Tengku Muhammad al-Fathani - Ulama besar Jambi  

Posted

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH


DI DALAM Ruangan Agama, Akhbar Utusan Malaysia, terbitan hari Isnin, 22 Mac 2004, Seksyen 3 halaman 9, disiarkan tentang Tengku Mahmud Zuhdi, Syaikhul Islam Selangor. Hari ini diperkenalkan pula anaknya yang juga seorang ulama besar dan sangat terkenal di Jambi, Sumatera. Apabila bercerita mengenai ulama ini, sekurang-kurangnya akan menyentuh hubungannya dengan Jambu di Patani, Mekah, Selangor dan Jambi. Terutama dua nama yang hampir serupa, iaitu Jambu dan Jambi. Hubungan kedua-dua Kerajaan Jambu dan Kerajaan Jambi telah wujud sejak lama tetapi belum pernah diungkapkan oleh para penulis. Sampai penghujung abad ke-19, banyak berlangsung perkahwinan antara orang Jambu dengan orang Jambi.

Nama lengkapnya ialah Kiyai Haji Tengku Muhammad bin Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahman bin Tuanku Nur bin Raja Belat Ibnu Raja Datu al-Fathani al-Jawi. Beliau dilahirkan di Mekah pada tahun 1323 H/1905 M. dan meninggal dunia di Jakarta pada hari Ahad, 5 Muharam 1397 H/26 Disember 1976 M. Jenazahnya diterbangkan ke Jambi dan dikebumikan di Jambi.

PENDIDIKAN

Tengku Muhammad al-Fathani al-Jambi mendapat pendidikan Islam tiga sistem, iaitu pendidikan Islam tradisional Patani, pendidikan Islam tradisional mengikut tatacara orang Arab Mekah, dan pendidikan Islam persekolahan. Pendidikan Islam tradisional sistem hafalan cara Patani dibimbing oleh ayahnya, Tengku Mahmud Zuhdi sendiri dan beberapa orang ulama Patani yang berada di Mekah pada zaman itu.

Sistem pendidikan Islam tradisional Patani adalah secara hafalan matan dan sekali gus menghuraikan setiap perkataan dan baris kalimat dalam matan dengan cermat dan terperinci. Setiap perkataan ditimbang dengan timbangan sharaf, sedang kalimat dirujuk kepada nahwu. Sistem pendidikan Islam tradisional Arab Mekah ialah penekanan hafalan al-Quran dan hadis tanpa huraian yang mendalam. Selain itu mendengar guru membaca kitab, terutama kitab-kitab hadis dengan bacaan cepat, tanpa terikat dengan tanda baca, seperti koma atau pun titik. Sistem ini lebih mementingkan banyak jumlah kitab yang ditamatkan dan mengambil berkat daripada seseorang ulama.

Oleh sebab Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani adalah salah seorang guru di Madrasah Shaulatiyah, maka anaknya Tengku Muhammad dimasukkan ke madrasah tersebut. Madrasah Shaulatiyah adalah sebuah sekolah agama Islam di Mekah yang didirikan oleh orang India, dan pada zaman itu ia merupakan sekolah paling popular. Sistem pendidikannya adalah gabungan persekolahan cara moden dan sistem pendidikan Islam tradisional India. Daripada semua yang telah diungkapkan di atas, dapatlah dipastikan bahawa pada diri Tengku Muhammad tergabung pelbagai sistem pendidikan Islam. Oleh itu cara beliau mengajar dan berdakwah mempunyai gaya tersendiri.

AKTIVITI

Pada tahun 1929 beliau berpindah dari Jambi ke Selangor bersama anaknya, Tengku Muhammad. Selain membantu kerja-kerja ayahnya berkhidmat kepada Sultan Sulaiman, Sultan Selangor, Tengku Muhammad mendapat pendidikan khusus dalam segala bidang, sama ada kepentingan ukhrawi mahu pun duniawi. Oleh itu Tengku Muhammad adalah seorang ulama yang memahami liku-liku pentadbiran.

Untuk menjejaki riwayat Tengku Muhammad, penulis telah mewawancara ramai personaliti, dimulai dari Kelang, Selangor menemui Tengku Abdul Hamid, saudara kandungnya (1972), ke Jambu menemui Imam Tengku Haji Ahmad, juga saudaranya dan ramai lagi. Bulan Disember 1985 penulis mula menjelajah dari Tanjung Pinang ke Tembilahan dan ke Kuala Enok. Mulai Tembilahan ke Kuala Enok dan seterusnya ke Jambi, penulis hampir maut dipukul ribut kerana menumpang sebuah bot laju. Di sini penulis sempat berjumpa salah seorang rakan seperjuangan Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani, Haji Juneid Kasang (tahun 1985, berusia 124 tahun) yang berasal dari Ngabang, Kalimantan Barat. Daripada beliau banyak diperoleh pelbagai maklumat.

Sebab-sebab Tengku Muhammad bin Tengku Mahmud Zuhdi berpindah dari Kelang, Selangor ke Jambi ialah kerana masyarakat Islam Jambi memohon kepada Tengku Mahmud Zuhdi, Syeikh al-Islam dan Sultan Sulaiman, Sultan Selangor, agar Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani kembali ke Jambi. Sultan Sulaiman tetap mempertahankan Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani tinggal di kerajaan Selangor, namun baginda tidak mahu mengecewakan kehendak rakyat Jambi, maka sebagai gantinya baginda bersetuju agar Tengku Muhammad, anak Tengku Mahmud Zuhdi sahaja yang berangkat ke Jambi.

Di Jambi beliau dikenali dengan nama Kiyai Haji Muhammad Mahmud Zuhdi dan digelar dengan Ulama Jubah Hitam. Beliau diberi gelaran demikian kerana mempunyai disiplin tersendiri, iaitu dalam urusan-urusan tertentu dengan pakaian yang rapi dan mencerminkan seorang ulama yang berwibawa dan hebat. Beliau memakai serban dan jubah hitam yang khusus. Dalam upacara biasa atau sewaktu mengajar dan berdakwah, beliau juga memakai jubah hitam tetapi agak berbeza dengan upacara-upacara besar, rasmi dan tertentu.

Sekitar tahun 1930, Tengku Muhammad mulai memimpin Madrasah Sa'adatud Darain, Kampung Tahtul Yaman, iaitu sebuah sekolah agama Islam yang diasaskan oleh Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani sebelum beliau pindah ke Kelang, Selangor. Sekolah tersebut terpaksa ditutup pada tahun 1941 kerana darurat perang dunia yang kedua (1939 - 1945).

Tengku Muhammad pernah mengasaskan satu pertubuhan yang dinamakan Azzuhdiyah di Tanjung Pinang, Jambi (bukan Tanjung Pinang, di Kepulauan Riau). Pertubuhan tersebut ditangani beliau sampai akhir hayatnya. Memperhatikan pada nama Azzuhdiyah, dapat dipastikan bahawa ada hubungan dengan Tengku Mahmud Zuhdi, Syeikh al-Islam Selangor.

Menurut banyak sumber, Tengku Muhammad adalah seorang ulama besar bukan dalam lingkungan Jambi sahaja tetapi termasuk tempat rujukan ulama Sumatera, bahkan ulama Indonesia. Dalam perkara-perkara penting yang melibatkan keIslaman, beberapa ulama dan pemimpin Indonesia datang menemui beliau di Jambi atau beliau diterbangkan ke Jakarta. Bukan setakat itu, beliau juga ada hubungan dengan ulama-ulama peringkat antarabangsa terutama ulama Mekah. Oleh itu beliau sering ke Mekah, terutama pada musim haji. Tengku Muhammad seorang yang sangat aktif menyampaikan ceramah dalam kota Jambi, Jakarta dan beberapa tempat lain, termasuk di Mekah. Jika beliau memberikan ceramah di Mekah atau di Asia Barat di kalangan para cendekiawan, beliau menggunakan bahasa Arab. Beliau lebih fasih berbahasa Arab jika dibandingkan dengan bahasa Melayu.

PENULISAN

Walaupun hasil karya Tengku Muhammad tidak sebanyak karya ayahnya, Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani, namun dapat dicatatkan bahawa beliau termasuk golongan ulama yang sempat menghasilkan karya yang menjadi tatapan dan mempengaruhi pemikiran para muridnya. Antara risalah untuk amalan dan pegangan peminat-peminat beliau yang disebarkan ketika beliau berceramah ialah: Munajat Sebelum Fajar (14 Mei 1966), I'tiqad Ahlis Sunnah wal Jamaah (10 Julai 1968), Al-Wasilah (Mekah al-Mukarramah, 16 Muharam 1389 H/3 April 1969 M) dan lain-lain. Selain berupa risalah yang tersebut, terdapat beberapa buah kitab yang diterbitkan oleh Al-Ahmadiah, Singapura, tahun 1930an. Kitab yang dapat dikesan ialah Badi'uz Zhuhur.

Antara pesanan Tengku Muhammad yang ringkas tetapi mantap, katanya, ``Ingin selamat, bersihkan diri daripada maksiat. Ingin berjiwa luhur, munajatlah waktu sahur.''

KETURUNAN

Penulis datang ke Jambi menemui keluarga ini dua kali, iaitu pada Disember 1985 dan tahun 1986. Penulis dilayan dengan baik oleh mereka. Beberapa malam penulis tidur di rumah Tengku Muhammad di Kampung Tahtul Yaman. Rumah tersebut dihuni oleh anaknya yang bernama Zakaria bin Tengku Muhammad. Kedatangan penulis yang kedua di Jambi, Zakaria memperoleh seorang cucu daripada anak perempuannya. Menantunya bernama Mirza. Ketika pasangan itu mendapat anak, Mirza dan ayah mentuanya, Zakaria meminta supaya anak yang dilahirkannya itu diberikan kepadanya. Selain Zakaria ada lagi seorang anak Tengku Muhammad yang sempat penulis jumpa.

Salah seorang anak perempuan Tengku Muhammad berkahwin dengan seorang pegawai bank kerajaan di Aceh. Sungguhpun penulis banyak mencatat pelbagai sejarah, namun tidak terlepas daripada kelalaian, kerana sibuk mencatat hal-hal lain sehingga nama anak-anak Tengku Muhammad bin Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani tidak terdapat dalam catatan penulis. Nama Zakaria dan Mirza tersebut itu pun hanya ada dalam ingatan, mohon maaf sekiranya terjadi kekeliruan ingatan.

MENINGGAL DUNIA

Di dalam akhbar Ampera No. 129, Tahun ke-VIII, Selasa 28 Disember 1976 tertulis, ``Seorang Tokoh Agama Islam yang terkenal di Jambi Guru Zuhdy, hari Minggu 26 Disember tutup usia di Jakarta. Almarhum singgah di Jakarta dalam perjalanan kembali ke Jambi dari Tanah Suci Mekah. Jenazah Tokoh Islam Jambi itu, Senin kemaren tiba di lapangan Palmerah dengan pesawat terbang milik National Air Charter. Ribuan masyarakat termasuk sejumlah besar pegawai pemerintah di sini menyambut di lapangan terbang. Dari Palmerah jenazah dibawa ke Mesjid Raya Jambi untuk disembahyangkan ... ``

Beliau meninggal dunia tanpa menghidap sebarang penyakit. Pada malam dan Subuh hari meninggalnya, beliau masih sempat memberi nasihat.
This entry was posted on 12 November 2006 at Sunday, November 12, 2006 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment