Saiyid Muhsin al-Masawi pengasas Dar al-Ulum di Mekah  

Posted

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah


SALAH satu institusi pendidikan Islam yang cukup terkenal di Mekah lebih 100 tahun lalu di kalangan masyarakat India, Pakistan dan lain-lain termasuk juga komuniti Islam dari dunia Melayu ialah Madrasah ash-Shaulatiyah yang diasaskan oleh salah seorang keturunan Saiyidina Utsman bin Affan yang dilahirkan di India.

Bagi masyarakat Melayu, selain mendapat pendidikan di Masjid al-Haram ramai juga yang memasuki Madrasah ash-Shaulatiyah.

Para pemuda Melayu yang sedar kepentingan pendidikan Islam, dakwah dan kemajuan bangsa serumpun Melayu akhirnya mencetuskan idea untuk mendirikan sebuah pusat pendidikan di Mekah. Tujuan pendidikan yang paling diutamakan adalah memperkukuh dan mempertahankan akidah Ahli Sunah Wal Jamaah dan Mazhab Syafie.

Idea itu dicetuskan oleh seorang pemuda yang mempunyai banyak kelebihan ilmu kelahiran Palembang, Sumatera Selatan iaitu Saiyid Muhsin bin Ali bin Abdur Rahman al-Masawi. Beliau lahir pada tahun 1323 H/1905 M dan wafat di Mekah pada bulan Jamadilakhir 1354 H/September 1935 M.

Saiyid Muhsin al-Masawi mendapat pendidikan awal daripada orang tuanya. Untuk pendidikan awal yang formal, ayahnya memasukkannya di Madrasah Nur al-Islam dan beliau kemudian melanjutkan pendidikan di Madrasah Sa’adah ad-Daraini. Kedua-dua madrasah itu terletak di Jambi.

Disebabkan ayahnya meninggal dunia pada tahun 1919 M, Saiyid Muhsin al-Masawi terpaksa pulang ke Palembang.

Di Palembang, beliau sempat belajar di Madrasah Hukumiyah dan mendapat pendidikan daripada Haji Aidrus. Pada tahun 1340 H/1921 M Saiyid Muhsin al-Masawi berangkat ke Mekah. Beliau melanjutkan pendidikan di Madrasah ash-Shaulatiyah mulai tahun 1341 H/1923 M. Antara guru beliau ialah Syeikh Hasan bin Muhammad al-Masyath, Syeikh Daud Dihan, Syeikh Abdullah bin al-Hasan al-Kuhaji, Syeikh Hasbullah as-Sanqithi dan Syeikh Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani.

Saiyid Muhsin al-Masawi ialah seorang yang sentiasa bersungguh-sungguh, sangat rajin dan beliau pula adalah seorang yang kuat beribadat. Selain menguasai banyak bidang ilmu, Saiyid Muhsin al-Masawi ialah seorang yang sangat pandai dalam ilmu tafsir, usul fiqh, falak dan faraid.

Pada tahun 1348 H/1929 M, Saiyid Muhsin al-Masawi pergi ke Hadhramaut untuk memperluaskan pengalaman dan menambah ilmu terutama menziarahi golongan Alawiyin (keturunan Rasulullah s.a.w.). Sewaktu di Tarim, Saiyid Muhsin al-Masawi mengikuti beberapa halaqah pengajian dan sekali gus memperoleh ilmu-ilmu tradisional yang lazim diajarkan di sana.

Tradisi ulama dunia Melayu yang seboleh-bolehnya mesti menerima ilmu di Hadhramaut, Yaman, nampaknya berjalan sejak dulu. Ia dimulakan oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, Syeikh Yusuf Taj al-Mankatsi, Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dan lain-lain. Hanya sekitar tiga bulan Saiyid Muhsin al-Masawi tinggal di Hadhramaut sebelum beliau kembali ke Mekah.

Aktiviti

Ketika Saiyid Muhsin al-Masawi berada di Mekah beliau giat mengajar di rumahnya. Yang hadir dalam halaqah pengajiannya bukan sahaja kalangan yang berasal dari dunia Melayu tetapi juga bangsa-bangsa Islam lain. Pelajarannya pula berbagai-bagai disiplin ilmu. Sungguhpun sibuk mengajar namun ia tidak menghalang beliau mendalami ilmu di Masjid al-Haram, Mekah.

Antara ulama-ulama besar guru Saiyid Muhsin al-Masawi di Masjid al-Haram ialah Syeikh Umar Ba Juneid, Syeikh Sa’id bin Muhammad al-Yamani al-Khalidi, Syeikh Muhammad Ali bin Husein al-Maliki, Syeikh Umar Hamdan, Syeikh Abdullah bin Muhammad Ghazi.

Para guru Saiyid Muhsin al-Masawi di Madinah pula ialah Syeikh Abdul Qadir bin Taufiq asy-Syibli, Syeikh Muhammad al-Baqi al-Laknawi, Saiyid Zaki bin Ahmad al-Barzanji, Syarif Abdul Hayy bin Abdul Kabir al-Kinani al-Fasi dan Syeikh Muhammad Ali Awadal-Maghribi as-Salwi.

Pada tahun 1352 H/1933 M, Saiyid Muhsin al-Masawi al-Huseini mengasaskan Madrasah Dar al-Ulum ad-Diniyah di Syu’ib Ali, Mekah. Pengasasan madrasah itu pada tahun 1352 H disebut dalam Tasynif al-Asma’ oleh Abi Sulaiman Mahmud Sa’id bin Muhammad Mamduh. Tetapi Syeikh Umar Abdul Jabbar dalam at-Tarajim wa as-Siyar menyebut tahun 1353 H. Dalam sumber Arab, yang berkongsi mengasaskan Madrasah Dar al-Ulum ad-Diniyah hanya terdapat dua nama iaitu Saiyid Muhsin bin Ali al-Masawi al-Huseini dan Syeikh Haji Zubeir bin Ahmad al-Filfulani. Saiyid Muhsin bin Ali al-Masawi ialah Mudir Madrasah Dar al-Ulum ad-Diniyah yang pertama, tetapi tidak lama kerana beliau meninggal dunia pada Jamadilakhir 1354 H/September 1935 M.

Secara langsung wakil Mudir ialah Syeikh Haji Zubeir bin Ahmad al-Filfulani yang dilantik menjadi mudir yang kedua. Prof. Dr. Mohammad Redzuan Othman dalam kertas kerjanya berjudul Memerantauan Orang Melayu Menuntut Ilmu Di Masjid Al-Haram Dan Universiti Al-Azhar: Sejarah Dan Kepentingannya yang dibentangkan pada Seminar Mahawangsa Melayu menyebut, yang berusaha mengasaskan madrasah itu ialah Haji Abdul Majid Zainuddin yang dikatakan meletakkan batu asas.

Menurutnya, bangunan untuk madrasah memulakan pengajian diwakafkan oleh Toh Puan Sharifah, iaitu isteri kepada Datuk Panglima Kinta (kertas kerja hlm. 7). Maklumat yang dikemukakan oleh Mohammad Redzuan itu adalah perkara baru bagi saya. Saya belum menemui tulisan lain ataupun cerita lisan sebelum ini. Saya tidak perlu menyanggah kenyataan itu kerana ada kemungkinan ia benar.

Penulisan

Sungguhpun umur Saiyid Muhsin al-Masawi sangat pendek namun beliau sempat menghasilkan beberapa karangan. Semua karangannya yang ditemui adalah dalam bahasa Arab. Hampir semua kitab yang disusunnya diajar di Madrasah Dar al-Ulum ad-Diniyah, Mekah. Selanjutnya murid-murid beliau yang berhasil mendirikan sekolah di Indonesia dan Malaysia mengajar pula kitab-kitab yang beliau karang itu. Senarai karangannya adalah sebagai berikut:

1. An-Nafhah al-Hasaniyah Syarh an-Nafhah as-Saniyah fi al-Faraidh

2. Madkhal al-Wushul ila 'Ilm al-Ushul

3. Nahj at-Taisir Syarh Manzhumah az-Zamzami fi Ushul at-Tafsir

4. Jam'u ats-Tsimar Ta'liq 'ala Manzhumah Manazil al-Qamar

5. Al-Judad Syarh Manzhumah az-Zubad

6. An-Nushush al-Jauhariyah fi Ta'rif al-Manthiqiyah

7. Adillah Ahl as-Sunnah wa al-Jama'ah fi Daf'i asy-Syubuhat al- Firaq adh-Dhallah al-Mutabaddi'ah

8. Ar-Rihlah al-'Aliyah ila ad-Diyar al-Hadhramiyah

Semua kitab di atas disebut oleh Syeikh Umar bin Abdul Jabbar dalam at-Tarajim wa as-Siyar tanpa memberi keterangan yang panjang mengenainya. Kemungkinan banyak karangan beliau yang masih belum kita ketahui. Sebagai contoh Syeikh Muhammad Yasin bin Isa al-Fadani (Padang) ialah murid Saiyid Muhsin al-Masawi.

Pada bulan 27 Ramadan 1354 H Syeikh Muhammad Yasin bin 'Isa al-Fadani menyelesaikan kitab berjudul Janiy ats-Tsamar Syarh Manzhumah Manazil al-Qamar yang merupakan syarahan karya al-Allamah Khalifah bin Ahmad an-Nabhani al-Falaki. Sebenarnya sebelum kitab tersebut disyarah oleh Syeikh Muhammad Yasin bin Isa al-Fadani, ia terlebih dulu pernah diberi taqrirat (memberi pujian dan keterangan untuk memperkukuhkan sesuatu perkara) pada bahagian bawahnya oleh Saiyid Muhsin al-Masawi.

Kandungan kitab yang tersebut adalah mengenai ilmu falak. Karya yang dibicarakan ini pernah dicetak oleh Mathba'ah As-Saiyid Muhammad Abdul Lathif Hijazi, Mesir pada akhir Rabiulakhir 1369 H. Saya belum dapat memastikan karya yang ditaqrirat oleh Saiyid Muhsin al-Masawi yang disebut ini adakah sama dengan kitab yang disebut oleh Syeikh Umar bin Abdul Jabbar yang berjudul Jam'u ats-Tsimar Ta'liq 'ala Manzhumah Manazil al-Qamar (nombor 4 dalam senarai). Ini kerana sewaktu saya menyusun artikel ini kitab yang tersebut tidak sempat saya rujuk.

Murid-murid

Murid Saiyid Muhsin al-Masawi sangat ramai, yang paling terkenal ialah Syeikh Muhammad Yasin bin Isa bin Udiq al-Fadani al-Indunisiyi asy-Syafi'ie (lahir 1335 H/1916 M, meninggal dunia di Mekah, 1410 H/1989 M).

Syeikh Muhammad Yasin Padang ialah pemegang amanah sebagai Mudir Madrasah Dar al-Ulum ad-Diniyah yang keempat dari tahun 1946 - 1990 M, sesudah Syeikh Ahmad al-Manshuri (Mudir ketiga tahun 1940 - 1946 M). Syeikh Ahmad al-Manshuri ini ialah sahabat Syeikh Haji Zubeir bin Ahmad al-Filfulani (Mudir kedua tahun 1935 -1940 M).

Kedua-dua ulama ini sama-sama mendapat pendidikan Madrasah al-Masyhur Pulau Pinang, sama-sama berangkat dan belajar di Mekah. Masih belum jelas kemungkinan Syeikh Ahmad al-Manshuri juga pengasas Madrasah Dar al-Ulum ad-Diniyah bersama-sama Saiyid Muhsin al-Masawi.

Syeikh Muhammad Yasin Padang ialah murid ketiga-tiga ulama tersebut, termasuk ulama Mekah yang sangat terkenal pada penghujung alaf yang lalu. Syeikh Muhammad Yasin Padang termasuk ulama yang dirujuk oleh ulama seluruh dunia terutama mengenai sanad-sanad pelbagai ilmu. Hasil penulisan beliau sangat banyak. Semuanya dalam bahasa Arab.

Murid Saiyid Muhsin al-Masawi yang sempat saya bergaul hanya seorang iaitu al-Hafiz Ustaz Haji Ali Usman al-Katafani (Ketapang) yang merupakan sahabat Syeikh Muhammad Yasin Padang. Saya mengenali ulama ini melalui karya beliau tentang lughah Arab. Pada mulanya saya memperoleh cerita tentang beliau daripada guru saya, Ustaz Haji Abdur Rani Mahmud, salah seorang murid beliau.

Pada tahun 1971 saya sempat bertemu Ustaz Haji Ali Usman di Singapura. Beliau menyerahkan sebuah karangannya yang masih dalam bentuk tulisan tangannya sendiri. Khatnya cukup indah, ditulis dalam bahasa Arab. Kandungan tentang sanad-sanad.

Pada penghujung tahun 1971 dan memasuki awal tahun 1972, sekitar seminggu saya tinggal di rumahnya di Bandung. Ketika itu beliau bertugas sebagai Rektor Universitas Islam Bandung (UNISBA). Selain mengikuti halaqah ketika beliau mengajar di surau, saya menyaksikan beliau sangat rajin membaca kitab, semua yang dibacanya ialah kitab bahasa Arab. Banyak maklumat tentang guru beliau, iaitu Saiyid Muhsin al-Masawi, ulama-ulama Mekah sezaman dengannya dan bahasan ilmu-ilmu Islam saya dengar dan saya peroleh daripada Ustaz Haji Ali Usman.

Ustaz Haji Ali Usman termasuk ulama besar Indonesia, tetapi ramai orang tidak mengetahui peranan yang dimainkannya. Beliau ialah salah seorang anggota Badan Konstituante Indonesia (sebuah badan sah untuk menentukan corak pemerintahan Indonesia sama ada Negara Islam ataupun Negara Nasional) tahun 1955 - 1959. Ustaz Haji Ali Usman ialah wakil badan itu dari Kalimantan Barat.
This entry was posted on 12 November 2006 at Sunday, November 12, 2006 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment