Sultan Zainal Abidin III - Umara bertaraf dunia  

Posted

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah


SULTAN Zainal Abidin III, Sultan Terengganu, diakui oleh beberapa orang ulama Mekah dan para cerdik cendekiawan bahawa baginda adalah di antara Sultan Melayu yang paling alim dan ahlil ilmi pada zamannya. Dua ulama yang berasal dari dunia Melayu di Mekah yang paling dekat dan menjadi rujukan pelbagai masalah baginda, ialah Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani (Syeikh Nik Mat Kecik) dan Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Sesuatu permasalahan yang sukar diselesaikan oleh Sultan Zainal Abidin III akan sentiasa dirujuk kepada kedua-dua ulama di Mekah itu. Kadang-kadang dengan cara mengirim surat atau adakalanya mengirim utusan yang khusus. Sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani datang ke Kota Bharu, Kelantan, Sultan Zainal Abidin III berserta beberapa pembesar Terengganu datang menjemput beliau supaya sudi mengunjungi Kuala Terengganu. Syeikh Ahmad al-Fathani telah menggubah puisi 33 bait dalam bahasa Arab yang bercorak memuji Sultan Zainal Abidin III yang diiringi dengan pengharapan agar baginda memperkukuh kedudukan agama Islam, bahasa dan bangsa Melayu, diiringi pula sejarah bangsa Melayu yang lengkap. Sultan Zainal Abidin III yang dibicarakan ini lahir pada 1281 H/1865 M dan mangkat hari Selasa, 22 Safar 1337 H/26 November 1918 M.

Sekurang-kurangnya terdapat dua buah puisi mengenai Sultan Zainal Abidin III. Satu lagi ialah dalam judul Syair Tuan Hampris karya Hajah Wok Aisyah binti al-Haji Nik Idris Terengganu yang dikarang jauh kemudian daripada puisi Syeikh Ahmad al-Fathani. Pada beberapa bait ada persamaan maksudnya. Sebagai contoh beberapa bait untuk perbandingan dapat disemak di bawah ini:

Puisi Syeikh Ahmad al-Fathani

``Itulah Sultan Terengganu, Raja yang berani

Bermurah, dan bertuah.'' (bait yang ke-11)

Syair Tuan Hampris pula,

``Negeri khabarnya itu

seorang raja memerintah tentu

adil dan murah bukan suatu

sangatlah alim paduka ratu.'' (bait yang ke-18)

``Perangainya halim tangannya murah

sekalian kasih memandang wajah ... `` (bait yang ke-22, dua baris awal)

Kesimpulannya daripada petikan kedua-dua puisi di atas ialah memunculkan watak Sultan Zainal Abidin III itu sebagai seorang yang pemurah. Mengenai sifat pemurah itu disebut oleh Syeikh Ahmad al-Fathani pada bait yang lain, iaitu bait yang ke-8, katanya,

``Bagaikan laut, pemurah tiada tepi

Bagaikan hujan, penolong tiada beza

Memberi sebelum diminta.''

Watak seorang sultan yang berilmu pengetahuan juga terdapat pada Syair Tuan Hampris, disebut juga oleh Syeikh Ahmad al-Fathani pada bait ke-12 dan 13, katanya,

``Raja yang agung lagi bijaksana

Pandai mentadbir

Banyak berilmu

Petunjuk jalan bahagia.

Kemuncak usahanya ialah menggali ilmu, menyelami makrifah

menunjuk jalan hidayah.''

Pada Syair Tuan Hampris yang sama maksudnya dengan puisi di atas terdapat pada bait yang ke-20, 21 dan 22, iaitu:

``Rajanya alim lagi jauhari

kitab Quran sangat pelajari

alimnya tidak lagi terperi

termasyhurlah khabar ke sana ke mari.

Saleh dan warak lagi pendeta

bijak laksana jangan lagi dikata

masyhurlah khabar di dalam warta

di alam Melayu sekalian rata.

Perangainya halim tangannya murah

sekalian kasih memandang wajah

cukup fahamnya ilmu Arabiyah

baginda nan gemar ilmu falakiah.''

Setelah kita membandingkan beberapa contoh di atas yang perlu diberi ulasan ialah pada Bahagian II. Bahagian ini merupakan pujian khusus untuk Sultan Zainal Abidin III, kerana ia mengandungi unsur sejarah dan asal-usul Sultan Terengganu. Ada tiga bait yang perlu dibicarakan di sini, iaitu pada bait yang ke-18, 19 dan 20 ialah:

``Baginda adalah orang yang mulia,

bahkan kemuliaan itu, warisan daripada datuk neneknya keturunan mulia dari dahulu sampai sekarang.

Memang raja putera raja

Keturunan yang mempunyai rantai kemuliaan yang tiada pernah putusnya

Keturunan Saidina Ali

Saiyid anak Saiyid

Keturunan yang tak melahirkan,

kecuali hanya kemuliaan.''

Pada bait yang ke-18 dan 19, Syeikh Ahmad al-Fathani menyatakan bahawa baginda adalah seorang raja yang mulia yang diwarisi daripada datuk neneknya. Yang diriwayatkan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani ini adalah benar, namun walau bagaimana pun silsilah yang telah ditemui masih terdapat perbezaan pendapat. Yang disebut oleh Syeikh Ahmad al-Fathani pada bait di atas relevan dengan tulisan Haji Muhammad Salleh bin Haji Awang (MISBAHA) dalam bukunya, Mengkaji Sejarah Terengganu, jilid ke-2, beliau menulis, ``... maka Tun Zainal Abidin Paduka Maharaja ialah Sultan yang pertama dilantik bagi negeri Terengganu, keturunan beliaulah Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan Terengganu memerintah hingga ke hari ini bagi negeri Terengganu dan jajahan takluknya. Yang demikian jadinya keturunan Sultan Zainal Abidin itu Kerabat-Kerabat Diraja Terengganu kiranya disusuli sehingga kepada Bendahara Melaka yang pertama Tun Perpatih Besar (bapa saudara Sultan Muhammad Syah) sudah turun temurun dari semenjak kurun Masihi yang keempat belas lagi. Sultan Zainal Abidin ini adalah seorang daripada putera Bendahara Paduka Raja Abdul Majid Bendahara Padang Saujana, Bendahara Johor yang kesembilan belas, lahir di Johor kira-kira pada tahun 1089 Hijrah ...''

Puisi Syeikh Ahmad al-Fathani pada bait yang ke-25 dan ke-26 adalah penting untuk ditafsirkan. Namun di sini saya mulai daripada bait yang ke-24, maksudnya ialah:

``Dan yang lebih besar lagi, aku berharap,

semoga baginda berkenan menyuruh ulama dan cendekiawan yang memahami petunjuk

Agar mereka dapat membukukan bahasa Melayu

Kerana aku bimbang ia akan hilang atau dirosak oleh perubahan yang berlaku dari masa ke masa

Begitu pula hendaklah mereka itu mengarang Sejarah Melayu yang meliputi segala perihal Melayu

Kalau tidak, mereka nanti akan hilang, dalam lipatan sejarah.''

BUDI BAHASA

Surat menyurat antara Sultan Zainal Abidin III dengan Syeikh Ahmad al-Fathani sesuai dijadikan contoh `budi bahasa' untuk persuratan. Setelah Syeikh Ahmad al-Fathani menerima sepucuk surat daripada Sultan Zainal Abidin III lalu beliau menjawabnya. Di antara kalimat-kalimat yang halus, lunak dan berkesan, kata beliau, ``Bahawasa marqum yang mulia, yang Hadhrat Duli Tuanku kurnia kepada patik itu, telah patik sambuti akan dia, serta junjung ihtiram dan syukur''. Maksud-nya bahawa surat daripada sultan itu adalah surat mulia, oleh itu Syeikh Ahmad al-Fathani memandang perlu mencurahkan rasa hormat (ihtiram) dan rasa terima kasih terhadap sultan, itulah maksud perkataannya ``serta junjung ihtiram dan syukur''.

Syeikh Ahmad al-Fathani membangsakan surat Sultan Zainal Abidin III kepada beliau itu sebagai `nuran lil bashar wa syifa-an lima fish sadhri', mengandungi maksud `cahaya bagi pandangan mata dan ubat bagi penyakit yang tersembunyi di dalam hati'. Sepintas kilas jika kita perhatikan kalimat Syeikh Ahmad al-Fathani nampaknya beliau merendah diri, namun dalam masa yang sama ada sasaran untuk kepentingan memartabatkan Islam dan bangsa Melayu sebagaimana kata beliau, ``Dan dilimpahi dengan nikmat, dan rahmat, dan kekayaan, yang ada padanya berkat yang memberi manfaat bagi agama Islam. Dan terangkat dengan dia oleh sebutan jenis Melayu''. Jika kita tafsirkan sepotong pertama kalimatnya, iaitu ``... dan kekayaan, yang ada padanya berkat yang memberi manfaat bagi agama Islam''.

Walau pun surat Syeikh Ahmad al-Fathani itu ditujukan kepada Sultan Zainal Abidin III tetapi sasarannya boleh saja kepada semua sultan, semua pemimpin yang beragama Islam, semua orang Islam (Muslim/ Muslimat) yang memiliki `kekayaan'. Pada pandangan Syeikh Ahmad al-Fathani, `kekayaan' tiada bererti sekiranya pemiliknya tiada memanfaatkannya untuk kepentingan agama Islam. Jika menggunakan perkataan yang kasar atau `tidak berbudi bahasa', bahawa `Raja atau pemimpin yang beragama Islam yang memiliki kekayaan, yang kekayaan itu tiada manfaat bagi agama Islam, maka raja atau pemimpin itu adalah tidak bertanggungjawab terhadap Islam'.

Kalimat ini pun masih lunak, kerana masih banyak bahasa yang lebih kasar daripada itu, boleh saja dianggap sebagai `bakhil', `kedekut' dan lain-lain sejenisnya. Pada sepotong kalimat keduanya pula, iaitu ``Dan terangkat dengan dia oleh sebutan jenis Melayu''.

Kalimat ini jelas berbicara tentang Melayu. Tafsirannya juga sama, jika kita menggunakan perkataan yang kasar atau `tidak berbudi bahasa', bahawa ``Raja atau pemimpin Melayu, yang tiada manfaat bagi bangsa Melayu, maka raja atau pemimpin itu adalah pengkhianat terhadap bangsa Melayu, bangsanya sendiri.'' Daripada contoh di atas terbuktilah bahawa ulama perlu bijak dan `berbudi bahasa' dalam menyampaikan dakwah dan pendidikan melalui surat terhadap golongan tinggi seperti tersebut di atas. Sebaliknya umara (pemerintah) yang bijak perlu mendekati ulama ikhlas dan jujur.
This entry was posted on 12 November 2006 at Sunday, November 12, 2006 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment