Haji Muhammad Sa’id Arsyad tokoh litografi Melayu-Islam  

Posted

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

SALAH satu cabang khazanah kewarisan Melayu-Islam yang dilupakan orang ialah cetakan-cetakan sastera klasik yang ditulis dalam bentuk hikayat dan syair. Lebih 100 tahun yang lalu sekurang-kurangnya terdapat tiga tokoh yang paling banyak mencetak hikayat dan syair Melayu-Islam yang menggunakan huruf litografi (huruf batu) yang berpusat di Singapura. Ketiga-tiga tokoh itu ialah Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad, Haji Muhammad Amin bin Abdullah dan Haji Muhammad Idris bin Yahya.

Yang dibicarakan dalam artikel ini ialah tentang aktiviti Haji Muhammad Sa’id saja, manakala dua lagi akan dibicarakan dalam kesempatan yang lain. Sebelum riwayat ulama dan tokoh ini saya teruskan, terlebih dulu saya peringatkan bahawa beliau yang dibicarakan dalam artikel ini adalah lain dari Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id (Datuk Laksamana) yang dimuat dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, 9 Oktober 2006.

Setahu saya ulama dan tokoh ini belum pernah diperkenalkan oleh sesiapa pun, kecuali hanya tarikh meninggal dunia saja yang pernah disebut oleh Muhammad Yasin bin Abbas Langkat dalam Syair Cermin Islam yang selesai ditulis di Kampung Babus Salam, Langkat pada 1 Jamadilawal 1345 H. Berdasarkan tulisan tersebut dinyatakan bahawa Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad meninggal dunia di Singapura, lepas zuhur, pukul 1.30 tengah hari Sabtu, 4 Zulkaedah 1342 H/6 Jun 1924 M ketika berusia 90 tahun.

Perkara yang sama juga disebut pada halaman terakhir Syair Dandan Setia Intan Terpilih, jilid ke-2, cetakan 3 Syaaban 1344 H. Dengan demikian diduga beliau lahir dalam tahun 1252 H. Berdasarkan maklumat pada muka depan Kitab Hadits Arba'in yang dihimpun oleh anak beliau ada dinyatakan bahawa Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad berasal dari Kauman, Semarang, Jawa Tengah.

Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad mendapat pendidikan di beberapa pondok-pesantren di sekitar Semarang, Jawa Tengah dan Jawa Timur pada zamannya. Ulama Semarang yang paling terkenal pada zaman itu ialah Kiai Haji Syeikh Muhammad Shalih Darat Semarang. Ulama Semarang tersebut lahir di Kedung Cemlung, Jepara, 1235 H/1820 M, wafat hari Jumaat, di Semarang, 29 Ramadan 1321 H/18 Disember 1903 M. Dipercayai Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad juga pernah belajar dengan Kiai Haji Khalil al-Maduri (lahir 11 Jamadilakhir 1235 H/27 Januari 1820 M, wafat 29 Ramadan 1341 H/14 Mei 1923 M. Riwayat lain menyebut wafat 29 Ramadan 1343 H/22 April 1925 M). Selain kedua-dua ulama yang tersebut beliau juga pernah belajar di Mekah.

Oleh sebab beliau memahami keadaan dalam ilmu ekonomi dan perkembangan zaman, bahawa Singapura pada ketika itu mula menuju ke arah sebuah pelabuhan dan bandar yang maju dan pesat, maka beliau pindah ke Singapura.

CETAKAN

Cetakan litografi (huruf batu) berdasarkan beberapa hikayat dan syair yang ada dalam koleksi saya. Antara yang paling awal dicetak di Mathba'ah Haji Muhammad Sa'id bin Haji Arsyad Singapura ialah dalam tahun 1333 H/1915 M. Sebagai contoh beberapa maklumat yang dapat diketahui dari Kitab Hadits Arba'in’yang dihimpunkan oleh anak beliau bernama Muhammad bin Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad Singapura, pada kulit depan tertulis, Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad nombor 82 dan nombor 124 Kampung Sailon Arab Street, Tukang Cap dan Penjual Serba Jenis Kitab Arab, Melayu dan Jawa Daripada Thaba’ Mekah, Setambul, Mesir, Bombay dan lainnya.

Maka siapa yang berhajat mengecap apa-apa kitab atau azimat atau lainnya sama ada cap batu atau timah atau azimat bolehlah datang ke kedai yang tersebut di atas ini atau berkirim surat supaya kita menjawabnya dengan harga yang patut. Pada halaman belakang tertulis, “Telah sempurna daripada mengecap Hadits Arba’’n di Mathba' Tuan Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad nombor 82 Arab Street Singapura bertarikh 5 Hijrah an-Nabi s.a.w Rabiulawal 1333.” (5 Rabiulawal 1333 H /19 Februari 1915 M, pen:).

Pada halaman belakang risalah Solawat al-Kubra tertulis, ‘Tercap di Tempat Cap Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad, Kampung Selong, Arab Street, Rumah nombor 82, 30 Syaaban 1333.’ (30 Syaaban 1333 H /12 Julai 1915 M). Kedua-dua cetakan yang disebutkan ini adalah sama-sama dalam tahun 1333 H/1915 M. Solawat al-Kubra kemungkinan adalah terjemahan Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad sendiri dan merupakan pertama kali diperkenalkan dalam bahasa Melayu. Ada pun Kitab Hadits Arba’in karya anak beliau, iaitu Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad. Dari maklumat ini dapat diambil kesimpulan bahawa kedua-dua beranak yang berasal dari Kauman, Semarang, Jawa Tengah yang tersebut adalah ulama.

Sepuluh tahun kemudian kemungkinan percetakan tersebut berpindah alamat, mengenai ini dapat disimpulkan dari kalimat dalam Syair Dandan Setia Intan Terpilih, pada akhir tertulis, “Telah selesai daripada mengecap Syair Dandan Setia kepada 3 Syaaban 1344 H (3 Syaaban 1344 H/15 Februari 1926 M, pen:) di dalam negeri Singapura, Kampung Gelam di Lorong Mesjid...”

Dari cetakan di atas, terdapat dua perkataan yang maksudnya mungkin sama tetapi berbeza tulisannya. Yang pertama tertulis ‘Sailon’ yang satu lagi ‘Selong’ mungkin maksudnya ialah Ceylon. Kemungkinan dulunya tempat itu didiami oleh ramai orang Melayu yang berasal dari Ceylon atau Sri Langka.

Kandungan

Sebagaimana diketahui oleh masyarakat Islam tentang kelebihan atau fadilat membaca selawat, demikianlah kandungan Solawat al-Kubra yang menceritakan tentang perkara yang tersebut itu. Mulai halaman depan sekali dinyatakan, “Inilah Solawat al-Kubra yang terlalu besar faedahnya serta dengan syarahnya bahasa Melayu. Baharu dicap sekali.”

Pada bahagian bawah sekali dinyatakan pula “Baik disimpan ini solawat.” Selanjutnya pada halaman ketiga, pembuka hikayat diceritakan sebagai berikut, Ini satu ceritera daripada Abdullah ibnu Abbas r.a, ia berkata, Adalah Nabi S.A.W duduk di dalam Masjid Madinah tiba-tiba datang Jibril kepada Nabi kita Muhammad s.a.w, maka ia berkata: “Ya Muhammad, bermula Tuhan engkau memberi salam akan dikau, dan Dia menentu akan dikau dengan satu haluan yang kemuliaan.” Berkata Malaikat Jibril selanjutnya: “Bahawasanya aku ini sesungguhnya datang akan dikau dengan membawa hadiah daripada Allah s.w.t. Tiada Dia menghadiah akan hadiah ini seseorang yang dahulu daripada engkau hai Muhammad ...” Yang dimaksudkan dengan hadiah itu ialah Solawat al-Kubra.

Selanjutnya Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad menyebut pelbagai fadilat selawat tersebut secara mendalam.

Ada pun mengenai kandungan Kitab Hadits Arba’in karya anak beliau, Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad pula ialah membicarakan 40 hadis menurut pilihannya sendiri. Hadis yang pertama, yang ditulis sesudah puji-pujian terjemahan Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad ialah: “Sabda Nabi s.a.w: Barangsiapa membaca dengan menghafalkan 40 hadis daripada ummatku, dinamai akan dia oleh Allah pada langit akan wali dan pada bumi dinamai ahli fiqh. Dan dihimpunkan akan dia serta orang yang soleh. Yang tiada takut atas mereka itu dan tiada mereka itu dukacita.”

*Dalam Kitab Hadits Arba’in, Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad tersebut juga sekurang-kurang ada tiga hadis membicarakan tentang kemasyarakatan, sebagaimana diterjemahkan oleh penyusunnya

Sabda Nabi s.a.w: Barang siapa menyampaikan hajat saudaranya yang Islam, nescaya disampaikan oleh Allah baginya 70 hajat di dalam dunia dan akhirat.

Hadis yang lain pula, “Sabda Nabi s.a.w: Barang siapa memuliakan orang yang dijamu, maka sesungguhnya ia memuliakan aku. Barang siapa memuliakan orang yang dagang, maka sesungguhnya memuliakan 70 Nabi yang menjadi Rasul.” (Kitab Hadits Arba’in, hlm. 6).

Syair wafat

Walau pun Syair Dandan Setia Intan Terpilih bukan berasal dari kisah dalam agama Islam, namun apabila kita teliti hanya sebuah judul ini saja yang ditangani oleh Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad. Pada cetakan dinyatakan sebagai berikut, ‘Adalah yang empunya kerja ini Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad’.

Saya berkesimpulan bahawa Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad, selain pemilik percetakan itu sekali gus beliau sebagai penterjemah awal Syair Dandan Setia ke dalam bahasa Melayu. Syair tersebut hingga sekarang tidak diketahui nama pengarangnya. Pada akhir syair terdapat tambahan, kemungkinan disyairkan oleh anak beliau bernama Muhammad.

Syair tambahan itu ialah tentang tarikh wafat Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad. Syair wafat Haji Muhammad Sa‘id bin Haji Arsyad dalam Dandan Setia kemungkinan kemudian dari syair yang sama yang terdapat dalam Syair Cermin Islam karya Muhammad Yasin bin Abbas murid Syeikh Abdul Wahhab al-Khalidi Babus Salam, Langkat.

Petikan syair dalam Syair Cermin Islam, cetakan yang ketujuh, di Tempat Cap Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad, No. 82 Arab Street, Kampung Geylang, Singapura, 9 Zulhijjah 1345 H sebagai berikut:

“Syair Cermin Islam khatamlah ia,

di Mathba’ Haji Muhammad Sa'’d yang bahagia Al-Marhum telah meninggal dunia,

pada 4 Zulkaedah bulan yang mulia Lepas zuhur,

Sabtu harinya,

jam satu setengah,

1342 hijrahnya Enam Jun 1924, tahunnya,

sembilan puluh tahun umurnya.”

Dalam Syair Dandan Setia pula tertulis,

“Khatamlah Syair Dandan Setia,

di Mathba'’ Haji Muhammad Sa'’id yang bahagia Al-Marhum telah meninggal dunia,

pada empat Zulkaedah bulan yang mulia Lepas zuhur,

Sabtu harinya,

jam satu setengah,

1342 hijrahnya Enam Jun 1924,]

tahunnya,

sembilan puluh tahun umurnya.”

Haji Abdur Rahman al-Mandaili penyusun kamus tiga bahasa  

Posted

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

SEBELUM ini ada dua orang ulama yang berasal dari Mandailing diperkenalkan di ruangan Ulama Nusantara dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, ialah Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid al- Mandaili (Utusan Malaysia, Isnin, 11 April 2005) dan Syeikh Junid Thala al-Mandaili (Utusan Malaysia, Isnin, 4 September 2006).

Ulama yang diperkenalkan sekarang ialah Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili. Di antara perkara yang menarik tentang Haji Abdur Rahman bin Jabugis, ulama yang berasal dari Mandailing ini ialah sebuah kamus tiga bahasa yang beliau susun. Kamus tersebut merangkumi bahasa Arab, Melayu dan Mandailing.

Kita mengakui bahawa kamus perkataan Arab yang diterjemahkan ke dalam perkataan Melayu pada zaman yang sama dengan Haji Abdur Rahman bin Jabugis memang terdapat beberapa buah, tetapi terjemahan ke dalam perkataan Mandailing karya ulama tersebut adalah merupakan satu-satunya. Hingga kini belum dijumpai kamus seperti demikian baik dalam perkataan Melayu-Mandailing mahu pun Indonesia-Mandailing

Mengenai tempat lahir Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili tidak diragui kerana ada beliau tulis sekurang-kurangnya dalam dua buah karyanya, iaitu beliau dilahirkan di Tanjung Balai Asahan, Sumatera Utara. Adapun mengenai tarikh lahir, walau pun ada beliau nyatakan pada kulit depan Ats-Tsamaratul Lughat, namun masih diragui. Tertulis, “Al-Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandaili Penyabungan, al-maulud fi balad Asahan 27 Rabiulawal fi sanah 1335.”

Maksudnya bahawa beliau lahir pada 27 Rabi'ul Awwal 1335 H. Tahun yang diberikan ini kemungkinan tersalah cetak kerana pada akhir karya beliau ‘Kisah Qamaruz Zaman ibnu Malik Syaharman,’ dinyatakan: “Adalah tamatnya kepada 17 Ramadan sanah 1338.” Jadi sekiranya benar tarikh lahir 27 Rabiulawal 1335 H hingga tarikh 17 Ramadan sanah 1338 H bererti umur Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili ketika itu ialah sekitar tiga tahun, enam bulan saja.

Menurut lazimnya tidak dapat diterima akal kanak-kanak yang masih di bawah umur dapat menyelesaikan penulisan yang termasuk pekerjaan yang berat itu. Lebih meragukan lagi kerana Syair Mikraj juga dinyatakan karya Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili yang diselesaikan pada Jumaat, pukul 4 petang, 6 Syaaban 1328 H.

Bererti sewaktu karya ini selesai ditulis Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili belum lahir lagi. Oleh yang demikian kemungkinan tarikh yang betulnya ialah pada 27 Rabiulawal 1253 H/1 Julai 1837 M. Tarikh yang diberi ini bersifat sementara selagi belum ditemui catatan yang lebih jelas dan konkrit.

Perjuangan bahasa

Setakat ini, karya Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili yang telah ditemui hanya empat judul saja. Tiga daripada judulnya dikategorikan kepada karya yang nadir.

Sebelum menyenaraikan keempat-empat karya yang dimaksudkan terlebih dulu saya bahas tentang kamus yang beliau susun, kerana dapat dijadikan perbandingan perjuangan bahasa Melayu pada zaman silam dalam era sebelum kemerdekaan dengan era sesudah kita merdeka.

Karya Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili yang saya utamakan itu ialah yang berjudul Ats-Tsamaratul Lughat, tanpa tarikh, sama ada tarikh selesai penulisan mahu pun tarikh cetakan. Dicetak oleh Muhammad Idris, Jalan Haji Lank, No. 21, Singapura. Dicetak dengan huruf batu atau litografi. Kandungan kamus tiga bahasa, iaitu bahasa Arab, Melayu dan Mandailing.

Pada halaman depan dinyatakan bahawa pengarangnya berasal dari Mandailing Penyabungan, lahir di negeri Asahan. Pada bahagian akhir karya beliau Kisah Qamaruz Zaman ibnu Malik Syaharman, dinyatakan bahawa Haji Abdur Rahman bin Jabugis orang Mandailing dilahirkan di negeri Asahan Balai (nama sekarang Tanjung Balai Asahan, pen:).

Selanjutnya dinyatakan pula bahawa kitab ini telah ditelaah oleh Maulana as-Saiyid Hamid bin al-Marhum as-Saiyid Ali, Naib as-Sultan Negeri Asahan. Di bawahnya diterangkan pula: “Ini risalah pelajaran bahasa Arab, dan Melayu, dan Mandaili. Tiada dibenarkan seseorang pun mengecapnya atau meniru, jikalau tiada minta izin yang empunya, kerana sudah diregister.” (Ats-Tsamaratul Lughat, hlm. kulit).

Pada mukadimah Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili menjelaskan sebab-sebab beliau menyusun kamus tersebut, katanya “Ada pun kemudian, maka meminta akan daku setengah saudara kami, berulang-ulang mereka itu sekali kemudian sekali, bahawa aku tuliskan akan bahasa Arab dan aku gantungkan akan maknanya dengan bahasa Melayu Asahan, atas kadar sedikit ilmuku dan keruh hatiku, dan pandak mengertiku.”

Ada maklumat lain menyebut bahawa yang meminta beliau menyusun kamus yang tersebut ialah Sultan Asahan atau Naib Sultan yang tersebut di atas. Yang dimaksudkan dengan “bahasa Melayu Asahan” atau pun “bahasa Mandailing” adalah merupakan bahasa lokal saja, iaitu termasuk bahagian kecil bahasa Melayu global, yang lebih luas digunakan pada zaman sebelum Indonesia dan Malaysia merdeka.

Di daerah yang sama juga terdapat dan berkembang bahasa Melayu lokal yang lain dengan dialek yang berbeza-beza, seumpama bahasa Melayu Deli, bahasa Melayu Langkat, dan lain-lain. Dari sini kita dapat mengambil pengertian dan pelajaran bahawa sultan dalam sesuatu kerajaan kecil dan ulama pada zaman dulu berusaha untuk mempertahan dan menghidupkan bahasa Melayu di dalam kerajaan mereka masing-masing.

Oleh itu masa kini, sekurang-kurangnya tiga negara serumpun Melayu telah merdeka iaitu Indonesia, Malaysia dan Brunei Darussalam, sebenarnya bukan zamannya lagi untuk mengagung-agungkan bahasa dari bangsa-bangsa yang pernah menjajah. Kita cuba berfikir, berjuang dan terus berjuang bukan lagi menyebarkan bahasa Melayu dalam negara serumpun, tetapi sesuai dengan kita telah merdeka, bererti merdeka dan berhak memartabat dan menyebarluaskan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.

Penulisan

Tiga karya Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing, selain yang tersebut adalah bercorak sastera klasik Melayu-Islam, yang bererti turut memperkaya bahasa Melayu. Sekali gus dapat dimasukkan dalam perkembangan sejarah sastera klasik Nusantara. Karya-karya Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing yang dimaksudkan ialah: Syair Mikraj, diselesaikan pada Jumaat, pukul 4 petang, 6 Syaaban 1328 H/12 Ogos 1910 M.

Tidak dinyatakan nama percetakan kerana halaman depannya belum dijumpai. Dicetak dengan huruf batu atau litografi. Kandungan menceritakan kisah Israk dan Mikraj yang diungkapkan dalam bentuk syair/puisi. Karya beliau yang pertama ini dikategorikan karya biasa kerana terdapat beberapa karya tentang Israk dan Mikraj sama ada dalam bentuk prosa mahupun puisi/syair.

Qishah Qamaruz Zaman Ibnu Malik Syaharman, diselesaikan pada 17 Ramadan 1338 H/3 Jun 1920 M. Dicetak oleh Mathba’ah Muhammad Idris, Jalan Haji Lank, No. 21, Singapura, 1934 M. Dicetak dengan huruf batu atau litografi. Ditulis dalam bentuk prosa dan dalam beberapa halaman dihiasi dengan syair-syair Melayu.

Kandungan mengisahkan seorang raja yang bernama Qamaruz Zaman. Qishah Qamaruz Zaman adalah merupakan karya sastera Islam klasik yang diterjemahkan dari bahasa Arab ke bahasa Melayu. Pada akhir Qishah Qamaruz Zaman, Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing menulis: “Tamatlah kisah ajaib yang bernama Qishah Qamaruz Zaman ibnu Malik Syaharman diterjemahkan daripada bahasa Arab kepada bahasa Melayu oleh hamba yang daif, lagi miskin, dan yang mengaku banyak dosa kepada tuhan yang kaya al-Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili diperanakkan di negeri Asahan Tanjung Balai ....” (Qishah Qamaruz Zaman, hlm. 143-144).

Syair Mikraj dan Qishah Qamaruz Zaman karya Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing di atas diperoleh di Ketapang, Kalimantan Barat pada Jumaat, pukul 5 petang, 3 Ramadan 1421 H/29 Disember 2000 M di rumah pusaka kewarisan Datuk Kaya Muda Amar Di Raja.

Salah sebuah hikayat sufi yang terkenal juga dapat perhatian Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing. Oleh itu, sebuah karya yang beliau terjemah dari bahasa Arab ke bahasa Melayu selain yang tersebut di atas ialah yang diberi judul Hikayat Sultan Ibrahim Ibnu Adham, tanpa tarikh.

Dicetak di Tempat Cap Haji Idris bin Yahya, Singapura, tanpa dinyatakan tahun cetak. Cerita lisan tentang Ibrahim bin Adham termasuk salah satu kisah seorang sufi yang amat terkenal dalam masyarakat Melayu sejak lama. Tetapi cerita tersebut hampir-hampir tidak terdapat dalam penulisan ulama-ulama Melayu terkecuali hanya termuat dalam beberapa kitab tasauf.

Di antara kitab Melayu/Jawi yang memperkenalkan kisah Ibrahim bin Adham, tetapi adalah sangat ringkas ialah dalam Ward az-Zawahir oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan dalam Hadiqah al-Azhar oleh Syeikh Ahmad al-Fathani.

Hingga kini saya belum menjumpai sejarah khusus mengenai Ibrahim bin Adham dalam tulisan klasik Melayu/Jawi, kecuali satu-satunya hanyalah Hikayat Sultan Ibrahim Ibnu Adham karya Haji Abdur Rahman bin Jabugis ulama Mandailing yang sedang dibicarakan ini.

Sebelum membicarakan kandungan pada bahagian atas sekali diletakkan judul oleh pengarangnya ialah Hikayat Sultan Ibrahim Bin Adham Wali Allah. Dari judul ini dapat kita fahami bahawa Ibrahim bin Adham itu adalah seorang sultan.

Kemudian dijelaskan pula bahawa selain baginda seorang sultan, sekali gus adalah Wali Allah. Gaya bahasa Melayu klasik yang digunakan oleh Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing sebagai pembukaan hikayat, kata beliau, “Ini hikayat, ada seorang raja negeri Baghdad bernama Sultan Ibrahim ibnu Adham Wali Allah, terlalu besar tahta kerajaan baginda itu. Syahdan baginda itu sangat pertapa ...” Yang dimaksudkan dengan perkataan ‘pertapa’ dalam kalimat ini jika dikembalikan kepada istilah sufi ialah “khalwat” ataupun “suluk” ialah bersunyi-sunyi diri atau mengasingkan diri kerana melakukan ibadat.

Kemudian Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing menyambung tulisan di atas dengan kalimat, “Lagi masyhur namanya. Lagi adil perintahnya. Lagi dengan masyhur amat pengasih pada sekalian wazir menteri, hulubalang, dan kepada rakyatnya hina dina.

Dan terlalu amat pengasihnya kepada segala alim ulama, dan fuqaha, dan fakir miskin. Serta dengan periksanya menghukumkan di atas sekalian rakyat dengan sebenarnya. Maka segala menteri hulubalang pun sangat takut dan kasih akan baginda itu, maka negeri itu pun terlalu ramainya dengan sentosanya ...” (Sultan Ibrahim Ibnu Adham, hlm. 2).

Pada akhir hikayat Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing menulis, “Telah menyambung akan hikayat ini, oleh hamba nama al-Haji Abdur Rahman bin Jabugis Tanjung Balai Asahan dengan kehendak yang empunya ini hikayat Tuan Haji Muhammad Idris.” (Sultan Ibrahim Ibnu Adham, hlm. 63).

Tok Bendang Daya hulubalang Fathani Darus Salam  

Posted

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

TOK Bendang Daya ada dua orang. Tok Bendang Daya yang pertama diriwayatkan dalam artikel ini. Yang seorang lagi adalah anak beliau Syeikh Abdul Qadir al-Fathani yang diriwayatkan dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, 20 Disember 2004.

Nama lengkap Tok Bendang Daya yang pertama ialah Syeikh Haji Wan Mushthafa bin Wan Muhammad bin Wan Zainal Abidin /Faqih Wan Musa bin Wan Muhammad Shalih bin Ali al-Masyhur al-Laqihi. Beliau lahir tahun 1160 H/1747 M, wafat tahun 1280 H/1863 M, di Kampung Bendang Daya, Patani.

Ayah beliau, Syeikh Wan Muhammad al-Fathani dan beberapa penyebar Islam di Patani sebelum itu adalah ulama dan pembesar kerajaan Patani.

Syeikh Haji Wan Mushthafa pernah menjadi hulubalang Sultan Fathani Darus Salam yang digelar Datuk Panglima Kaya yang juga digelar dengan nama singkat Hulubalang Wan Pa. Gelaran yang masyhur ialah Tok Bendang Daya.

Diriwayatkan beliau juga diberi hak mutlak untuk melantik sultan dan raja-raja dalam Daulah Fathani Darus Salam sebelum kerajaan itu dijajah oleh bangsa Siam. Apabila tua beliau membina Pondok Sena yang dipagari dengan pohon sena yang berjajar-jajar. Maka disebutlah kampung kawasan pondok itu dengan nama Sena Janjar dan kampung bersebelahan dengannya dinamakan Bendang Daya.

Kedua-dua kampung itu adalah dalam kawasan Kampung Sena yang besar dan luas yang dibuka atau diterokai oleh datuk nenek beliau. Tok Bendang Daya al-Fathani meninggal dunia semasa berusia kira-kira 120 tahun. Makam beliau terdapat di Kampung Bendang Daya juga dalam kawasan Kampung Sena.

Beberapa perkara penting yang dapat kita pelajari daripada kisah tokoh besar ini, sekurang-kurangnya menyentuh tentang seorang ulama yang menjadi panglima dalam sistem Daulah Fathani Darus Salam. Penglibatan beberapa ulama dalam perang melawan pencerobohan Siam ke atas Patani dan Kedah, sistem pengajian pondok yang pertama paling ramai pelajarnya di dunia Melayu dan terakhir sekali cerita Lailatul Qadar. Semuanya tidak dapat dibicarakan dengan khusus, ada yang dapat dibicarakan di sini, ada pula terpaksa ditinggalkan atau dipotong kisahnya kerana sebab-sebab tertentu.

Perang

Dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah tercatat sekelumit kisah tentang penglibatan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam satu perang besar ketika pencerobohan Siam ke atas Patani dan Kedah. Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, ulama ahli sufi penyusun kitab Siyar as-Salikin itu dinyatakan ghaib (hilang) atau pun syahid dalam perang itu (1244 H/1828 M). Daripada pelbagai sumber yang saya kumpulkan bahawa panglima perang Patani dalam perang itu ialah Hulubalang Wan Pa (Tok Bendang Daya). Sebuah manuskrip yang saya peroleh di Pontianak disebut pula yang ikut dalam perang itu ialah Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Oleh sebab laporan di antara orang yang ikut dalam perang itu ada yang hijrah ke Pontianak, maka dalam manuskrip itu tercatatlah bahawa ketiga-tiga ulama besar dunia Melayu itu syahid di bumi Patani.

Mengenai kisah yang panjang belum perlu saya bahas, yang perlu saya sentuh ialah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang disangka syahid adalah hijrah ke Pulau Duyung Kecil, Terengganu. Hijrah bukan bererti lari daripada jihad. Tetapi menyusun strategi untuk kemenangan rangka panjang. Kerana kemenangan rangka pendek belum dapat dipastikan.

Tok Bendang Daya pula mengambil sikap tidak meninggalkan bumi Patani. Hidup atau mati yang bercorak bagaimana pun mestilah di bumi Patani juga. Walau bagaimanapun taktik dan strategi perjuangan perlu disusun secara kemas dan rapi. Sekiranya belum dapat kemenangan, selagi nafas dikandung badan, selagi bulan dan matahari terbit dan terbenam, selagi dunia belum kiamat, janji untuk diri sendiri dan titipan wasiat kepada umat Melayu Patani, perjuangan mempertahankan Islam dan negara adalah wajib diteruskan.

Perjuangan kedua-dua ulama Patani itu akan diketahui sepanjang zaman, tidak akan hilang dari sejarah perkembangan tamadun bangsa Melayu dan Islam buat selama-lama. Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani berjuang dari segi penulisan pelbagai ilmu dalam Islam. Termasuk juga Tarikh Patani karya Syeikh Faqih Ali al-Fathani yang diselamatkannya melalui penyalinan. Tok Bendang Daya pula, supaya beliau tidak dapat dikesan oleh musuh-musuh, telah menyamar sebagai orang bodoh, tidak tahu sesuatu apa pun.

Tok Bendang Daya faham di tempat mana beliau berada, oleh itu pada ketika yang lain beliau menjadi seorang sufi, seolah-olah seorang yang tidak perlu kepada kepentingan duniawi. Tetapi secara sangat rahsia Tok Bendang Daya memantap dan menghimpunkan kembali saki baki pejuang-pejuang Islam bangsa Melayu terutama orang-orang Kedah dan Patani yang setia kepadanya.

Riwayat ini masih belum lengkap jika tidak memberi sedikit gambaran tentang kehebatan Tok Bendang Daya semasa perang. Oleh itu amanah dari periwayat perlu juga dipindahkan ke dalam bentuk tulisan tersebar ini. Diriwayatkan bahawa Tok Bendang Daya menyertai perang pencerobohan Siam terhadap Patani yang terjadi tahun 1235 H/1820 M hinggalah perang tahun 1244 H/1828 M.

Sungguhpun umur beliau ketika itu sangat tua, namun tetap masih gagah, tangkas dan berwibawa. Selain mampu menyusun taktik pertahanan dan taktik penyerangan, Tok Bendang Daya juga ada ketahanan menghadang pelbagai jenis senjata termasuk peluru meriam yang ada pada zaman itu.

Berkali-kali beliau kena tembak dengan meriam, tetapi ada satu keanehan bahawa apa jua jenis peluru menjadi jinak dan lunak kepadanya. Peluru yang sampai kepadanya hanya melekat pada bahagian pakaiannya tidak gugur ke tanah, tidak pula menembusi hingga kepada kulit, apatah lagi masuk hingga ke daging.

Selepas pulang dari sesuatu peperangan, peluru-peluru yang melekat pada pakaian barulah dibuang dengan jalan mengibas-ngibaskan pakaian itu. (Sumber cerita dari Tuan Guru Haji Muhammad bin Yusuf, salah seorang buyut Tok Bendang Daya, juga didengar dari Tuan Guru Haji Haji Abdul Qadir bin Ismail as-Sanawi al-Fathani, cicit Tok Bendang Daya. Ibu beliau, cucu Tok Bendang Daya sempat saya jumpa di Mekah, 1979, ketika itu berumur lebih 100 tahun namun beberapa maklumat dapat saya sahihkan kepada beliau).

Ada orang bertanya, ilmu dan amalan apa yang diamalkan oleh Tok Bendang Daya sehingga berkemampuan demikian?

Agama Islam adalah sangat luas dalam pelbagai hal. Apabila kita akan menceburi diri di dalam sesuatu perkara perlulah belajar ilmu apa saja yang ada hubungan dengan perkara itu. Jika menghadapi peperangan seperti Tok Bendang Daya perlulah belajar pelbagai sektor ilmu tentang peperangan. Nabi Muhammad s.a.w ketika berperang juga menggunakan pelbagai cara termasuk dengan doa-doa tertentu.

Saya tidak pasti doa khusus yang diamalkan oleh Tok Bendang Daya untuk ketahanan diri ketika dalam perang, namun walau bagaimana pun berdasarkan catatan anak beliau, Syeikh Abdul Qadir al-Fathani, bahawa Tok Bendang Daya mengamalkan surah al-Ikhlas, yang dibaca beribu-ribu kali serta dengan doanya.

Lailatul Qadar

Pada hari ini, 23 Ramadan 1427 H, yang mana kita ketahui, ramai orang yang berjaga malam, tertunggu-tunggu untuk mendapatkan pahala ibadat, lebih baik daripada 1,000 bulan, seperti yang disebut dalam al-Quran iaitu Lailatul Qadar. Ada beberapa orang ulama yang berasal dari dunia Melayu yang diriwayatkan berjaya bertemu malam yang penuh dengan keberkatan dan kerahmatan itu.

Di antara ulama yang bertemu dengan Lailatul Qadar itu ialah Tok Bendang Daya dan anak beliau Syeikh Abdul Qadir (Tok Bendang Daya ke-II).

Riwayat Tok Bendang Daya bertemu Lailatul Qadar di perigi Bendang Daya hampir semua rakyat Patani pernah mendengarnya. Ceritanya tersebar sejak dulu hingga sekarang ini. Walau bagaimana pun semuanya adalah cerita lisan, tidak terdapat satu pun dalam bentuk tulisan. Yang berupa catatan bertulis yang saya mulakan, tahun 1970. Saya dengar, saya tanya dan saya catat dari Tuan Guru Haji Abdul Qadir bin Ismail as-Sanawi al-Fathani, cicit Tok Bendang Daya. Yang saya ketahui bahawa Tuan Guru Haji Abdul Qadir as-Sanawi ketika catatan saya lakukan adalah merupakan satu-satunya cicit Tok Bendang Daya yang tertua, yang teralim dan yang paling mengetahui hampir semua aspek sejarah keluarga yang dibicarakan ini.

Selama sebulan, dalam bulan Ramadan 1390 H/November 1970 saya bersama beliau telah men ziarah Makam Tok Bendang Daya. Tuan Guru Haji Abdul Qadir as-Sanawi bercerita sebagai berikut, “Pada suatu malam, dinihari, bulan Ramadan, sewaktu Tok Bendang Daya akan mengambil air wuduk untuk melakukan solat tahajud tiba-tiba perasaannya berubah, beliau tidak berada di alam nyata. Dalam perasaannya, dilihatnya semua pepohon rebah menghadap ke perigi Bendang Daya. Air perigi tiba-tiba membeku. Sedarlah beliau bahawa peristiwa tersebut kemungkinan yang dinamakan Lailatul Qadar.”

Tok Bendang Daya kemudian berdoa mohon kepada Allah pada malam yang berkat itu agar empat anak lelakinya menjadi ulama dan setiap salah seorang daripada empat orang anaknya itu ada yang jadi ulama yang bersambung terus hingga ke hari kiamat. Keempat-empat anak beliau itu ialah Syeikh Haji Wan Muhammad Zainal Abidin al-Fathani. Disingkatkan namanya menjadi Syeikh Muhammad Zain al-Fathani atau dikenal dengan sebutan Tuan Guru Wan Din al-Fathani. Anak Tok Bendang Daya yang kedua bernama Syeikh Wan Abdul Qadir al-Fathani, beliau inilah yang digelar dengan Tok Bendang Daya yang kedua. Anak Tok Bendang Daya yang ketiga bernama Syeikh Wan Abdul Lathif al-Fathani yang menyebarkan Islam di Bangkok. Dan anak Tok Bendang Daya yang keempat ialah Syeikh Wan Daud al-Fathani yang lebih dikenal dengan sebutan Tok Cik Wan Daud al-Fathani, beliau mengajar di Mekah, di rumahnya dan di Masjidil Haram, Mekah.

Kisah anak beliau, Syeikh Abdul Qadir al-Fathani (Tok Bendang Daya II), juga bertemu Lailatul Qadar di tempat yang sama, saya tinggalkan saja, namun perlu saya nyatakan bahawa apa yang dialami oleh kedua-duanya adalah berbeza. Saya belum mencatat secara terperinci berapa orang ulama dunia Melayu yang diriwayatkan pernah bertemu Lailatul Qadar, tetapi yang pasti bilangannya ramai. Antaranya ialah Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Di dalam beberapa kitab diriwayatkan ramai ulama Islam yang terkenal seperti Imam Syafie, Abi Yazid al-Bistami dan lain-lain, juga pernah bertemu Lailatul Qadar dengan pengalaman yang berbeza-beza pula.

Haji Muhammad Datuk Laksamana Al-Yunusi  

Posted

Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

DUA orang daripada ulama tiga serangkai yang paling cemerlang dalam sistem pembinaan Islam, masyarakat dan kerajaan Kelantan telah didokumenkan dalam halaman Agama Utusan Malaysia. Dua ulama dan tokoh yang dimaksudkan ialah Datuk Nik Mahmud, Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan dan Al-Alim Allamah Al-Arif Billah Syeikh Muhammad Yusuf bin Ahmad (Tok Kenali). Seorang lagi, menjadi tiga orang serangkai yang dimaksudkan, nama lengkapnya ialah Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id Khathib bin Jamaluddin bin Muhammad. Profil ulama ini pernah ditulis oleh Ismail Awang dalam majalah Pengasuh dan kemudian disunting oleh Ismail Che Daud untuk dimuatkan dalam Tokoh-Tokoh Ulama Semenanjung Melayu, jilid 1.

Namun yang menjadi rujukan utama saya ialah biodata yang termaktub dalam buku karya beliau judul Telegraf Dari Perut Ikan atau Perlawatan Sir Hugri Clifford Ketua Polis Amerika. Sungguhpun buku tersebut karya Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id Khathib tetapi biodata adalah ditulis oleh penerbit buku itu, iaitu Haji Nik Mahmud bin Haji Abdul Majid dalam cetakan Al-Mathba’ah Al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1941. Ada beberapa pertikaian maklumat antara satu dengan lainnya. Oleh itu, saya kemukakan perbandingan untuk memudahkan para pengkaji yang berminat dengan sejarah ini.

Tok Kenali dianggap sebagai orang yang paling atas dalam kedudukan sebagai seorang ulama, Datuk Nik Mahmud dan Haji Muhammad bin Muhammad Sa'id Khathib, kedua-duanya juga ulama, menduduki kedudukan yang paling tinggi dari segi pentadbiran di kerajaan Kelantan pada zaman mereka. Pada siri yang lalu, Tok Kenali dikatakan mencurahkan sepenuh khidmatnya kepada Syeikh Ahmad al-Fathani, berbeza dengan Haji Muhammad bin Muhammad Sa'id Khathib. Beliau mencurahkan sepenuh khidmatnya kepada Syeikh Muhammad Shaghir (Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani). Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id Khathib menjadi anak angkat dan tinggal di rumah Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani.

Jumlah anak-anak yang tinggal di rumah Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani memang ramai. Selain Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id Khathib, termasuk juga pada masa yang sama ialah ayah saya Haji Abdullah dan datuk saya, Haji Wan Abdur Rahman. Semuanya tinggal dan berkhidmat kepada ulama Patani yang merupakan penyusun kitab Mathla' al-Badrain yang terkenal itu.

Kesimpulannya, baik Tok Kenali, Datuk Nik Mahmud, Datuk Laksamana, ayah dan datuk saya, semuanya pernah bertemu dalam jemaah dan halaqah Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani. Demikian juga dengan dua ulama lagi yang sangat erat hubungannya iaitu Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani dan Syeikh Ahmad al-Fathani.

*Bahasan

Berdasarkan petikan pelbagai maklumat, saya tidak pasti apakah benar ia ditulis oleh Haji Nik Mahmud bin Haji Abdul Majid ataupun Encik Hasyim bin Haji Muhammad Datuk Perdana. Oleh kerana buku Telegraf Dari Perut Ikan diterbitkan oleh Haji Nik Mahmud bin Haji Abdul Majid, maka saya anggap ia sebagai tulisan beliau. Tertulis lengkap dan bahasannya sebagai berikut, “...pada 30 Januari 1888, diperanakkan di dalam bandar Kota Bharu.” Tarikh itu jika kita tukar kepada menurut tarikh Islam ialah Ahad, 16 Jamadilawal 1305 H.

Dasar saya menentukan penyamaan tarikh adalah buku Jadual Tarikh, Bulan dan Tahun Hijri oleh Raja Haron bin Raja Mohammad Salleh, jilid 15 (lihat hlm. 9). Ketentuan ini selisih satu hari dengan nota yang ditulis oleh Ismail Che Daud dalam Tokoh-Tokoh Ulama Semenanjung Melayu, jilid 1 (hlm. 222), yang menyebut hari Isnin, 17/5/1305 H (maksudnya 17 Jamadilawal 1305 H, pen:).

Mengenai selisih satu hari hitungan hisab ataupun perbandingan hisab dengan rukyah ia adalah perkara lumrah. Ia masih dapat diterima sebagai betul. Oleh sebab tulisan Ismail Awang menyebut bahawa 30 Januari 1888 M itu adalah hari Khamis, maka ia perlu diperbetulkan. Yang betul ialah salah satu di antara dua, iaitu hari Ahad ataupun hari Isnin. Selain itu ada yang menyebut Haji Muhammad bin Haji Muhammad Sa’id lahir pada tahun 1306 H adalah fakta yang masih sukar untuk diterima sebagai sahih selagi ia tidak mengemukakan fakta-fakta yang cukup meyakinkan.

Haji Nik Mahmud bin Haji Abdul Majid menulis selanjutnya, “Pada bulan Rejab 1901 dihantarkan ke Mekah kerana menuntut ilmu agama dan pada tahun 1911 berpindah ke Mesir.” Bulan Rejab 1901 M tersebut sebenarnya adalah pada bulan Oktober ataupun November, bersamaan dengan bulan Rejab 1319 H. Tarikh ini tidak perlu dipertikaikan kerana ia bererti beliau mulai berangkat dari Kota Bharu ke Singapura walaupun Ismail Awang menyebut bahawa Haji Muhammad bin Haji Muhammad Sa’id belayar dari Singapura ke Mekah pada 7 Syaaban 1320 H (1903 M). Ketentuan tarikh yang ditulis oleh Ismail Awang tersebut kemungkinan keliru.

Ismail Che Daud pula memberi nota bahawa tarikh 7 Syaaban 1320 H adalah bersamaan dengan 8 November 1902 M, bukan tahun 1903 M. Jadi jika kita bandingkan tarikh di atas bererti walaupun beliau berangkat dari Kota Bharu pada bulan Rejab 1319 H/Oktober - November 1901 M ke Singapura, beliau ternyata berangkat dari Singapura ke Mekah setahun kemudian (7 Syaaban 1320 H/8 November 1902).

Tentang Haji Muhammad bin Haji Muhammad Sa’id pulang ke Kelantan, Haji Nik Mahmud bin Haji ‘Abdul Majid menulis, “Pada bulan Muharam 1914 dari Mesir balik ke watan Kelantan.” Bererti tarikhnya Muharam 1333 H bersamaan dengan November - Disember 1914 M. Ismail Awang menulis bahawa beliau sampai di Kelantan pada 20 Zulkaedah 1331 H, diberi nota oleh Ismail Che Daud ‘bersamaan 9 Oktober 1914’. Penyamaan tarikh ini kemungkinan tersalah cetak atau terkeliru hitungan kerana 20 Zulkaedah 1331 H adalah bersamaan dengan 20 Oktober 1913 M, bukannya 9 Oktober 1914 M.

Haji Nik Mahmud bin Haji Abdul Majid menulis pula, “Pada 7 Disember 1915 dilantik menjadi Setiausaha Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu (Setiausaha Yang Pertama).”

Penubuhan Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan adalah idea tiga serangkai ulama Kelantan itu, iaitu Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id, Nik Mahmud dan Tok Kenali.

Haji Nik Mahmud bin Haji Abdul Majid menulis pula, “Pada 3 Mac 1916 dilantik menjadi Penolong Setiausaha Yang Kedua kepada Duli Yang Maha Mulia As-Sultan Muhammad Keempat.”

Ismail Awang menyebut bahawa pelantikan tersebut ialah pada 1 Mac 1916, bererti dua hari awal daripada yang disebut oleh Haji Nik Mahmud bin Haji Abdul Majid. Pelantikan selanjutnya, “Pada 1 Januari 1917 dilantik menjadi Penolong Setiausaha Kerajaan dan menjadi Kerani Majlis Mesyuarat Kerajaan. Pada 30 April 1918 dikurnia gelaran Datuk Bentara Jaya. Pada 13 Ogos 1919 diangkat menjadi Naib Yang Dipertua Majlis Ugama Islam. Pada 1 Oktober 1919 menjadi Pengarang Majalah Pengasuh.”

Perlu diperhatikan bahawa Ketua Pengarang Pengasuh yang pertama bukan Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id tetapi adalah Tok Kenali. Sungguhpun demikian terdapat tulisan Haji Muhammad bin Muhammad Sa'id dalam majalah Pengasuh terbitan tahun 1, bilangan 1 (yang pertama) pada 11 Julai 1918. Tulisan beliau diberi judul Kemajuan Surat-Surat Khabar dan Penggunaannya.

Tulis Haji Nik Mahmud bin Haji Abdul Majid pula, “Pada 15 April 1920 dikurnia Bintang Al-Muhammadi III, Seri Mahkota Kelantan.” Mengenai hal ini tidak disebut oleh Ismail Awang dalam tulisannya. Selanjutnya disebut pula, “Pada 23 haribulan April 1921 dikurnia gelaran Datuk Laksamana.” Gelaran Datuk Laksamana tersebutlah yang banyak diperkatakan orang sehingga nama aslinya tidak disebut orang lagi.

Kenyataan di atas sama dengan tulisan Ismail Awang dengan tambahan kalimat, “dan dikurniakan Darjah Al-Muhammadi II Datuk Paduka Mahkota Kelantan (DPMK) oleh As- Sultan Ismail.” Walau bagaimanapun, kenyataan Ismail Awang itu berbeza tarikh seperti yang dinyatakan oleh Haji Nik Mahmud bin Haji Abdul Majid dengan kalimat yang berikutnya, katanya: “Pada 29 April 1921 dikurnia Bintang Al-Muhammadi II Darjah Paduka Mahkota Kelantan.” Dilanjutkan dengan kalimat, “Pada 21 Julai 1925 dikurnia Bintang Al-Muhammadi I Seri Paduka Mahkota Kelantan.”

Tarikh yang disebut oleh Ismail Awang ialah 27 Julai 1925 dengan tambahan keterangan bahawa Darjah Kebesaran Al-Muhammadi I oleh Duli Yang Mulia As-Sultan Ismail. Dilanjutkan dengan kalimat, “Pada 12 September 1925 menjadi Setiausaha Kerajaan Kelantan.” Ismail Awang menambah keterangan: “Beliaulah orang yang pertama memegang jawatan itu.” (Tokoh-Tokoh Ulama Semenanjung Melayu, jilid 1, hlm. 227-228).

Tulisan selanjutnya, “Pada 25 Oktober 1925 menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan. Pada 3 Jun 1927 menjadi Wakil Tubuh Duli Yang Mulia as-Sultan Kelantan menyambut ketibaan Pesuruhjaya Tinggi, Sir Hugri Cliffford ... di Singapura.”

