Pak Tuan Alim Ambon ulama sufi  

Posted


Haji Abdul Rahman Ambon adalah cucu murid kepada Sheikh Ahmad Khathib As-Sambasi (gambar) dalam bidang tarekat Qadriyah.


Sebelum ini telah dibicarakan sedikit sebanyak sejarah pembinaan Masjid Jamek Sabang Barat. Selain itu, disentuh juga dua orang yang pernah menjadi Imam Masjid Sabang Barat yang pertama dan kedua iaitu al-Fadhil Imam Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar al-Bughurani dan al-Fadhil Imam Haji Abdullah bin Yusuf al-Bughurani.

Selanjutnya diteruskan dengan imam-imam yang lain, antaranya al-Fadhil Imam Haji Abdur Rahman Ambon, al-Fadhil Imam Haji Bujang, al-Fadhil Imam Haji Mat Tali dan al-Fadhil al-Imam Haji Muhammad Mirun.

Haji Abdur Rahman Ambon
Nama lengkap ialah Haji Abdur Rahman bin Haji Muhammad Nur al-Ambuni. Beliau terkenal dengan gelaran 'Pak Tuan Alim Ambon'. Menetap di Mekah dengan belajar sambil mengajar di sana sekitar 40 tahun lamanya.

Banyak tempat yang dipelajarinya, termasuklah daripada ulama-ulama yang pernah mengajar Haji Wan Abdur Rahman bin Haji Abu Bakar, iaitu Imam Masjid Jamek Sabang Barat yang pertama yang pernah dibicarakan.

Penulis berpendapat, sebelum Haji Abdur Rahman Ambon datang ke Pulau Tujuh, beliau pernah mengembara ke Kalimantan Barat, Indonesia. Ini kerana penulis menemui sebuah kitab amalannya bernama Riyadhus Shalihin di Kampung Sungai Bundung, Kabupaten Pontianak, Indonesia. Di bahagian pinggir kitab tersebut telah termaktub nama beliau.

Berkemungkinan besar beliau ke Kalimantan Barat dengan seorang muridnya yang juga seorang ulama besar bernama Haji Muhammad Shalih dari Sarawak. Kubur ulama besar tersebut juga terletak di Sungai Bundung, Kalimantan Barat.

Bahkan dikatakan Haji Abdur Rahman Ambon juga mungkin pernah ke Sarawak, kerana hobinya memang gemar menyebarkan Islam dengan mengembara. Bahkan sebelum ke Midai, beliau pernah mengajar di Pulau Natuna, terutama Pulau Tiga dan Sedanau.

Haji Abdur Rahman Ambon dikenali sebagai seorang ulama ahli sufi dan dikatakan mempunyai beberapa kekeramatan. Diceritakan bahawa pernah terjadi satu kebakaran di Pulau Tiga yang menghabiskan kebanyakan perkebunan kelapa. Maka beliau terus berdiri dan berdoa, lalu secara tiba-tiba sahaja datang angin serta hujan lebat yang secara tidak langsung memadamkan api.

Murid-murid Haji Abdur Rahman Ambon
Murid-murid beliau sangat ramai, baik di Mekah, Kalimantan Barat mahupun Sedanau dan Pulau Tiga, Midai. Bahkan boleh dikatakan hampir kesemua imam Masjid Jamek Sabang Barat selepas beliau adalah muridnya. Mereka ialah:

1. Haji Muhammad Shalih, yang berasal dari Sarawak seperti yang disebutkan. Beliau adalah ulama besar yang menyebarkan Islam di Kalimantan Barat dan Sarawak. Semasa di Pontianak, beliau berkahwin dengan ibu saudara Haji Abdur Rani Mahmud, iaitu seorang ketua Majlis Ulama Kalimantan Barat.

Mengenai beliau ini pernah disentuh oleh penulis tentang sejarah beliau secara terperinci. Haji Muhammad Shalih tersebut meninggal di Kalimantan Barat dan dimakamkan di Sungai Bundung, Indonesia.

2. Haji Bujang, iaitu imam Masjid Jamek Sabang Barat yang keempat.

3. Haji Mat Tali, imam yang kelima.

4. Haji Muhammad Mirun, imam yang keenam.

5. Haji Muhammad Jamin, imam masjid yang ketujuh.

6. Haji Musa, imam yang kelapan.

Mengenai murid-murid beliau yang di tempat lainnya tidak dapat dinyatakan. Ini kerana hanya dapat diketahui bahawa beliau mempunyai ramai murid di pelbagai tempat, tetapi nama-nama mereka tidak dapat dikenalpasti dengan mendalam.

Keturunan
Haji Abdur Rahman Ambon mendapat seorang anak perempuan lalu dikahwinkan dengan murid dan anak angkatnya iaitu Haji Muhammad Mirun. Anak lelakinya juga hanya seorang iaitu Haji Bujang bin Haji Abdur Rahman Ambon.

Tuan Guru Haji Abdur Rahman Ambon meninggal dunia di Midai, Indonesia pada 24 Jamadilakhir 1355 H, dan dikuburkan di Perkuburan Suak Besar, berhadapan bekas Masjid Suak Besar.

Sekembalinya Tuan Guru Haji Abdur Rahman Ambon ke rahmatullah, maka digantikan pula dengan imam yang keempat. Terdapat sedikit pertikaian mengenai imam yang keempat ini, disebabkan banyak pendapat mengenainya.

Menurut penduduk-penduduk Midai, imam Masjid Jamek Midai yang keempat adalah Haji Mat Tali dan ada mengatakan Haji Muhammad Mirun, juga Haji Bujang.

Pun begitu, penulis meletakkan Haji Bujang sebagai imam yang keempat. Ini kerana jarak masa Haji Abdur Rahman Ambon meninggal dunia tidak jauh dengan meninggalnya Haji Bujang. Haji Abdur Rahman meninggal pada 24 Jamadilakhir 1355 H, manakala Haji Bujang meninggal dunia pada hari Rabu, 8 Syawal 1357 H.

Data mengenai imam yang keempat ini adalah berikut, iaitu:

Haji Bujang Bin Haji Ahmad Sulong

Nama lengkap beliau Haji Ali Ahmad bin Haji Ahmad Sulong. Beliau berasal dari Jawa. Menurut keterangan anaknya iaitu Syuamsuddin dari Solo, adalah pada masanya untuk membina, memelihara dan seluruh kemaslahatan Masjid Jamek Sabang Barat sentiasa berunding bersama-sama dengan dua sahabatnya. Mereka ialah:

1. Haji Wan Abdullah bin Haji Wan Abdur Rahman. Beliau adalah selaku Kuasa Ahmadi & Co Midai. Beliau juga adalah nazir Masjid Jamek Sabang Barat.

2. Penghulu Hasyim, iaitu saudaranya yang memang besar pengaruhnya, baik di mata masyarakat mahupun pemerintah.

Sebelum Haji Bujang datang ke Midai, beliau banyak belajar di salah satu pondok pesantren di Jawa. Di Midai pula, beliau turut belajar kepada Haji Abdullah Yusuf dan Haji Abdur Rahman Ambon.

Semasa menjadi imam di Masjid Jamek Sabang Barat, beliau bersama-sama saudara dan sahabatnya juga belajar dengan ulama besar yang datang ke Midai, iaitu Sheikh Umar. Oleh itu, Haji Bujang mempergunakan waktu yang baik itu untuk mendalami pengetahuannya, terutama ilmu tasauf. Sheikh Umar sentiasa berulang alik dari Midai ke Singapura dan Malaysia untuk mengajar.

Selain sebagai imam, Haji Bujang juga seorang pedagang yang berjaya pada zamannya. Beliau berkahwin sebanyak dua kali.

Perkahwinan pertama mendapat anak bernama Haji Ghazali, dan kedua berkahwin di Singapura dengan Fatimah. Melalui perkahwinan kedua mendapat beberapa orang anak iaitu Usman, Haji Ali, Khalid, Ishaq, Hamzah, Syamsuddin, Siti Zalikha, Siti Zauyah, dan Siti Badariyah.

Imam yang kelima iaitu Haji Mat Tali
Mengenai beliau ini penulis tidak mendapat sebarang data. Dan hampir semua orang yang ditemui tidak dapat menjelaskan sebarang data mengenai beliau. Oleh itu, diteruskan dengan imam yang seterusnya, iaitu:

Haji Muhammad Mirun
Dimulai riwayatnya yang begitu mencintai ilmu pengetahuan, lalu mengembara hingga sampai ke negeri Patani.

Pada zaman tersebut, Patani adalah tempat mendidik kader-kader Islam yang datang dari seluruh pelosok Tanah Jawi/Asia Tenggara.

Semua guru pondok di zaman itu telah dididik oleh ulama-ulama Patani di Mekah, iaitu:

1. Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Musthafa al-Fathani

2. Sheikh Muhammad bin Ismail al-Fathani

3. Sheikh Wan Ali bin ABdur Rahman al-Kalantani

4. Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani

5. Dan lain-lain lagi

Pondok-pondok pengajian di Patani yang terkenal pada zaman Haji Muhammad Mirun ke sana adalah berikut:

1. Pondok Burmin

2. Pondok Kelaba

3. Pondok Semala

4. Pondok Kuala Bekah

Tidak dapat diketahui pondok tempat Haji Muhammad Mirun belajar, ini kerana hampir semua yang ditanya tidak dapat memberi keterangan yang lengkap. Namun, yang jelas beliau hanya belajar di Patani. Nama pondok dan gurunya tidak dapat diketahui secara jelas.

Setelah mendalami ilmu pengetahuan, terutamanya ilmu fiqah, usuluddin dan tasauf di Patani, lalu beliau pulang ke Serasan, Indonesia. Maka beliau mula mengajar.

Namun apabila diketahui ada seorang ulama yang baru pulang dari Mekah, beliau berhasrat untuk memperdalam ilmu dengan ulama tersebut, iaitu Tuan Guru Haji Abdur Rahman Ambon. Beliau seolah-olah anak angkat kepada ulama tersebut dan akhirnya, dikahwinkan dengan anak perempuan gurunya itu.

Haji Muhammad Mirun menerima baiah tarekat Qadiriyah, Selawat Dalailul Khairat dan lain-lain amalan daripada Haji Abdur Rahman Ambon itu.

Keturunan
Perkahwinan dengan anak Haji Abdur Rahman Ambon tidak mendapat anak. Lalu berkahwin kali kedua dengan Aisyah binti Kasah, dan mendapat beberapa zuriat iaitu: Usman, Zaharah, Kamariah, Syamsuddi, Sirajuddin, Hasanuddin, Baharuddin, Aminuddin, Azizah dan Syamsu Karnain.

Kembali ke rahmatullah
Haji Muhammad Mirun meninggal dunia di Midai, pada hari Selasa.

Sebelum wafat, beliau berwasiat supaya ditanam di samping gurunya Haji Abdur Rahman Ambon dan wasiat tersebut dijalankan oleh anak-anaknya sebagaimana yang diminta.


Karya bahasa Melayu Sheikh Ahmad al-Fathani  

Posted

Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Saghir Abdullah
PENULIS masih lagi membicarakan mengenai karya-karya Sheikh Ahmad al-Fathani. Sebelumnya penulis menyebut bahawa karya-karya beliau dibahagikan kepada tiga.

Bentuk pertama iaitu tulisan-tulisan beliau dalam bahasa Arab telah dibicarakan. Maka dilanjutkan pula tentang bentuk-bentuk lainnya, iaitu:

1. Tulisan dalam bahasa Melayu

2. Kitab-kitab yang ditashhihnya, terdiri pula kepada dua bahagian iaitu dalam bahasa Arab dan dalam bahasa Melayu.

Tulisan dalam Bahasa Melayu

1. Nazham Nuril Anam, diselesaikan penulisannya pada hari Rabu, 15 Syaaban 1287 H/10 November 1870 M. Hanya terdapat sebuah salinan yang lengkap, disimpan oleh Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (MS 764). Salinan yang lain, iaitu hanya petikan beberapa bait akhirnya, diusahakan oleh Haji Muhammad Husein bin Abdul Lathif al-Fathani (Tok Kelaba). Salinan Tok Kelaba ada dalam simpanan penulis. Puisi yang terdiri daripada lebih 500 bait beliau selesaikan penulisannya dalam usia lebih kurang 15 tahun.

2. Puisi Pada Kitab Hidayatus Salikin, ditulis dalam tahun 1298 H/1880 M. Terdapat pada semua edisi cetakan Hidayatus Salikin (edisi Timur Tengah), tetapi tidak terdapat pada edisi Bombay. Puisi ini terdiri daripada 21 bait, terletak di halaman akhir kitab itu. Pada halaman muka terdapat lagi tujuh bait, juga dalam bahasa Melayu.

3. Puisi Pada Kitab Furu’ ul Masail, digubah dalam tahun 1300 H/1882 M, terdiri daripada 13 bait. Terdapat pada cetakan-cetakan mutawal kitab tersebut.

4. Puisi Pada Kitab Syarah Hikam Melayu, digubah dalam tahun 1300 H/1882 M. Terdapat pada semua cetakan kitab tersebut, tetapi yang menjelaskan bahawa puisi tersebut dicipta oleh Sheikh Ahmad al-Fathani hanya terdapat pada cetakan kedua oleh Mathba’ah at-Taraqqil Majidiyah, Mekah, dalam tahun 1330 H/1912 M. Puisi tersebut terdiri daripada lapan bait.

5. Puisi Pada Kitab Kasyful Litsam, terdapat hanya sebuah manuskrip dan dicetak di kitab tersebut. Tetapi pada cetakan yang ada tidak menyebut nama penggubah puisinya. Malah ada yang keliru kerana ditulis nama Sheikh Muhammad Shalih bin Sheikh Zainal Abidin al- Fathani pada kitab tersebut. Puisi tersebut terdiri daripada 19 bait. Puisi digubah tahun 1301 H/1884 di Mekah.

6. Luqthah al-‘Ajlan mimma Tamassa ilaihi Hajatul Insan, diselesaikan penulisannya pada waktu Zuhur, hari Selasa, 22 Ramadan 1301 H/16 Julai1884 M di Mekah. Cetakan pertama dan kedua kitab ini diusahakan oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, hanya ditemui beberapa lembar sahaja. Cetakan ketiga diusahakan oleh percetakan yang sama, dalam tahun 1330 H/1911 M. Selain itu terdapat edisi cetakan Persama Press, Pulau Pinang dan edisi-edisi cetakan di Patani.

7. Puisi Pada Kitab Bidayatul Hidayah. Puisi yang terdiri dari 9 bait ketika beliau mentashhih karya ulama Aceh itu hanya terdapat pada cetakan-cetakan mutawal saja. Seiringan dengan puisi pada bahagian tepi kitab tersebut terdapat taqrir Sheikh Ahmad al-Fathani yang boleh dianggap sebagai suatu karya dan pemikiran Sheikh Ahmad al-Fathani juga, tahun 1303 H/1886 M di Mekah.

8. Tarikh Turki ‘Utsmani, diselesaikan penulisannya pada hari Isnin,18 Syawal 1303 H/20 Julai 1886 M di Mekah.

9. Bisyaratul ‘Amilin wa Nazaratul Ghafilin, diselesaikan penulisannya pada malam Ahad, 14 Rabiulakhir 1304 H/10 Januari 1887 M. Hanya ditemui cetakan The United Press,

10. ‘Idul Juman fi ‘qaidil Iman, diselesaikan penulisannya pada 6 Muharam 1306 H/13 September 1888 M. Cetakan pertama kitab tersebut diusahakan oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1317 H/1899 M dan terdapat beberapa edisi lainnya. Pada masa sekarang kitab ini tidak beredar lagi.

11. Sa’adatul Mutanabbih fil Maut wa ma Yata’allaqubih, diselesaikan penulisannya, pada 29 Rejab 1306 H/1 April 1889 M di Mekah. Ditemui sebuah manuskrip asli tetapi tidak berjudul. Judul ini diberikan oleh Haji Wan Ismail bin Hawan (menantu cucu kepada Sheikh Ahmad al-Fathani) sewaktu kitab tersebut akan dicetak.

Cetakan pertama kitab tersebut atas usaha Haji Wan Ismail di Muslim Press, Patani, tanpa catatan tarikh cetakan. Pada cetakan tersebut terdapat kata pengantar daripada Haji Abdul Qadir bin Abdul Muthallib al-Mandaili al-Indunisiyi, guru yang mengajar di Masjidil Haram Mekah.

12. Badrut Tamam wan Nujumuts Tsawaqib, diselesaikan penulisannya pada waktu Dhuha, hari Jumaat, 19 Rabiulakhir 1307 H/13 Disember 1889 M. Cetakan mutawal yang telah ditemui oleh Math-ba’ah al-Miriyah, Mekah, dalam tahun 1309 H/ 1891 M.

Selain itu terdapat lagi kitab yang edisi cetakan Saudara Press, Patani, dalam tahun 1377 H/1957 M atas usaha anak beliau Kadi Haji Wan Ismail al-Fathani.

13. Hadiqatul Azhar war Rayahin, diselesaikan penulisannya pada hari Sabtu, 15 Syaaban 1307 H/6 April 1890 M. Cetakan pertama dan kedua kitab tersebut dilakukan oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, tahun 1307 H/1890 M dan 1321 H/1903 M. Cetakan keempat diusahakan oleh Persama Press, Pulau Pinang, tahun 1377 H/1958 M, dan terdapat beberapa edisi cetakan lainnya termasuk cetakan di Istanbul.

14. Bahjatul Mubtadin wa Farhatul Mujtadin, diselesaikan penulisannya pada hari Jumaat, 13 Rabiulakhir 1310 H/4 November 1892 M, di Mekah. Cetakan pertama dilakukan oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah dalam tahun 1310 H/1892 M.

Cetakan ketujuh kitab tersebut dilakukan oleh Patani Press dalam tahun 1385 H. Kitab ini masih digunakan sebagai bahan mengajar.

15. Tuhfatul Ummah ‘ala Nabiyiha Nabiyur ar-Rahmah, diselesaikan penulisannya pada waktu Dhuha, hari Jumaat, 5 Syawal 1310 H/22 April 1893 M.

16. Kumpulan Doa, tahun 1311 H/1894 M.

17. Thaiyibul Ihsan fi Thibbil Insan, diselesaikan penulisannya pada waktu Dhuha, hari Isnin, 3 Zulhijjah 1312 H/28 Mei 1895 M di Mekah. Cetakan pertama dan kedua kitab tersebut dilakukan oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, dalam tahun 1313 H/1895 M dan 1332 H/1913 M. Selain itu terdapat lagi edisi yang dicetak oleh Persama Press, Pulau Pinang.

18. Faridatul Faraid fi ‘Ilmil Aqaid, diselesaikan penulisannya pada waktu Dhuha, hari Isnin, 12 Rabiulawal 1313 H/2 September 1895 M di Mekah. Cetakan pertama diusahakan oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1313 H/1895 M dan cetakan ketiga tahun 1317 H/1899 M.

Pada Rabiulawal 1325 H/April/Mei 1907 M percetakan yang sama mencetaknya lagi tetapi tidak menyebut cetakan yang keberapa. Semua cetakan itu dilakukan ketika pengarangnya Sheikh Ahmad al- Fathani masih hidup.

19. ‘Unwanul Falah wa ‘Unfuwanul Falah, sesudah Asar, hari Jumaat, 7 Syawal 1319 H/16 Januari 1902 M di Mekah.

20. ‘Aqidatu Ushuliddin, tahun 1321 H/1904 M di Mekah.

21. Mir-atul A’ajib fi Jawabi Sualil Majazib, tahun 1324 H/ 1906 M di Mekah.

22. Puisi Shufi, diselesaikan penulisannya sesudah kitab nombor 21 di atas, iaitu dalam tahun 1324 H/1906 M. Puisi tersebut terdiri daripada 28 bait.

23. An-Nurul Mubin

24. Sejarah Lampung Pecah.

25. Al-Fatawal Fathaniyah, tanpa catatan tarikh. Hendaklah diperhatikan bahawa Al-Fatawal Fathaniyah ini berbeza dengan Al-Fatawal Fathaniyah yang beliau tulis dalam bahasa Arab.

Cetakan pertama kitab ini dilakukan oleh Printing Company pada tahun 1331 H/1913 M dan tidak berapa lengkap kerana beberapa jawapan Sheikh Ahmad al-Fathani dalam bahasa Arab belum diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Cetakan pertama yang lebih lengkap yang diusahakan oleh anak pengarangnya, Kadi Haji Wan Ismail al-Fathani dicetak oleh Mathba’ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan, pada tahun 1354 H/1935 M. Cetakan yang ketiga oleh Patani Press dalam tahun 1377 H/1957 M tersebut adalah yang paling lengkap.

Berdasarkan ‘Pendahuluan’ Kadi Haji Ismail al-Fathani pada cetakan kedua oleh Patani Press, menyebut bahawa cetakan di Kota Bharu, Kelantan juga dari cetakan yang pertama hingga ketiga, hanya memuat separuh ‘jawapan’ Sheikh Ahmad al-Fathani sahaja.

Sebenarnya cetakan terakhir kitab tersebut oleh Patani Press, juga belum lengkap kerana beberapa jawapan Sheikh Ahmad al-Fathani yang saya temui setelah Kadi Haji Wan Ismail al-Fathani meninggal dunia (1958) masih banyak dan belum dimuat dalam kitab itu.

26. Fatwa Puasa Dengan Hisab Taqwim Dan Ru’yah, tanpa dinyatakan tahun selesai penulisan.

27. Sejarah Patani Melawan Siam atau dengan judul yang lain Fadhilah Ahmad Fathani, belum ditemui sehingga sekarang. Judul ini diketahui hanya berdasarkan cerita yang mutawatir.

28. Puisi Pada Kitab Ad-Durrits Tsamin. Puisi pada kitab tersebut terdiri daripada 10 bait, terdapat pada cetakan-cetakan mutawal kitab itu.

29. Puisi Pada Kitab Zahrah al-Murid, terdiri daripada 13 bait.

30. Puisi Pada Kitab Sabil al-Muhtadin, iaitu selain puisi berbahasa Arab yang telah disebutkan terdapat lagi puisi dalam bahasa Melayu, yang terdiri dari 28 bait.

31. Puisi Pada Kitab Al-Jauharil Mauhub, selain puisi dalam bahasa Arab yang telah disebutkan terdapat lagi puisi dalam bahasa Melayu, yang terdiri daripada 14 bait.

32. Puisi Pada Kitab Maurid azh-Zhammaan, selain puisi dalam bahasa Arab yang telah disebutkan terdapat lagi puisi dalam bahasa Melayu, yang terdiri daripada 10 bait.

33. Nazham Fikir Pelita Hati, ditemui manuskrip salinan Tok Kelaba. Cetakannya ditemui dalam dua karya Sheikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani, iaitu Nurul Abshar dan sebuah lagi karya tashihan, iaitu Miftahul Murid, cetakan pertama Mathba’ah at-Taraqqil Majidiyah, Mekah, 1330 H. Puisi tersebut terdiri daripada sembilan bait.

34. Daftar Cakap Melayu, iaitu daftar perkataan-perkataan Melayu yang dimulai dari huruf Alif hingga huruf Ya. Hanya ditemui sebuah salinan Tok Kelaba, tetapi tidak lengkap. Tok Kelaba al-Fathani selesai menyalinnya pada tahun 1354 H/1935 M.

35. Dan lain-lain.

Kitab-kitab yang ditashhih

Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani adalah orang pertama menjadi pentashhih sama ada kitab berbahasa Arab, mahupun kitab berbahasa Melayu.

Istilah tashhih untuk pemeriksaan kitab diperkenalkan oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani dalam tahun 1288 H/1871 M. Hingga ke hari ini istilah itu masih dipakai di seluruh dunia. Ini bererti kata tashhih adalah ciptaan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani berasal dari kata Arab.

Di bawah ini penulis senaraikan kitab-kitab yang ditashhih Sheikh Ahmad al-Fathani, iaitu beliau baca kitab tersebut secara keseluruhan dari halaman awal hingga akhir, sama ada yang bahasa Arab mahupun yang bahasa Melayu.

Kitab-kitab yang terdapat kesilapan atau kurang tepat menurut jalan bahasa, maka beliau tambah, menghilangkan kalimat yang kurang sempurna mahupun mengubah dan memberi komentar.

Bagi yang berbahasa Melayu, apabila terdapat kata-kata yang tidak popular pada zaman itu, maka kata-kata tersebut beliau hilangkan.

Seumpama karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang mencantumkan bahasa Patani, karangan ulama Banjar yang mencantumkan bahasa Banjar dan lain-lain daerah, maka beliau ganti dengan bahasa Melayu yang berlaku di tanah Jawi/Asia Tenggara pada zaman itu.

Menurut istilah Sheikh Ahmad al-Fathani ialah ‘Bahasa Tengah’. Pekerjaan tashhih juga dikerjakan dalam dua perkara iaitu;

A. Kitab-Kitab bahasa Arab, dan

B. Kitab-Kitab bahasa Melayu.

Gelaran tertinggi diterima Syeikh Ahmad al-Fathani  

Posted

Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Saghir Abdullah

SYEIKH Ahmad al-Fathani juga belajar kepada ulama-ulama Melayu terutama yang berasal dari Patani dan Kelantan. Tidak dapat dinafikan bahawa ada bidang-bidang tertentu ulama Melayu lebih mahir daripada ulama-ulama yang berasal daripada bangsa Arab sendiri. Antaranya;

1) Syeikh Muhammad Bin Ismail Daudi al-Fathani @ Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani

Beliau adalah antara ulama Melayu yang dianggap sebagai guru oleh Syeikh Ahmad al-Fathani ialah atau lebih dikenali dengan panggilan Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, atau orang Arab mengenal namanya Syeikh Muhammad Shaghir.

Ulama ini sangat mahir dalam bidang ilmu fiqh. Syeikh Ahmad al-Fathani pada peringkat awal sebelum berangkat ke Mesir, pernah belajar dengan ualama ini dan sekembalinya dari Mesir, beliau menerima bai'ah Thariqat Syathariyah.

Atas kerjasama antara kedua-duanya, maka telah terbentuknya satu pusat penyebaran Islam untuk Jawi/Asia Tenggara yang berpusat di Mekah.

Banyak penyebar-penyebar Islam menghantar murid mereka ke Kemboja, di antaranya; Ahmad bin Muhammad Zain yang berasal dari Atas Banggul Kelantan (beliau ini serupa namanya dengan Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani gurunya).

Hubungan Syeikh Ahmad al-Fathani dengan gurunya Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani bertambah mesra kerana adanya kaitan perkahwinan antara Syeikh Ahmad al-Fathani dengan Hajah Siti Saudah, anak saudara kepada Syeikh Nik Mat Kecik, iaitu setelah meninggalnya isteri pertama, Hajah Wan Kaltsum binti Haji Wan Ismail Jambu al-Fathani.

2) Syeikh Abdul Qadir Bin Abdur Rahman al-Fathani

Dalam bidang tasawuf, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani belajar kepada seorang ulama Patani dan tokoh sufi yang sangat terkenal di Mekah pada zaman itu, beliau ialah Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani. Beliau adalah saudara sepupu kepada Syeikh Nik Mat Kecik.

Melalui ulama ini Syeikh Ahmad al-Fathani mengambil bai'ah Thariqat Syathariyah sekali lagi, dan seterusnya pelbagai sekte thariqat yang lainnya, termasuk berbagai-bagai macam wirid dan zikir yang terkenal di lingkungan golongan tarekat dan tasawuf.

Sebelum dibai'ah oleh Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, beliau juga pernah dibai'ah oleh ayahnya, iaitu Syeikh Muhammad Zain bin Mushthafa al-Fathani dan Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani.

Dengan demikian, Syeikh Ahmad al-Fathani dapat ditempatkan pula sebagai 'ulama' sufi, golongan 'ulama' Muhaqqiqin yang ahli dengan ilmu-ilmu thariqah, haqiqah dan ma’rifah.

Atas meninggal gurunya Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani pada awal musim haji 1315 H/1897 H, Syeikh Ahmad al-Fathani menyifatkan bahawa keadaan Mekah pada tahun itu dalam kepayahan. Barangkali kerana beliau berasa sedih hati atas meninggal- nya ‘ulama’ sufi yang sukar dicari sepertinya di Kota Mekah ketika itu.

Dalam bidang tasawuf, semua ulama pada zaman itu merujuk kepadanya, di antara muridnya yang menjadi ulama besar selain Syeikh Ahmad al-Fathani, adalah Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Utsman bin Abdul Wahhab Sarawak, Syeikh Utsman bin Syihabuddin Pontianak dan lain-lain.

Salasilah Thariqat Syathariyah baik yang beliau terima daripada ayahnya Syeikh Muhammad Zain bin Mushthafa al-Fathani, Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani, Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani mahupun kepada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani adalah tidak terpisah daripada perhubungannya secara paralel kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang menerima daripada gurunya, al-Arif Billah Saiyidisy Syeikh Muhammad As'ad, yang menerima daripada bapanya Saiyidi Syeikh Muhammad Sa'id Thahir, menerima pula daripada bapanya Saiyidi Syeikh Ibrahim al-Madani dan seterusnya dapat dilihat buku penulis berjudul Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathani Ulama dan Pengrang Terulung Asia Tenggara, cetakan pertama di Malaysia, HIZBI, 1990, hlm. 35-36.

3) Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani Dan Ulama-Ulama Kelantan Selainnya

Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani belajar juga kepada ulama-ulama yang berasal dari Kelantan yang bermastautin di Mekah. Sebahagian ulama-ulama Kelantan itu masih ada pertalian kekeluargaan dengan beliau. Ulama-ulama Kelantan itu ialah;

Syeikh Muhammad Sa'id bin Isa al-Kalantani, Syeikh Abdul Muthallib Kuta al-Kalantani dan Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani. Syeikh Wan Ali Kutan itu adalah suami ibu saudaranya; bernama Wan Aisyah dan sejak kecil Syeikh Ahmad al-Fathani telah diasuh oleh Syeikh Wan Ali, suami-isteri.

Dikatakan bahawa isteri Syeikh Wan Ali itu adalah seorang yang hafizhah al-Quran dan amalan selawat yang termaktub dalam kitab Lum'atul Aurad karya Syeikh Wan Ali. Perkahwinan Syeikh Wan Ali Kutan dengan Wan Aisyah itu memperoleh beberapa orang anak. Antaranya ialah; Hajah Wan Fathimah dan Haji Wan Abdur Rahman. Kedua-duanya bererti saudara sepupu kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Jadi Syeikh Ahmad al-Fathani dan saudara sepupunya sendiri, iaitu Hajah Wan Fathimah binti Syeikh Wan Ali telah dilatih menghafaz al-Quran dan amalan selawat dan ternyata berhasil.

Di dalam manuskrip catatan amalan-amalan penting dan mustajabnya, Syeikh Ahmad al-Fathani menulis bahawa beliau terima amalan membaca Yasin 41 kali kepada Syeikh Abdul Muthallib Kuta al-Kalantani dan juga kepada Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki dan dalam kaedah yang berlainan, tetapi juga membaca Yasin 41 kali dia telah menerima daripada Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani.

Demikian juga pada mengamalkan doa yang dinamakan Hizbul Bahri, beliau menerimanya daripada Syeikh Wan Ali Kutan yang bersalasilah hingga sampai kepada Wali Allah Syeikh Abil Hasan asy-Syazili yang mula-mula mempunyai amalan itu.

Tentang amalan Hizbul Bahri tersebarnya di negeri Jawi melalui ijazah daripada Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani kepada anak saudara isterinya, Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani yang mengijazahkan pula kepada Haji Nik Mahmud, Perdana Menteri Kelantan.

Nik Mahmud bin Ismail Kalantani menulis doa penting tersebut di dalam kitabnya, Pati Rahasia. Syeikh Ahmad al-Fathani mengajarkan pula kepada Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahmanal-Fathani, dia menyebarkan kepada murid-muridnya di Jambi/Sumatera ketika dia melarikan diri sebab diburu oleh kaum Wahabi di Mekah. Bahawa dia sampai di Jambi, 6 Rabiulawal 1344 H.

4) Ulama Kabul Afghanistan

Syeikh Abdur Rahim al-Kabuli

Selain guru-gurunya yang tersebut masih ramai lagi gurunya yang lain, di antaranya Syeikh Abdur Rahim al-Kabuli tempat ia pertama belajar ilmu perubatan. Di antara kitab perubatan yang pernah dipelajari oleh Syeikh Ahmad al-Fathani kepada Syeikh Abdur Rahim al-Kabuli ialah Kitab Qanun Cah, iaitu Qanun Cah ash-Shaghir lil Caghmini Syarih Syarikh al-Aflak.

Di halaman terakhir kitab tersebut, Syeikh Ahmad al- Fathani mencatat dalam bahasa Arab, yang ertinya "Selesai mempelajari kitab ini daripada Syaikhuna Doktor yang mahir dan termasyhur iaitu asy-Syeikh Abdur Rahim al-Kabuli sesudah Zuhur, hari Sabtu, 21 Ramadan 1312 H".

GELARAN-GELARAN YANG DIBERIKAN KEPADA SYEIKH AHMAD AL-FATHANI

Mengingat apa yang tertulis dalam majalah Pengasuh (1352 H/1934 M) iaitu antara lain menyebut bahawa Syeikh Ahmad al-Fathani berkelayakan mentakrif 47 jenis ilmu pengetahuan, tetapi masih banyak perkara yang belum disentuh dalam perbicaraan tersebut.

Sungguhpun demikian sudah memadai sebagai pengenalan awal dan barangkali keterampilan Syeikh Ahmad al-Fathani seperti yang telah dibicarakan adalah sukar untuk dicapai oleh tokoh-tokoh lain yang berasal dari dunia Melayu.

Perbicaraan ini dirasakan belum lengkap, oleh itu di bawah ini penulis tambah informasi ringkas mengenai beberapa gelaran yang pernah ditulis oleh beberapa orang ulama dan cerdik pandai. Adapun gelaran-gelaran yang diberikan kebanyakannya di dalam bahasa Arab. Antara ulama-ulama yang dapat disebutkan di sini ialah;

1. Al-Amin al-Fadhil Saiyid Husein al-Habsyi. Nama lengkapnya, Saiyid Husein bin Muhammad bin Husein bin Ahmad asy-Syafie, 1258 H/1842 M, 1330 H/1911 M. Beliau adalah Mufti Mazhab Syafie di Mekah.

Tentang Syeikh Ahmad al-Fathani dinyatakannya pada tahun 1301 H/1883 M sewaktu mentashhih kitab Tashil Nailil Amani. Kenyataan gelaran itu terdapat pada semua edisi cetakan kitab karya Syeikh Ahmad al-Fathani itu.

2. Al-Adib an-Nihrir Hadhrat Syeikh Thaha Qathariyah. Beliau adalah seorang ulama, sasterawan yang berasal dari Qatar, sahabat karib Syeikh Ahmad al-Fathani bersama-sama sebagai pentashhih pelbagai kitab yang akan diterbitkan. Kenyataan mengenainya itu ditulis pada tahun 1301 H/1883 M dan tercantum pada semua terbitan Tashil Nailil Amani.

3. Syeikh Abdul Jawad. Seorang ulama besar Arab, Ketua Pentashhih Mathba'ah al-Khairiyah al-'Amirah, Kaherah Mesir. Kenyataannya tertulis pada tahun 1321 H/1903 M tercantum pada halaman akhir Tashil Nailil Amani yang dicetak oleh Mathba'ah al-Khairiyah. Pemilik Mathba'ah itu ialah sahabat karib Syeikh Ahmad al-Fathani, bernama Saiyid Umar Husein al-Khasyab.

Antara gelaran yang diberikan daripada ulama Melayu pula adalah Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani, seorang ulama yang pernah mengajar di Madrasah Shaulatiyah, Mekah dan Syeikhul Islam Selangor, memberi beberapa gelaran untuk Syeikh Ahmad al-Fathani dalam bahasa Arab. Maka penulis terjemahkan gelaran-gelaran tersebut dalam bahasa Melayu.

Antaranya seperti berikut; "yang tersangat 'alim kurnia Allah", "perkataannya ibarat kalung emas yang murni", "perhiasan orang-orang yang utama", "perbendaharaan orang-orang yang terpuji", dan "orang yang terhimpun padanya ilmu bayan dan ma'ani".

Semua yang disebutkan oleh Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani itu mencerminkan ketinggian kedudukan Syeikh Ahmad al-Fathani di kalangan sasterawan di Mekah pada zamannya.

Imam Haji Wan Ishaq, iaitu Imam Kelantan telah menambah gelaran ketinggian itu. Gelaran-gelaran tersebut juga penulis terjemahkan daripada bahasa Arab dengan merujuk berbagai-bagai kamus. Antara gelaran-gelarannya adalah; "cerdik keheningan", "curahan hujan, laut yang mengubati", "perkasa kebijaksanaan", "bulan pancaran cahaya", "tersangat alim pada setiap ilmu", "yang berpakaian akan takwa, kemuliaan dan penyantun", "seorang ahli politik", "seorang ahli haqiqat" dan "seorang ahli syari’at."

Begitulah antara banyak pengakuan-pengakuan para ulama Islam sama ada di peringkat antarabangsa mahupun ulama-ulama yang berasal dari dunia Melayu tentang kehebatan Syeikh Ahmad al-Fathani.

Prof. C. Snouck Hurgronje, seorang orientalis dan juga seorang yang amat mengagumi Syeikh Ahmad al-Fathani sehingga dia menggelar Syeikh Ahmad al-Fathani sebagai a savant of merit. Tulisan Snouck Hurgronje dalam Mecca in the latter part of the ninetenth century itu telah disalin oleh beberapa orang orientalis,di antaranya ialah Prof. William R. Roff (Amerika), M.B.Hooker (Inggeris), Virginia Matheson (Australia) dan Martin van Bruinessen (Belanda).

William R. Roff dalam The Origins of Malay Nationalism masih mengekalkan gelaran Syeikh Ahmad al-Fathani seperti yang ditulis oleh Snouck Hurgronje, tetapi dalam Comparative Studies In Society And History diganti dengan a great savant. Ahmad

Boestamam telah menterjemah buku William R.Roff, The Origins of Malay Nationalism itu ke dalam bahasa Melayu berjudul Nasionalisma Melayu. Beliau menggelar Syeikh Ahmad al-Fathani sebagai "seorang sarjana ulung."

Selain gelaran-gelaran tersebut ada beberapa gelaran lagi untuk Syeikh Ahmad al-Fathani. Sewaktu umurnya 12 tahun, ulama Mekah menggelarnya "Sibawaih Shaghir" kerana kejayaannya yang luar biasa dalam ilmu nahwu. "Sibawaih" adalah nama seorang tokoh nahu yang sangat terkenal.

Keluarga besar Patani dan Kelantan menggelarnya pula Tok Guru Wan Ngah, kerana apabila beliau sedang mengajar, beliau "sangat marah" pada murid-muridnya yang suka bertanya, atau bercakap tidak memperhatikan guru sedang mengajar atau berbuat bising, atau lain-lain sejenisnya. Beliau membenarkan murid-muridnya bertanya setelah selesai mengajar. "Sangat marah" yang dimaksudkan dalam dialek Patani

disebut "perengoh" atau "pongoh", yang berasal daripada perkataan "perengus". Dari perkataan inilah maka Syeikh Ahmad al-Fathani digelar Tok Guru Wan Ngah.

Masyarakat Islam di Kedah, Patani, Burma, Bangkok dan Cam (Kemboja), menggelar Syeikh Ahmad al-Fathani dengan Tuan Faridah kerana mereka pernah belajar dengan menggunakan kitab beliau yang terkenal iaitu Faridah al-Faraid.

Orang Jawa pula menggelar Syeikh Ahmad al-Fathani dengan Tuan Ngawamil atau Kiyai Ngawamil, kerana kitab 'Awamil al-Jurjani yang beliau syarah yang diberi judul Tashilu Nailil Amani diajarkan di hampir semua pondok pesantren di Jawa.

Syeikh Ahmad al-Fathani digelar juga dengan Failosuf Melayu, demikian yang dinyatakan oleh Tuan Guru Haji Nik Abdullah dalam karyanya, Pati Faridah.

Keilmuan Sheikh Ahmad al-Fathani diiktiraf ulama dunia  

Posted

Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Saghir Abdullah

Perbicaraan salasilah atau sanad pelbagai ilmu Sheikh Ahmad al-Fathani melalui pertalian dengan guru-gurunya ini adalah sangat luas dan panjang. Di antara salasilah atau sanad-sanad yang dimaksudkan seumpama sanad kitab-kitab hadis, tafsir, fiqh, usul fiqh, aqikah, tasauf, nahwu, sharaf, bayan, ma’ani dan lain-lain. Semuanya akan penulis bicarakan secara terperinci.

Berikut adalah kesinambungan guru-guru beliau yang terdiri dari ulama-ulama Mekah dan Madinah yang sebahagiannya telah dibicarakan sebelum ini, maka selebihnya iaitu:

* Saiyid Ahmad Bin Zaini Dahlan

Sheikh Ahmad al-Fathani selain belajar di bawah kelompok Saiyid Abu Bakri Syatha, pada waktu yang lain belajar pula secara langsung kepada Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan.

Ini bermakna Sheikh Ahmad al-Fathani dan Saiyid Abu Bakri Syatha sama-sama mengaji kitab ketika Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan mengajar. Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut pada nazham ‘Uqudid Durri mengenai Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, iaitu Wa bi Syaikhina wa Mulazina ‘uryan man ghafaral hajija huwal musamma Ahmada.

Dalam buku riwayat Sheikh Ahmad al-Fathani terbitan pertama (1992), penulis nyatakan bahawa Syeikh Ahmad al-Fathani “tidak pernah menyebut bahawa beliau juga belajar kepada Saiyid Zaini Dahlan yang terkenal itu”, namun setelah dijumpai beberapa catatan, ternyata beliau juga adalah murid Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan (lahir 1232 H/1816 M, wafat 1304 H/1886 M) itu.

Dalam karya-karyanya, Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut nama Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki selalu diawali dengan kata Syaikhuna, dan menyebut Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan diawali dengan Saiyidi. Walaubagaimanapun hanya satu tempat iaitu dalam nazham ‘Uqudid Durri, Sheikh Ahmad al-Fathani juga menggunakan Syaikhuna untuk Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan.

Dalam karya beliau Tuhfatul Ummah fis Shalati ‘ala Nabiyir Rahmah, Sheikh Ahmad al-Fathani memetik tiga amalan dari tulisan Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan.

Oleh sebab Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan adalah murid kepada Maulana Sheikh Utsman bin Hasan ad-Dimyathi al-Azhari, maka dapatlah dipastikan salasilah dan sanad pelbagai ilmu Sheikh Ahmad al-Fathani juga dimulai dari kedua-dua ulama besar yang sangat terkenal itu.

Nama Sheikh Utsman ad-Dimyathi dua kali disebut oleh Sheikh Ahmad al-Fathani dalam karyanya yang tersebut. Walaupun guru Sheikh Utsman ad-Dimyathi sangat ramai, tetapi yang sering dibicarakan dalam salasilah atau sanad adalah yang paling terkenal di antara mereka tiga orang sahaja. Mereka ialah:

1. Sheikh Abdullah asy-Syarqawi, ulama ini pengikut Mazhab Syafi’e dan pengamal tarekat khalwatiyah.

2. Sheikh Muhammad al-Amir al-Kabir, pengikut Mazhab Maliki, beramal tarekat syaziliah.

3. Sheikh Muhammad asy-Syanwani.

Sheikh Muhammad Bin Sulaiman Hasbullah

Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki namanya selalu disebut oleh Sheikh Ahmad al-Fathani dalam karya-karyanya. Sheikh Ahmad al-Fathani menggelar gurunya itu dengan Mathla’u Syumusit Tahqiq wa Manba’u ‘Uyunit Tadqiq bermaksud ‘tempat terbit matahari hakikat dan tempat mata air yang halus yang mengalir terus’.

Dalam beberapa karyanya, dan menjawab beberapa pertanyaan, Sheikh Ahmad al-Fathani selalu mengemukakan pendapat gurunya Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah a-Makki. Prof. Dr. Hamka menulis dalam buku Ayahku, bahawa datuknya Sheikh Muhammad Amrullah menetap lama di Mekah. Salah seorang gurunya ialah Sheikh Muhammad Hasbullah al-Makki. Dengan demikian mungkin Sheikh Ahmad al-Fathani adalah sahabat Sheikh Muhammad Amrullah datuk Hamka itu, walaupun Sheikh Ahmad al-Fathani jauh lebih muda daripadanya.

Sheikh Ahmad al-Fathani tua empat tahun daripada Sheikh Ahmad Khathib Minangkabau dan Sheikh Ahmad Khathib Minangkabau pernah belajar dengan Sheikh Ahmad al-Fathani dalam beberapa bidang ilmu.

Sheikh Muhammad Amrullah dan Sheikh Ahmad Khathib Minangkabau pula belajar kepada Sayid Ahmad Zaini Dahlan. Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki adalah sahabat dan seperguruan dengan Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan.

Sheikh Muhammad Sulaiman Hasbullah lahir tahun 1233 H/1817 M, wafat malam Ahad, 11 Jamadilawal 1335 H/4 Mac 1917 M. Beliau sangat mengasihi muridnya Sheikh Ahmad al-Fathani. Malah kepada anak murid itulah tempatnya memberikan kepercayaan dalam sekelian permasalahan.

Beliau memerintahkan Sheikh Ahmad al-Fathani supaya membuat syarah sebuah karyanya berjudul Hidayatul ‘Awam mengenai ilmu akidah. Sheikh Ahmad al-Fathani memenuhi perintah gurunya itu maka dikarangnya sebuah kitab dengan judul Sabilus Salam atau Minhajus Salam.

Sabilus Salam karya Sheikh Ahmad al-Fathani itu pernah diterbitkan di Mekah dan Mesir serta diajarkan di Mekah.

Kebanyakan salasilah dan sanad keilmuan antara Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki adalah sama. Namun ada juga yang berbeza kerana selain belajar dengan ulama yang sama tentunya ada juga belajar kepada ulama yang berlainan.

Sheikh Muhammad Haqqi An-Nazili

Dalam kitabnya Tuhfatul Ummah fish Shalati’ala Nabiyir Rahmah, Sheikh Ahmad al-Fathani mengatakan bahawa beliau telah mengambil ijazah secara musyafahah dari Sheikh Muhammad Haqqi an-Nazili, iaitu pengarang kitab Mafza’ akan amalan selawat yang dibangsakan kepada Saidina Zainal Abidin bin Ali bin Saidina Husein bin Saidina Ali bin Abi Thalib.

Selawat itu dinamakan Selawat Tafrijiyah yang terkenal dengan dibaca sebanyak 4,444 kali.

Saiyid Muhammad Amin Ar-Ridhwan

Pada hari Khamis, 20 Rejab 1319 H/1901 M di Madinah al-Munawwarah, as-Saiyid Muhammad Amin bin as-Sayid Ahmad ar-Ridhwan telah mengijazahkan kepada Sheikh Ahmad al-Fathani membaca Selawat Dala-ilil Khairat.

Sanadnya adalah sebagai yang berikut:

*Sheikh Ahmad al-Fathani menerima dari:

*Saiyid Muhammad Amin ar-Ridhwan menerima dari:

*Arif Billah Saiyidi Ali bin Yusuf al-Hariri al-Madani, menerima dari:

*Saiyid Muhammad bin Saiyid Ahmad al-Mudghari, menerima dari:

*Saiyidi Muhammad bin Ahmad bin Ahmad al-Mutsanna, menerima dari:

*Saiyidi Ahmad bin al-Haj, menerima dari:

*Saiyidi Ahmad al-Muqri, menerima dari:

*Saiyidi Abdul Qadir al-Fasi, menerima dari:

*Saiyidi Ahmad bin Abil Abbas ash-Shuma-i, menerima dari:

*Saiyidi Ahmad bin Musa as-Simlaly, menerima dari:

*Saiyidi Abdul Aziz Sabbaa’, menerima dari penyusunnya:

*Saiyid Muhammad bin as-Saiyid Sulaiman al-Jazuli asy-Syarif al-Hasani.

Dari pertalian yang lain, juga dari Saiyid Muhammad Amin ar-Ridhwan, iaitu:

*Sheikh Ahmad al-Fathani menerima dari:

* Saiyid Muhammad Amin Ridhwan menerima dari:

*Sheikh Abdul Ghani bin Syeikh Sa’id al-Umari, menerima dari:

*Al-Yafi’i al-Habani, menerima dari:

*Sheikh Muhammad Abu Khidir, menerima dari:

*Sheikh Muhammad Shalih al-Bukhari, menerima dari:

*Sheikh Muhammad Rafi’uddin al-Qandahari, menerima dari:

*Asy-Syarif Muhammad bin Abdullah al-Maghribi menerima dari:

*Sheikh al-Bashri, menerima dari:

*lSurur az-Zawawi ad-Damanhuri, menerima dari:

*Saiyid Hasan bin Saiyid Darwisy al-Quwaisni, menerima dari:

*Saiyid Daud al Qal’ie, menerima dari:

*Sheikh Abdullah asy-Syabrawi, menerima dari:

*Sheikh ‘Athiyatul Qumasy ad-Dimyathi, menerima dari

*Sheikh Mushthafa, menerima dari:

*Sheikh Syamsuddin Muhammad al-Mahdi bin Muhammad bin Salim al-Hifni, menerima dari:

*Sheikh Muhammad al-Budairi yang terkenal dengan sebutan Ibni Mayit.

Saiyid Muhammad Amin ar-Ridhwan mengatakan bahawa Sheikh Abdul Ghani yang tersebut juga meriwayatkan bahawa ia menerima dari: Sheikh Shalih bin Muhammad al-Umari al-Fallani, menerima dari: Sheikh Muhammad ‘Abid as-Sandi. Juga Sheikh Abdul Ghani yang tersebut menerima dari: Abi Sulaiman Ishaq bin Maulana Abdul Aziz ad-Dihlawi, menerima dari: Abdul Aziz menerima dari ayahnya: Sheikh Wali Allah ad-Dihlawi, menerima dari Sheikh-Sheikh yang bersambung-sambung salasilahnya.

Saiyid Muhammad Ali Bin Saiyid Zhahir Al-Watri

Di Madinah, Sheikh Ahmad al-Fathani belajar kepada Saiyid Muhammad Ali bin Saiyid Zhahir al-Watri yang memberikan ijazah mengenai Hadis Musalsal, ijazah diberikan di Madinah pada 26 Rejab 1319 H/1901 M.

Secara bersambung/bersalasilah, ijazah itu menjelaskan bahawa:

1. Sheikh Ahmad al-Fathani menerima dari:

2. Saiyid Muhammad Ali bin Saiyid Zhahir al-Watri, menerima dari:

3. ‘Allamah Muhaqqiq Syeikh Mannatullah al-Maliki al-Azhari, menerima dari:

4. Al-Amir Muhammad al-Kabir, menerima dari:

5. ‘Allamah al-Muhaddis Sheikh Abdur Rahman (wafat 1274 H/1858 M) bin al-‘Allamah al-Hafiz asy-Sheikh Muhammad al-Kuzbari ad-Dimasyqi, menerima dari:

6. Sheikh Ahmad bin Ubaid al-‘Athar ad-Dimasyqi menerima dari penyusun kitab Al-Jauharuts Tsamin iaitu:

7. ‘Allamah al-Muhaddis Sheikh Ismail al-‘Ajluni yang bersambung terus hingga semua pengarang Kitab as-Sittah (kitab yang enam yang terkenal dalam ilmu hadis).

Ijazah yang diberikan kepada Sheikh Ahmad al-Fathani ialah yang terkandung dalam kitab Al-Jauharuts Tsamin, dengan ijazah menyeluruh yang terkandung padanya pada awal-awal sekelian kitab adalah ijazah Tammatan Muthlaqatan ‘Ammatan iaitu ijazah yang sempurna mutlak dan umum dengan syarat yang telah terkenal pada sisi Ahli Hadis dan Athar.

Oleh sebab itu dipercayai bahawa Sheikh Ahmad al-Fathani adalah layak digelar sebagai seorang Muhaddis pada zamannya.

Sheikh Abdul Qadir Asy-Syibli Ath-Tharablusi

Pada tahun yang sama (1319 H/1901 M) juga di Kota Madinah, seorang ulama bernama Sheikh Abdul Qadir asy-Syibli ath-Tharablusi mengijazahkan Sheikh Ahmad al-Fathani iaitu seluruh ilmu pengetahuan termasuk ilmu hadis. Bahawa juga merupakan ijazah yang bersambung/bersalasilah.

Sanadnya sebagai yang berikut:

*Sheikh Ahmad al-Fathani, menerima dari:

*Sheikh Abdul Qadir asy-Syibli ath-Tharablusi, menerima dari:

* Maulana Sheikh Habirur Rahman al-Hindi al- Kazhimi, menerima dari:

* Maulana wa Saiyidi Husein Ali al-Hindi, menerima dari:

*‘Allamah al-Qari Sheikh Abdur Rahman Bani Bati menerima dari:

*‘Allamah Sheikh Muradullah bin Sheikh Ni’matullah al-Kanawi, menerima dari:

*‘Allamah Sheikh Abdul Ghani al-Hindi ad-Dihlawi, menerima dari:

*Maulami wa Sandi Sheikh ‘Abid as-Sandi, menerima dari:

*‘Allamah Ahmad Dahlan, menerima dari:

* Sheikh Jamal Mufti Makkatul Mukarramah

*Sheikh Muhyuddin al-Khathib, menerima dari:

* Sheikh Abdul Qadir al-Madani, dan saudaranya: Maulana Sheikh Abdul Hamid Afandi ayah saudaranya sebelah perempuan: Sheikh Mahmud Manraqah, menerima dari:

*Imam ‘Arif Billah Sheikh Muhammad al-Qawaqaji, yang mempunyai keramat-keramat yang mengalahkan musuh, menerima dari:

*Imam Ulama Sheikh Nasyabah (Syaikh Syuyukhil Fida’) menerima dari:

*Saiyidus Sheikh Abdul Ghani ar-Rafi’ie, juga kepada Sheikh Muhammad ar-Rafi’ie anak kepada Sheikh Abdul Ghani ar-Rafi’ie menerima dari:

* ‘Allamah Sheikh Khalil Shadiq, juga kepada Imam al-Muhaddisin zamannya: Sheikh Badruddin al- Maghribi ad-Damsyiqi iaitu: Sheikh Bakri al-Athar asy-Syafi’e, juga kepada: ‘Allamah Sheikh Muhammad al-Khani.

Sheikh Ibrahim Ar-Rasyidi

Nama Sheikh Ibrahim ar-Rasyidi disebut dalam dua buah karyanya iaitu dalam Mir-ah al-A’ajib dan Man li Ya Sa’id. Dalam Mir-ah al-A’ajib, Sheikh Ahmad al-Fathani menulis, “Dan atas khulafah, seperti Saiyidi Ibrahim ar-Rasyidi, dan Saiyidi Ahmad ad-Dandarawi, dan Saiyidi Muhammad Shalih, Khalifah Saiyidi Ibrahim ar-Rasyidi yang tersebut, dan lainnya”.

Sheikh Ahmad al-Fathani sempat bertemu dan menerima tarekat Ahmadiah Idrisiah daripada Sheikh Ibrahim ar-Rasyidi (wafat di Mekah, tarikh 9 Syaaban 1291 H/21 Oktober 1874 M).

Sheikh Ahmad Ad-Dandarawi

Sama halnya dengan Sheikh Ibrahim ar-Rasyidi, nama Sheikh Ahmad ad-Dandarawi juga disebut oleh Sheikh Ahmad al-Fathani dalam kedua-dua karyanya yang disebutkan sebelum ini. Walaupun Sheikh Ahmad al-Fathani telah menerima tarekat Ahmadiah dari Sheikh Ibrahim ar-Rasyidi.

Namun setelah Sheikh Ibrahim ar-Rasyidi wafat, Sheikh Ahmad al-Fathani beramal dengan tarekat itu di bawah bimbingan Sheikh Ahmad ad-Dandarawi.

Demikian juga dengan sebahagian besar ikhwan tarekat Ahmadiah, hal yang tersebut kerana Sheikh Ahmad ad-Dandarawi adalah khadam dan orang yang dikasihi oleh Sheikh Ibrahim ar-Rasyidi.

Sheikh Ahmad ad-Dandarawi wafat hari Jumaat, di Madinah al-Munawwarah, tarikh 29 Muharam 1327 H/19 Februari 1909 M.

Penutup

Adapun guru-gurunya yang dibicarakan ini merupakan ulama-ulama Mekah dan Madinah yang telah mendidik Sheikh Ahmad al-Fathani, dengan berbagai-bagai ilmu pengetahuan tersebut itu semuanya bukan bangsa Melayu. Mengenai guru-guru beliau yang terdiri daripada ulama-ulama Melayu, terutama yang kebanyakannya berasal dari Patani dan Kelantan akan dibicarakan selanjutnya.

Sheikh Ahmad al-Fathani  

Posted

Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Saghir Abdullah

Pada mulanya penulis tidak mengenali Sheikh Ahmad al-Fathani, kerana penulis selalu diceritakan tentang kehebatan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Sheikh Nik Mat Kecik al-Fathani sahaja. Oleh sebab itu, pada penyelidikan awal penulis hanya tertumpu pada biografi Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan sahabat-sahabatnya.

Ibu penulis, Hajah Wan Zainab binti Syeikh Wan Ahmad al-Fathani pada mulanya enggan bercerita lebih panjang mengenai ayahnya.

Namun di antara cerita yang paling awal, katanya: "Kalau kamu ingin tahu tentang ayahku hendaklah kamu merantau ke Kelantan. Di sana ada murid-murid dan anak angkat ayahku. Anak angkat dan murid angkat ayahku yang paling terkenal ialah 'Awang Kenali'. Dia ialah ulama besar dan keramat. Ada murid ayahku menjadi ulama besar Kelantan namanya 'Nik Mahmud' dan 'Haji Muhammad Sa'id'.

"Sebelum kamu dengar dan temukan riwayat ayahku dari orang lain, aku tidak akan menceritakan kisahnya semua, tapi cukup kamu ketahui bahawa ayahku pergi ke Baitulmadqis dari Mekah dengan berjalan kaki. Sewaktu beliau pulang dari Turki pernah mendapat pelbagai hadiah dari Sultan Turki, di antaranya globe dunia yang besar sehingga tidak muat pintu ketika akan dibawa masuk ke rumah...", demikian cerita ibu penulis.

Setelah itu sekitar tahun 1960-an, penulis sering terbaca tentang Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Musthafa al-Fathani terselit dalam riwayat beberapa ulama yang diperkenalkan di majalah-majalah dan buku-buku.

Maklumat awal yang penulis perolehi mengenai beliau adalah berupa tulisan terdapat dua sumber. Sumber pertama pernah dibicarakan oleh salah seorang muridnya, seorang orientalis iaitu, Prof. Dr. C.Snouck Hurgronje yang dimuat dalam bukunya Mecca in The Latter Part Of The Nineteenth Century.

Maklumat pertama didengar bahawa Snouck Hurgronje adalah murid Sheikh Ahmad al-Fathani melalui cerita Saiyid Muhammad Yusof Zawawi, yang ketika hidupnya pernah sebagai Mufti Terengganu. Beliau menjelaskan kepada penulis sewaktu berada di Masjid Negara pada tahun 1977. Cerita beliau tersebut dikuatkan pula dengan pelbagai catatan yang penulis temui beberapa tahun kemudiannya.

Sumber kedua ditulis oleh murid Tok Kenali dalam majalah Pengasuh, bertarikh 2 Zulkaedah 1352 H/ 15 Februari 1934 M, hari khamis, jilid ke 17, muka ke 13 dan 14.

Sedikit mengenainya penulis salin tanpa perubahan bahasa, iaitu: "....al-Allamah Sheikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani yang terkaya daripada ujian umpama kita ini. Betapakah tiada berkata demikian itu? Kerana ilmu yang mengandungi pelajaran agama itu masih ada lagi sekarang 60 perkara ilmu. Maka al-Allamah itu dapat empat puluh tujuh ilmunya seperti mengkhabarkan kepada penulis satu orang alim yang dipercayai khabarannya kerana dia berkebetulan pada satu masa itu ada peluang. Maka al-Allamah itu mentakrifkan 47 ilmu itu satu persatunya.

"Dan setengah-setengah ia karang ilmu itu. Maka sekarang ini, ada juga setengahnya seperti syaikhuna al-Kanali, dapat dua puluh empat. Kalau pembaca-pembaca hendak tahu insya-Allah saya akan sebut. Sebab almarhum itu (Maksudnya Tok Kenali) dapat setengah ilmu al-Allamah pada bilangan itu ialah kerana banyak mukhalathah dan mengaji daripadanya. Katakanlah seperti Abu Hurairah dengan Nabi kerana banyak bercampurnya dapat riwayat hadis tujuh ribu lebih. Dan al-Allamah yang tersebut itu almarhum sentiasa puji dan sebut; menunjukkan kasihnya demikianlah al-Allamah itu telah dapat khabar bahawa murid-murid yang lebih disayang ialah almarhum..."

Mengenai Sheikh Ahmad al-Fathani ini, penulis pernah menerbitkan buku kecil di Yala (1971-1972) dan pernah dimuat dalam majalah Dian bilangan 49, tahun 1972. Kedua-dua karya tersebut adalah karya penulis yang pertama diterbitkan.

Selain itu, khusus mengenai pemikiran Sheikh Ahmad al-Fathani ada tujuh siri pernah dimuat dalam Dewan Budaya mulai April 1991 sehingga September 1991 dan disambung dalam bulan Oktober 1991. Dalam majalah Dakwah pula mulai Ogos 1989 hingga April 1991, dan disambung lagi Jun 1991 hingga Disember 1991, yang penulis tulis khusus membicarakan ulama-ulama Malaysia dan Patani. Sebahagian besar ulama yang dibicarakan ada hubungkaitnya dengan Syeikh Ahmad al-Fathani.

Adakalanya mengenai pertalian dalam kekeluargaan, pertalian keilmuan daripadanya hingga ke atas dan murid-murid beliau.

Riwayat ringkasRiwayat ringkas Sheikh Haji Wan Mushthafa al-Fathani, iaitu datuk kepada Sheikh Ahmad al-Fathani, pernah penulis tulis dalam majalah Al-Islam, Januari 1990, iaitu siri ke-3 di bawah judul Thabaqat Para Ulama Patani.

Dalam Jurnal Dewan Bahasa, Mac 1990, penulis perkenalkan pemikiran bahasa dan huruf Melayu baru ciptaan Sheikh Ahmad al-Fathani. Dalam Jurnal Bahasa, September 1991, diperkenalkan pula kitab Hadiqatul Azhar war Rayahin yang merupakan karya Sheikh Ahmad al-Fathani.

Sepanjang tahun 1990 dan 1991, dalam Jurnal Dewan Bahasa, penulis perkenalkan pelbagai kitab karya ulama dunia Melayu, yang sebahagian besar juga menyentuh nama Sheikh Ahmad al-Fathani, kerana beliau adalah selaku pentashih pertama. Nazham atau syair Sheikh Ahmad al-Fathani, baik dalam bahasa Arab mahu pun dalam bahasa Melayu, beberapa buah di antaranya juga penulis sebut dalam jurnal tersebut itu.

Selain yang penulis sebutkan, masih banyak mengenai Sheikh Ahmad al-Fathani yang ditulis dalam majalah lainnya, di antaranya majalah Pengasuh.

Sebagai kesinambungan dari semua yang tersebut di atas, penulis menerbitkan pula buku khusus mengenai ulama ini, berjudul Sheikh Ahmad al-Fathani: Pemikir Agung Melayu dan Islam, Jilid 1 dan 2, terbitan Khazanah Fathaniyah, 2005.

Buku tersebut terkumpul maklumat lengkap mengenai Sheikh Ahmad al-Fathani hasil dari kajian demi kajian yang penulis selidiki. Dalamnya terkandung di antaranya mengenai pemikiran dan perjuangannya, termasuk aktiviti keseluruhan murid-muridnya yang terkenal, keluarganya yang menjadi ulama dan tokoh dunia Melayu, dan lain-lain yang penulis fikirkan perlu ditonjolkan.

Penulis dulukan perkataan 'Melayu' dari perkataan Islam dalam judul buku tersebut adalah bermaksud bahawa beliau adalah seorang ahli fikir yang terbesar untuk seluruh zaman bagi dunia Melayu.

Penulis tidak bermaksud mengatakan bahawa Sheikh Ahmad al-Fathani adalah pemikir agung atau besar untuk dunia Islam antarabangsa. Namun walau pun kecil, tidak dapat dinafikan bahawa ada peranan, sumbangan dan pemikiran beliau untuk kepentingan umat Islam sejagat hingga peringkat antarabangsa.

Kesinambungan daripada itu, penulis memperkembangkan lagi perbicaraan mengenai Sheikh Ahmad al-Fathani melalui artikel ini secara bersiri, seperti yang pernah penulis lakukan sebelum ini.

Ia dimulakan dengan pengenalan, seterusnya biografi yang mengandungi asal-usul keluarga beliau, keturunannya, keluarga yang menjadi ulama dan tokoh, murid-muridnya, kewafatannya, hasil-hasil karya beliau yang terkenal, dan pemikiran-pemikiran dalam pelbagai bidang.

Sebagai permulaan, penulis memulakan dengan pengenalan dan asal-usul nama beliau sahaja. Seterusnya mengenai yang selainnya akan dibicarakan dalam siri-siri selanjutnya.

Asal-usulNama lengkap Sheikh Ahmad al-Fathani ialah Sheikh Wan Ahmad bin Muhammad Zainal Abidin bin Datu Panglima Kaya Sheikh Haji Wan Mushthafa bin Wan Muhammad bin Wan Muhammad Zainal Abidin (faqih Wan Musa al-Jambui as-Sanawi al-Fathani) bin Wan Muhammad Shalih al-Laqihi bin Ali al-Masyhur al-Laqihi.

Walau bagaimana pun nasab yang sahih dan tahqiq dari Sheikh Ahmad al-Fathani sendiri ialah: Ahmad bin Zainal Abidin bin Haji Wan Mushthafa bin Wan Muhammad bin Wan Muhammad Zainal Abidin al-Fathani.

Nasab ini beliau tulis pada tiga tempat iaitu pada akhir Hadiqah al-Azhar, juga pada akhir Tuhfatul Ummah dan dalam sebuah catatan.

Tetapi pada semua cetakan Ar-Risalah al-Fathaniyah ialah: Ahmad Zainal Abidin bin Haji Wan Mushthafa bin Wan Muhammad bin Musa al-Fathani. Pada nama Zainal Abidin disebut nama 'Musa'.

Ada kemungkinan 'Zainal Abidin' adalah sebagai nama gelar untuk Syeikh Faqih Wan Musa al-Fathani, kerana 'Zainal Abidin' bermaksud 'perhiasan orang-orang yang mengabdikan diri kepada Allah'.

Dalam salah satu manuskrip tulisan Tok Kelaba al-Fathani, ada dicatat bahawa datuk-neneknya berasal dari negeri Khurasan, iaitu yang pertama datang ke dunia Melayu bernama 'Syarif Zainal Abidin'.

Beliau ini merantau ke Pulau Jawa, lalu berkahwin dengan seorang perempuan yang berasal dari Minangkabau. Oleh sebab terjadi sesuatu peperangan di Jawa, maka 'Syarif Zainal Abidin' bersama dengan salah seorang Raja Jawa keluar dari Pulau jawa lalu terdampar di Kelaba, iaitu sebuah negeri dalam Daulah Islam Patani Darussalam.

Syarif Zainal Abidin adalah seorang ulama, sehingga mudah baginya mendapat pengaruh di Kelaba dan juga meninggal dunia di Kelaba. Anak Syarif Zainal Abidin bernama Abu Bakar, berpindah ke Kelantan, dan tinggal di Kampung Laut, Kelantan. Di Kampung Laut (Kelantan), beliau memperolehi anak bernama Abdullah. Abdullah memperolehi anak bernama Abdul Shamad.

Abdul Shamad ini pindah pula ke Kelaba dan mendapat anak bernama Abdul Mukmin. Abdul Mukmin mendapat anak bernama Abdul Latif, dan Abdul Latif mendapat anak bernama Husein (Tok Kelaba).

Syarif Zainal Abidin yang dicatat oleh Tok Kelaba sebagai datuk neneknya itu adalah sezaman dengan Zainal Abidin yang disebut oleh Sheikh Ahmad al-Fathani. Oleh sebab ada hubungan kekeluargaan antara Sheikh Ahmad al-Fathani dengan Tok Kelaba, maka penulis yakin pertemuan nasab kedua-duanya adalah pada nama Zainal Abidin. Zainal Abidin pada salasilah Tok Kelaba kemungkinan adalah orang yang sama dengan Zainal Abidin pada salasilah Sheikh Ahmad al-Fathani.

Adapun nama Musa bin Muhammad Salleh bin Ali al-Masyhur al-Laqihi al-Fathani adalah berdasarkan tulisan Sheikh Muhammad Nur bin Sheikh Muhammad Ismail Daudy al-Fathani.

PenutupSelanjutnya, mengenai yang lain-lainnya akan dibicarakan dalam artikel ini secara bersiri-siri. Ia meliputi asal-usul keluarganya, keturunannya, keluarga yang menjadi ulama dan tokoh, murid-muridnya, kewafatannya, hasil-hasil karyanya yang terkenal, dan pemikiran-pemikiran beliau dalam pelbagai bidang.

Sheikh Daud Al-Asyi dan keturunannya  

Posted

Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Saghir Abdullah
H.M.Zainuddin dalam bukunya Tarich Atjeh dan Nusantara meriwayatkan bahawa Abdullah al-Malikul Mubin yang kuburnya di Aceh tahun 799 H ini memperoleh beberapa orang anak iaitu:

1. As-Saiyid Syeikh Ahmad at-Tawawi Talabahu Tarahu, tinggal di negeri Pasai.

2. As-Saiyid Syeikh Muhammad Sa'id Tattahiri, tinggal di negeri Campa.

3. As-Saiyid Syeikh Muhammad Daud, tinggal di Patani.

4. As-Saiyid Syeikh Abdul Wahhab, tinggal di Kedah.

Menurut H.M.Zainuddin dalam bukunya di halaman 54 bahawa tahun 799 H itu bersamaan tahun 1407 M, tetapi menurut perhitungan penulis, tahun 799 H itu bersamaan dengan tahun 1396 M.

Pada halaman 58 dan 62 buku tersebut, H. M. Zainuddin menyebut bahawa Sultan Inayat Syah, salah seorang Sultan di Aceh Besar adalah putera Abdullah al-Malikul Mubin juga. Barangkali juga yang dimaksudkan dengan as-Saiyid Sheikh Muhammad Sa’id Tattahiri (nombor 2 pada senarai) itu adalah Sheikh Muhammad Sa’id al-Barsisi yang kuburnya dijumpai di Tanah Ujung Lidah, Patani (Thailand) yang telah diriwayatkan.

Ada pun yang dimaksudkan dengan as-Saiyid Sheikh Muhammad Daud itu, memang terdapat yang bernama demikian di Patani pada zaman yang disebutkan. Malah beliau meninggalkan keturunan yang menjadi ulama, baik di Patani mahu pun terjadi perpindahan kemudiannya ke Betawi.

Menurut H. M. Zainuddin, Pangeran Abdullah bin Muhammad bin Abdul Qadir yang tersebut adalah keturunan darjat keenam Khalifah Bani Abbas Abu Ja’far al-Muntasir atau kaum Abbas al-Muqtasir.

Memerhatikan kenyataan-kenyataan oleh H. M. Zainuddin dalam bukunya itu, bahawa Sheikh Muhammad Daud anak Sheikh Abdullah al-Malikul Mubin berasal dari Aceh ke Patani itu adalah keturunan Bani Abbas, maka dapat dihubungkaitkan dengan Sheikh Shafiyuddin (Tok Raja Faqih).

Dalam versi Patani sangat terkenal riwayatnya bahawa ulama ini dari Aceh ke Patani dan beliau juga keturunan Bani Abbas. Jika benar yang dimaksudkan dengan as-Saiyid Sheikh Muhammad Sa’id bin Abdullah al-Malikul Mubin yang dikatakan jatuh ke Campa itu adalah Sheikh Muhammad Sa’id yang banyak dibicarakan dalam beberapa versi sejarah Patani, ini bererti peranan Bani Abbas sangat penting dalam perkembangan Islam di Aceh dan Patani.

Sebagaimana Sheikh Shafiyuddin al-Abbasi (Tok Raja Faqih) dan Sheikh Muhammad Sa’id diketahui keturunannya di Patani, demikian halnya dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Malikul Mubin.

Sheikh Daud yang tersebut itu memperolehi anak di Patani bernama Sheikh Ali. Sheikh Ali memperoleh anak bernama Sheikh Muhammad. Sheikh Muhammad memperoleh anak bernama Ahmad. Ahmad memperoleh anak bernama Sheikh Shalih. Sheikh Shalih memperoleh anak bernama Sheikh Thahir. Muhammad Thahir memperoleh anak bernama Abdur Rahman (nama yang lain Ahmad Thaiyib).

Abdur Rahman/Ahmad Thaiyib memperolehi anak bernama Khatib Sa’ad (digelar Ahmad Nom) memperoleh anak Sheikh Ahmad al-Mirsad. Sheikh Ahmad al-Mirsad memperoleh anak Kiai Sheikh Ahmad al-Marzuqi.

Mengenai salasilah catatan yang dikumpulkan ini, ia bersesuaian pula dengan yang disebut oleh Sheikh Yasin Padang dalam Bulughul Amani di halaman 164, mengenai salasilah Sheikh Kiai Marzuqi al-Fathani al-Batawi.

Perpindahan dan peranan ulama Patani di Betawi/Jakarta

Kedatangan orang Patani ke Betawi, baik secara langsung dari Patani atau pun setelah mereka dari Campa memang sejak lama. Pada zaman dulu, Betawi juga dinamakan dengan Sunda Kelapa, Jayakarta dan Batavia, tetapi sekarang ialah Jakarta.

Jika benar Sunan Gunung Jati /Syarif Hidayatullah adalah putera Sultan Umdatuddin bin Saiyid Ali Nurul Alam, Sultan di Campa, menurut satu versi bahawa Sunan Gunung Jati tersebut berhasil menguasai Sunda Kelapa itu pada 21 Jun 1527 M.

Sejak itu, beliau dan orang-orang Patani yang ada hubungan dengan Sunan Gunung Jati berhijrah ke Betawi untuk membantu dan mengukuhkan kedudukan Sunan Gunung Jati.

Di antara sekian ramai orang Patani termasuklah keturunan Sheikh Daud bin Abdullah al-Malikul Mubin.

Salah seorang di antara keturunannya ialah Wan Abdul Bagus, datuk neneknya berasal dari Patani tetapi beliau sendiri dilahirkan di Betawi. Beliaulah yang membuka Kampung Melayu di Betawi pada tahun 1656 M. Pemerintah kolonial Belanda melantik Wan Abdul Bagus menjadi ketua orang-orang Melayu atau digelar dengan Captain Malleyer.

Wan Abdul Bagus al-Fathani menguasai tanah yang luas di bahagian tepi kiri-kanan Kali Ciliwung sebelah selatan dan bersempadan dengan tanah Meester Cornelis. Pemilikan tanah dikeluarkan dalam tahun 1661 M dan ditambah lagi tahun 1696 M sehingga menjadi amat luas.

Wan Abdul Bagus meninggal dunia tahun 1716 M. Beliau digantikan anaknya Wan Abdullah bin Wan Abdul Bagus al-Fathani sehingga Belanda merampas kekayaan dan melucutkan jabatannya sebagai Kapten Melayu. Kemudian Wan Abdullah ditangkap, dipenjara, diseksa dan dibuang.

Berdasarkan cerita di atas dapat disimpulkan bahawa keluarga besar ulama Patani pernah berperanan penting di Betawi baik dalam kepemimpinan duniawi mahu pun ukhrawi.

Selain itu, terdapat jalinan hubungan ulama antara Aceh-Patani-Betawi. Generasi terakhir orang Patani yang berperanan sebagai ulama terkenal di Betawi ialah Kiai Sheikh Ahmad al-Marzuqi al-Fathani al-Betawi, yang datuk neneknya ialah Sheikh Daud bin Abdullah al-Malikul Mubin, seperti yang telah disebutkan.

Kiai Sheikh Ahmad al-Marzuqi wafat di Betawi hari Jumaat 25 Rejab 1353 H/1934 M.

Wan Abdur Rahman Pendiri Masjid Jami’ Sabang Barat  

Posted

Koleksi tulisan Allahyarham
WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

PULAU Midai yang dimulai dengan pemerintahan, sebagai ‘Wakil Sultan Riau-Lingga, Johor dan Pahang dan sekelian daerah takluknya” ialah Raja Haji Ilyas bin Raja Haji Umar. Mulai dengan penanaman pohon kelapa sama dengan daerah Pulau Tujuh lainnya sekitar tahun 1870-1880M.

Pusat pemerintahannya di Suak Midai. Untuk mengatur pemerintahannya, Raja Haji Ilyas terlebih dahulu mendirikan tiga bangunan yang dianggap penting, iaitu:

1. Masjid yang dinamakan Masjid Raja.

2. Pejabat pemerintahannya terletak di laut.

3. Rumah kediamannya terletak berdekatan dengan masjid.

Semua bangunan tersebut didirikan sekitar tahun 1882M, iaitu setelah kelapa mengeluarkan hasil.

Tindakan Raja Haji Ilyas mendahulukan dan mengutamakan bangunan masjid dari lainnya, adalah mengikuti jejak langkah Nabi Muhammad SAW sewaktu berpindah dari Mekah ke Madinah yang diutamakan dan membangun Masjid Quba. Juga telah menjadi adat raja-raja Melayu bahawa di mana raja membuat tempat kediaman, hendaklah terlebih dahulu membangunkan rumah ibadat atau masjid.

Sultan Syarif Abdur Rahman, Sultan Pontianak, yang pertama misalnya, turut mendahulukan masjid daripada yang lainnya. Masjid yang didirikan Raja Haji Ilyas tersebut sampai sekarang masih ada dan sekarang dinamakan Masjid az-Zuriyat.

Oleh kerana pusat pemerintahan tidak di Suak Midai lagi dan dipindahkan ke Tanjung Enong Tanjung Keramat dan pelabuhan kapal di Sebelat, maka berdiri sebuah masjid lagi di Suak Besar atau di lokasi Wakaf Umum Suak Besar sekarang.

Di zaman pemerintahan Raja Haji Ilyas, penduduk majoritinya ialah orang-orang Pesuku (orang laut). Pada masa itu, sebahagian besar yang mengisi Masjid Raja hanyalah kaum Diraja sahaja. Adapun setelah ramai para pendatang, masjid di Suak Besar mulai dikunjungi orang.

Namun pada masa itu apabila hari Jumaat terpaksa raja-raja memerintahkan orang-orang hitam Habsyi (hamba abdi raja yang dibeli) supaya menangkap mereka yang tidak mengerjakan Jumaat. Kemudian dibawa ke Suak Besar supaya melakukan solat Jumaat.

Orang-orang yang ingkar terpaksa melalui jalan pantai apabila mereka melalui masjid di Suak Besar itu. Tetapi orang-orang Habsyi tetap mengejar mereka dan memaksa dengan kekerasan supaya ke masjid. Ibarat secara paksa demikian berjalan seberapa lamanya, sehinggalah masjid di Suak Besar itu diimami oleh Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar.

Bermula riwayatnya, apabila Haji Wan Abdur Rahman datang dari Mekah sekitar tahun 1336 H, maka masyarakat melantiknya menjadi Imam Suak Besar sekali gus sebagai ‘Ulama Bertauliah’ di Midai. Beliau tidak menyetujui ibadat dengan cara paksa seperti tersebut.

Pemerintah Midai ketika itu yang sebagai muridnya menyetujui bahawa ibadat Jumaat secara tangkap paksa tersebut dihentikan. Oleh kerana sebahagian besar penduduk ketika itu memang masih jauh ketinggalan tentang hukum-hukum Islam, hal ini mengakibatkan dari hari ke hari jemaah ke masjid semakin berkurangan.

Mendirikan masjid baru

Setelah ditinjau, Haji Abdur Rahman mendapati bahawa perkara itu bukanlah disebabkan orang-orang yang tidak melakukan solat Jumaat, tetapi kerana penduduk di Suak Besar memang tidak ramai.

Orang mulai ramai di Sabang Barat. Beliau mulai mengambil inisiatif untuk memindahkan Masjid Suak Besar itu di tempat penduduk yang mulai pesat dan bakal berkembang.

Maka pada satu hari setelah solat Jumaat diadakan pertemuan kilat di Masjid Suak Besar itu, yang terdiri para tokoh, iaitu:

1. Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar, imam dan guru bertauliah

2. Penghulu Ismail, Ketua Pemerintah Midai pada ketika itu.

3. Raja Ali bin Raja Mohammad Nong, Ketua Syarkah Ahmadi & Co Midai, juga seorang tokoh terkemuka Riau, terutama Pulau Tujuh dan Singapura.

4. Haji Abdullah Yusuf, Ketua Air Putih Syarkah, dan ulama besar yang mempunyai surat boleh mengajar di Masjidil Haram, Mekah.

5. Dukun Mahmud, tokoh masyarakat Kuantan.

6. Teguh, tokoh masyarakat Kuantan.

7. Pehin Datu, tokoh masyarakat Kuantan.

8. Sihak, seorang pedagang/ orang kaya.

9. Intan Judin, ketua Syarikat Dagang Kampar.

Permulaannya, Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar memberikan dasar mendirikan masjid menurut Mazhab Syafie, di antaranya ialah, “Tidak sah negeri yang berkota mendirikan Jumaat di luar kota, tidak sah negeri yang tidak berkota mendirikan Jumaat di kesudahan tempat yang didiami manusia.”

Maka apabila dikaji, didapati bahawa kota dan pelabuhan Midai ketika itu ialah Sabang Barat. Selain itu, didapati juga Masjid Suak Besar ketika itu terletak jauh di luar kota dan di tempat yang hampir-hampir tidak didiami orang.

Hasil perbincangan itu, memutuskan perkara-perkara berikut iaitu:

1. Memindahkan solat Jumaat dan Masjid Suak Besar ke Sabang Barat.

2. Membangunkan masjid baru untuk solat Jumaat dan lain-lain lagi di Sabang Barat.

3. Imam masih tetap pada ketika itu iaitu Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar.

4. Ketua bagi mengelola pembangunan diamanahkan kepada Raja Ali bin Raja Muhammad Tengku Nong, sekali gus mewakili bumiputera dan nama Syarikat Ahmadi & Co Midai.

5. Ketua pengurus Kampar-Kuantan diberi kepercayaan kepada Tauke Sihak dan Dukun Mahmud.

Maka Raja Ali mulai menjalankan tugasnya dengan menyuruh orang menebang pohon-pohon kelapa. Dilaksanakan kerja-kerja yang secara gotong-royong itu dimulai pada 7 Syawal 1341 H bersamaan 21 Mei 1922 M, dengan mengangkut batu dari laut dan dibawa ke lokasi yang dibangunkan. Arkiteknya didatangkan khusus dari Terengganu, seperti mana permintaan Raja Ali sendiri.

Lebih kurang setahun kemudian, maka tibalah dua perahu besar dari Terengganu di bawah pimpinan Wan Abdullah Terengganu atau popular dengan gelaran Cik Wan Lah, masuk di Pelabuhan Sabang Barat. Tidak dinafikan lagi bahawa kedu-dua perahu itu membawa bahan-bahan untuk membangunkan masjid yang siap dipahat dan diketam di Terengganu, hanya tinggal untuk memasangnya sahaja. Boleh dikatakan bahan-bahan untuk dibangunkan masjid tersebut didatangkan khusus dari Terengganu, melainkan simen yang diimport lebih awal dari Singapura.

Hanya beberapa bulan sahaja, kerja-kerja mendirikan masjid itu siap sepenuhnya. Ia berdiri dengan megah di pinggir Kota Sabang Barat. Kota yang diapit oleh dua bangunan yang hampir sama bentuknya, iaitu bangunan Ahmadi & Co Midai dan masjid yang megah itu.

Masjid tersebut diberi nama Masjid Jami’ Sabang Barat, yang dirasmikan menjelang solat Aidilfitri pada hari Selasa, 1 Syawal 1342 H / 6 Mei 1924.

Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar adalah sebagai imam yang pertama sejak masjid itu dirasmikan sehingga beliau meninggal dunia pada hari Isnin, 22 Rejab 1344 H / 18 Februari 1926 M.

Pada sekitar tahun 1986, sewaktu masjid ini diperbaiki namanya ditukar kepada Masjid Baitur Rahman, mengambil sempena nama pendirinya Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar dan nama dua orang imam yang lain sesudah beliau yang juga bernama Abdur Rahman.

Bahan bangunan masjid

Hampir keseluruhan bahan bangunan masjid dibawa dari Terengganu. Antaranya adalah bahagian atap dibuat dari kayu belian, dinding dari kayu cengal, lantai dibuat dari simen yang didatangkan dari Singapura. Uniknya bangunan ini tidak menggunakan sebarang paku besi, tetapi memasak kayu.

Di bangunan loteng pada bahagian atas sekali terdapat reka bentuk seperti nisan. Hal yang sama juga pada muka di atas beranda yang terdapat satu nisan. Nisan-nisan tersebut dibuat sedemikian rupa kerana mengandungi maksud yang tersendiri, iaitu:

1. Nisan yang terletak pada muka sekali bermaksud sebagai lambang syarikat Ahmadi & Co Midai dan bumiputera yang tetap menjadi pemimpin untuk masjid dan sebarang kegiatan di Pulau Midai.

2. Ahmadi & Co Midai dan bumiputera menjunjung tinggi dan menghormati kaum pendatang, yang pada ketika itu yang teramai datang adalah Kampar dan Kuantan. Oleh itu, dua dari batu nisan tersebut bererti adalah lambang Kampar dan Kuantan.

3. Selain tiga nisan tersebut, terdapat satu lagi batu nisan yang terletak di atas mimbar. Ia diberi penafsiran bahawa sama ada bumiputera, Kampar atau Kuantan, mahupun siapa sahaja pasti akan mati. Ia dinisbahkan bahawa lumrah nisan pasti ada pada setiap kubur kaum Muslimin.

Nisan di atas mimbar adalah satu penegasan bahawa setiap khatib tidak sekali-kali membicarakan persoalan duniawi yang tidak ada sangkut paut dengan akhirat. Khatib diwajibkan memberi ceramah persoalan takwa dan wasiat. Bahawa sangat banyak hadis yang melarang berbicara dunia di dalam masjid.

Ciri-ciri masjid

Masjid Jami’ Sabang Barat mempunyai pagar-pagar yang terukir di kiri dan kanan beranda muka. Dari muka terdapat tiga pintu, satu menyorong jauh ke muka, Di mukanya terdapat anak tangga, yang di kiri dan kanannya ada beranda persis masjid Pulau Penyengat, Riau yang bersejarah itu. Dan di kiri kanan masjid masing-masing terdapat satu pintu naik ke atas.

Di bahagian atas loteng terdapat tempat untuk orang Azan, seolah-olah loteng bangunan Ahmadi & Co Midai yang ada pada satu masa dulu. Sebagaimana masjid-masjid lainnya, pada bahagian arah ke kiblat terdapat mihrab yang diukir.

Mimbar

Mimbar ialah tempat khatib berkhutbah. Khusus dipergunakan untuk khutbah setiap hari Jumaat, dan dua hari raya. Mimbar masjid ini juga penuh dengan ukiran bunga dan pohon yang menjalar dan merayap. Bunga melambangkan sesuatu yang harum. Agama Islam adalah termasuk perlambangan bunga yang harum itu. Islam itu merayap dan menjalar menuju sasaran penyebarannya.

Mimbar ini juga didatangkan dari Terengganu. Mengikut mimbar Nabi Muhammad SAW dan empat sahabat baginda Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali r.a. Sebagaimana yang diterangkan dalam fiqh-fiqh Mazhab Syafie sebagai berikut “Adalah mimbar Nabi SAW tiga tangga, selain dari Mustarah.”

“Nabi Muhammad SAW berkhutbah ditangga yang ketiga. Saidina Abu Bakar berkhutbah ditangga yang kedua. Saiyidina Umar berkhutbah di tangga yang paling bawah. Saidina Uthman berkhutbah naik semula ditangga yang ketiga seperti Nabi SAW.”

Tersebut di dalam kitab Bughyathut Thullab “Disebutkan pula bahwa di zaman pemerintahan Mu‘awiyah tangga mimbar dibuat sampai sembilan.”

Terdapat banyak lagi ciri binaan unik yang terdapat di dalam dan di luar Masjid Jami’ Sabang Barat ini, yang mana semuanya melambangkan maksud-maksud yang tersendiri yang tidak dapat diceritakan pada ruangan yang terbatas ini.

Penutup

Demikianlah riwayat ringkas tentang pembinaan masjid di Midai, yang pada waktu yang sama juga dibangunkan sebuah rumah wakaf untuk imam masjid di sebelah utara masjid.

Untuk artikel selanjutnya, akan dibicarakan pula mengenai sejarah hidup 10 tokoh-tokoh yang menjadi imam masjid tersebut.

Sheikh Idris Al-Marbawi pengarang Bahrul Mazi  

Posted

Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH


KITAB Tafsir Surah Yasin karangan Imam Asy-Syaukani terjemahan bahasa Melayu oleh Sheikh Al-Marbawi atas permintaan percetakan Musthafa Al-Baby Al-Halabi Mesir tahun 1353H.

ULAMA besar yang diperkenalkan pada kali ini tidak asing bagi kebanyakan pelajar-pelajar Alam Melayu amnya, dan di Malaysia khususnya. Beliau sangat terkenal dengan kamus Arab-Melayunya, iaitu Qamus al-Marbawi. Beliau ialah Sheikh Muhammad Idris Abdur Rauf al-Marbawi, seorang ulama yang berketurunan dari Kampung Merbau, Perak. Dilahirkan pada tahun 1893 M di Mekah, dan tarikh kembalinya beliau ke rahmatullah juga telah banyak ditulis orang pada 10 Oktober 1989, dimakamkan di Kampung Lubuk Merbau, Perak pada usia 96 tahun.

Tok Kenali antara Guru Sheikh Idris al-Marbawi

Ilmu yang paling banyak diperolehnya adalah dari Tok Kenali Kelantan. Sebelum ini, artikel mengenai Tok Kenali pernah dibicarakan penulis dengan judul Tok Kenali: Ulama Peringkat Wali yang dikeluarkan pada Isnin, 2 Oktober 2006.

Namun dirasakan perlu dibicarakan lagi secara umum berkenaan guru kepada Sheikh Idris Marbawi tersebut.

Tok Kenali adalah satu nama yang paling terkenal dalam dunia pengajian Islam bersistemkan pondok di Malaysia, bahkan juga seluruh Alam Melayu.

Beliau ialah murid yang paling dipercayai oleh Sheikh Ahmad al-Fathani, sehinggakan tiada satu rahsia perjuangan Sheikh Ahmad al-Fathani yang tidak diketahui oleh beliau.

Beliau meninggalkan murid yang sangat ramai. Antara yang menjadi ulama besar adalah Sheikh Idris Marbawi dan Sheikh Utsman Jalaluddin Penanti. (Sumber ini penulis perolehi daripada murid beliau, Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, seorang Mufti Mempawah Indonesia, yang didengar penulis pada tahun 1969 di Indonesia, Tuan Guru Haji Mahmud di Gajah Mati, Kedah, yang didengar pada tahun 1970, Kadi Haji Wan Ismail bin Hawan di Jala Patani pada tahun 1970, Kadi Haji Abdur Rahim Kelantan di Mekah pada tahun 1979, dan masih ramai yang lain yang belum perlu disebutkan).

Karya-karya yang dihasilkan

Sheikh Idris al-Marbawi meninggalkan karya-karya yang tidak kurang banyaknya. Terdapat dua karya beliau yang sangat terkenal, sehingga masih digunakan sehingga ke hari ini iaitu Qamus al-Marbawi dan Bahrul Mazi. Keterangan maklumat mengenai kedua-dua karya tersebut adalah berikut:

A. Qamus Idris al-Marbawi

Qamus Idris al-Marbawi adalah judul sebenar dalam persuratan. Dalam percakapan umum dinamakan kamus Marbawi. Kamus ini bukan kamus Arab-Melayu yang pertama ditulis. Terdapat kamus lain ditulis sekitar tahun berhampirannya. Namun, kamus ini mendapat tempat tersendiri dalam bidang perkamusan.

Paling luas penyebarannya

Antara keistimewaan kamus ini berbanding yang lainnya adalah kamus Arab-Melayu yang ditulis dengan Melayu-Jawi dan yang pertama paling luas penyebarannya di seluruh dunia Melayu. Bahkan ia turut digunakan oleh masyarakat Melayu di Mekah, Mesir dan beberapa tempat lain.

Ia turut digunakan oleh hampir semua orang yang belajar bahasa Arab dari kalangan suku kaum Melayu, Jawa, Bugis dan sebagainya.

Dalam mukadimahnya, beliau meluahkan yang terkandung dalam hatinya demi kemajuan bangsa Melayu, iaitu katanya: “Kemudian dari itu, maka sebelum masuk mengarang kamus ini, lebih dulu menerangkan maksudku mengadakannya, ialah memajukan bangsaku Melayu, sekiranya menuntut bahasa Arab adalah kamus penyuluhnya yang diharap, mendapatkan pelajarannya umpama nahu dan saraf.”

Kamus ini mengandungi dua juzuk. Juzuk pertama yang mengandungi 384 halaman dimulakan huruf Alif dan berakhir dengan Zha, yang mengandungi 18,000 kosa kata perkataan Arab yang diberi takrif atau ertinya ke dalam bahasa Melayu, dan terdapat juga 700 yang diisyaratkan dalam bentuk gambar.

Dalam juzuk kedua pula mengandungi 401 halaman, yang dimulakan daripada huruf ‘Ain dan berakhir dengan huruf Ya, juga terdapat 18,000 kosa kata Arab dan 500 yang diisyaratkan dalam bentuk gambar.

Berkenaan maklumat-maklumat lainnya berkaitan kamus Marbawi tersebut, telah banyak penulis bicarakan dalam Berita Harian, 28 Mac 2006 (Selasa) dengan judul ‘Kamus Marbawi Rujukan Pelajar Kuasai Bahasa Arab.’

B. Bahrul Mazi
Karya Syeikh Idris al-Marbawi yang berupa hadis yang terkenal ialah Bahrul Mazi, judul lengkapnya Bahrul Mazi li Syarh Mutkhtasar Sahihit Tarmizi. Ia merupakan terjemahan kitab Sahih Tarmizi dan disyarah oleh beliau.

Terjemahan Sahih Tarmizi secara lengkap ini adalah merupakan yang pertama sekali dilaksanakan dalam bahasa Melayu.

Bahrul Mazi adalah karya besar yang terdiri daripada 22 jilid yang sudah diterbitkan. Maklumat ringkas tentang keseluruhan jilidnya, adalah seperti berikut:

- Jilid I : Tanpa menyebut tarikh. Tebal 227 halaman. Menerangkan bicara bersuci dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 126 hadis dan 591 masalah.

- Jilid II: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan bicara sembahyang dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 138 hadis dan 454 masalah.

- Jilid III: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 240 halaman. Menerangkan bicara sembahyang dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 161 hadis dan 558 masalah.

- Jilid IV: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan bicara sembahyang; zakat dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 115 hadis dan 519 masalah.

- Jilid V: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 208 halaman. Menerangkan bicara puasa dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 110 hadis dan 473 masalah.

- Jilid VI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan bicara haji dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 108 hadis dan 458 masalah.

- Jilid VII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan bicara umrah dan jenayah. Terdiri daripada 114 hadis dan 483 masalah.

- Jilid VIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan baki bab-bab jenayah dan membicarakan Kitabun Nikah. Terdiri daripada 99 hadis dan 330 masalah.

- Jilid IX: Tarikh selesai menulis malam Rabu, 29 Syawal 1357 H di rumah berdekatan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Tebal 224 halaman. Menerangkan bab-bab talak, li’an dan jual beli. Terdiri daripada 117 hadis dan 226 masalah.

Bab-bab jualan
- Jilid X: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Menerangkan baki bab-bab jualan, bab-bab kadi, diat dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 180 hadis dan 259 masalah.

- Jilid XI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan korban, nazar-nazar, sumpah-sumpah, perjalanan Nabi dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 151 hadis dan 486 masalah.

- Jilid XII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan perang sabil, pakaian, makanan dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 170 hadis dan 353 masalah.

- Jilid XIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan minum-minuman, kebaktian, perhubungan rahim dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 152 hadis dan 472 masalah.

- Jilid XVI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Melengkapi atas baki bab-bab perhubungan rahim, perubatan, faraid, wala’, hibah, qadar dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 138 hadis dan 395 masalah.

- Jilid XV: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 248 halaman. Melengkapi bab-bab huru-hara, ta’bir mimpi dan saksi-saksi. Terdiri dari 105 hadis dan 301 masalah.

- Jilid XVI: Tarikh akhir Bab ar-Ru‘ya dan mengiringi bab-bab syahadah. Selesai malam Rabu, 21 Ramadan 1359 H/1940 M. Melengkapi atas bab-bab mimpi, saksi-saksi dan zuhud. Terdiri daripada 128 hadis dan 237 masalah.

- Jilid XVII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Melengkapi atas bab-bab sifat kiamat; pelembut hati, wara’ dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 100 hadis dan 210 masalah.

- Jilid XVIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Melengkapi atas bab-bab sifat syurga, neraka, iman dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 109 hadis dan 210 masalah.

Minta izin
- Jilid XIX: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Melengkapi atas bab-bab ilmu, minta izin dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 148 hadis dan 266 masalah.

- Jilid XX: Tarikh dicatat oleh pengarangnya, katanya: “Telah selesai hamba daripada menulis dan mengarangkan juzuk yang kedua puluh ini dengan kurnia Allah SWT kemudian daripada tergendala mengarangnya 16 tahun. Iaitu mula perang Inggeris dengan Jerman dan Jepun dan Itali pada tahun 1949, dan sudah juzuk ini pada malam Rabu 25 Ramadan dan 1373 bersamaan 18 Mei 1955." Melengkapi atas baki bab-bab adab, misal-misal, bab-bab pahala Quran dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 127 hadis dan 311 masalah.

- Jilid XXI: Mulai penulisan pada hari Khamis, 26 Syaaban 1374 H/19 Mei 1955 M, dan diselesaikan pada 25 Rabiulakhir 1376 H/10 Disember 1955 M. Tebal 255 halaman. Melengkapi atas segala bab tafsir. Terdiri daripada 92 hadis dan 335 masalah.

- Jilid XXII: Dimulai 25 Rabiulakhir 1376 H/10 Disember 1955 M, dan selesai pada malam 2 Jamadilakhir 1377 H/24 Disember 1957 M. Tebal 242 halaman. Melengkapi atas tafsir setengah-setengah ayat di dalam surah al-Maidah dan lain-lainnya. Terdiri daripada 95 hadis dan 351 masalah.

Penerbitan keseluruhan diusahakan oleh Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir, mulai tahun 1352 H/1933 M.

Pada kata aluan jilid pertama, pengarangnya menerangkan bahawa beliau telah belajar ilmu hadis daripada Sheikh Muhammad Ibrahim as-Samaluti, iaitu guru hadis yang mengajar berpuluh-puluh tahun di Jami’ Saiyidina Husein di Kaherah, Mesir. Bahawa ketika pulang ke rumah, beliau terus mencatat pelajarannya sehingga tersusunlah kitab besar Bahrul Mazi tersebut.

Kurang tersebar
Sebuah lagi karangan Sheikh Idris al-Marbawi yang kurang tersebar ialah kitab Tafsir Surah Yasin. Asal kitab ini adalah karangan Imam Muhammad bin Ali bin Muhammad asy-Syaukani dan diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Sheikh Idris al-Marbawi atas permintaan Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir pada tahun 1353H.

Pada mukadimah Sheikh Idris al-Marbawi menulis: “Adapun kemudian daripada itu, maka telah menuntut kepada hamba oleh Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir bahwa hamba terjemahkan tafsir yasin karangan asy-Syaukani daripada Arab kepada Melayu...”.

Kitab ini telah diterbitkan oleh Mathba‘ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir pada tahun 1353H/ 1935 M.

Harapan Sheikh Ahmad al-Fathani menerusi puisi  

Posted

Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

PENULIS masih lagi membicarakan puisi-puisi Sheikh Ahmad al-Fathani yang ditujukan kepada Sultan Terengganu, iaitu Sultan Zainal Abidin III. Maka ia diteruskan pula mengenai puisi-puisi pujian khusus untuk Sultan Terengganu, pengharapan Sheikh Ahmad al-Fathani kepada Sultan Terengganu untuk umat Islam dan Melayu, dan pengharapan kepada cendekiawan.

Pujian untuk Sultan Terengganu

Puisi pada bahagian ini merupakan pujian khusus untuk Sultan Terengganu, kerana ia mengandungi unsur sejarah dan asal-usul Sultan Terengganu. Ada tiga bait yang perlu dibicarakan di sini iaitu pada bait yang ke-18, 19 dan 20.

Terjemahannya adalah berikut:

“Baginda adalah orang yang mulia,

bahkan kemuliaan itu,

warisan daripada datuk neneknya

keturunan mulia

dari dahulu sampai sekarang

Memang raja putera raja

Keturunan yang mempunyai rantai kemuliaan

yang tiada pernah putusnya

Keturunan Saiyidina ‘Ali

Saiyid anak Saiyid

Keturunan yang tak melahirkan,

kecuali hanya kemuliaan.”

Syarah

Pada bait yang ke-18 dan 19, Sheikh Ahmad al-Fathani menyatakan bahawa baginda Sultan Terengganu adalah seorang raja yang mulia yang diwarisi daripada datuk neneknya. Yang diriwayatkan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani ini adalah benar, bagaimanapun salasilah yang telah ditemui masih dalam keadaan yang berbeza-beza.

Yang disebut oleh Sheikh Ahmad al-Fathani pada bait di atas relevan dengan tulisan Haji Muhammad Salleh bin Haji Awang (MISBAHA) dalam bukunya Mengkaji Sejarah Terengganu, jilid ke-2, beliau menulis, “...maka Tun Zainal ‘Abidin Paduka Maharaja ialah Sultan yang pertama dilantik bagi negeri Terengganu, keturunan beliaulah Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan Terengganu memerintah hingga ke hari ini bagi negeri Terengganu dan jajahan takluknya. Yang demikian jadinya keturunan Sultan Zainal Abidin itu Kerabat-Kerabat Diraja Terengganu kiranya disusuli sehingga kepada Bendahara Melaka yang pertama Tun Perpatih Besar (bapa saudara Sultan Muhammad Syah) sudah turun- temurun dari semenjak kurun Masihi yang keempat belas lagi. Sultan Zainal Abidin ini adalah seorang daripada putera Bendahara Paduka Raja Abdul Majid Bendahara Padang Saujana, Bendahara Johor yang kesembilan belas, lahir di Johor kira-kira pada tahun 1089 Hijrah...”.

Tulisan MISBAHA berbeza dengan sebuah salasilah yang diusahakan oleh Raja Haji Abdullah dan kawan-kawan, yang berasal dari Riau, diriwayatkan bahawa nama asal Sultan Terengganu yang pertama itu ialah Raja Ali, Mangku Bumi di Kerajaan Inderagiri tahun 1715 M - 1735 M digelar Zainal Abidin.

Dinyatakan pada salasilah bahawa ayahnya ialah Sultan Inderagiri yang kelima, bernama Sultan Jalaluddin Sulaiman Syah yang memerintah tahun 1658 M - 1669 M. Sultan Jalaluddin Sulaiman Syah adalah putera Sultan Jamaluddin Keramat Syah yang memerintah tahun 1599 M - 1658 M. Sultan Jamaluddin Keramat Syah putera Raja Ahmad digelar sebagai Sultan Muhammad Syah yang memerintah tahun 1557 M - 1599 M.

Dalam salasilah yang lain pula ada yang meriwayatkan sebagai berikut:

lTun Seri Lanang, iaitu Bendahara Paduka Raja Johor (1580-1615 M)

lPuteranya Tun Mat Ali, juga Bendahara Paduka Raja Johor

lPuteranya Tun Habib Abdul Majid, juga Bendahara Paduka Raja Johor (1688-1697 M)

lPuteranya Tun Zainal Abidin Paduka Raja kemudian bernama Sultan Zainal Abidin I

lSultan Terengganu yang pertama, 1725-1733 M

lPuteranya Tun Dalam, iaitu Sultan Mansur Syah I, Sultan Terengganu yang kedua, 1733-1093M

lPuteranya Sultan Zainal ‘Abidin II, Sultan Tereng-ganu yang ketiga, 1793-1808 M

lPuteranya Sultan Ahmad Syah I, Sultan Terengganu yang keempat, 1808-1830M

lPuteranya Sultan Daud, Sultan Terengganu yang keenam, yang memerintah hanya setahun sahaja, iaitu pada tahun 1831 M

lPuteranya Tengku Mahmud, Yang Dipertuan Muda Terengganu.

lPuteranya Sultan Ahmad Syah II, Sultan Terengganu yang kesepuluh, 1876 M -1881M.

lSultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu yang kesebelas, 1881 M - 1919 M.

lSultan Zainal Abidin III inilah yang dimaksudkan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dalam puisi beliau itu.

Dalam salasilah di atas didapati bahawa Sultan Zainal Abidin I adalah putera Tun Habib Abdul Majid. Tun Habib Abdul Majid pula adalah putera Tun Mat ‘Ali, Bendahara Paduka Raja Johor, salasilah ini ternyata berbeza dengan satu salasilah lain yang menyebut Tun Habib Abdul Majid adalah putera Maharaja Sri Di Raja.

Maharaja Sri Di Raja pula adalah putera Saiyid Zainal Abidin atau Tun Dagang bin Saiyid Abdullah al-Aidrus. Dari salasilah inilah yang bersambung terus hingga ke atas sampai kepada Nabi Muhammad SAW. Kemungkinan dari salasilah inilah Syeikh Ahmad al-Fathani berpendapat bahawa Sultan Zainal Abidin III adalah “Keturunan Saiyidina Ali ...”, pada bait yang ke-20. Yang dimaksudkan ialah Saidina Ali bin Abi Thalib, sahabat Nabi Muhammad SAW, saudara sepupunya, anak angkatnya dan sekaligus adalah menantu Nabi Muhammad SAW.

Hasil daripada perkahwinan Saiyidina Ali dengan Saidatina Fathimah itu, maka lahirlah keturunan “Saiyid” di seluruh dunia termasuk dunia Melayu. Seterusnya Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut, “Keturunan yang tak menzahirkan, kecuali hanya kemuliaan.”

Penghargaan kepada umat Islam dan Melayu

Bahagian seterusnya pula merupakan pengharapan Sheikh Ahmad al-Fathani kepada Sultan Terengganu untuk umat Islam dan Melayu. Puisi tersebut ternyata beliau tujukan kepada Sultan Terengganu, tetapi dalam Hadiqatul Azhar yang beliau tulis dalam bahasa Melayu adalah lebih luas lagi, iaitu ditujukan kepada Sultan-Sultan dan Raja-Raja Melayu di seluruh dunia Melayu.

Terjemahan puisi tersebut adalah berikut:

“Aku berharap,

semoga bangsa Melayu dapat maju

dengan pimpinannya

Dan dapat mencapai kemuncak peradaban

dan kesejahteraan.

Aku berharap,

semoga baginda berkenan menyebarkan ilmu,

ma‘rifah dan petunjuk

Lalu baginda menjadi kebanggaan

dan rakyat mendapat kejayaan.”

Syarah

Puisi pada bait yang ke-22 di atas adalah sangat identik dengan dua pucuk suratnya kepada Sultan Zainal Abidin III, dan sepucuk kepada Nik Mahmud bin Ismail Kelantan sewaktu Nik Mahmud itu beliau hantar belajar ke Mesir. Kandungan penting surat-surat tersebut adalah seperti berikut:

l Surat Kepada Sultan Abidin III, 13 Muharam 1323 H, “Serta dilanjutkan zaman Duli Tuanku serta zuriat Tuanku di dalam hening kerajaan yang tiada mencampuri akan dia kadr dan menyakiti oleh ajanib. Dan dilimpahi dengan nikmat dan rahmat, dan kekayaan yang ada padanya berkat yang memberi manfaat bagi agama Islam. Dan terangkat dengan dia oleh sebutan jenis Melayu.”

l Surat Kepada Sultan Zainal Abidin III, tanpa kenyataan tarikh, “Khusus minta lanjutkan umur Tuanku dan ‘iyal Tuanku Yang Maha Mulia di dalam berkekalan keridhaan Allah dan shafa’ kerajaan serta bertambah-tambah ketinggian dan luas daerah at-tamaddun bagi ummah al-Malayuwiyah dengan himmah dan tuah Tuanku yang ‘alaih. Yang mendapatkan kuat yang disuruh dengan dia di dalam ayat al-Quraniyah. Maka mendapat kita dengan demikian itu as-sa‘adah al-abadiyah.”

l Surat Kepada Nik Mahmud, lembaran 433, tanpa tarikh, “Supaya terangkat dengan demikian itu oleh nama jenis Melayu. Berat dan terhebat dengan dia oleh kerajaannya pada segala hati ajanib. Dan tertamadun dengan dia oleh siasah mereka itu sebagai tamadun yang muafakat dengan syarak.”

Sambungan seterusnya kalimat puisi pada bait yang ke-22 yang ditulis dalam bahasa Arab, dan terjemahan adalah berikut:

“Dan dapat mencapai kemuncak peradaban dan kesejahteraan”, kalimat ini pula sama tujuannya dengan kalimat beliau, “serta bertambah-tambah ketinggian dan luas dairah at-tamadun bagi ummah al-Malayuwiyah” (surat nombor 2). Dan sama tujuannya pula dengan kalimat beliau. “Dan tertamadun dengan dia oleh siasah mereka itu sebagai tamaddun yang muafakat dengan syarak” (surat nombor 3).

Puisi pada bait yang ke-25 dan ke-26 adalah penting untuk ditafsirkan. Namun di sini penulis mulai dari bait yang ke-24, terjemahannya adalah berikut:

“Dan yang lebih besar lagi,

aku berharap,

semoga baginda berkenan menyuruh ulama

dan cendekiawan yang memahami petunjuk

Agar mereka dapat

membukukan bahasa Melayu

Kerana aku bimbang ia akan hilang

atau dirusak oleh perubahan

yang berlaku dari masa ke masa

Begitu pula hendaklah mereka itu

mengarang Sejarah Melayu

yang meliputi segala perihal Melayu

Kalau tidak, mereka nanti akan hilang,

dalam lipatan sejarah.”

Syarah

Mengenai bahasa Melayu seperti yang tertera pada bait yang ke-24 dan ke-25 di atas, terdapat sebuah tulisan Sheikh Ahmad al-Fathani yang sama maksudnya, dengan puisi tersebut, iaitu: “Dan tercita-cita di dalam hati hamba, adalah setengah daripada orang yang petah-petah daripada ahli Melayu ia mentaklif pada mensabitkan lughat Melayu supaya ia terpelihara dari tahrif dan tabdil dengan sebab berlamaan masa dan dengan sebab bercampur dengan beberapa bahasa yang lain. Dan bahawa ia menterjemah kepada bahasa Melayu akan setengah-setengah daripada lughat Arab supaya mudah bagi tiap-tiap thalib oleh kehendaknya.

Huraian Sheikh Ahmad al-Fathani tentang bahasa Melayu, kata beliau, “Bermula kalimah lughat itu, ertinya: bahasa. Dan iaitu beberapa suara yang mengibarat dengan dia oleh tiap-tiap kaum daripada kehendak mereka itu.... Adapun takrif ilmu lughat, maka iaitu ilmu yang dibicarakan padanya akan tiap-tiap daripada segala lafaz yang dihantarkan daripada pihak menunjuknya atas segala maknanya dengan muthabaqah (berlapis-lapis)"

“Dan adalah ilmu lughat ini telah mengamat-amati dengan dia oleh bangsa yang besar-besar lain daripada bangsa Melayu kita. Istimewa orang Arab, maka mereka itulah terlebih terdahulu pada mentadwinkan dia dan mendhabithkan dia. Dan awal kitab yang dihantarkan pada lughat mereka itu, “Kitabul ‘Ain” bagi Khalil. Yang dialah awal mereka yang mentadwinkan ilmu ‘Arudh.

Kemudian maka menghantarlah mereka itu padanya akan beberapa banyak kitab yang besar-besar seperti Qamus dan Lisanul ‘Arab. Dan kemudian daripada demikian itu dengan masa yang lama maka meniru akan mereka itu oleh Peransis (Perancis) dan Inkeliz (Inggeris), dan lainnya daripada umat Nashara. Maka mentadwin mereka itu akan lughat mereka itu pada beberapa kutub (kitab-kitab). Dan menterjemah mereka itu akan lughat Arab kepada lughat mereka itu. Dan berbimbang mereka itu dengan mengajar dan berlajar mereka itu akan dia. Dan [mengambil] manfaat beberapa daulat mereka itu pada demikian itu akan beberapa banyak harta. Dan memuji mereka itu akan ‘ulama’ Arab pada demikian itu, dan mencerca mereka itu akan ‘ulama’ Yahudi. Berkata mereka itu, “Betapalah Yahudi yang adalah mereka itu dahulu daripada masa Masihi dengan beberapa ribu tahun tiada terlintas pada hati seseorang mereka itu bahawa mengarangkan pada mendhabitkan lughat mereka itu hingga masuk ia kepada berubah-ubah melainkan kemudian daripada ditadwinkan bahasa Arab dengan beberapa masa yang lain.” (Hadiqatul Azhar, 1321: 187-188).

Ketokohan

Ketokohan Sheikh Ahmad al-Fathani dalam bahasa Melayu sangat menyerlah apabila kita kaji dengan teliti beberapa tulisan beliau dalam Hadiqatul Azhar.

Begitu juga tulisannya dalam Al-Fatawal Fathaniyah, yang membuat perbandingan antara bahasa Arab, bahasa Kemboja dan bahasa Melayu termasuk bahasa-bahasa suku kaumnya.

Dari karya beliau Al-Fatawal Fathaniyah juga dapat kita hubungkaitkan dengan perkataan beliau, “Supaya ia terpelihara daripada tahrif (perubahan) dan tabdil (bertukar)”. Selengkapnya telah dibicarakan dalam buku Sheikh Ahmad Al-Fathani, Pemikir Agung Melayu dan Islam, jilid 1, halaman 150 - 162.

Dalam beberapa karyanya yang ditulis dalam bahasa Arab, Sheikh Ahmad al-Fathani berpendapat bahawa “Bahasa Melayu adalah bahasa yang paling fasih diucapkan sesudah bahasa yang digunakan oleh Nabi Muhammad SAW, iaitu bahasa Arab”.

Dalam karyanya berjudul Tashilu Nailil Amani dalam bahasa Arab, Sheikh Ahmad al-Fathani membandingkan bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa yang digunakan oleh suku kaum yang berada di dunia Melayu.

Beliau berpendapat, “Bahasa Melayu adalah bahasa yang paling ringan dan mudah daripada bahasa-bahasa penduduk wilayah itu. Kerana itulah kebanyakan orang Hijaz /Arab menggunakan bahasa Melayu dalam pergaulan dengan bangsa-bangsa di wilayah-wilayah tersebut yang berlainan bahasa dengan bahasa Melayu …”

Penghargaan kepada cendekiawan

Kemudian pada bait yang ke-26, dengan jelas Sheikh Ahmad al-Fathani menyatakan bahawa penulisan Sejarah Melayu sama pentingnya dengan mendokumentasikan bahasa Melayu.

Pengharapan Sheikh Ahmad al-Fathani mengenai pendokumentasian Bahasa Melayu dan Sejarah Melayu bukan hanya untuk Sultan Zainal Abidin III saja, tetapi juga ditujukan kepada golongan cendekiawan Melayu setiap zaman. Ini berdasarkan pengertian dari bait yang berikutnya atau bait yang ke-27, 28 dan 29, iaitu:

“Wahai segala cerdik pandai !

Hidupkan sejarah bangsamu

Dengan itu, kamu

akan disebut dalam sejarah

dan namamu

akan harum sepanjang masa

Dalam menulis sejarah

hendaknya diambil perhatian !

Menampilkan kebaikan raja-raja Melayu.

supaya sebutan baik dapat dikekalkan

Dengan itu, kamu

akan menjadi bangga

dan bernilai di mata lain bangsa

Kerana kamu,

telah dipimpin oleh raja yang bijak, berilmu dan berwibawa.”

Syarah

Mesej puisi di atas ada persamaannya dengan tulisan Syeikh Ahmad al-Fathani yang terdapat dalam Hadiqatul Azhar, yang ditulis dalam bahasa Melayu.

Oleh itu diturunkan beberapa bait sebagai contoh, seperti kata beliau, “Serta dapat pula bagi hadhrat segala raja-raja [Melayu] itu, jikalau diperbuatkan demikian itu, [akan] keredaan daripada Allah SWT dan Rasul-Nya yang mulia. Dan jadilah mereka itu terladang dan ikutan bagi segala mereka yang kemudian daripada mereka itu.

Maka masuk mereka itu di dalam mereka yang diimtinan [oleh] Allah dengan mereka itu seperti firman Allah........ (surah as-Sajadah, ayat 24). Ertinya: Dan kami jadikan mereka itu segala yang menunjuk mereka itu dengan pekerjaan kami. “Dan dapat pula bagi mereka itu pahala yang amat besar ganda berganda kerana pahala tiap-tiap mereka yang dapat manfaat dengan segala perbuatan itu, dan pahala tiap-tiap mereka yang mempunyai kekuasaan yang menirukan perbuatan itu, terbahagi ia dengan mereka itu selama-lamanya.”