Syeikh Abdur Rauf Al-Bantani Khalifah Tarekat Qadiriyah  

Posted

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah


ULAMA yang berasal dari Banten pada judul di atas, namanya pertama kali saya sebut dalam Pengenalan siri ke-7 dan yang lebih lengkap dalam siri ke-9. Oleh sebab terdapat riwayat-riwayat baru dan dijumpai sebuah manuskrip yang belum saya sebut dalam tulisan terdahulu maka profil beliau saya bentangkan dalam kertas kerja Peranan Para Ulama Tasawuf di Nusantara pada Seminar Kebangsaan Kefahaman Tasawuf Nusantara pada 13 Februari 2006 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah Kusza, Kuala Terengganu, Terengganu.

Program itu adalah anjuran Persatuan Pelajar Usuluddin (PPUS) Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA).

Artikel ini adalah penambahan beberapa maklumat yang belum dibicarakan sebelum ini. Antara maklumat terkini ialah penemuan beberapa manuskrip yang ada hubungan dengan beliau, sebuah daripada tulisan tangan beliau sendiri tentang Tarekat Syathariyah. Sebuah sumber lagi manuskrip tulisan keturunan murid beliau bernama Ali bin Sulaiman tentang Tarekat Naqsyabandiyah.

Berdasarkan semua karya Syeikh Haji Abdur Rauf bin Makhalid Khalifah al-Qadiri al-Bantani yang ada pada saya, dapat diambil beberapa kesimpulan. Pertama, beliau mengembara bermula di Banten, Jawa Barat, Aceh, Yaman, Mekah dan negeri Syam. Antara guru yang beliau sebut sama ada beliau sempat berguru dengannya ataupun guru kepada gurunya ialah Syeikh Abdul Muhyi Karang Pamijahan, Syeikh Yusuf Tajul Khalwati, Syeikh Muhammad Zain al-Mazjaji dan Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi. Syeikh Haji Abdur Rauf al-Bantani menulis bahawa dua tahun (1160 H/1747 M dan 1161 H/ 1748 M) beliau menjadi khadam dua Wali Allah di Mekah. Salah seorang bernama Syeikh Muhammad ath-Thabari (wafat 1163 H/1749 M) dan Syeikh Ibrahim bin Syeikh Thahir al-Kurdi al-Madani.

Penulisan

Manuskrip karya-karya Syeikh Haji Abdur Rauf yang telah dijumpai ialah: 1. Manuskrip Risalah fi Bayan Ilmin Nafas, salinan diselesaikan tahun 1112 H/1700 M. Oleh sebab salinan ini diselesaikan tidak sampai dua tahun setelah Syeikh Yusuf Tajul Khalwati wafat (1110 H/1699 M), dapat disimpulkan bahawa Syeikh Haji Abdur Rauf sempat berjumpa dengan Syeikh Yusuf Tajul Khalwati. Kandungannya merupakan pengajaran ilmu perjalanan nafas yang terdiri daripada nafas, anfas, tanaffus, dan nufus. Ilmu yang dibicarakan adalah termasuk dalam bahagian ilmu tasawuf dan tarekat.

2. Risalah Bayan al-Izalah al-Khawathir, diselesaikan pada waktu Asar, hari Rabu, 3 Jamadilawal 1154 H/1741 M.

3. Masalah Yang Dikarang Oleh 'Arif Billah diselesaikan malam Khamis, enam likur, Rabiulakhir 1214 H/1799 M. Manuskrip yang diperoleh hanyalah salinan oleh Ahmad Terengganu ibnu Idris. Kandungannya membicarakan tasawuf tingkat tinggi atau tasawuf falsafah. Dimulai daripada perbicaraan sifat-sifat Allah dilanjutkan tentang perbicaraan roh. Disebutkan asal ilmu ini ialah Syeikh Yusuf Tajul Khalwati, turun daripada Haji Abdul Muhyuddin Karang Pamijahan turun daripada Syeikh 'Abdur Rauf al-Asyi. Pada bahagian akhir risalah dinyatakan, “... ini kami mengambil risalah ini karangan Syeikh Masyaikh segala Jawi, iaitu Syeikh Abdur Rauf Aceh, Singkel nama kampungnya.”

4. Risalah Isyarah Haqiqah, tidak dinyatakan tarikh selesai penulisan.

5. Risalah Yang Menghimpunkan Masalah Yang Dikarang Ahli Tasawuf Arif Billah tidak dinyatakan tarikh selesai penulisan.

6. Mukhtasar Tasnif Syaikh Masyaikh Yang Kamil Mukammil Syeikh Abdur Rauf Ibnu Ali tidak dinyatakan tarikh. Kandungan merupakan petikan dan ringkasan karangan Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang membicarakan tanda-tanda untuk mengetahui kematian serta tatacara melakukan zikir.

7. Risalah Tarekat asy-Syathariyah tidak dinyatakan tarikh selesai penulisan. Manuskrip ini saya peroleh pada 27 Ramadan 1426 H/30 Oktober 2005 M. Oleh sebab banyak terdapat perkara baru dalam manuskrip ini, yang selama ini masih belum diketahui, maka ia perlu dibicarakan agak panjang.

Maklumat sebelum ini yang diketahui ialah Syeikh Abdur Rauf ialah pengamal Tarekat Qadiriyah, bahkan pada hujung nama beliau digelar sebagai Khalifah Qadiriyah. Setelah ditemui Risalah Thariqatisy Syathariyah dapat diketahui beliau juga pengamal Tarekat Syathariyah. Sungguhpun risalah yang dibicarakan ini mengenai Tarekat Syathariyah, namun pada permulaan kalimat beliau tetap memakai nama lengkap dengan Syeikh Abdur Rauf bin Makhalid Khalifah al-Qadiriyi al-Bantani dan tidak memakai nama sebagai Khalifah asy-Syathariyi.

Syeikh Abdur Rauf menyebut bahawa beliau menerima Tarekat Syathariyah daripada Wali Allah Syeikh Ibrahim bin Syeikh Thahir al-Madani. Selanjutnya beliau berkata, Syeikh Thahir al-Madani menerimanya daripada Syeikh Hasan al-Ajami. Syeikh Hasan al-Ajami menerima daripada Syeikh Ahmad al-Qusyasyi. Yang perlu diperhatikan dalam salasilah ini ialah nama Syeikh Thahir al-Madani, ayah beliau ini ialah Syeikh Ibrahim bin Hasan bin Syihabuddin al-Kurdi al-Kurani (wafat 1101 H/1689 M).

Salasilah

Kebanyakan salasilah yang diketahui Syeikh Ibrahim bin Hasan bin Syihabuddin al-Kurdi al-Kurani inilah murid Syeikh Ahmad al-Qusyasyi yang paling terkenal, tetapi dalam salasilah di atas disebut pula Syeikh Hasan al-Ajami. Berdasarkan maklumat ini bererti Syeikh Thahir al-Madani telah menerima Tarekat Syathariyah daripada ayah beliau sendiri, iaitu Syeikh Ibrahim bin Hasan al-Kurani, seperti disebut dalam kebanyakan salasilah dan beliau menerima pula daripada Syeikh Hasan al-Ajami.

Syeikh Hasan al-Ajami dan Syeikh Ibrahim bin Hasan al-Kurani kedua-duanya adalah murid pada Syeikh Ahmad al-Qusyasyi. Syeikh Ibrahim bin Hasan al-Kurani dan Syeikh Ahmad al-Qusyasyi, kedua-duanya adalah guru kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri ini adalah guru kepada Syeikh Abdul Malik Terengganu (Tok Ku Pulau Manis), dan lain-lain. Anak Syeikh Thahir al-Madani ialah Syeikh Muhammad Sa'id Thahir. Anak Syeikh Muhammad Sa'id Thahir bernama Syeikh Muhammad As'ad. Syeikh Muhammad As'ad inilah yang membaiah Tarekat Syathariyah kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Syeikh Abdur Rauf juga seorang ahli dalam Tarekat Naqsyabandiyah. Salasilah beliau mengenai tarekat ini adalah berdasarkan tulisan keturunan murid beliau bernama Ali bin Sulaiman Kuala Mempawah dalam karya berjudul Ilmu Akidah yang disiapkan pada hari Ahad, bulan Jamadilakhir 1298 H/Mei 1881 M. Diterangkan bahawa Ali bin Sulaiman Kuala Mempawah belajar kepada Tuan Haji Sulaiman. Tuan Haji Sulaiman belajar kepada Tuan Imam Malim Kaya. Tuan Imam Malim Kaya inilah murid Syeikh Abdur Rauf. Syeikh Abdur Rauf dibaiah Tarekat Naqsyanbandiyah oleh Syeikh Muhammad Zain bin Syeikh Zain. Beliau ini dibaiah oleh ayahnya sendiri Syeikh Zain al-Mazjaji. Salasilah selengkapnya hingga yang lebih atas saya tinggalkan saja. Ia belum dapat dibicarakan dalam artikel ini.

Sebagai keterangan ringkas salasilah di atas perlu saya sentuh bahawa berdasarkan beberapa bukti, penulisnya Ali bin Sulaiman kemungkinan adik-beradik dengan Syeikh Muhammad Yasin Kedah yang berhijrah dari Kedah ke Kuala Mempawah. Ali adalah anak Tuan Haji Sulaiman yang ada hubungan dengan ulama di Aceh. Oleh itu, gurunya Tuan Imam Malim Kaya adalah ulama yang berasal dari Aceh. Belum dapat dipastikan adakah Tuan Imam Malim Kaya belajar daripada Syeikh Abdur Rauf ketika di Mekah ataupun ulama Banten yang suka mengembara itu pernah sampai ke Aceh.

Ditinjau daripada salasilah Syathariyah, hanya satu tempat yang tersebut saja merupakan maklumat baru, ditinjau daripada huraian kandungan Risalah Thariqatisy Syathariyah memang banyak perkara baru. Kitab-kitab mengenai Tarekat Syathariyah lebih awal ditulis oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, dan yang kemudian ditulis oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan lain-lain dalam bahasa Melayu. Namun beberapa perkara yang masih kurang tersebar yang tidak terdapat dalam karya-karya lain ternyata terdapat dalam Risalah Thariqatisy Syathariyah oleh Syeikh Abdur Rauf yang sedang dibicarakan ini. Masih pada mukadimah lagi, Syeikh Abdur Rauf menyebut, “...Tarekat Syathariyah, tarekat segala Auliya' yang besar-besar.”

Antara perkara yang dihuraikan lebih lengkap daripada naskhah lain seperti pada adab duduk, kata beliau, “Kelima, duduk menghadap kiblat serta bersila. Maka urat lututnya yang kiri disepitnya dengan ibu kaki yang kanan.” Adab yang kesembilan disebutkan Fatihah tawassul dihadiahkan untuk Syeikh Abdur Rauf, tanpa menyebut Syeikh Abdur Rauf yang mana dimaksudnya. Dipercayai adalah Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Walaupun salasilah Tarekat Syathariyah, beliau secara lurus tidak menyentuh ulama besar yang berasal dari Aceh itu, namun bertemu Syeikh Ahmad al-Qusyasyi. Sesudah menyebut ahli salasilah tempat tujuan tawassul lalu dinyatakan doa tawassul yang khusus, yang doa tersebut belum dijumpai dalam semua naskhah Tarekat Syathariyah bahasa Melayu. Termasuk adab yang paling penting dalam disiplin tasawuf ialah mematuhi guru. Sangat banyak perkataan gurunya beliau pindahkan ke dalam naskhah Risalah Thariqah asy-Syathariyah. Syeikh Abdur Rauf menulis, “...kata orang ahlillah, dan lagi menyuruh guru kami, yang Kamil Mukammil iaitu Syeikh Ibrahim anak Syeikh Thahir Madinah ar-Rasul kepada fakir....”

Kerana terlalu banyak yang diperkatakan, antara petikannya dilanjutkan dengan tulisan beliau, “...serta yakin kepada guru serta petunjuk, kerana guru ini menunjuk kepada jalan keselamatan. Sebab inilah disuruhkan guru kami. Kerana guru ganti Nabi s.a.w. sebab inilah kita wajib mengikut akan pesuruh-Nya. Dan kata guru kami, “Janganlah engkau lupa dan lalai akan yang disuruh oleh guru, kerana jika durhaka kepada guru, nescaya sesat dengan sesat yang terlalu jauh.”

Syeikh Abdur Rauf menutup Risalah Thariqatisy Syathariyah, dengan katanya, “...jangan engkau lupa dan lalai akan zikir ini, kerana perbuatan segala Auliya' yang besar-besar, kerana jalan kepada Allah s.w.t.. Dan barang siapa tiada gurunya, maka syaitan gurunya. Sebab itulah wajib berguru akan jalan ini. Jangan engkau syak lagi akan hal perbuatan ini, kerana jalan segala Anbiya' dan Auliya' sekali-kali jangan lupa dan lalai kepada Allah. Dan lagi, janganlah lupa dan lalai akan zikir Allah, Allah siang dan malam itulah. Sekalian itu disuruh guru kami kepada fakir yang hina.”
This entry was posted on 12 November 2006 at Sunday, November 12, 2006 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment