Syeikh Mahfuz at-Tarmasi - Ulama hadis dunia Melayu  

Posted

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH


DALAM Ruangan Agama, Utusan Malaysia, 21 Mac 2005, telah diperkenalkan Kiyai Muhammad Saleh Darat, ulama besar Jawa Tengah. Kali ini diperkenalkan pula salah seorang murid beliau yang menjadi ulama besar di Mekah, iaitu Syeikh Muhammad Mahfuz bin Abdullah bin Abdul Mannan bin Abdullah bin Ahmad at-Tarmasi/Termas. Gurunya banyak menghasilkan penulisan dalam bahasa Jawa, dan hanya sebuah dalam bahasa Melayu. Berbeza dengan muridnya ini. Beliau yang banyak menghasilkan karya yang menjadi rujukan ulama peringkat antarabangsa, hanya menulis dalam bahasa Arab. Oleh itu beliau tidak banyak dikenali oleh masyarakat awam dunia Melayu. Syeikh Muhammad Mahfuz Termas lahir di Termas, Pacitan, Jawa Tengah, pada 12 Jamadilawal 1285 H/31 Ogos 1868 M, wafat di Mekah pada 1 Rejab 1338 H/20 Mac 1920 M.

PENDIDIKAN

Untuk mengetahui latar belakang pendidikannya, nama para guru dan jenis ilmu pengetahuan yang dipelajari oleh Syeikh Muhammad Mahfuz Termas tidaklah terlalu sukar kerana dalam peringkat pengenalan tercatat dalam beberapa buah karya beliau. Di bawah ini saya terjemahkan dan petik sebahagian daripada riwayat yang tercantum dalam karya Muhibah zil Fadhli jilid ke-4. Kitab-kitab yang dipelajari daripada ayahnya sendiri, Syeikh Abdullah bin Abdul Mannan at-Tarmasi, ialah Syarh al-Ghayah li Ibni Qasim al-Ghuzza, al-Manhaj al-Qawim, Fat-h al-Mu'in, Fat-h al-Wahhab, Syarh Syarqawi `ala al-Hikam dan sebahagian Tafsir al-Jalalain hingga sampai Surah Yunus saja. Semua kitab yang tersebut adalah dalam bahasa Arab. Sekurang-kurangnya dalam rangkaian ilmu fikah, tasawuf dan tafsir al-Quran.

Setelah memperoleh ilmu yang banyak daripada orang tuanya sendiri, Syeikh Muhammad Mahfuz Termas berpindah ke Semarang dan belajar kepada Kiyai Muhammad Saleh Darat. Kitab-kitab yang dipelajari ialah Syarh al-Hikam (dua kali khatam), Tafsir al-Jalalain (dua kali khatam), Syarh al-Mardini dan Wasilah ath-Thullab. Kitab yang terakhir ini mengenai ilmu falak. Perlu juga saya sebutkan bahawa kitab ini yang disebarkan berupa cetakan adalah ditashhih dan ditahqiq oleh Syeikh Ahmad al-Fathani.

Syeikh Muhammad Mahfuz Termas dari Semarang berpindah pula ke Mekah. Guru-gurunya di Mekah ialah Syeikh Ahmad al-Minsyawi yang dikenali sebagai Muqri kepada ulama ini, beliau belajar Qiraah `Ashim dan tajwid, sebahagian Syarh Ibni al-Qashih `ala asy-Syathibiyah (tidak sempat khatam). Dalam masa yang sama belajar kepada Syeikh `Umar bin Barakat asy-Syami, kitab yang dipelajari ialah Syarh Syuzur az-Zahab li Ibni Hisyam, kitab ini disusun oleh gurunya. Juga kepada Syeikh Mustafa al-'Afifi, kitab yang dipelajari ialah Syarh Jam'il Jawami' lil Mahalli dan Mughni al-Labib. Juga kepada Sayid Husein bin Sayid Muhammad al-Habsyi, kitab yang dipelajari ialah Sahih al-Bukhari. Juga kepada Syeikh Muhammad Sa'id Ba Bashail, kitab yang dipelajari ialah Sunan Abi Daud. Sunan Tirmizi dan Sunan Nasai. Juga kepada Sayid Ahmad az-Zawawi, kitab yang dipelajari ialah Syarh `Uqud al- Juman, karangan gurunya itu, dan sebahagian kitab asy-Syifa' lil Qadhi al-'Iyadh. Juga kepada Syeikh Muhammad asy-Syarbaini ad-Dimyathi, kitab yang dipelajari ialah Syarh Ibni al-Qashih, Syarh ad-Durrah al-Mudhi-ah, Syarh Thaibah an-Nasyr fi al-Qiraat al-'Asyar, ar-Raudh an-Nadhir lil Mutawalli, Syarh ar-Ra-iyah, Ithaf al-Basyar fi al-Qiraat al-Arba'ah al-'Asyar, dan Tafsir al-Baidhawi bi Hasyiyatihi. Juga kepada Sayid Muhammad Amin bin Ahmad Ridhwan al-Madani, kitab yang dipelajari ialah Dalail al-Khairat, al-Ahzab, al-Burdah, al-Awwaliyat al-'Ajluni dan Muwaththa' Imam Malik. Ulama yang paling banyak mengajarnya pelbagai ilmu secara keseluruhannya ialah Sayid Abi Bakr bin Sayid Muhammad asy-Syatha.

Setiap guru yang tersebut bersambung kepada ulama yang lebih ke atas yang dinamakan sanad atau salasilah. Mengenainya Syeikh Muhammad Mahfuz Termas mencatatnya dengan lengkap dalam karyanya Kifayatul Mustafid. Memperhatikan tulisan Syeikh Muhammad Mahfuz Termas yang menyebut bahawa ilmu terbanyak diperolehnya ialah daripada Sayid Abi Bakr asy-Syatha, pada masa beliau berada di Mekah, maka dapat disimpulkan sahabat-sahabat seperguruan dengannya ialah Syeikh Wan Daud bin Mustafa al-Fathani (1283 H/1866 M - 1355 H/1936 M). Ulama Patani ini lebih tua sekitar dua tahun daripada Syeikh Muhammad Mahfuz Termas (1285 H/1868 M - 1338 H/1920 M), Mufti Pulau Pinang Haji Abdullah Fahim, lebih muda setahun (lahir 1286 H/ 1869 M), Tok Kenali, lebih muda dua tahun (lahir 1287 H/ 1871 M) dan lain-lain. Saya berkesimpulan sungguh pun nama-nama para guru telah disebut oleh Syeikh Muhammad Mahfuz Termas sendiri, namun masih banyak ulama lain gurunya yang belum beliau sebut. Di antara mereka seumpama Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Ahmad al-Fathani dan lain-lain. Berdasarkan banyak maklumat saya pastikan bahawa Syeikh Muhammad Mahfuz Termas juga pernah pernah belajar kepada Syeikh Nawawi al-Bantani.

Hubungan dan kedudukan Syeikh Ahmad al-Fathani dengan Sayid Abi Bakr asy-Syatha adalah sangat erat, kerana sebuah karangan Sayid Abi Bakr asy-Syatha yang berjudul I'anatut Thalibin Syarh Fat-hil Mu'in yang selesai ditulis bulan Syawal 1300 H. Sebelum cetakan pertama kitab tersebut ditashih dan ditahqiq oleh Syeikh Ahmad al-Fathani atas kehendak Sayid Abi Bakr asy-Syatha sendiri dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Sama ada sebelum dicetak (masih manuskrip) mahu pun setelah cetakan pertama, yang mula-mula mengajar kitab I'anatut Thalibin di dalam Masjid al-Haram ialah Syeikh Ahmad al-Fathani, semua murid Sayid Abi Bakr asy-Syatha pada zaman itu termasuk Syeikh Muhammad Mahfuz Termas hadir dalam halaqah atau majlis pengajian Syeikh Ahmad al-Fathani itu.

PENULISAN

Syeikh Muhammad Mahfuz Termas termasuk salah seorang ulama yang berasal dari dunia Melayu yang menghasilkan karangan dalam bahasa Arab dan dikenali ulama antarabangsa sesudah Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau dan Syeikh Abdul Hamid Kudus. Semua karangan beliau dalam bahasa Arab disenaraikan sebagai berikut:

1. As-Siqayatul Mardhiyah fi Asamil Kutubil Fiqhiyah li Ashabinas Syafi'iyah, diselesaikan pada hari Jumaat, Syaaban 1313 H, risalah ini terdiri daripada tiga bahagian tetapi yang saya miliki hanya sebuah saja. Kandungannya membicarakan senarai kitab karya-karya dalam Mazhab Syafie serta nama-nama ulamanya. Dicetak oleh Mathba'ah at-Taraqqil Majidiyah al-'Utsmaniyah, Mekah (tanpa tahun).

2. Muhibah zil Fadhli `ala Syarh al-'Allamah Ibnu Hajar Muqaddimah Ba Fadhal), kitab ini empat jilid dan tebal. Jilid pertama diselesaikan pada 25 Safar 1315 H, tebal 556 halaman. Jilid kedua diselesaikan pada hari Jumaat, 27 Rabiulakhir 1316 H, tebal 504 halaman. Jilid ketiga diselesaikan pada malam Ahad, 7 Rejab 1317 H, tebal 544 halaman. Jilid keempat, diselesaikan pada malam Rabu, 19 Jamadilakhir 1319 H, tebal 733 halaman. Keseluruhan halaman jilid pertama sampai empat ialah 2437 halaman. Kandungannya membicarakan fikah lengkap berupa syarah dan hasyiyah dalam Mazhab Syafie yang dibahas secara mendalam, ilmiah dan terperinci. Kitab khazanah keilmuan yang demikian tinggi dihasilkan oleh putera dunia Melayu yang penting tersebut dicetak Mathba'ah al-'Amirah asy-Syarfiyah, Mesir, 1326 H.

3. Kifayatul Mustafid lima `ala minal Asanid, diselesaikan pada hari Selasa, 19 Safar 1320 H. Kandungannya membicarakan pelbagai sanad keilmuan Muhammad Mahfuz bin Abdullah at-Tarmasi/at- Tirmisi. Dicetak oleh Mathba'ah al-Masyhad al-Husaini, No. 18 Syari' al-Masyhad al-Husaini, Mesir (tanpa tahun). Kitab ini ditashhih dan ditahqiq oleh Syeikh Muhammad Yasin bin Isa al-Fadani al-Makki, al-Mudarris Daril `Ulumid Diniyah, Mekah.

4. Manhaj Zawin Nazhar fi Syarhi Manzhumati `Ilmil Atsar, diselesaikan pada tahun 1329 H/1911 M. Kandungannya membicarakan Ilmu Mushthalah Hadits merupakan Syarh Manzhumah `Ilmil Atsar karangan Imam Jalaluddin as-Suyuthi. Daripada kitab ini dapat kita buktikan bahawa ulama yang berasal dari dunia Melayu berkemampuan menulis ilmu hadis yang demikian tinggi nilainya kerana kitab ini menjadi rujukan ramai ulama antarabangsa terutama ulama-ulama hadis. Dicetak oleh Mathba'ah Mushthafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir, 1352 H/1934 M. Cetakan dibiayai oleh Syeikh Salim bin Sa'ad bin Nabhan wa Akhihi Ahmad, pemilik Al-Maktabah An-Nabhaniyah Al-Kubra, Surabaya, Jawa Timur, Indonesia.

5. Al-Khal'atul Fikriyah fi Syarhil Minhatil Khairiyah, belum diketahui tarikh penulisan. Kandungannya juga membicarakan hadis merupakan Syarh Hadits Arba'in (Hadits Empat Puluh) berdasarkan yang disyairkan oleh Syeikh al-Qasthallani dalam Hadis Bukhari yang berasal daripada perkataan al-Hafizh Abi Bakr al-Burqani. Yang ada di tangan saya masih dalam bentuk manuskrip merupakan salinan Haji Ahmad Dahlan bin Muhammad Minhaj, tokoh ulama Selangor. Menurutnya disalin daripada yang pernah dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1315 H. Menurut riwayat bahawa kitab ini terdiri daripada 13 bahagian.

Selain yang ada dalam koleksi saya seperti tersebut di atas, masih terdapat karangan Syeikh Muhammad Mahfuz Termas yang ditulis oleh Sayid `Abdullah bin Shadaqah bin Zaini Dahlan, ialah sebagai berikut:

6. Al- Badrul Munir fi Qira-ati Ibni Katsir.

7. Tanwirus Shadr fi Qira-ati Ibni `Amr.

8. Insyirahul Fawaid fi Qira-ati Hamzah.

9. Ta'mimul Manafi' fi Qira-ati Nafi'.

10. Al-Fawaidut Tarmasiyah fi Asamil Qira-ati `Asyariyah, Syeikh Yasin Padang menyebut bahawa kitab ini pernah diterbitkan oleh Mathba'ah al-Majidiyah, Mekah, tahun 1330 H.

11. Is'aful Mathali' Syarhul Badril Lami'.

Masih banyak judul yang belum dapat diperkenalkan, menurut riwayat bahawa karangan Syeikh Muhammad Mahfuz Termas semuanya sekitar 20 judul atau pun lebih.

KESIMPULAN

Daripada semua yang dipaparkan di atas saya berkesimpulan bahawa daripada sekian banyak ilmu, yang paling menonjol untuk Syeikh Muhammad Mahfuz Termas ialah dalam semua bidang ilmu hadis, seumpama ilmu Dirayah Hadits atau Mushthalah Hadits, Rijal Hadits dan lain-lain. Beliau juga seorang yang hebat dalam fikah Syafi'iyah dan pelbagai jenis ilmu qiraat dan tajwidnya.
This entry was posted on 12 November 2006 at Sunday, November 12, 2006 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment