Pehin Datu Imam Haji Mokti imam terkenal Brunei  

Posted

Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

GAJAH mati meninggalkan gading, manusia bijak mati mengukir nama dalam suratan sejarah. Sejuta murid yang tidak dapat meneruskan perjuangan seorang guru adalah kurang bermanfaat. Cukup seorang murid, sekiranya ilmu dapat disebarkan dan sambung bersambung daripadanya kepada generasi berikutnya.

Dalam sejarah ramai ulama yang dapat memenuhi kategori dalam kalimat selayang pandang di atas, termasuk Datuk Haji Ahmad bin Haji Abdul Lathif, ulama Banjar di Brunei Darussalam yang telah diperkenalkan dalam halaman agama Utusan Malaysia Isnin lalu.

Pada terbitan hari ini diperkenalkan pula murid beliau, anak jati Brunei, yang nama lengkapnya Pehin Datu Imam Haji Mokti bin Nasar. Beliau dilahirkan di Kampung Burung Pingai Ayer pada tahun 1281 H/1864 M. Wafat tahun 1365 H/1946 M. Memperhatikan tahun kelahiran ini, bererti Imam Haji Mokti tahun kelahirannya sama dengan Syeikh Utsman bin Abdul Wahhab Sarawak yang juga lahir tahun 1281 H/1864 M.

Jika kita bandingkan dengan ulama dunia Melayu lainnya, bererti Imam Haji Mokti lebih muda sedikit daripada Tuan Husein Kedah yang lahir pada tahun 1280 H/1863 M dan Syeikh Abdul Hamid bin Muhammad ‘Ali Kudus, yang lahir pada tahun 1280 H/ 1863 M.

Daripada perbandingan tahun kelahiran para ulama dunia Melayu yang mendapat pendidikan di Mekah di atas, dengan pasti kita dapat menjejaki para guru Imam Haji Mokti di Mekah, iaitu guru beliau selain Datuk Haji Ahmad bin Haji Abdul Lathif Banjar seperti yang telah disebut di atas.

Dalam buku Tokoh-Tokoh Agama di Brunei Darussalam: Pengenalan Ringkas susunan Simat bin Angas, Suhaili bin Haji Hassan dan Ismail bin Haji Ibrahim dari Unit Penyelidikan, Bahagian Sejarah/Epigrafi Jabatan Muzium Brunei, Bil. 23, tahun 1992, hlm. 38, tercatat, “Selain daripada itu Pehin Datu Imam Haji Mokti juga pernah berguru dengan Syeikh Ahmad Khathib Sambas, seorang ulama dan tokoh agama yang terkenal dari Indonesia. Pehin itu belajar Tarekat Qadiriyah daripadanya....”

Walaupun dalam kalimat ini tidak dinyatakan di mana Imam Haji Mokti bertemu dan belajar daripada Syeikh Ahmad Khathib Sambas, namun dapat dipastikan ia adalah di Mekah kerana Syeikh Ahmad Khathib Sambas tidak pernah pulang ke Sambas. Juga beliau tidak pernah berkunjung ke tempat-tempat lain di Indonesia ataupun tempat-tempat lain di dunia Melayu.

Cerita Imam Haji Mokti dikatakan ‘pernah berguru dengan Syeikh Ahmad Khathib Sambas’ dan ‘belajar Tarekat Qadiriyah daripadanya’ perlu dikaji kembali kerana dalam beberapa riwayat ulama yang seangkatan dengan Imam Haji Mokti tidak berkesempatan belajar secara langsung dengan Syeikh Ahmad Khathib Sambas.

Mereka hanya belajar melalui ‘Khalifah Syeikh Ahmad Khathib Sambas’. Sebagai contoh Imam Haji Mokti belajar dengan Datuk Haji Ahmad bin Haji Abdul Lathif Banjar. Ulama yang berasal dari Banjar ini termasuk salah seorang ‘Khalifah Syeikh Ahmad Khathib Sambas’.

Dalam buku saya yang berjudul Penyebaran Thariqat-Thariqat Shufiyah Mu‘tabarah di Dunia Melayu, telah saya sebut beberapa orang murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Daripada sekian ramai murid beliau ada yang menjadi ‘Mursyid’ dan dilantik menjadi ‘Khalifah Qadiriyah-Naqsyabandiyah’. Sebagai contoh, ulama yang berasal dari Sarawak bernama Haji Abdul Lathif bin Haji Abdul Qadir Sarawak. Haji Abdul Lathif bin Haji Abdul Qadir Sarawak pernah merantau ke Pontianak, Banjar, Brunei, bahkan di seluruh Borneo/Kalimantan. Oleh sebab kedua-dua Datuk Haji Ahmad bin Haji Abdul Lathif Banjar dan Haji Abdul Lathif bin Haji Abdul Qadir Sarawak adalah murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas, bererti kedua-duanya adalah bersahabat. Imam Haji Mokti Brunei berkali-kali datang ke Pontianak dan pernah dibaiah dan ditawajjuh oleh Haji Abdul Lathif bin Haji Abdul Qadir Sarawak.

Selain itu, Imam Haji Mokti Brunei juga ada hubungan dengan beberapa murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas yang berada di Sambas, yang juga dikategorikan sebagai ‘Mursyid’. Mereka ialah Syeikh Nuruddin Tekarang, Syeikh Muhammad Sa’ad dan lain-lain. Syeikh Nuruddin Tekarang berasal dari selatan Filipina. Setelah belajar di Mekah, dia pulang ke Sambas dan meninggal pada tahun 1312 H/1894 M. Kuburnya terletak di Kampung Tekarang, Kecamatan Tebas, Kabupaten Sambas.

Saya telah tiga kali menziarahi makam ulama tersebut, selain mencatat data-data sejarah sekali gus memenuhi disiplin ilmu tarekat sufiyah bahawa seseorang ‘Syeikh Mursyid’ sangat penting diziarahi sama ada ketika masih hidup mahupun setelah mereka meninggal dunia. Syeikh Nuruddin Tekarang termasuk juga salah seorang guru Imam Haji Mokti Brunei.

Menurut riwayat, ulama jati Brunei itu berkali-kali menziarahi Syeikh Nuruddin Tekarang ketika beliau masih hidup dan juga menziarahi makamnya setelah ulama berasal dari selatan Filipina itu meninggal dunia.

Diriwayatkan pula bahawa Imam Haji Mokti Brunei adalah murid Syeikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani, ulama ini termasuk ulama Borneo/Kalimantan yang banyak menghasilkan karangan. Ulama ini adalah murid Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, iaitu Khalifah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Daripada maklumat ini dapat diambil kesimpulan bahawa Imam Haji Mokti Brunei ada hubungan keilmuan atau sanad kepada ulama-ulama yang berasal dari Patani.

Selama lebih kurang empat tahun tinggal di Mekah, diriwayatkan pula bahawa Imam Haji Mokti Brunei juga pernah belajar dengan Syeikh Muhammad bin Ismail Daudi al-Fathani, pengarang Mathla’ al-Badrain, Syeikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Wan ‘Ali bin ‘Abdur Rahman Kutan al-Kalantani, pengarang al-Jauhar al-Mauhub, Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau, dan lain-lain termasuk juga ulama bangsa Arab.

Setelah pulang daripada perantauan Imam Haji Mokti Brunei mula aktif menyebarkan agama Islam. Sebagaimana ulama tradisional lainnya pelajaran yang ditekankan ialah tajwid al-Quran, akidah atau tauhid, fiqh Mazhab Syafie dan tasawuf. Tentang tarekat shufiyah, Imam Haji Mokti Brunei sempat membai’ah dan mentawajjuhkan Tarekat Qadiriyah-Naqsyabandiyah kepada beberapa orang muridnya, di antaranya ialah Haji Muhammad bin Haji Minuddin.

Murid Imam Haji Mokti Brunei memang ramai. Dalam beberapa disiplin ilmu yang disebut, beberapa orang pembesar Brunei, bahkan Sultan Brunei juga sempat belajar dengan beliau. Antaranya Sultan Muhammad Jamalul Alam, Sultan Haji Omar Ali III, Pehin Udana Khatib Dato Paduka Awang Haji Umar bin Randah dan lain-lain.

Disebut dalam buku Tokoh-Tokoh Agama di Brunei Darussalam: Pengenalan Ringkas bahawa Imam Haji Mokti Brunei selain mengajar dan berdakwah di Kampung Burung Pingai juga berdakwah di kampung-kampung pedalaman seperti Kampung Pudak, Pulau Berbunut dan Labu Estate di Daerah Temburong. Beliau juga mengajar dan berdakwah hingga ke Padas di Sabah.

Dalam buku yang sama juga disebutkan bahawa Imam Haji Mokti Brunei pernah merantau ke Marudi dan Baram di Sarawak dan Sambas, Kalimantan Barat. Apabila disebutkan Baram, saya teringat barangkali di sana pernah ada beberapa orang ulama kerana pada zaman yang sama dengan Imam Haji Mokti Brunei pernah ditulis sebuah kitab berjudul Hidayah li al-Walad al-Walad. Pengarangnya bernama Saiyid Manshur bin Saiyid Abu Bakar al-‘Aidrus. Beliau menyebut bahawa kitab tersebut diselesaikan pada 15 Rabiulawal, hari Sabtu, 1343 H di negeri Baram.

Kekerapan Imam Haji Mokti Brunei berkunjung ke Baram di Sarawak itu dipercayai ada hubungan antara beliau dengan Saiyid Manshur bin Saiyid Abu Bakar al-‘Aidrus Baram, tetapi masih belum dapat dipastikan siapakah yang menjadi guru ataupun menjadi murid ataupun kedua-duanya hanya bersahabat.

Dengan maklumat ini, sama ada untuk menyelidiki sejarah Imam Haji Mokti Brunei mahupun Saiyid Manshur bin Saiyid Abu Bakar al-‘Aidrus Baram, seseorang diperlukan turun ke lokasi iaitu Baram di Sarawak.

Selain mengajar, Imam Haji Mokti Brunei dipercayai juga menghasilkan karya bertulis. Dalam buku Tokoh-Tokoh Agama di Brunei Darussalam: Pengenalan Ringkas dicatatkan ada empat naskhah tulisan tangan iaitu:

1. Doa-doa dan fatwa-fatwa amalan serta faedah ubat-ubatan. Khusus pada perkataan ‘faedah ubat-ubatan’, dari sini dapat kita ketahui bahawa Imam Haji Mokti Brunei juga adalah seorang peminat bidang itu. Mengenai ini perlu penyelidikan lebih lanjut, kepada siapakah beliau belajar ilmu perubatan itu? Sekiranya beliau belajar ilmu perubatan di Mekah daripada ulama Melayu, jelas pada zaman itu hanya Syeikh Ahmad al-Fathani seorang saja mengajar ilmu tersebut. Tidak ramai murid Syeikh Ahmad al-Fathani dalam bidang ilmu perubatan jika kita bandingkan dengan ilmu-ilmu lainnya.

2. Salasilah Tarekat Qadiriyah yang dimulai dari beliau naik kepada Datuk Haji Ahmad bin Abdul Lathif Banjar, naik kepada Syeikh Ahmad Khathib Sambas dan seterusnya sama dengan yang termaktub dalam Fat-h al-'Arifin yang telah berulang-ulang kali diterbitkan.

3. Catatan kejadian wabak cacar di Brunei Darussalam pada tahun 1290 H dan tahun 1322 H.

4. Riwayat dan nasihat Luqman al-Hakim berserta ulasan beliau.

Dalam artikel ini saya sebutkan tentang ziarah ke makam. Oleh sebab dalam perkembangan mutakhir tentang Islam di dunia Melayu ada golongan yang membidaah dan mengkhurafatkannya, maka dirasa perlu saya memberi sedikit ulasan dan pandangan. Saya mengakui dalam konteks ziarah makam atau kubur ada yang mengikut syarak dan ada pula terkeluar daripada ajaran Islam. Ini adalah berdasarkan pengetahuan seseorang yang melaksanakan ziarah itu.

Ziarah ke makam atau kubur yang betul menurut syarak sekurang-kurangnya ada dua disiplin. Disiplin secara umum ialah dengan mengucapkan salam dan membaca surah al-Ikhlas 11 kali, atau lainnya sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.. Disiplin khusus yang dilakukan oleh golongan ahli sufi, ziarah makam atau kubur golongan ini mempunyai adab-adab yang tersendiri.

Upacara ziarah makam atau kubur kenegaraan yang dilakukan oleh kebanyakan negara di dunia sekarang ini, termasuk negara-negara yang dipimpin oleh orang-orang Islam, didominasi oleh adab-adab yang bukan daripada ajaran syariat Islam.

Sebagai contoh, menghadap ke makam atau kubur dengan berdiri, menghentakkan kaki kemudian hormat kepada makam atau kubur dengan mengangkat tangan kanan dan lain-lain.

Yang saya sebutkan di atas adalah sebagai contoh saja. Walau bagaimanapun saya berpandangan dan berpendirian bahawa disiplin apa pun juga yang kita jalankan perlulah kembali kepada yang dibenarkan oleh syariat Islam.

Sesuatu perlaksanaan duniawi yang bertentangan dengan syariat Islam adalah wajib ditinggalkan. Apa jua bentuk kedurjanaan terhadap Allah dan Rasul-Nya marilah kita cuba mengurangkannya, dan selanjutnya berusaha menghapuskannya sama sekali.
This entry was posted on 12 November 2006 at Sunday, November 12, 2006 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment