Imam Haji Mursyidi - Tokoh pentadbir Islam Sarawak  

Posted

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH


DI DALAM ruangan Agama, Utusan Malaysia, terbitan 29 Mac 2004, Seksyen 3, halaman 9 telah diperkenalkan riwayat Syeikh Usman, seorang ulama besar yang berasal dari Sarawak. Kali ini diperkenalkan pula titihan keilmuan ulama Sarawak itu, yang dimaksudkan di sini ialah Datuk Hakim Imam Abang Haji Mursyidi bin Abang Haji Nuruddin bin Datuk Bandar Bolhasan. Nasab dari sebelah ibunya pula, bahawa ibunya bernama Dayang Aisyah binti Abang Pata bin Temenggong Marsal.

Abang Mursyidi dilahirkan di tengah-tengah Bandar Kuching, iaitu dekat Masjid India, Jalan Gambir, Kuching. Kerana beliau dilahirkan berhampiran dengan tempat peribadatan Islam, maka tidak diragukan bahawa Abang Mursyidi sejak kecil lagi telah berjinak-jinak dan mesra dengan tatacara hidup tradisi umat Islam. Dengan demikian ia membentuk keperibadiannya sepanjang hayat hinggalah beliau menemui ajalnya. Abang Mursyidi lahir pada tahun 1294 Hijrah/1877 Masihi, wafat pada hari Ahad, 29 Jamadilawal 1358 Hijrah/16 Julai 1939 Masihi.

PENDIDIKAN

Abang Mursyidi melanjutkan pengajiannya di Mekah. Dipercayai beliau belajar kepada beberapa orang ulama yang mengajar di Masjidul Haram, Mekah terutama Syeikh Usman bin Abdul Wahhab Sarawak kerana sama-sama berasal dari tempat yang sama.

Abang Mursyidi juga sempat mengikuti pelajaran yang diberikan oleh guru kepada gurunya, Syeikh Usman bin Abdul Wahhab Sarawak seperti Syeikh Ahmad al-Fathani, Sayid Bakri Syatha dan lain-lain. Beliau belajar kepada ulama-ulama yang tersebut dipercayai di bawah dua orang ketua tela`ah, iaitu Syeikh Usman bin Abdul Wahhab Sarawak dan Tok Kenali Kelantan.

Ulama yang telah diceritakan riwayatnya di dalam ruangan ini yang sebaya dengan Abang Mursyidi (lahir 1294 Hijrah/1877 Masihi), yang sama-sama belajar di Mekah ialah Syeikh Muhammad Sa'id, Negeri Sembilan (lahir 1292 Hijrah/1875 Masihi), Haji Abu Bakar bin Haji Hasan Muar, Johor (lahir pada tahun 1292 Hijrah/1875 Masihi), Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani (1293 Hijrah/1876 Masihi), Haji Muhammad Sa'id Yan, Kedah (lahir 1294 Hijrah/1877 Masihi), Haji Umar Besut (lahir 1295 Hijrah/1878 Masihi).

Memperhatikan tahun kelahiran ulama-ulama yang tersebut, maka yang benar-benar sama tahun lahir dengan Abang Mursyidi Sarawak ialah Haji Muhammad Sa'id Yan, Kedah. Kedua-duanya lahir pada tahun 1294 Hijrah/1877 Masihi.

Abang Mursyidi ketika di Mekah lebih banyak belajar kepada Syeikh Usman bin Abdul Wahhab Sarawak (lahir 1281 Hijrah/1864 Masihi) dan ulama-ulama sebaya dengannya, antaranya ialah Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani (lahir 1283 Hijrah/1866 Masihi), dan ramai lagi.

Selain belajar kepada dua orang ulama dunia Melayu yang sebaya umurnya, Abang Mursyidi juga belajar kepada ulama dunia Melayu yang lebih tua, yang sangat masyhur namanya ialah Syeikh Muhammad Mukhtar bin Atarid Bogor (lahir 1278 Hijrah/1862 Masihi). Beliau juga belajar kepada ulama-ulama bangsa Arab, antaranya Syeikh Muhammad Sa'id Babshail, Mufti Mazhab Syafie di Mekah pada zaman itu.

AKTIVITI

Setelah memperoleh ilmu-ilmu teras keIslaman di Mekah, Abang Mursyidi pulang ke Kuching. Peringkat awal kepulangannya, beliau dilantik menjadi imam, khatib dan guru agama. Ketiga-tiga jawatan itu dilaksanakannya di Masjid India, iaitu masjid kawasan yang berdekatan kelahirannya.

Sebagai seorang guru agama di masjid, di surau dan di rumah, Abang Mursyidi nampaknya belum begitu puas, lalu dalam tahun 1917 Masihi dilanjutkannya dengan mendirikan sebuah madrasah yang dinamakan dengan Al-Madrasatul Mursyidiyah.

Madrasah yang diasaskan oleh Abang Mursyidi tersebut merupakan madrasah pertama di Kuching, bahkan yang pertama di negeri Sarawak. Nama Mursyidiyah diberikan adalah sempena nama Abang Mursyidi, namun beliau adalah seorang warak yang tidak suka menonjolkan diri, senantiasa mengelakkan diri daripada riyak, barangkali kerana itulah tindakan beliau selanjutnya menukar nama madrasah tersebut daripada Al-Madrasatul Mursyidiyah menjadi Al-Madrasatul Islamiyah.

Untuk lebih memperkemas pendidikan Islam bagi kaum perempuan, Abang Mursyidi bersama dua orang sahabatnya, Datuk Petinggi Abang Haji Abdullah dan Abang Haji Bolhasan telah berhasil mendirikan tempat pendidikan itu. Tempat pendidikan perempuan dalam bidang al-Quran, akidah, fikah dan lain-lain pengetahuan Islam asasi yang mereka dirikan itu dikenali dengan nama Sekolah Kajang.

Aktiviti Abang Mursyidi sebagai seorang Datuk Hakim, diriwayatkan bermula pada 23 Februari 1925. Dalam masa yang sama dilantik juga sebagai Supreme Council dan Council Negeri. Kemudian diangkat pula dengan gelar Datuk Imam pada 1 Julai 1932. Dilantik menjadi pengadil darjah yang keempat pada 1 Ogos 1933.

Beliau menjadi ahli jawatan Lembaga Peperiksaan bagi pegawai-pegawai tinggi kerajaan pada 26 September 1936. Memperhatikan maklumat tersebut bererti Abang Mursyidi adalah seorang ulama yang sangat aktif dalam seluruh sektor aktiviti kepentingan pentadbiran dan kemajuan kerajaan negeri Sarawak pada zamannya.

Selain aktiviti-aktiviti yang tersebut di atas, Abang Mursyidi bersama beberapa orang ulama di Sarawak menubuhkan Majlis Syuyukhil Islami. Kemudian pada 1 Mei 1955 nama itu bertukar menjadi Majlis Agama Islam Sarawak. Mereka yang dianggap sebagai pengasas pertubuhan tersebut ialah Datuk Hakim Imam Haji Mursyidi sebagai pencetus idea dan sebagai ketua pertubuhan. Sebagai anggota ialah Mufti Abang Haji Nawawi, Tuan Haji Burhan, Abang Haji Julaihi, dan Tuan Haji Muhammad Saleh.

Langkah Abang Mursyidi dalam memperjuangkan pendidikan Islam dan lain-lain kepentingan Islam dan suku kaum Melayu di Sarawak dalam zaman penjajah Inggeris ketika itu adalah dipandang sangat bijak yang tidak akan ditemui pada peribadi yang tidak bertanggungjawab terhadap agama Islam yang dianutnya, negeri kelahiran dan bangsanya.

Walaupun Abang Mursyidi adalah Datuk Imam dan Datuk Hakim, kemungkinan kedudukan yang tertinggi untuk orang Islam dan Melayu di bumi Sarawak yang sedang dijajah oleh Inggeris ketika itu, namun beliau tidak mengabaikan dan melalaikan tanggungjawabnya sebagai ulama penyebar ilmu mengajar di masjid dan madrasah yang diasaskannya.

MURID-MURIDNYA

Ramai murid Datuk Hakim Imam Mursyidi yang menjadi ulama dan tokoh di Sarawak. Mereka adalah generasi penerus penyebaran Islam. Sama ada murid-murid Datuk Hakim Imam Haji Mursyidi sendiri atau pun murid-murid Al-Madrasatul Islamiyah yang beliau asaskan menurunkan murid yang ramai pula, sambung bersambung sampai sekarang ini.

Bererti pahala amal jariyah untuk Datuk Hakim Imam Haji Mursyidi berjalan terus kerana ilmu bermanfaat yang disebarkan dan madrasah tempat belajar ilmu yang diwakafkan.

Antara murid Datuk Hakim Imam Mursyidi yang sempat penulis temui berulang kali (tahun 1976 di Johor Bahru, terakhir di Kuching, tahun 2003) ialah Haji Ataillah bin Syeikh Zainuddin as-Sarawaqi.

Beliau adalah cucu Syeikh Usman Sarawak yang sangat terkenal itu. Daripada Tuan Haji Ataillah, penulis banyak memperoleh maklumat tentang ulama Sarawak terutama datuknya Syeikh Usman Sarawak dan Haji Mursyidi yang diriwayatkan ini.

Ada hal menarik yang masih dalam penelitian penulis, bahawa antara orang yang terdekat hubungan dengan Datuk Hakim Imam Haji Mursyidi adalah seorang ulama yang berasal dari Sarawak bernama Haji Muhammad Saleh Sarawak. Penulis belum dapat mempastikan apakah pada zaman yang sama terdapat beberapa orang ulama Sarawak yang bernama Haji Muhammad Saleh atau hanya seorang.

Diriwayatkan bahawa Haji Muhammad Saleh (belum diketahui nama orang tuanya) turut bersama Datuk Hakim Imam Haji Mursyidi mengasaskan Majlis Syuyukhil Islami atau yang kemudian dinamakan Majlis Islam Sarawak. Haji Muhammad Saleh ini belum diketahui secara jelas apakah murid beliau atau pun sahabatnya.

Ada lagi yang bernama Haji Muhammad Saleh Arif, beliau benar-benar murid Datuk Hakim Imam Haji Mursyidi. Haji Muhammad Saleh Arif diriwayatkan adalah seorang ulama yang suka merantau dan pernah sampai ke Sambas, Kalimantan Barat.

Dengan maklumat di atas, penulis masih tertanya-tanya, kerana adalagi se-orang ulama Sarawak bernama Haji Muhammad Saleh yang hidup sezaman dengan Datuk Hakim Imam Haji Mursyidi yang menyebarkan Islam di Kalimantan Barat. Haji Muhammad Saleh ini sangat terkenal, merantau dan menguasai penyebaran Islam di beberapa tempat yang berjauhan, dan meninggalkan keturunan pula. Tempat-tempat Haji Muhammad Saleh Sarawak pernah mengajar yang pernah penulis jejaki ialah Pontianak, Ketapang, Sintang, Semitau dan Sungai Bundung (Mempawah).

Oleh kerana terkenalnya ulama Sarawak itu, maka penulis pernah berjalan kaki mulai Sambas, Seluas, memasuki Jagoi Babang ke Serikin seterusnya sampai Kuching awal tahun 1970. Maklumat yang diperoleh di Kuching tentang beliau tidak seimbang dengan jerih payah merentas sungai dan jalan kaki yang demikian jauh.

KEKELUARGAANNYA

Datuk Hakim Imam Haji Mursyidi mempunyai 8 orang adik beradik; Abang Ikram, Abang Saad, Abang Asnawi, Abang Haji Azhari, Abang Juwaini, Datuk Hakim Imam Abang Haji Mursyidi, Dayang Jinu dan Dayang Atut.

Beliau mendirikan rumah tangga beberapa kali dan meninggalkan anak dan zuriat. Perkahwinan yang pertama dengan Dayang Yong binti Abang Haji Matusin bin Patinggi Gapur, memperoleh seorang anak, Abang Fadail. Setelah isteri yang pertama meninggal dunia, Abang Mursyidi berkahwin lagi dengan Dayang Hafidah dan memperoleh 8 orang anak; Abang Zainurin, Abang Muhammad Zain, Abang Syafi'ie, Abang Usman, Dayang Munah, Abang `Abdul Malik, Dayang Minah dan Dayang Diyun. Setelah Dayang Hafidah (isteri kedua) meninggal dunia, Abang Mursyidi berkahwin pula dengan Dayang Siah tetapi tiada memperoleh anak.

Daripada maklumat di atas dapat diambil kesimpulan bahawa Datuk Hakim Imam Abang Haji Mursyidi mempunyai ramai adik beradik dan ramai anak dan keturunan.
This entry was posted on 12 November 2006 at Sunday, November 12, 2006 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment