Syeikh Muhammad Salleh putera penerus warisan Tok Kenali  

Posted

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

SATU ucapan yang berupa wasiat ibu saya, Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani, untuk saya: “Setelah kamu merantau di bahagian Barat Indonesia, mestilah terima ilmu daripada berbagai-bagai orang, sesudah itu tutuplah di Kota Bharu, Kelantan. Di sana cari keturunan Tok Wan Ali Kutan, Tok Kenali dan Nik Mahmud. Tok Wan Ali Kutan adalah ayah saudara ayahku. Tok Kenali dan Nik Mahmud adalah murid ayahku. Keturunan mereka ada yang menjadi ulama, ada yang kaya dan menjadi pembesar. Hendaklah ingat yang golongan ulama mudah kamu gauli tetapi orang kaya dan pembesar sukar kamu dekati kecuali setelah kamu banyak pengalaman. Adab bergaul dengan ulama adalah berbeza dengan adab bergaul dengan orang kaya dan pembesar.”

Pada tahun 1970, saya sampai ke Kota Bharu. Tanpa disedari wang yang tinggal hanya RM1.20. Baju sehelai, celana sehelai dan kain sehelai bukanlah menjadi penghalang untuk saya menyambung silaturahim, mencari ilmu dan menjalankan penyelidikan. Saya utamakan menziarahi makam Tok Kenali, berjalan seorang diri dari Kota Bharu ke Kampung Kenali. Ketika membaca doa di makam Tok Kenali, terlintas di hati, “Ya Allah, sekiranya betul Tok Kenali adalah murid datukku Syeikh Ahmad al-Fathani, dan kedua-dua ulama yang engkau redai, berilah pertolongan kepadaku menjalankan tugas mengumpul dan memperkenalkan ulama di dunia Melayu ini, mulai sekarang dan sepanjang hayatku.”

Selepas ke makam Tok Kenali saya terus mencari rumah Abdullah Al-Qari, penyusun buku Sejarah Hidup Tok Kenali. Beliaulah yang memperkenalkan saya kepada Tuan Guru Haji Ahmad (anak sulung Tok Kenali). Beliau meminta saya menyampaikan ceramah di surau Kampung Kenali, tetapi saya minta tangguh dua malam berikutnya. Ceramah itu merupakan ceramah saya yang pertama di Kota Bharu, Kelantan.

Pada 1979 di Mekah al-Mukarramah, saya menziarah pula anak Tok Kenali yang bernama Syeikh Muhammad Salleh. Di Dar al-Ishlah tempat Syeikh Muhammad Salleh menjalankan pelbagai aktiviti pendidikan dan dakwah, beliau telah mempersilakan saya memberi ceramah. Tamat ceramah, beliau memperkenalkan saya kepada jemaah di Dar al-Ishlah itu, sekali gus beliau meminta kepada jemaah supaya ketika wukuf di Arafah pada tahun 1979 mereka mendoakan khusus untuk saya agar berjaya dalam kerja-kerja penyelidikan dan mendokumentasi seluruh aspek sejarah ulama dunia Melayu.

Saya berkeyakinan bahawa doa jemaah di Dar al-Ishlah pada malam ceramah dan di Arafah tahun itu yang disarankan oleh Syeikh Muhammad Salleh, anak Tok Kenali itu dikabulkan Allah. Barangkali salah satu kesan kabulnya dapat dibuktikan dengan ruangan riwayat ulama berhasil diperkenalkan dalam halaman Agama Utusan Malaysia yang anda ikuti sekarang.

Syeikh Muhammad Salleh Tok Kenali adalah ulama yang ke-106 dalam siri terbitan ini. Beliau lahir di Kampung Kenali, Kelantan tahun 1329 H/1911 M dan wafat di Mekah pada subuh Jumaat 22 Ramadan 1404 H/22 Jun 1984 M.

Sebagaimana abangnya yang sulung, Tuan Guru Haji Ahmad, demikian halnya Syeikh Muhammad Salleh, kedua-duanya mendapat pendidikan dan berkat ilmu daripada ayahnya, Tok Kenali, di Kelantan.

Syeikh Muhammad Salleh melanjutkan pelajaran di Mekah selama lebih 20 tahun. Beliau belajar dengan ramai ulama sama ada ulama-ulama bangsa Arab mahupun ulama-ulama yang berasal dari dunia Melayu.

Menurut riwayat, sebelum berhijrah ke Mekah, beliau telah menguasai banyak bidang ilmu baik ilmu yang diperoleh daripada ayahnya, Tok Kenali, mahupun daripada ulama-ulama Kelantan selain ayahnya.

Syeikh Muhammad Salleh adalah termasuk salah seorang yang rajin belajar, rajin mencatat sesuatu pelajaran malah apa yang dicatatkannya segera dihafal. Yang dihafal pula segera disebarkan.

Dalam penyebaran ilmu, Syeikh Muhammad Salleh tercatat pernah mengajar di Masjid al-Haram, Mekah. Beliau juga mengajar di Dar al-Ishlah, sebuah institusi pendidikan yang beliau asaskan di Mekah. Selain itu, Syeikh Muhammad Salleh Tok Kenali juga rajin mengembara ke seluruh Semenanjung Malaysia dan Singapura kerana menyebar ilmu-ilmu Islam. Beliau mempunyai hubungan silaturahim dengan bekas murid-murid ayahnya.

Penulisan

Syeikh Muhammad Salleh Tok Kenali adalah salah seorang ulama Kelantan yang aktif dalam penulisan. Hasil karya beliau berupa risalah yang sangat banyak jumlahnya. Yang disenaraikan di bawah ini adalah sebahagian kecil, antaranya:

1. At-Thariqatul Ishlahiyah liman Aradad Dun-ya wal Akhirah, diselesaikan di Darul Ishlah, Mekah, pagi hari tarikh 23 Syaaban 1361 H. Dicetak oleh Wah Shong Press, Alor Star (tanpa tarikh). Kandungannya membicarakan wirid pagi dan petang, doa selepas sembahyang, dalam perjalanan, pada hari-hari dan bulan-bulan yang tertentu. Di dalamnya juga disebut doa yang biasa diamalkan oleh Tok Kenali serta satu perisai diri yang diterima daripada Kiyai Shalih al-Juhuri yang sangat terkenal. Menerima pujian daripada Abdul Hadi Kamil Shalih, Batu Kurau, Perak.

2. An-Najmut Thali’ fi Qira-atin Nafi’, diselesaikan pada bulan Syawal 1361 H. Dicetak oleh Mathba’ah al-Hikmah, Kota Bharu, Kelantan. Kandungannya membicarakan ilmu membaca al-Quran/tajwid dan beberapa jenis amalan. Merupakan petikan daripada kitab Fathul Mu’thi, tazkirah dan lainnya. Pada pendahuluan buku ini penterjemah mencatatkan nama guru-gurunya yang beliau belajar ilmu yang tersebut dalam kitab ini. Mereka ialah al-Hafiz Syeikh Nuh, yang wafat pada 20 Rejab 1367 H, Syeikh Ahmad Hijazi, Syeikh Ibrahim Khazami, Syeikh Muhammad Nur Abul Khair, Syeikh Saiyid Muhammad Amin Kutubi, semuanya di Mekah al-Mukarramah, dan Syeikh Hasan asy-Syair di Madinatul Munawwarah, dan lain-lain. Pada halaman 91 dicatatkan nama-nama risalah karya beliau iaitu Al-Hikmah Hajji, At-Thariqatul Ishlah, Kitabus Shiyam, Risalatain Pada Bacaan 'Ashim, Risalah Keselamatan Kaum Ibu, Tarikh Darul Ishlah, Kandung Kemerdekaan, Tazkiratul Ghafilin dan Risalah Bagi Khulashah Faraid.

3. Tazkiratul Ghafilin mim man lahu 'Umril Arba’in, diselesaikan dalam Masjid al-Haram, Mekah, pagi Rabu, 16 Zulkaedah 1369 H. Ditulis kembali pada 29 Rabiulakhir 1370 H. Dicetak oleh Tu Ah Sung Press tanpa tarikh dan nama tempat. Kandungannya membicarakan tafsir beberapa surah dan ayat al-Quran dan syarah beberapa hadis terutama ditujukan kepada orang-orang yang sampai umur 40 tahun. Selain itu ia juga memberi peringatan kepada golongan remaja supaya mempersiapkan diri sebelum dewasa.

4. Al-Mashabih, diselesaikan pada 1 Muharam 1371 H. Dicetak oleh Mathba’ah Al-Ahmadiah, 101 Jalan Sultan, Singapura. Kandungannya terdiri daripada beberapa risalah iaitu Syarahan daripada Dar al-Ishlah memberi keterangan sekalian peringkat manusia. Jagaan daripada tablis iblis terjemahan kitab yang sudah berusia 800 tahun. Hadis Nabi daripada Syamail bagi Tirmizi. Beberapa keterangan yang penting untuk orang-orang yang pergi ke Mekah dan keterangan rahsia sekalian Asma’.

5. Risalah ar Rafiqil Watsiq li Rabbil Qarib. Dikombinasikan cetakan karya oleh penulis yang sama, yang berjudul Al-Malja’ min Asyaddil Bala’, diselesaikan pada 28 Muharam 1376 H. Dicetak oleh The United Press, Penang, Maktabah wa Mathba’ah Al-Haji Abdullah Bin Muhammad Nuruddin Ar-Rawa. Kandungannya memperkenalkan terutama 25 amalan hikmah yang berfaedah untuk keselamatan dunia dan akhirat. Dimulai dengan kalimah empat amalan yang penulisnya terima daripada Kiyai Haji Salleh Penghulu Johor. Sesudahnya amalan tahan peluru yang penulisnya terima daripada Haji Muhammad Thaiyib Penghulu Pahang dan lain-lain.

6. Risalah Mekah wal Madinah, diselesaikan pada 10 Zulhijjah 1377 H, ditulis kali kedua pada 20 Zulhijjah 1377 H. Dicetak oleh Mathba’ah The United Press, Pulau Pinang. Kandungannya membicarakan asal Mekah dan Madinah, kelebihan-kelebihan kedua-duanya, nama-nama, tempat-tempat yang terkenal dan lain-lain termasuk Arafah, Mina, Mudzalifah dan lain-lain. Pada pendahuluan terdapat kata-kata aluan Dr. Burhanuddin al-Helmi, tarikh Tanah Melayu, pada 9 Ramadan 1379 H. Dicetak pada bahagian akhir Risalah Perkataan Merdeka. Selesai penulisan pada 28 Muharam 1378 H di Mekah al-Mukarramah.

7. Islam dan Rahsia. Kombinasi cetakan dengan karya Risalah Roh Islam oleh penulis yang sama, diselesaikan pada 27 Ramadan 1379 H. Dicetak oleh Mathba’ah Al-Hikmah, Kelantan. Kandungannya memberi penjelasan tentang Islam daripada pelbagai aspek seperti sejarah penyebarannya, mundur maju dalam menghadapi pelbagai masalah dan termasuk pemikiran tentangnya. Pada bahagian akhir terdapat berbagai-bagai amalan yang baik dan doa yang makbul dan kaifiat beramal dengannya. Risalah ini diberi Kata Pengantar oleh Haji Encik Ahmad Ismail al-Hikmah (Dato’ Lela Negara Kelantan) pada tarikh Mekah al-Mukarramah, 1 Zulhijjah 1379 M.

8. Risalah Pembinaan Ruhani dan Kebendaan, diselesaikan tanpa dinyatakan tarikh, tetapi pada Kata Pengantar Ustaz Haji Abdur Razaq bin Yusuf, Kuala Terengganu dinyatakan tahun 1393 H/1973 M beliau mendapat keizinan untuk menerbitkan risalah tersebut. Dicetak oleh Percetakan Al-Ahliah, 5509 Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu, Kelantan. Kandungan dimulai dengan Kata Pengantar oleh Ustaz Haji Abdur Razaq bin Yusuf, Kuala Terengganu. Ia memperkenalkan kebaikan-kebaikan Tuan Guru Syeikh Salleh Kenali yang diketahuinya. Kandungan ringkas keseluruhan memberi gambaran keindahan Mekah dan Madinah sejak pemerintahan Raja Abdul Aziz sehingga Raja Faisal. Pada bahagian akhir diiringi dengan bacaan-bacaan di Arafah.

9. Risalah Anwaril Mashabih, diselesaikan pada 17 Jamadilakhir 1399 H. Dicetak oleh Al-Ahliah Sendirian Berhad, Kota Bharu, Kelantan. Kandungannya memperkukuh tiga ilmu iaitu tauhid, fikh, tasawuf dan seterusnya dimulai dengan rangkap syair:

Hadiah kepada para jemaah haji daripada saya, Salleh Kenali:

Cap dengan derma wang diberi,

oleh Dewan Tok Kenali,

Sangat-sangat wajib diamali,

oleh pemuda dan pemudi,

Fahamkan sebelum datangnya mati,

supaya dapat syurga dikehendaki.
This entry was posted on 12 November 2006 at Sunday, November 12, 2006 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment