Syeikh Abdur Rasyid Al-Fathani - Tok keramat Pulau Bidan  

Posted

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

Penulis mula mengenali tokoh yang digelar sebagai Tok Keramat Pulau Bidan ini setelah membaca buku Kanzul Mu’id karya Tuan Mufti Haji Ahmad bin Syeikh Muhammad Sa’id pada 1971.

Menurut salasilah yang dibuat oleh Haji Nik Ishak Tingkat, Kelantan pada 1976 ada mencatatkan nama Syeikh Abdur Rahman sebagai saudara kandung Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang suka mengembara sehingga tidak diketahui di mana letaknya kubur beliau.

Oleh kerana itu dalam buku karangan penulis berjudul Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Ulama dan Pengarang Terulung Asia Tenggara (Hizbi, 1990, hlm :14), penulis menyatakan “Berkemungkinan Syeikh Abdur Rasyid al-Fathani adik Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani inilah yang disebut Tok Keramat Pulau Bidan.” Perkataan "Berkemungkinan" di awal kalimat adalah menunjukkan sesuatu yang belum pasti dalam pengkajian penulis.

Namun akhirnya penulis menemui kesahihan setelah menziarahi beberapa pusat pengajian pondok di Patani pada Mei 1991. Pusat pengajian pondok yang mempunyai kaitan dengan tokoh ulama kali ini terletak di kampung bernama Cenak, Wilayah Songkla, Thailand.

Di pondok pengajian tersebut juga tempat pertama Syeikh Zainal Abidin al-Fathani/Tuan Minal bin Muhammad al-Fathani belajar pelbagai ilmu keislaman sehingga beliau menjadi seorang ulama besar yang amat terkenal di Asia Tenggara.

Hasil perbualan dengan salah seorang keturunan pengasas pondok pengajian tersebut, barulah penulis mengetahui bahawa pondok yang penulis kunjungi itu adalah diasaskan oleh Syeikh Abdur Rasyid Pulau Bidan.

Maka terjawablah keraguan mengenai data lengkap biografinya yang penulis cari sejak tahun 1971 itu.

Pengenalan sahsiah Syeikh Abdur Rasyid

Riwayat hidup mengenai ulama di Cenak ini adalah berdasarkan cerita lisan daripada beberapa keturunan beliau yang penulis temu bual. Ayah beliau bernama Cik Din berasal dari Kampung Temperak, Cenak dalam Wilayah Senggora (Songkhla).

Ditakdirkan Allah pada suatu hari Abdur Rasyid hilang di tempat ia bermain-main. Sehingga ahli keluarga menyangka beliau telah dimakan oleh harimau. Oleh itu setelah berpuluh-puluh tahun lamanya, ahli keluarga menyangka beliau telah pasti meninggal dunia.

Setelah sekian lama, pada suatu hari ketika ibunya yang tua menjemur padi, tiba-tiba dikejutkan oleh seorang pemuda yang datang mengusiknya.

Lalu dimarahi oleh ibunya kerana beliau tidak kenal bahawa pemuda itu adalah anaknya yang telah hilang sekian lama.

Setelah dikerumuni orang yang datang, barulah pemuda itu mengaku bahawa beliau adalah Abdur Rasyid anak kepada perempuan tua yang diusiknya itu.

Beliau menceritakan riwayatnya yang hilang sewaktu umurnya belum sampai enam tahun. Beliau menceritakan bahawa pada mulanya beliau pergi belajar pondok di Patani dan seterusnya menyambung pondok di Kedah dan diteruskan di Pulau Pinang.

Pengembaraan dari Patani ke Kedah hanya dengan berjalan kaki, manakala ke Pulau Pinang pula dengan menumpang sampan kecil tanpa membawa wang walau sedikit. Hanya sehelai sepinggang yang ada pada dirinya.

Setelah ilmu yang dipelajari di Patani, Kedah dan Pulau Pinang sudah memadai, beliau meneruskan mencari ilmu ke Mekah dan seterusnya mengembara ke Baitul Maqdis. Beliau sempat mendalami pengetahuannya di Mekah tetapi tidak diceritakan bahawa beliau mengajar di Mekah, tetapi diceritakan beliau mengajar di Masjid Baitul Maqdis dan di kediamannya.

Bertahun-tahun beliau mengajar, tidak pernah terlintas untuk pulang ke kampung halamannya. Sehingga pada suatu malam ketika beliau mengajar, dilihatnya seekor kucing mengiau-ngiau.

Tidak lama kemudian beliau melihat kucing itu menggonggong anaknya. Lalu beliau menutup kitab yang sedang diajar dan termenung di hadapan murid-muridnya yang juga menjadi hairan dengan kelakuan beliau.

Lalu beliau berkata, “Sedangkan kucing atau pun binatang lainnya teringat dengan anaknya. Aku sendiri sebagai seorang manusia mulai saat ini baru terkenang dengan sanak saudaraku yang menjadi tanggungjawabku. Aku mesti kembali ke tempat asalku.”

Dipendekkan kisahnya, beliau kembali ke Cenak dengan membawa banyak kitab dengan gambaran diangkut oleh tiga ekor gajah. Bahkan terdapat kitab-kitab yang dibawanya masih tersimpan di pondok tersebut.

Tulisan mutawal tentang beliau yang ditulis oleh Haji Ahmad bin Syeikh Muhammad Said dalam Kanzul Mu'id, menurut beliau, “Al ‘Allamah al-Kabir al-Fahamah Shahib….asy-Syeikh Abdur Rasyid al-Fathani yang dikubur akan dia di Pulau Bidan. Dan kuburnya di sana dikenal akan dia lagi masyhur menziarah kepadanya oleh manusia….”

Mengenai kekeramatan beliau, menurut Mufti Haji Ahmad dalam kitabnya, “Baginya beberapa karamah, yang adalah yang terlebih besar daripadanya bahawa menghimpunkan ia sekalian kitabnya pada setengah daripada peperangan yang terjadi di dalam negerinya.

Dan meletak ia akan dia pada tepi sungai pada suatu tempat yang tiadalah di antaranya dan antara langit dinding. Dan pergilah ia kepada satu negeri….Kemudian kembali ia kepada negerinya, maka mendapat ia akan sekalian kitabnya seperti barang yang ada ia, tiada berubah dan binasa ia….”

Masih banyak karamah yang diceritakan dalam kitab tersebut yang tidak dapat penulis senaraikan kesemuanya.

Oleh kerana riwayatnya telah jelas dinyatakan dalam kitab Kanzul Mu’id tersebut, maka Syeikh Abdur Rasyid Tok Keramat Pulau Bidan bukan saudara kandung Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang suka mengembara sehingga sampai kini belum ditemui riwayatnya.

Dari catatan Tok Kelaba al-Fathani dapat diketahui beberapa orang sahabat Syeikh Abdur Rasyid iaitu, Haji Abdus Shamad Kelaba, Imam Abdul Manaf, Haji Abdul Majid Setang, Haji Abdul Majid Langgar Jambu, Tuan Pulau Canang Kelantan dan Tuan Abdur Rasyid Cenak (Pulau Bidan).

Mengenai pemikiran beliau pula, terdapat satu catatan Tuan Guru Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu, iaitu murid Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas, catatan itu berupa taqrir beliau mengenai pembahagian pusaka menurut Islam dan manuskripnya masih dalam simpanan penulis.

Sebuah lagi karya yang diketahui ialah mengenai fikah yang diselesaikan di Kelantan tahun 1263H/1846M yang disimpan naskhahnya di Muzium Budaya Melaka.

Keturunan yang menjadi ulama dan tokoh masyarakat

Sebagaimana yang dinyatakan bahawa sekembalinya Syeikh Abdur Rasyid dari Baitul Maqdis, beliau bersama besannya Haji Abdul Jalil dan Haji Muhammad Shalih membuka sistem pengajian pondok di Cenak. Sehingga sekian lama pondok pengajian yang diasaskan beliau masih diteruskan oleh keturunan beliau.

Setelah berkahwin dengan Fathimah, Syeikh Abdur Rasyid memperoleh empat orang anak.

Ketiga-tiga menantu beliau merupakan murid-murid beliau yang menjadi ulama. Oleh itu, setelah beliau meninggal dunia, pondok pengajian tersebut diganti oleh menantunya yang bernama Haji Hasan bin Haji Abdul Jalil, iaitu suami anak perempuan beliau iaitu Hajah Aisyah.

Apabila Haji Hasan meninggal dunia, diganti pula oleh Abdullah yang berasal dari Bangkok. Sesudahnya diganti oleh Haji Awang dan seterusnya diganti oleh Haji Abdul Syukur bin Syeikh Abdur Rasyid.

Sewaktu penulis menemu bual keturunan Syeikh Abdur Rasyid, beliau hanya mempunyai empat anak perempuan seperti yang dinyatakan.

Penulis turut menemui nama Haji Abduys Syukur dalam beberapa kitab bahawa beliau adalah anak Syeikh Abdur Rasyid.

Perkahwinan anak perempuan Syeikh Abdur Rasyid yang bernama Cik Wi dengan Haji Muhammad Shalih telah memperoleh anak yang bernama Haji Muhammad Nur. Beliau adalah seorang ulama yang sangat besar pengaruhnya di seluruh Wilayah Senggora (Songkhla) pada zamannya.

Beliau meninggalkan beberapa buah karya yang berupa risalah-risalah di antaranya Risalah Usuluddin yang diselesaikan pada 15 Rejab 1373 H (1953 M).

Risalah kecil tersebut dicetak pada cetakan kedua tahun 1381 H (1961 M). Di akhir karyanya itu, beliau memberi nasihat dengan sepuluh perkara, iaitu:

1. Jangan tuan-tuan cerca kepada seorang yang tuan lihat ada pada tuan sendiri.

2. Jangan tuan sesal akan suatu kebajikan yang tuan telah perbuat tetapi hendaklah tuan sesal atas kejahatan yang telah tuan kerjakan.

3. Jangan tuan marah jikalau dikata orang, “tuan bodoh”, apabila tuan membuatkan seperti perbuatan orang yang bodoh.

4. Jangan tuan nanti bantuan orang lain melainkan terlebih dahulu tuan bantu diri tuan sendiri.

5. Jangan tuan bersahabat dengan seseorang sebelum tuan tahu bagaimana ia berlaku dengan sahabat-sahabatnya yang dahulu.

6. Jangan segera tuan kata susah sesuatu pekerjaan sebelum tuan cuba lagi.

7. Jangan tuan takut akan perkataan tuan yang sebenar tetapi hendaklah tuan takut akan perkataan tuan yang salah.

8. Jangan tuan jaga diri orang lain sebelum tuan tahu bagaimana hendak menjaga diri tuan sendiri.

9. Jangan tuan rosakkan sesuatu benda itu apabila tiada boleh membaikinya.

10. Jangan tuan mengumpat-ngumpat atau mencacat-cacat suatu pakatan terlebih dahulu tuan mengesahkan terlebih banyaklah faedah daripada mudarat.

Nasihat atau wasiat Haji Muhammad Nur iaitu cucu Syeikh Abdur Rasyid telah disalin oleh anak beliau iaitu Tuan guru Haji Husein bin Haji Muhammad Nur, yang dimuat dalam risalah kecilnya yang berjudul Hidangan Hikmah.

Risalah tersebut dicetak dengan huruf Melayu/Jawi dan di bahagian bawahnya juga digantungkan dengan huruf Thai. Haji Husein bin Haji Muhammad Nur pula adalah seorang tokoh ulama Senggora.

Selain itu, cucu Syeikh Abdur Rasyid ini juga meninggalkan ramai anak murid yang menjadi ulama. Antaranya Tuan Guru Muhammad Encik muda, penyusun Risalah Maju’is Shaghir.

Mufti Haji Ahmad menulis tentang Hajah Wan Shafiyah iaitu salah seorang anak perempuan Syeikh Abdur Rasyid. Menurutnya, dalam kitab Kanzul Mu’id ,”…al-Hajah Shafiyah daripada anak negeri Patani dan ia seorang perempuan yang terlebih elok bacaan pada al-Quran. Lagi mengajar baginya dibilang akan dia daripada yang lebih-lebih perempuan-perempuan masanya….”

Sebagaimana yang diketahui, Hajah Shafiyah berkahwin dengan ulama bernama Syeikh Jamaluddin Linggi dan memperoleh anak yang iaitu Syeikh Muhammad Said, iaitu seorang ulama besar yang diakui masyarakat pada zamannya. Beliau pula memperoleh beberapa orang anak dan cucu yang menjadi ulama.

Antara anak-anak Syeikh Muhammad Said yang menjadi ulama ialah Haji Abdullah, Haji Ahmad Mufti Negeri Sembilan dan Tuan Guru Haji Mansur iaitu salah seorang saudaranya yang sempat penulis kenali pada tahun 1977 dan meninggal dunia tahun 1981.

Tuan Guru Haji Mansur sangat mengagumi Syeikh Ahmad al-Fathani, sehingga matan Ar-Risalatul Fathaniyah/Nahu, Abniyatul Asma’ wal Af’al/Sharaf dan Syair Syeikh Ahmad al-Fathani di akhir kitab I’anatut Thalibin dibaca olehnya di hadapan penulis secara menghafal.

Penulis juga sempat menemu bual saudaranya Haji Muhammad Nur dalam tahun yang sama iaitu pada 1971. Pada 1988, penulis menemu bual seorang lagi saudaranya iaitu Haji Abdul Hamid dan daripada beliau penulis memperoleh sepotong Syair Syeikh Ahmad al-Fathani dalam bahasa Arab yang terkumpul dalam sebuah buku Syeikh Muhammad Said tersebut.

Dalam tahun 1411 H/1991 M, Pondok Cenak peninggalan Syeikh Abdur Rasyid Pulau Bidan masih diteruskan. Ia dipimpin oleh Tuan Guru Haji Ismail bin Haji Abduys Syukur dan sekali gus menggantikan saudara kandungnya iaitu Haji Abdullah.

Beliau diberi nama Ismail kerana mengambil berkat kealiman Syeikh Ismail (Pak De El, Mekah) dan Haji Abduys Syukur juga adalah sezaman dengan ulama tersebut iaitu, Syeikh Ismail bin Abdul Qadir al-Fathani.

Tuan Guru Haji Ismail adalah kelulusan sarjana muda sastera Universiti Madinah yang pertama bersama sahabat beliau iaitu, Haji Yahya al-Lathifi yang merupakan ulama Thailand yang terkenal. Haji Yahya juga adalah sepupu Pak De El dan Syeikh Ahmad al-Fathani.

Tuan Guru Haji Ismail meneruskan pengajian pondok tersebut dengan dibantu oleh anak-anaknya.

Kesimpulan

Menurut penelitian penulis, sejarah hidup mengenai tokoh yang dikatakan Tok Keramat Pulau Bidan ini cukup jelas. Selain sebagai seorang ulama besar, beliau juga menurunkan ulama-ulama besar yang terkenal selepasnya.

Bahkan institusi pengajian pondok yang dibinanya dapat diteruskan hasil kesinambungan daripada keturunan beliau. Oleh itu, penyelidikan sejarah mengenai beliau dan keturunannya perlu dijalankan dengan teliti kerana jasa yang amat besar kepada masyarakat.
This entry was posted on 27 May 2007 at Sunday, May 27, 2007 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment