Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari - Ulama sufi dunia Melayu  

Posted

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah


ULAMA sufi berasal dari dunia Melayu yang diriwayatkan ini nama lengkapnya ialah Syeikh Muhammad Nafis bin Idris bin Husein al-Banjari. Seperti ulama-ulama sufi lain, Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari juga mendapat tentangan daripada orang-orang yang tidak sependapat dengan ajaran tasawufnya. Namun tidak sehebat tentangan terhadap Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i. Dalam perkembangan mutakhir golongan sufi dunia Melayu cukup rancak dibicarakan.

Sebelum berkembangnya aliran tajdid di dunia Melayu, boleh dikatakan tidak ada ulama besar dunia Melayu menyalahkan kandungan yang termaktub dalam ad-Durr an-Nafis, iaitu sebuah kitab perbahasan yang tinggi jalan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah dan permulaan jalan tasawuf ketuhanan dalam bahasa Melayu yang dihasilkan oleh ulama berasal dari Banjar yang dibicarakan ini.

Bagi ulama abad ke 18-19 dunia Melayu, ajaran semacam itu cukup mereka fahami kerana memang ada kitab-kitab tasawuf peringkat tinggi (muntahi) yang dirujuk dan mengimbangi kitab ad-Durr an-Nafis itu sebagai pegangan yang kukuh bagi kaum sufi. Yang termaktub dalam karya Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari itu adalah relevan dengan karya-karya Syeikh Abdul Karim al-Jili, Syeikh Muhyuddin Ibnu Arabi (17 Ramadan 560 H/29 Julai 1165 M-28 Rabiulakhir 638 H/21 November 1240 M) dan lain-lain. Lebih dua ratus tahun kitab ad-Durr an-Nafis itu diajarkan oleh para ulama di dunia Melayu, kemudian pada waktu akhir-akhir ini, sama ada di Indonesia mahu pun di Malaysia, ada pihak-pihak tertentu menyalahkan dan melarang mengajarkannya.

Di satu pihak kitab itu dilarang atau diharamkan menggunakannya, di pihak lain ternyata lebih banyak surau mahu pun masjid atau pun di rumah-rumah orang mengajarkannya. Bahkan K.H Haderanie H.N., seorang ulama di Surabaya berusaha melatin/merumikan kitab tersebut, yang diberi kata sambutan oleh seorang ulama dan tokoh atau ahli politik Islam Indonesia, K. H. Dr. Idham Chalid. Ad-Durr an-Nafis yang dilatin/dirumikan itu diberi judul Ilmu Ketuhanan Permata Yang lndah (Ad-Durrunnafis).

Saya, selaku penulis riwayat ini, tetap menilai bahawa Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari adalah seorang ulama besar sufi dunia Melayu. Memang tidak boleh terlalu mudah menilai beliau sebagai seorang yang tidak berilmu, zindiq, sesat dan sebagainya, seperti yang pernah dilemparkan oleh orang-orang tertentu kepada beliau. Bagi saya bertindak adil dan jujur terhadap ilmu pengetahuan itulah yang lebih baik dilakukan daripada menyalahkan orang, sedangkan kita sendiri tidak tahu dengan tepat dan pasti apa yang disalahkan itu. Apabila berbeza sistem dan penerapan sesuatu disiplin ilmu antara satu pihak dengan pihak lain, maka itu juga boleh mengakibatkan berbeza pandangan dan pendapat.

Ilmu

Oleh itu sistem dan penerapan ilmu sufi pada abad 18-19 jauh berbeza dengan pihak-pihak yang tidak pernah belajar sufi tradisional Islam pada penghujung abad 20 dan abad ini. Orang sufi memang berlapang dada, mereka berjiwa besar dan tidak suka bertengkar atau berdebat kerana agama Islam bukan bertujuan ke arah pertengkaran atau perdebatan tetapi untuk diamalkan oleh setiap insan Muslim yang berjiwa dan bercita-cita takwa. Pertengkaran atau perdebatan membawa kepada perpecahan umat. Ulama sufi dunia Melayu yang belajar di Mekah berpuluh-puluh tahun seperti Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari tidak dapat disamakan dengan peribadi-peribadi yang tiada mendalami Islam, tetapi mengaku dirinya dengan pelbagai pengakuan seperti yang terjadi pada akhir-akhir ini.

ASAL-USUL DAN PENDIDIKAN

Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari berasal dari Banjar, Kalimantan Selatan. Hidup sezaman dan seperguruan dengan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Sama-sama belajar di Mekah dan Madinah. Yang seperjuangan dengannya termasuk Syeikh Abdur Rahman al-Mashri al-Batawi (Jakarta), Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dan lain-lain. Tentang dirinya hanya beberapa hal beliau sebut, ``Di negeri Banjar tempatnya jadi. Mekah tempat diamnya. Syafie akan mazhabnya, iaitu pada fikah. Asy`ari iktikadnya, iaitu pada ushuluddin. Junaid ikutannya, iaitu pada ilmu tasawuf. Qadiriyah thariqatnya, Syathariyah pakaiannya, Naqsyabandiyah amalan-nya, Khalwatiyah makanannya, Sammaniyah minumannya''.

Para gurunya juga beliau sebut dalam karyanya ad-Durr an-Nafis yang tersebut, senarai lengkapnya adalah sebagai berikut:

1. Syeikh Abdullah bin Hijazi asy-Syarqawi. 2. Syeikh Shiddiq bin Umar Khan. Beliau adalah murid kepada Syeikh Muhammad bin Abdul Karim Samman, iaitu murid ulama sufi yang lebih dulu daripada Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari dan kawan-kawannya. 3. Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samani al-Madani. 4. Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Aziz al-Maghribi. 5. Syeikh Muhammad bin Ahmad al-Juhuri. Dan ramai lagi yang belum disebutkan di sini.

Setelah Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari diizinkan para gurunya, terutama sekali Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman, bahawa beliau boleh mengajar ilmu-ilmu batin dengan beberapa aspek tarekat dan furu'-furu'nya, maka berusahalah Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari mengajak manusia mentauhidkan Allah daripada satu peringkat ke satu peringkat yang lebih tinggi dan mendalam. Di manakah Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari menjalankan aktiviti dakwah dan pendidikan, terjadi pertikaian pendapat daripada beberapa orang periwayat. Ada orang menceritakan bahawa beliau menyampaikan dakwah dan pendidikan Islam di Pulau Bali, Pulau Sumbawa dan pulau-pulau yang berdekatan dengannya. Riwayat yang lain pula mengatakan bahawa Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari menyebarkan ajarannya di Pulau Laut, Kalimantan Selatan. Riwayat yang lain mengatakan di Kusan, Kota Baru, juga dalam Pulau Laut itu. Akhirnya dikatakan bahawa Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari meninggal dunia di Sigam, juga di Pulau Laut. Pendapat lain menyebut beliau wafat di Kalua, juga di Pulau Laut.

PENULISAN

Ketika artikel ini saya tulis, baru dua buah saja karangan Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari yang ditemui, selain ad-Durr an-Nafis, yang sebuah lagi masih berupa manuskrip ialah Majmu' al-Asrar li Ahlillahil Athyar. Mengenai ad-Durr an-Nafis beberapa maklumat tentangnya, bahawa selesai ditulis pada 27 Muharam 1200 H/30 November 1785 M. Cetakan pertama kitab ini ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, di Mathba'ah al-Miriyah bi Bulaq, Mesir al-Mahmiyah. Pada terbitan pertama tercantum syair Syeikh Ahmad al-Fathani: ``Berpeganglah kamu dengan ilmu orang sufi,

Nescaya kamu menyaksikan bagi Tuhanmu itu keesaan.

Wahai yang meninggalkan sebaik-baik teman sekedudukan,

Adalah kitab ini mengandung maksud keseluruhan,

Seperti lautan,

daripadanya tiap-tiap yang berharga penilaian''.

Sebagai keterangan lanjut Syeikh Ahmad al-Fathani mencatatkan, ``Ketahui olehmu hai yang waqif atas kitab ini. Bahawa segala naskhah kitab ini sangatlah bersalah-salahan setengah dengan setengahnya, dan tiada hamba ketahuikan mana-mana yang muafakat dengan asal naskhah Muallifnya. Maka hamba ikutkan pada naskhah yang hamba cap ini akan barang yang terlebih elok dan munasabah. Dan tiada hamba kurangkan daripada salah suatu daripada beberapa naskhah itu akan sesuatu kerana ihtiyat''.

Ad-Durr an-Nafis cetakan pertama Syeikh Ahmad al-Fathani telah memberi keterangan beberapa istilah seperti terdapat pada kalimat-kalimat: 1. ``... maka hendaklah lihat olehmu kepada Abi Bakar, iaitu ibarat daripada mati nafsu yang ammarah ...''. Syeikh Ahmad al-Fathani menjelaskan, bahawa nafsu ammarah, ialah ``nafsu yang cenderung kepada kejahatan''.

2. ``Bermula hasilnya segala wujud sesuatu itu dengan dinisbahkan kepada wujud Allah Taala yang haqiqi itu khayal, dan waham, dan majaz jua, kerana wujudnya antara dua `adam Bermula wujud yang antara dua `adam itu `adam jua adanya ...''. Keterangan Syeikh Ahmad al-Fathani, ``Dua `adam, ertinya `adam lahiq dan `adam sabiq. Pengertian `adam lahiq, ialah tiada yang mengikut. Pengertian `adam sabiq, ialah tiada yang mendahului''.

3. ``Dan pada sekira-kira zahir mumkin itu lain daripada Allah Taala. Dan sekira-kira haqiqatnya wujud mumkin itu, iaitu `ain wujud Allah Taala. Dan misalnya seperti buih dan ombak...''. Keterangan Syeikh Ahmad al-Fathani, ``Katanya, ``Dan pada sekira-kira zahir dan pada sekira-kira haqiqat ...'', maka kedua (-dua) itu `athaf. Katanya, ``Pada sekira-kira wujud, dan dhamir pada haqiqatnya dan dhamir pada nyatanya. Kedua (-dua) itu kembali kepada buih, dan dhamir daripadanya itu kembali kepada air''.

4. Syeikh Ahmad al-Fathani menjelaskan istilah ma'iyah, kata beliau, ``Yakni berserta: a. ittihad = bersuatu. b. hulul = bertempat. c. khayal, yakni apabila kita lihat jauh ada sesuatu, dan kita lihat dekat tiada ada, seperti alung-alung di tengah jalan Madinah''. Ad-Durr an- Nafis setelah cetakan pertama oleh Matba'ah al-Miriyah di Bulaq, Mesir tahun 1302 H/1884 M yang diusahakan dan ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani itu terdapat berbagai-bagai edisi.

Karya

Karya Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari yang kedua, yang masih belum diketahui umum, dalam bentuk manuskrip ialah Majmu' al-Asrar, salinan Muhammad Zain bin Hasan. Selesai menyalin pada waktu Zuhur, hari Sabtu 21 Syaaban 1355 H/1936 M. Kitab Majmu' al-Asrar ini juga membicarakan masalah tasawuf. Sampai riwayat ini ditulis kitab yang tersebut baru dijumpai dua versi, yang sebuah lagi dengan judul Majmu' as-Sarair, atau judul dalam bahasa Melayu yang diberi oleh beliau Perhimpunan Sekalian Rahasia.

Versi yang pertama, koleksi Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia, dan versi yang sebuah lagi adalah koleksi peribadi saya sendiri. Yang menjadi milik saya itu terdapat tiga buah risalah lain, yang dipercayai juga karya Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari. Risalah-risalah itu ialah Penjelasan Huruf-Huruf Abjad Dalam Al-Quran, llmu Haqiqat Yang Sebenar-Benar dan Masalah Orang Yang Dijadikan Imam.

Pada risalah yang terakhir tercatat tahun selesai menulisnya pada waktu Dhuha, 8 Ramadan 1245 H/1829 M. Dengan dijumpai manuskrip yang terdapat tahun itu maka dapatlah diagak-agak jarak waktu sementara penulisan Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari yang telah diketahui, iaitu 1200 H/1785 M (Ad-Durr an-Nafis) hingga 1245 H/1829 M (manuskrip yang tersebut di atas). Jadi bererti sekitar 45 tahun. Dengan demikian pada jarak waktu yang demikian lama masih banyak karya Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari yang belum kita jumpai dan ketahui.
This entry was posted on 12 November 2006 at Sunday, November 12, 2006 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment