok-elok pekerjaan menurut peraturan orang-orang Eropah membesarkan pekerjaan dengan muafakat. Maka sangatlah ayahanda perkenan akan muafakat itu ...”

Setelah Raja Ali mendapat persetujuan Raja Haji Ahmad, dengan Akta Midai, 1 Syaaban 1333 H bersamaan 14 Jun 1915 M maka rasmilah pembukaan cawangan Ahmadiah Pulau Tujuh-Singapura yang berpejabat di Palembang Road No. 18B, Singapura. Cawangan itu kemudiannya berpindah ke Minto Road No. 50.

Cawangan ini berfungsi menguruskan hasil bumi dan hasil laut yang datang dari Pulau Tujuh, Sumatera dan Malaya. Dengan memakai tanda Syarikat Ahmadi & Co. Midai cawangan Singapura, syarikat tersebut melakukan kegiatan eksport hasil bumi dan hasil laut ke benua Eropah. Selain itu syarikat itu juga mengimport barangan dari Eropah, India dan Cina ke Singapura.

Pendek kata, Ahmadiah cawangan Singapura adalah sebagai lambang kemampuan bangsa Melayu dalam bidang perdagangan pada zaman itu. Pada hari Jumaat 20 Rabiulawal 1339 H bersamaan 3 Disember 1920 M muafakat pula mendirikan percetakan terkenal dengan nama Mathba’ah Al-Ahmadiah atau Al-Ahmadiah Press 101 Jalan Sultan Singapura.

Sejarah menuntut ilmu
* Raja Haji Ahmad menyerahkan pimpinan Syarkah Ahmadi & Co. Midai kepada Raja Ali (cucu Marhum Mursyid) pada 1914 untuk mendalami pelbagai bidang ilmu.

* Di Mekah - berguru dengan Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani dan Syeikh Daud bin Mushthafa al-Fathani (ilmu keislaman)

* Beliau belajar ilmu al-Quran daripada Syeikh Abdullah bin Qasim Senggora.

* Pernah mengembara ke beberapa negeri di Asia Barat serta mengunjungi Calcutta dan Bombay di India.

* Beliau juga adalah pengasas syarikat Ahmadi & Co. Midai pada 10 Syaaban 1324 H bersamaan 17 September 1906 di Pulau Midai, Sabang Barat.

Tuanku Tambusai pejuang Melayu Riau  

Posted

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

NAMA beliau turut disentuh dalam kertas kerja saya pada seminar oleh keluarga Rao atau Rawa di Raub, Pahang dan artikel Syeikh Muhammad Murid Rawa, disiarkan Utusan Malaysia, bertarikh 19 Mac 2007.

Tidak ramai memahami bahawa ulama dan pahlawan ini telah menyemaikan benih anti penjajah. Beliau ikut dalam peperangan Imam Bonjol di Sumatera Barat. Akhirnya terpaksa hijrah ke Negeri Sembilan dan meninggal dunia di situ.

Wujud persamaan dengan Raja Haji berperang melawan Belanda bermula di Riau melalui Linggi, Rembau dan lain-lain di beberapa tempat dalam Negeri Sembilan akhirnya tewas di Melaka sebagai seorang syahid fi sabilillah. Oleh kerana Tuanku Tambusai meninggal dunia di Negeri Sembilan sedikit sebanyak tentu beliau telah menyemaikan benih berjuang kepada bangsa Melayu di Negeri Sembilan khususnya dan Semenanjung umumnya yang dijajah oleh Inggeris pada zaman itu.

Sejarah adalah penting perlu kita kaji dan perkenalkan kepada masyarakat luas. Ketika saya menghadiri seminar yang diadakan oleh keluarga Rao atau Rawa di Raub, Pahang, Ahad, 18 Mac 2007 M/28 Safar 1428 H yang lalu, di luar acara rasmi Tuan Mohd. Said bin Haji Mohd. Razi, Pengerusi dan Ketua Projek, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor menghadiahkan kepada saya sebuah buku berjudul, Sejarah Negeri Selangor, Dari Zaman Prasejarah Hingga Kemerdekaan, diterbitkan tahun 2005.

Manakala saya baca Perutusan Menteri Besar Selangor dan Kata Pengantar Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor, saya simpulkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor telah mengeluarkan dana yang besar untuk melakukan penyelidikan. Termasuk beberapa orang panel penulis ke tempat-tempat di Indonesia yang ada hubungan dengan Selangor. Saya berkesimpulan bahawa hampir semua tokoh, sama ada di Malaysia atau sebaliknya Indonesia termasuk Tuanku Tambusai, dan lain-lain mempunyai hubungan yang sangat erat.

Bahkan sejak lama serumpun Melayu sejagat selalu bekerjasama dalam gerakan dakwah Islam, politik, ekonomi, budaya, dan lain-lain. Jadi tidak hairanlah Tuanku Tambusai berkemungkinan sebab-sebab tertentu terpaksa berpindah dari Sumatera (beliau beroperasi di Minangkabau dan Riau) ke Negeri Sembilan.

PENDIDIKAN

Bermacam-macam ramalan sewaktu anaknya yang dinamakan Muhammad Shalih dilahirkan kerana pada waktu itu terjadi hujan ribut disambut kilat, guruh-petir sabung-menyabung. Tetapi kerana Imam Maulana Qadhi seorang alim yang terpelajar, yang faham akidah Islam beliau tolak sekalian ramalan yang bercorak khurafat secara bijaksana.

Bayi tersebut dipersembahkan kepada Duli Yang Dipertuan Besar Raja, Permaisuri Duli Yang Dipertuan Besar Raja berkata, “Kita doakan apabila dia alim nanti menjadi suluh dalam negeri. Kalau dia seorang berani menjadi pahlawan. Sekiranya dia kaya menjadi penutup malu. Sekiranya dia menjadi cerdik bijaksana adalah penyambung lidah untuk kebenaran dan keadilan." (Rokan Tuanku Tambusai Berjuang, H. Mahidin Said, cetakan kedua, hlm. 30).

Oleh sebab ayahnya seorang Imam Tambusai dan seorang alim sudah pasti Muhammad Shalih mendapat pendidikan awal dan asas daripada ayahnya sendiri. Sungguhpun ketika Muhammad Shalih meningkat dewasa beliau dihantar ke Rao yang lokasinya berdekatan dengan Tambusai. Setelah mendapat pendidikan Islam di Rao dan Bonjol beliau lebih dikenali dengan nama “Faqih Shalih”.

Menurut tradisi di daerah, apabila seseorang itu menguasai ilmu fikah maka dia digelar dengan “Faqih”. Ini bererti Muhammad Shalih sejak muda lagi telah diakui oleh masyarakat sebagai seorang yang alim dalam bidang ilmu fikah. Sudah menjadi lumrah dalam dunia dari dulu hingga kini ada saja raja atau umara (pemerintah) yang sepakat dengan ulama. Yang inilah yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. Ada pula antara umara yang tidak sepakat dengan ulama. Ulama yang masih muda bernama Faqih Shalih yang tersebut diriwayat memang bertentang dengan raja yang memerintah ketika itu.

Walau bagaimanapun Faqih Shalih meminta nasihat kepada dua orang ulama. Yang pertama ialah Tuanku Imam Bonjol (nama yang sebenarnya ialah Peto Syarif). Yang kedua ialah Tuanku Rao (nama yang sebenarnya dipertikai pendapat). Kedua-duanya menasihatkan supaya Faqih Shalih pergi haji ke Mekah. Sewaktu di Mekah, Faqih Shalih sempat memdalami ilmu di sana. Di antara ulama yang sedaerah dengannya (yang saya maksudkan berasal dari persekitaran Minangkabau, Tapanuli dan Riau) di antaranya ialah Syeikh Ismail bin Abdullah al-Khalidi an-Naqsyabandi dan lain-lain.

Beliau ini termasuk murid Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dipercayai Faqih Shalih selama berada di Mekah sempat belajar kepada ulama yang berasal dari Patani itu.

Sebagaimana tulisan saya dalam kertas kerja seminar di Raub, Pahang bahawa sukar menjejaki yang bernama Muhammad Shalih itu, dalam zaman yang sama ada Muhammad Shalih bin Muhammad Murid Rawa dan ada pula Faqih Shalih sedang Tuanku Rao tidak diketahui nama sebenarnya. Ada pendapat bahawa Tuanku Rao seorang guru pada Faqih Shalih. Ada kemungkinan Tuanku Rao adalah orang tua (ayah Faqih Shalih).

Setelah kembali dari Mekah, Faqih Shalih lebih dikenali "Haji Muhammad Shalih". Dan selanjutnya dalam Perang Imam Bonjol atau Perang Paderi, beliau lebih dikenali sebagai "Tuanku Tambusai" selanjutnya digunakan nama ini.

Sudah menjadi sejarah perkembangan dunia bahawa sama ada disukai atau pun tidak, peperangan bila-bila masa boleh terjadi. Agama Islam bukanlah agama yang menganjurkan peperangan tetapi jika ada usaha-usaha agama selainnya menodai Islam maka konsep jihad memang sudah menjiwai hampir seluruh individu Muslim. Hal ini adalah hampir sama dengan jiwa kebangsaan individu sesuatu negara atau sesuatu bangsa bahawa hampir setiap individu dalam sesuatu negara adalah tidak suka negaranya dijajah.

Memperjuangkan sesuatu negara atau bangsa telah menjiwai setiap penduduk dunia sama ada yang beragama Islam dan agama-agama lainnya termasuk orang yang tidak beragama sekalipun. Oleh sebab Belanda telah menjajah Minangkabau, Sumatera Barat, maka adalah wajar rakyat bertindak melawan penjajah itu apatah lagi yang datang menjajah itu tidak seagama pula.

Tuanku Tambusai dan kawan-kawan bersamanya bergabung dalam satu wadah yang dinamakan "Kaum Paderi" yang dipimpin oleh Peto Syarif yang kemudian terkenal dengan sebutan Tuanku Imam Bonjol. Menurut buku, 101 Pahlawan Nasional, Departemen Sosial Republik Indonesia bahawa "Tuanku Imam Bonjol, Tuanku Rao dan Tuanku Tambusai bekerjasama dalam perjuangan tetapi tidak bererti yang satu membawahi yang lain kerana mereka merupakan tokoh-tokoh yang otonom." (hlm. 517).

Perang paderi

Bunga api Perang Paderi mulai bertaburan pada tahun 1803 yang dihidupkan oleh Haji Miskin dari Pandai Sikat, Haji Sumanik dari Tiga Belas Koto dan Haji Piobang dari Tanah Datar. Kemunculan Tuanku Tambusai dengan pasukannya di bahagian utara terutama sekitar daerah Hulu Sungai Rokan menyebabkan Tuanku Imam Bonjol dapat bertahan dari serangan Belanda lebih lama kerana pasukan Tuanku Imam Bonjol posisinya di bahagian tengah. Taktik dan strategi perang diatur dua bahagian oleh Tuanku Rao dan Tuanku Tambusai. Tuanku Rao melalui Padangsidempana dan Tuanku Tambusai melalui Padanglawas, Gunung Tua, Bilah Panai berhimpun di Sipiruk. Pada mulanya Belanda telah menguasai Bonjol pada bulan September 1832 akhirnya terpaksa keluar pada Januari 1833 akibat serangan Kaum Paderi yang diperanani oleh Tuanku Tambusai.

Dalam perang melawan penjajah Belanda itu di antara jasa besar Tuanku Tambusai, beliau dapat menyatupadukan tiga etnik iaitu Minangkabau/Rao, Melayu dan Mandailing. Bahawa mereka bersatu tekad dan semangat bumi pusaka bukan milik bangsa penjajah. Bumi ini adalah kepunyaan bangsa kita yang beragama Islam.

Membela agama Islam dan tanahair adalah wajib. Menang dalam peperangan bererti mencapai kemerdekaan. Jika mati dalam perjuangan adalah mati syahid. Menang bererti beruntung. Jika mati pun beruntung juga. Orang yang tidak mengenal bangsa, tanahair dan Islam agamanya, yang tiada perjuangan itulah yang sebenar-benar rugi pada hakikatnya.

Apabila kita menoleh zaman lampau etnik yang tersebut mendiami daerah yang sangat luas, yang pada masa ini terbahagi dalam tiga daerah iaitu; daerah Sumatera Barat majoriti penduduknya ialah Minangkabau, daerah Riau Daratan majoriti penduduknya ialah Melayu dan daerah Sumatera Utara majoriti penduduknya ialah Batak dan yang beragama Islam mempunyai nama tersendiri iaitu Mandailing.

Daripada rakaman ini kita dapat membayangkan bahawa Tuanku Tambusai mempunyai kehebatan atau kekuatan yang tersendiri sehingga beliau dapat menyatupadukan etnik dalam bumi yang demikian luas itu. Setelah banyak mengapai kemenangan dan keberhasilan perjuangan, Tuanku Tambusai menjadikan pusat perjuangan, pentadbiran dan pertahanan di Dalu-Dalu (sekarang dalam daerah Riau Daratan).

Bertahan

Sampai tahun 1838 Tuanku Tambusai masih tetap bertahan sehingga Belanda tidak dapat masuk ke Inderagiri Hulu (Riau Daratan). Tuanku Tambusai adalah seorang ulama dan pahlawan yang berpendirian keras tidak mahu berunding dengan pihak penjajah Belanda. Beliau faham benar bahawa berunding dengan pihak penjajah Belanda bererti menyerah diri atau terperangkap dengan umpan lazat yang disediakan pemburu.

Sudah banyak contoh yang beliau bandingkan seumpama Tuanku Imam Bonjol sendiri terkorban bukan sebagai syahid di medan peperangan tetapi adalah tertipu kelicikan pihak penjajah Belanda. Tuanku Tambusai berpendirian terus berjuang sekiranya tidak berhasil hijrah ke Negeri Sembilan beliau memilih jalan terakhir iaitu mati sebagi syahid lebih utama daripada berunding apatah lagi menyerah kepada pihak musuh.

Pendirian keras Tuanku Tambusai seperti tersebut itu ada orang yang tidak menyetujui dan ramai pula yang menyetujuinya. Jika kita teliti sejarah perjuangan kemerdekaan Indonesia secara keseluruhan pendirian Tuanku Tambusai itu ada benarnya. Kerana hampir semua pemimpin yang mahu berunding dengan penjajah Belanda adalah merugikan pemimpin pejuang. Yang untung adalah pihak Belanda sendiri.

Semua pemimpin yang menerima perundingan ditangkap akhirnya dibuang keluar dari negeri asalnya. Peristiwa Tuanku Tambusai dapat kita bandingkan dengan peristiwa dunia antarabangsa sekarang ini, ada negara yang tidak menerima perundingan dengan Amerika seperti Iran tentang isu nuklear. Ada negara menerima perundingan tetapi tidak mudah menerima tipu helah Amerika seperti Korea Utara. Iraq akhirnya menerima perundingan. Apa jadinya? Hanyalah merugikan Iraq sendiri menjadi negara yang dijajah oleh Amerika dan sekutu-sekutunya.

Pengorbanan tenaga, harta dan pemikiran Tuanku Tambusai adalah besar, kecuali jiwa dan raganya saja dapat berhijrah ke Negeri Sembilan. Peristiwa beliau hampir serupa dengan gurunya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam perang Patani melawan pencerobohan Siam bahawa beliau hijrah ke Pulau Duyung Kecil, Terengganu. Hijrah seseorang tokoh atau ulama bukan bererti lari tetapi bertujuan menyusun taktik dan strategi untuk mencapai kemenangan yang diredai Allah di dunia dan akhirat. Dengan tidak menafikan perjuangan Tuanku Tambusai beliau telah diberi gelaran, ‘Pahlawan Nasional Republik Indonesia’ dengan SK. No. 071/TK/Tahun 1995, Tanggal 7 Ogos 1995.

Imam Ishak Rawa perintis dokumentasi ulama Rawa  

Posted

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH


PENULIS (dua dari kiri) bergambar bersama Jaringan Anak Rao dan Persemendaan. Di sebelah kiri penulis ialah Pengerusi Jaro, Datuk Abdul Wahab.

DUA Isnin berturut-turut yang lalu telah diperkenalkan dua tokoh ulama yang berasal dari Rao atau Rawa. Artikel ini pula adalah rangkaian yang tersebut dan merupakan bicara lanjut yang dibincangkan dalam Majlis Muzakarah Ahlus Sunah wal Jamaah di Raub, Pahang pada 18 Mac 2007 M/28 Safar 1428 H lalu.

Tokoh yang diperkenalkan ialah seorang yang gigih menyebarkan Tarekat Naqsyabandiyah Khalidiyah. Nama lengkap beliau mengikut salasilah ayahnya ialah Tuan Guru Imam Tengku Haji Ishak bin Tengku Muhammad Arif bin Tengku Tan Joleng Tujuan Saka Mas bin Tengku Merah Laut Silingkar Alam @ Limbang Laut keluarga Yang Dipertuan Muda Tanjung Alai, Mapat Tunggal, Rao, Sumatera Barat.

Sungguhpun masih banyak persoalan yang masih belum jelas, namun berdasarkan surat Zaffuan bin Haji Manap ar-Rawi al-Qadiriah kepada Pengkaji bertarikh 17 Ramadan 1427 H/20 Oktober 2006 M, keluarga tersebut ada pertalian dengan Syeikh Muhammad Murid Rawa.

Kata Zaffuan, “Keluarga Syeikh Murid ini juga mempunyai pertalian dengan keluarga Merah Mas, Yang Dipertuan Muda Tanjung Alai, Rao tetapi sayangnya peraturan sebenar masih belum dapat dihuraikan hingga kini.”

Saya simpulkan saja bahawa Imam Tengku Haji Ishak salah seorang daripada keluarga Rao atau Rawa dan besar baktinya mendokumenkan keluarga itu terutama di Malaysia.

Menurut surat Zaffuan itu lagi, “Punca utama manuskrip keluarga beliau (maksudnya keluarga Syeikh Muhammad Shalih Rawa, bererti juga semua keluarga) di Pahang ini pada asalnya adalah atas usaha orang tua kami yang dihormati lagi dimuliakan iaitu almarhum Tuan Guru Imam Haji Ishak bin Muhammad Arif al-Khalidi an- Naqsyabandi (1908-1992).”

Ibu Imam Haji Ishak bernama Hindun @ Nujmah binti Tengku Mahmud (keturunan Siak). Ibu Hindun @ Nujmah ialah Maryam berasal dari Kampung Teluk Pulai, Klang, Selangor. Imam Haji Ishak dilahirkan di Kampung Chemor, Ipoh, Perak pada tahun 1908 dan meninggal dunia tahun 1992.

Beliau menerima Tarekat Naqsyabandiyah daripada Syeikh Umar bin Haji Muhammad al-Khalidi an-Naqsyabandi (wafat tahun 1936) di Batu Pahat, Johor.

Guru Syeikh Umar pula ialah Syeikh Abdul Wahhab Rokan (lahir 1811, wafat tahun 1926). Menurut surat Zaffuan lagi: “Beliau adalah seorang guru agama dan pemimpin Tarekat Naqsyabandiyah yang terkenal di seluruh mukim Dong, Raub malah muridnya juga ramai yang datang dari luar Pahang.”

Dari perkataan “Beliau adalah seorang guru agama dan pemimpin Tarekat Naqsyabandiyah ..." perlu diberi ulasan bahawa perkara khilafiah (pertikaian pendapat) dalam Islam sangat banyak, termasuklah ada golongan yang menerima tarekat dan ada pula yang menolaknya. Bahkan lebih jauh daripada itu ada pihak-pihak tertentu yang membidaah dan mengkhurafatkannya.

Dalam segala persoalan dari dulu hingga sekarang, ada saja orang yang tidak pasti tentang sesuatu perkara selalu menyalahkan apa yang dia tidak tahu. Oleh itu pada pandangan saya, tidaklah bijaksana dan tidak adil seseorang itu menyalahkan pendapat orang lain sedangkan dia tidak mempelajari pendapat itu secara saksama, teliti dan mendalam kepada ahlinya. Demikian halnya dengan tarekat dalam tasauf telah berada dalam Islam sejak lama dan telah diamalkan oleh ramai ulama.

Selagi ramai ulama yang mengamalkannya dan terdapat hujah-hujah dalam kitab-kitab mereka, walaupun ada golongan yang menyalahkannya kita tidak patut mempertahankan pendapat atau pandangan sendiri. Apabila kita hidup bermasyarakat, tetapi hanya bertahan kepada pendapat atau pandangan sendiri, tidak menerima pendapat atau pandangan orang lain, boleh mengakibatkan keresahan masyarakat, kehidupan selalu tidak harmoni.

Oleh itu seseorang guru agama seperti Imam Haji Ishak yang mengamalkan tarekat seperti yang diriwayatkan ini, tidak perlu kita pertikaikan kerana sepanjang hayatnya mempunyai murid yang ramai dan diterima oleh masyarakat. Bagi saya, siapa saja mempunyai pendapat dan pandangan yang tidak menyalahi Islam marilah berjuang sehingga nyata kebajikan demi kepentingan umat.

Pendidikan

Setelah tamat sekolah Melayu (di Sekolah Melayu Dong, Raub) beliau mendalami ilmu agama secara khusus. Di antara guru-gurunya termasuklah dua orang ulama berikut iaitu Tuan Syeikh Kasyful Anwar (berasal dari Kalimantan). Beliau adalah seorang yang sangat alim dalam ilmu alat (nahu, sharaf, bayan, mantik, balaghah, badi’ dan sebagainya).

Tentang fiqh pula, Tuan Imam Haji Ishak belajar dengan Tuan Syeikh Muhammad Shalih bin Syeikh Haji Umar, ulama yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

Di antara kitab-kitab yang dipelajari oleh Tuan Imam Haji Ishak ialah kitab-kitab tentang akidah Matn Jauharah at-Tauhid, Durr ats-Tsamin oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Akidah an-Najin oleh Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani. Dari tiga buah kitab ilmu akidah atau tauhid yang tersebut, dapat disimpulkan bahawa Tuan Imam Haji Ishak telah mempelajari ilmu yang sangat asas itu, sebuah matan dalam bahasa Arab (Matn Jauharah at-Tauhid) dan dua syarah dalam bahasa Melayu (Durr ats-Tsamin dan Akidah an-Najin).

Menurut tradisi pengajian Islam dunia Melayu zaman silam tidak terhenti setakat itu saja, biasanya untuk membolehkan seseorang itu bergelar alim dalam akidah Ahli Sunah wal Jamaah dan berkelayakan mengajar, mereka meneruskan pengajian kepada kitab-kitab dalam bahasa Arab peringkat syarah dan hasyiyah yang tinggi-tinggi serta banyak melakukan pengtelahan.

Tentang fikah ialah Sabil al-Muhtadin oleh Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, Furu’ al-Masail oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan al-Iqna’ kitab dalam Mazhab Syafie dalam bahasa Arab. Jika kita perhatikan tiga kitab yang tersenarai juga sebuah kitab dalam bahasa Arab (al-Iqna’) dan dua buah dalam bahasa Melayu (Sabil al-Muhtadin dan Furu’ al-Masail).

Kitab al-Iqna’ bukanlah sebuah kitab yang mendalam tetapi peringkat pertengahan sahaja. Namun ia dianggap memadai kerana termasuk dalam golongan kitab bercorak syarah bukan matan. Kitab Sabil al-Muhtadin kitab Melayu/Jawi yang cukup popular dalam pengajian Islam tradisional di seluruh dunia Melayu.

Dalam pengertian bahagian ibadat kitab Sabil al-Muhtadin termasuk kitab fiqh Syafieyah yang lengkap. Ada pun kitab Furu’ al-Masail juga dalam bahasa Melayu. Kitab ini membicarakan perkara yang furuk-furuk (cabang-cabang atau bahagian yang halus-halus). Hanya dua saja kitab Melayu/Jawi seperti demikian. Sebuah lagi ialah Kasyf al-Litsam karya Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani.

Sungguh pun Tuan Imam Haji Ishak bukan dikenali sebagai seorang faqih (pakar fikah) tetapi beliau memahami banyak hal dalam fikah. Tambahan pula, beliau lebih banyak menceburi bidang Tarekat Naqsyabandiyah Khalidiyah tidaklah dapat dianggap beliau tidak memahami syariat. Memanglah sangat berbahaya apabila ada seseorang guru tarekat apabila tidak memahami syariat dan ilmu-ilmu yang lainnya.

Daripada sekian ramai penyebar Tarekat Naqsyabandiyah Khalidiyah di dunia Melayu seumpama Syeikh Ismail bin Abdullah al-Minankabawi, Syeikh Abdul Wahhab Rokan yang turun kepada Tuan Imam Haji Ishak, dan lain-lain yang faham syariat akhir-akhir ini, memang ada orang tertentu yang tidak faham syariat mengaku dirinya sebagai seorang Syeikh Mursyid.

Seseorang yang jahil tentang syariat adalah ditolak atau tidak diakui oleh ulama tasauf sendiri, apatah lagi ulama-ulama golongan lainnya.

Tentang tasauf ialah ar-Riayah li Huquqillah, Kasyf al-Mahjub, ar-Risalah al-Qusyairiyah. Semua kitab yang tersebut adalah dalam bahasa Arab. Hal yang tersebut bukan bererti Tuan Imam Haji Ishak tidak mengenali atau tidak mempelajari kitab-kitab tasauf bahasa Melayu kerana kitab-kitab tasauf pada zamannya masih muda masih banyak diajarkan oleh para ulama kita.

Di antara kitab tasauf bahasa Melayu yang pasti diketahui oleh Tuan Imam Haji Ishak ialah Hidayah as-Salikin dan Siyar as-Salikin. Kedua-duanya karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Kitab Syarh Hikam yang berasal daripada karya Syeikh ‘Atha’ al-Askandari, Ad-Durr An-Nafis oleh Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari dan lain-lain.

Di antara kitab tasauf Melayu yang sangat erat hubungannya dengan Tarekat Naqsyabandiyah Khalidiyah (tarekat yang diamal oleh Tuan Imam Haji Ishak) ialah Ar-Rahmah al-Habithah fi Ism az-Zat wa ar-Rabithah karya Syeikh Ismail bin Abdullah Naqsyabandi Khalidi al-Minankabawi.

Tentang hadis ialah Bahr al-Mazi oleh Syeikh Idris al-Marbawi, Shahih al-Bukhari, Shahih Muslim, Fath al-Bari. Dalam empat judul kitab hadis yang disenaraikan ini hanya satu judul saja yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu (Bahr al-Mazi). Tiga judul lagi adalah dalam bahasa Arab (Shahih al-Bukhari, Shahih Muslim, Fath al-Bari). Daripada senarai tersebut ternyata Tuan Imam Haji Ishak juga belajar hadis.

Kitab-kitab dipelajari oleh Tuan Imam Haji Ishak seperti tersenarai di atas sudah cukup membuktikan bahawa beliau menguasai ilmu-ilmu Islam. Saya yakin bahawa beliau seorang yang rajin membaca. Hal ini kerana saya berkenalan dengan beliau tahun 1990 di mana beliau membawa dan menunjukkan sebuah kitab karya Syeikh Ahmad al-Fathani yang saya usahakan judul Shufi dan Wali Allah diterbitkan oleh Pustaka Aman Press, Kota Bharu, Kelantan.

Setelah beliau tahu saya tinggal di Kuala Lumpur, beliau datang ke rumah saya. Kitab tersebut dijadikan perantara perkenalan. Saya cukup kagum dengan Tuan Imam Haji Ishak kerana pada ketika itu beliau telah mempunyai murid yang ramai dan namanya cukup terkenal dalam lingkungan jemaah Tarekat Naqsyabandiyah Khalidiyah yang beliau pimpin. Namun beliau datang ke rumah saya yang jauh lebih muda daripadanya dan tidak masyhur pula.

Saya berkesimpulan Tuan Imam Haji Ishak adalah seorang warak dan zuhud yang tidak membesarkan diri. Sifat-sifat demikian adalah mengikuti jejak langkah para ulama sufi.

Sumbangan

Pada 1932 Tuan Imam Haji Ishak telah diberi tauliah imam oleh Sultan Abu Bakar (Sultan Pahang). Dalam usia 24 tahun, Tuan Imam Haji Ishak telah diberi kepercayaan menjadi imam di Masjid Lechar, Raub, Pahang Darul Makmur. Berbekalkan ilmu-ilmu keislaman yang dipelajarinya dari para ulama yang dipercayai, Tuan Imam Haji Ishak berjaya menyatupadukan penduduk di kampungnya.

Di samping itu, memimpin mereka berpandukan tuntutan Alus Sunah wal Jamaah.

Tuan Imam Haji Ishak juga adalah pengasas Surau Ihyaul Qulub yang pada mulanya dikenali dengan nama Surau Daerah Kampung Bangkin, Mukim Gali, Raub.

Nama Surau Ihyaul Qulub dimasyhurkan sewaktu sambutan Jubli Emas surau tersebut pada Oktober tahun 1990. Selain jasa serta sebahagian daripada sumbangan Tuan Imam Haji Ishak yang dapat dicatatkan, rasanya tidak dapat tidak jasanya sebagai penyusun salasilah keturunan Rao perlulah diakui. Walaupun masih banyak pertikaian pendapat serta beberapa perkara yang masih belum jelas, namun jasa Tuan Imam Haji Ishak sebagai perintis masyarakat keturunan Rao khususnya di Malaysia amat besar.

Mudah-mudahan jejak langkah beliau akan disusuli dengan bersungguh-sungguh oleh beberapa orang keturunan Rao atau Rawa yang datang kemudian.

Syeikh Muhammad Murid Rawa pengulas hadis dan fikah  

Posted

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

ISNIN lalu telah diungkapkan serba ringkas riwayat Syeikh Muhammad Murid Rawa, ayah kepada ulama yang diriwayatkan dalam artikel hari ini.

Ada seorang ulama atau tokoh yang berasal dari Rao atau Rawa yang berjasa dalam Perang Paderi (Imam Bonjol) di Sumatera Barat yang digelar ‘Tuanku Rao’.

Nama sebenar ‘Tuanku Rao’ tidak jelas dan ada pertikaian pendapat. Ada beberapa orang berpendapat kemungkinan nama sebenar ‘Tuanku Rao’ ialah Syeikh Muhammad Murid Rawa. Kisah anaknya, Syeikh Muhammad Shalih Rawa dijumpai sebuah karyanya judul Fath al-Mubin.

Sehingga saya menulis artikel ini, sekurang-kurangnya ada tiga kitab Melayu/jawi dengan judul awalnya dengan Fath al-Mubin. Ada Fath al-Mubin karya Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Sebuah lagi ialah Fath al-Mubin karya Syeikh Ahmad Khathib bin Abdul Lathif Minangkabau.

Bahan bertulis lain mengenai ulama ini dijumpai hanya ditulis oleh Syeikh Abdullah Mirdad Abul Khair. Itu pun sangat ringkas, hanya lapan baris dalam bahasa Arab.

Namun bagi saya, bahan tersebut dapat menolong melengkapkan bahan-bahan mengenai ulama ini yang saya catat sejak tahun 1977 lagi.

PENDIDIKAN DAN AKTIVITI

Nama lengkapnya ialah Syeikh Muhammad Shalih bin Muhammad Murid al-Khalwati as-Sammani asy-Syazili ar-Rawi (ar-Rawa). Apabila memerhatikan rangkaian nama beliau, dapat kita tafsirkan beberapa perkara.

Yang pertama, yang dimaksudkan dengan istilah al-Khalwati iaitu Tarekat Khalwatiyah. Ia adalah tarekat sebelum pembaharuan Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman al-Madani (lahir 1130 H/1717 M, riwayat lain 1132 H/1720 M, wafat 1189 H/1776 M).

Tarekat ini datang ke dunia Melayu sejak zaman Syeikh Yusuf al-Khalwati (wafat di Cape Town Afrika Selatan, 23 Zulkaedah 1110 H/23 Mei 1699 M).

Yang kedua, yang dimaksudkan dengan istilah ‘as-Sammani’ iaitu Tarekat Khalwatiyah setelah menerima pembaharuan daripada Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman al-Madani. Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman al-Madani adalah guru Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani.

Jadi ada kemungkinan Syeikh Muhammad Shalih Rawa mempunyai hubungan perguruan dengan ulama yang berasal dari Palembang itu. Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani lebih dulu muncul daripada Syeikh Muhammad Shalih Rawa. Mungkin ayahnya (Syeikh Muhammad Murid Rawa) sebaya dengan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani.

Yang ketiga, istilah ‘asy-Syazili’ iaitu Tarekat Syaziliyah ialah tarekat yang dibangsakan kepada Syeikh Abu Hasan asy-Syazili (wafat 615 H/1219 M, riwayat lain 655 H/1257 M, riwayat lain wafat 656 H/1258 M).

Syeikh Muhammad Shalih Rawa datang ke Mekah mula-mula belajar kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Tetapi menurut Syeikh Abdullah Mirdad Abul Khair, Syeikh Muhammad Shalih Rawa belajar dengan Saiyid Ahmad al-Marzuqi ad-Dharir al-Maliki dan Syeikh Utsman ad-Dimyathi asy-Syafi’ie.

Menurut Syeikh Abdullah Mirdad Abul Khair juga, Syeikh Muhammad Shalih Rawa juga pengamal Tarekat Sammaniyah, tetapi beliau tidak menjelaskan apakah tarekat itu diterimanya terus dari Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Sammani atau pun daripada Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani atau pun ulama-ulama lainnya.

Mengenai beliau sebagai pengamal Tarekat Sammaniyah itu cukup jelas, kerana beliau sendiri pun menulis nama Tarekat Sammaniyah itu di hujung namanya. Bahkan beliau juga penganut Tarekat Khalwatiyah dan Tarekat Syaziliyah.

Pada mukadimah karyanya, beliau menulis: “Telah berkata seorang fakir yang harap-harap ia akan maaf Tuhannya, iaitu Muhammad Shalih anak Muhammad Murid yang Khalwati, Sammani yang Syazili tarekatnya. Rawa tempat diperanakkan dan tetap.”

Selanjutnya Syeikh Abdullah Mirdad Abul Khair meriwayatkan bahawa keseluruhan gurunya telah memberi izin kepadanya untuk mengajar, dan beliau mengajar di Masjidil Haram. Diriwayatkan pula bahawa Syeikh Muhammad Shalih Rawa adalah seorang ulama yang banyak berzikir dan beribadat.

Murid-muridnya yang sebahagian besar berasal dari Tanah Jawi/Asia Tenggara banyak yang menjadi ulama dan menyebarkan Islam. Mereka telah pulang ke tempat asal mereka masing-masing.

KARYA DAN PEMIKIRAN

Karya beliau yang telah dikumpulkan hanya empat saja, iaitu:

1. Fath al-Mubin, diselesaikan pada 20 Zulhijjah 1272 H/22 Ogos 1856 M.

2. Kitab ash-Shaid wa az-Zabaih, diselesaikan tahun 1272 H/1856 M.

3. Kitabul Adh-hiyah, diselesaikan tahun 1272 H/ 1856 M.

4. Kitabul Ath’imah, diselesaikan tahun 1272 H/1856 M.

Sebab-sebab beliau mengarang kitab Fath al-Mubin dijelaskan pada mukadimah. Beliau berkata: “Dan tatkala adalah tahun tujuh puluh dua tahun kemudian daripada seribu dua ratus hijrah Nubuah (1272 H, pen:) atasnya afdhalus salam, telah menuntut daripadaku setengah daripada sekalian saudara di dalam agama Allah Taala bahawa aku bahasakan akan sekalian hadis yang empat puluh dan sekalian syarahnya daripada kalam Arab yang asli dengan bahasa Jawi dan Melayu yang manis. Kerana ulama Jawi yang terdahulu dan ulama yang terkemudian belum membahasakan mereka itu dengan bahasa Jawi dan bahasa Melayu.”

Kitab Fath al-Mubin karya Syeikh Muhammad Shalih Rawa yang tersebut sebenarnya adalah terjemahan Hadis Arba’in karangan Imam Nawawi yang beliau syarah secara panjang, sehingga merupakan suatu kandungan fikah dalam Mazhab Syafie.

Walaupun pada mukadimah beliau sebut bahawa hadis empat puluh ulama Jawi belum membahasnya ke dalam bahasa Melayu/Jawi, tetapi sebenarnya ia telah dilakukan oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri.

Beliau terjemahkan hadis itu kemudian disyarah dengan panjang menurut pandangan dari segi tasauf. Oleh itu, saya berpendapat bahawa terjemahan yang dilakukan oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri itu adalah terjemahan dan syarah Hadis Arba’in Imam Nawawi yang pertama dalam bahasa Melayu. Syeikh Muhammad Shalih Rawa itu adalah orang yang kedua, tetapi huraiannya secara fikah adalah merupakan yang pertama.

Apabila kita pandang sepintas lalu maka Fath al-Mubin karya Syeikh Muhammad Shalih Rawa itu dari segi model, ukuran tebal dan lain-lain banyak persamaannya dengan Sabil al-Muhtadin karya Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dan Bughyah ath-Thullab karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Ketiga-tiga kitab itu menjurus kepada ajaran fikah bahagian ibadat. Dari segi kandungan walau pun sama-sama dalam Mazhab Syafie namun di sana sini adalah kelebihan-kelebihan ataupun ada kekurangan-kekurangannya yang tersendiri. Sebagai contoh, antaranya perbahasan mengenai sujud tilawah dan sujud syukur. Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam Bughyah ath-Thullab tidak mencantumkan lafaz niat tetapi Syeikh Muhammad Shalih Rawa dalam Fath al-Mubin menyebut lafaz niat sujud tilawah:

Ertinya, “Sengaja aku sujud kerana membaca al-Quran, kerana Allah Taala, Allahu Akbar.”

Lafaz niat sujud syukur pula ertinya, “Sengaja aku sujud syukur kerana Allah Taala, Allahu Akbar.”

Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyebut bahawa sunat mengangkat tangan ketika takbiratul ihram pada konteks sujud syukur dan sujud tilawah itu, tetapi Syeikh Muhammad Shalih Rawa meninggalkan kalimat yang memberi penjelasan perkara itu.

Syeikh Muhammad Shalih Rawa menulis, “Wajib niat sujud tilawah itu di luar sembahyang dan yang dalam sembahyang.” Niat sujud tilawah yang dalam sembahyang beliau huraikan agak panjang. Sedang Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis, “Tidak wajib niat sujud tilawah di dalam sembahyang bersalahan dengan sujud di luar sembahyang.”

Syeikh Muhammad Shalih Rawa menulis, “Rukun sujud tilawah di dalam sembahyang itu ada dua perkara. Pertama, sujud, dengan niat dalam hati, tidak dengan lidah. Kedua, sujud, sekali sujud sahaja.” Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis, “Jika sujud di dalam sembahyang hendaklah takbiratul ihram tatkala tunduk kepada sujud dan takbir tatkala bangkit daripadanya, tetapi jangan mengangkat kedua tangannya dan jangan duduk istirehat kemudian daripada sujud.”

Perbezaan

Masih banyak perbezaan yang belum perlu dibicarakan. Yang saya bicarakan hanyalah dijadikan sebagai contoh saja.

Karya Syeikh Muhammad Shalih Rawa yang diberi judul Kitab ash-Shaid wa az-Zabaih serupa dengan judul sebuah karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Kandungannya dalam beberapa perbahasan juga ada perbezaan.

Di dalam karya yang tersebut Syeikh Muhammad Shalih Rawa meriwayatkan bahawa di laut negeri Rom ada sejenis ikan seperti perempuan, warnanya kuning-merah. Mempunyai faraj (kemaluan) yang besar dan payudara. Menurut beliau, binatang itu diceritakan oleh Syeikh Damiri dalam Hayatul Hayawan.

Selain itu, Syeikh Muhammad Shalih Rawa juga menceritakan bahawa ada sejenis binatang yang tinggal di pulau China. Binatang itu dinamakan ‘Rakh’ dan dalam bahasa Melayu dinamakan garuda. Menurut beliau, sayapnya yang satu panjangnya seribu depa. Dia dapat menyambar seekor gajah seperti helang menyambar seekor tikus yang kecil. Binatang itu mempunyai kuku yang panjang. Telurnya pula sebesar sebuah bukit.

Syeikh Muhammad Shalih Rawa menutup Fath al-Mubin pada puluhan bulan Ramadan 1272 H/1856 M di Mekah. Karyanya yang lain diselesaikan pada 20 Zulhijah 1272 H/22 Ogos 1856 M, di Mekah.

Semua karya Syeikh Muhammad Shalih Rawa yang tersebut disatukan cetakannya, ditashih oleh Syeikh Abdullah bin Ibrahim al-Qadi (Kedah) dan Syeikh Muhammad Sa’ad Filfulani. Yang sempat ditemukan hanyalah cetakan yang kedua oleh Mathba’ah Mushthafa al-Baby al-Halaby, Mesir di mana perbelanjaan mencetak ditaja oleh Syeikh Salim bin Sa’ad bin Nabhan dan saudaranya Ahmad, Surabaya.

Yang mengizinkan penerbitannya ialah cucu beliau Syeikh Hasan bin Ahmad Saman bin Muhammad Shalih ar-Rawa.

KETURUNAN DAN WAFAT

Syeikh Abdullah Mirdad Abul Khair menyebut bahawa Syeikh Muhammad Shalih Rawa memperoleh dua anak iaitu Ahmad dan Muhammad. Ada pun Ahmad itu anaknya ramai, mereka melibatkan diri dalam pengurusan jemaah haji dari tanah Jawi (Syeikh Haji).

Ahmad yang tersebut masih mengekalkan amalan Tarekat Sammaniyah yang beliau terima daripada ayahnya Syeikh Muhammad Shalih Rawa yang tersebut. Oleh itu, nama beliau juga dikenali dengan Ahmad Saman Rawa. Salah seorang anaknya, Syeikh Hasan Rawa yang memberi kebenaran menerbitkan kitab datuk/neneknya Syeikh Muhammad Shalih Rawa yang tersebut di atas. Ada pun anak Syeikh Muhammad Shalih Rawa yang bernama Muhammad tidak memperoleh anak.

Salah seorang Syeikh Haji pada beberapa waktu yang lalu bernama Syeikh Jamal Rawa dipercayai adalah keturunan Syeikh Muhammad Shalih Rawa yang diriwayatkan ini.

Ada pun tahun wafat Syeikh Muhammad Shalih Rawa dipercayai adalah beberapa bulan selepas beliau menyelesaikan kitab-kitab yang tersebut, iaitu masih dalam lingkungan tahun 1272 H/1856 M. Beliau meninggal dunia di Mekah dan dikebumikan di perkuburan Ma’la, Mekah.

Syeikh Muhammad Murid Rawa  

Posted

Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

Surat JARO (Jalinan Anak Rao dan Persemendaan) bertarikh 5 Februari 2007 dan aturcara Majlis Muzakarah Ahlus Sunnah wal Jamaah, memberikan kepercayaan kepada saya untuk membentang kertas kerja dalam seminar yang berlangsung di Raub, Pahang pada 18 Mac yang lalu. Dalam keadaan uzur tugas itu saya penuhi walaupun kertas kerja tersebut sangat sukar untuk saya sempurnakan.

Pada beberapa bahagian kertas kerja ini terpaksa saya minta bantuan Saiful Rizan Said kerana saya belum boleh menggunakan komputer ataupun menulis sendiri. Dalam kertas kerja itu saya perkenalkan seorang tokoh yang berasal dari Rao atau Rawa. Beliau ialah Syeikh Muhammad Murid Rawa (Syahbandarawi).

Siapakah Syeikh Muhammad Murid Rawa (Syahbandarawi) dan siapa pula Tuanku Rao yang selalu disebut dalam sejarah? Masih sukar dijelaskan. Tetapi yang dapat dipastikan Syeikh Muhammad Murid Rawa ialah datuk nenek beberapa orang tokoh terkemuka di Malaysia, antaranya Tun Dr. Hamdan Syeikh Tahir, bekas Yang Dipertua Pulau Pinang.

Manakala saya membaca surat-surat daripada keluarga Rao atau Rawa, saya berpendapat bahawa beberapa orang keluarga tersebut ada yang tercari-cari nasab atau salasilah datuk nenek mereka dan ada pula yang terlibat dalam salasilah Thariqat Naqsyabandiyah seperti Syeikh Imam Haji Ishak bin Muhammad Arif al-Khalidi an-Naqsyabandi ar-Rawi di Dong, Raub, Pahang dan lain-lain.

Hal yang demikian adalah mengikut jejak para sahabat Nabi Muhammad s.a.w. dan para ulama yang muktabar dalam lingkungan ahlul bait Nabi Muhammad s.a.w. dan Ahlus Sunnah wal Jamaah terutama para ulama yang bersanad dan golongan sufi yang terkenal. Oleh itu, perjuangan seperti yang tersebut perlu kita sokong. Lebih penting lagi kita perlu memperjuangkan Ahlus Sunnah wal Jamaah seperti datuk nenek kita yang telah berhasil memperjuang dan memperkukuhkan Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Saya singkatkan, bahawa saya cuba memfokuskan persekitaran menjejaki keluarga Rao atau Rawa dan yang ada hubungan dengannya saja. Walau bagaimanapun, menerusi pelbagai dokumen yang saya kumpulkan, masih terdapat banyak pertikaian pendapat. Sebelum memasuki riwayat Syeikh Muhammad Murid Rawa, terlebih dulu saya mulakan mentakrif istilah Rao dan

Rawa seperti berikut.

*STILAH RAO

Rao sekarang (setelah Indonesia merdeka) diketahui umum ialah sebuah Kecamatan di dalam Kabupaten Pasaman, Sumatera Barat. Selain yang tersebut tidak diketemukan istilah lain yang menggunakan perkataan "rao". Yang dibicarakan dalam artikel ini ialah Tuanku Rao iaitu salah seorang tokoh dalam Perang Paderi yang berlaku pada tahun 1816-1833.

Beliau berasal dari Rao. Di sebelah Utara, Rao bersempadan dengan Sumatera Utara, di sebelah Timur bersempadan dengan Riau Daratan, di Selatan, bersempadan Minangkabau (Sumatera Barat) manakala di sebelah Barat, terbuka dengan Selat Mentawai yang secara geografi membentuk permukaan bumi di daratan pulau Sumatera.

ISTILAH RAWA

Istilah "Rawa" pada konteks perbicaraan kita ialah merujuk kepada salah satu etnik suku bangsa Melayu daripada perkataan Rao, satu tempat yang terdapat di Sumatera. Perkataan Rawa hanya popular di Mekah dan Malaysia. Kurang dikenal di Rao sendiri. Hal ini hampir sama dengan suku bangsa Bawean, masyarakat di Malaysia dan Singapura menamakannya Boyan. Sedang istilah Boyan kurang dikenal di Indonesia sendiri.

Barangkali penggunaan istilah Rawa di Malaysia bermula daripada Haji Abdullah Nordin al-Rawi yang mengasaskan syarikat percetakan dan penerbit Persama Press tahun 1921 di Lebuh Aceh, Pulau Pinang.

Anak Haji Abdullah Nordin al-Rawi ialah Tuan Guru Haji Yusuf bin Haji Abdullah ar-Rawi atau lebih dikenali sebagai Tuan Guru Haji Yusuf Rawa (lahir 10 Ramadan 1340 H/6 Mei 1922 M, wafat 24 Muharam 1421 H/28 April 2000 M). Beliau pernah menjadi wakil Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menjadi duta Iran, Iraq, Afghanistan dan Turki.

Pada asalnya disebut "ar-Rawi" mengikut istilah Arab yang bermaksud dibangsakan kepada "Rao" tetapi lama-kelamaan menjadi "ar-Rawa" yang menunjukkan asal seseorang itu, iaitu daripada daerah "Rao", di Sumatera. Tidak terdapat sejarah yang menceritakan orang-orang Rawa yang menuntut atau menetap di lain-lain negeri atau negara menggunakan istilah atau perkataan "Rawi" atau "Rawa" dicantumkan pada bahagian akhir nama mereka. Penggunaannya juga diperkirakan pada sekitar awal abad ke-19 khususnya sewaktu aktiviti pengajian Islam sedang berkembang pesat di Mekah.

Belum dapat dipastikan apakah penggunaan perkataan "ar-Rawa" pada akhir nama itu bermula di Tanah Melayu atau Mekah. Mengikut catatan, terdapat seorang Syeikh yang terakhir daripada kalangan orang Rawa yang bernama Syeikh Jamal Rawa. Belum juga dapat dipastikan apakah Syeikh tersebut mempunyai pertalian kekeluargaan dengan keluarga Rawa yang kita bicarakan dalam seminar ini.

SYAHBANDARAWI

Syahbandarawi adalah nama gelar bagi Syeikh Muhammad Murid ar-Rawi (Rawa). Beberapa tahun yang lalu, dalam tahun 1990-an saya telah memperkenalkan seorang ulama bernama Syeikh Muhammad Shalih bin Muhammad Murid ar-Rawi (Rawa) berdasarkan hanya sebuah karya beliau berjudul Fath al-Mubin yang dicetak oleh Haji Abdullah Nordin Rawa (Persama Press), Pulau Pinang. Saya tidak menduga, bahawa pada 10 Oktober 2006, salah seorang daripada keturunan Syeikh Muhammad Murid bernama Zaffuan bin Haji Manaf ar-Rawi al-Qadiriah mengirim sepucuk surat dan beberapa maklumat penting tentang keluarga yang diriwayatkan.

Perkara-perkara yang perlu saya bicarakan adalah sebagai berikut: Pada bahagian atas salasilah tertulis, "Syahbandarawi bergelar Muhammad Murid Kampung Tebat Diatas, Tanjung Betong, Rao." Dalam salasilah yang dikirim kepada saya tersebut di atas dinyatakan bahawa Syeikh Muhammad Murid (Syahbandarawi) memperoleh sepuluh orang anak, mereka ialah Selebar Alam, Maharaja Agam, Melilit Alam, Tuanku Qari, Datuk Mengkudum, Ali, Haji Ibrahim, Shalawat, Pending (dalam artikel Zaffuan dinamakan juga Malim Mekah) dan Bintang.

Ada pun Syeikh Muhammad Shalih Rawa yang pernah saya perkenalkan tidak terdapat dalam senarai salasilah. Beberapa orang anak Syeikh Muhammad Murid (Syahbandarawi) yang sepuluh orang itu adalah nama gelar. Oleh itu, yang dimaksudkan salah seorang di antara mereka termasuk Syeikh Muhammad Shalih Rawa.

Kemungkinan nama yang sebenar Malim Mekah adalah Syeikh Muhammad Shalih bin Syeikh Muhammad Murid Rawa, ulama yang pernah saya perkenalkan. Oleh kerana banyak perkara yang belum jelas, kita perlu mempersoalkan dan perlu penyelidikan yang hingga kini masih belum diungkapkan baik oleh para penyelidik di Indonesia mahu pun di Malaysia. Beberapa contoh saya perturunkan di bawah ini.

Pertama: Siapakah nama Tuanku Rao yang sebenarnya ? Daripada pelbagai buku yang saya baca ternyata nama Tuanku Rao yang sebenarnya masih dipertikaikan. Dalam salasilah tersebut malah tidak menjelaskan Syeikh Muhammad Murid sebagai Tuanku Rao, yang disebut hanya Syahbandarawi.

Selain itu, selain Tuanku Rao, ada lagi tokoh yang sangat besar peranannya dalam Perang Paderi ialah Tuanku Tambusai (lahir 21 Zulhijjah 1198 H/5 November 1784 M, wafat 1 Muharram 1300 H/12 November 1882 M). Kebetulan pula nama Tuanku Tambusai ialah Haji Muhammad Shalih, serupa namanya dengan Syeikh Muhammad Shalih bin Murid ar-Rawa. Sukar kita tentukan apakah ada dua orang tokoh yang bernama Muhammad Shalih itu. Kemungkinan hanya seorang sahaja kerana jika dibandingkan semua tulisan terdahulu masih banyak kebersimpangsiurannya.

Tidak hairanlah jika pernah terjadi polemik di antara Prof. Dr. Buya Hamka dengan Ir. Mangaraja Onggang Parlindungan tentang Tuanku Rao. Buya Hamka berasal dari daerah Minangkabau sedang Ir. Mangaraja Onggang Parlindungan berasal dari daerah Batak. Dalam riwayat, demikian besar pengaruh Tuanku Rao sehingga ramai orang Minangkabau mengaku beliau adalah marga Minangkabau. Orang Mandailing mengatakan beliau marga Mandailing. Orang Aceh mengatakan beliau marga Aceh. Dan Orang Riau mengatakan beliau marga Melayu Riau.

Saya hanya berani menyimpulkan yang demikian adalah wajar kerana memandangkan kemuliaan, kebesaran dan jasa-jasa yang telah ditaburkan oleh Tuanku Rao demi kepentingan agama Islam dan bangsa kerana berjuang melawan penjajah Belanda. Bagi saya orang-orang yang berjasa seperti Tuanku Rao adalah bukan pahlawan milik suku Minang, Mandailing, Aceh dan Melayu Riau saja tetapi adalah pahlawan milik seluruh etnik bangsa Melayu.

Oleh itu, keluarga Rao atau Rawa atau kita bangsa Melayu pada zaman ini perlulah mencapai ilmu pengetahuan dan akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang tepat dan betul sehingga kita dapat menaburkan jasa demi kepentingan Islam dan bangsa Melayu di mana jua kita berada. Di samping itu, bangsa Melayu perlu bersatu padu menghadapi cabaran kini dan yang akan datang.

KETURUNAN SYEIKH MUHAMMAD MURID AR-RAWA

Di bawah salasilah dicatatkan sebagai berikut: "Khatib Abdullah bin Kari Sutan berhijrah ke Kampung Ajai, Dong, Raub dan berkahwin dengan Hajah Fatimah binti Haji Abdul Manan yang berdarah campuran Rao dan keturunan Datuk Kaya Ibrahim Lipis. Kemudian setelah terbuka Kampung Durian Sebatang, Dong sekitar penghujung tahun 1860-an, beliau pun berpindah ke sana dan keturunannya berkembang hingga sekarang di Dong dan juga Ajai. Antara kaum kerabat mereka ini ialah Allahyarham Tun Dr. Hamdan bin Syeikh Tahir bekas yang Dipertua Negeri Pulau Pinang."

Yang dimaksudkan adalah dari pihak ibu Tun Dr. Hamdan bernama Siti Aisyah. Ayah Siti Aisyah bernama Haji Mustafa ke atasnya ialah Iman Arab (perempuan) kahwin dengan Datuk Sakti Putih. Iman Arab binti Kari Sutan (Selebar Alam) bin Syeikh Muhammad Murid (Syahbandarawi). Kalau benar Syeikh Muhammad Shalih bin Murid ar-Rawa adalah anak Syeikh Muhammad Murid ar-Rawa maka keturunannya ramai tinggal di Mekah tetapi sayang tidak disebut dalam salasilah. Masih ramai yang disebut dalam salasilah, saya tinggalkan saja.

KEGIATAN PENYEBARAN ISLAM KETURUNAN RAO

Untuk menyesuaikan dengan Majlis Muzakarah Ahlus Sunnah wal Jamaah ini, perlu juga saya sentuh beberapa orang yang berasal dari Rao atau Rawa yang ikut aktif dalam penyebaran Islam di dunia Melayu sebagai di antara mereka ialah:

1. Syeikh Muhammad Shalih bin Murid Ar-Rawa dalam artikel yang tersendiri.

2. Abdullah Nordin Ar-Rawa.

Percetakan yang didirikan oleh Haji Abdullah bin Nordin ar-Rawa juga dikenali sebagai Mathba'ah Persama. Syarikat percetakan yang telah banyak berjasa itu kemudiannya diuruskan oleh anaknya iaitu Haji Yusuf Rawa. Hingga kini syarikat tersebut masih beroperasi di Jalan Kampung Jawa, Bayan Baru dikenali sebagai Safir Ilmu Enterprise diurus oleh cucu Haji Abdullah Nordin sendiri iaitu Mujahid bin Yusuf ar-Rawa.

Daripada percetakan tersebutlah bermula penggunaan istilah Rawa khususnya terhadap aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan percetakan serta penerbitan kitab. Dari mathba'ah tersebut melibatkan sumbangan masyarakat berketurunan Rao atau Rawa yang menetap di Semenanjung Tanah Melayu didokumen dalam bentuk cetakan nama pada kitab-kitab.

3. Imam Haji Ishak Bin Muhammad Arif Ar-Rawa.

Tuan Guru Imam Haji Ishak bin Muhammad Arif ar-Rawi al-Khalidi an-Naqsyabandi akan dibicarakan dalam artikel yang tersendiri.

Syeikh Muhammad Khatib Langien penyebar Tarekat Syathariyah  

Posted

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

DALAM perkembangan sejarah Islam di Asia Tenggara telah diketahui umum bahawa pada zaman silam pernah berkembang suatu tarekat yang dinamakan Tarekat Syathariyah.

Ulama yang bertanggungjawab selaku penyebar tarekat itu pada peringkat awal di dunia Melayu ialah Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri.

Pada peringkat kedua penyebaran tarekat itu dibawa oleh seorang ulama besar bernama Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Adapun Syeikh Muhammad bin Khatib Langien yang berasal dari Aceh yang diperkenalkan dalam artikel ini adalah termasuk peringkat murid kepada ulama yang berasal dari Patani. Ini kerana gurunya bernama Syeikh Muhammad Ali adalah sahabat Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, iaitu sama-sama murid kepada Syeikh Muhammad As’ad, yang membaiah Tarekat Syathariyah kepada kedua-dua ulama yang berasal dari Patani dan Aceh itu.

Syeikh Muhammad bin Khatib Langien pertama kali dikesan, diperkenalkan oleh Syeikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi melalui kumpulan karangan ulama Aceh di dalam kitab berjudul Jam’u Jawami’il Mushannafat. Sebuah karya Syeikh Muhammad bin Khatib Langien termaktub dalam kumpulan karangan itu, iaitu yang berjudul Dawaul Qulub.

Syeikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi menulis, “kitab yang ketujuh Dawaul Qulub daripada ilmu tasauf karangan penghulu kami yang sangat alim, lagi terhimpun kepadanya ilmu zahir dan ilmu batin iaitu Syeikh Muhammad anak penghulu kami Syeikh Khatib”.

Pada 1990, saya diberi tugas oleh Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PMM-PNM) untuk mengenali atau mengesan beberapa naskhah, maka ditemui beberapa karangan Syeikh Muhammad bin Khatib Langien itu, telah diberi nombor kelas d MS 1044.

Adapun tiga karya beliau terdapat dalam nombor yang tersebut. Dengan diketemukan karya-karya itu, maka dapatlah melengkapkan biografi Syeikh Muhammad bin Khatib Langien itu, yang sama pentingnya dengan ulama-ulama Aceh yang lain.

Pendidikan

Data tarikh lahir dan pendidikan secara lengkap dan terperinci masih belum diketahui dengan tepat dan pasti. Tahun kehidupannya dapat dibandingkan antara karyanya dengan karya- karya ulama Aceh yang lainnya.

Dawaul Qulub karyanya diselesaikan dalam tahun 1237H/1821M. Ada lagi sebuah karya yang dikarang oleh ulama Aceh, Syeikh Abdullah, diberi judul Syifaul Qulub.

Judul dalam bahasa Arab berbeza, tetapi jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu mempunyai tujuan atau pengertian yang sama, iaitu Ubat Sekelian Hati.

Syifaul Qulub karya Syeikh Abdullah Aceh itu diselesaikan tahun 1225H/ 1810M. Memperhatikan tahun selesai dikarang kedua-dua kitab itu, maka dapat diambil kesimpulan bahawa Syeikh Muhammad bin Khatib Langien hidup sezaman dengan Syeikh Abdullah itu. Sezaman pula dengan Syeikh Muhammad bin Syeikh Abdullah Ba’id pengarang kitab Hukum Jarah yang diselesaikan tahun 1236H/ 1820M.

Guru Syeikh Muhammad bin Khatib Langien bernama Syeikh Muhammad Ali, yang merupakan penerimaan Tarekat Syathariyah, hanya dapat dikesan dari karyanya Mi’rajus Salikin, Syeikh Muhammad Ali itu adalah murid Syeikh Muhammad As’ad. Syeikh Muhammad As’ad menerima dari Syeikh Muhammad Sa’id. Syeikh Muhammad Sa’id menerima dari Ibrahim (al-Madani).

Syeikh Ibrahim menerima daripada Syeikh Muhammad Tahir. Syeikh Muhammad Tahir menerima daripada Maula Syeikh Ibrahim al-Kurani. Maula Syeikh Ibrahim al-Kurani menerima daripada Syeikh Ahmad al-Qusyasyi. Mulai Syeikh Ibrahim al-Kurani dan Syeikh Ahmad al-Qusyasyi bererti bertemu asal salasilah dengan Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri.

Selanjutnya hingga ke atas adalah sama antara salasilah Syeikh Muhammad bin Khatib Langien dengan salasilah Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Antara salasilah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani pula dimulai titik temu kesamaan mulai Syeikh Muhammad As’ad, selanjutnya hingga ke atas juga sama.

Oleh sebab Syeikh Muhammad bin Khatib Langien adalah murid Syeikh Muhammad Ali, maka mula menjejaki salasilah atau sanad ilmu pengetahuannya selain tarekat dan tasauf tidaklah begitu sukar.

Guru kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Syeikh Abdus Samad al-Falimbani dan termasuk Syeikh Muhammad Ali al-Asyi adalah seorang ulama besar yang berasal dari Aceh. Beliau ialah Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi.

Dengan demikian, pengetahuan Syeikh Muhammad bin Khatib Langien pada sektor akidah Ahli Sunah wal Jamaah dan Mazhab Syafie pada sektor fiqh adalah tidak dipertikaikan walaupun kedua-dua ilmu itu belum ditemui karya beliau.

Karya dan pemikiran

Sebelum meninjau jalan pemikiran Syeikh Muhammad bin Khatib Langien, terlebih dahulu di bawah ini disenaraikan karya beliau yang telah ditemui, iaitu:

1. Dawaul Qulub, diselesaikan pada tahun Jim, hari Sabtu, bulan Rabiulakhir tahun 1237H/1821M.

2. Asrarud Din li Ahlil Yaqin, tanpa kenyataan tarikh selesai.

Data kedua-dua karya Syeikh Muhammad bin Khatib Langien yang tersebut di atas, dapat diambil keterangannya sebagai yang berikut:

Dawaul Qulub

Kitab Dawaul Qulub diterjemahkan judulnya kepada bahasa Melayu oleh pengarangnya sendiri, iaitu Ubat Segala Hati Daripada Segala Aib. Kata pengarangnya, “dengan tolong Tuhan yang memerintah Ia akan alam syahadah dan alam segala yang ghaib, dan aku aturkan akan dia atas satu mukadimah, dan tiga bab dan satu khatimah….

Dari segi kandungannya secara keseluruhan banyak persamaannya dengan Hidayatus Salikin karya Syeikh Abdus Samad Palembang. Hanya saja diakui oleh Syeikh Muhammad bin Khatib Langien bahawa karyanya itu tidak dimuat karya ibadah. Seperti beliau tulis, “Dan tiada ku sebutkan segala ibadah yang lain di dalam kitab ini, seperti doa dan sembahyang tahajud, dan lain daripadanya, kerana yang demikian itu kelakuan orang abid bukan kelakuan murid.

Dan faraq (garis pemisah) antara abid dan murid itu seperti faraq antara Masyriq (Timur) dan Maghrib (Barat). Maka betapa persamaan martabat kedua-duanya, kerana murid itu berkehendak ia akan Allah Taala, dan abid itu berkehendak ia akan hak Taala. Iaitu nikmat dunia atau nikmat akhirat….

Dalam Dawaul Qulub, dengan jelas Syeikh Muhammad bin Khatib Langien sangat mengutamakan zikrullah. Kata beliau, “Dan setengah daripada adab murid itu, jangan membanyakkan ibadah selain zikir. Melainkan segala yang telah difardukan hak Taala, dan sunat rawatib jua tiada lain. Zikrullah saiful murid, kata syeikh, pedang segala murid. Zikrullah min ‘alamatil Aulia’, yang zikir itu setengah daripada alamat Aulia’. Maka barang siapa melazimkan ia akan zikir, tak dapat tiada ia akan jadi Aulia”.

Pandangan Syeikh Muhammad bin Khatib Langien mengenai tasauf beliau tulis, “Dan ilmu tasauf itu jalan kepada hakikat. Maka sebab itulah orang yang beramal seperti yang di dalam ilmu tasauf itu, nescaya hasillah padanya ilmu hakikat, dan jika tiada belajar ilmu hakikat sekali-kali, sekalipun. Tetapi jika belajar ilmu hakikat dengan tiada kau amalkan seperti yang di dalam ilmu tasauf, itupun tiada dapat kau ketahuikan akan dia.

“Dan tiada yang terlebih mulia dan yang terlebih dimaksud segala manusia, melainkan ilmu hakikat jua. Kerana, hakikat itu jalan kepada makrifat. Dan makrifat itulah jalan kepada mengenal Hak Taala.

“Dan tiada dimaksud lain daripada Hak Taala.

“Sebab itulah kasih aku, bahawa kebanyakan ilmu tarekat dalam kitab ini, dengan sempurna nyatanya, supaya jadilah kitab ini jalan bagimu kepada kau ketahui ilmu hakikat dan ilmu makrifat, jika kau amalkan seperti yang tersebut dalam kitab ini dengan sungguh-sungguh hatimu. Sabda Nabi s.a.w, “Barang siapa menuntut ia akan sesuatu dengan sungguh-sungguh hatinya nescaya mendapat ia akan sesuatu, sama ada ia segera atau lambat, dan jika hampir matimu pun diberikan akan ia”.

Dalam Dawaul Qulub juga menyentuh persoalan pendidikan timbal balik perhubungan antara guru dengan murid. Perkara ini dikemukakan pada mukadimah kitab itu, kemudian dipertegaskan lagi pada bahagian khatimah (akhir) kitab. Sebagai penutup Syeikh Muhammad bin Khatib Langien menasihati murid-muridnya, “Maka tilik olehmu hai murid, akan keluasan rahmat Tuhanmu. Dan beroleh pengajaranlah engkau dengan barang yang telah ku sebutkan akan dia dalam kitab ini, nescaya segeralah kau dapat berjinak-jinak dengan Tuhanmu. Dan perbuatlah olehmu dengan sungguh hatimu, nescaya kau dapat segala yang kau maksud daripada Tuhanmu. Hai murid! Adalah kitab ini terlebih baik daripada ubat daripada segala penyakit hawa nafsu, dan mujarab yang telah dicuba akan dia beberapa orang yang tersebut dalam kitab ini.

“Maka barang siapa yang ada bermata hati nescaya adalah segala pengajaran dalam kitab ini terlebih sangat bersikah (ertinya: percaya di dalam hatinya), menurut Syeikh Ismail al-Asyi, pada bahagian tepinya, pada hatinya. Dan barang siapa telah tertutup Hak Taala akan hatinya, nescaya tiada memberi bekas dengan mendengar segala pengajaran ini, dan jika diajar terlebih banyak daripada segala yang tersebut dalam kitab ini sekalipun”.

Kitab Dawaul Qulub berhasil diterbitkan atas usaha dan tashhih Syeikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi termaktub dalam Jam’u Jawami’il Mushannafat. Banyak kosa kata menurut bahasa Aceh di dalam kitab itu diperjelas Syeikh Ismail Aceh itu yang beliau letakkan di bahagian tepinya. Adapun Dawaul Qulub yang masih berupa manuskrip sampai data ini diambil belum diketahui di mana tersimpan.

Asrarud Din Li Ahlil Yaqin

Manuskrip judul ini tersimpan di PMM-PNM dengan nombor MS1044. Kitab ini dicetak berkali-kali bersama-sama kitab Miftahul Jannah karya Syeikh Muhammad Taiyib bin Mas’ud al-Banjari. Di antaranya cetakan Matba’ah al-Miriyah Makkah, 1321H/1903M. Pada cetakan tersebut, tidak pernah menyebut nama pengarangnya.

Kandungan kitab Asrarud Din karya Syeikh Muhammad bin Khatib Langien itu agak berbeza dengan kitab-kitab tasauf dalam bahasa Melayu selainnya. Sehingga sekarang belum ditemui kitab tasawuf yang membahas seperti yang tersebut dalam Asrarud Din itu.

Yang dibahas di dalamnya, dimulai dengan syahadat. Menurut beliau tentang syahadat ada tiga jenis iaitu : syahadat syariat, syahadat tarekat dan syahadat hakikat. Apa saja yang dibicarakan berkisar kepada tiga itu, iaitu syariat, tarekat dan hakikat. Sembahyang juga demikian, sembahyang syariat, sembahyang tarekat dan sembahyang hakikat. Pendek kata semua rukun Islam yang lima dibahas pada sektor yang tiga itu.