Hal ini tidak disebut oleh Ismail Awang. Selanjutnya, “Pada 1 September 1929 dilantik menjadi Pemangku Menteri Besar Kelantan.” Ismail Awang menyebut bahawa jawatan itu beliau pegang hingga 31 Disember 1929. Dijelaskannya bahawa pada tarikh yang tersebut Datuk Perdana Menteri Paduka Raja bercuti. Selanjutnya, “Pada 21 Julai 1931 dikurnia Bintang Al-Yunusi Darjah Kerabat.” Ditambah keterangan oleh Ismail Awang “Yang Amat Dihormati - Darjah Kerabat Kelantan (DK).” Selanjutnya “Pada 29 Mac 1933 bersara daripada jawatan Setiausaha Kerajaan.” Ismail Awang menambah maklumat bahawa tempatnya diganti oleh Nik Ahmad Kamil bin Datuk Nik Mahmud. Sungguhpun Datuk Laksamana telah berhenti daripada jawatan itu namun dinyatakan “Pada 28 Mei 1933 menjadi Wakil Tubuh Duli Yang Mulia as-Sultan Kelantan pada hari pertabalan Duli Yang Mulia as-Sultan Pahang.”

Setelah itu, “Pada 21 Disember 1933 berhenti daripada Naib Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Istiadat Melayu dan berhenti daripada Pengarang Pengasuh.”

*Keturunan

Sebelum menutup tulisannya, Haji Nik Mahmud bin Haji Abdul Majid mencatat tarikh wafat Datuk Laksamana. “Pada 20 Mac 1939 pukul 4 pagi memberi selamat tinggal kepada anak isterinya, saudara-saudaranya dan kaum warisnya menghadap ke hadrat Tuhan Rabbul Alamin, berpindah ke negeri yang kekal dengan meninggalkan tujuh anaknya....”

Tujuh anak yang beliau sebut ialah: 1. Encik Hasyim, pegawai Melayu. 2. Encik Abdul Malik, dalam pengajian. 3. Encik Abdur Rahman, dalam pengajian. 4. Cik Hasmah, isteri Nik Muhammad bin Datuk Amar. 5. Cik Hafsah, isteri Nik Mustafa Fadhil bin Datuk Perdana Menteri Paduka Raja. 6. Cik Rugayah. 7. Cik Salma.

Daripada semua nama yang tersebut, saya pernah bertemu dengan Nik Mustafa Fadhil (pada tahun 1976). Daripada beliau saya peroleh banyak maklumat yang belum dapat dimuat dalam artikel ini.

Tok Kenali ulama peringkat wali  

Posted

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah


DALAM sekian banyak e-mel yang saya terima, ada orang memprotes kenapa sudah sekian banyak ulama Nusantara yang diperkenalkan dalam halaman Agama Utusan Malaysia, namun cerita tentang Tok Kenali tidak muncul?.

Pada prinsipnya kisah semua ulama Nusantara akan saya muatkan dalam akhbar ini, hanya gilirannya belum sampai. Ada ulama kisahnya disegerakan dan ada yang artikelnya masih dalam pemerosesan.

Tok Kenali ialah satu nama yang paling terkenal dalam dunia pengajian Islam menggunakan sistem pondok di Malaysia. Bahkan beliau juga terkenal di seluruh alam Melayu. Oleh itu, memang riwayat beliau perlu diketahui oleh masyarakat. Dalam dua keluaran terakhir perbicaraan tentang ulama, telah disentuh perjuangan tokoh yang antipenjajah (Tok Ku Paloh Terengganu dan Haji Sulong al-Fathani). Ada orang berpendapat bahawa Tok Kenali tidak pernah terlibat dalam perjuangan yang bercorak demikian.

Bagi saya, pendapat seperti demikian itu adalah hanya ditinjau dari satu sudut yang belum menyeluruh. Tok Kenali ialah murid yang paling dipercayai oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, oleh itu hampir-hampir tidak ada satu rahsia perjuangan Syeikh Ahmad al-Fathani yang tidak diketahui oleh Tok Kenali.

Di sini saya sentuh sedikit saja. Syeikh Ahmad al-Fathani ialah tokoh pertama dari lingkungan dunia Melayu sejagat yang secara diplomatik pergi ke Istanbul, Turki untuk melaporkan perbuatan tiga bangsa yang menjajah di dunia Melayu ketika itu. Bangsa-bangsa itu ialah Inggeris, Belanda dan Siam.

Walau bagaimanapun, supaya suasana tidak selalu keras dan tegang dalam corak pemikiran jihad zhahiri, kisah Tok Kenali saya fokuskan kepada pemikiran jihad shufi. Jihad zhahiri lebih menitikberatkan perjuangan secara fizikal, sedang jihad shufi lebih mengutamakan pembinaan dalaman, qalbi atau hati dan rohani. Kedua-dua jenis jihad itu adalah penting dikombinasikan secara sepadu. Selain itu dalam disiplin ilmu akidah dan tasawuf ia dikenali dengan istilah ‘Wali Allah’ dan ‘karamah’ (istilah Melayu: keramat).

Tradisi penulisan para ulama Islam juga banyak menceritakan tentang ‘karamah’ para Wali Allah. Tulisan saya dalam Utusan Malaysia yang telah lalu (133 siri) tentang ‘karamah’ sengaja tidak saya sentuh kerana saya lebih mengutamakan riwayat yang berdasarkan fakta. Oleh kerana ramai yang minta kepada saya supaya menulis tentang karamah yang pernah berlaku pada Tok Kenali maka permintaan itu saya paparkan berdasarkan cerita yang telah saya kumpulkan daripada pelbagai sumber sejak tahun 1950-an lagi.

Karamah Tok Kenali

Nama sebenar Tok Kenali ialah Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad al-Kalantani, lahir pada 1287 H/1871 M, wafat Ahad, 2 Syaaban 1352 H/19 November 1933 M. Yang saya riwayatkan ini adalah berdasarkan pelbagai cerita yang saya dengar, oleh itu tidak terikat sangat dalam sistem penulisan ilmiah.

Yang saya ingat pada tahun 1953, ibu saya Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani hanya menyebut nama murid ayahnya itu dengan istilah Awang Kenali. Menurutnya, Syeikh Ahmad al-Fathanilah yang pertama menggunakan istilah ‘Awang’ itu. Riwayatnya, sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani menjadi utusan ulama Mekah ke Beirut dan Mesir untuk menyelesaikan pertikaian pendapat antara Saiyid Yusuf an-Nabhani (Beirut) dengan Syeikh Muhammad Abduh (Mesir) dalam rombongan itu, Awang Kenali ikut serta.

Ketika sampai di Bukit Tursina, kerana di tempat itulah Nabi Musa mendengar ‘Kalam Allah’, Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruh murid-muridnya munajat secara khusus. Awang Kenali ditugaskan supaya minta menjadi ulama. Nik Mahmud ditugaskan munajat minta menjadi seorang pembesar Kelantan. Setelah Tok Kenali munajat, Syeikh Ahmad al-Fathani menyatakan bahawa ilmu Awang Kenali tinggi hanya mencapai ‘awan’ tidak menjangkau kepada langit. Ilmu yang sampai ke peringkat ‘awan’ itulah yang dapat dijangkau oleh kebanyakan ulama di tanah Jawi.

Daripada perkataan ‘awan’ itulah kemudian bertukar menjadi ‘Awang’. Cerita yang sama juga saya dengar daripada Haji Wan Ismail bin Hawan, Qadhi Jala (cerita didengar pada tahun 1970). Dalam surat-surat Syeikh Ahmad al-Fathani kepada pihak lain, termasuk kepada orang Arab dan Turki, apabila melibatkan muridnya itu, beliau mengekalkan tulisan dengan istilah ‘Awan Kenali’ saja tanpa menyebut nama lainnya.

Pada tahun 1969 saya dengar cerita bahawa Tok Kenali pertama-tama datang ke Mekah penuh dengan peristiwa yang pelik-pelik (ajaib). Kehidupan sehari-harinya penuh dengan tawakal. Beliau tidak mempunyai pakaian yang lebih daripada sehelai, tidak memiliki wang, tidak siapa mengetahui beliau makan ataupun tidak pada setiap hari siang ataupun malam. Hampir-hampir tidak ada orang yang mengenalinya di Mekah ketika itu.

Orang yang tidak mengenalinya hanya memperhatikan keanehannya berada dari satu halaqah ke satu halaqah yang lain dalam Masjid Haram, Mekah. Keberadaannya dalam sesuatu halaqah tidak pula membawa sesuatu kitab seperti orang lainnya. Pada kebanyakan masa ketika duduk dalam halaqah beliau memejamkan mata, orang menyangka beliau bukan mendengar pelajaran tetapi tidur. Antara ulama yang mengajar dalam Masjid al-Haram ketika itu ada yang tembus pandangannya, diketahuinyalah bahawa pemuda yang aneh itu bukanlah sembarangan orang, martabatnya ialah seorang ‘Wali Allah’.

Walau bagaimanapun, tidak seorang ulama peringkat Wali Allah di Mekah mahu membuka rahsia itu kepada murid-muridnya. Ketika Tok Kenali sampai di Mekah, Syeikh Ahmad al-Fathani telah mengetahui pemuda yang berasal dari Kelantan itu, tetapi sengaja tidak dipedulikannya kerana pada firasat Syeikh Ahmad al-Fathani pemuda Kelantan itu sama ada lekas ataupun lambat akan datang juga kepada beliau.

Dalam masa berbulan-bulan peristiwa seperti di atas, pada satu ketika Tok Kenali mengunjungi halaqah Syeikh Ahmad al-Fathani. Tok Kenali duduk jauh di belakang pelajar-pelajar lain. Syeikh Ahmad al-Fathani telah mempersiapkan sekurang-kurangnya tiga kemusykilan atau masalah, yang pada pemikiran Syeikh Ahmad al-Fathani tidak akan dapat dijawab oleh siapa pun yang hadir dalam majlis pengajiannya, kecuali seseorang itu memiliki pandangan ‘kasyaf’ ataupun telah memperoleh ‘ilmu ladunni’.

Sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani melemparkan pengujian atau pertanyaan kepada semua pelajar, Tok Kenali seperti orang tidur-tidur saja. Semua pelajar terdiam, tidak seorang pun berkemampuan menjawab masalah yang dikemukakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Tiba-tiba Syeikh Ahmad al-Fathani menyergah pemuda Kelantan yang sedang tidur. Pemuda itu terkejut. Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruhnya supaya datang ke hadapan duduk bersama beliau. Disuruhnya pemuda Kelantan itu menjawab masalah ujian yang dikemukakan lalu semuanya dijawab dengan sejelas-jelasnya.

Setelah peristiwa itu Tok Kenali menjadi murid yang paling mesra dengan Syeikh Ahmad al-Fathani. Bahkan Tok Kenali menjadikan dirinya sebagai ‘khadam’ kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Seluruh gerak dan diam Tok Kenali hanyalah berkhidmat kepada gurunya itu, kerana diketahuinya bahawa seluruh kerja Syeikh Ahmad al-Fathani semata-mata untuk kepentingan agama Islam dan bukan kepentingan peribadinya. (Cerita yang sama juga didengar daripada Tuan Guru Haji Mahmud bin Yusuf Juani di Pondok Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970. Beliau ialah murid Tok Bermin, sahabat Tok Kenali).

Hampir semua murid Tok Kenali yang pernah saya temui meriwayatkan bahawa orang yang pernah belajar dengan Tok Kenali semuanya mendapat kedudukan dalam masyarakat. Apabila seseorang murid itu lebih berkhidmat kepada beliau maka ternyata akan lebih pula ilmu yang diperolehnya. Demikian juga kedudukan dalam masyarakat. Yang dimaksudkan berkhidmat di sini ialah ada yang pernah menyiram Tok Kenali ketika mandi. Bahkan ada murid yang pernah membasuh beraknya sesudah buang air besar.

Murid yang sampai kepada kedua-dua peringkat ini saja yang menjadi ulama besar, antara mereka termasuk Syeikh Idris al-Marbawi dan Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti. (Sumber cerita ini daripada murid beliau, Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, Mufti Mempawah, yang didengar pada tahun 1969 di Mempawah; Tuan Guru Haji Mahmud di Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970; Qadhi Haji Wan Ismail bin Hawan di Jala pada tahun 1970; Tuan Guru Haji Abdur Rahim Kelantan di Mekah pada tahun 1979, dan masih ada yang lain yang belum perlu disebutkan.)

Walaupun telah diketahui umum Tok Kenali berasal dari Kelantan tetapi sewaktu saya mengembara ke negeri Caiyya (nama asalnya Cahaya) yang terletak jauh ke Utara Patani dan Senggora, orang tua-tua bercerita bahawa asal usul datuk nenek Tok Kenali adalah dari Cahaya. Diriwayatkan ada dua atau tiga kali Tok Kenali pernah datang ke negeri Cahaya. Setiap kali Tok Kenali datang beliau dimuliakan orang. Tempat yang menjadi laluan Tok Kenali dihamparkan dengan kain kuning, demikian juga tempat duduknya. Orang ramai datang berduyun-duyun menziarahi Tok Kenali kerana mengambil berkat keramatnya. Ada orang tertentu yang didoakan oleh Tok Kenali ternyata dikabulkan oleh Allah sebagaimana doa yang beliau ucapkan (riwayat ini didengar di Caiya (Cahaya) pada 1992).

Penulisan

Penglibatan Tok Kenali dalam penulisan adalah sebagai bukti beliau seperti juga ulama-ulama terkenal lainnya. Beliau ialah Ketua Pengarang majalah Pengasuh yang pertama ketika majalah itu mula-mula diterbitkan. Dari sini dapat kita buktikan bahawa majalah Pengasuh merupakan majalah Islam yang paling lama dapat bertahan di Nusantara. Majalah Pengasuh masih kekal diterbitkan hingga sekarang ini (1427 H/2006 M) oleh Majlis Agama Islam Kelantan. Semua majalah Islam di Nusantara yang diterbitkan peringkat awal, bahkan termasuk yang agak terkebelakang, semuanya tidak diterbitkan lagi.

Karya-karya Tok Kenali yang ditulis dalam bentuk risalah atau kitab pula antaranya ialah Risalatud Durril Mantsur, yang selesai ditulis pada bulan Jumadil Akhir 1310 H/Disember 1892 M. Kandungannya merupakan terjemahan dan penjelasan fadhilat Burdah Bushiri. Dicetak dalam bentuk huruf batu/litografi oleh Syeikh Abdullah Mujallid, Mekah pada Jumadilakhir 1310 H.

Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu sharaf pula ialah Madkhal Kamil fi 'Ilmis Sharfi, selesai penulisan pada 15 Rabiulawal 1351 H. Kandungan merupakan karya tashhih tentang ilmu sharaf. Kemungkinan maksud daripada gurunya Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu karya berjudul Abniyatul Asma' wal Af'al. Dicetak oleh Mathba'ah al-Asasiyah al-Kalantaniyah atas perbelanjaan Haji Wan Daud bin Haji Wan Sufyan.

Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu nahu pula ialah Mulhiq li Miftahit Ta'allum fi I'rabi Matnil Ajrumiyah wal Amtsilah 'ala Ratbih, selesai penulisan pada 29 Sya’ban 1354 H. Membicarakan ilmu nahu merupakan huraian kitab Matn al-Ajrumiyah. Kitab ini dikumpulkan atau ditulis kembali oleh salah seorang muridnya iaitu Tuan Guru Haji Abdullah Thahir bin Ahmad, Bunut Payung. Dicetak oleh Persama Press, Pulau Pinang atas kehendak Tuan Guru Abdullah Thahir bin Ahmad bin Muhammad Zain pada 9 Safar 1356 H

Abdul Qadir Tuan Minal ulama dan ayah seorang pejuang  

Posted

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

SYEIKH Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani (Tuan Minal) termasuk salah seorang ulama yang diminati ramai umat Islam di dunia Melayu. Ada e-mel yang saya terima meminta saya menulis tentang beliau.

Sebenarnya latar belakang ulama ini telah dimuatkan dalam halaman Agama Utusan Malaysia pada 18 Oktober 2004. Ulama yang telah ditulis mengenai dirinya tidak perlu ditulis ulang. Namun yang masih perlu disambung adalah mengenai keturunannya yang menjadi ulama.

Lima anak laki-laki Tuan Minal al-Fathani tercatat dalam sejarah menjadi ulama belaka. Salah seorang antara mereka ialah Syeikh Abdul Qadir bin Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani. Syeikh Abdul Qadir al-Fathani ialah seorang ulama. Beberapa anak dan keturunan beliau pun ramai yang menjadi ulama.

Salah seorang antara anak beliau yang menjadi ulama dan sangat besar pengaruhnya bagi umat Islam Patani ialah Haji Sulong al-Fathani. Hampir-hampir tidak terdapat seorang pun orang Islam yang berasal dari Patani yang tidak pernah mendengar sebutan nama Haji Sulong. Beliau diakui oleh masyarakat Patani sebagai Bapa Perjuangan Patani. Daripada keabadian sejarah inilah dijadikan keterangan judul artikel ini iaitu Abdul Qadir Tuan Minal: Ulama dan Ayah Seorang Pejuang.

Adik-beradik Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani semuanya sempat menerima pendidikan langsung daripada Tuan Minal sendiri sama ada di Pondok Patani mahupun di pondok Sungai Dua, Seberang Perai.

Mereka ialah Haji Daud, Haji Abdul Qadir (yang sedang diriwayatkan), Haji Muhammad Soleh, Haji Umar, Haji Hasan dan Hajah Fatmah.

Antara mereka yang paling terkenal ialah Haji Muhammad Soleh al-Fathani yang menghasilkan sebuah kitab tentang tajwid judul Sirajul Qari yang tersebar di seluruh dunia Melayu. Haji Muhammad Soleh al-Fathani wafat di Mekah pada pagi hari Rabu, pukul 11 pagi, 15 Zulhijjah 1308 H/1890 M. Tetapi pada cetakan 1331 H/1912 M oleh percetakan yang sama, dinyatakan bahawa pengarangnya wafat pada tahun 1309 H/1891 M.

Syeikh Haji Muhammad Soleh al-Fathani juga menggubah untaian syair bercorak sastera klasik gurindam dalam Kasyful Litsam karya ayahnya, Tuan Minal.

Haji Umar bin Tuan Minal menghasilkan beberapa karya, antaranya Risalah Pada Menyatakan Sebab Jadi Murtad.

Demikian juga saudaranya, Haji Hasan bin Tuan Minal al-Fathani yang menghasilkan penulisan berjudul Pungutan Kanak-Kanak. Haji Hasan mendapat dua anak, yang menjadi ulama bernama Haji Muhammad, dan yang seorang lagi bernama Abdur Rahman. Haji Abdur Rahman ini ialah ayah kepada Ustaz Uthman Fauzi yang mendapat pendidikan di Universiti Azhar, Mesir.

Anak perempuan Tuan Minal al-Fathani juga menurunkan beberapa orang ulama. Hajah Fatmah binti Tuan Minal al-Fathani berkahwin dengan Tuan Guru Haji Abdur Rasyid Bandar Patani. Mereka mendapat anak bernama Ya’qub dan Hajah Khadijah. Khadijah (cucu Tuan Minal al-Fathani) kahwin dengan Tuan Guru Haji Abdul Aziz yang merupakan murid Syeikh Ahmad al-Fathani. Haji Abdul Aziz membuka pondok pengajian. Daripada perkahwinan itu mereka memperoleh anak bernama Haji Abdul Wahhab. Haji Abdul Wahhab bin Tuan Guru Abdul Aziz pernah menjadi Ketua Majlis Agama Islam Patani. Selain itu Haji Abdul Wahhab juga memimpin sebuah pondok pengajian di tempatnya.

PERKAHWINAN DI MUAR

Menurut riwayat, Sultan Abu Bakar dari Johor pada tahun 1296 H/1879 M mulai berkenalan dengan Syeikh Ahmad al-Fathani di Istanbul, Turki. Selanjutnya Syeikh Ahmad al-Fathani pernah datang ke Johor menziarahi beberapa orang muridnya. Salah seorang yang ikut dalam rombongan Syeikh Ahmad al-Fathani ke Johor ialah muridnya Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani. Di Muar, rombongan Syeikh Ahmad al-Fathani ditempatkan di rumah muridnya yang merupakan antara orang yang kaya di Muar pada zaman itu.

Anak orang kaya Muar itu yang bernama Shafiyah dikahwinkan dengan Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani. Shafiyah kemudian lebih dikenali dengan nama Mik Muar saja di Patani. Perkahwinan itu memperoleh tujuh orang anak. Haji Sulong ibunya bukan Mik Muar tetapi adalah daripada isteri Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani yang berasal dari Kelantan.

Setelah Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani kahwin dengan Mik Muar, beliau tinggal di Muar selama beberapa tahun dan sempat mengajar berjenis-jenis kitab di Muar dan tempat-tempat lain di Johor. Daripada perkahwinan Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani dengan Mik Muar, tersebarlah ramai keturunannya di Patani dan Kelantan. Namun mereka terputus maklumat kekeluargaan dengan keluarga Mik Muar yang berada di Muar.

Cukup sukar bagi saya menjejaki kewarisan keluarga tersebut yang berada di Muar kerana orang kaya Muar (ayah Mik Muar) yang dimaksudkan nama beliau tidak diketahui oleh keturunannya yang berada di Patani. Yang mereka ceritakan hanya rumahnya di seberang sungai Muar merupakan rumah yang paling besar di Muar, berpagar tinggi dan mempunyai pintu gerbang yang bertanda anak kunci besar di atas pintu gerbang itu.

Rumah tersebut kemungkinan sudah tiada lagi kerana Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani berkahwin di Muar sekitar 80 atau 90 tahun lalu. Melalui artikel ini saya minta bantuan siapa saja yang mengetahui tentang kewarisan ini supaya menghubungi saya dengan tujuan menghubungkan kembali silaturahim yang telah terputus dan sekali gus dapat menyelesaikan banyak masalah selain memberikan penulisan sejarah yang lebih jelas.

Menurut riwayat, Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani telah berkahwin beberapa kali. Yang dapat dipastikan menjadi ulama ialah Haji Sulong dan Haji Abdur Rahim. Perkahwinan Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani dengan Shafiyah (Mik Muar) memperoleh tujuh anak iaitu Zainab, Maryam, Abdullah, Muhammad Nur, Khadijah, Mahmud dan Fatimah. Riwayat Haji Sulong akan saya bicarakan dalam artikel tersendiri menerusi tulisan lain dalam halaman Agama Utusan Malaysia, tetapi kerana terdapat sedikit kemusykilan nama beliau maka di sini dirasakan perlu saya memberi sedikit keterangan.

Karya-karya Haji Sulong semuanya menggunakan nama Haji Muhammad Sulum bin Abdul Qadir bin Muhammad al-Fathani. Dalam penelitian saya dan selepas berbahas dengan beberapa ahli keluarga ini, antaranya Haji Muhammad Amin bin Haji Sulong, Hajah Nik Wan Nafisah isteri Abdullah bin Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani, bahawa memang tidak terdapat anak Syeikh Zainal Abidin (Tuan Minal) al-Fathani bernama Muhammad.

Kami berkesimpulan bahawa munculnya nama ‘Muhammad’ yang dikatakan ayah kepada Syeikh Abdul Qadir Tuan Minal al-Fathani hingga kini belum diketahui sebab-sebabnya. Kemungkinan ia memang sengaja ditulis oleh Haji Sulong seperti demikian kerana dirujuk kepada Muhammad ayah Tuan Minal sendiri.

Haji Sulong ketika remaja selalu mengikut ayahnya Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani belajar dengan Syeikh Ahmad al-Fathani. Kesan kewibawaan dan kepimpinan Syeikh Ahmad al-Fathani tidak dapat dinafikan sebati dalam diri Haji Sulong. Dapat disimpulkan bahawa Haji Sulong ialah kader politik tempaan Syeikh Ahmad al-Fathani walaupun Haji Sulong ketika itu masih muda.

Haji Sulong ialah kader politik termuda Syeikh Ahmad al-Fathani; yang agak tua sedikit ialah Nik Mahmud bin Ismail Kelantan, yang kemudian setelah pulang ke Kelantan dikenali sebagai Datuk Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan.

Haji Sulong ialah seorang ulama besar Patani pada zamannya. Beliau merupakan pembangkit Revolusi Patani Merdeka pada zaman moden Pada zaman Perang Dunia Kedua. Pergerakan ulama Patani yang membuat tuntutan kemerdekaan, yang Haji Sulong dilantik sebagai ketuanya, dinamakan Hai-atun Nafaz al-Ahkam asy-Syar'iyah.

Mengenai kisah keulamaan dan ketokohan Haji Sulong yang hilang tanpa diketahui di mana kuburnya itu akan dibicarakan dalam satu siri tersendiri yang lebih lengkap.

Saya mula berkenalan dengan Haji Muhammad Amin bin Haji Sulong sejak tahun 1970. Banyak perkara yang dibicarakan terutama tentang sejarah ulama.

Beberapa tahun sebelum Haji Muhammad Amin meninggal dunia, selama dua hari dua malam kami sama-sama berada di rumah Abdullah Syam di Kota Bharu, Kelantan. Abdullah Syam juga ialah salah seorang cucu Syeikh Abdul Qadir Tuan Minal al-Fathani daripada isterinya Mik Muar.

Daripada Haji Muhammad Amin, saya memperoleh riwayat yang lengkap tentang Haji Abdur Rahim bin Syeikh Abdul Qadir Tuan Minal al-Fathani. Menurut Haji Muhammad Amin, Haji Abdur Rahim ialah seorang ulama besar yang sukar kita bandingkan pencapaian keilmuannya dengan Haji Sulong. Haji Abdur Rahim pernah menjadi Penolong Kadi di Pulau Pinang, pernah mengajar di Pulau Dua dalam Burma (sekarang Myanmar) dan pernah membuka pondok pengajian di Phuket, Thailand. Beliau juga pernah mengajar di Pasir Mas, Kelantan dan mengajar di Kampung Sirih Jabat, Patani.

Haji Abdur Rahim al-Fathani mendapat pendidikan daripada abangnya Haji Sulong dan selanjutnya belajar di Mekah. Berbeza dengan Haji Sulong yang sempat meninggalkan beberapa karya, Haji Abdur Rahim tidak diketahui sama ada beliau meninggalkan karya atau tidak.

Anak Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani yang perempuan daripada isterinya Shafiyah (Mik Muar) ialah Hajah Zainab yang berkahwin dengan seorang alim bernama Haji Daud yang membuka pondok pengajian di Legor, Thailand. Saudaranya yang lain bernama Hajah Maryam. Beliau ialah seorang ahli dalam bacaan al-Quran dan mengajar al-Quran termasuk hukum-hukum tajwid.

Anak beliau yang laki-laki pula ialah Abdullah. Beliau bukan seorang ulama tetapi menjadi Blat (Ketua Pemerintahan) di Daerah Penarik. Blat Abdullah berkahwin dengan Hajah Wan Nafisah bin Qadhi Haji Wan Ismail Jambu al-Fathani. Sama ada Blat Abdullah mahupun isterinya, Hajah Wan Nafisah (saudara sepupu saya), yang saya mula mengenali mereka pada tahun 1970, saya banyak mendengar pelbagai kisah mengenai keluarga besar yang diriwayatkan ini.

Walaupun Blat Abdullah ialah adik-beradik seayah dengan Haji Sulong, beliau tidak bercerita banyak tentang abangnya itu, kemungkinan berasa takut dengan pihak-pihak tertentu dalam kerajaan Thailand. Ia jauh berbeza dengan Haji Muhammad Amin, anak Haji Sulong sendiri. Haji Muhammad Amin tidak pernah berasa takut kepada siapa pun ketika menceritakan tentang peristiwa ayahnya Haji Sulong yang hilang secara misteri itu.

Haji Muhammad Amin berhasil menerbitkan wasiat terakhir Haji Sulong dalam sebuah karya yang diberi judul Gugusan Cahaya Keselamatan yang selesai ditulis semasa dalam penjara di Legor pada 3 Zulkaedah 1368 H/28 Ogos 1949 M. Karya ini sangat penting bagi bangsa Melayu-Patani. Cetakan pertama diterbitkan pada tahun 1377 H/1958 M.

Tok Ku Paloh Al-Aidrus pejuang Islam dan bangsa Melayu  

Posted

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

Pahlawan Datuk Bahaman pernah meminta perlindungan daripada Tok Ku Paloh Al-Aidrus.


DALAM halaman Agama Utusan Malaysia keluaran Isnin lalu, nama Tok Ku Paloh ada disebutkan. Peranan penting ayah beliau, Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar di Terengganu, dilanjutkan pula oleh Tok Ku Paloh.

Beberapa riwayat tulisan yang terdahulu daripada ini, termasuk percakapan lisan, ada memperkatakan tentang sumbangan tersebut. Bagaimanapun, saya menemui beberapa dokumen yang menunjukkan Tok Ku Paloh bukan berpengaruh di Terengganu saja, tetapi juga di Patani.

Hubungan beliau sangat erat dengan Haji Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu Kadi Jambu. Walau bagaimanapun, Haji Wan Ismail al-Fathani (lahir 2 Jamadilawal 1304 H/27 Januari 1887 M) dari segi perbandingan umur adalah peringkat cucu kepada Tok Ku Paloh (lahir 1233 H/1818 M).

Tahun lahir Tok Ku Paloh itu sama dengan tahun lahir Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani (lahir 1233 H/1817 M). Beliau ini ialah datuk kepada Haji Wan Ismail al-Fathani. Hubungan antara Haji Wan Ismail al-Fathani, Kadi Jambu, dengan Tok Ku Paloh hanyalah kesinambungan hubungan yang terjalin sejak zaman datuknya itu, dan meneruskan hubungan antara Tok Ku Paloh dengan ayah beliau, iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani.

Darah perjuangan Tok Ku Paloh dalam memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu tidak dapat dinafikan mempunyai kesan tersendiri dalam tubuh Syeikh Ahmad al-Fathani. Isu kemaslahatan Islam dan bangsa Melayu yang menghadapi pelbagai masalah penjajah pada zaman itu perlu dilihat dalam konteks hubungan antara Syeikh Ahmad al-Fathani, Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III, Terengganu.

Tok Ku Paloh dirahmati berumur panjang. Beliau meninggal dunia pada bulan Zulhijjah 1335 H/September 1917 M. Bererti ketika meninggal dunia Tok Ku Paloh berusia sekitar 102 tahun menurut perhitungan tahun hijrah atau 100 tahun menurut tahun masihi.

Nama penuh beliau ialah Saiyid Abdur Rahman bin Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus. Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus mempunyai beberapa nama gelaran, yang paling popular ialah Tok Ku Paloh. Gelaran lain ialah Engku Saiyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan Syaikh al-Islam Terengganu. Tok Ku Paloh mempunyai beberapa orang adik-beradik. Ada yang seibu sebapa dan ada juga yang berlainan ibu. Adik-beradik kandung Tok Ku Paloh ialah Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus yang digelar dengan Engku Saiyid Seri Perdana, Saiyid Ahmad al-Aidrus digelar Tok Ku Tuan Ngah Seberang Baruh dan Saiyid Mustafa al-Aidrus yang digelar Tok Ku Tuan Dalam.

Beliau ialah seorang ulama dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Adik-beradiknya selain yang disebut itu ialah Tuan Embung Abu Bakar atau digelar dengan nama Tuan Embung Solok atau Tok Ku Tuan Kecik, Tuan Nik (Senik). Antara nama-nama tersebut, ramai yang memegang peranan penting dalam Kerajaan Terengganu tetapi nama yang paling masyhur ialah Tok Ku Paloh.

Pendidikan

Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus atau Tok Ku Paloh berketurunan ‘Saiyid’. Oleh itu sudah menjadi tradisi keturunan itu untuk lebih mengutamakan usaha mempelajari ilmu-ilmu daripada orang yang terdekat dengan mereka. Ayah beliau, Saiyid Muhammad al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar, pula merupakan seorang ulama besar yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam urusan Islam di Terengganu. Dapat dipastikan Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus telah belajar pelbagai bidang ilmu daripada orang tuanya sendiri.

Hampir semua orang yang menjadi ulama di Terengganu pada zaman itu memperoleh ilmu melalui jalur daripada ulama-ulama yang berasal dari Patani. Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus, selain belajar daripada ayahnya, juga berguru dengan Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin al-Fathani atau Tok Syeikh Duyung (lihat Utusan Malaysia, Isnin, 6 Mac 2006).

Saiyid Muhammad al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar dan Tok Syeikh Duyung bersahabat baik dan sama-sama belajar daripada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani di Bukit Bayas, Terengganu. Mereka juga sama-sama belajar dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani di Mekah.

Dalam artikel ini saya terpaksa menjawab satu e-mel dari Brunei Darussalam yang bertanyakan apakah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani berketurunan Nabi Muhammad s.a.w.? Sepanjang dokumen yang ditemui ada tulisan meletakkan nama ‘Wan’ pada awal nama beliau. Ada saudara pupu saya di Mekah memberi maklumat bahawa beliau menemui satu catatan Syeikh Ismail al-Fathani (Pak De 'El al-Fathani) bahawa ulama Patani itu juga berketurunan marga ‘al-Aidrus’.

Sejak dulu saya mengetahui ada catatan lain menyebut hal yang sama bahawa Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani di Bukit Bayas, Terengganu juga termasuk marga ‘al-Aidrus’. Dengan keterangan ini bererti antara ulama Patani dengan ulama Terengganu yang diriwayatkan ini selain ada hubungan keilmuan mereka juga ada perhubungan nasab.

Perjuangan

Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus (Tok Ku Paloh) melanjutkan pelajarannya di Mekah. Di sana beliau bersahabat dengan Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani (kelahiran Sungai Duyung Kecil, Terengganu) dan ramai lagi. Antara orang yang menjadi guru mereka di Mekah ialah Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.

Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus setelah pulang dari Mekah memusatkan aktivitinya di Kampung Paloh, Terengganu. Menurut Muhammad Abu Bakar, Kampung Paloh didatangi orang daripada pelbagai jurusan, bukan saja dari sekitar Kuala Terengganu, tetapi juga dari Kelantan, Pahang dan Patani (Ulama Terengganu, hlm. 181). Diriwayatkan bahawa salah seorang murid Tok Ku Paloh ialah Sultan Zainal Abidin III. Riwayat lain pula mengatakan antara muridnya yang terkenal dan menjadi pejuang antipenjajah ialah Haji Abdur Rahman Limbung dan Tok Janggut.

Tok Ku Paloh ialah ulama yang tidak takut menanggung risiko tinggi dalam perjuangan demi mempertahankan Islam dan bangsa Melayu. Beliau melindungi pejuang-pejuang Islam dan Melayu yang bermusuh dengan penjajah Inggeris pada zaman itu. Semangat jihadnya sungguh indah, menarik dan ada hembusan segar seperti yang diriwayatkan oleh Muhammad Abu Bakar.

Katanya: “Dalam Perang Pahang, penentang-penentang British yang dipimpin oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau hampir-hampir menyerah diri setelah mengalami tekanan daripada kerajaan.

“ Pada Mei 1894, mereka menghubungi Tok Ku Paloh, dan mendapat simpati daripada ulama tersebut. Ini bukan sahaja memberi nafas baru kepada perjuangan mereka, tetapi mereka juga diberi perlindungan di Paloh serta diajar ilmu untuk menentang musuh mereka di Pahang. Hugh Clifford dalam pemerhatiannya mengatakan Tok Ku Paloh telah menyeru pahlawan-pahlawan itu melancarkan perang jihad.

“Hasil semangat baru yang diperoleh daripada Tok Ku Paloh, serta penambahan kekuatan, pasukan pahlawan menjadi lebih besar dan tersusun.” (Ulama Terengganu, hlm. 184)

Daripada riwayat ini, kita dapat mengambil iktibar berdasarkan peristiwa dunia terkini bahawa ramai tokoh Islam menjadi pejuang Islam dan bangsanya, dan ramai pula yang menjadi pengkhianat. Afghanistan, Iraq, Palestin dan Lebanon menjadi sasaran bom yang dilancarkan oleh bangsa-bangsa bukan Islam. Ada ramai pejuang Islam di sana. Pengkhianat pun banyak. Bangsa kita, bangsa Melayu yang beragama Islam, patut mencontohi perjuangan bijak Tok Ku Paloh. Janganlah ada manusia Melayu yang khianat terhadap agama Islam dan bangsanya.

Tok Ku Paloh sangat berpengaruh terhadap murid dan saudara ipar beliau iaitu Sultan Zainal Abidin III. Beberapa pandangan dan nasihat Tok Ku Paloh kepada Sultan Zainal Abidin III tentang pentadbiran kerajaan banyak persamaan dengan surat-surat dan puisi Syeikh Ahmad al-Fathani kepada Sultan Terengganu itu. Semasa Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III masih hidup, Inggeris tidak berhasil mencampuri pentadbiran negeri Terengganu.

Tok Ku Paloh wafat pada bulan Zulhijjah 1335 H/September 1917 M dan Sultan Zainal Abidin III mangkat pada 22 Safar 1337 H/26 November 1918 M. Sesudah itu, tepat pada 24 Mei 1919 M barulah Inggeris dapat mencampuri kerajaan Terengganu.

Penulisan

Ahli sejarah, Datuk Misbaha ada menyebut bahawa risalah 'Uqud ad-Durratain adalah karya Tok Ku Tuan Besar, berdasarkan cetakan tahun 1950 oleh ahli-ahli Al-Khair dan cetakan pada tahun 1978 oleh Yayasan Islam Terengganu (Pesaka, hlm. 91). Tetapi pada cetakan yang jauh lebih awal berupa selembaran dalam ukuran besar yang diberi judul Dhiya' 'Uqud ad-Durratain, ia merupakan karya Tok Ku Paloh. Tertulis pada cetakan itu, “Telah mengeluar dan mengecapkan terjemah ini oleh kita as-Saiyid Abdur Rahman bin Muhammad bin Zain bin Husein bin Mustafa al-Aidrus....”

Di bawah doa dalam risalah itu dinyatakan kalimat, “Tiada dibenarkan sekali-kali siapa-siapa mengecapkan terjemah ini melainkan dengan izin Muallifnya dan Multazimnya Ismail Fathani. Tercap kepada 22 Ramadan sanah 1335 (bersamaan dengan 11 Julai 1917 M).”

Yang dimaksudkan Ismail Fathani pada kalimat ini ialah Kadi Haji Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fathani. Risalah cetakan ini saya terima daripada salah seorang murid Haji Wan Ismail Fathani.

Beliau menjelaskan bahawa risalah itu diajarkan di Jambu, Patani secara hafalan. Orang yang menyerahkan risalah itu bernama Nik Wan Halimah yang berusia lebih kurang 78 tahun (Oktober 2000). Ketika beliau menyerahkan risalah itu kepada saya, beliau masih hafal apa yang termaktub dalam risalah itu.

Kemuncak penulisan Tok Ku Paloh yang sering diperkatakan orang ialah kitab yang diberi judul Ma'arij al-Lahfan. Sungguhpun kitab ini sangat terkenal dalam kalangan masyarakat sufi sekitar Terengganu, Kelantan dan Pahang namun ia belum dijumpai dalam bentuk cetakan.

Saya hanya sempat membaca tiga buah salinan manuskrip kitab itu. Ilmu yang terkandung di dalamnya adalah mengenai tasawuf.

Sebagaimana telah disebutkan, Tok Ku Paloh ialah seorang pejuang Islam dan bangsa. Beliau ialah penganut Thariqat Naqsyabandiyah.

Antara anak Tokku Paloh ialah Saiyid Aqil bin Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus. Beliau inilah yang bertanggungjawab mentashhih dan menerbitkan kitab nazam Kanz al-Ula karya datuknya, Tok Ku Tuan Besar, terbitan Mathba'ah al-Ahliyah Terengganu, 1347 H.

Saiyid Muhammad Al-'Aidrus Bapa Kesusasteraan Melayu Terengganu  

Posted

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

BERTIMBUN-TIMBUN e-mel tentang ulama nusantara yang saya terima dari pelbagai tempat termasuk dari Indonesia, Brunei Darussalam dan lain-lain. Ada beberapa e-mel itu meminta saya perkenalkan Tok Ku Paloh.

Sebelum saya menulis tentang ulama Terengganu yang terkenal itu rasanya perlu saya perkenalkan tentang orang tua beliau yang tidak kalah pentingnya.

Nama lengkapnya ialah Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal 'Abidin al-'Aidrus, selanjutnya disingkat dengan Saiyid Muhammad al-'Aidrus saja. Nama gelar ialah Tokku Tuan Besar. Saiyid Muhammad al-'Aidrus lahir pada 21 Rejab 1209 H/12 Februari 1795 M dan wafat pada malam Isnin, 17 Muharam 1295 H 21 Januari 1878 M. Ada perbezaan dua maklumatnya saya dapati jika dibandingkan dengan salasilah yang lain. Ada yang menulis bahawa ayah Saiyid Zainal 'Abidin al-'Aidrus bernama Saiyid Syeikh bin Saiyid Mustafa al-'Aidrus.

Berdasarkan catatan Kadi Haji Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fathani (maklumat pertama), dikatakan bahawa ayah Saiyid Zainal 'Abidin al-'Aidrus bernama Saiyid Husein bin Saiyid Mustafa al-'Aidrus. Maklumat pertama ini sama benar dengan salasilah yang saya peroleh daripada Saiyid 'Abdur Rahman di Kuala Terengganu (Sabtu 12 Jamadilakhir 1411H/29 Disember 1990). Yang berbeza hanyalah antara nama Saiyid Syeikh dengan nama Saiyid Husein saja.

Dapat disimpulkan bahawa moyang Saiyid Muhammad al-'Aidrus ialah Saiyid Mustafa al-'Aidrus yang kuburnya terletak di Cabang Tiga, Kuala Terengganu bertarikh 1207 H/1792 M. Beliau digelar Tok Ku Makam Lama. Mulai dari sini hingga kepada beberapa tapisan, keturunannya menjadi tokoh-tokoh besar dan penyebar-penyebar Islam yang terkenal di Terengganu khususnya dan pantai timur Semenanjung umumnya.

Oleh sebab Saiyid Muhammad al-'Aidrus ialah cicit Saiyid Mustafa al-'Aidrus maka Tok Ku Paloh (Saiyid 'Abdul Rahman al-'Aidrus) adalah termasuk salah seorang keturunan ulama zuriat Nabi Muhammad s.a.w.. Tok Ku Paloh lahir pada tahun 1233 H/1818 M atau riwayat lain menyebut lahir 1236 H/1820 M, wafat Zulhijjah 1335 H/September 1917 M. Riwayat Tok Ku Paloh tidak dipanjangkan dalam keluaran ini. Ia akan dibicarakan dalam siri yang lain.

Datuk Misbaha dalam Pesaka, cetakan pertama 1983 hlm. 87, menggelar Saiyid Muhammad al-'Aidrus sebagai ‘Pelopor dan Bapa Kesusasteraan Melayu Terengganu’. Daripada gelaran itu saya jadikan judul artikel ini. Dalam praktik penyelidikan lapangan saya di Terengganu, Kelantan dan Patani yang ada kaitan dengan tokoh dan ulama ini, saya mendapat beberapa maklumat berupa sebuah salasilah, yang diperoleh daripada keturunan Tokku Melaka. Beberapa manuskrip asli karya Saiyid Muhammad al-'Aidrus, dan beberapa jenis bahan-bahan yang telah diterbitkan juga telah diperoleh.

Manuskrip itu saya peroleh daripada keturunan ulama Patani. Ulama Patani itu ialah sahabat kepada Saiyid Muhammad al-'Aidrus. Bahan-bahan tersebut menjadi asas artikel ini, dan saya bandingkan dan disesuaikan dengan beberapa tulisan Datuk Misbaha dan Mohammad bin Abu Bakar yang telah mendahului artikel ini.

Pendidikan

Ketika masih kecil Saiyid Muhammad al-'Aidrus mendapat pendidikan keluarga sendiri, kemudian melanjutkan pendidikan pondok daripada Syeikh 'Abdul Qadir bin 'Abdur Rahim Bukit Bayas iaitu seorang ulama besar yang berasal dari Patani. Kemudian beliau melanjutkan pelajarannya ke Mekah dengan Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani. Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani, Bukit Bayas dan Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani.

Kedua-duanya ada hubungan kekeluargaan yang rapat. Walaupun Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani, Bukit Bayas dari segi nasab pangkatnya merupakan ayah saudara tetapi dari segi keilmuan beliau ialah murid Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani. Sama ada semasa berada di Terengganu mahupun setelah di Mekah, Saiyid Muhammad al-'Aidrus bersahabat karib dengan Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Pusin yang berasal dari Kemaman, Terengganu.

Beliau kemudian muncul sebagai ulama yang banyak menyalin pelbagai kitab karya-karya ulama dunia Melayu.

Selain belajar daripada kedua-dua ulama yang berasal dari Patani di atas, manuskrip karya Saiyid Muhammad al-'Aidrus menyebut, beliau pernah belajar daripada Saiyid 'Abdullah bin 'Umar bin Yahya. Saiyid Muhammad al-'Aidrus menyebut ulama ini sebagai, “... persandaranku dan guruku....” Manuskrip tersebut menjelaskan sanad ilmu secara lengkap bahawa guru beliau, Saiyid 'Abdullah bin 'Umar bin Yahya, belajar kepada Saiyid Thahir bin Husein. Beliau belajar daripada Saiyid 'Umar bin Saqaf. Beliau belajar daripada Saiyid Hasan bin 'Abdullah.

Beliau belajar daripada ayahnya Quthbur Rasyad Saiyid 'Abdullah al-Haddad. Beliau belajar daripada Saiyid 'Umar bin 'Abdur Rahman. Beliau belajar daripada Saiyid Husein. Beliau belajar daripada Saiyid Abi Bakar. Beliau belajar daripada Saiyid 'Umar bin Muhammad Ba Syaiban. Beliau belajar daripada Saiyid 'Abdur Rahman bin 'Ali. Kemudian belajar daripada al-Quthub al-'Aidrus Saiyid 'Abdullah. Beliau berguru dengan ayahnya Saiyid Abi Bakar as-Sakran. Beliau belajar daripada ayahnya Saiyid 'Abdur Rahman as-Saqaf. Beliau belajar daripada ayahnya Saiyid Muhammad Maula ad-Dawilah. Beliau belajar daripada ayahnya Saiyid Syeikh 'Ali. Beliau berguru dengan ayahnya Saiyid 'Alawi. Beliau belajar daripada ayahnya Saiyid al-Faqih al-Muqaddam Muhammad bin 'Ali.

Beliau belajar daripada ayahnya Saiyid 'Ali. Beliau berguru dengan ayahnya Saiyid Muhammad Shahib Mirbat. Beliau belajar daripada ayahnya Saiyid 'Ali Khala' Qasam. Beliau belajar daripada ayahnya Saiyidi 'Alawi. Beliau belajar daripada ayahnya Saiyid Muhammad. Beliau belajar daripada ayahnya Saiyid 'Alawi. Beliau berguru dengan ayahnya Saiyid 'Ubaidilah. Beliau belajar daripada ayahnya Saiyid Muhammad al-Muhajir. Beliau belajar daripada Saiyid Muhammad an-Naqib. Beliau belajar daripada ayahnya Saiyid 'Ali ar-Ridha. Beliau belajar kepada ayahnya Saiyid Imam Ja'far as-Shadiq.

Beliau belajar daripada ayahnya Saiyid Imam al-Baqir. Beliau berguru dengan ayahnya Saiyid 'Ali Zainal 'Abidin. Beliau belajar dengan ayahnya Saiyid Husein cucu Rasulullah s.a.w.. Beliau belajar daripada ayahnya Saiyidina 'Ali ibnu Abi Thalib. Beliau belajar kepada penghulu kita Nabi Muhammad s.a.w..

Daripada sanad penerimaan ilmu Saiyid Muhammad al-'Aidrus itu, jelas beliau lebih mengutamakan ilmu yang berasal daripada keluarga ‘Saiyid’, yang beliau sendiri adalah termasuk kepada marga yang mulia itu. Barangkali sangat banyak ilmu pengetahuan yang beliau terima daripada ulama-ulama keturunan Rasulullah dan ulama dunia Melayu terutama yang berasal dari Patani, seperti Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani Bukit Bayas yang telah disebutkan. Oleh sebab itu beliau menjadi ulama besar Terengganu pada zamannya.

Selain bergiat mengajar di surau yang dibinanya di Cabang Tiga, Terengganu, beliau juga ialah Syaikhul Ulama yang diberi gelaran Paduka Raja Indera pada zaman pemerintahan Sultan Umar (1839-1876 M).

Mengenai sanad membaca Shalawat Dalail al-Khairat, beliau menulis: “Maka lagi akan berkata seorang faqir ila rahmatil Rabbil Ghani al-Quddus, as-Saiyid Muhammad ibnu Zainal 'Abidin al-'Aidrus, sesungguhnya telah aku baca akan kitab Dalail al-Khairat serta beberapa orang daripada kami bagi yang menuntut akan keredaan Allah dan Rasul-Nya, sesetengah daripada mereka itu Ahmad anak 'Abdul Halim. Kemudian daripada membaca maka menuntut ia daripada aku [akan] ijazah pada membaca dia. Maka aku ijazahkanlah akan dia seperti orang yang memberi ijazah akan daku dengan yang demikian itu oleh guruku yang terlalu alim, iaitu Syeikh 'Abdul Baqi ibnu almarhum Muhammad Shalih Syi'ab, orang negeri Madinah, daripada kaum Anshari.”

Mengambil ilmu daripada gurunya yang alim lagi 'Allamah, lagi Wali, dengan tiada bantahan, iaitu Saiyid 'Ali ibnu 'Abdul Barri al-Wafa-i, yang Hasan bangsanya dan Syafi'ie mazhabnya.

Ia mengambil daripada gurunya yang alim lagi 'Allamah Maulana as-Saiyid Muhammad Murtadha, yang Hanafi Mazhabnya, Zubeid negerinya, Husein bangsanya.

Ia mengambil daripada gurunya Imam Muhyuddin Nurul Haq ibnu 'Abdullah, yang Hasan bangsanya.

Ia mengambil daripada gurunya as-Saiyid Sa'adud Din ibnu Muhammad.

Ia mengambil daripada gurunya as-Saiyid al-Mu'ammar 'Abdus Syukur yang Husein bangsanya.

Ia mengambil daripada gurunya, yang mengarang ia akan selawat ini, iaitu penghuluku, Muhammad ibnu Sulaiman, al-Jazuli negerinya, Hasan bangsanya. Maka jadilah antaraku dan antara yang empunya karangan, iaitu Muhammad ibnu Sulaiman yang tersebut itu enam keturunan.

Penulisan

Karya-karya Saiyid Muhammad al-'Aidrus yang telah dikenal pasti ialah:

1. Kanzul Ula, saya memiliki manuskrip kitab ini, iaitu salinan nenek saya Hajah Wan Siti Saudah bin Syeikh 'Abdullah al-Fathani. Kitab ini juga terdapat beberapa edisi cetakan oleh al-Mathba'ah al-Ahliyah, Terengganu, 25 Zulhijjah 1347 H, cetakan Mathba'ah al-Aminiah, Singapura, 1353 H, cetakan Mathba'ah Jawi Press, 1938, dan lain-lain;

2. Jauharus Saniyah;

3. 'Uqudu Durrataini fi Tarjamati Kalimataisy Syahadataini;

4. Tuhfatul Wildan;

5. Mukhtashar;

6. Siratun Nabawiyah;

7. Sullamut Taufiq;

8. Targhibus Shibyan;

9. Ahaditsun Nabawiyah mimma Yata'allaqu bil 'Imamatil 'Arabiyah. Saya mempunyai manuskrip kitab ini, yang dinyatakan ia selesai penulisan, “pada hari Selasa yang kedua puluh (tak dapat dibaca) pada tahun 1267, sanah 1267 H (1851 M);

10. Salasilah Ratib al-Haddad diselesaikan pada 25 Ramadan 1267 H/24 Julai 1851 M;

11. Kaifiyat 'Amal Ratib al-Haddad diselesaikan pada 26 Ramadan 1267 H/25 Julai 1851 M.

Syeikh Junid Thala ulama terkenal di Mandailing dan Perak  

Posted

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah


DARI minggu ke minggu, nampaknya para peminat rencana biodata ulama yang diterbitkan dalam Utusan Malaysia terus bertambah. Sebagai bukti, rencana yang akan dibicarakan ini adalah ihsan Tuan Haji Muhammad Rivai Batubara (Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak merangkap Ahli Majlis Fatwa Negeri Perak Darul Ridzuan) yang dikirimkan kepada saya.

Saya menyimpulkan bahawa terdapat jalinan keserasian kerjasama antara penulis, Utusan Malaysia dan para pembaca yang berminat. Oleh itu melalui rencana ini saya ucapkan terima kasih kepada beliau dan Utusan Malaysia.

Setelah saya membaca artikel tentang Syeikh Junid Thala yang dilengkapi dengan bahan-bahan yang dilampirkan maka saya susunkannya kembali. Beberapa perkara yang belum disentuh oleh beberapa penulis tentang Syeikh Junid Thala akan saya utamakan sebagai bahan tambahan. Saya cuba menjelaskan maklumat yang belum jelas. Sebelum melanjutkan bicara, beberapa kertas kerja yang pernah dibentangkan saya senaraikan. Kepada mereka yang melakukan penyelidikan dan penulisan kita patut mengucapkan terima kasih. Judul dan nama penulis adalah sebagai berikut: Ringkasan Kehidupan dan Perjuangan Haji Junid Tola Rangkuti oleh Tan Sri Haji Mohd. Asri; Syeikh Junid Thala (1897-1948) Peranannya Dalam Menggerakkan Kesedaran Masyarakat oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Redzuan Othman; Syeikh Junid: Tokoh Ulama Indonesia - Malaysia oleh Abu Bakar Al-Siddiq; Syeikh Junid Thala: Format Bangunan Gagasan Dakwah Islamiyah oleh Yasir Nasution dan Syeikh Junid Thala: Meninggal Dunia 30 Mac 1948 oleh Haji Muhammad Rivai Batubara.

Pertikaian tempat dan tahun kelahiran Syeikh Junid Thala sebagai berikut, yang menyebut tahun 1878 M, lahir di Tanjung Larangan, Desa Sigantang Kecil, Silaping (disebut oleh Pengumpul/Penyusun Riwayat Hidup, Hutanamale, 18 Februari 1992, hlm. 40).

Buku Sejarah Ulama-Ulama Terkemuka Di Sumatera Utara menyebut bahawa beliau lahir pada tahun 1886 M di Hutadolok, Kenegerian Maga, Kecamatan Kotanopan (hlm. 155). Tahun lahir yang lain pula ialah 1897 M. Berdasarkan surat Haji Muhammad Rivai Batubara kepada saya pada 10 Ogos 2006, dinyatakan bahawa tahun lahir 1897 M itulah yang dipersetujui dalam seminar yang diadakan di Penyabungan pada tahun 2000 anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bekerjasama dengan IAIN Sumatera Utara, Pemerintah Kabupaten Mandailing Natal dan Pengurus Perwakafan Syeikh Al-Juned.

Mengenai pendidikan Syeikh Haji Junid Thala sewaktu beliau masih berada di Sumatera ia tidak perlu dibahaskan lagi kerana sudah cukup jelas. Ada pun mengenai pendidikannya semasa berada di Kedah dan selanjutnya masih banyak ruang kosong yang tidak disentuh oleh para penulis terdahulu. Oleh itu saya lanjutkan sebagai berikut. Dikatakan beliau belajar di Pondok Tuan Guru Haji Cik Doi, Guar Cempedak, Kedah (Tan Sri Haji Mohd. Asri, hlm. 1). Prof. Madya Dr. Mohd. Redzuan Othman pula menulis, “Di Kedah beliau belajar di Pondok Syeikh Ibrahim Gajah Mati dan Pondok Haji Che Doi di Guar Chempedak” (hlm. 12). Yang dimaksudkan dengan Che Doi atau Cik Doi, nama yang sebenarnya ialah Haji Ismail bin Mustafa al-Fathani. Cik Doi sempat belajar dengan Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani (Tok Bendang Daya Pertama). Tetapi setelah Tok Bendang Daya meninggal dunia, Cik Doi belajar daripada Syeikh Wan Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani dan Syeikh 'Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani (Tok Bendang Daya Kedua).

Cik Doi datang ke Kedah membina Pondok Gajah Mati yang kemudian diserahkan kepada menantunya, Syeikh Haji Wan Ibrahim atau Pak Cu Him bin Tok Bendang Daya Kedua. Ada pun Pondok Guar Chempedak dipimpin oleh anak beliau iaitu Haji Husein bin Cik Doi (saudara ipar Pak Cu Him). Syeikh Haji Junid Thala masuk ke Pondok Gajah Mati ketika pondok itu masih dipimpin oleh Haji Ismail bin Mustafa al-Fathani atau Cik Doi hinggalah pondok itu dipimpin oleh Pak Cu Him. Pak Cu Him (lahir 1311 H/1894 M) lebih tua sekitar tiga tahun daripada Syeikh Haji Junid Thala (lahir 1314 /1897 M).

Selisih umur tiga tahun ataupun kadang-kadang seorang murid lebih tua daripada guru adalah lumrah (biasa) dalam dunia pendidikan zaman dulu, bahkan hingga sekarang.

Setelah belajar di Pondok Gajah Mati, Kedah, Syeikh Haji Junid Thala pindah pula ke Madrasah al-Masriyah asy-Syubbaniyah di Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang. Di sini, Syeikh Haji Junid Thala belajar daripada pengasas madrasah itu, iaitu Syeikh Mohd. Salleh al-Masri bin Baqi bin Lundang. Syeikh Mohd. Salleh al-Masri sebelum belajar ke tempat lain pernah belajar dengan Syeikh Abdul Wahhab Rokan di Besilam, Langkat.

Syeikh Abdul Wahhab Rokan pula adalah salah seorang guru Syeikh Haji Junid Thala sebelum beliau belajar di Pondok Gajah Mati, Kedah. Syeikh Mohd. Salleh al-Masri setelah belajar di Besilam belajar pula daripada Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani (penyusun kitab Akidah an-Najin) yang dikenali dengan gelaran Tuan Minal.

Salah seorang guru Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani ialah Syeikh Haji Wan Mustafa bin Muhammad al-Fathani (Tok Bendang Daya Pertama).

Berdasarkan riwayat ini jika kita tinjau daripada sistem pendidikan Islam yang mementingkan sanad bererti Syeikh Haji Junid Thala mendapat dua pendidikan melalui Che Doi Pondok Gajah Mati dan Syeikh Mohd. Salleh al-Masri. Pendidikan itu bertemu pada satu tokoh besar ulama dunia Melayu ialah Syeikh Haji Wan Mustafa (Tok Bendang Daya), Hulubalang Patani, pengasas Pondok Bendang Daya Patani yang sangat terkenal pada zaman dulu.

Diriwayatkan

Setelah memperoleh pendidikan dari Universiti Al-Azhar di Mesir diriwayatkan pula bahawa Syeikh Haji Junid Thala pergi ke Mekah dan belajar daripada Syeikh Abdul Qadir al-Mandaili. Semua penulis yang terdahulu tidak menjelaskan siapakah Syeikh 'Abdul Qadir al-Mandaili yang dimaksudkan. Pada pandangan saya, beliau adalah Syeikh Abdul Qadir bin Shabir al-Mandaili. Seorang lagi ialah Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Muthallib al-Mandaili.

Ketika Syeikh Haji Junid Thala dari Mesir ke Mekah, Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Muthallib al-Mandaili masih belum terkenal. Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Muthallib al-Mandaili lahir pada tahun 1326 H/1908 M. Beliau jauh lebih muda daripada Syeikh Haji Junid Thala yang lahir pada 1314 /1897 M. Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Muthallib al-Mandaili ialah murid Pak Cu Him di Pondok Gajah Mati, Kedah yang tidak sempat belajar dengan Cik Doi, pengasas pondok itu.

Hal ini berbeza dengan Syeikh Haji Junid Thala ketika di Pondok Gajah Mati yang belajar daripada Cik Doi. Pak Cu Him Gajah Mati mengirim Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Muthallib al-Mandaili untuk memperdalamkan ilmu kepada Syeikh Wan Daud bin Mustafa al-Fathani atau Tok Cik Wan Daud (ayah saudara Pak Cu Him) dan Syeikh Wan Ismail bin Abdul Qadir al-Fathani atau Pak De 'El (abang Pak Cu Him). Syeikh Haji Junid Thala ketika berada di Mekah juga sempat belajar dengan Tok Cik Wan Daud al-Fathani (lahir 1283 H/1866 M, wafat 23 Zulhijjah 1354 H/17 Mac 1936 M, dan Pak De 'El al-Fathani (lahir 1300 H/1882 M, wafat 12 Rejab 1385 H/5 November 1965 M). Demikianlah riwayat yang saya dengar di Pondok Gajah Mati.

Ketika Syeikh Haji Junid Thala pulang dari Mesir beliau dilantik sebagai anggota Majlis Ulama Negeri Perak oleh Sultan Iskandar Syah, Sultan Perak Darul Ridzuan ketika itu (lihat Tan Sri Haji Mohd. Asri, hlm. 3). Apabila kita membicarakan aktiviti Syeikh Haji Junid Thala, ia sekurang-kurangnya terbahagi kepada beberapa bahagian. Aktiviti perjuangan ketika selaku pendidik sebelum berangkat ke Mesir. Ketika belajar di Mesir, beliau sempat menjadi imam dan kemudian mengajar di Masjid al-Haram di Mekah.

Setelah kembali ke daerah Mandailing, beliau aktif dalam perjuangan. Peranan yang dijalankan oleh Syeikh Haji Junid Thala di Tanah Mandailing (Indonesia), negeri kelahirannya adalah seimbang dengan perjuangan semasa di perantauan di Perak (Malaysia). Selain mengutamakan perjuangan pendidikan Islam, secara rahsia Syeikh Haji Junid Thala juga terlibat dalam barisan perjuangan kemerdekaan Indonesia. Syeikh Haji Junid Thala adalah seorang tokoh ulama yang anti kolonial Belanda yang menjajah Indonesia ketika itu.

Pemerintah kolonial Belanda pernah mengeluarkan perintah tangkap terhadap Syeikh Haji Junid Thala, namun beliau berjaya berhijrah ke Malaya. Syeikh Haji Junid Thala memusatkan keseluruhan aktivitinya di Kampung Lalang, Padang Rengas. Kemudian Jepun kalah dalam Perang Dunia Kedua menyebabkan Indonesia merdeka. Ketika itulah Syeikh Haji Junid Thala ikut berjuang bersama pejuang-pejuang di Semenanjung Tanah Melayu.

Walaupun para pejuang itu mempunyai pelbagai ideologi politik tetapi mereka bertemu pada satu tekad iaitu Malaya mesti merdeka daripada penjajahan Inggeris ataupun apa jua corak penjajahan yang merupakan penindasan manusia ke atas manusia. Madrasah Diniyah di Kampung Lalang, Padang Rengas yang beliau asaskan pada zaman itu dijadikan tempat berhimpun para tokoh pejuang kemerdekaan. Dalam satu demonstrasi besar-besaran di Kuala Kangsar anjuran API (Angkatan Pemuda Insaf) dan AWAS (Angkatan Wanita Sedar) ternyata Syeikh Haji Junid Thala melibatkan diri dan ada peranan yang tersendiri dalam perjuangan Kemerdekaan.

Kepeloporan Syeikh Haji Junid Thala dalam dunia pendidikan bercorak madrasah di Mandailing (Indonesia) dan Perak dengan sistem pendidikan, pengumpulan dana wakaf yang pelbagai dan lain-lain terlalu panjang untuk dibicarakan. Oleh itu saya tinggalkannya saja kerana telah cukup dengan merujuk kepada tulisan beberapa penulis yang terdahulu.

Penulisan

Sekali lagi saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Tuan Haji Muhammad Rivai Batubara yang mengirim kepada saya salinan karangan Syeikh Haji Junid Thala berjudul Kitab Kaifiyat Mengadakan Waqaf Muslim. Ia ditulis dengan tulisan Melayu/Jawi.

Bahagian kulit depan dinyatakan kitab itu dikarang oleh asy-Syeikh Junid Thala Al-Azhari di dalam negeri Perak pada tahun 1348 H (kira-kira bersamaan dengan 1929 M). Ia dicetak oleh Al-Mathba'ah Al-Marbawiyah dekat Universiti Al-Azhar, Mesir. Kitab itu diberi kata pengantar oleh sahabatnya Syeikh Idris al-Marbawi.

Bertambah nyatalah sejarah ketokohan Syeikh Haji Junid Thala sebagai seorang ulama, kerana dinyatakan oleh Syeikh Idris al-Marbawi sebagai berikut, “Pengarang kitab ini bernama Tuan asy-Syeikh Junid Thala al-Mandaili, seorang daripada orang alim kita (Melayu) yang telah dapat tanda atau surat pengakuan daripada Syeikh al-Islam Mesir, yang ia telah lulus pelajaran beberapa ilmu di dalam sekolah tinggi Azhar. Menghabis ia akan hemahnya di dalam pelajarannya di Azhar lebih daripada tiga tahun. Telah saya nampak dengan mata kepala dan mata hati, payahlah seorang penuntut agama semasanya berhemah sepertinya istimewa orang yang berada di Mesir sekarang pun. Cukup warak dan setia Tuan Syeikh itu masa di Mesir, dan berhati wathani (maksudnya: berjiwa kasih pada tanah air, pen:).”

Syeikh Faqih Ali al-Fathani tokoh pertama menulis sejarah Patani  

Posted

Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

ADA orang bertanya melalui e-mel tentang tulisan saya berhubung Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani. Adakah beliau sama dengan Andi Ali (Pakih Ali) asal usul keturunan ramai kaum raja-raja atau bangsawan di Malaysia, terutama Kelantan, Terengganu dan Patani. Bahawa sumber asal salasilah Andi Ali (Pakih Ali) adalah dimulai dari tulisan Datuk Nik Mahmud bin Ismail, Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan.

Buku karya Datuk Nik Mahmud bin Ismail Kelantan itu diberi judul Ringkasan Cetera Kelantan Mengandungi Silsilah Raja-Raja Dan Tarikhnya. Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani (di Mempawah) adalah lain dari Andi Ali (Pakih Ali) yang diriwayatkan oleh Datuk Nik Mahmud bin Ismail Kelantan. Tetapi Andi Ali (Pakih Ali) ada kemungkinan personaliti yang sama dengan Syeikh Faqih Ali al-Fathani yang dimuat dalam artikel ini.

Walau bagaimanapun Andi Ali (Pakih Ali) ada riwayat mengatakan berasal dari Malabar (India). Riwayat lain menyebut adalah salah seorang anak raja yang berasal dari negeri Bugis (Sulawesi). Anda yang mengirim e-mel dan semua peminat saya ucapkan terima kasih, jawapan akan ditemui dalam artikel ini, sekiranya dibaca dengan cermat dan menghayatinya.

Nama lengkap tokoh dan ulama yang diriwayatkan ini ialah Syeikh Faqih Ali bin Wan Muhammad al-Fathani bin Syeikh Shafiyuddin Tok Raja Faqih al-Abbasi. Beliau adalah cucu salah seorang penyebar Islam peringkat awal di Patani, iaitu Syeikh Shafiyuddin. Syeikh Shafiyuddin adalah salah seorang keturunan Khalifah Bani Abbas yang datang menyebar Islam di Aceh.

Datuk nenek Syeikh Shafiyuddin telah lama tinggal di Aceh, tetapi beliau sendiri meneruskan dakwah ke bumi Patani. Setelah di Patani lalu diberi gelar dengan Tok Raja Faqih. Dalam penelitian saya bahawa Syeikh Shafiyuddin keturunan Bani Abbas adalah sahih sedang versi yang satu lagi, yang menyebut bahawa Syeikh Shafiyuddin adalah anak Faqih Ali al-Malabari atau pun anak Raja Bugis masih diragukan kerana belum cukup hujah.

Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi atau Tok Raja Faqih memperoleh dua orang anak iaitu; Raja Ducang Bukit Jala bergelar Raja Fathani Long Cang. Seorang lagi bernama Wan Muhammad bergelar Orang Kaya Seri Akar Diraja Mahaputeri Bagi Sultan Digalang Ismail Zhillullah fil Alam. Wan Muhammad memperoleh enam orang putera, iaitu; 1. Datuk Pujut (Pujuk Wan Cang, bergelar Raja Luqman). 2. Wan Jaharullah. 3. Ratu Saiburi. 4. Datuk Long Tarat. 5. Syeikh Faqih Ali, yang dibicarakan dalam rencana ini dan 6. Long Yunus.

PANGKAT DAN KEDUDUKAN

Mulai dari Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi, Wan Muhammad dan Syeikh Faqih Ali mempunyai pangkat dan kedudukan yang tinggi dalam kerajaan Fathani Darus Salam. Syeikh Faqih Ali menyandang gelar Datu Maharajalela. Bererti pada zamannya beliau bertugas seperti Perdana Menteri. Anak saudara beliau, iaitu Wan Abdul Lathif bin Raja Luqman bin Wan Muhammad menyandang pangkat Wazaratul Harbiyah (Menteri Pertahanan). Pada tahun 1632 terjadi serangan dahsyat tentera Siam terhadap Patani. Syeikh Faqih Ali al-Fathani atau Datu Maharajalela dan beberapa orang pembesar terpaksa hijrah ke Bugis di Sulawesi Selatan.

Dari sumber tanah Bugis pula, Roeli Sanre dalam Mutiara, 280, 27 Oktober - 9 November 1982, hlm. 30, menulis, “Tahun 1632 pada masa pemerintahan I Mengarangi Daeng Manrabbi, Raja Gowa XIV, datang lagi serombongan raja dari Patani yang dipimpin oleh Datuk Maharajalela membawa dua keponakannya, Paduka Raja dan Puteri Senapati. Kedatangan mereka sekaligus memboyong simbol tahta kerajaan Patani, sebuah bendera emas, yang oleh keturunan Melayu di Ujungpandang, disebut Datuk Buluh Perindu.”

Dalam sepucuk surat dari Bapak Arena Wati (Sasterawan Negara) kepada saya (tahun 1982, sewaktu beliau sebagai Karyawan Tamu Yayasan Sabah), beliau menyebut bahawa khazanah kerajaan Patani yang tersebut masih tersimpan dengan baik oleh kerajaan Bone.

Dari sumber yang lain, Kenallah Sulawesi Selatan juga menyebut perkara yang sama. Bahkan dinyatakan pula bahawa Datu Maharajalela, Patani, menjadi ketua orang-orang Melayu di Sulawesi Selatan. Pada zaman itu ramai orang Melayu yang datang dari pelbagai tempat dari seluruh negeri-negeri Melayu di Makasar. Dari sini dapat kita fahami bahawa Syeikh Faqih Ali atau Datu Maharajalela Patani adalah seorang yang berpengaruh dan berwibawa sehingga beliau dilantik menjadi Ketua Melayu di negeri Bugis itu.

Bahkan bukan hanya itu saja, diriwayatkan bahawa keturunan Syeikh Faqih Ali atau Datu Maharajalela berperanan aktif dalam perang melawan penjajah Belanda di Sulawesi Selatan ketika Sultan Hasanuddin dikepung oleh Belanda di bawah pimpinan Admiral Spelman keturunan pembesar Patani itu bangkit mengadakan perlawanan. Sikap anti penjajah mereka bukan hanya di negeri sendiri saja tetapi juga di negeri perantauan.

Ada riwayat lain yang ceritanya hampir serupa dengan di atas bahawa Datu Mustafa mempunyai anak bernama Ali digelar dengan Tok Koda Bonang. Beliau ini mengembara di tanah Bugis, di Sulawesi Selatan juga. Setelah beberapa lama di tanah Bugis beliau pulang ke Patani pada masa pemerintahan Raja Ungu (1624 - 1635 M). Ali inilah yang dikatakan menggantikan Faqih Ali al-Malabari yang mati terbunuh dalam perang antara Patani dengan Siam tahun 1634. Faqih Ali al-Malabari digelar dengan “Temenggung Seri Paduka”, sedang yang menggantinya digelar dengan Datu Seri Maharajalela.

Versi riwayat lain yang ceritanya hampir serupa pula seperti yang ditulis oleh Datuk Nik Mahmud, Perdana Menteri Paduka Kelantan, kata beliau, “Syahdan pada suatu masa bulan sedang mengambang di tepi langit, tersebutlah anak raja Bugis lari daripada saudaranya menumpang sebuah bahtera sampai ke Johor dan tumpang duduk berkirim diri rumah Laksamana Kota Tinggi, dipanggil Andik Ali.

Tatkala Laksamana memandang kepadanya berasalah kasihan belas dan dipeliharanya sebagai anak angkatnya. Tidak berapa tahun kemudian diperjodohkan dengan anaknya Wan Tija. Tidak berapa lama selepas itu Andik Ali serta dengan isterinya pun beredar ke Patani menumpang di rumah Mekong Damid Bira pada tahun 1049 H (kira-kira bersamaan dengan tahun 1639 M). Maka kerana lemah lembut tingkah lakunya dan berpelajaran, orang di Patani memanggilnya, Faqih Ali. Di situ ia beristeri kepada Cik Dewi anak Seri Biji Diraja. Baginda sampai di Patani kira-kira tahun 1637 H (tahun yang diberikan kemungkinan keliru, seharusnya ialah tahun 1049 H/1639 M).”

Setelah membanding semua kisah di atas dan pelbagai maklumat lain yang tidak dinyatakan di sini, saya menyimpulkan bahawa yang bernama Syeikh Faqih Ali al-Fathani kemungkinan terdapat beberapa orang atau pun hanya seorang saja. Iaitu Syeikh Faqih Ali al-Fathani bin Wan Muhammad bin Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi. Mengenai ini dapat dibuktikan dari hasil karya beliau yang berjudul Tarikh Patani.

TARIKH PATANI

Berdasarkan maklumat dalam manuskrip Tarikh Patani, Syeikh Faqih Ali bin Wan Muhammad bin Syeikh Shafiuddin al-Abbasi sendiri menyebut bahawa kandungan asal Tarikh Patani adalah dari sebuah karya dalam bahasa Arab yang ditulis oleh datuk beliau Syeikh Shafiyuddin Tok Raja Faqih. Syeikh Faqih Ali menterjemah kitab bahasa Arab itu ke bahasa Melayu serta menambah kandungannya dengan beberapa peristiwa yang beliau ketahui. Tarikh Patani karya Syeikh Faqih Ali tersebutlah sejarah Patani yang pertama sekali yang dapat kita pelajari sekarang ini.

Walau bagaimanapun manuskrip yang asli tidak ditemui, yang ada sekarang ialah salinan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Syeikh Daud membuat salinan dalam tahun 1228 H/1813 M. Salinan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani itu disalin pula oleh salah seorang murid beliau ialah Syeikh Wan Muhammad bin Zainal Abidin al-Fathani atau lebih dikenali sebagai Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani. Salinan Syeikh Muhammad Zain itu telah saya perbanyak sama ada dalam bentuk asli mahu pun transliterasi dari tulisan Melayu/Jawi kepada Rumi.

Kata pengantar

Dalam manuskrip Tarikh Patani terdapat dua kata pengantar (mukadimah). Mukadimah yang pertama oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan mukadimah yang kedua oleh pengarangnya, Syeikh Faqih Ali al-Fathani. Di antara tulisan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani pada mukadimah, “Ini suatu risalah aku salin daripada Syeikh Faqih Ali iaitu Tarikh Patani pada zaman lama. Bahawasanya tarikh lama itu boleh kita tahu akan manusia zaman dahulu di negeri ini. Tarikh zaman lama itu tiada ada lagi dikarang di negeri Patani melainkan susunan Tuan Syeikh yang mulia ini. Boleh terhimpunkan dengan sempurna.

“Kefaedahannya ialah boleh mengetahui perihal keadaan orang zaman dahulu hingga sampai ke zaman kita Atau zaman jahil dengan zaman nur ... Boleh kita kenal dan nampak bahawasanya orang Melayu zaman dahulu, apakah duduk dalam tanah bumi ‘Patani’ ini ? Maka negeri lama di tanah Melayu ini ialah di kawasan Kedah dan Patani, dan Senggora, dan Legor. Termasuk juga negeri ‘Cahaya’ (sekarang Cayya) di sebelah hilir. Sekelian zaman purbakala, belum masuk Islam Dan seumpamalah dengan zaman belum zahir negeri Islam di tanah Arab....”

Mukadimah Syeikh Faqih Ali al-Fathani adalah seperti berikut, “Perhamba seorang yang tak berguna, lagi hina, Syeikh Faqih Ali bin Muhammad bin Shafiyuddin dititah oleh sultan banyak kali dah (maksudnya: sudah, pen:) supaya mengarang dan menyusun Tarikh Fathani kerana takut hilang riwayat kisah-kisah purbakala. Dan perhamba pun ikhtiar mengikut titah sultan yang mulia. Bahawasanya sultan memberi riwayat kisah-kisah sangat banyak dan boleh tulisan-tulisan peringatan zuriat-zuriat orang- orang tua titih (maksudnya: keturunan, pen:) Raja Patani asli kurun yang lama. Maka bahasa-bahasa[nya] tiada perhamba mengetahui setengah-setengahnya. Maka adalah seorang Legor agama Budha dia terjemah dapat banyaklah kepada perhamba. Dan raja pun hadiah tanah kepada orang tua itu....”

Setelah itu Syeikh Faqih Ali al-Fathani menyatakan pula, Syahdan ada tulisan bahasa Arabiyah daripada nenek perhamba Syeikh Shafiyuddin, maka bahasa Arabiyah ini perhamba fahamlah dan senanglah ambil maknanya. Dan ada seorang datang dari Bogor, iaitu seorang yang asalnya dari Bogor, Jawa duduk tumpang Sultan Patani. Dan dia tahu bahasa Jawa. Dan banyaklah dia tolong perhamba.

“Perhamba mengucap syukran kepadanya banyak-banyak. Dan lama membuat ini risalah Tarikh Patani, alhamdulillah dengan ditakdirkan Allah Taala hasilnya sekadar perhamba boleh. Dan mana salah itu tentu ada dengannya. Harapkan betul dengan ikhlas sahaja. Kerana salah bagi makhluk tentu ada. Dan perhamba payah sangat-sangat hendak karang ini tarikh....”