|
|
Peringkat Kelima
Penulisan abad ke 18-19, dijumpai manuskrip-manuskrip karya ulama-ulama Palembang, Banjar, Patani, Aceh, Sumbawa dan dari tempat-tempat lainnya. Ulama yang berasal dari Palembang yang paling terkenal ialah Sheikh Abdus Samad al-Falimbani. Sebagaimana telah disebutkan bahawa karya beliau terawal adalah Zahrat al-Murid, 1178 H/1764 M.
Dua karya Sheikh Abdus Samad al-Falimbani yang paling popular ialah Hidayat as-Salikin dan Siyar as-Salikin. Nama lain untuk Hidayat as-Salikin ialah as-Salikin, diselesaikan tahun 1192 H/1778 M, yang merupakan terjemahan kitab Bidayat as-Salikin karya Imam al-Ghazali dengan tambahan-tambahannya yang cukup banyak.
Beberapa manuskrip yang dijumpai memang ada yang memakai judul Bidayat as-Salikin, tetapi jumlahnya jauh lebih sedikit berbanding manuskrip yang memakai nama Hidayat as-Salikin.
Cetakan mutawal karya Sheikh Abdul Samad al-Falimbani itu digunakan judul Bidayat as-Salikin dilakukan pada tahun 1287 H/1870 M, dicetak menggunakan tulisan litografi (huruf batu) di Mekah dan Singapura. Yang diberi kepercayaan pengurusan cetakan di Singapura ialah Tengku Yusuf bin Tengku Ibrahim Terengganu tetapi belok litografnya semuanya diproses di Mekah. Setelah Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani lebih memperkemaskan lagi media cetak dengan menukar huruf litografi (huruf batu) kepada huruf klise timah, maka barulah digunakan judul yang satu lagi, iaitu Hidayat as-Salikin.
Menurut Sheikh Ahmad al-Fathani, kitab Hidayat as-Salikin adalah merupakan kitab Melayu/Jawi yang pertama sekali dicetak di Mesir. Adapun karya Sheikh Abdus Samad al-Falimbani judul Siyar as-Salikin adalah karyanya yang terbesar yang terdiri empat jilid.
Sebahagian besar kandungannya merupakan terjemahan Ihya' 'Ulum ad-Din karya Imam al-Ghazali dengan tambahan-tambahan yang cukup banyak. Dimulai penulisan tahun 1194 H/1780 M dan diselesaikan tahun 1203 H/1788 M. Manuskrip Siyar as-Salikin juga terdapat dalam simpanan Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PMMPNM).
Kitab Siyar as-Salikin yang diproses untuk cetakan yang pertama di Mekah berasal dari manuskrip koleksi Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, iaitu naskhah yang beliau gunakan untuk mengajar dan telah ditashihkannya. Manakala akan dicetak dan ditashih sekali lagi oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.
Sheikh Abdus Samad al-Falimbani juga menterjemahkan kitab Mi'raj, diselesaikan tahun 1201 H/1786 M. Manuskrip tentang ini hanya terdapat sebuah dalam simpanan PMMPNM nombor kelas MS 1079.
Keseluruhan karya Sheikh Abdus Samad al-Falimbani yang telah dijumpai adalah sebanyak 12 judul, beberapa buah judul yang nadir di antaranya ada dalam simpanan penulis.
Ada dua orang ulama besar dunia Melayu yang berasal dari Banjar (Kalimantan Selatan) sahabat Sheikh Abdus Samad al-Falimbani. Kedua-duanya yang menghasilkan karangan, ialah Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dan Sheikh Muhammad Nafis bin Idris al-Banjari.
Karya Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang terawal ialah Tuhfat al-Raghibin, diselesaikan tahun 1188 H/1774 M, disusul dengan Luqthatul 'Ajlan, diselesaikan tahun 1192 H/1778 M, disusul dengan Sabil al-Muhtadin, diselesaikan tahun 1195 H/1780 M, disusuli Risalat Qaul al-Mukhtashar diselesaikan tahun 1196 H/1781 M.
Keseluruhan karya Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang telah diketahui 17 judul. Keempat-empat judul yang tersebut semuanya telah dijumpai manuskrip salinannya.
Yang paling terkenal di antara karya Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari ialah Sabil al-Muhtadin. Kitab ini juga ditashih dan kemudian diperjuangkan penerbitannya oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.
Ulama besar
Karya Sheikh Muhammad Nafis bin Idris al-Banjari yang paling terkenal ialah Ad-Durr an-Nafis diselesaikan tahun 1200 H/1875 M. Karya-karya beliau yang lain yang telah dijumpai ialah Majmu' al-Asrar li Ahli Allah al-Athyar atau nama yang lain Majmu' as-Sarair, judul terjemahan dalam bahasa Melayu menurut pengarangnya sendiri ialah Perhimpunan Sekelian Rahsia.
Karya beliau yang lain pula ialah Penjelasan Huruf-huruf Abjad Dalam al-Quran, Ilmu Haqiqat Yang Sebenar-benar, dan Masalah Orang Yang Dijadikan Imam. Pada risalah yang terakhir itu tercatat selesai menulisnya waktu Dhuha 8 Ramadan 1245 H/1829 M. Kitab Ad-Durr an-Nafis cetakannya yang mula-mula sekali dilaksanakan oleh Mathba'ah al-Miriyah bi Bulaq Mesir al-Mahmiyah, tahun 1302 H/1884 M.
Untuk pelaksanaan, pencetakannya telah ditashih dan diusahakan oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Ada sebuah manuskrip yang merupakan syarah untuk kitab Ad-Durr an-Nafis ini ialah Ad-Durrah an-Nafisah fi Bayan al-Wahdah fi al-Af'al wa al-Asma' wa ash-Shifat wa az-Zat al-Muqaddasah. Manuskrip ini hanya dijumpai sebuah sahaja.
Manuskrip yang dijumpai dinyatakan mulai penulisan pada waktu Dhuha, hari Jumaat, 15 Rabiulakhir 1239H/19 Disember 1823M dan selesai pada tengah malam Isnin, 9 Muharam 1240H/3 September 1824M.
Adapun Majmu' al-Asrar tidak dikenal oleh masyarakat Melayu secara umum kerana belum pernah diterbitkan. Manuskripnya pula adalah sangat nadir belum banyak dijumpai, setakat ini baru dijumpai tiga buah manuskrip sahaja. Sebuah dalam simpanan Muzium Islam Pusat Islam, bukan merupakan tulisan asli pengarang tetapi adalah salinan Muhammad Zain bin Hasan. Selesai melakukan penyalinan pada waktu zuhur, hari Sabtu, 21 Syaaban 1355 H/1936 M. Nombor kelas MI 24.
Pada zaman yang sama dengan kemunculan karya-karya Sheikh Abdus Samad al-Falimbani dan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari, terdapat sebuah kitab tajwid yang ditulis tahun 1193 H/1779 M, judul Mir-at al-Quran fi Tahshil Ma'rifat Ahkam at-Tajwid li Malik al-Wahhab, disingkat Mir-at al-Quran saja.
Penyusunnya bernama Sheikh Ibnu Mu'thi bin Sheikh Muhammad Shalih al-Jawi. Tidak diketahui dari mana beliau berasal, tetapi dalam dugaan barangkali berasal dari Patani atau Kelantan.
Manuskrip salinan judul itu sangat banyak diperoleh, tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam, PMMPNM dan dalam simpanan individu. Walaupun manuskripnya sangat banyak diperoleh, namun dipercayai kitab tajwid itu belum pernah diterbitkan berupa cetakan. Melihat kepada tahun penulisannya, 1193 H/1779 M, dipercayai kitab tersebut adalah merupakan kitab tajwid yang pertama dalam bahasa Melayu.
Ulama besar yang berasal dari Patani, yang tidak asing lagi bagi masyarakat Melayu yang hidup pada zaman ini ialah Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dalam tahun 1193 H/1779 M itu telah muncul karya beliau dalam bahasa Arab. Tetapi karya-karyanya yang ditulis dalam bahasa Melayu muncul pada tahun 1200an hijrah. Oleh sebab itu mengenai beliau dimasukkan ke dalam kategori ulama dunia Melayu peringkat keenam.
Peringkat Keenam
Masih termasuk dalam lingkungan abad ke 18-19, tetapi agak kebelakang sedikit dari Sheikh Abdus Samad al-Falimbani dan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari ialah Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
Beliau adalah tokoh ulama yang paling produktif, baik dibandingkan dengan penulisan sebelum, sezaman mahupun sesudah beliau.
Karya-karya beliau sesudah tahun 1190an hijrah dimulai tahun 1204 H/1789 M dan berakhir 1259 H/1843 M. Ada lagi maklumat hingga tahun 1263 H, bahkan maklumat terakhir hingga tahun 1295 H Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani masih menulis. Walau bagaimanapun yang telah dianggap sahih adalah hingga tahun 1259 H/1843 M, tahun-tahun sesudahnya masih dalam tahap penelitian.
Keseluruhan karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah 101 judul, tetapi yang pernah penulis senaraikan berjumlah hanya 66 judul sahaja. Menurut tertib susunan tahun penulisan dalam bahasa Melayu, dimulai dengan Kifayat al-Muhtaj, diselesaikan tahun 1204 H/1789 M, tetapi kitab ini yang diketahui umum berdasarkan cetakan adalah diselesaikan tahun 1224 H/1809 M. Disusul dengan Faraid Fawaid al-Fikr fi al-Imam al-Mahdi, diselesaikan tahun 1215 H/1800 M.
Judul ini adalah nadir kerana baru ditemui tiga buah salinan saja. Sebuah dalam simpanan PMMPNM nombor kelas MS 652, tidak lengkap, yang lengkap ada dalam simpanan penulis, dan sebuah lagi disimpan oleh seorang ulama di Patani, juga lengkap.
Ada tiga karya yang diselesaikan oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam tahun 1233 H/1817 M itu, satu buah mengenai fiqh diberi judul Tuhfat al-Raghibin fi Suluk Thariq al-Muttaqin, juzuk yang ke-2, dan yang kedua mengenai tasauf, tanpa menyebut nama judul. Kedua-duanya adalah naskhah nadir. Mengenai ilmu tasauf hanya dua manuskrip saja dijumpai.
Pertama adalah koleksi PMMPNM nombor kelas MS 666. Kedua pula diperoleh 11 April 1993 di Betong, Patani bekas dimiliki oleh Tuan Guru Haji Abdul Mubin bin Muhammad Thaiyib al-Jerimi al-Fathani, iaitu guru kepada Sultan Ahmad, Sultan Pahang.
Sheikh Daud bin Abdullah al- Fathani muncul sebagai seorang penulis kitab fiqh Mazhab Syafie yang pertama lengkap sekalian babnya, iaitu yang berjudul Hidayat al-Muta'allim, diselesaikan tahun 1244 H/1828 M.
Karya beliau juga yang terlengkap mengenai usuluddin dalam Mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah, iaitu yang berjudul Ward al-Zawahir, diselesaikan tahun 1245 H/1829 M. Karya beliau yang paling tebal ialah Furu' al-Masail yang dimulai penulisannya tahun 1254 H/1838 M dan diselesaikan tahun 1257 H/1841 M.
Ulama Patani yang berhijrah ke Terengganu, yang mempunyai hubungan kekeluargaan dekat dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan hidup sezamannya ialah Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani Bukit Bayas.
Sebuah karya beliau yang dapat dicatatkan dalam artikel ini ialah At-Targhib wa at-Tarhib li Bai'i wa asy-Syira, diselesaikan tahun 1234 H/1818 M. Manuskrip yang ditemui hanya dua buah sahaja, sebuah koleksi Muzium Islam Pusat Islam nombor kelas MI 128.
Sebuah lagi salinan muridnya Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu, penyalinan diselesaikan tahun 1236 H/1820 M. Saudara kandung beliau ialah Sheikh Abdullah bin Abdur Rahim al-Fathani. Beliau ini menghasilkan dua buah karya, iaitu sebuah tidak beliau sebut nama judulnya, diselesaikan tahun 1257 H, disalin tahun 1263 H, nama penyalin tidak tercatat.
Taj al-Muluk
Manuskripnya ada dalam simpanan penulis. Sebuah lagi diberi judul Hadits al-Muhimmah, disalin oleh Muhammad Yusuf ibnu Encik Ali Cenak di rumah Sheikh Daud bin Ab-dullah al-Fathani di tempat yang bernama Bab ad-Du'a tahun 1272 H/1856 M. Judul ini banyak kali dicetak dan masih beredar di pasaran kitab.
Ulama Patani yang lain, juga hijrah ke Terengganu ialah Sheikh Wan Hasan bin Wan Ishaq al-Fathani. Karya beliau ialah Hidayat al-Mukhtar, diselesaikan tahun 1249 H/1833 M dan Aiyuha al-Walad, diselesaikan tahun 1266 H/1850 M. Saudara kandung Sheikh Wan Hasan al-Fathani ialah Sheikh Wan Ali bin Ishaq al-Fathani menyusun sebuah naskhah mengenai Tariqat Samaniyah yang diberi judul Silsilah Ratib dan Kaifiyatnya.
Seorang tokoh perempuan yang terpelajar yang berasal dari Patani bernama Wan Maryam menghasilkan beberapa buah karya, dua karyanya yang telah dijumpai tercatat tahun selesai penulisan 1259 H.
Karya yang pertama diberi judul Majmu' Wan Maryam al-Fathani dan yang kedua mengenai hadis 40. Kedua-kedua manuskrip itu dimiliki oleh individu di Patani tetapi penulis pernah diberikan kepercayaan dari pemiliknya untuk menyemak dan mencatat data mengenainya.
Ulama-ulama Aceh yang muncul dalam peringkat keenam, di antara mereka ialah: Sheikh Muhammad bin Khatib Langien. Karya-karya beliau yang telah dijumpai Dawa' al-Qulub, diselesaikan tahun 1237 H/1821 M, Asrar ad-Din li Ahl al-Yaqin, Mi'raj as-Salikin dan Ku-us al-Muhaqqiqin, semuanya terkumpul dalam nombor kelas MS 1044 koleksi PMMPNM. Sezaman dengan beliau ialah Sheikh Muhammad bin Abdullah Ba'id yang menghasilkan karya berjudul Hukm al-Jarh, diselesaikan tahun 1236 H/1820 M, tetapi manuskripnya belum dijumpai, namun pernah diterbitkan berupa cetakan.
Kemudiannya disusul pula oleh seorang ulama Aceh yang terkenal beliau ialah Sheikh Abbas Kutakarang, seorang ulama ahli astrologi. Manuskrip karyanya yang telah dijumpai ialah Kitab al-Qunu' liman Ta'ththuf, diselesaikan tahun 1259 H/1843 M, membicarakan hukum penyembelihan. Di Muzium Islam Pusat Islam tersimpan tiga buah manuskrip kitab tersebut, iaitu MI 220, MI 513 dan MI 670.
Di PMMPNM juga tersimpan beberapa buah manuskrip judul itu. Karya Sheikh Abbas Kutakarang yang lain ialah Siraj azh-Zhalam, diselesaikan tahun 1266 H/1849 M, membicarakan hisab dan falakiyah. Kitab judul ini pernah diterbitkan dalam kumpulan kitab yang dinamakan Taj al-Muluk yang diusahakan penerbitannya oleh Sheikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi. Keseluruhan karya Sheikh Abbas Kutakarang dalam senarai saya sebanyak lima judul.
Ulama yang berasal dari Sumbawa yang hidup sezaman dengan Sheikh Abbas Kutakarang ialah Sheikh Muhammad Ali bin Abdul Rasyid bin Abdullah al-Qadhi al-Jawi al-Sumbawi. Karyanya yang telah dijumpai hanya sebuah iaitu Al-Yawaqit wa al-Jawahir, diselesaikan tahun 1243 H/1827 M. Merupakan terjemahan karya Sheikh Abdul Wahhab al-Sya'rani.
Kandungannya mengenai hadis tentang seksaan orang yang berdosa besar, dan tentang syurga dan neraka. Manuskrip judul ini telah dijumpai di Pahang bekas dimiliki oleh Haji Abdul Mubin bin Muhammad Thaiyib al-Jerimi al-Fathani, iaitu guru Sultan Abdullah al-Mu'azzam Syah bin Sultan Ahmad, Sultan Pahang.
Manuskrip tersebut telah diserahkan oleh salah seorang keturunan ulama itu kepada penulis dan penulis telah menyerahkannya kepada PMMPNM (tahun 1993). Kitab Al-Yawaqit wa al-Jawahir karya ulama yang berasal dari Sumbawa itu pernah diterbitkan berupa cetakan dan sampai sekarang masih beredar di pasaran kitab.
Penutup
Disebabkan keterbatasan ruangan, maka perbicaraan mengenai artikel kali ini terpaksa dilanjutkan dalam ruangan yang seterusnya.
Peringkat keenam adalah antara peringkat yang banyak menghasilkan penulisan-penulisan manuskrip. Maka peringkat ini perlu kepada perbicaraan yang panjang, dan belum dapat dibicarakan sepenuhnya. Oleh itu, kesinambungan mengenainya disambung pada selanjutnya