Syeikh Hasan Ma’shum Mufti Kerajaan Deli  

Posted

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH


DALAM empat siri berturut-turut, ruangan ini menceritakan tentang ulama yang berasal dari Minangkabau. Dalam terbitan ini, kita akan memperkatakan mengenai ulama yang berasal dari kerajaan Melayu Deli. Pada masa dulu, sebelum Indonesia moden wujud, Deli adalah sebuah kerajaan Melayu. Bahasa dan budayanya sama dengan kerajaan-kerajaan Melayu di sekitarnya. Deli sangat erat hubungan kekeluargaannya dengan kerajaan Riau-Lingga, kerajaan Johor, kerajaan Selangor dan lain-lain. Dari Deli juga banyak lahir cerdik pandai termasuk ulama.

Yang diriwayatkan ini adalah seorang tokoh dan ulama besar yang dilahirkan di Deli, Sumatera Utara. Seluruh lapisan masyarakat Sumatera Utara khususnya dan kerajaan-kerajaan Melayu di Nusantara umumnya cukup mengenali nama beliau.

Nama lengkapnya ialah Al-Fadhil Al-Alim Syeikh Hasanuddin bin Muhammad Ma’shum bin Abi Bakar ad-Dali (Deli). Nama yang popular ialah Syeikh Hasan Ma’shum saja. Beliau lahir di Labuhan Deli, Sumatera Utara pada tahun 1300H/1882M dan wafat di Medan pada 24 Syawal 1355H/7 Januari 1937. Daripada ayah dan datuk Syeikh Hasan hingga beberapa lapis ke atas semuanya adalah ulama. Mereka berasal dari Aceh sebelum berpindah ke Deli.

Artikel ini masih ada hubung kait dengan artikel yang lalu kerana ulama yang berasal dari Deli ini adalah tokoh ulama Kaum Tua yang membantah keras pendapat sahabatnya, Dr. Syeikh Abdul Karim Amrullah (tokoh Kaum Muda). Polemik bertulis antara mereka berdua melibatkan guru kedua-duanya, Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau, yang memihak kepada Syeikh Hasan Ma’shum.

Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau dengan tegas menulis bahawa Ibnu Taimiyah, Ibnu Qaiyim dan Wahabiyah yang diikuti oleh anak murid beliau, Syeikh Abdul Karim Amrullah, adalah sesat. Menurut Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau, golongan tersebut sesat kerana keluar daripada fahaman Ahli Sunah Wal Jamaah dan menyalahi pegangan mazhab yang empat. Sungguh berat bagi saya untuk mengungkapkan medan perbalahan tersebut, tetapi setelah saya renung dengan cermat kerana telah ramai orang yang membicarakannya, maka berat-berat pun ditulis juga. Anggap saja tulisan ini merupakan bahan kajian ilmiah. Tidak perlu kita menyalahkan pihak mana pun tanpa ilmu yang padu dan memadai.

Ayah beliau, Syeikh Muhammad Ma’shum bin Abi Bakar, adalah seorang ulama besar. Oleh itu Hasanuddin mendapat pendidikan secara langsung daripada ayahnya. Setelah berumur 10 tahun, ayahnya menghantarnya belajar ke Mekah. Guru-gurunya ialah Syeikh Abdus Salam Kampar, Syeikh Ahmad Khaiyath dan Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau. Hasan Ma’shum sempat belajar daripada Syeikh Ahmad al-Fathani sekitar tiga tahun, mulai tahun 1320H/1902 hingga awal tahun 1325H/1907. Setelah pulang dari Mekah, beliau dilantik sebagai Mufti kerajaan Deli oleh Sultan Ma’mun ar-Rasyid, Sultan Deli ketika itu.

Polemik

Dalam karyanya yang berjudul al-Quthufat as-Saniyah fi Raddi Ba’dhi Kalam al-Fawaid al-‘Aliyah, beliau menyebut bahawa pada akhir bulan Syaaban 1332 H/Jun 1914 beliau menerima risalah berjudul al-Fawaid al-‘Aliyah fi Ikhtilaf al-‘Ulama’ fi Hukmi fi talaffuzh an-Niyah. Yang dimaksudkan dengan risalah judul ini ialah karya Dr. Syeikh Abdul Karim Amrullah (ayah Prof. Dr. Hamka), iaitu sebuah risalah yang membantah talaffuzh an-niyah atau melafazkan niat, yang kemudian terkenal dengan istilah mengucap ‘Usalli’ sewaktu mula-mula memasuki sembahyang. Syeikh Hasan Ma’shum menulis, “Maka hamba dapati sungguh betul muallif (pengarang, pen:) risalah itu, ia menyatakan akan khilaf ulama pada masalah itu daripada hukum-hukum syarak. Tetapi pada faham hamba daripada perkataan muallif di beberapa tempat, bahawa adalah ia menguatkan orang yang mengatakan melafaz dengan yang diniatkan itu bidaah yang diketengahkan. Dan ia menolak akan orang yang mengatakan sunat atau wajib. Nampaknya bukan hanya sekadar demikian, bahkan tuduhan lebih berat dan hebat daripada yang tersebut itu, sebagaimana dinyatakan pada sambungan kalimat di atas. Katanya, “Hingga dibangsakannya pula akan perbuatan itu kepada Mazhab asy-Syaithan.” (Lihat al-Quthufat, hlm. 2.)

Oleh sebab Dr. Syeikh Abdul Karim Amrullah terpengaruh dengan Ibnu Taimiyah dan Ibnu al-Qaiyim, maka Syeikh Hasan Ma’shum pada mukadimah mengemukakan bahawa kedua-dua ulama itu telah dibantah oleh Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau. Risalah ulama Minangkabau yang menolak Ibnu Taimiyah, Ibnu al-Qaiyim dan orang-orang yang sealiran dengannya diberi judul al-Khiththah al-Mardhiyah fi Raddi fi Syubhati man qala Bid’ah at-Talaffuzh bian-Niyah.

Menurut Syeikh Hasan Ma’shum, karangan Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau adalah lebih dulu daripada karangan muridnya, Dr. Syeikh Abdul Karim Amrullah. Kontroversi pegangan dalam karangan antara guru (Syeikh Ahmad) dengan muridnya sendiri (Dr. Syeikh Abdul Karim) menjadi perdebatan. Syeikh Hasan Ma’shum yang juga murid Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau tentu saja rasa tercabar. Pada satu pihak beliau membela gurunya, pada pihak yang lain beliau terpaksa membantah pendapat sahabatnya sendiri.

Pertikaian pendapat kedua-dua tokoh tersebut ditanggapi oleh Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau. Tanggapan beliau ada dilampirkan dalam al-Quthufat as-Saniyah. Antara petikan kalimat beliau, “Maka saya telah melihat akan risalah anak saya pada ilmu, al-Haji Hasan Ma’shum ad-Dali yang berjudul al-Quthufat as-Saniyah dan al-Fawaid al-‘Aliyah yang telah mengarang akan dia anak saya juga pada ilmu, iaitu Haji Abdul Karim asy-Syeikh Muhammad Amrullah. Maka saya banding antara dua risalah itu. Maka saya lihat batal segala yang pada Fawaid al-‘Aliyah daripada dalil-dalil yang dinyatakannya padanya dengan yang dinyatakan pada al-Quthufat as-Saniyah.”

Membela

Daripada petikan ini dan kalimat-kalimat berikutnya sangat jelas bahawa Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau membela Syeikh Hasan Ma’shum. Tentang kandungan al-Quthufat as-Saniyah, Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau menyatakan, “Dan pada hal yang telah dinyatakannya itu, setengah daripada dalil-dalil yang teringat pada faham saya, tetapi akan saya nyatakan sendiri demikian itu rupanya tiada munasabah berlawan dengan anak.’’

Yang dimaksudkan oleh Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau dengan ‘berlawan dengan anak’ pada akhir kalimat ialah Syeikh Abdul Karim Amrullah. Dengan nada yang agak marah Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau meluahkan rasa yang terpendam dalam hatinya. Kata beliau, “Tetapi saya lihat akan dia telah melampaui makamnya dan ia mendakwa akan dakwa yang mendustakan akan dia fahamnya dan taulannya kerana ia telah menyalahkan segala ulama Mazhab Syafie yang besar-besar, yang ikutan ulama-ulama Syafi’eyah seperti Nawawi, Rafie, Ibnu Hajar dan Ramli dan lain-lain....”

Menyambung lanjut kalimat di atas, Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau menegaskan, “Dan tiadalah engkau memperoleh pada alam al-Islami melainkan segala mereka itu melafazkan dengan niat. Bersamaan daripada Syafi’eyah, Hanafiyah, Malikiyah, atau Hanabilah. Maka Haji Abdul Karim hendak menyalahkan akan segala mereka itu dengan sebab taklid kepada Ibnu al-Qaiyim.”

Selanjutnya Syeikh Ahmad Khatib menjelaskan, “Seolah-olahnya segala ulama yang tersebut itu belum melihat akan perkataan Ibnu al-Qaiyim itu, dan Haji Abdul Karim pada akhir zaman melihat akan dia. Dan sebab itu ia menyalahkan akan segala mereka itu. Padahal mereka itu telah melihat akan dia dan tiadalah mereka itu memakai akan cakapnya kerana menyalahi ijtihad mereka itu akan ijtihadnya.” (Lihat al-Quthufat, hlm. 27.)

Pada bahagian akhir suratnya, Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau mengatakan, “Maka betapakah akan batal dengan fikiran orang yang muqallid yang semata-mata dengan faham yang salah dengan taqlid kepada Ibnu al-Qaiyim yang tiada terpakai qaulnya pada Mazhab Syafie.”

Ketika menutup suratnya, Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau menasihatkan, “Maka wajiblah atas orang yang hendak selamat pada agamanya bahawa ia berpegang dengan segala hukum yang telah tetap pada mazhab kita. Dan janganlah ia membenarkan akan yang menyalahi demikian itu daripada fatwa yang palsu.”

Kata penutup beliau, “Dan Haji Hasan Ma'shum telah menyatakan pada risalah ini akan tempat-tempat kesalahan Haji Abdul Karim pada risalahnya itu. Dan nyatalah kesalahan bagi orang yang ada berfaham pada ilmu yang membezakan yang sah dan yang batal.”

Penulisan

Menurut riwayat, Syeikh Hasan Ma’shum banyak menghasilkan penulisan, tetapi karyanya yang ada dalam koleksi saya hanya dua buah. Karya yang pertama ialah al-Quthufat as-Saniyah yang telah dibicarakan di atas. Risalah ini dicetak pertama kali oleh Al-Mathba’ah Al-Miriyah Al-Kainah, Mekah pada 1333 H. Selain mendapat pujian daripada Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau, risalah itu juga dipuji oleh gurunya, Syeikh Abdul Qadir Shabir al-Mandaili.

Karya Syeikh Hasan Ma’shum yang kedua ialah risalah yang diberi judul Beberapa Masail, cetakan yang kedua oleh Mathba’ah Al-Ahmadiah, 82, Jalan Sultan Singapura, pada 16 Muharram 1348 H/24 Jun 1929. Kandungannya menangkis 19 perkara yang dilemparkan oleh Kaum Muda yang dianggap bidaah oleh mereka.

Ringkasan 19 perkara yang dimaksudkan ialah:

1. Tentang Usalli

2. Membaca talkin

3. Mengaji di kubur

4. Berdiri ketika marhaban

5. Mempercayai ulama

6. Lafaz Saidina dalam selawat

7. Qada sembahyang

8. Mengangkat tangan ketika qunut

9. Ziarah makam Nabi s.a.w.

10. Membaca al-Quran untuk orang mati

11. Fidyah sembahyang

12. Ziarah kubur

Pandangan

Ada orang jadi masyhur namanya kerana mempertahankan sesuatu pegangan yang diamalkan oleh orang ramai. Tidak dinafikan juga bahawa seseorang jadi masyhur kerana membantah amalan orang lain. Seseorang yang mempertahankan pegangan, sama ada yang betul ataupun yang salah, ada yang terikat dengan adab-adab yang tertentu, tetapi tidak sedikit yang tiada beradab.

Hanya orang yang takut kepada seksaan Allah akan mengaku dirinya salah apabila pegangannya memang benar-benar salah. Orang yang angkuh tetap mempertahankan pegangannya yang salah walaupun dia tahu dirinya salah. Orang yang benar-benar ikhlas perlulah sedar, apa pun permasalahan yang terjadi, sama ada akur atas sesuatu ataupun pertikaian pendapat, yang paling perlu hanyalah yang diredai Allah.

Walau bagaimana hebat pun seseorang memperoleh kemasyhuran sanjungan manusia, tetapi jika pemikiran, pekerjaan dan perbuatannya tiada diredai Allah, dia bukanlah seorang yang bijak. Hakikatnya dia- lah orang yang paling bodoh.
This entry was posted on 12 November 2006 at Sunday, November 12, 2006 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

1 comments

Alhamdulliah, aku punya secebis 'ilmu tauhid dan tasawuf peninggalan Syeikh Hasan turun-temurun zaman berganti zaman... Moga Allah Taala merahmati roh beliau..

July 16, 2012 at 1:03:00 AM PDT

Post a Comment