Salasilah Sheikh Daud Abdullah Fathani  

Posted



Koleksi Tulisan Allahyarham: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
NAMA penuh beliau ialah al-Alim Allamah al-Arif ar-Rabbani Syeikh Wan Daud bin Syeikh Wan Abdullah bin Syeikh Wan Idris (juga dikatakan Wan Senik) al-Fatani. Ibunya bernama Wan Fathimah anak Wan Salamah bin Tok Banda Wan Su bin Tok Kaya Rakna Diraja bin Andi (Faqih) Ali Datok Maharajalela bin Mustafa Datu Jambu (Sultan Abdul Hamid Syah) bin Sultan Muzaffar Waliullah bin Sultan Abu Abdullah Umdatuddin.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Syeikh Daud Patani ini mempunyai lima beradik iaitu Syeikh Wan Abdul Qadir, Syeikh Wan Abdul Rasyid, Syeikh Wan Idris dan seorang adik perempuan namanya Siti Khadijah bin Abdullah al-Fathani.

Syeikh Daud al-Fathani adalah keturunan Faqih Ali. Rujukan asal yang mengatakan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani berketurunan Faqih Ali diperolehi tulisan Nik Mahmud Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan iaitu: “Syahdan dan pada suatu masa bulan sedang mengambang di tepi langit, tersebutlah cerita anak raja Bugis lari daripada saudaranya menumpang sebuah bahtera sampai ke Johor dan tumpang duduk berkirim diri rumah Laksamana Kota Tinggi, dipanggil Andik Ali.

“Tatkala Laksamana memandang kepadanya berasalah kasihan belas dan dipeliharanya sebagai anak angkatnya sendiri. Tidak berapa tahun kemudian diperjodohkan dengan anaknya Wan Tija. Tidak berapa lama selepas itu Andik Ali serta dengan isterinya pun beredar ke Patani menumpang di rumah Mekong Damit Kampung Bira pada tahun 1049 H.

“Maka kerana lemah lembut tingkah lakunya dan berpelajaran orang di Patani memanggilnya Faqih Ali. Di situ ia beristeri kepada Ce' Dewi anak Sri Biji Diraja. Baginda sampai di Patani kira-kira tahun 1637 M”.

Berbalik kepada Syeikh Daud al-Fathani, beliau dilahirkan di Kampung Parit Marhum, Kerisek, Patani. Kota Kerisek ini terkenal dalam sejarah kerana di sinilah Maulana Malik Ibrahim iaitu salah seorang Wali Songo pernah tinggal dan mengajar, sebelum berpindah ke Jawa Timur.

Tahun kelahirannya tidak dapat dipastikan kerana terdapat perselisihan pendapat di kalangan penyelidik mengenainya. Dalam catatan-catatan beberapa keluarga penulis yang ada hubungan dengan beliau, ada yang mencatat tahun 1133 H, 1153 H dan tahun 1183 H.

Sheikh Daud dan ilmu pengetahuan

Ayah Sheikh Daud iaitu Sheikh Wan Abdullah dan datuknya Sheikh Wan Idris adalah ulama besar untuk zamannya. Sejak kecil Sheikh Daud al-Fathani ditanam dan dididik dengan ajaran Islam oleh datuk dan ayahnya.

Tambahan pula menjadi tradisi zaman itu di Patani sentiasa diperkenalkan Islam sejak kanak-kanak lagi. Anak-anak yang berumur lima atau enam tahun dipaksa supaya menghafal pengetahuan mengenal Allah (ilmu tauhid), dan seterusnya diberi pelajaran nahwu dan sharaf juga secara menghafal.

Syeikh Daud al-Fathani telah melalui kesemua sistem pendidikan tradisional yang ada di Patani pada ketika itu.

Pada peringkat awalnya Syeikh Daud berguru dengan kaum keluarganya sendiri yang memang terkenal alim. Seorang daripada mereka ialah bapa saudaranya, Sheikh Shafiyuddin.

Ada yang berpendapat bahawa Sheikh Daud al-Fathani menerima pelajaran asasnya di Patani selama lima tahun, kemudian ke Aceh belajar dengan Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi selama dua tahun. Sheikh Muhammad Zain al-Asyi adalah seorang ulama terkemuka di Kesultanan Aceh.

Namun yang dapat dipercayai bahawa Sheikh Daud al-Fathani dan kawan-kawannya telah belajar di Mekah selama 30 tahun dan lima tahun di Madinah. Disebabkan masa belajar yang lama itu beliau digelar al-Alim Allamah al-Arif ar-Rabbani.

Setelah demikian lama beliau menuntut ilmu pengetahuan, maka beliau pulang ke Patani untuk menyebarkan ilmu pengetahuan di negeri tumpah darah sendiri. Namun timbul krisis peperangan antara Patani dengan Siam pada ketika itu.

Diriwayatkan bahawa beliau melibatkan diri dalam peperangan itu, terjun secara langsung di gelanggang jihad fi sabilillah.

Apabila terjadi peperangan tersebut, akhirnya beliau kembali ke Mekah bersama-sama beberapa pelarian politik. Sampai di Mekah, beliau dilantik menjadi Ketua Sheikh Haji dan beliau adalah orang pertama dilantik secara langsung sebagai ketua. Beliau juga melibatkan diri dengan penulisan yang merupakan hobi beliau, di samping mengajar di Masjidil Haram. Karangannya dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Arab.

Karangan beliau dalam bahasa Arab tidak banyak tersebar di Asia Tenggara. Adapun dengan bahasa Melayu tersebar secara meluas, walaupun di zamannya masih merupakan kitab tulisan tangan sahaja kerana belum ada yang bercetak.

Dalam beberapa karyanya, beliau mengupas masalah-masalah keilmuan. Antara lain tulisan beliau: Maka lazimkan olehmu hai saudaraku dengan menuntut ilmu yang fardu ain yang wajib atasmu. Belajar akan dia pada syarak supaya engkau dapat sahkan iktikad kamu dan ibadat kamu. Dan supaya sejahtera daripada seksanya. Dan supaya engkau akan dapat pahala, keredaan dan kasihnya”.

Pada mukadimah karyanya Bughyatuth Thullab, beliau menulis, ertinya “Dan adapun kemudian daripada itu maka bahawasanya beberapa nafas yang cerdik-cerdik yang menuntut bagi beberapa martabat yang tinggi-tinggi sentiasa perangainya itu di dalam menghasilkan beberapa ilmu syarak.

Beliau juga membuat penafsiran dalam beberapa hadis. Antaranya hadis berikut, “Sedikit Fiqhi itu lebih baik daripada banyak ibadat” yang ertinya: “Barang siapa belajar ilmu dan tiada berkehendak dengan dia akan wajah Allah s.w.t., tiada kerana-Nya melainkan supaya mengena dengan dia akan kehendaknya daripada dunia tiada akan bilik syurga yang ke atas pada hari kiamat”.

Beliau mengulas tentang hadis-hadis tersebut dalam Bughyatuth Thullab seperti berikut: “Maka dapat difahami hadis ini, tiada dipuji daripada kelebihan ilmu itu melainkan jikalau ada qasadnya dan tuntutnya itu berkehendak dengan dia akan wajah Allah s.w.t. dan berkehendak ia mengeluarkan dirinya daripada kelam kabut jahilnya kepada Nur ilmu.

“Maka jika ada qasadnya akan dunia seperti harta atau kebesaran atau gelaran atau kemegahan atau masyhur atau melengkapi muka manusia kepadanya dan lainnya maka iaitu dicela seperti barang yang tersebut pada hadis itu”.

Menurut beliau lagi: “Maka tatkala adalah kelebihan ilmu demikian itu maka sebenarnya bahawa tiap-tiap orang yang kasih bagi dirinya kebajikan maka hendaklah ia ijtihad atas qadar kuasa pada menghasilkan dia, kadang-kadang mengaji, kadang-kadang mengajar, kadang-kadang menunjukkan orang yang jahil satu bab daripada masalah memberi manfaat pada agama istimewa pula jikalau lebih lagi”.

Daripada kalimat-kalimat beliau itu dapatlah kita fahami bahawa seseorang Islam yang bertanggungjawab adalah terlebih dahulu memberikan pendidikan agama Islam kepada anak-anaknya. Ini adalah merupakan kewajipan agama Islam.

Adapun pendapat Sheikh Daud al-Fathani bahkan ulama-ulama di zaman lampau lebih terikat dan menitikberatkan pendidikan Islam berbanding pendidikan lainnya. Menurut Islam, yang utama dipelajari ialah belajar akan memberi faham dua kalimah syahadat, wajib taharah (bersuci), solat, puasa, hukum zakat, hukum berjual-beli menurut Islam dan lain-lainnya, semuanya telah diatur dalam fikah Islam.

Sheikh Daud al-Fathani dalam Bughyatuth Thullab berkata: “Selagi seseorang masih tidak mengerti akan seluk belok tentang keIslaman, maka seseorang itu tetap masih jahil, walau pengetahuan lain masih dikuasai demikian rupa”.

Kewafatan

Sheikh Daud al-Fathani wafat dan dimakamkan di Taif. Kuburnya bersampingan dengan kubur Saidina Abdullah bin Abbas iaitu sepupu Rasulullah s.a.w.. Tahun kewafatannya juga belum diketahui dengan pasti. Tetapi ada yang berpendapat beliau wafat sekitar tahun 1847 M, juga ada yang menyebut tahun 1265 H.

Menurut cerita ibu penulis Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani, beliau mendengar daripada ibunya, Hajah Wan Siti Saudah binti Abdullah bahawa jenazah beliau telah dipindahkan oleh Sheikh Nik Mat Kecik al-Fathani ke Mekah, ditanam di bawah pohon Bedara di rumahnya.

Hal ini disebabkan pada zaman itu pihak Wahabi akan membongkar semua kubur yang dikeramatkan termasuk kubur Sheikh Daud al-Fathani.

Bagi penulis, walaupun beliau telah lama meninggal dunia namun jenazahnya tidak hancur, darah masih berjalan kecuali nafas sahaja yang tiada.


Ulama hasil perkahwinan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari  

Posted

Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah
Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari sebanyak 11 kali. Daripada enam orang isterinya beliau melahirkan zuriat yang sangat ramai.

Mulai dari anak beliau sendiri, cucu hingga zuriat yang di bawahnya, sangat penting diperkenalkan untuk melanjutkan dakwah dan pendidikan yang berasal daripadanya. Sebagai berikut dipetik daripada tulisan Syeikh Abdur Rahman Siddiq.

Melalui isterinya Tuan Bajut menurunkan ulama-ulama seperti; Syeikh Muhammad Arsyad mendapat puteri yang pertama perempuan bernama Syarifah, yang kahwin pertama kali dengan Usman mendapat anak bernama Muhammad As’ad.

Perkahwinan Syarifah yang kedua kalinya dengan Alimul Allamah Syeikh Abdul Wahab Bugis mendapat puteri bernama Fathimah.

Tatkala baligh, Muhammad As’ad dan Fathimah diajar oleh datuk mereka, Sheikh Muhammad Arsyad tentang ilmu-ilmu Arabiah. Kedua-dua cucunya menjadi ulama sebelum lahirnya putera-putera beliau.

Muhammad As’ad mengajar kaum lelaki sedang Fathimah mengajar kaum perempuan. Muhammad As’ad inilah permulaan Mufti Kerajaan Sultan Martapura. Beliau memperoleh putera menjadi ulama, iaitu: Alimul-Allamah Haji Abu Thalhah, Alimul-‘Allamah Haji Abu Hamid, Alimul-Allamah Haji Ahmad, Alimul-Allamah Mufti Haji M.Arsyad dan Alimul-Allamah Haji Sa’adud-din.

Selanjutnya Syeikh Abdur Rahman Shiddiq menulis: “Fathimah menuntut ilmu dengan saudaranya Mufti Muhammad As’ad kepada datuknya Maulana Asy-Sheikh Muhammad Arsyad. Keduanya mendapat sekalian ilmu Arabiah, ilmu tafsir, hadis, usuluddin, fiqh dan lain-lain.

“Dia menjadi guru perempuan, menterjemah satu kitab Melayu bicara Fiqhi. Dinamakan Perukunan Besar dicetak di Mathbaah Makkatul Musyarrafah. Juga dinamakan Perukunan Jamaluddin, atas nama pakciknya. Fathimah kahwin dengan Haji Muhammad Sa’id Bugis, keluarga Alimul Allamah Haji Abdul Wahab”.

Melalui isterinya yang kedua Tuan Baiduri menurunkan ulama-ulama: Alimul Allamah Kadi Haji Abu Su’ud, Alimul Allamah Kadi Haji Abu Naim dan Alimul Allamah Kadi Haji Syihabuddin.

Alimul Allamah Kadi Haji Abu Su’ud bin Syeikh Muhd. Arsyad al Banjari (no. 1), beliau mewarisi ilmu secara langsung dari ayahnya. Beliau adalah kadi yang pertama di Banjar dan juga seorang pahlawan. Hasil perkahwinannya dengan Aminah memperoleh seorang ulama Haji Muhammad Sa’id Jazuli. Sewaktu pulang dari haji, kahwin lagi di Kedah dan memperoleh seorang putera, bernama Mas’ud.

Alimul Allamah Kadi Haji Abu Na’im bin Syeikh Muhd. Arsyad al Banjari mewarisi ilmu langsung dari ayahnya juga. Ia menjadi kadi yang kedua di Banjar.

Alimul Allamah Haji Syihabuddin bin Syeikh Muhd. Arsyad al Banjari juga mewarisi ilmu daripada ayahnya. Di Mekah beliau belajar daripada Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan juga kepada Sheikh Ahmad al-Marzuqi. Sheikh Syihabuddin adalah seorang ‘Khalifah Mufti’ dan kadi.

Beberapa keturunannya menjadi ulama. Antaranya Alimul Allamah Mufti Haji Abdul Jalil dan Alimul ‘Allamah Haji As’ad Fakhruddin.

Tahun 1258 H/ 1814 M, Raja-Raja Riau di Pulau Penyengat Indera Sakti minta kesediaannya menjadi guru di Kerajaan Riau.

Melalui isterinya yang ketiga Tuan Lipur menurunkan ulama: Alimul Allamah Haji Abdullah (wafat di Madinah) dan Alimul Allamah Fadhil Abdur Rahim. Pergi haji dengan kapal layar, kapalnya pecah dan beliau wafat.

Melalui isterinya yang keempat Tuan Guat menurunkan ulama-ulama: Alimul Allamah Khalifah Hasanuddin, Alimul Allamah Khalifah Haji Zainuddin dan Alimul Allamah Mufti Haji Jamaluddin.

Putera-putara Alimul Alamah Khalifah Hasanuddin yang menjadi ulama ialah Alimul Allamah Mufti Haji Muhd. Khald dan Alimul Fadhil Haji Muhd. Qaim.

Alimul Allamah Mufti Haji Jamaluddin bin Syeikh Muhd Arsyad al Banjari (no 3) pula memperolehi zuriat yang turut menjadi ulama. Mereka ialah Alimul Allamah Mufti Haji Muhd. Husein; Alimul Fadhil Kadi Haji Muhd. Amin; Alimul Allamah Kadi Haji Abdush Shamad dan Alimul Allamah Haji Muhd. Thasin.

Melalui isteri kelima, Ratu Aminah binti Pangeran Thaha bin Sultan Tahmidullah menurunkan ulama: Alimul ‘Allamah Mufti Haji Ahmad. Di masa hidupnya terkenal dengan sebutan Pangeran Ahmad. Mempunyai ilmu pengetahuan dari ayahnya. Ilmu-ilmu khusus yang dikuasainya ilmu alat (Arabiah); Falakiyah: Geografi (Ilmu Bumi) dan lain-lain. Ia menurunkan ulama-ulama: Alimul Fadhil Haji Muhd. Said Khatib; Alimul Fadhil Haji Muhd. Hassan.

Jumlah putera dan puteri Sheikh Muhd. Arsyad bin Abdullah al Banjari ialah 30 orang. Isterinya 11 orang, iaitu selain disebutkan di atas ada lagi isteri beliau, iaitu: Tuan Kadarmanik, Tuan Markidah, Tuan Liuh, Tuan Dai’ dan Tuan Palung.

Sheikh Abdur Rahman Shiddiq menyebut bahawa zuriat Sheikh Muhd. Arsyad bin Abdullah al Banjari berpangkat Mufti ialah 10 orang, yang berpangkat Kadi juga 10 orang.

Anak yang menjadi Mufti

1. Alimul Allamah Haji Jamaluddin bin Syeikh Muhd. Arsyad al Banjari.

2. Alimul Allamah Haji Ahmad bin Syeikh Muhd. Arsyad al Banjari.

3. Alimul Allamah Haji Muhd. As'ad bin Usman.

Beliau ialah mufti yang pertama di Kerajaan Banjar.

4. Alimul Allamah Haji Muhd. Arsyad bin Mufti Haji Muhd. As’ad (no .3)

5. Alimul Allamah Haji Syihabuddin.

Dari no. 1 sampai ke no. 5 adalah di zaman pemerintahan Sultan Banjar. Sementara, yang di bawah ini (No 6 sampai No 10) di zaman Belanda, iaitu:

6. Alimul Allamah Haji Muhd Khalid bin Allamah Hasanuddin bin Sheikh Muhd. Arsyad al Banjari.

7. Alimul Allamah Haji Muhd. Nur bin Alimul ‘Allamah Kadi Haji Mahmud.

8. Alimul “Allamah Haji Muhd. Husein bin Syeikh Muhd. Arsyad al Banjari.

9. Alimul Allamah Haji Jamaluddin bin Haji Abdul Hamid.

10. Syeikh Abdur Rahman Shiddiq bin Haji Muhd. Afif bin Alimul Allamah Kadi Abu Naim bin Syeikh Muhd. Arsyad al Banjari.

Adapun yang berpangkat Kadi, iaitu:

1. Alimul Allamah Abu Su'ud bin Syeikh Muhd. Arsyad al Banjari.

2. Alimul Allamah Abu Naim Bin Syeikh Muhd. Arsyad al Banjari.

3. Alimul Allamah Haji Mahmud bin Haji Muhammad Yassin.

Dari no. 1 sampai no. 3 menjadi Kadi di zaman pemerintahan Sultan Banjar, dan di bawah dari no. 4 sampai no. 11 di zaman Belanda iaitu:

4. Alimul Allamah Haji Muhd Amin bin Mufti Haji Jamaluddin bin Sheikh Muhd. Arsyad al Banjari.

5. Alimul Fadhil Haji Muhd. Ali al Junaidi bin Kadi Haji Muhd. Amin (no 4)

6. Alimul Allamah Haji Muhd. Said al Jazuli bin Kadi Haji Su’ud (no 1)

7. Alimul Allamah Haji Muhd. Amin bin Kadi Haji Mahmud (no 3)

8. Alimul Allamah Haji Abdush Shamad bin Mufti Haji Jamaluddin bin Sheikh Muhd. Arsyad al Banjari.

9. Alimul Allamah Haji Muhd. Jafri bin Kadi Haji Abdush Shamad (no 8)

10. Alimul Fadhil Kadi Haji Bajuri.

11. Alimul Fadhil Haji Muhd. As’ad bin Mufti Haji Muhd. Nur bin Kadi Haji Mahmud.

Sebagai tambahan yang menjadi Kadi keturunan beliau pula ialah:

12. Haji Ibrahim bin Mufti Haji Jamaluddin.

13. Haji Abu Thalhah bin Kadi Haji Abdus Samad

14. Haji Muhammad Thayib bin Haji Muhammad Qasim.

15. Haji Muhammad bin Haji Muhammad Qasim.

16. Haji Zainal bin Lebai Darun.

17. Haji Abdur Rahman bin Kadhi Haji Muhammad Sa’id.

18. Haji Qasim bin Mu’min.

19. Haji Muhammad Sa’id bin Mu’min.

20. Haji Muhammad Arsyad bin Kadi Haji Abdur Rahman.

21. Haji Hassan bin Mufti Haji Muhammad Sa’id.

22. Haji Abdur Rauf.

23. Haji Abdul Jalil bin Kadi Haji Muhammad Arsyad.

24. Haji Ahmad bin Abu Naim.

25. Haji Muhammad Arsyad bin Kadi Haji Abdur Rauf.

Mungkin masih banyak lagi yang belum diketahui. Maklumat di atas berasal dari karangan Sheikh Abdur Rahman Shiddiq dalam Syajaratul Arsyadiah halaman 73-74 yang telah diedit oleh penulis. Kecuali tambahan adalah dipetik daripada pelbagai buku, yang terakhir ialah buku Sejarah Kerajaan Banjar karangan Kiai Haji Jumri bin Haji Roys, lihat halaman 56 sampai halaman 58.

Berdasarkan buku itu pengarang adalah keturunan Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al Banjari dan Sheikh Abdur Rahman Shiddiq bin Muhammad Afif al Banjari tersebut.

Setelah penulis menemui banyak orang di lingkungan keturunan beliau dan mentelaah berbagai-bagai buku tentang beliau dan Banjar, maka ada lima orang keturunan beliau yang menjadi Mufti dan 16 yang menjadi kadi sebagai tambahan daripada yang disebut oleh Sheikh Abdur Rahman Shiddiq tersebut. Tambahan yang menjadi Mufti ialah; Haji Muhammad Hussein bin Mufti Haji Jamaluddin, Haji Abdul Jalil bin Mufti Haji Syihabuddin, Haji Muhammad Yunan bin Mufti Haji Muhammad Amin, Haji Sa’id bin Haji Abdur Rahman dan Haji Mukhtar bin Kadi Haji Hassan.

Mungkin banyak yang belum penulis ketahui kerana belum mendapat keterangan yang jelas dari buku-buku ataupun keturunan beliau. Oleh itu, kajian tentang ulama ini perlukan lagi penyelidikan terus menerus dari kita semua agar dapat menemui kesahihan salasilah tersebut.


Keturunan Sheikh Muhammad Arsyad Al-Banjari  

Posted

Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah
Ulama yang diperkenalkan pada artikel kali ini pernah dibicarakan oleh penulis dalam ruangan yang sama ini pada 19 September 2005.

Namun hanya meliputi sebahagian saja iaitu nama lengkap, pendidikan, sahabat-sahabat dan penulisan beliau.

Pada artikel ini pula akan dibicarakan tentang keturunan-keturunan Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari yang tersebar di seluruh pelosok Asia Tenggara; Brunei, Malaysia, Fathani, Mekah dan negeri-negeri lainnya. Demikian yang dapat dicatat melakukan aktiviti pendidikan, dakwah dan tokoh masyarakat, di antaranya yang diperkenalkan sebagai berikut:

DI KEDAH, MALAYSIA BARAT

Alimul ‘Allamah Kadi Haji Abu Su’ud bin Syeikh Muammad Arsyad al-Banjari kahwin di Kedah. Memperolehi seorang putera iaitu Mas’ud. Mas’ud berkahwin dengan Rajmah.

Beberapa orang keturunannya menjadi ulama-ulama besar yang terkenal di seluruh Malaysia. Mereka ialah: Alimul ‘Allamah Haji Muhd. Thayib bin Mas’ud, penyusun kitab Melayu berjudul Miftaahul Jannah. Ia sebuah kitab Melayu/Jawi yang terkenal dan banyak dikaji.

Haji Muhd. Zain bin Mas’ud, sebagai Hakim manakala Haji Bahauddin bin Mas’ud sebagai Pahlawan. Mas’ud bin Kadi Abu Su’ud sendiri adalah seorang syahid fi sabilillah yang tewas dalam peperangan antara Melayu (Islam) dengan Siam (Buddha) di Kedah ataupun Fathani Darussalaam.

Nasibnya mungkin sama seperti yang dialami oleh Syeikh Abdush Shamad al-Falimbani, Haji Sulong al-Fathani dan para syuhada lainnya.

DI JOHOR, MALAYSIA BARAT

Jalan dakwah Banjar ke Johor, dirintis oleh keturunan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari bernama Zakaria bin Mufti Haji Abdul Jalil bin Syeikh Syihabuddin bin Syeikh Muhd Arsyad al-Banjari. Beliau berkahwin di Mersing, Johor, memperolehi 13 anak.

Kemudian dengan perkahwinan Alimul Fadhil Haji Muhd Yasin bin Khalifah Haji Hasanuddin, di Teluk Belanga Singapura, kegiatan dakwah ke Johor dipergiat lagi. Melalui perkahwinannya di Teluk Belanga Singapura itu, Haji Muhd. Yasin memperoleh lima anak iaitu, Haji Ja’afar menjadi kerani Kerajaan Johor, Haji Abdur Rahim menjadi Imam Masjid Teluk Belanga, Rahmah mengajar al-Quran dan hukum-hukum Islam di Johor, pekerjaan yang sama juga dilakukan oleh saudaranya sendiri iaitu Aminah.

Saudaranya yang terakhir bernama Haji Harun guru sekolah dan Bilal Teluk Belanga. Mereka semuanya mempunyai keturunan di Johor dan Singapura.

DI SARAWAK, MALAYSIA TIMUR

Dalam rangka menyebarkan Islam dengan memasuki sektor perdagangan, salah seorang zuriat Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari bernama Abdul Ghani pergi ke Mukah, Sarawak. Abdul Ghani sewaktu di Banjar kahwin dengan Saudah binti Haji Muhd As’ad, semua anaknya meninggal dunia.

Di Sarawak, Abdul Ghani berkahwin lagi dan memperoleh dua anak iaitu Muhd. Said dan Sa’diyah. Muhd. Sa’id memperoleh dua orang anak iaitu Adnan dan Jannah.

Sa’diyah dapat anak bernama Sailis, pindah ke Sekadau, Kalimantan Barat, Indonesia.

DI BRUNEI DARUSSALAM

Bagi memperkukuhkan dakwahnya di Brunei, Alimul ‘Allamah Haji Muhd Thasin bin Mufti Haji Jamaluddin bin Sheikh Muhd Arsyad al-Banjari berkahwin berkali-kali, iaitu dengan Hamimah memperoleh seorang putera bernama Abdur Rahman.

Perkahwinan dengan Siti, memperolehi Shafura dan Mahmud. Dengan Aminah binti Alimul ‘Allamah Datuk Haji Ahmad bin Haji Abdul Latif memperoleh putera bernama Haji Muhd. Ramli. Melalui perkahwinan dengan Bintang memperoleh putera bernama Salman dan Thaha.

Perkahwinan tersebut semuanya di Brunei, sedang sebelumnya beliau telah berkahwin di Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia.

DI FATHANI DARUSSALAM

Sheikh Abdur Rahman Shiddiq menulis, “Kiai Dipa Santa Ahmad bin Fardi bin Ahmad beranak tiga orang. Pertama Haji Amin, belayar ke Fathani dan beristeri di sana. Maka zuriatnya semuanya di Fathani”.

DI PONTIANAK, KALIMANTAN BARAT (INDONESIA)

Haji Thasin bin Syeikh Jamaluddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang ke Pontianak, memperoleh tiga anak iaitu Haji Muhammad Yusuf, Haji Arsyad dan Abdur Rahman.

Diceritakan bahawa Haji Muhammad Yusuf bin Haji Thasin setelah beliau belajar ilmu-ilmu keislaman, lalu menjadi seorang pedagang intan.

Beliau merantau ke seluruh Kalimantan, Sumatera hingga keluar negeri ke Saigon dan Kemboja. Di Kampung Melayu Kemboja, beliau berkahwin lagi. Bahawa beliau berkahwin sebanyak 40 kali. Isteri yang terakhir inilah yang dibawa kembali ke Kalimantan Barat.

Beliau membuka tanah perkebunan getah yang sangat luas, setelah pekerjaannya tersebut menjadi lalu diberi nama Kampung Saigon. Beliau sendiri popular dengan sebutan Haji Yusuf Saigon sehingga hilang nama negeri asalnya Banjar.

Adiknya pula seorang ulama yang menyiarkan Islam dengan berpindah dari satu kampung ke satu kampung, namun beliau sempat menulis beberapa buah kitab. Kitab Tajwid Fatihah cetakan pertama al-Ahmadiyah Singapura tahun 1348 H/1929 M adalah salah satu daripada kitab-kitab beliau yang ada pada penulis.

Keterangan daripada anak beliau, Ustaz Haji Fauzi bahawa masih ada beberapa buah karangannya di antaranya Ilmu Ushul Fiqhi. Sungguh sayang beberapa buah karya itu masih belum ditemui kerana hilang dalam simpanan beliau.

Prof. Dr. Hamka menulis pada kata pengantar karya orang tuanya, “Orang pertama menulis Ilmu Ushul Fiqhi dalam bahasa Melayu ialah Dr. Haji Abdul Karim Amrullah yang diberinya nama Sullamul Ushul Yurqabihi Sama’u Ilmul Ushul selesai ditulis pukul 6.30 pagi, Sabtu 24 Muharam 1333 H atau 12 Disember 1914 M di Jambatan Besi, Padang Panjang”.

Jika Ushul Fiqhi karya Haji Muhammad Arsyad bin Haji Muhammad Thasin itu ditemui tentu dapat dibandingkan dengan karya ayah/orang tua Buya Hamka itu. Mungkin itu lebih dahulu atau selisih tahun yang tidak begitu jauh.

Dua orang putera Haji Muhammad Thasin iaitu Haji Muhammad Yusuf Saigon dan Haji Muhammad Arsyad Pontianak yang tersebut di atas setelah melihat kesuburan pohon getah dari usaha jerih payah, mereka sendiri bangkit kembali cita-cita meneruskan perjuangan datuk mereka, Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari yang dianggap sebagai ‘Matahari Islam’ itu.

Kedua-duanya sama-sama beriktikad bahawa tiada suatu perjuangan pun yang terlebih mulia yang dapat menyelamatkan seseorang baik di dunia mahupun akhirat melainkan perjuangan menyebarkan ilmu-ilmu yang diajarkan oleh para Nabi dan Rasul Allah.

Urusan mencari dana ditangani oleh Haji Muhammad Yusuf, manakala untuk propaganda dan dakwah oleh saudaranya Haji Muhammad Arsyad. Cita-cita mereka dikabulkan Allah kerana dalam tahun 1925 M, datang seorang pemuda dari Ketapang bernama Haji Abdush Shamad yang baru tamat dari pendidikannya di Madrasah Shaulatiyah, Mekah.

Haji Abdush Shamad ditampung oleh Haji Muhammad Saigon, lalu didirikanlah Pondok Pesantren Saigoniyah yang dianggap oleh masyarakat sebagai pondok pengajian yang pertama sekali di Kalimantan Barat.

Adapun pondok pengajian selainnya ialah Darul Ulum yang didirikan oleh Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani lepasan Pondok Kenali Kelantan/Malaysia, terletak di Kampung Terusan, Mempawah.

Selain dari sistem pondok pesantren di Kalimantan Barat, terdapat juga lembaga pendidikan berbentuk madrasah di antaranya yang dianggap tua ialah Madrasah al-Falah didirikan oleh Syeikh Yusuf al-Manshuri tahun 1917 M.

Pondok Pesantren Saigoniyah banyak menghasilkan kader-kader yang masih dapat dijejaki kesan-kesannya, namun jumlahnya tidaklah ramai. Salah seorang daripada lepasan Saigoniyah ialah Haji Abdul Manaf.

Beliau pernah berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Pondok Pesantren Al-Fathanah yang didirikan oleh penulis. Beliau merupakan seorang yang pakar tentang ilmu faraid dan ilmu nahwu.

Saigoniyah telah hilang namanya akibat perang dunia kedua, namun muncul pula dengan nama baru, dalam tahun 1977 M iaitu Madrasah Al-Irsyad.

Berkemungkinan bahawa nama itu adalah untuk mengabadikan nama Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, juga nama Haji Muhammad Arsyad.

DI SAPAT INDERAGIRI, SUMATERA

Kita tinjau pula lembaga pendidikan dan dakwah Islamiah keturunan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari di Sumatera.

Ada seorang cicit beliau bernama Haji Abdur Rahman Siddiq tinggal di Sapat, Inderagiri. Beliau adalah seorang ulama besar yang terbukti dengan karya-karya nyatanya.

Beliau adalah orang pertama menyusun sejarah Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dengan buku berjudul Syajaratul Arsyadiyah. Selain itu, beliau banyak meninggalkan karya penulisan yang dicetak oleh al-Ahmadiyah Press Singapura. Ulama ini adalah orang pertama membuka sekolah di Sapat.

DI MEKAH

Dalam beberapa buku karya Sheikh Muhammad Yasin bin Muhammad Isa al-Fadani (Padang) ada menyebut bahawa anak Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari bernama Sheikh Yusuf bin Muhammad Arsyad al-Banjari.

Di belakang nama ada juga ditulis dengan al-Bantani. Syeikh Yusuf al-Banjari tersebut belajar kepada ayahnya Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari di Mekah dan juga kepada Sheikh Abdush Shamad al-Falimbani.

Sheikh Nawawi al-Bantani adalah salah seorang murid beliau. Pelbagai bidang ilmu terdapat sambungan sanad sama ada dari ayahnya ataupun Sheikh Muhammad Abdush Shamad al-Falimbani tersebut.

Selain itu, Sheikh Yasin Padang juga menyebut salah seorang anak Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari bernama Mahmud. Iaitu keturunannya yang menjadi ulama di Mekah.

Nama penuhnya ialah Sheikh Ali bin Mahmud bin Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Sheikh Ali al-Banjari ini lahir di Mekah tahun 1285 H/1868 M. Beliau belajar kepada Sayid Abu Bakar Syata, Sheikh Said Yamani, Sheikh Yusuf al-Khaiyat, Habib Husein bin Muhammad al-Habsyi al-Alawi, Habib al-Alawi bin Ahmad as-Saqaf, Mufti ‘Abid bin Husein bin Ibrahim al-Makki, Habib Ahmad bin Hassan al-Atas, Habib Umar bin Salim al-Atas, Sheikh Mahfuz Termas, Sheikh Ahmad al-Fathani dan lain-lain.

Sheikh Ali al-Banjari mengajar di Masjidil Haram. Beliau wafat pada malam Jumaat 12 Zulhijjah 1307 H, dikebumikan di Mu’alla, Mekah.

TEMPAT-TEMPAT LAIN

Selain lembaga-lembaga pendidikan zuriat-zuriat beliau di Pontianak Kalimantan Barat, Sapat/Inderagiri dan Malaysia, masih banyak lagi lembaga-lembaga lain baik di tanah Banjar sendiri mahupun di Pulau Jawa.

Di Bangil Jawa Timur terdapat Pondok Pengajian yang didirikan oleh zuriatnya dengan nama Pesantren Untuk Kelampayan. Pondok ini dipimpin oleh zuriat beliau bernama al-‘Alim al-Fadhil Haji Muhammad Syarwani Abdan.

Di Dalampagar (Banjar) terdapat dua madrasah yang didirikan oleh zuriat beliau, demikian juga di Telok Selong, Kampung Melayu dan lain-lain. Berbagai-bagai nama madrasah itu di antaranya yang dapat diketahui Madrasah Sullamul ‘Ulum dan Madarasah Mura’atus Shibyaan, kedua-duanya di Kampung Dalampagar tersebut.

Madrasah Sabiilur Rasyad di Kampung Selong, Madrasah al-Irsyad di Kampung Sungai Tuan. Berkemungkinan masih banyak lagi yang belum kita ketahui.

Sewaktu penulis menunaikan haji tahun 1979 M, ada orang menceritakan bahawa ada seorang ulama Banjar mengajar di Masjidil Haram bernama Haji Abdul Karim al-Banjari. Beliau termasuk salah seorang di antara zuriat Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari.

Selain berita tersebut, bahawa di Martapura telah terbentuk Yayasan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjar yang diketuai oleh Haji Asdhy Suryadi. Yayasan ini terbentuk dalam rangka haulnya oleh panitia 30 November 1967, Haul Sheikh Arsyad al-Banjari ke 160 jatuh pada hari wafat beliau iaitu 7 Syawal 1387 H/ 7 Januari 1968 M bertempat di Kompleks Kubah Kelampayan, Kalimantan Barat, Indonesia.