Gusti Jamiril tokoh ulama, raja dan pahlawan  

Posted

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah


DALAM Halaman Agama, Utusan Malaysia, Isnin, 12 Jun 2006, telah diceritakan kisah Raja Haji, Pahlawan Teragung Nusantara, iaitu saudara sepupu Gusti Jamiril. Gusti Jamiril ialah putera Upu Daeng Menambon. Raja Haji pula ialah putera Upu Daeng Celak.

Upu Daeng Menambon dan Upu Daeng Celak ialah adik-beradik. Kajian awal saya tentang riwayat mereka adalah bersumberkan Salasilah Melayu dan Bugis, Tuhfat an-Nafis. Kedua-duanya ialah kitab karangan Raja Ali Haji.

Selain kedua-dua karya tersebut, beberapa versi tulisan tangan naskhah Mempawah dan Pontianak juga menjadi sumber saya. Selain yang terakam berupa tulisan, cerita lisan juga saya dengar di Mempawah dan Riau.

Perlu juga saya sebutkan di sini bahawa Gusti Jamiril sebenarnya ada peranan yang tersendiri dalam kedua-dua karya Raja Ali Haji yang dinyatakan itu kerana sejarah asalnya berdasarkan tulisan Upu Daeng Menambon dengan tulisan dan bahasa Bugis. Yang menterjemahkannya daripada bahasa Bugis ke bahasa Melayu ialah Gusti Jamiril.

Terjemahan Gusti Jamiril itulah yang diproses oleh Raja Haji Ahmad, iaitu putera Raja Haji, tetapi tidak sempat diselesaikan lalu disambung oleh putera beliau, Raja Ali Haji. Gusti Jamiril digelar juga dengan gelaran Penembahan Adiwijaya Kesuma Jaya. Beliau mangkat pada waktu Zuhur, hari Ahad, bulan Zulkaedah 1204 H/Julai 1790.

Pada judul artikel ini saya nyatakan bahawa Gusti Jamiril ialah ulama, raja dan pahlawan. Ketiga-tiganya dapat dibuktikan.

Persyaratan seorang ulama bermula dengan pengetahuan alat Arabiyah, seperti ilmu nahu, ilmu sharaf, dan lain-lain, serta pelbagai bidang ilmu Islam yang lain. Gusti Jamiril sempat belajar segala persyaratan itu dengan Saiyid Husein al-Qadri (Mufti Mempawah yang pertama) dan Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani (Mufti Mempawah yang ke-2).

Walau bagaimanapun, sistem mendidik kedua-dua ulama itu adalah berbeza. Saiyid Husein al-Qadri yang berasal dari negeri Arab, mengutamakan lughah Arabiyah. Sedangkan Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani, yang berasal dari Patani, memperkenalkan sistem pendidikan pondok seperti di Patani. Sistem Pondok Patani lebih mengutamakan kecermatan dalam membaca setiap kitab bahasa Arab. Dalam hal ini penting seseorang ulama menguasai ilmu nahu, ilmu sharaf, dan semua ilmu alat Arabiyah.

Bukti Gusti Jamiril menguasai ilmu-ilmu Islam disebut oleh Raja Ali Haji dalam Salasilah Melayu dan Bugis. Sewaktu Gusti Jamiril ke Pinang Sekayuk, antara pertanyaan Pangeran Dipati adalah: “Apakah cundaku tahu mengaji Quran?” Jawab Gusti Jamiril: “Tahu!” Maka baginda menyuruhnya membaca al-Quran. Maka membacalah Gusti Jamiril. Dalam dua maqra' beliau berhenti.

“Apakah cundaku sudah mengaji nahu dan sharaf?” Maka dijawab Gusti Jamiril: “Tahu!” Maka disuruhnya ertikan ayat al-Quran yang dibaca itu.

Maka diertikan lafaz maknanya. Selain sebagai seorang yang menguasai ilmu yang banyak, Gusti Jamiril juga sangat kuat berwirid. Amalan yang tiada ditinggalkannya ialah tilawah al-Quran, selawat atas Nabi Muhammad s.a.w., zikir dan lain-lain. Selawat yang diamalkannya ialah ‘Shalawat Dalail al-Khairat’. Amalan selawat tersebut juga tidak pernah ditinggalkan oleh Raja Haji asy-Syahid fi Sabilillah Yang Dipertuan Muda Riau Ke-IV, saudara sepupu Gusti Jamiril.

KERAJAAN MEMPAWAH

Upu Daeng Menambon, Raja Mempawah yang pertama, mangkat pada 26 Safar 1174 H/7 Oktober 1760 M (riwayat lain baginda mangkat tahun 1166 H/1752 M). Baginda diganti oleh puteranya yang bernama Gusti Jamiril, diberi gelar ‘Penembahan Adiwijaya Kesuma Jaya’, atau selanjutnya disingkat kepada Adiwijaya saja. Pada zamannya pusat pemerintahan Mempawah dipindahkan dari Sebukit Raya ke Pulau Pedalaman, Mempawah Hilir. Namun setelah terjadi perselisihan dengan Belanda, Penembahan Adiwijaya terpaksa memindahkan pusat pemerintahan dari Pulau Pedalaman, Mempawah ke Hulu Mempawah iaitu satu lokasi yang sangat jauh yang dinamakan Karangan.

Penembahan Adiwijaya ialah seorang ulama dan raja yang tidak mahu ditakluk penjajah Belanda. Baginda lebih sedia dan setia mengikut jejak langkah perjuangan saudara sepupunya, Raja Haji (Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga Ke-IV) yang gugur sebagai syahid fi sabilillah di Melaka. Ia merupakan langkah yang sama seperti anak saudara sepupunya, Raja Ali Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga Ke-V, yang ketika itu terpaksa berhijrah menyusun strategi di Sukadana.

Pihak Belanda menuduh Adiwijaya bersekongkol dengan pahlawan yang berasal dari Riau itu. Oleh sebab Belanda tidak dapat mengesan apatah lagi menangkap Raja Ali, maka tekanan yang sangat keras dikenakan ke atas Adiwijaya kerana hanya baginda sendiri mampu menyembunyikan Raja Ali.

Padahal ketika itu Raja Ali yang sangat faham keadaan maritim bukan setakat berada di Sukadana tetapi kadang-kadang berada di Kepulauan Tambelan. Kadang-kadang beliau berada di Kepulauan Siantan dan tempat-tempat lain.

Akibat Penembahan Adiwijaya tidak mahu dijajah oleh bangsa asing yang bukan Islam, maka kolonial Belanda dengan dalih untuk pemulihan yang disebut Rusten en orde (Ketenteraan) mengirim pasukan tentera penjajah itu dari Pontianak menyerang Mempawah. Peristiwa tersebut terjadi pada tahun 1787 M. Oleh sebab pendengaran, penciuman dan pandangan Penembahan Adiwijaya untuk mengetahui kondisi dan situasi dalam keadaan aman dan perang memang hebat, ternyata yang diserang hanyalah tempat yang telah dikosongkan. Penghijrahan Penembahan Adiwijaya bersama dengan pengikut-pengikut setia baginda dari Pulau Pedalaman Mempawah Hilir ke Karangan Mempawah Hulu dilakukan sekitar 1786.

Setelah kekosongan pentadbiran Mempawah, Syarif Abdur Rahman al-Qadri, Sultan Pontianak, saudara ipar Penembahan Adiwijaya, mengambil langkah bijaksana dengan melantik putera beliau, Pangeran Syarif Qasim al-Qadri menjadi Raja di Mempawah.

Ibu Syarif Qasim al-Qadri ialah Utin Cenderamidi iaitu adik-beradik Penembahan Adiwijaya. Jadi Pangeran Syarif Qasim al-Qadri masih layak menjadi Raja di Mempawah kerana beliau ialah cucu Upu Daeng Menambon. Walau bagaimanapun perang antikolonial Belanda di sana-sini masih berlaku yang melibatkan Gusti Jati dan Gusti Mas, kedua-duanya putera Adiwiyaja.

Makam

Kedua-duanya dapat membentuk pasukan gabungan Melayu dan Dayak. Tempat-tempat yang pernah tercetus perang antaranya ialah di Galah Herang, Sebukit Rama, di sekitar makam Upu Daeng Menambon dan Sangking.

Perang di Mempawah itu berlarutan hingga tahun 1788 M. Pada tahun itu pula Sultan Mahmud dan Bendahara Abdul Majid Pahang mengirim utusan ke Mempawah mengajak pihak Mempawah dan Raja Tempasok untuk menyerang Belanda yang telah menjajah Riau. Situasi Mempawah sangat gawat, maka pihak Mempawah tidak bersedia untuk membantu Sultan Mahmud Riau. Begitu juga Raja Tempasok kerana penentangan masih ditumpukan kepada pihak Belanda yang telah menguasai Pontianak dan akan menjajah Mempawah pula.

Sewaktu utusan Riau datang ke Mempawah, pada waktu itulah terjadi pergaduhan antara orang-orang Cina dengan orang-orang Melayu di sekitar Kuala Mempawah. Diriwayatkan bahawa pergaduhan itu terjadi kerana orang-orang Cina yang terlibat dengan organisasi rahsia mereka di Mandor telah mengambil kesempatan membantai orang Melayu dan Bugis ketika terjadi peperangan antara Melayu-Bugis dengan Belanda.

Muncullah pahlawan-pahlawan Riau dan Patani yang gagah perkasa. Orang Cina yang beratus-ratus hanya dihadapi oleh tiga orang. Mereka ialah Habib Syaikh, yang terkenal dengan keramatny dan Tengku Sembob yang terkenal dengan kegagahan dan kehandalannya bermain senjata. Kedua-dua mereka berasal dari Riau.

Yang seorang lagi ialah Abdur Rahman yang digelar orang dengan nama Wak Tapak. Beliau berasal dari Patani. Beliau ialah Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani. Ketiga-tiga mereka yang membela Islam dan bumi Melayu itu termasuk antara orang-orang terdekat dengan Penembahan Adiwijaya yang diriwayatkan ini.

Setelah perang berakhir, beberapa orang putera dan kerabat yang terdekat memujuk Penembahan Adiwijaya supaya berpindah semula ke Pulau Pedalaman Mempawah untuk membangunkan Mempawah kembali. Mereka ingin membina kembali masyarakat Melayu-Bugis yang beragama Islam supaya mereka menjadi penyebar-penyebar Islam dalam lingkungan penduduk suku Dayak yang sebahagian besarnya masih animisme.

Ajakan suci itu pada mulanya diterima oleh Penembahan Adiwijaya, tetapi setelah melakukan sembahyang istikharah berulang-ulang kali, baginda membuat kesimpulan bahawa selagi Belanda, iaitu penjajah, yang tidak seagama dengan baginda masih bercokol di Pontianak, apatah lagi Mempawah memang sudah dalam genggaman Belanda, selama itulah penyebaran Islam akan mendapat hambatan daripada pihak penjajah itu.

Penembahan Adiwijaya berasakan umurnya telah lanjut, seakan-akan baginda tahu ajalnya telah hampir tiba.

Oleh itu sebelum mangkat baginda berwasiat. Bahawa baginda tidak rela jenazahnya dikebumikan di tempat yang pernah dijamah oleh penjajah Belanda. Ketika Penembahan Adiwijaya mangkat terjadi sedikit pertikaian iaitu ada kerabat yang mempertahankan wasiat baginda supaya dimakamkan di Karangan, bumi tempat baginda mangkat yang belum dijamah oleh Belanda.

Golongan kerabat baginda yang lain pula berpandangan bahawa ‘wasiat tinggal wasiat’, dan berpendapat baginda mesti dimakamkan di Pulau Pedalaman Mempawah. Kononnya jenazah Penembahan Adiwijaya dimasukkan ke dalam sebuah peti yang dimuat dalam sebuah sampan lalu dibawa ke hilir menelusuri Sungai Mempawah. Ia dibawa ke Pulau Pedalaman Mempawah.

Semua pengiring dan petugas hairan kerana dengan tiba-tiba air sungai menjadi kering. Sampan yang membawa peti jenazah terkandas. Ternyata peti bertambah ringan, lalu dibuka. Tiba-tiba didapati jenazah Penembahan Adiwijaya tidak terdapat dalam peti itu lagi. Peti yang kosong tiada berjenazah itu terus juga dibawa ke Pulau Pedalaman Mempawah menurut adat istiadat kebesaran raja pada zaman itu.

Hingga kini belum diketahui di manakah sebenarnya makam Penembahan Adiwijaya kerana terdapat dua makam beliau. Makam yang pertama terletak di Karangan (Mempawah Hulu) dan yang sebuah lagi di Pulau Pedalaman (Mempawah Hilir).

Ada beberapa orang ulama yang berasal dari dunia Melayu memiliki makam lebih daripada satu, antaranya Syeikh Yusuf Tajul Khalwati yang makamnya terletak di Afrika Selatan dan Sulawesi Selatan. Makam Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani pula terdapat di Taif dan di Mekah. Terjadinya hal yang demikian semuanya ada sejarah yang tersendiri.
This entry was posted on 12 November 2006 at Sunday, November 12, 2006 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment