Peranan ulama Patani di dunia perantauan  

Posted

PERANAN ULAMA PATANI DI SIAK SERI INDERAPURA
Salah seorang ulama Patani yang terkenal dan menghasilkan beberapa karangan adalah Sheikh Abdur Rahman Gudang. Beliau merupakan sahabat kepada Tok Kelaba dan juga sama-sama menjadi murid kepada Sheikh Ahmad al-Fathani.

Nama beliau bukan saja terkenal di Mekah, tetapi juga termasuk di Patani dan Semenanjung Tanah Melayu. Dalam satu catatan yang diperoleh di Siak Seri Inderapura, dicatatkan beliau pernah tinggal di Kerajaan Siak Seri Inderapura mengajar agama Islam, terutama ilmu Falakiyah kepada masyarakat dan kerabat Diraja Siak.

Bagaimana riwayat kedatangannya ke Siak tidak begitu jelas, yang diketahui jelas seorang anak beliau iaitu Kiai Haji Muhammad Shalih al-Fathani berkahwin dengan anak pembesar Kerajaan Siak Seri Inderapura, iaitu anak Datok Hamzah bin Endut, Bentara Kiri Kerajaan Siak Seri Indrapura. Hasil perkahwinan itu beliau memperoleh keturunan yang ramai.

Kiai Haji Muhammad Shalih al-Fathani ini bukan lahir di Siak, tetapi di atas kapal di Sabang. Bagaimana riwayat beliau mendapat jodoh dengan anak pembesar Siak juga tidak diketahui. Pengaruh beliau dalam Kerajaan Siak Seri Inderapura sangat besar, kerana beliau memang seorang ulama besar yang menguasai banyak bidang ilmu.

Setelah Indonesia merdeka, Kiai Haji Muhammad Shalih al-Fathani dilantik sebagai pegawai tinggi di Departmen Agama Republik Indonesia. Pernah bertugas di beberapa tempat di Riau dan selanjutnya di Palembang, Sumatera Selatan sehingga beliau meninggal dunia di sana.

Kiai Haji Muhammad Shalih al-Fathani sempat menghasilkan beberapa karya di antaranya Risalah Sullamit Tarsyid fi Ahkamit Tajwid, cetakan pertama Anglo Asiatic Press, Singapura tahun 1932, Hisab dan Falak Yang Dapat Digunakan Selama-lamanya, sebuah Ensiklopedia dan lain-lain.

PERANAN ULAMA PATANI DI JAMBI

Ketika terjadi pertikaian khilafiah di Mekah, kemenangan berada di tangan golongan Wahhabiyah. Ia menyebabkan beberapa ulama tidak aman tinggal di Mekah. Di antara mereka termasuklah Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani.

Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani mengambil Jambi sebagai tempat persinggahan pertamanya.

Di Jambi secara tidak langsung beliau mendapat tempat dan ramai orang datang mengunjungi beliau kerana ingin menuntut ilmu. Dalam tempoh yang relatif tidak memakan masa yang lama beliau dan kawan-kawan berhasil mendirikan tempat pendidikan di Tahtul Yaman.

Oleh kerana Sultan Sulaiman Selangor mengajaknya pindah ke Selangor, lalu beliau meninggalkan Jambi, tetapi tempatnya di Jambi diganti oleh anaknya, Tengku Muhammad bin Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani.

Pengaruh dan peranan Tengku Muhammad al-Fathani di Jambi sangat besar, sangat ramai muridnya. Di Jambi beliau dikenali dengan nama 'Ulama Jubah Hitam' kerana setiap kali mengajar beliau memakai jubah hitam dan berserban dengan kemas.

Penulis telah dua kali datang ke Jambi (1985 dan 1986) menginap di rumah anaknya bernama Zakaria. Daripada wawancara yang diperoleh, hampir seluruh pendapat masyarakat, bahawa setelah Tengku Muhammad al-Fathani tiada, memang tidak ditemui lagi ulama yang setaraf dengan beliau baik dari segi keilmuan ataupun besar pengaruhnya kepada masyarakat.

Sewaktu berada di Jambi, penulis sempat menyalin kandungan Harian Ampera yang ada dalam simpanan penduduk.

Harian Ampera hari Selasa, 28 Disember 1976, halaman 6 mencatatkan, "Seorang Tokoh Agama Islam yang terkenal di Jambi Tuan Guru Zuhdy, hari Minggu, 26 Disember tutup usia di Jakarta. Almarhum singgah di Jakarta dalam perjalanan kembali ke Jambi dari Tanah Suci Mekah. Jenazah Tokoh Islam Jambi itu, Senin kelmarin tiba di lapangan Pal Merah dengan pesawat terbang milik National Air Charter.

"Ribuan masyarakat termasuk sejumlah besar pejabat pemerintah di sini menyambutnya di lapangan terbang. Dari Pal Merah jenazah dibawa ke Mesjid Raya Jambi untuk disembahyangkan dan hari Senin petang kelmarin dikebumikan di seberang Kota Jambi".

PERANAN ULAMA PATANI DI ACEH

Hubungan antara Patani dan Aceh sebagai pusat penyebaran Islam di Asia Tenggara berjalan sudah demikian lama. Barangkali sejak diperkenalkan agama Islam di Asia Tenggara, hubungan kekeluargaan antara kedua-dua tempat tersebut sudah terjalin dengan eratnya.

Dapat dicatat di antara ulama Aceh yang datang menyebar Islam ke Patani ialah Sheikh Muhammad Sa'id dan Sheikh Shafiyuddin (Tok Raja Faqih).

Penulis difahamkan bahawa ulama dan tokoh Aceh yang sangat terkenal iaitu Teungku Daud Beureueh (1896-10 Juni 1987) termasuk salah seorang keturunan ulama Patani yang berhijrah dari Patani ke Aceh pada zaman dulu. Sampai di mana kebenaran cerita ini masih dalam tahap penelitian.

Mengenai Teungku Daud Beureueh di sini tidak perlu diperkenalkan lagi kerana sudah cukup banyak diketahui oleh orang, juga pernah dimuatkan dalam ruangan ini.

Jika kita kaji watak peribadi Teungku Daud Beureueh dan keseluruhan watak masyarakat Aceh dengan watak ulama-ulama Patani dan keseluruhan watak masyarakat Patani, sangat banyak persamaan terutama sekali sikap cenderung kepada pemerintahan bercorak Islam dan anti kafir. Maka sangat boleh diterima bahawa orang-orang Patani memang terjalin pertalian kekeluargaan dengan orang-orang Aceh.

Oleh itu, kisah mengenai Teungku Daud Beureueh adalah berasal dari keturunan Patani masih dapat diterima.

PERANAN ULAMA PATANI DI BRUNEI DARUSSALAM

Tersebut di dalam buku Tokoh-tokoh Agama Brunei Darussalam Pengenalan Ringkas tertulis, "Sulaiman bin Abdul Rahman bin Abdullah Nurullah hidup sezaman dengan seorang pengembang Islam di Leren Geresik Jawa, Indonesia iaitu Maulana Malik bin Ibrahim yang meninggal dunia pada tahun 822 Hijrah. Dipercayai bahawa Maulana Malik Ibrahim adalah mempunyai hubungan keluarga dengan Sultan Syarif Ali...".

Jika benar Sultan Syarif Ali itu adalah keluarga dengan Maulana Malik Ibrahim, bererti jelas bahawa para penyebar Islam yang datang ke Brunei Daussalam ada hubungan kekeluargaan pula dengan penyebar-penyebar Islam yang menjadi datuk nenek para ulama Fathani Darus Salam.

Ini kerana Maulana Malik Ibrahim adalah anak saudara Ibrahim al-Hadhrami al-Fathani. Maulana Malik Ibrahim itu sebelum ke Jawa pernah dibesarkan di Kerisik, Patani, menurut versi Patani.

Dalam Hikayat Tuan Wali Allah Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani tertulis, "Dan lagi Raja Brunei itu jadi dua beradik dengan bapa Tok Nyang Sheikh Abdur Rahman itu". Dimaksudkan dengan "... bapa Tok Nyang Sheikh ..." pada kalimat tersebut ialah Sheikh Abdul Mubin al-Fathani.

Walau bagaimanapun perkara ini tidak jelas dari perkahwinan dalam bentuk bagaimana, dari adik beradik sebelah laki-laki ataupun dari adik beradik perempuan, yang dimaksudkan sehingga terjadi "dua beradik..." seperti yang termaktub dalam kalimat di atas.

Namun, yang sempat penulis catat selain manuskrip Hikayat Tuan Wali Allah Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani itu bahawa adik beradik Saiyid Jamaluddin al-Husein al-Kubra ada 11 orang. Beberapa orang di antaranya dilahirkan di Kerisik Fathani Darus Salam.

Dua orang terakhir di antara mereka ialah Wan Muhammad Arifin Syah digelar Tok Kelupang al-Jarimi al-Fathani, beliau ini adalah datuk nenek Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani. Adik Wan Muhammad Arifin Syah al-Fathani yang bongsu namanya sewaktu di Pauh Bok Fathani Darus Salam ialah Wan Nik (nama timang-timangan, nama sebenar tidak diketahui).

Wan Nik al-Fathani inilah yang pergi ke Brunei menyebarkan Islam. Sewaktu di Brunei tidak diketahui beliau memakai nama apa. Namun yang jelas beliau sezaman dengan Syarif Ali yang juga menyebarkan Islam di Brunei, kemudian menjadi Sultan Brunei (sultan ke-3).

Ada kemungkinan beliaulah yang dimaksudkan dengan Syarif Ali, jika dihubungkaitkan dengan kalimat "... Raja Brunei itu dua beradik ..." dengan ulama Patani seperti tersebut pada kalimat. Bererti Wan Nik al-Fathani itu jauh ke atas, hingga ke bawahnya masih ada hubungan terus menerus, kerana satu silsilah keturunan ini pernah ditulis oleh salah seorang keturunan Sheikh Abdul Mubin al-Fathani yang berada di Brunei yang bernama Haji Sulaiman.

Haji Sulaiman ini pernah datang ke Pauh Bok, Patani menyerahkan sepotong salasilah kepada waris di Pauh Bok, Patani. Salah seorang anak beliau yang menjadi pembesar di Brunei ialah Pehin Orang Kaya Di Gadong Awang Syihabuddin.

Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani juga pernah datang ke Brunei dan dikenali di Brunei dengan gelaran 'Tok Lubuk'. Selain mengajar beliau berkahwin di sana, meninggalkan keturunan yang ramai. Hubungan Patani - Brunei ini masih merupakan maklumat awal, justeru ia memerlukan kajian yang lebih mendalam.

PERANAN ULAMA PATANI DI SEMENANJUNG TANAH MELAYU

Penulis gunakan istilah Semenanjung Tanah Melayu untuk wilayah yang bersempadan dengan Patani iaitu bahagian Utara yang terdiri dari Perlis, Kedah dan Kelantan hingga ke Johor.

Sangat ramai orang yang berasal dari Patani atau keturunan mereka yang berperanan di Semenanjung Tanah Melayu, baik peranan sebagai ulama atau pun dalam bidang-bidang lainnya.

Dalam bidang agama Islam terutama pengajian-pengajian pondok di seluruh Semenanjung Tanah Melayu, pada peringkat awal hingga ke zaman hampir mencapai kemerdekaan adalah diasaskan oleh orang-orang yang berasal dari Patani.

Demikian dalam hal menjadi Mufti, Kadi dan lain-lain. Sebagai contoh: Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani atau Tok Bukit Bayas, Sheikh Wan Hasan bin Wan Ishaq al-Fathani, Sheikh Muhammad Amin atau Tok Duyung kesemua mereka adalah berasal dari ataupun keturunan dari Patani yang sangat terkenal sebagai ulama Terengganu.

Apabila kita membicarakan ulama-ulama Kelantan sangat sukar memisahkan apakah seseorang itu berasal dari Patani ataupun dari Kelantan. Memang pertalian kekeluargaan antara Kelantan dengan Patani adalah tidak dapat dipisah-pisahkan, yang memisahkan hanyalah geografi dalam pemetaan politik atau pemerintahan saja.

Sekarang Patani dalam kekuasaan penjajahan, sedang Kelantan dalam pemerintahan Malaysia. Sebagai contoh; ulama dan tokoh Kelantan yang erat hubungannya dengan Patani seumpama: Sheikh Wan Ali Kutan al-Kalantani (1235 H/1820 M-1331 H/1913 M), Sheikh Abdus Samad atau Tuan Tabal, Nik Mahmud bin Ismail lebih dikenal dengan Datuk Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan dan lain-lain.

Tok Kenali pula datuk neneknya berasal dari Cahaya (sekarang Chaiya) iaitu satu negeri yang terletak di Utara Patani. Demikian halnya dengan Perlis, Kedah, Pulau Pinang/Seberang Perai dan Perak.

Penutup

Ada pun peranan orang-orang Patani di tempat-tempat lainnya iaitu di Mekah, Mesir, dan Turki tidak dibicarakan lagi kerana sudah cukup banyak penulis perkenalkan dalam beberapa tulisan yang melibatkan ulama-ulama Patani. Kesimpulan dari peranan di Mekah bermula dengan penonjolan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, manakala di Mesir dan Turki bermula dari aktiviti Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.


This entry was posted on 15 June 2009 at Monday, June 15, 2009 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment