Fakhruddin al-Falimbani - Ulama Kesultanan Palembang Darus Salam  

Posted

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah


FAKTA untuk menjejaki ulama yang berasal dari Palembang ini ialah sebuah manuskrip karya beliau yang selesai ditulis pada 16 Syaaban 1297 H/24 Julai 1880 M, selanjutnya disebut MS 1731 (PMM-PNM). Tarikh tersebut saya jadikan bukti bahawa saya tidak sependapat dengan beberapa pendapat yang menyebut bahawa usia Kemas Fakhruddin lebih tua daripada Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani.

Menurut penyelidikan saya, Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani lebih dulu menghasilkan karya, iaitu, Zahrah al-Murid tahun 1178 H/1764 M dan Risalah Nikah tahun 1179 H/1764 M. Pada hari Ahad, 8 Rabiulawal 1421 H/11 Jun 2000 M, sewaktu saya ke Ranai, Pulau Natuna/Bunguran Timur saya peroleh sebuah karya besar Kemas Fakhruddin berjudul Futuh asy-Syam, jilid pertama.

Kitab Futuh asy-Syam tersebut dicetak dengan huruf batu (litografi) milik Datuk Kaya Wan Husein, Datuk Kaya Bunguran/Natuna di Ranai. Kitab tersebut diserahkan kepada saya oleh cucunya, Urai Nurseha binti Urai Utsman di rumahnya di Ranai pada hari dan tarikh seperti tersebut di atas. Oleh sebab kitab tersebut hanya dijumpai jilid pertama, maka belum diketahui tahun selesai penulisan dan nama tempat mencetak juga tidak jelas.

PERBANDINGAN TAHUN

Berdasarkan informasi, manuskrip Futuh asy-Syam yang lengkap dapat dikesan tersimpan di School of Oriental and African Studies (Universiti London) dengan nombor kelas MS 11505. Sebagaimana telah saya sebutkan bahawa Futuh asy-Syam cetakan huruf batu (litografi) yang dijumpai di Pulau Natuna belum diketahui tarikhnya. Namun, kerana dapat dikesan manuskripnya yang bernombor kelas MS 11505 ada dinyatakan tarikh, iaitu diselesaikan pada hari Jumaat, bulan Safar 1183 H/Jun 1769 M, maka dirasakan perlu membuat analisis perbandingan.

Di atas telah saya sebutkan sebuah naskhah MS 1731 (PMM-PNM) karya Syeikh Kemas Fakhruddin yang diselesaikan pada 16 Syaaban 1297 H/24 Julai 1880 M. Memperhatikan jarak tahun pengkaryaan antara tahun 1183 H dengan 1297 H yang bererti sekitar 114 tahun, bererti ulama yang berasal dari Palembang tersebut berusia sangat panjang. Atau kemungkinan terjadi kekeliruan penulisan tahun yang diberikan. Atau kemungkinan terdapat dua orang ulama bernama Kemas Fakhruddin di Palembang.

Jika kita dapat menerima tahun yang diberikan oleh Dr. Aryumardi Azra bahawa Syeikh Fakhruddin hidup antara tahun 1133 H/1719 M - 1177 H/1763 M, ini bererti Syeikh Fakhruddin hanya berusia 44 tahun. Dengan perbandingan ini bererti bertambah sukar mencari data yang tepat tentang Syeikh Kemas Fakhruddin. Dengan diperoleh tahun penulisan Futuh asy-Syam, 1183 H/1769 M, ternyata juga ia tidak lebih dahulu daripada kedua-dua karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Zahrah al-Murid tahun 1178 H/1764 M dan Risalah Nikah tahun 1179 H/1764 M. Daripada pelbagai informasi ada diriwayatkan bahawa karya-karya Syeikh Kemas Fakhruddin dihasilkan atas permintaan Sultan Susuhunan Ahmad Najamuddin Adi Kesumo (1171 H/1758 M-1190 H/1776 M).

Penulisan

Jika kita perhatikan tahun penulisan Futuh asy-Syam, 1183 H/1769 M, bererti memang dalam masa pemerintahan Sultan Susuhunan Ahmad Najamuddin Adi Kesumo, tetapi di Futuh asy-Syam MS 11505 terdapat catatan bahawa ``atas kehendak Pangeran Ratu ibni Paduka Seri Sultan Ahmad Najamuddin Kerajaan Palembang Darul Ihsan''. Ini sangat meragukan kerana dalam pemerintahan Palembang terdapat lagi nama Sultan Ahmad Najamuddin Pangeran Ratu yang memerintah tahun 1234 H/1819 M-1236 H/1821 M dan Sultan Ahmad Najamuddin Prabu Anom yang memerintah 1236 H/1821 M-1238 H/1823 M.

Ada pun penulisan MS 1731 (PMM-PNM), 1297 H/1880 M, adalah bukan pada zaman pemerintahan Sultan Susuhunan Ahmad Najamuddin Adi Kesumo (1171 H/1758 M - 1190 H/1776 M), tetapi tahun yang berdekatan ialah pada zaman pemerintahan Sultan Ahmad Najamuddin Pangeran Ratu (1234 H/1819 M-1236 H/1821 M) dan Sultan Ahmad Najamuddin Prabu Anom (1236 H/1821 M-1238 H1823 M). Penulisan MS 1731 (PMM-PNM), 1297 H/1880 M bererti terjadi pada tahun kesultanan Palembang telah dimansuhkan oleh Belanda (pemansuhan terjadi tahun 1825 M). Daripada hal-hal yang tersebut di atas saya berkesimpulan bahawa masih sukar menentukan tahun-tahun kehidupan Syeikh Kemas Fakhruddin yang sedang dibicarakan ini, walau pun beliau telah menghasilkan karangan yang cukup memadai.

SENARAI KARYA DAN KETERANGAN

Informasi karya-karya Syeikh Kemas Fakhruddin berdasarkan tulisan Salman Aly setakat ini baru diketahui empat buah. Sungguh pun demikian bagi saya dua buah di antaranya masih belum jelas sebagai karyanya, yang akan dijelaskan sebagai berikut di bawah ini:

1. Tuhfah az-Zaman fi Zharfi Ahli al-Yaman. Kitab ini dikatakan karya Syeikh Kemas Fakhruddin disebut oleh Salman Aly. Walau bagaimana pun manuskrip judul ini yang tersimpan di Perpustakaan Bodleian Universiti Oxford MS. Malay ternyata nama penterjemah tidak terdapat. Oleh itu masih diragukan sebagai karya Syeikh Kemas Fakhruddin.

Mengenai tahun selesai penulisan ada catatan dinyatakan di Palembang tahun 1175 H/1761 M. Karya ini bererti mendahului karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani berjudul Zahrah al-Murid (1178 H/1764 M) sekitar tiga tahun. Manuskrip setebal 324 halaman di atas kandungan keseluruhannya ialah mengenai ilmu falakiyah / astronomi. Pada mukadimah digubah puisi dalam bahasa Melayu, adalah sebagai berikut: ``Bahawa ini kitab ramal namanya, karangan Syeikh Syaddadiyah namanya Negeri Yaman tempat kediamannya, telah masyhurlah di dalam zamannya Tersurat ia pada hari Jumaat, pada bulan Safar ketika Zuhrah. Seribu seratus diperhijrah, tujuh puluh lima tarikh Nubuwah. Adalah yang menyurat kitab ini, faqir yang hina dalam negeri. Daripada surat ibni as-Sulthani, Pangeran Ratu negeri Falimban. Hai sekalian orang `arif yang ikhwan, jika dikau lihat maknanya bersalahan. Perbaiki olehmu supaya bayan, kepada yang thalib berteman kesukaan. Kerana Pangeran sangat bebalnya, belum tahu pada bahasa Arabnya. Melayu pun lagi belum didapatnya, daripada sangat berkehendak padanya.''

2. Khawash al-Quranil `Azhim. Salman Aly menulis, ``... sebuah kitab yang penuh kutipan-kutipan al-Quran terutama yang berkenaan dengan nilai-nilai luhur. Kitab yang ditulis pada tahun 1769 ini dianggap oleh van Ronkel sebagai sebuah karya terjemahan dari Tamimi''. Saya memiliki sebuah manuskrip yang tersebut ini yang diperoleh di Pontianak pada 17 Ramadan 1420 H/20 Disember 1999 M. melalui Rahmatillah dan Muhammad Safar yang diperoleh di persekitaran istana kesultanan Pontianak.

Benar

Pendapat Salman Aly di atas masih belum dapat diterima sepenuhnya kerana pada manuskrip tersebut tidak terdapat nama Syeikh Kemas Fakhruddin sebagai penterjemahnya. Yang dapat disepakati ialah kandungannya memang benar membicarakan fadhilat-fadhilat ayat-ayat dalam al-Quran. Mulai penulisan 1183 H/1769 M. Bererti dalam tahun yang sama dengan penulisan Futuh asy-Syam. Pada mukadimah dinyatakan bahawa kitab ini diterjemahkan daripada bahasa Arab ke bahasa Melayu adalah disuruh oleh Paduka Seri Ratu Ahmad Najamuddin. Karya asal disusun oleh asy-Syeikh al-Imam al-'Alim al-Hakim al-Fadhil Ahmad bin Muhammad at-Tamimi Radhiyallahu `anhu.

3. Futuh asy-Syam, 1183 H/1780 M, kandungannya merupakan hikayat lengkap peperangan yang dilakukan oleh para sahabat Nabi Muhammad s.a.w. sehingga berhasil menakluk negeri Syam. Keseluruhan kandungannya merupakan petikan daripada karangan Syeikh Abu Abdullah Muhammad bin Umar al-Waqidi (lahir 130 H/747 M, wafat 207 H/823 M). Halaman akhir jilid pertama ditutup dengan kalimat, ``Syahdan kemudian daripada perang Hamash ini, maka iaitu menyambutkanlah waqi'ah perang tempat yang bernama Yarmuk. Maka di dalam perang itu, iaitu terlalu besar. Dan perang Yarmuk apabila tampaklah beberapa kelebihan dan ketinggian agama Islam dan tampaklah beberapa mukjizat Rasulullah Shallallahu alaihi kemudian daripada wafatnya di dalam perang. Inilah nyata shadaqal Quran al-'Azhim ... Dan perang inilah hampir-hampir habis kekuatan ahlir Rum adanya''. Kalimat terakhir daripada keseluruhan judul ini ditulis dalam bentuk puisi:

``Selesai kitab Futuh asy-Syam tersebut, pada bulan Safar, pada malam Jumaat.

Seribu seratus daripada hijrat, delapan puluh tiga tarikh Nubuwat

Dan adalah yang menyurat kitab ini, yang bernama Kemas Fakhruddini.

Dengan disuruh Pangeran Ratu ibni Paduka Seri Sulthan Ahmad Najamuddini.

Yang duduk di atas Kerajaan Negeri Palembang Jawi Darul Ihsan''.

4. Mukhtashar Fat-hir Rahman, 16 Syaaban 1297 H/1879 M.

KEKELUARGAAN KEMAS

Sekian banyak tulisan yang telah saya baca mengenai Syeikh Kemas Fakhruddin maka tidak seorang pun menyebut nama orang tua ulama Palembang tersebut, demikian juga keturunannya. Yang pasti istilah `Kemas' barangkali digunakan untuk golongan kaum bangsawan yang berasal dari Palembang.

Beberapa orang ulama Palembang yang menggunakan istilah `Kemas' untuk namanya, di antaranya ialah: Kiyai Haji Kemas Muhammad Azhari (Kiyai Pedatukan), Kiyai Haji Kemas Abdur Rahman (Kiyai Delamat), Kemas Muhammad bin Ahmad dan ramai lagi. H. Rusdhy Cosim dalam Sejarah Kerajaan Palembang dan Perkembangan Hukum Islam menulis nama Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani juga meletakkan istilah `Kemas' pada awal nama. Saya berkesimpulan kemungkinan Syeikh Kemas Fakhruddin memang ada pertalian dekat dengan semua ulama Palembang yang layak diletakkan istilah `Kemas' pada awal namanya itu.
This entry was posted on 12 November 2006 at Sunday, November 12, 2006 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment