Haji Muhammad Datuk Laksamana Al-Yunusi  

Posted

Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

DUA orang daripada ulama tiga serangkai yang paling cemerlang dalam sistem pembinaan Islam, masyarakat dan kerajaan Kelantan telah didokumenkan dalam halaman Agama Utusan Malaysia. Dua ulama dan tokoh yang dimaksudkan ialah Datuk Nik Mahmud, Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan dan Al-Alim Allamah Al-Arif Billah Syeikh Muhammad Yusuf bin Ahmad (Tok Kenali). Seorang lagi, menjadi tiga orang serangkai yang dimaksudkan, nama lengkapnya ialah Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id Khathib bin Jamaluddin bin Muhammad. Profil ulama ini pernah ditulis oleh Ismail Awang dalam majalah Pengasuh dan kemudian disunting oleh Ismail Che Daud untuk dimuatkan dalam Tokoh-Tokoh Ulama Semenanjung Melayu, jilid 1.

Namun yang menjadi rujukan utama saya ialah biodata yang termaktub dalam buku karya beliau judul Telegraf Dari Perut Ikan atau Perlawatan Sir Hugri Clifford Ketua Polis Amerika. Sungguhpun buku tersebut karya Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id Khathib tetapi biodata adalah ditulis oleh penerbit buku itu, iaitu Haji Nik Mahmud bin Haji Abdul Majid dalam cetakan Al-Mathba’ah Al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1941. Ada beberapa pertikaian maklumat antara satu dengan lainnya. Oleh itu, saya kemukakan perbandingan untuk memudahkan para pengkaji yang berminat dengan sejarah ini.

Tok Kenali dianggap sebagai orang yang paling atas dalam kedudukan sebagai seorang ulama, Datuk Nik Mahmud dan Haji Muhammad bin Muhammad Sa'id Khathib, kedua-duanya juga ulama, menduduki kedudukan yang paling tinggi dari segi pentadbiran di kerajaan Kelantan pada zaman mereka. Pada siri yang lalu, Tok Kenali dikatakan mencurahkan sepenuh khidmatnya kepada Syeikh Ahmad al-Fathani, berbeza dengan Haji Muhammad bin Muhammad Sa'id Khathib. Beliau mencurahkan sepenuh khidmatnya kepada Syeikh Muhammad Shaghir (Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani). Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id Khathib menjadi anak angkat dan tinggal di rumah Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani.

Jumlah anak-anak yang tinggal di rumah Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani memang ramai. Selain Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id Khathib, termasuk juga pada masa yang sama ialah ayah saya Haji Abdullah dan datuk saya, Haji Wan Abdur Rahman. Semuanya tinggal dan berkhidmat kepada ulama Patani yang merupakan penyusun kitab Mathla' al-Badrain yang terkenal itu.

Kesimpulannya, baik Tok Kenali, Datuk Nik Mahmud, Datuk Laksamana, ayah dan datuk saya, semuanya pernah bertemu dalam jemaah dan halaqah Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani. Demikian juga dengan dua ulama lagi yang sangat erat hubungannya iaitu Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani dan Syeikh Ahmad al-Fathani.

*Bahasan

Berdasarkan petikan pelbagai maklumat, saya tidak pasti apakah benar ia ditulis oleh Haji Nik Mahmud bin Haji Abdul Majid ataupun Encik Hasyim bin Haji Muhammad Datuk Perdana. Oleh kerana buku Telegraf Dari Perut Ikan diterbitkan oleh Haji Nik Mahmud bin Haji Abdul Majid, maka saya anggap ia sebagai tulisan beliau. Tertulis lengkap dan bahasannya sebagai berikut, “...pada 30 Januari 1888, diperanakkan di dalam bandar Kota Bharu.” Tarikh itu jika kita tukar kepada menurut tarikh Islam ialah Ahad, 16 Jamadilawal 1305 H.

Dasar saya menentukan penyamaan tarikh adalah buku Jadual Tarikh, Bulan dan Tahun Hijri oleh Raja Haron bin Raja Mohammad Salleh, jilid 15 (lihat hlm. 9). Ketentuan ini selisih satu hari dengan nota yang ditulis oleh Ismail Che Daud dalam Tokoh-Tokoh Ulama Semenanjung Melayu, jilid 1 (hlm. 222), yang menyebut hari Isnin, 17/5/1305 H (maksudnya 17 Jamadilawal 1305 H, pen:).

Mengenai selisih satu hari hitungan hisab ataupun perbandingan hisab dengan rukyah ia adalah perkara lumrah. Ia masih dapat diterima sebagai betul. Oleh sebab tulisan Ismail Awang menyebut bahawa 30 Januari 1888 M itu adalah hari Khamis, maka ia perlu diperbetulkan. Yang betul ialah salah satu di antara dua, iaitu hari Ahad ataupun hari Isnin. Selain itu ada yang menyebut Haji Muhammad bin Haji Muhammad Sa’id lahir pada tahun 1306 H adalah fakta yang masih sukar untuk diterima sebagai sahih selagi ia tidak mengemukakan fakta-fakta yang cukup meyakinkan.

Haji Nik Mahmud bin Haji Abdul Majid menulis selanjutnya, “Pada bulan Rejab 1901 dihantarkan ke Mekah kerana menuntut ilmu agama dan pada tahun 1911 berpindah ke Mesir.” Bulan Rejab 1901 M tersebut sebenarnya adalah pada bulan Oktober ataupun November, bersamaan dengan bulan Rejab 1319 H. Tarikh ini tidak perlu dipertikaikan kerana ia bererti beliau mulai berangkat dari Kota Bharu ke Singapura walaupun Ismail Awang menyebut bahawa Haji Muhammad bin Haji Muhammad Sa’id belayar dari Singapura ke Mekah pada 7 Syaaban 1320 H (1903 M). Ketentuan tarikh yang ditulis oleh Ismail Awang tersebut kemungkinan keliru.

Ismail Che Daud pula memberi nota bahawa tarikh 7 Syaaban 1320 H adalah bersamaan dengan 8 November 1902 M, bukan tahun 1903 M. Jadi jika kita bandingkan tarikh di atas bererti walaupun beliau berangkat dari Kota Bharu pada bulan Rejab 1319 H/Oktober - November 1901 M ke Singapura, beliau ternyata berangkat dari Singapura ke Mekah setahun kemudian (7 Syaaban 1320 H/8 November 1902).

Tentang Haji Muhammad bin Haji Muhammad Sa’id pulang ke Kelantan, Haji Nik Mahmud bin Haji ‘Abdul Majid menulis, “Pada bulan Muharam 1914 dari Mesir balik ke watan Kelantan.” Bererti tarikhnya Muharam 1333 H bersamaan dengan November - Disember 1914 M. Ismail Awang menulis bahawa beliau sampai di Kelantan pada 20 Zulkaedah 1331 H, diberi nota oleh Ismail Che Daud ‘bersamaan 9 Oktober 1914’. Penyamaan tarikh ini kemungkinan tersalah cetak atau terkeliru hitungan kerana 20 Zulkaedah 1331 H adalah bersamaan dengan 20 Oktober 1913 M, bukannya 9 Oktober 1914 M.

Haji Nik Mahmud bin Haji Abdul Majid menulis pula, “Pada 7 Disember 1915 dilantik menjadi Setiausaha Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu (Setiausaha Yang Pertama).”

Penubuhan Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan adalah idea tiga serangkai ulama Kelantan itu, iaitu Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id, Nik Mahmud dan Tok Kenali.

Haji Nik Mahmud bin Haji Abdul Majid menulis pula, “Pada 3 Mac 1916 dilantik menjadi Penolong Setiausaha Yang Kedua kepada Duli Yang Maha Mulia As-Sultan Muhammad Keempat.”

Ismail Awang menyebut bahawa pelantikan tersebut ialah pada 1 Mac 1916, bererti dua hari awal daripada yang disebut oleh Haji Nik Mahmud bin Haji Abdul Majid. Pelantikan selanjutnya, “Pada 1 Januari 1917 dilantik menjadi Penolong Setiausaha Kerajaan dan menjadi Kerani Majlis Mesyuarat Kerajaan. Pada 30 April 1918 dikurnia gelaran Datuk Bentara Jaya. Pada 13 Ogos 1919 diangkat menjadi Naib Yang Dipertua Majlis Ugama Islam. Pada 1 Oktober 1919 menjadi Pengarang Majalah Pengasuh.”

Perlu diperhatikan bahawa Ketua Pengarang Pengasuh yang pertama bukan Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id tetapi adalah Tok Kenali. Sungguhpun demikian terdapat tulisan Haji Muhammad bin Muhammad Sa'id dalam majalah Pengasuh terbitan tahun 1, bilangan 1 (yang pertama) pada 11 Julai 1918. Tulisan beliau diberi judul Kemajuan Surat-Surat Khabar dan Penggunaannya.

Tulis Haji Nik Mahmud bin Haji Abdul Majid pula, “Pada 15 April 1920 dikurnia Bintang Al-Muhammadi III, Seri Mahkota Kelantan.” Mengenai hal ini tidak disebut oleh Ismail Awang dalam tulisannya. Selanjutnya disebut pula, “Pada 23 haribulan April 1921 dikurnia gelaran Datuk Laksamana.” Gelaran Datuk Laksamana tersebutlah yang banyak diperkatakan orang sehingga nama aslinya tidak disebut orang lagi.

Kenyataan di atas sama dengan tulisan Ismail Awang dengan tambahan kalimat, “dan dikurniakan Darjah Al-Muhammadi II Datuk Paduka Mahkota Kelantan (DPMK) oleh As- Sultan Ismail.” Walau bagaimanapun, kenyataan Ismail Awang itu berbeza tarikh seperti yang dinyatakan oleh Haji Nik Mahmud bin Haji Abdul Majid dengan kalimat yang berikutnya, katanya: “Pada 29 April 1921 dikurnia Bintang Al-Muhammadi II Darjah Paduka Mahkota Kelantan.” Dilanjutkan dengan kalimat, “Pada 21 Julai 1925 dikurnia Bintang Al-Muhammadi I Seri Paduka Mahkota Kelantan.”

Tarikh yang disebut oleh Ismail Awang ialah 27 Julai 1925 dengan tambahan keterangan bahawa Darjah Kebesaran Al-Muhammadi I oleh Duli Yang Mulia As-Sultan Ismail. Dilanjutkan dengan kalimat, “Pada 12 September 1925 menjadi Setiausaha Kerajaan Kelantan.” Ismail Awang menambah keterangan: “Beliaulah orang yang pertama memegang jawatan itu.” (Tokoh-Tokoh Ulama Semenanjung Melayu, jilid 1, hlm. 227-228).

Tulisan selanjutnya, “Pada 25 Oktober 1925 menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan. Pada 3 Jun 1927 menjadi Wakil Tubuh Duli Yang Mulia as-Sultan Kelantan menyambut ketibaan Pesuruhjaya Tinggi, Sir Hugri Cliffford ... di Singapura.”

Hal ini tidak disebut oleh Ismail Awang. Selanjutnya, “Pada 1 September 1929 dilantik menjadi Pemangku Menteri Besar Kelantan.” Ismail Awang menyebut bahawa jawatan itu beliau pegang hingga 31 Disember 1929. Dijelaskannya bahawa pada tarikh yang tersebut Datuk Perdana Menteri Paduka Raja bercuti. Selanjutnya, “Pada 21 Julai 1931 dikurnia Bintang Al-Yunusi Darjah Kerabat.” Ditambah keterangan oleh Ismail Awang “Yang Amat Dihormati - Darjah Kerabat Kelantan (DK).” Selanjutnya “Pada 29 Mac 1933 bersara daripada jawatan Setiausaha Kerajaan.” Ismail Awang menambah maklumat bahawa tempatnya diganti oleh Nik Ahmad Kamil bin Datuk Nik Mahmud. Sungguhpun Datuk Laksamana telah berhenti daripada jawatan itu namun dinyatakan “Pada 28 Mei 1933 menjadi Wakil Tubuh Duli Yang Mulia as-Sultan Kelantan pada hari pertabalan Duli Yang Mulia as-Sultan Pahang.”

Setelah itu, “Pada 21 Disember 1933 berhenti daripada Naib Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Istiadat Melayu dan berhenti daripada Pengarang Pengasuh.”

*Keturunan

Sebelum menutup tulisannya, Haji Nik Mahmud bin Haji Abdul Majid mencatat tarikh wafat Datuk Laksamana. “Pada 20 Mac 1939 pukul 4 pagi memberi selamat tinggal kepada anak isterinya, saudara-saudaranya dan kaum warisnya menghadap ke hadrat Tuhan Rabbul Alamin, berpindah ke negeri yang kekal dengan meninggalkan tujuh anaknya....”

Tujuh anak yang beliau sebut ialah: 1. Encik Hasyim, pegawai Melayu. 2. Encik Abdul Malik, dalam pengajian. 3. Encik Abdur Rahman, dalam pengajian. 4. Cik Hasmah, isteri Nik Muhammad bin Datuk Amar. 5. Cik Hafsah, isteri Nik Mustafa Fadhil bin Datuk Perdana Menteri Paduka Raja. 6. Cik Rugayah. 7. Cik Salma.

Daripada semua nama yang tersebut, saya pernah bertemu dengan Nik Mustafa Fadhil (pada tahun 1976). Daripada beliau saya peroleh banyak maklumat yang belum dapat dimuat dalam artikel ini.
This entry was posted on 12 November 2006 at Sunday, November 12, 2006 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment