Saiyid Abdullah Al-Ghadamsi sebarkan ilmu dari Libya ke Malaysia  

Posted

Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

RUANGAN Agama Utusan Malaysia telah menyiarkan 110 rencana mengenai ulama. Semua ulama yang diriwayatkan berasal dari dunia Melayu. Ulama ke-111 yang dibicarakan sekarang merupakan ulama yang berasal dari dunia luar. Beliau berasal dari Libya, tetapi telah menabur jasa dan keharuman peribadi di Malaysia khususnya dan dunia Melayu umumnya.

Pada 10 April 2006, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) dan World Islamic Call Society (WICS), Libya mengadakan Nadwah Ilmiyyah 2006 bertemakan Syeikh Abdullah Al-Ghadamsi (Al-Maghribi): Peranannya Dalam Pendidikan Islam Di Tanah Melayu. Ia diadakan di Hotel Marriot, Putrajaya.

Saya membentangkan salah satu daripada 10 kertas kerja seminar itu. Kertas kerjanya berjudul Saiyid Syeikh Abdullah Al-Maghribi: Penulisan dan Penyebaran Ilmu. Kertas kerja tersebut saya ringkaskan dalam rencana ini dan ditambah beberapa maklumat yang dianggap penting setelah mengikuti semua pembentangan pada seminar itu. Sebelum saya memasuki pokok perbicaraan perlu juga saya membuat sedikit penilaian bahawa masih banyak terdapat perselisihan pendapat dalam penulisan terutama tentang tahun-tahun aktiviti Syeikh Abdullah Al-Ghadamsi.

Sesuatu yang bersifat andaian lebih menguasai daripada yang bercorak data dan fakta yang konkrit. Tiga tokoh yang dikemukakan sebagai tokoh islah ialah Syed Sheikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin dan Syeikh Abdullah Al-Maghribi. Ketiga-tiga mereka sering dibicarakan. Pada pandangan saya kajian secara menyeluruh, adil, ilmiah, berfakta dan tidak berpihak perlu dibuat dalam penilaian, terutama dalam menilai dua golongan ketika itu iaitu Kaum Tua dan Kaum Muda (islah atau tajdid).

PENGENALAN RINGKAS

Nama lengkap ulama yang diperkatakan ini ialah Saiyid Syeikh al-Qadhi Abu Jabir Abdullah bin Ahmad bin Ibrahim bin Muhammad bin Abdullah bin Ahmad bin Muhammad al-Qairuani al-Balawi al-Ghadamsi al-Maghribi. Nama ringkas ialah Saiyid Abdullah al-Maghribi saja. Beliau dilahirkan di Ghadamas, tahun 1310 H/1892 M (mengikut Dr. Adel Muhammad Abdul Aziz dalam satu kertas kerja bertarikh 10 April 2006, hlm. 3). Ada riwayat lain menyebut beliau lahir di Tripoli. Wafat di Mekah pada waktu Maghrib, 7 Ramadan 1395 H atau 12 September 1975. Sejak kecil telah berpindah ke Mekah. Antara gurunya selama di Mekah ialah Syeikh Ahmad bin Ali an-Najjar (lahir di Thaif, 1272 H/1856 M, wafat 1347 H/1928 M).

Menurut Syeikh Umar Abdul Jabbar, guru bagi Syeikh Ahmad bin Ali an-Najjar ialah Syeikh Rahmatullah bin Khalilur Rahman al-Hindi al-Utsmani (lahir 1226 H/1811 M, riwayat lain lahir Jumadil Awwal 1233 H/9 Mac 1818 M, wafat malam Jumaat, 22 Ramadan 1308 H/2 Mei 1891 M). Syeikh Rahmatullah ialah pengasas Madrasah ash-Shaulatiyah di Mekah. Pada penelitian saya berdasarkan sanad nampaknya tertinggal satu nama yang tidak disebut oleh Syeikh Umar Abdul Jabbar. Syeikh Ahmad bin 'Ali an-Najjar bersama-sama Syeikh Ahmad al-Fathani berguru kepada Syeikh Abdul Qadir asy-Syibli ath-Tharablusi. Sesudah ulama Libya ini barulah naik kepada Syeikh Rahmatullah al-Hindi itu. Syeikh Ahmad bin Ali an-Najjar juga belajar kepada Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan.

Memperhatikan tahun lahir Syeikh Ahmad bin Ali an-Najjar (1272 H/1856 M) bererti ia sama dengan tahun lahir Syeikh Ahmad al-Fathani (1272 H/1856 M), kedua-duanya sama-sama belajar kepada Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan (lahir 1232 H/1816 M, wafat 1304 H/1886 M). Kemungkinan Saiyid Abdullah al-Maghribi juga pernah belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani atau ulama-ulama dunia Melayu di Mekah lainnya.

Untuk lebih memperkuatkan hujah, sekiranya beliau tidak belajar kepada ulama dunia Melayu kepada siapakah beliau belajar bertutur bahkan dapat menulis dengan menggunakan bahasa Melayu? Hal ini memerlukan penelitian kepada pelbagai sumber. Oleh sebab Saiyid Abdullah al-Maghribi pernah belajar di Madrasah ash-Shaulatiyah, Makkah, kemungkinan beliau juga pernah belajar kepada Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani yang pernah mengajar di madrasah itu sebelum beliau menjadi Syeikh al-Islam di Selangor.

Banyak pertikaian pendapat tentang riwayat kedatangan dan tahun Saiyid Abdullah al-Maghribi berhijrah ke Pulau Pinang. Ada riwayat menyebut bahawa beliau sampai di Pulau Pinang pada 1918 M. Riwayat yang lain pula menyebut setahun kemudian, iaitu tahun 1919 M. Ada juga riwayat yang menyebut bahawa pada tahun 1919 M itu juga beliau dilantik menjadi mudir di Madrasah al-Masyhur al-Islamiyah (Abdul Rahman Al-Ahmadi, dalam Tamadun Islam di Malaysia, DBP, 2000, hlm. 489) di Tek Soon Street, Pulau Pinang menggantikan tempat Saiyid Syeikh al-Hadi.

Riwayat yang lain pula menyebut bahawa beliau menjadi mudir di madrasah tersebut pada 1921 M (Abdul Rahman Al-Ahmadi, hlm. 489) hingga 1927 M (Abdul Rahman Al-Ahmadi, dalam Tamadun Islam di Malaysia, DBP, 2000, hlm. 492). Tetapi dalam majalah ar-Raja' terbitan 23 Syawal 1343 H/19 Mei 1925 pada halaman 7 dan 15 terdapat maklumat bahawa pada tahun terbitan ar-Raja' itu mudir madrasah tersebut ialah Syeikh Abbas Rafi'.

Pada 1927 M saat-saat sewaktu akan pindah ke Perak, Saiyid Abdullah al-Maghribi mengasaskan organisasi Jam'iyah Al-Khalifah Syarif Husein yang bertujuan menyokong kekhalifahan Syarif Husein Raja Mekah yang mulai tergugat setelah kejatuhan Turki Uthmaniah. Tidak sampai setahun Saiyid Syeikh Abdullah al-Maghribi mengajar di Madrasah Idrisiah Bukit Chandan, Perak, pada 1928 M beliau terpaksa berpindah kerana fahaman agama Islam yang dibawanya dianggap termasuk golongan Kaum Muda sedangkan di madrasah tersebut masih ramai yang faham sangat tentang selok-belok Kaum Tua.

Informasi yang lain menyebut bahawa Madrasah Idrisiah Bukit Chandan, Perak itu diasaskan oleh Saiyid Abdullah al-Maghribi dan beliau menjadi mudir madrasah itu (1928-1932 M). Pada tahun 1934 M didirikan pula Madrasah ad-Diniyah di Kampung Lalang di Perak. Selanjutnya pada 1935 M Saiyid Abdullah al-Maghribi mengasaskan madrasah sendiri yang dinamakan Madrasah Al-Huda di Pulau Pinang.

PENULISAN

Bagi saya, pengesanan awal ketokohan seseorang sama ada ia berasal dari dunia Melayu sendiri ataupun dari luar adalah melalui penulisannya. Demikianlah juga dengan ulama yang sedang dibicarakan ini.

Pertama kali saya mengetahui nama beliau adalah melalui sebuah karya yang berjudul Kitab Munir al-Afham Pada Menyatakan Syarah Bulugh Al-Maram (jilid 1). Tidak terdapat tahun penulisan. Dicetak oleh Al-Huda Press, 27, Cholia Street, Penang. Dicatatkan, ‘Telah didaftar di bawah nombor 873-1211-1936’. Dalam kitab tersebut ada dicatatkan maklumat ringkas tentang pengarangnya sebagai berikut: ‘Al-Allamah al-Fadhil wa al-Muhaqqiq al-Kamil Tuan Syeikh Abdullah al-Maghribi, seorang daripada ulama Mekah al-Mukarramah dan tuan empunya Madrasah al-Huda ad-Diniyah bagi laki-laki dan perempuan’.

Pada halaman akhir diiklankan dua buah karya ulama tersebut iaitu Kitab Pada Menyatakan Tafsir al-Quran dan Kitab Pada Menyatakan Perjalanan Nabi s.a.w.. Tanpa melengah-lengahkan masa tentang data kitab tersebut, saya catat nota dalam buku yang sedang saya susun iaitu Katalog Besar Persuratan Melayu. Kandungan garis besarnya berdasarkan katalog yang saya tulis itu yang membicarakan segala dalil-dalil hukum syariat agama Islam bagi mazhab yang empat daripada hadis-hadis Nabi s.a.w.

Daripada maklumat di atas dapat diambil kesimpulan bahawa Saiyid Abdullah al-Maghribi adalah berbangsa Arab tetapi berkemampuan menulis dalam bahasa Melayu yang berkembang pada zaman itu. Yang dibicarakan dalam penulisan tersebut adalah mengenai hadis, iaitu syarah kitab Bulugh Al-Maram karya Syeikh Ibnu Hajar al-Asqallani. Selain menulis tentang hadis, ulama Arab kelahiran Libya tersebut juga menulis tafsir al-Quran dan sirah Nabi Muhammad s.a.w. juga dalam bahasa Melayu. Menerusi maklumat yang lain nampaknya beliau tekun dan rajin mengikuti perkembangan penulisan dalam bahasa Melayu kerana aktif dalam PASPAM (Persaudaraan Sahabat Pena Melayu). Dalam beberapa terbitan PASPAM terdapat tulisan beliau.

Beberapa tulisan dan pendapat yang menyebut bahawa Madrasah al-Masyhur al-Islamiyah didirikan atau ditubuhkan oleh Saiyid Sheikh al-Hadi pada 1919 M perlu diselidiki kembali. Saya lebih menyetujui pendapat yang menyebut bahawa Saiyid Sheikh al-Hadi mereformasikan madrasah yang tersebut.

Berdasarkan informasi yang telah ditulis orang, institusi tersebut telah wujud sejak 1914 M dan dinamakan demikian kerana mengambil sempena nama Saiyid Ahmad al-Masyhur, iaitu salah seorang ahli jawatankuasa madrasah tersebut yang besar pengaruhnya di Pulau Pinang. Daripada bahan yang belum saya jumpai dalam penulisan, tetapi cerita yang bersambung daripada salah seorang keturunan murid dan anak angkat pendiri madrasah tersebut, dia menyebut bahawa Madrasah al-Masyhur al-Islamiyah Pulau Pinang adalah didirikan oleh orang-orang Arab.

Yang terpenting di antara pendirinya ialah ulama bernama Syeikh Muhammad Yusuf al-Manshuri al-Faqih al-Makki. Barangkali beliau inilah yang dimaksudkan oleh Prof. Dr. Mohd. Sarim Mustajab dalam kertas kerjanya (10 April 2006, hlm. 2) bahawa di antara 20 orang yang hadir dalam mesyuarat pada 13 Rejab 1332 H/7 Jun 1914 M, terdapat nama Syed Manshuri. Setelah merintis jalan dan mengajar di madrasah di Pulau Pinang, Syeikh Muhammad Yusuf al-Manshuri selanjutnya mendirikan sebuah madrasah yang dinamakan Madrasah Dar-al-Falah di Sungai Bakau Besar, Mempawah, Kalimantan Barat.

Madrasah

Seterusnya, Syeikh Muhammad Yusuf al-Manshuri al-Faqih al-Makki mendirikan pula madrasah di Batu Raja, Palembang, Sumatera Selatan. Diriwayatkan pula bahawa bentuk bangunan Madrasah al-Masyhur al-Islamiyah di Pulau Pinang, Madrasah Dar al-Falah di Sungai Bakau Besar, Mempawah, Kalimantan Barat dan Madrasah Batu Raja di Palembang, Sumatera Selatan adalah serupa.

Sebelum tahun 1930-an Syeikh Muhammad Yusuf al-Manshuri membawa beberapa anak angkat dan murid beliau dari Kalimantan Barat ke Madrasah Batu Raja, Palembang dan seterusnya ke Madrasah al-Masyhur di Pulau Pinang. Baik yang berasal dari Mempawah mahupun yang berasal dari Palembang ramai yang mengikut Syeikh Muhammad Yusuf al-Manshuri kerana semua mereka akan diberi latihan khusus di Madrasah al-Masyhur di Pulau Pinang.

Menurut riwayat, ketika itu Saiyid Abdullah al-Maghribi masih mengajar di madrasah tersebut. Antara yang ikut dalam rombongan Syeikh Muhammad Yusuf al-Manshuri ketika itu ialah Haji Sulaiman bin Sa'ad. Haji Sulaiman bin Sa'ad setelah pulang dari Pulau Pinang mendirikan sebuah madrasah di Sungai Sahang dan Sungai Cina (nama sekarang Nusapati). Madrasah tersebut dinamakan Madrasah Taufiqiyah yang masih aktif sampai sekarang. Sumber ini diperoleh dari Mempawah yang saya yakin kerana ada beberapa bukti. Saya sendiri sempat mengajar di Madrasah Taufiqiyah pada 1972 hingga 1974.
This entry was posted on 12 November 2006 at Sunday, November 12, 2006 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

2 comments

Assalamualaikum,nama saya Devi Mandala bin Wan Mahdi bin Hasan bin Muhammad Yusuf al-Manshuri,saya sedang mencari tahu tentang Muhammad Yusuf al-Manshuri,bila ada artikel ataupun cerita tentangnya saya mohon untuk diberitahukan ke email saya devim2006@yahoo.co.id terima kasih

September 17, 2007 at 8:50:00 PM PDT

salam..
saya berminat untuk mengetahui tentang latar belakang tokoh syeikh abdulah almaghribi ini.bolehkah berikan rujukan yagng boleh dirujuki?

July 22, 2009 at 9:48:00 AM PDT

Post a Comment