Haji Rasul Amrullah tokoh tajdid Nusantara  

Posted

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH


PADA bulan Januari 2006 genap dua tahun tulisan saya tentang ulama dunia Melayu disiarkan dalam ruangan agama Utusan Malaysia.Artikel pertama disiarkan pada Khamis 19 Februari 2004. Sehingga hari ini jumlah ulama yang telah diperkenalkan ialah seramai 95 orang. Hingga terbitan hari ini hanya tiga orang ulama Kaum Muda atau Tajdid diperkenalkan.

Dua tokoh tajdid (pembaharuan) yang diperkenalkan sebelum ini ialah Syeikh Tahir Jalaluddin dan Syed Syeikh al-Hadi. Tujuan saya memperkenalkan tokoh-tokoh Kaum Tua dan Kaum Muda bukan bererti memperlihatkan diri berpihak, tetapi lebih kepada memaparkan sejarah.

Ulama yang diperkenalkan kali ini nama asalnya ialah Muhammad Rasul. Namanya nama yang terkenal ialah Dr. Syeikh Abdul Karim bin Amrullah. Beliau lahir pada hari Ahad, 17 Safar 1296 H/10 Februari 1879 M di Kepala Kebun, Betung Panjang, Negeri Sungai Batang, Manjinjau, Dalam Luhak Agam, Minangkabau, Sumatera Barat.

Pendidikan

Sejak berumur tujuh tahun, ayah dan ibunya telah memerintahkan beliau mendirikan sembahyang dan puasa pada bulan Ramadan. Selanjutnya pada usia 10 tahun, ayah saudaranya, Haji Abdus Samad membawanya ke Sibalantai, Tarusan, Painan belajar al-Quran daripada Tuanku Haji Hud dan Tuanku Pakih Samnun. Buya Hamka menyebut bahawa setahun kemudian beliau pulang ke Sungai Batang, lalu diajarkannya menulis Arab (maksudnya tulisan Melayu/Jawi, pen:) daripada Adam anak Tuanku Said.

Pada usia 13 tahun beliau mulai belajar ilmu nahu dan saraf daripada ayahnya, Syeikh Amrullah. Ayahnya menghantarnya belajar ke Sungai Rotan, Pariaman, menuntut ilmu daripada Tuanku Sutan Muhammad Yusuf. Kemudian Syeikh Amrullah sendiri membawa anaknya Muhammad Rasul itu ke Mekah untuk mendalami pengetahuannya dengan ulama-ulama Mekah pada zaman itu. Ketika belajar di sana, usia Muhammad Rasul sekitar lingkungan 16 ke 17 tahun iaitu pada tahun 1312 H/1894 Masihi.

Buya Hamka dalam buku Ayahku menyebut nama guru-guru Haji Rasul ialah Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau, Syeikh Abdullah Jamidin, Syeikh Utsman Sarawak, Syeikh Umar Ba Junaid, Syeikh Saleh Ba Fadhal, Syeikh Hamid Jeddah dan Syeikh Sa'id Yaman.

Tulis Buya Hamka selanjutnya, ‘’Dan pernah juga belajar kepada Syeikh Yusuf Nabhani, pengarang kitab Al-Anwarul Muhammadiyah. Syeikh ini jadi terkenal kerana dia benci kepada Syeikh Muhammad Abduh! (Karangan-karangannya itu besar pengaruhnya di kalangan ulama-ulama tua di Indonesia, sehingga payah menghapuskannya).’’ (Lihat Ayahku, hlm. 59.)

Daripada sumber Buya Hamka di atas, hanya dua orang ulama yang berasal dari dunia Melayu menajdi guru ayah beliau Haji Rasul Amrullah di Mekah iaitu Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau dan Syeikh Utsman Sarawak. Tetapi yang saya kumpulkan daripada pelbagai sumber, Haji Rasul Amrullah Minangkabau juga belajar daripada ulama-ulama Melayu yang terkenal di Mekah ketika itu, di antara mereka ialah Syeikh Muhammad Ismail al-Fathani, Syeikh Wan Ali al-Kalantani dan Syeikh Ahmad al-Fathani.

Tulisan Buya Hamka yang menyebut bahawa ayah beliau ‘’pernah juga belajar daripada Syeikh Yusuf Nabhani’’, bagi saya, masih belum jelas kerana Syeikh Yusuf Nabhani itu adalah ulama di Beirut. Saya belum menemui riwayat bahawa Syeikh Yusuf Nabhani pernah mengajar di Mekah. Kemungkinan juga Haji Rasul Amrullah pernah mendatangi dan belajar daripada Syeikh Yusuf Nabhani di Beirut. Tidak terdapat keterangan lanjut baik daripada Buya Hamka mahupun dalam tulisan orang lainnya.

Memperhatikan tahun kelahiran Haji Rasul Amrullah (1296 H/1879 M), tahun beliau belajar di Mekah ialah antara tahun 1312 H/1894 M hingga musim haji tahun 1323 H/Januari/Februari 1906 M dan beliau pulang ke Minangkabau pada Muharam 1324 H/Februari/Mac 1906 M. Daripada tarikh itu maka dapatlah kita bandingkan dengan beberapa orang ulama yang berasal dari dunia Melayu yang agak berdekatan tahun kelahiran dan sempat belajar dengan guru-guru yang sama di Mekah. Mereka ialah Syeikh Muhammad Sa’id Linggi (lahir 1292 H/1875 M), Kadi Haji Abu Bakar Hasan Muar, Johor (lahir 1292 H/1875), Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani (lahir 1293 H/1876 M), Syeikh Abdul Hamid Mahmud Talu, Minangkabau (lahir 1298 H/1880 M) dan masih ramai lagi.

Mereka adalah golongan Kaum Tua, kecuali Haji Rasul Amrullah yang diriwayatkan ini saja dalam golongan Kaum Muda. Sebenarnya jika disimpulkan, kitab-kitab yang dipelajari Haji Rasul Amrullah daripada semua gurunya adalah kitab-kitab Kaum Tua juga, seperti kitab Fat-h al-Mu'in, Tafsir Jalalain dan lain-lain. Saya belum menjumpai riwayat bahawa beliau pernah belajar kepada tokoh Kaum Muda, kecuali beliau hanya belajar daripada Syeikh Tahir Jalaluddin. Lain halnya dengan Syeikh Tahir Jalaluddin, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani, dan Syeikh Basiyuni Imran (Maharaja Imam Sambas) yang ketiga-tiganya adalah murid Syeikh Muhammad Abduh dan Saiyid Rasyid Ridha di Mesir.

Jadi pengetahuan Haji Rasul Amrullah adalah berdasarkan pembacaan kitab-kitab karangan Ibnu Taimiyah, Ibnu Qaiyim, Syeikh Muhammad Abdul Wahhah dan terakhir sekali ialah karangan Syeikh Muhammad Abduh dan karangan Saiyid Rasyid Ridha terutama Tafsir al-Manar. Riwayatnya menunjukkan beliau tidak belajar daripada ulama Kaum Muda, tetapi kepada ulama Kaum Tua, belajar kitab-kitab Kaum Tua, namun akhirnya hanya melalui pembacaan menjadi tokoh Kaum Muda yang dapat kita bandingkan dengan Mufti Haji Wan Musa Kelantan.

Mengenai sambutan kepulangan Haji Rasul ke negerinya, Buya Hamka menulis, ‘’Belum lama di rumah, orang dalam negeri, termasuk Laras sendiri mengadakan peralatan melantik Syeikh Amrullah bergelar ‘Tuanku Nan Tuo’ dan Haji Rasul diberi gelar ‘Tuanku Nan Mudo’. Meraikannya disembelih beberapa ekor kerbau dan dipanggil tuanku-tuanku dari keliling danau untuk turut menyaksikan.’’ (Lihat Ayahku, hlm. 61.)

Kegembiraan Tuan Kisa-i (Syeikh Amrullah) atas kepulangan anak beliau Haji Rasul yang membawa ilmu tiada dapat kita bayangkan, tetapi kegembiraan itu rupa-rupanya bertukar menjadi sebaliknya kerana jalan pemikiran dalam pegangan Islam antara ayah dengan anak sangat jauh berbeza.

Dari segi ini Buya Hamka mencerminkan kejujuran beliau menulis tentang ayah dan datuknya itu. Kata beliau, ‘’Kedatangan di kampung disambut dengan gembira oleh ayahnya dan orang kampung, baik kalangan lebai-lebai atau kalangan ninik-mamak. Tetapi kegembiraan itu akhirnya akan kecewa juga ... Syeikh Ahmad Khatib juga seorang sufi, tetapi beliau tidak menyetujui cara tarekat yang memakai kaifiat-kaifiat yang bidaah-bidaah itu. Padahal Syeikh Amrullah sendiri adalah Syeikh Thariqat Naqsyabandi.’’ (lihat Ayahku, hlm. 61.)

Kita tidak dapat menggambarkan bagaimana pergolakan dalaman antara ayah dengan anak yang terjadi sebenarnya, kerana belum terdapat tulisan orang lain yang membicarakan perkara itu. Saya kagum terhadap Buya Hamka. Dia seorang yang sangat bijaksana, beliau cukup faham ada perkara yang perlu diketahui oleh umum untuk dijadikan iktibar dan ada pula yang tidak perlu disebarkan kepada umum.

Buya Hamka cukup beradab dan berbudi bahasa untuk menceritakan sesuatu yang menyentuh darah dan daging beliau sendiri. Tentang Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau menganggap ‘’memakai kaifiat-kaifiat yang bidaah-bidaah’’ adalah bidaah yang disebut oleh Buya Hamka itu. Ia sebenarnya telah ditentang oleh beberapa orang ulama yang berasal dari Minangkabau sendiri. Di antara yang dipandang paling hebat ialah Syeikh Muhammad Sa’ad Mungka.

Bahkan sangat ramai murid Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau tetap istiqamah mengamalkan tarekat di antaranya ialah Syeikh Khathib Ali bin Abdul Muthalib al-Khalidi an-Naqsyabandi, penyusun kitab Miftah ad-Din, termasuk Syeikh Sulaiman ar-Rasuli, murid Syeikh Ahmad Khatib juga mengamalkan tarekat.

Buya Hamka membahagikan karangan ayahnya kepada beberapa jenis. Yang ditulis pada peringkat awal mulai tahun 1908 M hingga tahun 1923 M, jumlahnya ada 15 judul. Yang dikarang setelah beliau mengikut Kongres Islam di Mesir ditulis mulai tahun 1928 M hingga tahun 1943 M, ada 11 judul. Namun ada dua judul terakhir tidak terdapat tahun penulisan. Buya Hamka menulis, ‘’Karangan-karangannya itulah yang menjadi ‘soal besar’ dan ‘membuat ribut’ dalam zamannya.’’

Pada waktu itulah keluar kefahamannya yang ganjil-ganjil dan ‘moden’ sehingga beliau dicap Kaum Muda dan menggoncangkan masyarakat Minang 30 tahun yang lalu.’’ (30 tahun yang lalu dihitung ketika Buya Hamka menulis buku tersebut, iaitu tahun 1950. Tetapi hingga sekarang bererti sudah lebih 80 tahun, pen:). Buya Hamka menulis selanjutnya, ‘’Sehingga buku-buku itu dilarang dibaca dalam kerajaan Melayu: Johor, Pahang, Perak, Kelantan, Terengganu, Perlis, Selangor, dan Negeri Sembilan. Sebab menyebarkan bibit Kaum Muda!’’ (Lihat Ayahku, hlm. 222.) Saya belum mengetahui sampai di mana benarnya tulisan Buya Hamka itu kerana beliau masukkan Perlis juga melarang karangan-karangan ayah beliau, sedangkan negeri Perlis sendiri dikatakan orang adalah satu-satunya negeri Kaum Muda di Semenanjung Melayu.

Kemungkinan di Minangkabau telah hangat pertikaian antara Kaum Tua dan Kaum Muda tetapi di Perlis ketika itu para ulamanya masih berpegang dengan fahaman Kaum Tua.

Dalam simpanan saya terdapat beberapa bukti bahawa Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau marah kepada muridnya Haji Rasul Amrullah. Sewaktu terjadi polemik antara Haji Rasul Amrullah dengan Syeikh Hasan Maksum, Medan, tentang ‘Ushalli’, Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau menulis sepucuk surat berpihak kepada muridnya Syeikh Hasan Maksum (Kaum Tua) dan menolak fahaman Haji Rasul Amrullah.

Sewaktu Syeikh Saad Mungka dalam perkara yang sama (Ushalli) menyalahkan Haji Rasul Amrullah, ada orang melaporkan kepada Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau di Mekah. Ternyata Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau tidak menyokong Haji Rasul Amrullah. Pada konteks ini Buya Hamka menulis, ‘’Maka datanglah balasan dari Mekah! Syeikh Ahmad Khatib rupanya agak marah kepada ayahku, mengapa soal itu dibuka. Lalu beliau menguatkan lebih baik juga Ushalli dipakai. Demi menerima serangan daripada Syeikh Saad Mungka dan penyesalan daripada gurunya yang sangat dihormatinya, bertambah tersinggunglah perasaannya.’’

Serangan Syeikh Saad Mungka tambah mendorongnya buat mempersiap diri, dan penyesalan gurunya menambahkan ragunya, mengapa maka gurunya yang mendidiknya selama ini bebas berfikir telah menghambat kebebasan berfikir itu. Jawabnya kepada gurunya sangat hormat.’’ (Lihat Ayahku, hlm. 280.)

Kebebasan

Mengenai kebebasan berfikir perlulah dibimbing daripada wahyu Allah, hadis Nabi s.a.w. ijmak, dan kias serta etika dalam menyebarkannya. Tidak semestinya kita berpendapat bahawa pemikiran kita saja yang benar, kerana sangat ramai orang selain kita juga berfikir. Apabila terjadi pertikaian pendapat yang bertentangan antara dua golongan, saya berpendapat, terdapat tiga rumusan.

Pertama: masih dalam kemungkinan yang satu adalah ‘betul’ dan yang satu lagi adalah ‘salah’. Kedua: yang sudah pasti, tidak mungkin kedua-duanya adalah ‘betul’. Ketiga: masih ada kemungkinan kedua-duanya adalah ‘salah’.
This entry was posted on 12 November 2006 at Sunday, November 12, 2006 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment